Anda di halaman 1dari 60

BAB 9

SENAMAN
SELEPAS
KELAHIRAN
Pemulihan selepas bersalin adalah penting. Perkara ini boleh dilakukan dengan senaman secara
ringan dalam masa enam jam pertama anda melahirkan bayi. Senaman ini dapat mengembalikan
kekuatan otot-otot dan tubuh kepada bentuk asal secepat mungkin. Senaman adalah salah satu
kaedah yang digunakan bagi memastikan tahap kesihatan yang optimum kepada wanita selepas
bersalin. Senaman dilakukan dalam jangka masa 48 jam selepas bersalin pula mampu melancarkan
pengaliran darah, menguatkan otot-otot lantai pelvis dan otot abdomen. Di samping itu, senaman
juga perlu dilakukan bagi mengelakkan masalah yang biasa dialami selepas kelahiran seperti
masalah berat badan, kurang keyakinan diri, tekanan perasaan dan sebagainya.

Kebanyakan wanita selepas bersalin takut untuk bersenam kerana masih terbayang situasi semasa
proses kelahiran yang dialaminya. Mereka menganggap bersenam akan memudaratkan lagi
keadaan terutama terhadap luka pada vagina dan luka pembedahan. Sebaliknya senaman yang
dilakukan dapat mempercepatkan proses penyembuhan luka berkenaan. Sebenarnya, senaman
sesuai dipraktikkan oleh wanita sama ada yang bersalin secara normal mahupun melalui kaedah
pembedahan.
Kebaikan melakukan senaman selepas bersalin

Senaman selepas bersalin telah dibuktikan oleh banyak kajian membawa manfaat dan kebaikan
yang begitu besar kepada kesihatan wanita. Kebaikannya termasuklah:

1. Memperbaiki postur badan


2. Meningkatkan kekuatan otot dan stamina wanita
3. Meningkatkan pengaliran darah, cecair badan dan mempercepatkan pemulihan luka bersalin
4. Membantu mengembalikan tubuh badan kepada bentuk asal
5. Meningkatkan kecergasan jantung
6. Meningkatkan kesedaran dan keyakinan diri

Masalah yang dihadapi selepas bersalin

Sebagaimana diterangkan sebelum ini, perubahan fisiologi normal badan semasa hamil akan
menyebabkan peningkatan berat badan wanita dan juga kelemahan pada beberapa otot seperti otot
lantai pelvis dan juga otot bahagian abdomen. Antara masalah yang mungkin dialami oleh wanita
selepas bersalin adalah:

1. Peningkatan berat badan


2. Perut yang buncit, lembik dan mengeleber
3. Sakit belakang yang berterusan
4. Masalah kencing tidak lawas atau inkontinens
5. Kurang keyakinan diri

Jenis-jenis senaman selepas bersalin

Namun begitu, semua masalah yang disenaraikan di atas dapat di atasi dengan mudah dan
berkesan melalui senaman secara berkala. Sebagaimana semasa hamil, terdapat beberapa kaedah
senaman yang boleh dilakukan oleh wanita selepas bersalin. Buku ini akan menerangkan satu
modul senaman khusus untuk wanita selepas bersalin dari hari pertama kelahiran iaitu modul
“HEM-EX-Post natal”. Modul senaman ini terdiri dari:

1. Pergerakan awal
2. Senaman pernafasan
3. Senaman regangan
4. Senaman kekuatan
5. Senaman abdomen dan belakang (Bridging)
6. Senaman bangkit (Curl Ups)
7. Senaman tangan dan dada
8. Senaman bahagian kaki
9. Senaman kucing dan unta (Cat and Camel Exercise)

Kebanyakan senaman ini telah pun dibincangkan di dalam topik senaman ketika hamil atau
antenatal.

Hari pertama dan kedua selepas kelahiran


i. Perubahan posisi baring

Gambar 35: Perubahan posisi baring

1. Bengkokkan kedua-dua lutut dengan kedua-dua kaki dirapatkan (Gambar 35).


2. Pusing dengan perlahan-lahan ke sisi sebelah kanan kepada posisi mengiring. Kemudian,
bernafas secara normal sehingga satu hingga dua minit.
3. Pusing semula secara perlahan-lahan sambil kedua-dua lutut dan kaki dirapatkan kembali ke
kedudukan asal. Kemudian, bernafas secara normal sehingga satu hingga dua minit.
4. Pusing dengan perlahan-lahan ke sisi sebelah kiri kepada posisi mengiring. Kemudian,
bernafas secara normal sehingga 1 hingga 2 minit.
5. Ulang pergerakan ini sebanyak 10 kali dan lakukan dua atau tiga kali sehari.
ii. Bangun dari posisi mengiring ke posisi duduk

1. Bengkokkan kedua-dua lutut dengan kedua-dua kaki dirapatkan dalam posisi mengiring.
2. Bangun secara perlahan-lahan sambil menolak katil dengan kedua-dua tangan. Biarkan
bahagian kaki dijatuh ke birai katil seperti yang ditunjukkan dalam gambar di bawah
(Gambar 36).
3. Duduk dalam posisi ini selama beberapa minit.

Gambar 36: Bangun dari posisi mengiring ke posisi duduk

iii. Senaman pernafasan selepas bersalin

Sebagaimana yang diterangkan dalam Bab 5 iaitu Senaman Pernafasan semasa hamil, Senaman
pernafasan selepas bersalin juga memberikan banyak manfaat kepada wanita. Senaman ini dapat
meningkatkan pengaliran udara ke paru-paru. Istimewanya, senaman ini boleh dilakukan pada
bila-bila masa seawal selepas bersalin.

Teknik melakukan senaman ini adalah:


1. Baring terlentang dengan kedua-dua lutut dirapatkan dan dibengkokkan seperti Gambar 37.
2. Letakkan kedua-dua belah tapak tangan di atas perut.
3. Tarik nafas melalui hidung, sambil gerakkan perut seolah-olah udara masuk memenuhi
ruang dalam perut dalam kiraan tiga saat.
4. Hembus nafas secara perlahan-lahan melalui hidung dalam kiraan empat saat.
5. Ulangi langkah di atas sebanyak tiga kali.

Gambar 37: Senaman pernafasan selepas bersalin

iv. Senaman regangan tapak kaki

Senaman tapak kaki membantu melancarkan pengaliran darah dari bahagian bawah badan ke
seluruh badan. Pengaliran darah yang lancar dan baik dapat mencegah dari kejadian penyumbatan
salur darah ( deep vein thrombosis) dan juga mempercepatkan pemulihan badan wanita. Senaman
ini amat mudah dilakukan iaitu:

1. Baring terlentang dengan kedua-dua kaki diluruskan seperti Gambar 38.


2. Gerakkan kedua-dua pergelangan kaki ke atas dan ke bawah sebanyak 10 kali.
3. Tukar pergerakan dengan memusingkan pergelangan kaki mengikut arah jam sebanyak 10
kali putaran.
4. Kemudian, pusingkan pula pergelangan kaki melawan arah jam sebanyak 10 kali.
Gambar 38: Senaman regangan tapak kaki

v. Senaman abdomen

Pengenduran otot pada bahagian abdomen semasa mengandung boleh menyebabkan risiko untuk
pengumpulan lemak-lemak berlebihan dari diet yang tidak terkawal. Oleh itu senaman abdomen
amat penting agar sel-sel otot di bahagian ini menjadi rapat dan seterusnya menguatkan kembali
otot-otot ini.

Teknik senaman abdomen adalah seperti di bawah:

1. Baring terlentang dengan kedua-dua lutut dirapatkan dan dibengkokkan seperti Gambar 39.
2. Letakkan kedua-dua belah tangan ke sisi atau dibelakang kepala bagi memberi keselesaan
kepada wanita.
3. Tolak bahagian belakang ke lantai dengan mengerakkan punggung ke bawah.
4. Tahan posisi ini selama lima saat dan kembali ke posisi asal secara perlahan-lahan.
5. Ulangi langkah di atas sekurang-kurangnya 10 kali.
Gambar 39: Senaman menguatkan abdomen

vi. Senaman gelongsor kaki

Senaman ini amat bagus untuk menguatkan kembali otot-otot pada bahagian kaki dan juga
melancarkan aliran darah. Ini dapat memberikan kelegaan dan kekuatan untuk wanita setelah penat
melalui proses bersalin dan juga penat sepanjang tempoh mengandung.

Teknik melakukan senaman gelongsor kaki adalah seperti di bawah:

1. Baring terlentang dengan kedua-dua lutut dirapatkan dan dibengkokkan seperti Gambar 40.
2. Luruskan kaki kanan secara perlahan-lahan sambil kaki kiri tetap dalam posisi bengkok.
Tahan selama satu hingga dua minit.
3. Bengkokkan semula kaki kanan agar kedua-dua kaki dalam keadaan bengkok.
4. Luruskan kaki kiri secara perlahan-lahan sambil kaki kanan tetap dalam posisi bengkok.
Tahan selama satu hingga dua minit.
5. Ulangi langkah di atas sebanyak 10 kali.

Gambar 40: Senaman gelongsor kaki

vii. Senaman pusing pelvis

Senaman pusing pelvis bagus untkuk menguatkan kembali otot-otot pada pinggang dan bahagian
kaki. Selain itu, senaman ini dapat mengurangkan sakit pada bahagian belakang.
Teknik melakukan senaman pusing pelvis adalah seperti di bawah:

1. Baring terlentang dengan kedua-dua lutut dirapatkan dan dibengkokkan seperti Gambar 41.
2. Gerakkan kedua-dua lutut ke sisi sebelah kanan sehingga bersudut 45 darjah dan tahan
selama 10 saat.
3. Tukar arah pergerakan lutut ke sebelah kiri sehingga bersudut 45 darjah dan tahan selama
lima saat.
4. Ulangi langkah di atas sebanyak 10 kali.

Gambar 41: Senaman pusing pelvis

viii. Senaman kemutan

Seperti yang telah dibincangkan di dalam Bab 7, senaman kemutan melibatkan senaman otot-otot
lantai pelvis bagi menguatkan kembali otot-otot tersebut. Kekuatan otot ini memang penting dalam
mengawal bukaan salur kencing (urethra), vagina dan dubur selain daripada membantu
mempercepatkan proses penyembuhan. Dalam Bab 7 juga telah diterangkan beberapa teknik
melakukan senaman kemutan iaitu semasa posisi berdiri dan duduk. Bagi wanita selepas bersalin,
senaman kemutan lebih selesa dilakukan semasa baring. Perlu diingatkan bahawa senaman
kemutan boleh dilakukan dalam apa jua posisi dan pada bila-bila masa sama ada ketika memasak,
menonton televisyen, dan sebagainya.
Dalam bab ini, akan diterangkan teknik melakukan senaman kemutan semasa posisi baring, seperti
di bawah:

1. Baring dengan kedua-dua lutut dirapatkan dan dibengkokkan.


2. Kemutkan otot pelvis seperti anda mahu menahan air kencing dan menahan air besar atau
kentut.
3. Tahan kemutan selama lima saat. Lepaskan perlahan-lahan dan rehat.
4. Ulangi langkah di atas sekurang-kurangnya 10 kali atau sebanyak mungkin yang anda
mampu.

Peringatan penting untuk wanita, jangan kecutkan otot abdomen atau punggung semasa senaman
ini. Ia tidak diperlukan semasa senaman kemutan dan boleh mengelirukan wanita tentang otot
sebenar yang wanita perlu kecutkan.

Hari ketiga hingga ketujuh selepas kelahiran

Pada hari ketiga hingga ketujuh selepas kelahiran, wanita boleh memulakan untuk melakukan
senaman yang dapat membina kekuatan tubuh. Terdapat beberapa senaman yang dapat wanita
lakukan seperti di bawah.

i. Senaman abdomen dan belakang

Senaman pada bahagian abdomen dan belakang dapat menguatkan kembali otot-otot pada
bahagian tersebut.

Teknik melakukan senaman ini adalah:

1. Baring terlentang dengan kedua-dua lutut dirapatkan dan dibengkokkan seperti Gambar 42.
2. Letakkan kedua-dua belah tangan ke sisi dalam keadaan lurus.
3. Angkat bahagian belakang dan pinggul dan tahan selama 10 saat.
4. Jatuhkan bahagian belakang dan pinggul perlahan-lahan sehingga rapat ke lantai. Ulangi
langkah di atas sebanyak 10 kali.
Gambar 42: Senaman abdomen dan belakang

ii. Senaman bangkit

Senaman bangkit juga membantu menguatkan kembali otot-otot pada bahagian abdomen dan
belakang. Teknik senaman bangkit adalah seperti di bawah :

1. Baring terlentang dengan kedua-dua lutut dirapatkan dan dibengkokkan. Tangan dalam
keadaan lurus di sisi badan seperti Gambar 43.
2. Angkat bahagian kepala dan bahu dengan kedua-dua hujung jari tangan anda menyentuh
lutut.
3. Turunkan kepala dan bahu ke posisi asal secara perlahan-lahan.
4. Ulangi langkah di atas sebanyak 10 kali.
Gambar 43: Senaman bangkit

iii. Senaman kucing dan unta

Senaman ini juga amat bagus untuk menguatkan kembali otot-otot pada bahagian abdomen dan
belakang. Ini juga salah satu cara bagi mengurangkan sakit belakang selain dapat membantu
memperbetulkan postur badan wanita selepas melahirkan anak. Teknik melakukan senaman ini
adalah seperti di bawah:

1. Duduk dalam posisi seperti merangkak dengan tulang belakang lurus dan lutut dirapatkan
seperti Gambar 44.
2. Lengkungkan belakang ke atas sambil regangkan belakang dan tahan selama 10 saat.
3. Kemudian kembali ke posisi asal iaitu luruskan tulang belakang.
4. Lengkokkan pula belakang ke bawah dan tahan selama 10 saat.
5. Kemudian kembali ke posisi asal iaitu luruskan tulang belakang.
6. Ulangi pergerakan ini sebanyak 10 kali.
Gambar 44: Senaman kucing dan unta

iv. Senaman tangan dan dada

Senaman pada anggota tangan dan dada amat penting untuk menguatkan otot-otot bahagian atas
badan dan tangan. Teknik senaman ini adalah:

1. Berdiri tegak dengan posisi berdiri yang betul, jarakkan sedikit antara kaki.
2. Rapatkan kedua-dua belah tapak tangan di bahagian atas dada wanita.
3. Tolak kedua-dua tangan ke arah satu sama lain dan tahan selama 10 saat.
4. Kemudian kembalikan tangan wanita ke posisi asal dan rehat.
5. Ulangi langkah di atas sebanyak 10 kali.

Senaman ini boleh juga dilakukan dalam keadaan duduk.

v. Senaman kaki

Senaman pada bahagian kaki akan menguatkan otot-otot bahagian bawah badan. Teknik
melaklukan senaman ini adalah seperti di bawah (Gambar 45):

1. Berdiri tegak dengan postur berdiri yang betul. jarakkan sedikit antara kaki wanita.
2. Bengkokkan kedua-dua lutut dengan perlahan-lahan seperti mencangkung seperti di
Gambar 45.
3. Tahan posisi mencangkung selama 10 saat.
4. Kemudian kembali ke posisi asal dan rehat.
5. Ulangi di atas sebanyak 10 kali.
Tingkatkan intensiti senaman selepas beberapa minggu kelahiran.

Gambar 45: Senaman bahagian kaki

Senaman selepas pembedahan caesarian

Wanita yang bersalin secara pembedahan juga boleh melakukan senaman dalam tempoh
berpantang. Berjalan adalah salah satu cara senaman yang baik dilakukan sebaik sahaja selepas
pembedahan. Namun, sebelum melakukan senaman, adalah penting mendapat nasihat doktor bagi
menentukan tahap kesihatan yang optimum.
Selepas pembedahan, senaman regangan lembut dan latihan kekuatan boleh dimulakan kecuali jika
terdapat pendarahan yang banyak dan sakit pada bahagian pembedahan. Kebanyakan senaman
yang dilakukan oleh wanita yang bersalin secara normal boleh dilakukan oleh wanita yang bersalin
dengan cara pembedahan. Akan tetapi, senaman itu mesti dilakukan sekurang-kurangnya 6 minggu
selepas pembedahan dan setelah mendapat kebenaran doktor.

i. Hari pertama selepas pembedahan

Pada hari pertama pembedahan, wanita boleh melakukan senaman lembut dan ringan seperti di
bawah.

1. Senaman perubahan posisi baring dan posisi duduk seperti yang diterangkan di atas.
2. Senaman pernafasan juga boleh dilakukan. Lakukan senaman seperti yang diterangkan di
atas. Cuma, pastikan bantal diletakkan pada tempat pembedahan
3. Senaman tangan dan kaki juga disarankan bagi melancarkan peredaran darah

ii. Hari kedua selepas pembedahan

Pada hari kedua selepas pembedahan, wanita boleh mula melakukan senaman-senaman seperti
senaman pernafasan, senaman kemutan dan senaman abdomen. Peringatan penting bagi wanita
berpantang, pastikan setiap kali berdiri dan duduk, posisi mereka hendaklah sentiasa dalam postur
yang betul seperti diterangkan di dalam Bab 8.

iii. Hari yang berikutnya

Selepas hari kedua pembedahan, wanita disarankan untuk meneruskan senaman yang dilakukan
pada hari kedua dengan menambah kekerapan dan kiraan intensiti senaman. Wanita juga
disarankan untuk melakukan senaman aerobik untuk meningkatkan stamina fizikal dan mental jika
berkemampuan.
Panduan tambahan selepas bersalin kaedah pembedahan

Terdapat beberapa panduan tambahan khusus untuk wanita yang bersalin dengan kaedah
pembedahan. Wanita dinasihatkan agar:

1. Banyakkan berjalan dalam jangka masa 12-18 jam selepas bersalin untuk membantu proses
penghadaman, mengurangkan kekejangan otot dan mencegah dari penyumbatan salur
darah (deep vein thrombosis). Sokong bahagian luka pembedahan ketika berjalan dengan
bantal kecil.
2. Wanita perlu yakin dengan melakukan senaman ringan ianya dapat membantu
mempercepatkan sembuhan luka dengan melancarkan peredaran darah dan pertukaran
oksigen di paru-paru.
3. Sentiasa jaga kedudukan tubuh atau postur wanita agar tulang belakang berada dalam
keadaan lurus dalam setiap posisi kedudukan mereka.
4. Elakkan duduk di kerusi yang lembut atau sofa kerana ketika duduk di sofa yang lembut,
lebih banyak usaha dan tenaga yang diperlukan untuk bangun. Sofa yang lembut biasanya
tidak memberi sokongan pada tulang belakang wanita.
5. Ketika ingin bangun dari katil, adalah lebih baik untuk berpusing ke sebelah kanan atau kiri
dahulu, kemudian turunkan sebelah kaki di tepi katil. Angkat badan dengan menggunakan
lengan sebelah wanita berpusing tadi.
6. Naik dan turun tangga dengan hati-hati. Langkah setiap tangga satu persatu untuk
mengelakkan wanita berasa cepat letih.
7. Gunakan bangku untuk mengambil barang di tempat tinggi. Keadaan ini dapat mengelakkan
otot anda daripada menjadi tegang.
BAB 10
AMALAN
BERPANTANG
Amalan berpantang secara traditional
Amalan tradisional untuk jagaan selepas bersalin telah lama wujud dan diamalkan oleh kebanyakan
masyarakat di seluruh dunia terutama di Asia Timur, Asia Selatan dan Timur Tengah. Amalan ini
juga dikenali sebagai ‘berpantang’ oleh orang Melayu di Malaysia, ‘zuo yue’ di China, ‘sam shil il’ di
Korea, ‘satogaeri bunben’ di Jepun, ‘yu duan’ di Thailand dan ‘la cuarenta’ di Mexico. Konsep jagaan
selepas bersalin secara tradisional adalah berbeza dengan jagaan selepas bersalin yang diamalkan
dalam masyarakat moden di negara-negara barat. Jagaan selepas bersalin di negara Barat hanya
menekankan kesihatan fizikal wanita dan bayi sebaik sahaja bersalin dengan menggunakan kaedah
berteknologi moden. Jagaan jenis ini dikenali sebagai jagaan technocentric dan hanya diamalkan
dalam masa yang singkat iaitu sehingga beberapa hari selepas bersalin sahaja. Manakala jagaan
selepas bersalin tradisional yang dikenali sebagai jagaan ethnokinship menekankan sokongan
sosial dan amalan secara tradisional untuk melindungi wanita daripada gangguan kesihatan bukan
sahaja untuk tempoh berpantang (40 hari) malahan boleh menjangkaui tempoh ini.

Masyarakat Melayu tradisional dan kebanyakan budaya lain di Malaysia dan di dunia amnya juga
menganggap wanita hamil sebagai berada di tahap ‘panas’ iaitu satu keadaan yang dipercayai
kurang terdedah kepada penyakit. Manakala wanita selepas bersalin pula dipercayai telah
memasuki satu tahap ‘sejuk’ yang boleh menyebabkan aliran darah terganggu, gangguan
pengaliran keluar lokia (darah nifas) dan melambatkan proses penyembuhan selepas bersalin. Jika
wanita selepas bersalin tidak mematuhi amalan tertentu dalam tempoh ini, lambat laun mereka
dipercayai akan mendapat masalah kesihatan yang lebih teruk. Oleh kerana itu, jagaan khas untuk
melindungi wanita selepas bersalin dianggap penting dan perlu diamalkan sebaik sahaja anak
dilahirkan.
Amalan berpantang tradisional Melayu mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam memulihkan
kesihatan wanita selepas melahirkan anak. Kebanyakan wanita yang berbangsa Melayu
mengamalkan jagaan berpantang ini kerana mereka percaya amalan tersebut membantu
kesejahteraan mereka dalam jangka masa panjang. Jagaan berpantang tradisional Melayu lebih
menumpu kepada tubuh dan pengambilan makanan wanita selepas bersalin. Ia juga melibatkan
sokongan sosial terutama dalam bentuk bantuan yang diterima daripada ahli keluarga wanita yang
baru melahirkan dan juga orang yang lebih tua (wanita) serta bidan kampung dalam memenuhi
keperluan rehat, pemakanan, kebersihan, jagaan bayi dan lain-lain.

Walaupun jagaan berpantang tradisional Melayu mempunyai persamaan dengan amalan tradisional
selepas bersalin di negara-negara Asia lain dari beberapa aspek, amalan berpantang tradisional
Melayu tradisional bagaimanapun, mempunyai keunikan tersendiri dengan adanya kaedah
mengurut, bertungku dan mandi herba. Amalan berpantang Melayu tradisional terdiri daripada
beberapa komponen penting seperti dalam Jadual 4.

Jadual 4: Amalan berpantang tradisional Melayu

● Elakkan makanan laut, ikan berminyak dan gatal


● Minum tidak melebihi satu gelas air setiap kali waktu makan
● Hadkan pergerakan (jalan perlahan)
● Pelihara badan sentiasa dalam keadaan suam
● Urutan seluruh tubuh
● Bertungku
● Memakai bengkung
● Mandi air suam dengan campuran herba pilihan (daun serai wangi,
daun pandan, daun limau nipis, daun lengkuas, daun mengkudu)
● Mengambil jamu (kombinasi kacip Fatimah, akar serapat, manjakani,
mas cotek dan misai kucing)
● Mengelakkan hubungan kelamin selama 40-100 hari

Hasil pengaruh Islam, kebanyakan wanita Melayu di Malaysia mengamalkan hampir kesemua
komponen amalan berpantang dalam jangka masa 40 hingga 44 hari selepas bersalin. Adalah
dipercayai lebih lama wanita mengamalkan jagaan ini (melebihi 40 hari), akan lebih baik tahap
kesihatannya. Terdapat juga wanita yang berpantang sehingga 100 hari, termasuklah mengelakkan
hubungan kelamin untuk mendapatkan hasil yang lebih baik. Tempoh yang panjang ini dipercayai
memberi masa yang mencukupi untuk memastikan organ yang terlibat mendapat rehat yang
secukupnya, membantu proses penyembuhan pada organ peranakan dan juga mengembalikan
semula kesihatan wanita secara menyeluruh. Rehat yang mencukupi dalam tempoh berpantang
dipercayai dapat memulihkan tenaga, memperbaiki kecederaan dalaman yang disebabkan oleh
kelahiran secara vagina dan pembedahan serta memelihara kekuatan badan wanita untuk jangka
panjang (di usia tua). Di samping fokus utamanya untuk memelihara fungsi organ pembiakan
wanita, amalan ini juga secara tidak langsung dipercayai dapat membantu memelihara fungsi
seksual wanita selepas melahirkan anak dan memelihara tahap keseimbangan badan.

Wanita dalam pantang digalakkan memelihara suhu badan agar sentiasa berada di tahap
“kepanasan” yang dikehendaki dengan memakai baju panas dan stokin untuk mencegah ‘kesejukan
dalaman’. Makanan bersifat panas seperti sebahagian jenis ikan, susu, telur, makanan masin, pahit
dan berempah digalakkan untuk memelihara keharmonian dan keseimbangan badan. Demi untuk
memelihara tahap kepanasan badan, wanita dilarang mengambil jenis makanan dan minuman yang
bersifat ‘sejuk’ seperti minuman berais. Ini termasuklah sebahagian sayuran dan buah-buahan yang
bersifat ‘tajam’ seperti nenas dan belimbing, serta juga makanan bersifat ‘berangin’ seperti terung,
timun dan kobis. Melanggar pantang larang ini dipercayai akan menyebabkan gangguan kesihatan
kepada wanita sama ada semasa dalam pantang atau pada masa akan datang. Wanita selepas
bersalin juga digalakkan mengambil ubatan tradisional yang panas sifatnya sama ada dalam bentuk
akar kayu atau herba sama ada yang direbus dan diminum airnya, atau dalam bentuk tablet atau
kapsul untuk perlindungan tambahan terhadap kesejukan.

Namun begitu perlu diingatkan, kesemua amalan ini bersifat tradisional (hanya berdasarkan
kepercayaan) di mana keberkesanannya untuk memelihara dan memulihkan kesihatan wanita
selepas melahirkan anak setakat ini masih belum dapat dibuktikan. Oleh itu, wanita selepas bersalin
disarankan hanya mengamalkan jagaan yang terbukti baik, selamat dan sesuai untuk diamalkan
terutama dari segi pemakanan untuk mencegah daripada mendapat kemudaratan hasil dari
pengambilan makanan yang kurang berzat atau kurang sesuai untuk pemulihan kesihatan selepas
melahirkan anak.

Penggunaan bengkung semasa berpantang


Penggunaan bengkung adalah sebahagian daripada amalan dalam tempoh berpantang yang masih
diamalkan oleh sebahagian besar masyarakat Melayu masa kini. Kebiasaannya kain bengkung ini
diperbuat dari kain belacu yang mempunyai diameter panjang dan mampu menutupi seluruh
kawasan perut bermula dari bawah payudara sehingga ke pinggul seperti Gambar 46.

Penggunaan bengkung beserta dengan penyusuan bayi dapat mempercepatkan lagi kelangsingan
badan wanita kerana bengkung menghalang wanita dari makan melebihi had. Apabila wanita
memakai bengkung, wanita akan merasa lebih cepat kenyang dan merasa kenyang dalam jangka
masa yang lebih lama.
Gambar 46: Contoh bengkung yang dipakai semasa dalam pantang

Amalan berpantang yang sihat


i. Pemakanan sihat dan seimbang
Wanita yang telah melalui proses bersalin memerlukan pemakanan yang sihat dan seimbang
semasa tempoh berpantang. Ini adalah kerana, semasa proses melahirkan, wanita akan mengalami
kecederaan dan menggunakan banyak tenaga. Proses berpantang yang tidak sihat dan seimbang
akan mengakibatkan proses penyembuhan yang lambat dan memberi kesan kepada wanita dan
juga anak terutama semasa proses penyusuan. Wanita seringkali terikat dengan amalan berpantang
tradisional yang menghadkan pemakanan wanita yang seterusnya memberi kesan kepada wanita
dan anak kemudiannya. Wanita perlulah bijak untuk menggabungkan kaedah berpantang cara
tradisional dan moden. Kaedah berpantang cara tradisional masih boleh terus diamalkan tetapi
haruslah ditambah dengan pemakanan yang berkhasiat.

Mengikut Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia (Recommended Nutrient Intake for Malaysia)
tahun-2017 (Jadual 5) menyatakan pertambahan 500 kalori dan 20g protein adalah diperlukan bagi
wanita yang menyusukan anak pada enam bulan pertama berbanding wanita biasa. Ini adalah
kerana wanita yang menyusukan anak dan telah melalui proses bersalin masih di dalam proses
penyembuhan dan memerlukan pertambahan nutrien agar kembali sihat dan cergas. Selain itu,
pertambahan kalori yang meningkat adalah perlu bagi memastikan penghasilan susu yang
secukupnya dan berkhasiat buat anak.
Jadual 5: Saranan pengambilan nutrien tahun 2017 bagi wanita sihat di Malaysia

Keperluan Tidak Mengandung Menyusu


Nutrien Mengandung
Sehari
19-29 30-50 Trimester Trimester Trimester 1-6 7-12
Tahun Tahun 1 2 3 Bulan Bulan

Tenaga (kalori) kcal 1600 1660 +80 +280 +470 +500


bagi wanita yang
sederhana aktif
*nota di bawah

Protein (g) 53 52 +0.5 +0.8 +25.0 +19 +13

Kalsium (mg) 1000 1000 1000 1000 1000 1000 1000


*13-19
tahun 1300 1300 1300 1300 1300

* 19-29 tahun- sederhana aktif (1840 kcal), aktif (2080 kcal), sangat aktif (2310 kcal)
* 30-59 tahun- sederhana aktif (1900 kcal), aktif (2130 kcal), sangat aktif (2370 kcal)
* Zat besi tambahan yang diperlukan ibu mengandung adalah 100mg sehari

ii. Panduan pemilihan makanan berasaskan ‘Piramid Makanan’


Piramid makanan (Gambar 47) boleh digunakan sebagai panduan dalam memastikan pemakanan
yang sihat dan seimbang kerana ia merangkumi kesemua nutrien yang diperlukan oleh wanita
berpantang. Badan memerlukan pelbagai jenis makanan dalam jumlah yang berbeza untuk
mengekalkan kesihatan. Jadual 6 menunjukkan jumlah hidangan yang perlu diambil dalam sehari
secara terperinci.
Gambar 47: Piramid makanan

Jadual 6: Pembahagian jumlah hidangan sehari mengikut kumpulan makanan berdasarkan kalori

Kumpulan makanan 2000 kcal/hari 2500 kcal/hari

Bijirin & produk bijirin 6 hidangan 8 hidangan

Sayur 3 hidangan 3 hidangan

Buah 2 hidangan 2 hidangan

Daging/ayam 1 hidangan 2 hidangan

Ikan 2 hidangan 2 hidangan

Susu dan produk tenusu 2 hidangan 3 hidangan

Aras 1 – Bijirin, Mi, Produk Bijirin dan Ubi-ubian


Pemilihan makanan daripada aras ini merupakan pemilihan makanan ruji. Ini adalah kerana
makanan yang berasaskan bijirin merupakan sumber utama kepada penghasilan tenaga. Wanita
yang tidak mengambil karbohidrat sebagai sumber utama tenaga akan sering mengalami keletihan
dan tidak cukup tenaga yang seterusnya mengurangkan penghasilan air susu. Antara makanan
yang termasuk di dalam kumpulan makanan ini adalah: nasi, gandum dan produk gandum, roti, mi,
oat, bihun, kuetiau dan ubi-ubian termasuk ubi kentang, ubi keledek dan lain-lain.

Setiap hari, wanita yang menyusukan bayi disaran mengambil sekurang-kurangnya lapan hidangan
dari kumpulan makanan Aras 1 seperti di dalam Jadual 6 bagi mencukupkan penambahan 500
kalori yang diperlukan oleh wanita. Antara pilihan menu untuk setiap sajian dari Aras 1 dan
pengiraan kalori adalah seperti Jadual 7 di bawah. Untuk setiap satu sajian 30 gram karbohidrat
bersamaan dengan 150 kalori.

Jadual 7: Pilihan menu untuk satu sajian karbohidrat

Satu sajian bijirin, produk bijirin dan


ubi-ubian Saiz hidangan
(30 g karbohidrat setiap sajian)

Bihun, direndam 1½ cawan

Biskut krim kraker 6 keping

Roti, putih/mil penuh 2 keping

Laksa, direndam 1½ cawan

Ubi kentang 2 biji

Mi/kuetiau, basah 1 cawan

Putu mayam 2 keping

Nasi putih, dimasak 2 senduk/1 cawan

Bubur, kosong 2 cawan

Ubi keledek/ubi keladi/ubi kayu 1 cawan

Makanan berkarbohidrat ini juga merupakan makanan yang kaya dengan serat yang baik untuk
wanita. Wanita yang berada di dalam pantang sering kali mengalami sembelit akibat amalan
berpantang yang kurang sihat dan seimbang seperti pengambilan air yang tidak mencukupi dan
tidak mengambil buah dan sayuran dalam diet harian. Maka, wanita boleh memilih makanan yang
tinggi serat seperti beras perang, oat, roti dan biskut mil penuh yang mengandungi kandungan serat
yang lebih tinggi yang mampu membantu mengurangkan masalah sembelit.

Selain itu, wanita yang berpantang juga sering kali terikat dengan amalan pantang yang tidak
membenarkan wanita makan dengan jumlah yang banyak pada satu waktu makan kerana dikhuatiri
akan menyebabkan perut menggeleber. Wanita boleh ambil makanan dalam jumlah yang sedikit,
tetapi kerap. Sebagai contoh, jumlah keseluruhan kalori yang diperlukan sehari adalah 2500, maka
sebaiknya makanan ini diambil dalam lima hingga enam hidangan berbanding hanya tiga hidangan
sahaja sehari dengan membahagikan jumlah hidangan dalam sehari supaya seimbang. Antara
masa yang terbaik untuk mengambil enam hidangan sehari adalah tiga waktu makan utama (pagi,
tengah hari dan petang) dan tiga lagi diambil sebagai snek (pukul 10 pagi, pukul 5 petang dan 9
malam). Ini juga mampu membantu wanita mencukupkan pengambilan kalori berserta membantu
menghasilkan susu ibu yang berkualiti.

Aras 2 – Buah- buahan dan Sayuran


Saranan pengambilan buah sehari adalah dua hidangan dan saranan pengambilan sayur adalah
sebanyak tiga hidangan seperti dinyatakan di dalam Jadual 8 di bawah.

Jadual 8: Satu sajian buah-buahan dan sayur-sayuran

Satu sajian buah-buahan (15 g karbohidrat), bersamaan dengan 60 kalori

Epal/buah lai/mangga/ciku 1 biji

Pisang berangan (saiz sederhana) 1 biji

Pisang emas 2 biji

Kurma 3 biji

Kismis 1 sudu makan

Prun 4 biji kecil

Betik/nenas/tembikai 1 potong

Oren (saiz kecil hingga sederhana) 1 biji

Jambu batu/buah pir ½ biji


anggur Buah 8 biji kecil

Satu sajian sayur-sayuran

Sayur-sayuran berdaun hijau dengan batang yang boleh ½ cawan


dimakan, dimasak

Sayur berbuah, dimasak ½ cawan

Namun begitu, wanita yang berada di dalam pantang sering kali terikat dengan amalan tradisional
yang melarang pengambilan buah dan sayuran dalam diet seharian. Ia dikatakan sejuk dan
berangin yang boleh menyebabkan sakit-sakit urat dan kembung kepada wanita dan juga anak.

Perlu diketahui bahawa buah dan sayuran merupakan sumber vitamin dan mineral yang baik untuk
tubuh terutama semasa di dalam pantang. Ini adalah kerana buah mampu memberikan sumber
vitamin C yang berfungsi untuk mempercepatkan sembuhan luka dan membantu penyerapan zat
besi daripada usus untuk meningkatkan penghasilan darah merah.

Selain itu, sayur-sayuran juga mempunyai zat besi, asid folik yang penting untuk penghasilan darah.
Maka, pengambilan sayuran dan buah adalah penting terutama semasa di dalam proses berpantang
kerana wanita telah banyak mengalami kehilangan darah semasa proses kelahiran. Vitamin dan
mineral juga diperlukan wanita bagi memastikan penghasilan susu yang berkualiti tinggi.

Selain itu, buah dan sayuran mengandungi tinggi serat yang membantu melawaskan usus dan
mengurangkan masalah sembelit. Antara punca kepada masalah angin atau kembung adalah
kerana proses defekasi (membuang air besar) yang tidak sempurna. Namun begitu, bukan semua
jenis sayuran boleh diambil kerana dikatakan sesetengah jenis sayuran adalah sejuk dan berangin.
Namun begitu, terdapat ulam-ulaman dan sayuran yang boleh diambil oleh wanita yang selain
membantu proses penyembuhan, malah dipercayai dapat memperbanyakkan penghasilan susu.
Jenis Sayur/ulam yang dikatakan
berangin dan sejuk:

● Kangkung
● Timun
● Keladi
● Labu
● Jeruk maman
● Pucuk ubi
● Pucuk paku
● Bayam
● Rebung
● Petai
● Sayur/daun keti (bunga putih)
● Kacang panjang
● Patola

Sayur/ulam-ulaman yang boleh


diambil:

● Kangkung
● Daun pegaga
● Pucuk mengkudu
● Ulam raja
● Daun Lemuni
● Daun kaduk
● Daun sekentut
● Daun cemumar
● Daun pudina
● Daun kari
● Daun bebuas
● Daun ruku
● Daun kesum
● Halia, lengkuas, serai
● Bunga kantan
● Sayur/ulam pahit seperti peria
dan sawi
Pemakanan ibu yang tinggi serat adakalanya boleh menyebabkan perut ibu menjadi kembung.
Malah susu yang terhasil dari pemakanan berangin ini juga memberi kesan kepada sistem usus and
pencernaan bayi. Perkara ini berlaku disebabkan usus dan otot penyokong usus yang belum
matang. Susu yang dihisap akan digerakkan secara perlahan dan dengan kurang efisien.
Kekurangan flora bakteria yang baik (probiotik) untuk membantu penghadaman juga salah satu dari
penyebabnya. Perkara ini menyebabkan gas akan terperangkap secara semulajadi, serta menjadi
punca bayi anda kembung, sakit perut, kerap sendawa dan refluks. Begitu juga dengan
pengambilan buah-buahan yang dikatakan sejuk dan boleh menyebabkan bentan. Namun begitu,
pengambilan buah adalahPENTING untuk wanita sebagai sumber vitamin C utama. Terdapat
sesetengah buah yang boleh diambil seperti oren dan epal hijau atau epal merah. Wanita boleh
mengambil buah-buah kering sebagai ganti seperti contohnya kurma, buah tin, kismis dan lain-lain.
Buah kurma kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A dan C serta zat mineral atau galian seperti
besi, kalsium, sodium dan potassium yang baik dan bagus untuk proses penyembuhan. Zat besi dan
kalsium yang terdapat di dalam buah kurma juga adalah zat yang paling tinggi bagi membentuk
susu ibu. Bagi wanita yang mempunyai masalah kekurangan susu, pengambilan kurma juga
disarankan untuk menggalakkan pertambahan kandungan susu. Wanita yang telah melepasi
tempoh berpantang dengan jayanya bolehlah mengambil buah-buahan dan sayuran dalam diet
seharian tanpa sebarang had. Ini adalah bagi memastikan susu dihasilkan mengandungi zat-zat
yang seimbang.

Satu perkara yang tidak kurang pentingnya diberi perhatian oleh wanita adalah dari segi kebersihan
sayuran dan buah sebelum dimakan. Memandangkan kebanyakan buah dimakan tanpa perlu
memasak, maka amat penting untuk wanita membasuh sebaik mungkin sebelum dikupas atau
dimakan. Begitu juga ulaman yang dimakan mentah. Basuhlah dengan air bersih kemudian rendam
di dalam air yang dicampur sedikit garam dan siram semula dengan air bersih. Ini untuk mengelak
dari termakan bahan asing yang melekat pada sayuran tersebut seperti bakteria, cacing, telur cacing
dan parasit lain yang boleh membahayakan kesihatan.

Aras 3 – Ikan, Daging Lembu, Kambing, Ayam, Burung, Itik, Makanan Laut, Telur & Susu dan
Produk Tenusu
Kumpulan makanan yang berada pada aras 3 terdiri daripada sumber protein utama. Protein
berfungsi sebagai bahan bina tisu, sel darah, otot dan enzim tubuh. Selain itu, makanan- makanan
ini merupakan sumber kepada zat besi, asid folik dan vitamin K yang diperlukan untuk penghasilan
darah. Pengambilan protein yang tidak mencukupi akan melambatkan proses penyembuhan
terutamanya kepada wanita yang melahirkan anak secara pembedahan dan menyebabkan wanita
mengalami anemia.

Namun begitu, wanita seringkali dilarang mengambil sumber protein ini dengan mencukupi. Wanita
sering disarankan oleh orang tua mereka untuk mengambil ikan masin/kering yang sememangnya
kurang kandungan sumber protein dan mikronutrien. Amalan berpantang juga yang sering
menghadkan pengambilan sumber protein kepada satu jenis ikan sahaja atau melarang
pengambilan ayam dan daging contohnya menyebabkan wanita tidak mendapat zat yang pelbagai.
Ini adalah kerana, setiap jenis sumber protein mengandungi kandungan zat yang berbeza dalam
kuantiti yang berbeza. Sebagai contoh, daging merah mengandungi lebih tinggi zat besi berbanding
ikan. Maka, pengambilan sumber protein yang pelbagai adalah disarankan agar wanita mendapat
kesemua zat yang diperlukan.

Susu dan produk tenusu adalah penting diambil oleh wanita kerana susu mengandungi sumber
kalsium yang diperlukan bagi pembentukan tulang dan gigi. Pengambilan sebanyak 1000 mg
kalsium sehari adalah diperlukan sama seperti semasa tempoh kehamilan bagi memastikan kalsium
tubuh mencukupi selain untuk keperluan anak yang menyusu.

Saranan pengambilan ikan, daging, ayam, dan lain-lain adalah sebanyak tiga hidangan sehari dan
saranan pengambilan susu dan produk tenusu adalah sebanyak dua hidangan sehari. Namun,
wanita yang menyusu pada enam bulan pertama disarankan menambah dua hidangan sumber
protein lagi yang boleh diambil daripada sumber daging dan laini-lain atau pun daripada susu dan
produk tenusu.

Contoh untuk setiap sajian susu dan produk tenusu adalah seperti dalam Jadual 9. Wanita disaran
mengambil dua hidangan sehari dari jenis makanan ini.

Jadual 9: Contoh satu sajian susu dan produk tenusu

Satu sajian susu dan produk tenusu (7 g protein setiap sajian)

Keju 1 keping

Yogurt 1 cawan

Susu, rendah lemak 1 gelas

Susu sejat 2/3 cawan

Susu tepung 4 sudu makan

Contoh untuk setiap sajian ikan, ayam, daging dan telur adalah seperti Jadual 10. Ambillah tiga
hidangan sehari dari kumpulan makanan ini.

Jadual 10: Contoh satu sajian ikan, ayam, daging dan telur

Satu sajian ikan, ayam, daging dan telur (14g protein setiap sajian)

Telur puyuh 12 biji


Ikan bilis tanpa kepala 2/3 cawan

Daging lembu tanpa lemak (7.5 cm x 9 cm x 0.5 cm) 2 keping

Daging ayam, bahagian paha 1 ketul

Telur ayam 2 biji

Ikan kembung/selar 1 ekor (sederhana)

Hati ayam 2 keping

Ikan tenggiri (14 cm x 8 cm x 1 cm) 1 keping

Wanita sering kali risau untuk mengambil sumber protein seperti ayam dan telur kerana dikhuatiri
akan menyebabkan luka bersalin lambat sembuh, gatal atau senang bernanah. Pendapat ini adalah
tidak tepat kerana luka akan bernanah sekiranya dijangkiti kuman. Ini adalah akibat daripada
kurangnya penjagaan kebersihan pada bahagian luka. Luka sepatutnya dijaga dengan baik seperti
kerap mencuci dengan menggunakan cecair pencuci luka yang betul. Sumber makanan laut seperti
udang, sotong, kerangan laut dan juga telur hanya dinasihatkan untuk tidak diambil oleh wanita yang
mempunyai alahan kepada makanan ini.

Aras 4 – Gula, Garam, Lemak & Minyak


Pengambilan garam dan gula disarankan agar dikurangkan. Ini adalah kerana pengambilan garam
yang berlebihan akan menyumbang kepada kenaikan tekanan darah. Pengambilan makanan yang
tinggi garam seperti penggunaan bahan tambahan seperti ajinomoto, serbuk bahan perasa, kicap,
sos tomato/cili/tiram dan juga makanan terproses seperti burger, sosej dan makanan dalam tin
adalah tidak digalakkan. Selain itu, makanan ringan juga seperti snek, kerepek, keropok, asam dan
jeruk juga adalah tinggi kandungan garam. Wanita dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan
makanan ini.

Pengambilan gula ringkas yang berlebihan juga akan menyumbangkan kepada kalori tambahan
yang tidak diperlukan oleh tubuh dan melambatkan penurunan berat badan. Gula ringkas di sini
bermaksud gula pasir, gula melaka, madu, gula batu, air manis seperti air tebu, kordial dan lain-lain
yang digunakan di dalam minuman atau masakan. Wanita tidak memerlukan tenaga daripada gula
ringkas dengan jumlah yang banyak kerana wanita sudah mendapatkannya daripada sumber bijirin
dan juga buah. Pengambilan gula ringkas yang banyak akan menyebabkan wanita cepat kenyang
tetapi cepat lapar kerana gula ringkas dihadamkan dengan kadar yang cepat. Keadaan ini akan
menyebabkan wanita lebih mudah untuk mengambil makanan dalam jumlah yang lebih kerap dan
banyak seterusnya tidak akan membantu kepada penurunan berat badan.
Selain itu, pengambilan lemak dan minyak yang berlebihan adalah tidak disarankan. Ini adalah
kerana lemak dan minyak menyumbangkan kepada peningkatan pengambilan tenaga. Pengambilan
yang berlebihan juga tidak membantu dalam proses penurunan berat badan. Pemilihan makanan
yang kurang berlemak dan berminyak adalah disarankan bagi membantu proses ini. Wanita
disarankan untuk melebihkan cara masakan seperti bakar, panggang, kukus dan sup atau rebus
berbanding makanan bergoreng dan berlemak bagi mempercepatkan proses penurunan berat
badan. Selain itu, pemilihan makanan yang rendah kolesterol adalah disarankan.

Namun begitu, wanita masih perlu mengambil lemak dan minyak dalam hidangan sebanyak 30
peratus daripada keperluan tenaga seharian kerana ia berfungsi sebagai sumber tenaga dan juga
diperlukan di dalam proses fisiologi tubuh. Penggunaan minyak tidak tepu seperti minyak jagung,
zaitun, bunga matahari dan lain–lain di dalam masakan adalah disarankan berbanding minyak tepu
seperti minyak kelapa sawit dan santan.

Perlu diketahui, selain daripada minyak masak yang kita gunakan setiap hari, lemak juga boleh
didapati di dalam bentuk lain seperti Jadual 11 di bawah. Pengambilan lemak yang berlebihan,
selain menyumbang kepada kenaikan berat badan, turut meningkatkan risiko kepada penyakit
jantung.

Jadual 11: Jenis-jenis lemak dalam makanan

Jenis Lemak Definisi Sumber

Trigliserida Asid lemak ringkas Makanan berlemak seperti


majerin dan tinggi karbohidrat
seperti mi, bihun.

Lemak tepu Lemak yang didapati dalam Lemak pada daging, ayam,
bentuk pepejal di dalam suhu susu, krim, minyak kelapa,
bilik santan.

Lemak tak Lemak yang didapati dalam Minyak zaitun, kacang soya,
tepu bentuk cair di dalam suhu bunga matahari, kacang,
bilik. Terdapat dalam bentuk bijan, minyak kelapa sawit.
mono tak tepu dan poli tak
tepu.

Asid lemak Lemak poli tak tepu yang telah Majerin dan lelemak atau
trans dihidrogenkan supaya berada ‘shortening’ yang digunakan
di dalam bentuk pepejal. Ia dalam biskut, kek dan minyak
meningkatkan LDL kolesterol sapi.
(Kolesterol Jahat) dan
menurunkan HDL kolesterol
(kolesterol baik)

Kolesterol Lemak di dalam badan yang Makanan dari sumber haiwan


dihasilkan di hati dan seperti ayam, daging, telur,
diperolehi daripada makanan. susu, makanan laut, kerangan
Terdiri daripada LDL kolesterol laut.
(Kolesterol Jahat) dan
menurunkan HDL kolesterol
(kolesterol baik)

Pengambilan air
Wanita disarankan mengambil air dengan secukupnya sekurangnya lapan gelas air sehari. Menjadi
kebiasaan wanita dilarang mengambil air dengan banyak pada satu-satu masa. Namun wanita
haruslah mengambil air secara sedikit dan kerap bagi memastikan keperluan tubuh dan penghasilan
susu mencukupi. Wanita boleh menambahkan pengambilan susu sebagai protein tambahan ke
dalam pengambilan air mereka seharian. Dengan ini, wanita mendapat air dan sumber protein yang
mencukupi untuk keperluan tubuh. Amalkan minum air kosong selepas bangun tidur, sebelum
makan dan juga sebelum tidur.
Cabaran psikologi semasa berpantang
Tidak semua wanita akan merasa gembira selepas melahirkan anak. Perubahan hormon oestrogen,
progesteron dan beberapa hormon lagi boleh menyebabkan kecelaruan perasaan dan emosi pada
sesetengah wanita. Ini boleh menyebabkan apa yang kita panggil sebagai “baby blues”. Agak ramai
para wanita mengalami keadaan ini, dianggarkan 70-80 peratus daripada wanita selepas bersalin
mengikut satu kajian di Amerika.

Perubahan rutin harian dan juga masa tidur dan rehat dengan adanya ‘orang baru’ atau bayi juga
menyebabkan ramai wanita menjadi bertambah penat dan celaru dengan bertambahnya
tanggungjawab. Perkara ini boleh menyebabkan wanita merasa kurang seronok dan tidak bertenaga
untuk menguruskan diri dan bayi. Jika perkara ini berlaku, wanita dinasihatkan untuk meluahkan
perasaan dan kerisauan kepada ahli keluarga ataupun sahabat terdekat. Jangan rasa malu atau
rendah diri sekiranya perkara ini berlaku pada kita, ini bukan menunjukkan yang kita tidak kuat atau
kurang sayang pada bayi anda tetapi ianya adalah sebahagian daripada proses adaptasi dengan
perubahan besar dalam hidup kita. Anda juga boleh berbincang dengan kakitangan kesihatan di
klinik desa ataupun di klinik kesihatan terdekat.

Tanda-tanda ‘baby blues’ adalah:

● menangis atau bersedih tanpa sebarang sebab.


● emosi berubah dengan cepat (seperti mudah marah atau kurang sabar).
● gelisah atau risau.
● kurang bermaya.
● tidak boleh tidur walaupun tiada gangguan.
● tidak boleh menumpukan perhatian.

Walau bagaimanapun sekiranya keadaan ini berlarutan lebih daripada dua minggu, ianya mungkin
telah menjadi depresi postnatal (kemurungan) dan rawatan klinikal yang lebih spesifik diperlukan.
Tanda-tanda utama kemurungan selepas bersalin adalah seperti di bawah:

● merasa sedih dan kurang ceria yang berterusan lebih daripada dua minggu selepas
melahirkan bayinya.
● tidak berminat dengan apa yang terjadi di sekeliling atau hal yang menggembirakan pada
dirinya sebelum ini.
● tidak bertenaga atau merasa diri keletihan sepanjang masa.
● tidak dapat tidur atau kurang tidur di waktu malam yang menyebabkan diri merasa
mengantuk sepanjang hari.
● merasa diri tidak mampu menjaga bayi.
● bermasalah dalam menumpukan perhatian kepada kerja atau dalam membuat keputusan.
● kurang selera makan ataupun makan dengan berlebihan.
● rasa risau, mudah marah ataupun rasa tidak kisah dengan apa yang terjadi.
● rasa bersalah, merasa diri tidak berharga dan banyak menyalahkan diri sendiri.
● tidak merasa gembira dengan kehadiran bayi.
● terfikir perkara yang menakutkan seperti ingin mencederakan bayi.
● berfikir ingin mati ataupun membunuh diri.

Jika anda ada tanda-tanda ini ataupun anda melihat tanda-tanda ini pada seseorang, bercakaplah
dengan ahli keluarga terdekat dan datanglah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan
segera. Rawatan klinikal yang ada amat berkesan untuk memulihkan keadaan ini.
BAB 11
MITOS SEMASA
MENGANDUNG
DAN
BERPANTANG
Mitos atau salah anggap berkaitan dengan amalan ketika mengandung dan berpantang banyak
diperkatakan dalam kalangan masyarakat kita. Sebahagian masyarakat mempercayai mitos-mitos
tersebut walaupun kebanyakan mitos tiada kebenarannya. Mitos adalah merupakan satu
penceritaan pengalaman dari satu generasi ke generasi seterusnya. Jika berlaku sesuatu perkara
yang tidak baik maka masyarakat terus membawa pengalaman tersebut untuk dikongsi kepada
generasi baru dan terjadilah salah tanggapan dalam masyarakat. Sejauh manakah kita harus
mempercayai mitos tersebut? Adakah kita perlu mempunyai sikap berwaspada walaupun kita tidak
mempercayainya?

Mitos semasa mengandung


i. Amalan berkaitan pemakanan
Terdapat mitos yang berkaitan dengan amalan pemakanan wanita semasa hamil seperti di bawah:

● Makan nanas, tapai atau tebu semasa mengandung akan menyebabkan keguguran bayi.
● Makan pisang semasa mengandung boleh menyebabkan bayi berambut lebat.
● Pengambilan air yang banyak sewaktu mengandung menyebabkan anak menjadi kuning
setelah dilahirkan.
● Minum air soya atau air kelapa secara kerap terutama semasa awal kandungan boleh
menyebabkan wanita dan bayi menjadi lemah.
● Minum air berlebihan menyebabkan bayi bersaiz besar di dalam kandungan dan seterusnya
menyebabkan susah untuk dilahirkan.

ii. Mitos berkaitan aktiviti harian

● Wanita mengandung dilarang melilit kain tuala di leher atau rambut kerana ianya boleh
menyebabkan tali pusat bayi berbelit dan seterusnya menyebabkan bayi lemas semasa
kelahiran.
● Wanita mengandung yang menjahit pakaian dilarang membuat simpulan mati atau mengikat
benang dengan kuat kerana dipercayai boleh menyebabkan tali pusat berbelit di leher
bayinya.
● Wanita mengandung juga dilarang mengangkat kain di jemuran kerana dipercayai boleh
menyebabkan tali pusat bayi terbelit di leher ketika bersalin.
● Wanita mengandung dilarang makan di dalam pinggan atau mangkuk yang kecil kerana
perbuatan ini boleh menyebabkan jalan peranakannya menjadi sempit dan seterusnya
berisiko tinggi untuk bersalin secara pembedahan.
● Wanita mengandung dilarang mencaci, mengumpat, memahat, memaku, menggali lubang
dan memukul binatang kerana diyakini boleh menyebabkan bayi yang bakal lahir cacat
anggota badannya.
● Wanita mengandung dilarang keluar rumah di waktu petang atau senja kerana dikhuatiri
akan diganggu oleh hantu, jin atau jembalang.
● Perbuatan duduk di atas anak tangga juga dilarang semasa mengandung kerana ia boleh
mendatangkan kesukaran sewaktu bersalin.
● Wanita mengandung yang suka berdandan atau berhias sewaktu mengandung
berkemungkinan besar akan mendapat anak perempuan.
● Semasa makan, wanita mengandung dilarang menggunakan sudu besar kerana boleh
menyebabkan bibir bayi di dalam kandungan menjadi tidak cantik.
● Leher wanita mengandung yang berubah menjadi hitam atau puting susu bertukar warna
menjadi gelap menandakan bayi yang dikandung adalah anak lelaki.
● Bentuk perut wanita semasa mengandung yang membulat menandakan dia akan mendapat
anak perempuan.
● Wanita mengandung dilarang memikul batu dan menanam pokok pisang kerana dikhuatiri
boleh menyebabkan bayi menjadi lumpuh dan saiz kepala bayi menjadi besar.
● Wanita mengandung ditegah menyusun tempurung kelapa kerana ianya boleh
menyebabkan kepala bayi menjadi botak.
● Sewaktu rehat wanita mengandung tidak boleh membiarkan anak yang lain melangkah
perutnya kerana perbuatan ini dikhuatiri boleh menyebabkan bayi di dalam kandungan cacat
dan lahir tidak cukup bulan.
● Wanita mengandung juga tidak dibenarkan tidur di siang hari kerana ianya boleh
menyebabkan kepala bayi di dalam kandungan menjadi besar.
● Wanita mengandung dilarang menggunakan pinggan atau gelas yang sumbing semasa
makan atau minum kerana diyakini boleh menyebabkan mulut bayi menjadi sumbing.
● Wanita mengandung dilarang merendam baju atau pakaian selama semalaman kerana
dipercayai akan menyebabkan proses kelahiran dan kesakitan semasa bersalin mengambil
masa yang lama.
● Selepas menggunakan lesung batu ketika memasak, wanita yang sedang mengandung
mesti segera mencucinya dengan bersih agar kulit bayi tidak berkudis.
● Kerap mandi pada waktu malam boleh menyebabkan wanita mengandung mengalami air
ketuban berlebihan.
● Wanita mengandung dilarang menggali lubang dan menimbus kembali agar proses bersalin
tidak susah.
● Wanita mengandung dilarang dari melihat gerhana bulan atau gerhana matahari kerana
ianya dikhuatiri boleh menyebabkan kulit anak yang dilahirkan menjadi gelap.

iii. Mitos yang dikaitkan dengan perbuatan suami


Terdapat juga beberapa mitos yang dipercayai oleh segelintir masyarakat Malaysia berkaitan
amalan suami ketika isteri sedang mengandung. Sebagai contoh:

● Suami dilarang memukul, memburu, menyembelih dan membunuh binatang seperti ular
serta memancing kerana boleh menyebabkan bayi menjadi cacat.
● Suami dilarang meniup alat bunyi-bunyian kerana dikhuatiri bayi akan sentiasa menangis
bila dilahirkan.

Mitos semasa berpantang


Tempoh berpantang selepas melahirkan dianggap oleh kebanyakan wanita sebagai tempoh masa
yang membosankan. Banyak perkara yang sebelum ini menjadi kebiasaan terpaksa dilupakan dan
pada masa yang sama amalan-amalan yang baru terpaksa diikuti kerana bimbang akan menjadi
bentan dan sebagainya. Pantang larang semasa berpantang kebanyakannya melibatkan soal
pemakanan. Contohnya, wanita dalam pantang dilarang makan makanan yang sejuk dan tidak
boleh minum minuman berais. Mitos semasa berpantang juga melibatkan proses penyusuan susu
ibu kepada anak. Antara mitos yang banyak diperkatakan adalah:

● Wanita yang menyusukan bayinya akan menyebabkan payudaranya menjadi cepat kendur.
● Wanita yang mempunyai saiz payudara yang kecil tidak akan menghasilkan susu yang
banyak.
● Susu awal yang keluar atau dikenali sebagai kolustrum adalah susu kotor dan dipercayai
mengandungi nanah. Maka, susu awal ini tidak diberikan kepada bayi yang baru dilahirkan.
● Bayi yang disusui dengan susu ibu dipercayai akan sentiasa ‘melekat’ dengan ibunya. Ini
boleh mendatangkan masalah apabila hendak meninggalkan bayi bila wanita perlu keluar
bekerja nanti.
Rumusan berkaitan mitos
Selain dari yang disenaraikan di atas masih terdapat beberapa mitos yang masih dipegang oleh
masyarakat kita terutamanya masyarakat yang berbilang bangsa dan budaya. Sebarang mitos yang
menyalahi suruhan agama dinasihatkan agar dijauhi terutamanya mitos yang melibatkan keyakinan
atau kepercayaan terhadap sesuatu amalan yang boleh menimbulkan kesan baik atau buruk.
Kepercayaan seperti ini dikhuatiri boleh mendatangkan ‘syirik’ bagi wanita yang beragama Islam.

Bagi amalan yang tidak mendatangkan kesalahan di sisi agama dan juga kemudaratan kepada
kesihatan, wajar diikuti kerana masih banyak ilmu yang diwarisi belum mampu dibuktikan secara
saintifik. Tetapi, amalan yang telah terbukti salah secara saintifik dan agama perlu diperbetulkan
seperti:

1. Air kosong perlu diminum secara kerap sekurang-kurangnya dua liter sehari kerana ianya
amat penting untuk proses fisiologi badan seperti peredaran darah, mengawal atur suhu
badan dan juga perkumuhan.
2. Wanita yang mengandung atau yang sedang berpantang perlu mendapatkan gizi makanan
yang seimbang terutamanya sayuran dan juga buahan. Jika masih khuatir bahawa
buah-buahan tertentu seperti pisang atau nanas akan memudaratkan anda, anda dinasihati
untuk mengambil buah-buahan lain. Begitu juga pengambilan diet sayur-sayuran, makanlah
sayur-sayuran yang anda yakin. Vitamin dan pelbagai zat makanan penting yang tertentu
hanya terkandung di dalam sayuran atau buahan.
3. Amalan mandi pada waktu malam dikaitkan dengan masalah paru-paru terutama bagi
sesiapa yang mempunyai penyakit asma. Oleh itu, sesiapa sahaja tidak digalakkan
melakukannya tidak kira wanita mengandung ataupun tidak jika bermasalah paru-paru.
4. Sikap mengumpat dilarang sama sekali di sisi agama Islam tidak kira sama ada ketika anda
sedang mengandung atau tidak.
5. Tidur sekejap (15 hingga 30 minit) pada waktu tengah hari terutama sebelum atau selepas
Zohor adalah sunat untuk orang Islam.
6. Makan atau minum menggunakan bekas yang retak, pecah atau sumbing berisiko tinggi
menyebabkan kecederaan tidak kira wanita mengandung atau tidak.
7. Membunuh binatang berbisa adalah dibenarkan oleh Islam terutamanya jika binatang
tersebut boleh mendatangkan masalah seperti ular, kala atau lipan.
8. Mengikut beberapa pendapat ahli fikah, meniup alat-alatan muzik adalah diharamkan dalam
Islam seperti seruling. Begitu juga dengan alatan muzik jenis bertali yang perlu dipetik
seperti gitar dan juga piano. Antara alatan muzik yang dibenarkan adalah kompang,
gendang dan kertuk.
9. Kolostrum atau susu awal ibu adalah susu yang paling penting untuk diberi kepada anak
yang baru lahir. Kajian saintifik telah menunjukkan susu awal mengandungi antibodi yang
tinggi dan juga zat protein yang banyak berbanding dengan susu yang keluar selepas itu.
Oleh itu, wanita dinasihatkan agar memberi bayi mereka minum susu awal tersebut.
10. Amalan menyusukan bayi tanpa mencampurkan apa-apa makanan lain (penyusuan secara
eksklusif) digalakkan sehingga enam bulan pertama kerana kajian saintifik telah
membuktikan bahawa menyusukan bayi dalam tempoh tersebut tidak memerlukan makanan
lain selain dari susu ibu.
11. Menyusukan bayi dengan susu ibu sehingga anak berumur dua tahun terbukti memberi
kesan kesihatan yang maksimum kepada tumbesaran anak dan ianya juga disunatkan oleh
agama Islam sebagaimana yang disarankan di dalam al-Quran.
12. Buah dada yang bersaiz kecil tidak semestinya menyebabkan susu ibu kurang kerana
pengeluaran susu bergantung kepada hisapan bayi. Lagi kerap bayi menghisap lagi banyak
susu akan dikeluarkan. Selain daripada itu, pemakanan wanita juga penting dan membantu
mengeluarkan susu yang berkualiti. Wanita perlulah mengambil air yang mencukupi dan
juga digalakkan memakan bubur seperti bubur kacang dan buah tamar.
BAB 12
LAKTASI DAN
KELANGSINGAN
WANITA
Berat badan semasa hamil
Semasa wanita mengandung, berat badan akan bertambah disebabkan oleh pembesaran janin, uri,
perubahan struktur badan dan juga pertambahan isipadu darah di dalam badan. Payudara akan
membesar semasa kehamilan kerana pertambahan lapisan lemak yang terkumpul untuk menyokong
penyusuan bayi selepas kelahiran nanti.

Pertambahan berat badan yang normal semasa mengandung ialah antara 6-15 kilogram. Berat
badan dalam tempoh ini tidak boleh terlalu berlebihan atau terlalu berkurangan. Pertambahan berat
badan yang ideal adalah bergantung kepada berat badan wanita sebelum mengandung seperti
ditunjukkan di dalam Jadual 12.

Jadual 12: Berat badan ideal sebelum dan semasa mengandung

Berat badan sebelum Pertambahan berat badan yang disyorkan


mengandung semasa mengandung
BMI < 18.5 12 kg-18kg

BMI 18.5 – 24.9 11-15kg

BMI 25-29.9 7-11kg

BMI >30 5-9kg

Penurunan berat badan selepas kelahiran adalah lebih senang sekiranya pertambahan berat badan
tidak berlebihan semasa mengandung. Oleh sebab itu, adalah amat penting bagi wanita untuk
mengawal berat badan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan melakukan senaman berkala
semasa mengandung. Selepas kelahiran bayi, wanita masih lagi kelihatan seperti mengandung
pada peringkat awal kehamilan. Situasi ini adalah normal kerana badan memerlukan masa untuk
kembali kepada keadaan asal. Berat badan wanita akan berkurangan sebanyak lebih kurang lima
kilo sebaik saja kelahiran bayi dan air ketuban serta uri dikeluarkan.

Pada minggu-minggu seterusnya, berat badan wanita akan semakin menurun disebabkan
pengeluaran air yang berlebihan di dalam badan. Pembakaran lemak wanita yang menyusukan bayi
lebih cepat berbanding dengan wanita yang tidak menyusukan bayi.

Kebaikan menyusu pada ibu


Selepas bersalin semua wanita mahukan bentuk badan yang langsing dalam tempoh yang singkat.
Bagi mengembalikan berat badan asal adalah bukan tugas yang mudah, tetapi ia juga bukan
sesuatu yang mustahil. Persoalan yang sering bermain di minda wanita adalah “Bagaimana saya
boleh mendapatkan semula berat badan seperti sebelum mengandung?” Jawapannya adalah
melalui pemakanan yang sihat, senaman berkala dan menyusukan bayi dengan susu ibu secara
eksklusif untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan pertama. Dengan mengamalkan ketiga-tiga
yang disebutkan ini, sudah pasti berat badan dapat dikurangkan dan kembali ke bentuk badan asal
dengan lebih cepat berbanding wanita yang tidak melakukan perkara tersebut.

Bagi wanita yang menyusukan bayi, ia memerlukan jumlah kalori yang lebih tinggi iaitu pertambahan
sebanyak 500 kalori setiap hari untuk menghasilkan susu ibu. Lemak yang terkumpul dalam tubuh
semasa mengandung akan dibakar untuk menghasilkan tenaga bagi penghasilan susu. Ini secara
langsung membakar lemak badan dan mengembalikan kelangsingan badan wanita. Memberi susu
ibu kepada bayi juga merangsang penghasilan hormon oksitosin dan bertindak ke atas rahim bagi
mempercepatkan pengecutannya. Keadaan ini dapat mengurangkan risiko pendarahan yang
banyak selepas bersalin serta mengelakkan kepucatan akibat anemia atau kekurangan sel darah
merah.

Mungkin ada di antara wanita masih tidak menyedari kelebihan susu ibu sebagai satu anugerah
Tuhan. Ikatan kasih sayang yang erat juga akan terjalin antara ibu dan bayi akibat hormon yang
dihasilkan di dalam badan. Sentuhan fizikal dan pertentangan mata ibu dan anak semasa proses
penyusuan menguatkan lagi ikatan ini. Kata orang “dari mata jatuh ke hati”. Penyusuan dengan susu
ibu juga mampu mengurangkan tekanan perasaan si ibu dan ia merupakan satu kaedah yang paling
mujarab untuk menenangkan perasaan ibu setelah penat bekerja seharian.

Penyusuan susu ibu secara eksklusif juga membantu mengurangkan kos perbelanjaan rumah
tangga kerana pemberian susu ibu tidak memerlukan modal berbanding susu formula dan peralatan
penyusuan yang agak mahal.

Kelebihan susu ibu pada bayi


Susu ibu merupakan sumber nutrisi terbaik buat bayi anda. Susu ibu mengandungi komposisi
nutrien seperti karbohidrat, protein, lemak, pelbagai vitamin, mineral, enzim pencernaan, sel-sel
imun dan hormon dalam jumlah yang mencukupi dan bersesuaian mengikut kehendak fisiologi
badan bayi yang sedang membesar. Susu ibu juga mempunyai pelbagai agen bioaktif yang amat
diperlukan bayi anda untuk membaik pulih sistem dan tumbesaran badan dan otak bayi.

Selain daripada itu, susu ibu juga dapat meningkatkan sistem pertahanan bayi dengan
membekalkan antibodi kepada si anak. Antibodi tidak sekali-kali wujud di dalam susu formula. Bayi
yang disusui dengan susu ibu mampu bertahan dari jangkitan penyakit seperti selsema, demam,
alahan, muntah, cirit-birit dan serangan virus seperti influenza. Susu ibu juga menyediakan khasiat
yang seimbang untuk bayi bagi menghasilkan tubuh badan yang lebih padat dan kulit yang sihat.
Selain itu, penyusuan susu ibu tidak menyebabkan bayi berisiko menjadi obesiti seperti kebanyakan
susu formula yang mengandungi kadar protein yang lebih tinggi. Dalam jangka masa panjang, susu
ibu juga membantu menstabilkan metabolisma bayi anda dan dapat mengurangkan risiko atau
melindungi bayi dari penyakit diabetis ketika dewasa kelak. Kehadiran protein jenis adiponektin yang
tinggi di dalam susu ibu berbanding susu formula juga dapat membantu bayi menjadi lebih cergas
kerana protein jenis ini amat baik untuk metabolisma badan bayi.

Pemberian susu formula kepada bayi anda boleh mengundang risiko mengurangkan ikatan hati
antara ibu-anak. Ikatan ini agak sukar dibentuk jika bayi disusui dengan susu formula kerana
kurangnya jalinan ikatan yang dihuraikan tadi. Antara keburukan lain bagi bayi yang diberi susu
formula adalah mereka lebih berisiko mendapat karang gigi kerana menghisap puting susu botol
sehingga tertidur tidak kira pada waktu siang atau malam hari. Lebihan susu ini akan terkumpul di
dalam mulut bayi sepanjang tempoh tersebut menyebabkan bakteria bertindak terhadap gigi dan
gusi lalu membentuk karang gigi. Seterusnya, gigi bayi akan mereput, rosak, berlubang dan
akhirnya tercabut. Kerosakan pada gigi ini akan menyukarkan anak untuk bertutur dengan baik.

Risiko untuk bayi mendapat ekzema juga meningkat. Bayi yang diberi minum susu formula
mempunyai kulit yang lebih sensitif kerana bahan yang ada dalam susu formula boleh meningkatkan
risiko alahan jika diperkenalkan awal. Bayi juga agak mudah mendapat jangkitan salur pernafasan,
telinga, paru-paru, salur kencing dan juga cirit-birit kerana kurangnya antibodi dan agen bioaktif
seperti yang terdapat dalam susu ibu.
Bayi juga berisiko untuk mendapat obesiti semasa bayi dan kanak-kanak kerana susu formula boleh
mempercepatkan tumbesaran bayi dengan terbentuknya tisu lemak yang berlebihan. Ini boleh
menyebabkan kanak-kanak tersebut berisiko untuk mendapat penyakit jantung dan diabetis apabila
dewasa kelak.

Satu tin susu formula seberat satu kilo biasanya bermula dengan serendah-rendah RM25 sehingga
melebihi RM50. Jika bayi menghabiskan satu kilo susu formula dalam dua minggu, bayangkan
berapa ringgit perlu dibelanjakan hanya untuk menyediakan susu sahaja tanpa mengira
perbelanjaan yang lain.

Salah anggap mengenai penyusuan susu ibu


Antara salah anggap yang biasa terdapat dalam masyarakat kita apabila ibu memberikan susu ibu
kepada bayi adalah:

1. Merosakkan bentuk dan tisu payudara.

Sesetengah wanita berpendapat bahawa menyusukan bayi dengan susu ibu akan
menyebabkan bentuk dan tisu payudara menjadi lebih besar, lembek, mengendur dan tidak
lagi tegang terutama selepas wanita tidak lagi menyusukan bayi mereka. Pendapat ini
tidaklah benar kerana sewaktu menyusu, wanita perlu memakai coli yang sesuai dan mampu
menampung perubahan payudara. Jangan sesekali membiarkan payudara tidak ditampung
dalam jangka masa yang panjang untuk mengelakkan masalah itu terjadi.
2. Bengkak payudara petanda wanita sudah tidak sesuai untuk menyusu ibu dan ia boleh
berubah menjadi kanser payudara.

Ada segelintir wanita yang mengalami masalah bengkak payudara pada beberapa hari
pertama berpantang. Selepas dua hingga lima hari melahirkan anak, pengeluaran kolostrum
pada hari pertama kelahiran bayi akan bertukar menjadi susu matang. Pengeluaran susu
yang banyak akan menyebabkan masalah ini terjadi kerana wanita yang tidak menyusukan
anak mereka dengan cara yang betul atau tidak memberi penyusuan mengikut kehendak
bayi atau kekerapan yang betul akan menyebabkan susu terkumpul dalam payudara dan
membengkak. Pembengkakan ini akan berterusan sekiranya wanita membiarkan
payudaranya tidak dihisap oleh bayi atau diperah dalam jangka masa yang panjang.
Pembengkakan ini menyebabkan kesulitan pada bayi untuk menghisap susu seterusnya.
Wanita pula akan merasa teramat sakit dan mungkin akan demam jika tidak dirawat segera.
Jika pembengkakan payudara ini dibiarkan, mungkin masalah ini akan melarat menjadi
keradangan (mastitis) dan sekiranya tidak dirawat akan menjadi nanah. Namun, masalah ini
bukannya penamat kepada usaha anda untuk menyusukan bayi. Antara perkara yang perlu
wanita lakukan apabila mengalami masalah bengkak payudara adalah dengan memberikan
susu ibu kepada bayi sekerap mungkin mengikut kehendak bayi. Bayi akan menunjukkan
tanda-tanda lapar seperti menangis atau mencari-cari puting dengan mulutnya (rooting
reflex), maka si ibu perlu memastikan bayinya dipangku dengan posisi yang betul dan mulut
bayi melekap di kawasan areola dengan baik sebelum memulakan penyusuan seperti
Gambar 48.
Gambar 48: Kedudukan mulut bayi semasa menyusu
(Diedit dari sumber http://breastfeedinglongrun.blogspot.my/)

Jika pelekapan mulut bayi di kawasan areola tidak berlaku dengan baik, picitkan dahulu
pada areolapayudara sehingga payudara yang tegang tadi menjadi sedikit lembut dan mulut
bayi dapat melekat dengan baik kepada areola.

Sekiranya beberapa penyusuan dan perahan tangan atau elektrik yang dilakukan tidak dapat
menyelesaikan masalah ini, wanita disarankan untuk merawat sendiri kesakitan akibat
pembengkakan pada payudara di rumah dengan mengambil ubat penahan sakit seperti
paracetamol atau ibuprofen secara berkala. Wanita boleh lakukan urutan tangan atau
menggunakan sikat rambut. Urut atau sikat payudara dari atas ke bawah (atau ke arah
puting susu) beberapa kali sehingga payudara menjadi lembut dan susu mengalir keluar.
Susu perahan ini boleh disimpan untuk kegunaan bayi pada masa akan datang.

Selain daripada itu, si ibu boleh melakukan demahan sejuk dengan meletakkan bekas
penyejuk (cool pack) atau kelopak-kelopak kobis di atas payudara. Keadaan ini dapat
membantu mengurangkan bahang panas akibat berlakunya keradangan pada payudara dan
melegakan kesakitan. Biasanya masalah ini akan berakhir dalam masa 24 hingga 48 jam
sekiranya langkah-langkah tadi dilakukan dengan baik. Wanita diminta bersabar dan
berusaha agar masalah ini tidak menjadi penghalang untuk wanita meneruskan hasrat murni
menyusui bayi.

Sekiranya segala usaha di atas tidak berhasil, sila dapatkan khidmat nasihat dan rawatan
dari pengamal perubatan atau doktor untuk menghindari berlakunya keradangan dan
jangkitan kuman pada payudara. Namun begitu, wanita diingatkan bahawa keadaan ini tidak
akan menyebabkan anda mendapat kanser payudara. Malah mereka yang tidak menyusui
bayi sebenarnya berisiko tinggi untuk mendapat kanser payudara.
3. Puting dan payudara kecil yang menyebabkan wanita tak boleh menyusu atau kekurangan
susu

Kata-kata sebegini juga sering kedengaran dalam kalangan masyarakat kita. Pengeluaran
susu bukan bergantung kepada besar atau kecilnya saiz payudara wanita. Penghasilan susu
sebenarnya bergantung kepada kekerapan hisapan yang dilakukan oleh bayi. Hisapan ini
merangsang hormon prolaktin untuk menghasilkan lebih banyak susu. Ini bermakna kecil
atau besarnya saiz payudara wanita tidak menghalang wanita menyusui bayi mereka. Selain
daripada itu, bentuk dan keadaan puting yang kecil dan tenggelam juga tidak sepatutnya
menimbulkan masalah kepada para wanita untuk menyusukan bayi mereka kerana
penyusuan berlaku dengan pelekapan mulut bayi di areola bukannya pada puting. Sekiranya
wanita mengalami masalah luka pada puting, ini bermakna anda menyusui dengan cara
yang salah.
BAB 13
PERANAN
SUAMI KETIKA
HAMIL,
BERPANTANG
DAN
PENYUSUAN
Peranan suami ketika isteri mengandung
Berita tentang kehamilan isteri pastinya mengembirakan suami terutama bagi yang pertama kali
menjadi bapa. Ketika isteri mengandung, suami hendaklah benar-benar memahami keadaan isteri
kerana perasaan isteri sangat sensitif pada masa ini. Keadaan ini disebabkan oleh hormon yang
tinggi di dalam badan isteri. Isteri yang sedang hamil amat memerlukan perhatian, sokongan dan
belaian daripada orang yang disayangi.

Semasa isteri hamil, suami patut memastikan isteri mendapat pemakanan yang terbaik supaya anak
dalam kandungan sihat dan seterusnya dapat menghasilkan susu dan memberikan penyusuan
secara eksklusif. Suami juga harus berfikiran terbuka untuk bercakap tentang perubahan badan dan
emosi isteri semasa mengandung. Wanita mengandung mungkin akan berasa tidak selesa dengan
perubahan rupa paras dan bentuk badan semasa mengandung. Sifat keterbukaan ini akan
mengeratkan lagi hubungan dengan isteri. Isteri juga akan merasa diri dihargai dan disayangi.

Suami adalah ketua keluarga dan setiap pandangan suami amat dihormati isteri. Oleh itu, suami
haruslah memberi semangat dan keyakinan kepada isterinya tentang perkara-perkara yang perlu
dilakukan semasa kehamilan seperti bersama-sama menghadiri temu janji klinik antenatal,
mengikuti kelas antenatal yang disediakan dan mengambil bahagian di dalam aktiviti senaman
bersama isteri sebagai sokongan moral kepada isteri kerana dengan meningkatnya pengetahuan
suami dan isteri mengenai kehamilan, kelahiran dan amalan berpantang, maka akan berkuranglah
risiko untuk mendapat masalah kesihatan semasa hamil dan berpantang.

Suami yang mengambil bahagian bersama isteri dengan melakukan senaman ketika hamil juga
mampu mengembirakan hati isteri dan sekali gus meningkatkan stamina bakal ibu ini. Proses ini
juga membantu wanita mendapat tenaga yang lebih kuat semasa meneran pada saat mereka
bersalin. Wanita juga pasti akan berasa gembira apabila mengetahui bahawa dengan melakukan
senaman ketika hamil dapat pulih dengan cepat dan mendapat semula bentuk tubuh badannya yang
asal sama seperti sebelum mengandung atau mungkin mendapat saiz badan yang lebih ideal.

Peranan suami di saat menunggu kelahiran bayi


Proses kelahiran amat menyakitkan oleh itu, sokongan moral suami amat penting dan mampu
menolong mengurangkan kesakitan yang dialami isterinya. Suami amat perlu mengetahui
bagaimana caranya dia boleh membantu isteri di saat isteri mula merasai kesakitan untuk
melahirkan. Suami juga boleh membantu dengan cara melakukan belaian dan urutan pada
bahagian belakang isteri dan sebagainya di saat pasangan ini menunggu kelahiran bayi mereka.
Oleh itu, suami amat digalakkan menyertai kelas antenatal untuk mengetahui proses-proses
kelahiran dan cara-cara membantu isteri semasa kelahiran. Kebanyakan hospital juga
mengamalkan konsep ’Hospital Rakan Suami’ untuk memurnikan tujuan tersebut.
Peranan suami semasa pantang
Setelah kelahiran, sokongan suami masih amat diperlukan. Pada masa ini, suami berperanan untuk
menggalakkan isteri menyusui bayi mereka sepenuhnya (secara eksklusif) dari lahir sehingga
sekurang-kurangnya berusia enam bulan atau adalah lebih baik jika dapat meneruskannya sehingga
dua tahun. Suami disarankan membantu dalam penyediaan pemakanan yang seimbang dan
berkhasiat untuk isteri yang menyusukan bayi. Melalui pemakanan yang seimbang dapat
menghasilkan susu yang berkualiti. Jalinan kemesraan, kasih sayang dan adanya perasan kasihan
belas dari suami akan mengeratkan lagi hubungan suami isteri di samping kehadiran cahaya mata
yang tercinta.
BAB 14
DOA SERTA
AMALAN
KETIKA
MENGANDUNG
DAN SELEPAS
KELAHIRAN
Amalan ketika mengandung
Mengandung merupakan saat yang paling indah untuk pasangan yang telah mendirikan rumah
tangga. Sebagai salah satu tanda kesyukuran kepada Tuhan yang telah mengurniakan zuriat yang
dinantikan, wanita hamil dan suami disarankan untuk banyak mengingati Tuhan agar mendapat
rahmat dari-Nya. Dalam masa 40 minggu mengandung diikuti pula dengan lapan hingga 12 minggu
berpantang, wanita hamil adakalanya berada di dalam keadaan yang agak lemah, keletihan dan
kesakitan. Maka, untuk menguatkan kembali fizikal dan mental serta memulihkan semangat untuk
mengharungi tempoh kehamilan ini, kesihatan spiritual juga amatlah perlu dititik beratkan. Pada
waktu ini, pasangan juga disarankan untuk banyak bertaubat, berzikir dan berdoa kepada Allah.
Berdoa agar diri dan kandungan sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera dari sebarang penyakit dan
kecacatan, selamat ketika hamil, dipermudahkan proses kelahiran dan juga mendapat zuriat yang
sempurna sifat lahiriahnya, batiniahnya (soleh) serta menjadi anak yang pintar cerdas. Begitulah
juga dengan kesihatan yang baik buat ibu dan anak ketika berpantang dan selepasnya.

Antara doa yang disarankan untuk wanita dan pasangan amalkan di sepanjang mengandung adalah
seperti di bawah:

Doa 1: Doa nabi Zakaria memohon untuk mendapatkan zuriat yang soleh

Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik.
Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa.

Petikan dari surah Ali Imran ayat 38

Doa 2: Doa memohon beroleh pasangan dan zuriat yang menyukakan hati

Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan zuriat keturunan kami
penyejuk mata hati kami (menyukakan hati kami apabila melihatnya) dan jadikan kami
pemimpin kepada orang-orang yang bertakwa.
Petikan dari Surah al-Furqan ayat 74

Doa 3: Doa memohon menjadikan diri dan zuriat orang yang mendirikan solat

Wahai Tuhanku, jadikanlah aku dari kalangan orang-orang yang mendirikan solat dan
begitu jualah zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenanlah doa kami.

Petikan dari doa Nabi Ibrahim dalam surah Ibrahim ayat 40

Doa 4: Doa memohon menjadikan diri dan zuriat, hamba yang taat

Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami orang-orang Islam yang benar-benar menyerah diri
kepada-Mu dan dari zuriat kami, umat Islam yang tunduk patuh pada-Mu dan
tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara beribadat dan terimalah taubat kami.
Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasihani.

Petikan dari surah al-Baqarah ayat 128

Doa 5: Doa untuk mendapatkan zuriat yang soleh


Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku anak-anak yang termasuk dalam kalangan
orang-orang yang soleh.

Petikan dari surah al-Saffat ayat 100

Doa ini juga merupakan doa munajat Nabi Ibrahim yang akhirnya telah dikabulkan Tuhan dengan
memberi anak-anak yang soleh, iaitu nabi Ismail dan nabi Ishak pada usia Baginda yang telah
lanjut.

Doa 6: Doa memohon keselamatan bayi ketika mengandung dan bersalin

“Ya Allah, peliharalah anakku selama di dalam kandungan dan rahmatilah dia. Ya Allah,
lahirkan dia dengan kelahiran yang mudah dan selamat;

Ya Allah jadikanlah dia sihat sempurna, mempunyai akal yang sempurna, berilmu dan
bijaksana, mukmin yang soleh. Ya Allah, elokkanlah perangainya dan fasihkanlah
lidahnya dan perelokkanlah suaranya untuk membaca hadis dan al-Quran dengan
berkat Nabi Muhammad SAW. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.”

Selain daripada membaca doa-doa ini pada setiap kali selepas menunaikan solat fardu, wanita
mengandung dan suami juga digalakkan membaca al-Quran sebanyak yang mungkin. Sekiranya
mampu, wanita dan pasangannya juga disarankan berusaha membaca dan khatam al-Quran di
sepanjang tempoh mengandung. Sekiranya tidak mampu, bacalah surah-surah seperti berikut untuk
mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah:

1. Surah Fatihah - surah yang istimewa yang hanya diturunkan kepada baginda Rasulullah
SAW sahaja dan merupakan penawar segala penyakit.
2. Surah Luqman - surah yang menceritakan Luqman mengajar kebijaksanaan kepada
anaknya.
3. Surah Yusuf - surah yang menceritakan kecantikan rupa dan keperibadian Nabi Yusuf yang
penuh dengan ketaatan kepada Tuhan.
4. Surah Maryam - surah yang menceritakan ketabahan dan ketaatan seorang mukminah.
5. Surah Yasin - surah pelbagai guna dan ia banyak digunakan untuk memohon segala jenis
hajat.
6. Surah-surah lain termasuklah surah Taha, surah al-Tawbah, ayat 78 dari surah al-Nahl dan
ayat 189 dari surah al-A’raf.

Wanita mengandung juga disarankan sentiasa memperdengarkan alunan ayat-ayat suci al-Quran
kepada bayi di dalam kandungan mereka. Sebaik-baiknya dengan membacanya sendiri, atau dari
media elektronik untuk mengajar bayi mengenal Tuhan dan memberi rangsangan pada bayi di
dalam kandungan seawal yang boleh. Ini adalah kerana perkembangan janin seperti telinga, sistem
saraf bayi dan anggota-anggota lain mula terbentuk pada minggu-minggu awal kandungan dan
sempurna ketika berusia tiga bulan dalam kandungan. Wanita akan dapat melihat bayi bertindak
balas kepada bunyi selepas empat bulan dan ke atas. Tindak balas ini merupakan tindak balas
normal, namun dengan stimulasi awal, banyak kajian menunjukkan ia memberi tindak balas positif
antara bayi dan ibunya.

Selain daripada itu, wanita dan pasangan juga digalakkan untuk memperbanyakkan amalan sunat
selain dari yang fardu. Amalan-amalannya termasuklah solat sunat, puasa sunat Isnin dan Khamis,
zikir seperti al-Ma’thurat, menutup aurat dan menjaga akhlak. Ini adalah kerana ibu bapa telah
diamanahkan untuk mencorakkan kehidupan anak seawal usia mereka di dalam kandungan lagi.

Selusuh
Air atau minyak selusuh sering diguna pakai dalam masyarakat Melayu ketika saat kelahiran
sebagai salah satu bentuk ikhtiar untuk memudahkan proses kelahiran bayi. Ia dipercayai dapat
mengurangkan kesakitan dan melancarkan perjalanan bayi keluar dari rahim melalui saluran vagina.
Amalan ini bagaimanapun, tidak terdapat dalam al-Quran mahupun hadis Rasulullah SAW. Namun
begitu, ia dibolehkan kerana tidak bertentangan dengan syariat agama dan tidak termasuk di dalam
skop ibadat.
Kaedah membuat air selusuh

1. Sediakan air kosong atau minyak (minyak kelapa atau minyak masak)
2. Lakukan solat hajat dengan meletakkan air atau minyak di sisi kanan bahagian hadapan
3. Setelah selesai solat hajat, bacakan pada air atau minyak tadi ayat-ayat di bawah ini:
● Surah al-Fatihah
● Surah al-Hashr ayat 21 hingga 24

Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu
khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini
Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya.

Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat
gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. Dan (ingatlah),
misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka
memikirkannya.

Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang
ghaib dan yang nyata; Dialah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam);
Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha
Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa;
Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala
Kebesaran-Nya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan dengan-Nya.

Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada
kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya menurut yang
dikehendaki-Nya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya;
bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dialah yang tiada
bandinganNya, lagi Maha Bijaksana.

● Bacakan juga selawat ke atas Nabi


● Akhirnya ditutup dengan doa selusuh

“Ya Allah, dengan hak Maryam, juga hak hamba yang diturunkan kepadanya surah
Maryam, ringankanlah daripadanya (sebut nama wanita hamil dan nama ibunya)
penderitaan bersalin, dengan rahmat-Mu, wahai Tuhan yang amat mengasihani dari
segala-galanya”.

● Diikuti dengan doa pemudah

Tuhanku, permudahkanlah dan janganlah Engkau sukarkan kerana Engkaulah yang


Maha Memudahkan, segala yang susah adalah mudah bagiMu, Ya Allah,
sempurnakanlah dengan kebaikan-Mu.

Cara menggunakan air atau minyak selusuh


Air penawar selusuh ini hendaklah diminum oleh wanita mengandung setiap hari bermula apabila
kandungannya telah matang iaitu setelah genap 37 minggu kandungan atau genap kandungan
sembilan bulan sehingga kepada saat wanita merasai sakit untuk melahirkan anak. Air tersebut
diminum sambil berdoa agar Allah SWT mempermudahkan urusan kelahiran bayinya. Manakala
minyak pula digunakan untuk sapuan pada saluran vagina ketika proses kelahiran bayi.

Amalan dan bacaan doa selepas kelahiran bayi


Antara amalan yang dituntut apabila menerima kelahiran bayi adalah :

i. Memperdengarkan azan dan iqamat


Sejurus selesai kelahiran, kalimah utama yang perlu diperdengarkan ke telinga bayi adalah kalimah
azan dan iqamat. Maka bapa atau penyambut bayi disunatkan mengazankan ke telinga kanan bayi
dan diikuti dengan bacaan iqamat pada telinga kirinya. Amalan ini menzahirkan pendidikan awal
Islam kepada bayi berdasarkan perbuatan Rasulullah yang mengazankan dan mengiqamatkan
cucu-cucu baginda agar anak-anak ini dapat mengenali dan mengesakan Allah seawal kelahirannya
di dunia dan seterusnya terpelihara dari godaan syaitan dan sekutunya seperti yang dinyatakan di
dalam hadis seperti di bawah.

“Barangsiapa diberikan anak kepadanya (anak yang baru lahir), kemudian dia
mengazankan pada telinga kanannya dan mengiqamat pada telinga kirinya, maka anak
itu tidak dimudaratkan oleh Ummu ‘sh-Shibyan”.

Hadis ini direkodkan oleh Imam Al-Baihaqi dan ibnu sunni daripada Hassan bin Ali.

Nota: Ummu ‘sh-Shibyan adalah sejenis jin yang suka mengganggu bayi.

ii. Mendoakan bayi dan ucapan tahniah


Antara doa yang dianjurkan kita membaca ketika menerima kelahiran bayi baru adalah seperti yang
diungkapkan oleh ibu Maryam ketika kelahirannya :
“Dan sesungguhnya aku melindungi dia dengan pemeliharaan-Mu dan sedemikian juga
untuk zuriat keturunannya daripada godaan syaitan yang direjam”.

Petikan doa munajat ibu Mariam ini telah diceritakan dalam surah Ali Imran ayat 36.

Dalam satu hadis nabi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah menyatakan bahawa, “setiap anak yang
dilahirkan akan diganggu syaitan melainkan Maryam kerana doa yang dibacakan ibunya itu”. Maka
marilah kita mengamalkannya agar anak dan zuriat keturunan kita juga mendapat perlindungan
Allah dari gangguan syaitan yang terkutuk ini.

Bagi saudara mara dan sahabat handai, mereka dianjurkan mengucapkan doa seperti berikut
sebagai tanda kegembiraan dan ucapan tahniah atas kelahiran bayi.

“Semoga kamu diberkati dengan kehadiran anakmu, semoga engkau mensyukuri pada
yang Maha Pemberi, semoga engkau dikurniakan kebaikannya, dan sampaikanlah dia
ke usia dewasa”

Maka ibu bapa bayi pula disunatkan menyambutnya dengan ucapan:

“Mudah-mudahan engkau juga diberkati Allah serta dilimpahi keberkatan ke atas


engkau”.

Amalan berkongsi kegembiraan dan mengucapkan tahniah ini seharusnya diamalkan tanpa
membezakan antara bayi lelaki ataupun perempuan agar hubungan kemesraan dan kasih sayang
terjalin dalam keluarga dan sahabat handai.
iii. Bertahnik atau membelah mulut
Amalan bertahnik adalah amalan yang dilakukan oleh orang-orang yang soleh pada hari ketujuh
kelahiran bayi. Ia bertujuan untuk melahirkan bayi yang manis dan baik dari segi tutur kata dan
akhlaknya sepertimana yang ditonjolkan oleh keperibadian orang-orang yang soleh itu. Ia juga
bertujuan untuk menguatkan otot-otot mulut bayi untuk membolehkan dia menghisap susu ibunya
secara efektif.

Amalan ini dilakukan dengan melumurkan isi kurma dengan jari telunjuk orang yang soleh ke lelangit
dan diratakan pada mulut bayi setelah isinya dikunyah lumat terlebih dahulu. Selain kurma, manisan
lain juga boleh digunakan sebagai gantinya. Amalan ini mempunyai sandaran dari hadis Rasulullah
SAW yang diriwayatkan oleh Abu Burdah, dari Abu Musa ra. yang bermaksud:

“Telah dikurniakan kepadaku seorang anak, aku membawanya menemui baginda Rasulullah SAW,
Baginda menamakannya Ibrahim, lalu baginda mentahnikkannya dengan tamar dan mendoakan
keberkatan untuknya, kemudian Baginda menyerahkan kembali anak itu kepadaku”

iv. Memberi nama yang baik


Amalan memberi nama yang baik kepada bayi adalah sunat dilakukan pada hari ketujuh
kelahirannya. Amalan ini amat perlu kerana nama dan panggilan yang baik juga merupakan doa
untuk bayi tersebut. Antara nama-nama yang baik disarankan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis
yang bermaksud:

“Sesungguhnya nama-nama kamu sekalian yang paling disukai oleh Allah Yang Maha Perkasa Lagi
Maha Agung adalah Abdullah dan Abdul Rahman”. (Riwayat Muslim)

Ibu bapa diingatkan untuk menjauhi diri daripada menamakan anak dengan nama yang boleh
menjatuhkan kehormatannya dan dapat menjadi bahan atau cemuhan orang lain seperti nama Hazn
(susah), Jamrah (bara api), Utullah (yang kasar) dan sebagainya. Kita juga diperintahkan untuk
menjauhi nama-nama yang khusus bagi Allah SWT, seperti tidak boleh menamakan dengan
Al-Ahad, As-Somad, Al-Khalid dan lain-lainnya.

v. Bercukur dan bersedekah


Sunat bercukur keseluruhan rambut bayi sama ada ianya lelaki atau perempuan pada hari ketujuh
setelah disembelih binatang akikah. Rambut yang dicukur ditimbang dengan emas atau perak,
kemudian disedekahkannya kepada fakir dan miskin. Amalan ini berdasarkan hadis yang
diriwayatkan oleh Ja’far seperti yang telah ditulis di dalam kitab Al-Muwathatha’ Imam Malik.
“Fatimah ra. telah menimbang rambut kepala Hasan, Husain, Zainab dan Ummu Kalsum, kemudian
dengan berat timbangan rambut itu dia menyedekahkan perak.”

Amalan ini juga dapat menimbulkan rasa kasih sayang antara masyarakat dengan amalan
bersedekah. Walau bagaimanapun, ibu bapa diingatkan agar tidak mencukur hanya separuh dari
rambutnya kerana amalan ini tidak adil di sisi kanak-kanak itu. Antara kelebihan amalan ini adalah ia
memberi kebaikan kepada bayi dengan menguatkan akar rambut dan menyihatkan kulit kepala bayi
dari penyakit kulit seperti dermatitis seborea (Gambar 49). Dermatitis seborea biasanya terjadi pada
bayi yang berumur dua minggu hingga enam bulan. Biasanya, keadaan ini boleh hilang dengan
sendiri dalam masa beberapa minggu atau bulan. Namun, dalam keadaan tertentu ubat antifungal
dan juga ubat steroid perlu disapu pada bahagian kepala yang terlibat. Sila dapatkan nasihat doktor
untuk rawatan sepenuhnya.

Gambar 49: Dermatitis seborea di kulit kepala bayi

(Sumber dari infokulitkelamin.blogspot)

vi. Akikah

Hukum melakukan akikah adalah sunat muakkad. Tuntutan ini bermula sebaik sahaja kanak-kanak
itu telah sempurna kelahirannya. Amalan akikah adalah afdal dilakukan pada hari ketujuh kelahiran
bayi. Ibubapa disunatkan untuk menyembelih binatang ternakan seperti dua ekor kambing bagi bayi
lelaki dan seekor bagi bayi perempuan. Mereka juga boleh menyembelih lembu, kerbau atau unta
dengan kadar dua dari tujuh bahagian untuk anak lelaki atau satu dari tujuh bahagian bagi anak
perempuan. Hasil penyembelihan ini disunatkan untuk dimasak terlebih dahulu dan diberi makan
kepada ahli keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan masyarakat sekeliling yang fakir dan
miskin.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “setiap anak itu digadaikan dengan akikahnya yang
disembelihkan (binatang) pada hari ketujuh dari kelahirannya, diberi nama pada hari itu dan dicukur
kepalanya”. (Sunan).

Amalan ini sebenarnya dilakukan sebagai tanda kesyukuran di atas kurniaan Allah yang tidak
terhingga. Amalan ini juga mengajar umat manusia agar sudi berkorban, berkongsi kegembiraan
dan mengeratkan silaturrahim dengan masyarakat sekeliling tanpa melupakan orang-orang yang
miskin yang amat memerlukan kasih sayang dari saudara seIslamnya. Secara psikologinya, amalan
ini dapat mewujudkan perasan kasih dan sayang antara ibubapa dan keluarga dengan bayi yang
baru dilahirkan.

vii. Berkhitan atau bersunat

Amalan berkhitan ini adalah wajib bagi kanak-kanak lelaki. Manakala bagi kanak-kanak perempuan
adalah digalakkan selagi tidak mendatangkan mudarat kepadanya. Ia berdasarkan dari beberapa
hadis nabi SAW yang antaranya bermaksud:

“Kebersihan itu lima perkara: berkhitan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku
dan mencabut bulu ketiak”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaupun berkhitan disebutkan bersama amalan-amalan sunat, tetapi kebanyakan ulama


berpendapat ianya wajib kerana ia adalah salah satu dari syiar agama Islam. Dengan berkhitan, kita
dapat membezakan antara yang Muslim dan bukan Muslim.

Amalan ini juga bertujuan untuk membersihkan anak lelaki dari kekotoran fizikal yang sering melekat
pada kulupnya (selaput di hujung zakar) dan menyenangkan proses pembersihan selepas
beristinjak atau kencing seperti Gambar 50. Berkhitan juga dipercayai dapat memberi rasa nikmat
yang lebih kuat ketika melakukan hubungan kelamin apabila berkahwin nanti. Mengikut kajian
saintifik pula, berkhitan dapat membendung penyakit kelamin.
Gambar 50: Kulup pada zakar bayi lelaki

(Sumber dari A.D.A.M.)

Bagi anak perempuan, amalan ini digalakkan dan ada pula ulama yang mengatakannya sebagai
sunat. Ia dilakukan dengan melukakan sedikit (sekadar mengalirkan setitik darah) dari hujung
bahagian kelentit bayi (Gambar 51). Perbuatan memotong kelentit atau menjahit kelopak labia
minora atau labia majora atau vagina juga berlaku di sesetengah negara di benua Afrika. Namun,
amalan ini juga dikenali female genital mutilation bertentangan dengan ajaran Islam kerana bersifat
keterlaluan, memudaratkan dan menyebabkan hilangnya deria rasa semasa berjimak.

Gambar 51: Kemaluan bayi perempuan

(Sumber dari drfoyez.blogspot)

Anda mungkin juga menyukai