Anda di halaman 1dari 7

Sanggar Kreatif: Ramadan ini, Kau Pulanglah!

Oleh MD Nizar Parman

2010/08/22

KALAU aku katakan bahawa aku berputus asa untuk menjejakimu, jawapan yang tepat
sebenarnya tidak. Tiba-tiba kaumenghilang. Tentu sahaja aku yang mewakili adik-
adikku menjadi kebingungan. Masing-masing menyalahkan aku. Kaufikir, selama mana
kupingku bisa betah mendengar rungutan dan sindiran mereka?

Tanpa sebarang pesan atau nota kautinggalkan, alih-alih sahaja kaulesap. Tentu
sahaja tindakanmu itu mengundang kegelisahan. Sebaik sahaja kukhabarkan tentang
kehilanganmu, adik-adikku yang lain bergegas ke rumahku – menyoalku dengan
pertanyaan bertalu-talu seperti peluru. Aku seperti seorang penjenayah di kandang
pesalah.
“Macam mana boleh jadi begini, along? Apa along dah buat?” tukas angah. Suaminya
juga turut menempelak saya. Anak-anaknya juga mencebikkan bibir apabila
memandang saya.
“Manalah Along tahu? Rasa-rasanya along dan kak long kamu tidak ada pun
menggores perasaannya,” hujahku membela diri. Apa lagi yang dapat aku lakukan? “Di
rumah ini, tidak ada yang kurangnya. Makan dan minumnya terjaga. Orang gaji abang
long sentiasa ada.”

Uda yang baharu sampai dengan isterinya juga turut melemparkan dakwaan yang
sama. Katanya, aku tidak pandai mengambil hatimu. Lantas, apa lagi yang harus aku
lakukan jika terus-terusan diasak begitu?

Usu, anak lelaki kesayanganmu yang masih mentah itu pun sudah pandai menyalahkan
aku – menyindir-nyindir aku dengan kata-kata yang menikam gegendang telingaku. Aku
itulah. Aku inilah. Aku lupa daratanlah. Aku tidak mengenang budilah. Kaufikir aku
betah?

Aku sedar, tindakanmu itu mungkin berpunca daripada keadaan hidupku sekarang.
Tetapi, kekayaan yang aku miliki ini bukan suatu dosa. Dan, aku percaya kemewahan
hidup yang sedang kukecapi sekarang kerana doamu juga. Aku yakin tentang itu.
Aku masih ingat kata-katamu setelah beberapa hari kautinggal bersama-samaku – di
rumah agam ini. Aku dapat menebak maksud kata-katamu itu.

“Fahmi, rumah kau ini seperti belantara. Sunyi. Bagaimanakah kau dapat hidup di
rumah seperti ini? Tak ubah seperti penjara batu.”

Dan, aku hanya diam. Isteriku, Rohana juga diam. Anak-anakku juga diam. Ketahuilah,
aku paling tidak suka membantah kata-katamu – hal itu akan berlarut-larutan sehingga
kita bermasam muka.

“Maksudnya?” Aku bertanya begitu sekadar ingin tahu apa yang sebenarnya membadai
jiwamu dan yang tersembunyi dalam garizahmu.

“Di mana-mana pun aku berada, kau tahu apa yang aku rasa?” Sepasang matamu
yang sayu memandang tepat ke arahku, kemudian memandang isteriku dan anak-
anakku; satu-persatu.

Kami hanya diam, menanti muntahan kata yang seterusnya dari mulutmu.
“Aku sunyi. Seawal pagi kamu berdua sudah meninggalkan rumah ini. Tidak lama
selepas itu, anak-anakmu pula. Lantas, apa guna mulutku ini? Berbicara dengan
dinding? Dengan tingkap? Dengan pintu?” ujarmu. “Dan, kau pulang setelah lewat
malam. Begitu juga dengan isterimu. Apakah duniamu hanya di pejabat dan di kamar
tidur?”

Emosi.
Aku mengerti benar akan perasaanmu. Tetapi itulah realiti kehidupan hari ini yang mesti
kaufahami. Bukankah kau pernah berpesan dahulu, gunakanlah ilmu dan kepintaran
yang ada untuk mencari kekayaan dan kesenangan hidup? Hanya dengan cara itu kita
akan dapat memanfaatkan hidup ini untuk membantu ahli keluarga dan insan yang
kurang bernasib baik. Masakan kau sudah lupa?

Tatkala angah ingin melanjutkan pelajarannya ke luar negara dalam bidang kedoktoran
dahulu, bukankah ongkosku yang membiayainya tanpa mengharapkan sesen pun
bantuan daripada kerajaan? Semasa uda ingin menyambung pengajiannya dalam
bidang kejuruteraan di Jerman dahulu, bukankah sebahagian wangku juga yang
digunakannya di sana? Dan, kini ketika usu sedang melanjutkan pengajiannya dalam
bidang undang-undang di sini, bukankah wangku juga yang mengalir terus kepadanya?

Aku hanya ingin menjadi anak yang baik; dapat membantu adik-adikku dan
membahagiakanmu yang telah bersusah payah membanting tulang empat kerat untuk
menyara pengajianku dahulu.

Aku tidak pernah lupa akan tanah kita di hujung kampung yang terpaksa kaujual untuk
membiayai pengajianku di luar negara dahulu. Kerana niatmu itu, bukankah kita pernah
bertegang leher kerana aku tidak mahu tanah itu digadaikan semata-mata untuk
membiayai pengajianku.

“Keturunan aku, tak ada yang keras kepala macam kau ni! Kaufikir senang untuk dapat
peluang belajar ke luar negara? Kau jangan bagi aku malu, Fahmi. Biar aku bergolok
bergadai, asalkan kau jadi pandai!” tegasmu.
“Saya tak mahu hal ini akan jadi ungkitan kelak,” ujarku. “Nanti apa orang kampung ni
cakap? Malulah!”

“Habis, kaufikir kau tak pergi belajar ke luar negara tu aku tak malu? Kau nak orang
kampung ni mengumpat aku? Mengata aku? Miskin sangatkah aku ni? Tanah tu pun
bukan boleh dibawa mati!” Bentakmu sehingga tersembul urat di sebalik kulit leher
kedutmu. Marah yang bukan main-main.

Aku tetap membantah dan berkeras sehingga peperangan mulut kita sore itu menjadi
tontonan tetangga kita. Akhirnya aku mengalah apabila golok kesayanganmu yang
berkilau apabila terkena sinaran mentari betul-betul berada di leherku.

“Aku sanggup melakukannya kerana aku tak mahu kau menyesal kemudian hari,”
bisikmu ke telingaku dan hembusan hangat nafasmu itu masih terasa hangatnya
sehingga kini.

Bukankah tanah yang tergadai itu telah kutebus kembali walaupun aku terpaksa
membayarnya hampir lima kali ganda harga asalnya? Tanah itu telah kuhadiahkan
kepadamu sebagai tanda pengorbananmu yang tidak ternilai itu? Lantaran apakah
gerangan yang secara tiba-tiba membuatkan kaumenjeruk rasa begini?

Bingung. Ya, perasaan ini benar-benar mengaruk dalam jiwaku sejak kaumeninggalkan
rumah ini secara tiba-tiba. Bukan sahaja aku, malah isteri dan anak-anakku juga
bingung. Dan, kerana bingung itulah aku dan Rohana sudah beberapa kali bertengkar.
Aku menyalahkan dia. Dia menyalahkan aku. Saling menyalahkan!

Ketahuilah, aku tidak pernah pun berkecil hati dengan kata-katamu yang berbaur
sindiran. Aku hanya membungkam sahaja. Mengiakan tidak; membantah jauh sekali.
“Mengapakah orang yang punya pangkat dan kedudukan suka buat rumah di tempat
yang jauh dan sunyi begini? Angah pun sama, kawasan kediamannya perlu melalui
kawalan keselamatan yang ketat. Uda begitu juga, tinggal di pangsapuri yang tidak
boleh dimasuki orang sembarangan. Nanti usu pun begitu juga. Agaknya .…”

“Bukankah kediaman seperti ini lebih aman dan tenang?” ujarku lembut.
“Aman? Tenang? Kau tahu sunyi? Mengapakah ke mana-mana sahaja aku pergi,
keadaannya sama sahaja? Sunyi,” katamu meluahkan apa yang membonjol di hatimu.
“Sunyi itu lebih baik daripada sehari suntuk mendengar bunyi bingit kenderaan di ibu
kota,” balasku.

Kau hanya menjuihkan bibir dan meninggalkanku termanggu-manggu.


Keliru. Keliru yang akhirnya menimbulkan kecelaruan. Kami berempat berusaha untuk
menjejakimu, tetapi usaha itu hanya membuahkan hampa. Kukira kaupulang ke
kampung – hampa apabila jiran-jiran memberitahu mereka langsung tidak melihat
batang hidungmu! Setelah beberapa hari, akhirnya kami membuat keputusan untuk
melaporkannya kepada pihak polis. Biar mereka pula yang menjejakimu.

Dari hari ke hari; minggu ke minggu; bulan ke bulan masih tiada khabar berita tentang
dirimu. Kau tahu, angin resah yang sering menampar pipiku akhirnya menjadi ribut
kencang yang terus membelasah tubuhku – juga hidupku. Di mana aku harus
mencarimu?

Ramadan. Beberapa hari lagi bulan yang menjanjikan ganjaran yang sebanyak-
banyaknya daripada Allah bakal menjelma. Entah. Mengapa secara tiba-tiba hatiku ini
dihambat perasaan sayu yang tidak tertahan lagi.

Segala detik yang pernah kulalui ketika zaman kanak-kanak kembali menerpa dalam
ingatanku. Kita sama-sama berjalan kaki meredah pekat malam hanya menggunakan
jamung untuk bersolat Tarawih dan pulang agak lewat selepas kau selesai bertadarus.
Selepas bersahur, kita ke surau membelah kesunyian pagi untuk bersolat Subuh. Dan
kau akan memeluk tubuhku yang kesejukan sepanjang perjalanan pada subuh yang
mendinginkan itu.

Ah, mengapa kali ini tiba-tiba sahaja semua itu menjelma? Aku terus-terusan
memikirkan jawapannya. Lantas terlintas di fikiranku, inikah yang kau mahu? Jika benar
begitu, alangkah berdosanya aku.

Perkhabaran yang kuterima itu ibarat halilintar yang memanah tubuhku. Ya, Allah!
Mengapakah sejauh itu kaupergi? Apa yang kaucari? Semua ini takdir Allah. Syuhana,
anak saudaramu yang bekerja sebagai jururawat di sebuah rumah sakit di sana yang
merawatmu kerana kau ditemui pengsan di tanah perkuburan. Dia memaklumkan
kepadaku dua hari yang lalu.

Pasti kau akan berasa terkejut apabila melihatku menyusulmu hingga ke sini. Matamu
masih tertutup rapat, hanya dadamu yang masih berombak. Sejak pagi tadi, entah
berapa kali kubelai-belai rambutmu yang kian memutih. Air mataku? Usah diceritakan.
Sayu. Pilu. Entah.

Andai kau sedar, akan kubisikkan sendiri ke telingamu bahawa Ramadan ini aku akan
menemani di kampung sehingga menjelangnya Syawal. Aku akan membahagiakanmu
sebagaimana engkau pernah membahagiaku semasa aku kanak-kanak dahulu. Itu
janjiku.

Akhirnya kaubuka juga matamu. Dan air jernih yang mengalir di cerun pipi kedutmu itu
kuseka dengan hujung ibu jariku. Lalu aku mendakap tubuhmu semahu-mahunya.
Syukur ya, Allah! Aku dapat merasakan jari-jemarimu mengusap-usap kepalaku.
Kemudian kaudongakkan mukaku agar memandang tepat wajahmu.

“Aku sunyi, Fahmi. Aku ingin menemani ibumu di sini. Kebahagiaan dan kegembiraanku
ada di sini … di bumi bersemadinya Rasulullah,” ujarmu dengan suara terketar-ketar.

Lalu kudekatkan bibirku ke telingamu lantas berbisik, “Ayah, seharusnya kaubelajar


untuk merelakan dan melepaskan. Ramadan ini, kau pulanglah!”

Info
MD Nizar Parman menekuni genre cerpen dan puisi. Karyanya mendapat tempat dalam
akhbar dan majalah arus perdana. Johan Sayembara Sastera Hari Guru Perak 1995
Kategori cerpen, Pemenang Hadiah Utama Sayembara Cerpen Guru DBP-BPG 1998
dan Pemenang Hadiah Sagu Hati Sayembara Cerpen Jubli Emas Dewan Bahasa dan
Pustaka, 2007. Kini berkhidmat sebagai guru Sekolah Kebangsaan Seri Lalang, Seri
Lalang, Kluang, Johor.

Anda mungkin juga menyukai