Anda di halaman 1dari 9

MATLAMAT DAN PERINGKAT-PERINGKAT PENGAJARAN KEMAHIRAN BAHASA MELAYU

KEMAHIRAN MEMBACA

Pengenalan

Membaca adalah merupakan salah satu kemahiran bahasa yang terpenting dalam pengajaran
dan pembelajaran Bahasa Melayu khususnya. Kemahiran membaca kebiasaannya diperolehi
setelah murid menguasai kemahiran lisan (mendengar dan bertutur). Menurut Kamus Dewan
membaca membawa maksud memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti
dan memahamkan makna kandungannya.

Secara mudahnya, membaca ialah kebolehan seseorang menterjemahkan lambang-lambang


bertulis yang bermakna kepada bunyi bahasa dan memahami makna atau tanggapan yang
disampaikan oleh tulisan itu.

Matlamat kemahiran membaca

Dalam pengajaran kemahiran membaca, terdapat dua matlamat yang perlu difokuskan serta
perlu dicapai iaitu pertama untuk tujuan serta merta dan kedua tujuan lanjut. Tujuan serta
merta adalah untuk membolehkan murid membaca dan memahami sesuatu bahan yang
digunakan. Dalam konteks boleh membaca ini, ia bermaksud murid mampu membaca sesuatu
bahan bacaan yang diberi dengan cepat, tidak teragak-agak, boleh membaca dengan serta
merta dan tidak mengambil masa yang panjang untuk menghabiskan bahan bacaan tersebut.
Bukan itu sahaja, malahan ia bermaksud murid boleh membaca bersendirian tanpa bergantung
kepada bantuan guru atau atau orang lain.

Sementara itu, boleh memahami pula membawa maksud murid boleh menangkap makna atau
maksud setiap perkataan dan ayat yang mereka baca. dalam aspek ini, murid sudah boleh
melahirkan idea mereka sendiri serta menggunakan perkataan mereka sendiri untuk
menyatakan apa yang mereka telah baca. Selain itu, terdapat beberapa tujuan lain bagi tujuan
serta merta yang telah dibincangkan di atas iaitu seperti bertujuan untuk membolehkan murid-
murid membaca dengan bunyi atau sebutan dan intonasi yang betul. Justeru, ia juga
dilaksanakan supaya murid dapat membaca secara senyap tanpa merasa sebarang gangguan.
Guru juga dapat menimbulkan minat mahu membaca ke dalam diri murid sebagai hiburan dan
mengisikan masa lapang serta menambahkan ilmu pengetahuan mereka. Akhir sekali, murid
akan dapat menanamkan ke dalam diri mereka sikap suka dan mahu membaca terus menerus
dan mereka juga akan mencari makna, pengertian dan mengambil tauladan daripada apa yang
mereka baca.

Matlamat yang kedua iaitu tujuan lanjut bermaksud murid memperolehi pelbagai pengetahuan
setelah mereka menguasai tujuan serta merta. Dalam tujuan lanjut, murid dapat memperbetul
fahaman mereka salah serta membandingkan fikiran dan pengalaman orang lain untuk
menyelesaikan masalah hidup mereka sendiri. Apabila telah sampai ke tujuan lanjut ini, murid
seharusnya telah dapat berfikir dan melahirkan idea serta buah fikiran mereka dengan cara
yang lebih teratur dan baik. Murid yang telah berjaya menguasai kemahiran membaca dengan
baik dapat merapatkan diri dengan orang di sekeliling mereka dengan berinteraksi dan
menyertai sebarang aktiviti masyarakat yang sememangnya memerlukan kemahiran membaca.

Terdapat empat matlamat bagi tujuan lanjut iaitu yang pertama ialah membaca sebagai alat
untuk menambahkan pengetahuan dan pengalaman setelah murid keluar dari sekolah. Kedua,
tujuan ini dapat merapatkan lagi diri murid dengan masyarakat dan memudahkan mereka untuk
mengikuti perkembangan alam dan manusia. Selain itu, matlamat tujuan lanjut juga ialah
supaya murid dapat meluaskan fahaman serta membetulkan idea-idea yang salah dengan cara
membuat perbandingan dengan orang lain. Akhir sekali, tujuan lanjut membolehkan murid
memperoleh pelbagai bahan-bahan bacaan yang boleh dijadikan panduan kepada hidup
mereka dengan cara mengambil pengajaran daripada perkara-perkaran baik yang dilakukan
oleh orang lain.

Huraian di atas menerangkan tentang matlamat pengajaran kemahiran membaca yang telah di
spesifikkan kepada dua iaitu tujuan serta merta dan tujuan lanjut. Selain daripada yang telah
dijelaskan, matlamat pengajaran kemahiran membaca juga boleh dilihat secara kasar dan
umum. Secara rumusnya, terdapat beberapa tujuan dan matlamat membaca iaitu supaya murid
boleh mengenal huruf, menyebut nama dan bunyi huruf. Kemudian, guru dapat melatih murid
untuk membaca dengan sebutan, tekanan, nada dan intonasi yang betul. Selepas itu, murid
dapat memahami bahan yang dibaca dan dapat menggunakan perkataan sendiri untuk
menyatakan pemahaman mereka terhadap bahan bacaan tersebut. Selain itu, murid yang telah
menguasai kemahiran membaca juga boleh membaca secara senyap tanpa sebarang
gangguan sekelilingnya. Setelah semua tujuan-tujuan di atas tercapai, seterusnya kita
mengharapkan supaya dapat menanamkan sikap suka membaca atau menjadikan sikap suka
membaca sebagai amalan atau hobi setiap murid tidak kira tahap umur mereka.
Sesungguhnya, aktiviti membaca yang dijadikan sebagai hobi bukan sahaja dapat mengisi
masa lapang, malah dapat menambahkan pengetahuan serta mengurangkan masalah-masalah
dalam kalangan murid.

Kesimpulannnya, secara ringkas dapatlah dikatakan bahawa kemahiran membaca bertujuan


untuk mendapat maklumat, pengetahuan dan fakta sesuatu perkara. Melalui kemahiran
membaca, murid dapat mempelajari pelbagai bidang ilmu yang lain dan mendapat pelbagai
pengetahuan yang penting kepada kehidupan seharian mereka.

Peringkat-peringkat pengajaran kemahiran membaca

Terdapat lima peringkat dalam pengajaran kemahiran membaca dan peringkat ini harus
diajarkan dengan teliti bagi mencapai beberapa objektif kemahiran membaca. Objektif yang
dimaksudkan ialah objektif kemahiran membaca yang terdapat dalam Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR) yang mana terdapat enam objektif utama yang telah ditetapkan.

Pertama, kemahiran membaca diajarkan supaya murid dapat membaca pelbagai perkataan,
frasa dan ayat secara mekanis dengan sebutan dan intonasi yang betul. Kedua, supaya murid
dapat membaca dan memahami perkataan dan frasa yang mengandungi perkataan dua atau
tiga suku kata, diftong, vocal berganding, digraph dan konsonan bergabungn dengan betul.
Ketiga, supaya murid dapat membacakan ayat tunggal daripada pelbagai bahan bacaan
dengan sebutan yang betul. Keempat, supaya murid dapat membaca dan memahami maklumat
yang tersurat daripada pelbagai bahan untuk mengenal pasti idea utama dan membuat
klasifikasi dengan betul. Kelima, supaya murid dapat membaca, memahami dan menaakul
maklumat dalam bahan grafik dengan betul dan memindahkan kepada bentuk bukan grafik.
Keenam, supaya murid dapat membaca dan memahami pelbagai bahan bacaan secara didik
hibur untuk memperkaya kosa kata dan menambah pengetahuan.

Lima peringkat yang dinyatakan dalam pengajaran kemahiran membaca ialah, peringkat
menyediakan murid, peringkat mendirikan asas, peringkat melatih membaca dan memaham
(peringkat mencapai kemahiran membaca), peringkat melatih membaca untuk menghiburkan
hati dan meneroka maklumat bagi menambah pengetahuan, serta peringkat membina dan
memperkukuh sikap gemar membaca dan mengamalkan budaya membaca.
PERINGKAT MENYEDIAKAN MURID

Peringkat pertama, peringkat menyediakan murid, ialah langkah pertama yang perlu guru
lakukan. Dalam peringkat ini, guru perlu mengetahui dan mengumpul sebanyak mungkin
maklumat yang berkaitan dengan latar belakang murid. Hal ini penting sebelum memulakan
pengajaran bacaan kerana guru perlu mengenal pasti potensi murid (kekuatan dan kelemahan
murid), perasaan, minat, bakat dan juga sejauh mana tahap penguasaan bahasa murid yang
hendak diajar. Perkara-perkara ini penting kerana ia menjadi penanda aras kepada guru untuk
menyediakan aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran kemahiran membaca yang sesuai
untuk murid supaya objektif-objektif kemahiran membaca dapat dicapai.

Dalam peringkat menyediakan murid, guru perlu bijak menggunakan pendekatan mesra murid
supaya murid berasa selamat dan seronok berada di sekolah untuk mengikuti pengajaran dan
pembelajaran yang dirancang oleh guru. Sebelum boleh mula mengajar, guru perlu
menggalakkan murid untuk meningkatkan keyakinan diri mereka dan belajar mempercayai
orang di sekeliling supaya proses pembelajaran dapat berjalan dengan lebih lancar dan baik.
Seandainya masih ada murid yang mengalami masalah dalam kemahiran lisan, guru tidak
seharusnya meneruskan juga pengajaran kemahiran membaca kerana mereka tidak akan
berminat terhadap pengajaran itu. Guru perlu memastikan murid sudah boleh bertutur dengan
baik dan guru perlu menggunakan pendekatan yang lebih menarik dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran di kelas.

Terdapat beberapa tujuan utama dalam peringkat menyediakan murid. Pertama, peringkat
menyediakan murid diadakan untuk menimbulkan keinginan dan minat murid untuk meluaskan
pengalaman yang sedia ada. Ilmu yang sedikit boleh bertambah jika murid berminat untuk
belajar walau hanya sedikit perkara yang diajar dan ilmu juga boleh tidak ada perubahan atau
berkurang sekiranya murid malas atau tidak mahu belajar perkara lain menyebabkan ilmu sedia
ada tidak digunakan dan menjadi tidak berguna.

Tujuan kedua ialah untuk melatih murid-murid supaya boleh memerhati sesuatu dengan baik
dan cuba mengecamkannya. Apabila guru telah berjaya menarik minat murid untuk belajar
sesuatu benda, guru seterusnya akan dapat melatih murid untuk melihat sesuatu perkara atau
benda dan ilmu tersebut akan tersimpan kemas dalam kotak fikiran mereka. Hal ini penting
untuk memberi pendedahan kepada murid tentang langkah-langkah mendapatkan sesuatu ilmu.
Seterusnya ialah untuk memberikan peluang kepada murid-murid supaya merapatkan diri
dengan guru dan tidak takut kepada guru. Hal yang demikian dapat menimbulkan sikap berani
dan yakin. Apabila guru berjaya mendekati murid, guru akan mendapat kepercayaan daripada
murid itu dan ini akan memudahkan lagi proses pengajaran berlangsung. Murid tidak
seharusnya belajar kerana mereka takut kepada guru sebaliknya mereka perlu belajar atas
dasar rasa minat dan keinginan untuk belajar.

Tujuan terakhir bagi peringkat menyediakan murid ialah untuk membina tabiat gemar membaca
dan menghargai apa yang dibaca. Walaupun pada peringkat ini murid masih tidak boleh
membaca, namun murid perlu dirangsang sejak awal supaya mereka berminat untuk
memulakan pelajaran dan minat itu seharusnya berterusan sehingga murid berjaya menguasai
kemahiran membaca seterusnya dijadikan amalan kehidupan mereka pada masa hadapan.

Jika ada tujuan dan matlamat, maka langkah-langkah untuk mencapai tujuan sesuatu perkara
itu juga perlulah ada. Bagi menyediakan murid untuk membaca, terdapat beberapa langkah
yang boleh dilaksanakan oleh guru. Pertama, guru perlu banyak bermain dan berkomunikasi
dengan murid seperti berbual-bual, soal jawab secara tidak formal tentang keluarga, rakan,
minat serta kehidupan harian mereka. Guru perlu belajar berkawan dengan murid supaya dapat
memperoleh kepercayaan daripada mereka. Murid seterusnya akan berasa tidak kekok dan
segan dengan guru.

Kedua, guru boleh mengadakan pelajaran ringan seperti menyanyi, berlakon, bercerita,
bersajak, dan seumpamanya. Aktiviti seperti ini sangat sesuai dijalankan kepada murid kerana
kebanyakan daripada mereka sangat suka aktiviti yang lebih santai dan tidak memerlukan
mereka memerah otak untuk berfikir. Bukan sahaja menyeronokkan, malahan aktiviti seperti ini
juga dapat meningkatkan keyakinan diri murid bahkan menonjolkan bakat yang ada pada murid.

Ketiga, guru juga perlu membina asas bahasa murid-murid melalui pertuturan. Sebagai contoh,
guru menyuruh murid untuk bercerita tentang ahli keluarga, rakan-rakan, cita-cita dan hobi
mereka. Guru mesti memberi galakan dan bimbingan yang sewajarnya supaya murid-murid
mempunyai inisiatif untuk bertutur dan berkongsi idea dan pengalaman mereka. Semakin
banyak murid bercerita, semakin baik pengajaran kerana murid gembira untuk bercerita tentang
diri mereka. Namun, guru harus memastikan setiap murid diberi peluang untuk bercerita agar
tidak ada yang tercicir.
Langkah keempat pula ialah guru perlu menambahkan perbendaharaan kata yang penting dan
perlu dari semasa ke semasa kepada murid. Bagi langkah ini, guru boleh membekalkan dua
atau tiga perkataan baru kepada murid dalam sehari. Tidak perlu banyak, tetapi yang lebih
penting ialah murid dapat memahami dan mengingati apa yang mereka pelajari setiap hari.

PERINGKAT MENDIRIKAN ASAS BACAAN

Peringkat pengajaran kedua ialah peringkat mendirikan asas bacaan. Mendirikan atau
menyediakan asas bacaan memerlukan guru mengambil kira beberapa perkara. Untuk
mendirikan asas bacaan murid, guru perlu memastikan pemilihan ayat, rangkai kata, perkataan,
suku kata dan huruf dipilih dengan teliti dan mendalam supaya pengajaran yang dijalankan
menjadi lebih menarik, berkesan serta tidak membosankan murid. Jika guru dapat menarik
minat murid, ia adalah merupakan satu kelebihan dan bonus kepada pengajaran guru tersebut.

Dalam peringkat ini, terdapat beberapa perkara penting yang harus ditekankan oleh guru
sebelum memulakan pengajaran. Pertama, guru perlulah memilih bahan-bahan pengajaran
yang sesuai dan menarik. Contohnya guru menggunakan bahan bantu mengajar yang bersaiz
besar dan berwarna warni sesuai dengan kegemaran murid-murid. Bahan pengajaran perlu
dikawal dan disusun dengan baik supaya guru dapat merancang penggunaan bahan bantu
mengajar dengan lebih teratur. Guru perlu sentiasa ingat untuk mengajar murid-muridnya
dengan perkataan, rangkai kata dan ayat yang mudah terlebih dahulu sebelum meneruskan ke
tahap yang lebih susah.

Kedua, guru perlulah menggunakan bahan bantu mengajar (BBM) yang lengkap dan sempurna
supaya guru dan murid berminat, selamat dan selesa menggunakannya. Bahan bantu mengajar
yang baik dapat membantu menjadikan pengajaran lebih berkesan dan menyeronokkan. Ketiga,
isi pelajaran yang hendak diajar hendaklah berkait rapat dengan pengalaman dan sesuai
dengan perkembangan jiwa murid-murid. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini pada
peringkat menyediakan murid, guru perlu mengenal pasti latar belakang murid terlebih dahulu
sebelum mula mengajar. Sebagai contoh, jika murid yang hendak diajar ialah murid yang
tinggal di pedalaman hutan, guru tidak boleh mengajar perkara yang berkaitan dengan apa
yang ada di Bandar besar. Ia tidak sesuai kerana murid tidak dapat membayangkan apa yang di
ajar kerana tidak pernah melihatnya. Guru boleh mendedahkan serba sedikit, namun tidak ia
tidak boleh dijadikan tajuk pengajaran utama.
Keempat, guru hendaklah sentiasa memberi dorongan dan galakan supaya murid-murid terus
berminat untuk membaca. Sebagai contoh, pelaksanaan program Nilam di sekolah,
pertandingan bercerita, bengkel Bahasa Melayu dan Minggu Bahasa Melayu. Murid-murid juga
perlu sentiasa diingatkan supaya rajin membaca demi masa hadapan mereka kelak. Perkara
kelima ialah guru harus kreatif dan inovatif dalam melahirkan idea baru untuk memikirkan teknik
dan kaedah terbaik untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran kemahiran membaca
yang berkesan. Guru yang kreatif akan mampu melahirkan murid yang kreatif. Pengajaran yang
sama dan tidak ditukar konsepnya akan menyebabkan murid berasa bosan dan pengajaran
menjadi hambar. Guru yang bijak akan mampu menghasilkan idea pengajaran yang berbeza
namun masih mengekalkan isi-isi pelajaran yang diperlukan.

Perkara terakhir yang perlu diambil kira dalam peringkat mendirikan asas bacaan ialah,
penggunaan bahan bantu mengajar yang berwarna warni dan menarik untuk memberi
semangat kepada murid-murid. Bahan yang berwarna warni dapat menarik minat murid dengan
lebih mudah dan murid juga akan berasa seronok untuk belajar dalam suasana yang ceria.

PERINGKAT MELATIH MEMBACA DAN MEMAHAM

Ini adalah merupakan peringkat ketiga dalam pengajaran kemahiran membaca. Dalam
peringkat ini, bahan dan isi bacaan yang disediakan oleh guru hendaklah sesuai dengan
peringkat umur dan kecenderungan murid-murid. Dalam peringkat mendirikan asas bacaan
sebelum ini, kita menjangkakan murid sudah mampu mengenal huruf, menyebut huruf, dan
membaca suku kata. Jadi, dalam peringkat ketiga ini, guru boleh meneruskan pengajaran
kemahiran membaca dengan meningkatkan sedikit demi sedikit tahap dan aras isi kandungan
pelajaran. Guru boleh menggunakan Kecerdasan Pelbagai untuk menguji dan mengesan
kecerdasan dan kebolehan serta keupayaan murid-murid dalam membaca.

Pada peringkat ini, guru tidak lagi mengajar murid membaca dengan menekankan kepada
kelancaran mahupun sebutan murid, tetapi ia lebih memfokuskan kepada aspek pemahaman
murid terhadap satu-satu bahan bacaan. Soalan-soalan pemahaman yang mudah dan ringkas
boleh digunakan bagi pengajaran peringkat ini.

Pada peringkat ini, bacaan yang disyorkan ialah bacaan senyap (mentalis) supaya murid-murid
dapat melatih diri mereka sendiri untuk faham dan tahu tentang isi kandungan teks yang
dibekalkan kepada mereka. Dalam peringkat ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil
serius oleh guru. Pertama, guru perlu memulakan pengajaran dan pembelajaran kemahiran
membaca dengan mula membaca setelah murid-murid dapat membaca ayat-ayat ringkas dan
mengecamkan perkataan, suku kata dan huruf.

Kedua, guru perlu membanyakkan soalan-soalan yang sesuai dan munasabah untuk menguji
kefahaman murid-murid selepas membaca. Guru boleh mereka sendiri soalan-soalan yang
bersesuaian dengan teks atau guru boleh terus merujuk kepada soalan dan teks di dalam buku
latihan. Ketiga, guru mesti memberikan peluang kepada murid-murid untuk membaca buku-
buku subjek lain seperti sejarah, sains, pendidikan moral dan lain-lain. Dengan ini, mereka akan
memperoleh banyak ilmu subjek lain selain daripada pembelajaran bahasa Melayu di dalam
kelas.

Keempat, guru perlu menggunakan teknik penyoalan yang membina dan mengikut prinsip-
prinsip yang betul dan yang terakhir ialah guru boleh menjalankan aktiviti bacaan intensif dan
ekstensif.

*Bacaan intesif : bacaan untuk memperkembang kebolehan meneliti, memaham dan mentafsir
apa yang dibaca.

*Bacaan ekstensif : bacaan meluas menekankan aktiviti membaca luar kelas

PERINGKAT MEMBACA UNTUK HIBURAN DAN MENINGKATKAN PENGETAHUAN

Bagi pengajaran peringkat keempat, iaitu membaca untuk hiburan dan meningkatkan
pengetahuan, terdapat banyak cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk merealisasikan
tujuan membaca ini. Antaranya ialah guru boleh menyediakan pelbagai jenis buku cerita di
sekolah. Guru perlu menyediakan buku yang digemari oleh murid-murid seperti buku-buku
fantasi, kartun, animasi dan buku rekaan. Buku yang disediakan haruslah sesuai dengan
kumpulan sasaran dan buku itu tidak boleh terlalu mudah dan tidak boleh terlalu susah. Guru
perlu bijak memilih buku yang sesuai dengan murid yang mana buku itu perlu menarik tetapi
masih mengandungi banyak maklumat berguna.

Pihak sekolah juga boleh merancang pelbagai aktiviti untuk menarik minat murid menjadikan
membaca sebagai hobi. Langganan surat khabar merupakan satu langkah bijak untuk
menggalakkan murid membaca kerana selain daripada menarik, surat khabar mempunyai
pelbagai maklumat baru yang berkisar dengan kehidupan seharian.

PERINGKAT MEMBINA SIKAP GEMAR MEMBACA

Guru perlu memupuk minat suka membaca ke dalam diri murid sejak mereka berada pada
tahun satu lagi. Usaha ini adalah rentetan daripada peringkat sebelum ini iaitu membaca untuk
hiburan dan meningkatkan pengetahuan.

Antara faktor murid kurang gemar membaca ialah kerana kurangnya buku yang disediakan di
perpustakaan atau buku yang ada tidak diperbaharui dan hanya buku-buku lama yang ada.
Oleh itu sudah menjadi tugas guru dan pihak sekolah untuk berusaha mendapatkan serta
mengurus bahan –bahan bacaan di sekolah. Sikap ini bermula daripada usaha guru sejak awal
lagi. Contohnya jika guru menggunakan bahan bantu mengajar berwarna warni, guru harus
sentiasa cuba untuk mengekalkan prestasi penggunaan bahan bantu mengajar yang
sedemikian rupa supaya minat murid tidak mengendur untuk membaca.

Anda mungkin juga menyukai