Anda di halaman 1dari 27

Jelaskan perubahan peranan raja atau sultan sebelum dan semasa zaman penjajahan

British di Tanah Melayu.

Pendahuluan. (3/2m)

Raja atau sultan memainkan peranan penting dalam sistem pemerintahan di Tanah
Melayu. Sebelum kedatangan penjajah, sultan memainkan peranan penting dalam bidang
politik, ekonomi dan sosial. Namun penguasaan penjajah British ke atas Tanah Melayu
menyebabkan kuasa sultan mulai terhakis. Sebaliknya British mula memainkan peranan
dalam politik, ekonomi dan sosial. Walaupun kuasa sultan kian terhakis pada zaman
penjajahan British namun sultan tetap menjadi unsur penting dalam sistem pemerintahan
di Tanah Melayu.

Isi – (20m)

A. Peranan sultan sebelum penjajahan British (10m)

i. Politik

a. Sultan sebagai ketua kerajaan

Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan
pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa
mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat tidak boleh membantah
perintah sultan kerana dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah sultan menjadi
undang-undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan
hukum manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang,
menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah

b. Peranan sultan melantik pembesar

Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan pembesar
negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang jawatan Bendahara dan
pembesar-pembesar yang lain. Baginda juga berhak melantik penggantinya sendiri iaitu
dalam kalangan putera-putera baginda.

c. Sultan menentukan hubungan diplomatik

Sebagai ketua negara, sultan bertanggungjawab mengetuai rundingan dengan ketua-ketua


negara asing. Sebarang tindakan hal ehwal luar tidak sah jika dilakukan oleh pembesar
tanpa kehadiran sultan. Semua perjanjian atau persetiaan dengan pihak luar tidak sah
tanpa pengesahan sultan. Persetiaan dengan pihak luar perlu ditandatangani oleh 12 orang
atau lebih pembesar serta ditandatangani oleh sultan
d. Sultan berperanan sebagai ketua tentera.

Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku peperangan,
sultan akan mengetuai angkatan tentera mempertahankan negara daripada serangan
musuh atau menakluk negara lain.

ii. Ekonomi

a) Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi. Sultan mengambil bahagian


dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang lumayan. Baginda berkuasa dalam
soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Sultan berperanan
menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil
pungutan cukai negerinya. Contohnya Sultan Abdul Samad menerima hasil cukai (bijih
timah) dari Kelang daripada Raja Mahdi. Sultan Pahang memperoleh cukai import yang
dikenakan di Muara Sungai Pahang berjumlah $50,000 setahun. Dari segi pertanian
sultan berhak mengerahkan rakyat bertani. Baginda mewakilkan urusan itu kepada para
pembesar negeri.

b) Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem kerah. Melalui sistem ini rakyat
dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk sultan tanpa dibayar upah dalam tempoh
masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi
tentera,membina jalan, membina jambatan, membina benteng pertahanan, membersih
sungai dan sebagainya. Golongan bangsawan dikecualikan daripada sistem ini. Orang
biasa yang berstatus tinggi juga dikecualikan dari sistem ini. Contoh di Kedah mereka
yang dikecualikan dari sistem ini ialah golongan syed (keturunan nabi), golongan baik-
baik seperti haji, lebai, penghulu, kakitangan masjid dan orang suruhan istana. Sistem ini
menunjukkan perbezaan status sosial dalam kalangan rakyat.

iii. Sosial

a) Sultan merupakan lambang perpaduan, dan simbol penyatuan negara dan rakyat.
Seseorang sultan sangat memerlukan sokongan dan kesetiaan rakyatnya bagi
membolehkannya memerintah dengan berkesan. Kewibawaan seseorang sultan
bergantung kepada kemakmuran hidup rakyatnya. Bagi mewujudkan kesetiaan rakyat
terhadap sultan maka seseorang sultan itu dilambangkan dengan kuasa sakti dan
mempunyai darah putih. Hak ini bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan
supaya rakyat taat setia kepada baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula
dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.

b) Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sultan
dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada masyarakat
Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di
dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya. Lantaran itulah istana memainkan peranan
penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu
B. Perubahan peranan sultan akibat penjajahan (10m)

a) Selepas campur tangan British, British telah memperkenalkan sistem Residen. Di


bawah sistem Residen, Residen merupakan kuasa yang tertinggi dalam pemerintahan di
negeri-negeri Melayu. British memperkenalkan pentadbiran berbentuk birokrasi, iaitu
ditadbir oleh sekumpulan pegawai. Sultan telah kehilangan kuasa mentadbir yang
dinikmati sebelum ini.

b) Sultan kehilangan kuasa mutlak. British memperkenalkan sistem perundangan


baru. Baginda tidak lagi berkuasa menjatuhkan hukuman. British memperkenalkan sistem
perundangan yang lebih teratur dengan melantik hakim-hakim untuk melaksanakan
sistem kehakiman.

c) Majlis Sultan diganti dengan Majlis Negeri. Walaupun sultan menjadi Residen
Majlis Negeri tetapi semua keputusan Majlis Negeri dibuat oleh residen. Sultan
kehilangan kuasa sebagai ketua pentadbir. Walaupun sultan masih menjadi ketua negara,
namun kuasa mentadbir berada di tangan residen.

d) Sultan kehilangan kekuasaan terhadap ekonomi kepada Residen British. Urusan


percukaian, import-eksport tidak lagi berada di bawah kekuasaan sultan tetapi di tangan
British.British secara beransur-ansur memperkembangkan ekonomi kapitalis dan secara
beransur-ansur ekonomi tradisional terhakis.

e) Pada zaman penjajahan British sultan juga tidak dibenarkan mempunyai tentera
sendiri. Pentadbir British telah membentuk pasukan polis dan askarnya sendiri. Hal ini
bermakna bidang keselamatan terlepas daripada kekuasaan sultan. Sultan hanya
memainkan peranan dalam upacara kerajaan negeri sahaja.

f) Pengenalan Persekutuan pada tahun 1896 menyebabkan sultan kehilangan kuasa.


Kuasa berpusat di tangan Residen Jeneral. Raja-raja Melayu hanya berkuasa dalam soal
agama dan adat istiadat orang Melayu sahaja. Kekuasaan sultan semakin tergugat apabila
British memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946. Walaupun kuasa sultan
dipulihkan semula dengan pengenalan Persekutuan 1948 tetapi kuasa sebenar masih di
tangan British.

Kesimpulan (2/3m)

Dari perbincangan di atas adalah jelas bahawa sultan memainkan pernan yang
cukup besar sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial. Namun
kedatangan penjajah British telah merubah sistem politik, ekonomi dan sosial masyarakat
Melayu tradisional di Tanah Melayu. Peranan sultan yang lebih luas dan berwibawa
sebelum kedatangan penjajah telah terhakis dengan kedatangan penjajah. Kedatangan
penjajah dan penguasaannya ke atas Tanah Melayu menyebabkan pengenalan sistem
pentadbiran dan perekonomian baru yang menjadikan sultan kehilangan kuasa
dan hanya sekadar lambang kekuasaan, kuasa sebenar di tangan Residen.
Bincangkan sistem pembesar yang diamalkan di Negeri-negeri
Melayu sebelum campur tangan British pada tahun 1874.

Pendahuluan (3/2
m)

Pembesar merupakan golongan yang sangat berpengaruh


dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Pembesar
berada dalam lapisan kedua heirarki sosial masyarakat Melayu
iaitu selepas sultan atau raja. Mereka sangat berpengaruh dari
segi politik, ekonomi mahupun sosial. Pembesar dilantik oleh
sultan melalui pemberian cop mohor yang menandakan
pemberian kuasa oleh sultan kepada mereka. Pembesar
bertanggungjawab mentadbir, mengurus ekonomi dan menjaga
keamanan di kawasan yang diamanahkan kepadanya. Sistem
pembesar yang diamalkan di negeri-negeri Melayu ada sedikit
perbezaan antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Isi – ( 20 m )

a. Pembesar memainkan peranan penting dalam sistem


pemerintahan Kerajaan Melayu tradisional. Merekalah yang
membantu sultan dalam melicinkan pentadbiran. Pembesar yang
dilantik terdiri daripada beberapa golongan; golongan
pertama terdiri daripada keturunan berdarah raja; golongan
kedua ialah golongan bangsawan. Golongan yang pertama dan
kedua, biasanya jawatan mereka bersifat warisan, iaitu apabila
pembesar berkenaan meninggal dunia secara automatik
anaknya akan menggantikan tempatnya (taraf tersedia).
Golongan ketiga ialah rakyat biasa yang mempunyai kebolehan
luar biasa atau berjasa kepada sultan, contohnya Dato’
Bahaman telah dilantik sebagai Orang Kaya Semantan kerana
jasanya dalam peperangan mempertahan sultan (taraf capaian).

b. Sistem pembesar yang diamalkan di negeri-negeri Melayu


adalah berasaskan Sistem Pembesar Empat Lipatan. Sistem ini
diwarisi daripada Kesultanan Melayu Melaka telah diamalkan di
negeri Perak, Pahang, Selangor, dan Johor. Walaupun sistem
yang sama diamalkan di negeri-negeri ini namun gelaran yang
diberikan kepada pembesar adalah berbeza-beza mengikut
negeri.

c. Di Perak, pembesar yang paling berkuasa ialah pembesar


berempat. Mereka terdiri daripada Orang Kaya Bendahara Seri
Maharaja, Orang Kaya Besar Maharaja Diraja, Orang Kaya
Temenggung Paduka Raja dan Orang Kaya Menteri Paduka
Tuan. Pembesar Berempat merupakan pemimpin kanan dalam
pentadbiran negeri. Mereka berkuasa di daerah masing-masing
dan juga dalam pentadbiran kerajaan. Selepas pembesar
berempat diikuti pula dengan pembesar berlapan. Mereka terdiri
daripada Orang Kaya Balai Maharaja Lela, Laksamana Orang
Kaya, Orang Kaya Syahbandar, Panglima Kinta Seri
Amarbangsa, Seri Akar Di Raja (Dato’ Sagor), Panglima Bukit
Gantang Seri Amar Diraja, Seri Adika Raja dan Imam Paduka
Tuan. Semua pembesar dilantik oleh sultan melalui surat kuasa
atau surat tauliah dan pemberian sebilah pedang sebagai
lambang jawatan.

d. Di Selangor pula gelaran pembesarnya ialah Penggawa


Permatang, Penggawa Tua, Penghulu Aru, Tok Kelang, Dato’
Naga, Dato’ Menteri dan Orang Kaya Kecil. Di Kelantan, para
pembesarnya memakai gelaran seperti ‘Tuan” dan ‘Wan’. Pada
masa pemerintahan Sultan Muhamad 1, baginda telah
menubuhkan sebuah Badan Jemaah Menteri bagi memudah dan
melicinkan pentadbirannya. Di bawah badan ini baginda telah
melantik tujuh pembesar untuk membantunya dalam
pentadbiran, iaitu Raja Bendahara, Raja Bukit Laut, Raja Bukit
Panor, Tengku Kota, Tengku Aria Pahlawan, Dato’ Kaya
Hulubalang Kaduk dan Dato’ Panglima Perang Londang. Pada
masa pemerintahah Sultan Muhammad II baginda telah
menubuhkan Lapan Badan Jemaah Menteri untuk melicinkan
pentadbirannya iaitu Menteri Pentadbiran dan Mengimarahkan
Negeri yang bertanggungjawab dalam membangun dan
memajukan negeri, Menteri Perbendaharaan bertanggungjawab
terhadap harta benda dan hasil mahsul negeri, Menteri Luar
bertanggungjawab terhadap yang berkaitan dengan dasar dan
urusan luar negeri, Menteri Dalam Negeri berperanan menjaga
keamanan negeri, Menteri Peperangan bertanggungjawab
terhadap hal ketenteraan, pertahanan dan peperangan, Menteri
Istana menjaga adab kebesaran di raja dan adat istiadat rasmi,
Penasihat Raja menguruskan hal-hal besar yang bukan rahsia
dan Menteri Keadilan dan Kehakiman bertanggungjawab
terhadap urusan keadilan dan kehakiman.

e. Di Negeri Sembilan yang mengamalkan adat perpatih,


pentadbirannya dibahagikan kepada beberapa daerah atau
jajahan yang dipanggil luhak atau luak. Terdapat empat luak
utama, iaitu Sungai Ujong, Rembau, Jelebu dan Johol. Undang
Berempat menjadi ketua bagi setiap luak dan ketua bagi luak-
luak yang lain dikenali sebagai Penghulu. Pembesar lain di
bawah Undang dan Penghulu ialah Lembaga. Di bawah
Lembaga terdapat Buapak dan di bawah Buapak terdapat suku-
suku masyarakat yang terdiri daripada keluarga kecil yang
dinamakan Perut. Ketua Perut ialah Buapak. Pihak yang
berkuasa sebenarnya di Negeri Sembilan ialah empat orang
Undang. Ini disebabkan merekalah yang berkuasa memilih dan
melantik sesiapa sahaja daripada kerabat diraja untuk menjadi
Yang Dipertuan Negeri.

f. Di Johor, sebelum tahun 1860-an dan 1870-an, pembesar


memainkan peranan penting sebagai pentadbir di peringkat
wilayah. Sultan berkuasa di peringkat pusat. Sultan tidak campur
tangan dalam pentadbiran di peringkat wilayah sekiranya tiada
berlaku kekacauan menyumbang kewangan kepada sultan.
Selepas tahun 1860-an dan 1870-an, Sultan Abu
Bakar memperkenalkan sistem pentadbiran Barat. Perlantikan
pembesar dibuat berdasarkan kebolehan, keupayaan,
pengalaman, kecekapan dan kekerabatan pemerintah. Melalui
sistem ini pembesar bertindak sebagai pegawai kerajaan yang
dibayar gaji, menjalankan tugas-tugas yang dikhaskan dan perlu
mematuhi beberapa peraturan yang ditetapkan. Umumnya
pembesar di Johor dibahagikan kepada dua golongan iaitu
golongan berdarah raja, mereka ini dikenali sebagai Tengku,
Engku, Raja dan Wan dan golongan kedua pula terdiri daripada
mereka yang bukan berketurunan darah raja, mereka ini
dianugerahi gelaran Dato’.

Kesimpulan (2/3 m)

Jelas bahawa sistem pembesar di negeri-negeri Melayu tidak


seragam, namun fungsi dan peranan yang dimainkan oleh
pembesar hampir sama iaitu sebagai orang penting dalam
membantu sultan melicinkan pentadbiran. Tanpa pembesar
sudah tentu sultan tidak dapat menjalankan pentadbiran yang
berkesan. Selepas campur tangan British, pada tahun 1874
fungsi dan peranan pembesar mulai berubah. Kedudukan
mereka mula terjejas dan British tidak lagi menganggap mereka
elemen penting dalam pentadbiran. Campur tangan British
menyebabkan tugas pembesar telah diambil alih oleh pegawai
British. Ini secara langsung menyebabkan para pembesar
kehilangan kuasa
SEJARAH MALAYSIA
TEMA 1: MASYARAKAT TEMPATAN
BAB 2 : HUKUM ADAT,PERATURAN DAN UNDANG2

Nilaikan kepentingan Hukum Kanun Melaka sebagai panduan yang lengkap dalam
menjalankan pemerintahan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.
Hukum Kanun Melaka juga dikenali sebagai Undang-undang
Darat Melaka dan Risalat Hukum Kanun (dalam bahasa arab). Ia
juga merupakan dokumen yang digubal sebagai panduan bagi
seseorang pemerintah dalam menjalankan pemerintahan. Hukum
Kanun Melaka merupakan undang-undang tradisional tertua di
negara ini. Ia berasal daripada hukum yang dibuat oleh raja
Iskandar Dzulkarnain dan kemudiannya diwarisi pemerintah
Melaka pada abad ke-15. Undang-undang ini sungguh penting
kerana menjadi panduan dalam menjalankan pemerintahan
Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.
Hukum Kanun Melaka dapat mewujudkan keamanan dan
kesejahteraan dalam negara serta menjamin keselamatan rakyat.
Dengan itu, perilaku jenayah di dalam negeri melaka dapat diatasi
dengan baik dan terurus.Hal ini demikian kerana setiap jenayah
akan dikenakan hukuman yang setimpal.sebagai contoh kesalahan
membunuh akan dibalas dengan hukuman bunuh. Ini sudah tentu
akan menjadi peringatan dan rakyat takut melakukan jenayah.
sekaligus negara akan aman serta keselamatan rakyat lain
terpelihara.
Selain itu, Hukum Kanun Melaka penting sumber rujukan bagi
menentukan hukuman bagi kesalahan tertentu. dengan ini hukuman
dapat dijatuhkan dengan seadil-adilnya dan mengikut undang-
undang negara. tidak akan berlaku fenomena "main hakim sendiri"
dalam kalangan masyarakat kerana Hukum Kanun Melaka sudah
memaktubkan semua peruntukan yang berkenaan. Sebagai
contohnya, dalam Hukum Kanun Melaka mengandungi hukuman
awam atau undang-undang awam menyentuh perkara-perkara
seperti hutang, penyewaan tanah, harta dan hamba. Selain itu,
terdapat juga hukuman untuk perbuatan jenayah meliputi
perbuatan membunuh dan menikam orang, menetak dan memukul,
merampas dan mencuri, tidak menurut perintah raja dan
menderhaka serta tuduh-menuduh. Peruntukan hukuman yang
lengkap dalam hukum kanun melaka ini sesungguhnya telah
menjadi panduan yang sempurna dalam menjalankan pemerintahan
kerajaan.
Pentingnya Hukum Kanun Melaka juga terletak pada peranannya
sebagai menentukan pembahagian tugas, peranan serta struktur
pemerintahan. Dalam undang-undang tersebut, terkandung satu
adat yang digelar Adat Lembaga yang di dalamnya mengkanunkan
satu sistem pentadbiran dan pemerintahan yang teratur. Adat
tersebut menerangkan tentang adat-adat raja dan larangannya,
perihal peranan bendahara, temenggung, penghulu bendahari dan
syahbandar dalam membantu raja. Hal ini dapat melancarkan
pentadbiran, memudahkan urusan tertentu kerana berlaku
pengkhususan yang sudah pastinya meningkatkan mutu dan
produktiviti. Maka nyatalah, Hukum Kanun Melaka dapat menjadi
panduan dalam menjalankan pemerintahan kerajaan Kesultanan
Melayu Melaka.
Di samping itu, kepentingan Hukum Kanun Melaka turut terserlah
bagi mempertahankan sistem sosial. Ini turut dapat membezakan
keistimewaan golongan raja dengan rakyat jelata. Walaupun
golongan pemerintah amat berbeza dan jauh jurangnya dengan
golongan yang diperintah, hak masing-masing sentiasa terpelihara.
Raja berada pada hierarki tertinggi dalam struktur pemerintahan
negeri, maka baginda menduduki tempat yang istimewa dalam
masyarakat Melayu tradisional. Taraf seseorang raja ternyata
berbeza berbanding dengan golongan rakyat samada dari segi
kedudukan, pakaian, peralatan, atau pertuturan. bagi memastikan
perbezaan antara raja dengan golongan rakyat biasa berkekalan,
maka diadakan pelbagai peraturan dan larangan tertentu ke atas
rakyat supaya wujud jurang antara pemerintah dengan rakyat,
justeru memperkukuh kedudukan raja. Misalnya, raja sahaja yang
berhak memakai pakaian kuning, payung kuning, pakaian nipis,
keris berhulu emas. Rakyat dilarang menggunakan barang-barang
tersebut kecuali dianugerahkan oleh raja. Walau bagaimanapun,
kedudukan hamba terpelihara. Buktinya, sebahagian daripada
peruntukan yang terdapat dalam Hukum Kanun Melaka
menjelaskan tentang undang-undang perhambaan. Undang-undang
ini memperakukan kedudukan hamba abdi, iaitu hamba abdi tidak
diibaratkan seperti barang, tetapi mempunyai hak yang tertentu.
Tegasnya, Hukum Kanun Melaka mengukuhkan institusi beraja di
Melaka, mempertahankan sistem sosial yang adil. Peruntukan yang
telah termaktub ini sebenarnya menjadi panduan bagi menjalankan
pemerintahan baik melibatkan golongan bangsawan, rakyat jelata
mahupun hamba.
Kesimpulannya, Hukum Kanun Melaka penting bagi melancarkan
pemerintahan negeri. Undang-undang ini yang awalnya
dipengaruhi oleh agama Hindu, diresapi unsur agama Islam yang
ketara pada akhirnya. Hukum-hukum syarak ini meresap secara
beransur-ansur. Sesungguhnya, undang-undang ini sungguh
lengkap, menyentuh pelbagai perkara berkaitan dengan adat
lembaga dan tanggungjawab pembesar, hukuman awam dan
perbuatan jenayah serta perkara-perkara berkaitan dengan
pertanian, perhambaan, dan kekeluargaan.

SEJARAH MALAYSIA
TEMA 1 : MASYARAKAT TEMPATAN
BAB 1 : INSTITUSI PEMERINTAHAN MASYARAKAT TEMPATAN
Bincangkan perubahan kedudukan dan peranan penghulu
sebelum dan selepas campur tangan British pada tahun
1874.
Pendahuluan
Unit politik paling kecil dalam system politik Melayu ialah
kampung. Biasanya penghulu merupakan orang yang penting
dalam pentadbiran kampung. Perlantikan penghulu dicalonkan
oleh pembesar daerah dan biasanya mereka ini akan menerima
surat tauliah daripada Sultan
Isi.
Sebelum campur tangan British penghulu memainkan peranan
sebagai orang perantaraan antara pembesar daerah dengan orang
kampung. Penghulu menjalan tugas pentadiran disamping
menyuarakan pandangan dan masalah yang dihadapi penduduk
kampung yang ditadbirnya kepada pihak yang lebih tinggi.
Penghulu mempunyai pengikut yang dikenali sebagai anak buah.
Penghulu mempunyai pengaruh dan kuasa ke atas anak buahnya.
Biasanya jawatan penghulu diwarisi dan golongan ini amat
dihormati oleh penduduk kampung . Penghulu menyelesaikan
pertikaian yang timbul, memilihara keamanan kampung, mengerah
rakyat melaksanakan perintah pembesar dan raja secara sukarela,
serta sebagai lambang perpaduan di sesebuah kampung. Penghulu
tidak dibayar gaji tetapi mempunyai sumber pendapatan daripada
cukai perdagangan dan bayaran sebahagian daripada hasil
pendapatan yang diterima daripada anak buahnya.
Tugas lain penghulu adalah seperti :
menjaga keamanan kampung
membekalkan tenaga tentera semasa berlaku peperangan
menyediakan buruh dari kampungnya dibawah system kerah
memunggut cukai dan hasil-hasil
memastikan penduduk kampong taat setia kepada sultan dan
pembesar daerah.
Penghulu adalah dibawah kawalan pembesar daerah . Penghulu
sangat rapat dengan penduduk kampung dibawah kawalannya.
Selepas campur tangan British, institusi penghulu dikekalkan oleh
British kerana British sedar akan kepentingan pengaruh penghulu
dalam pentadbiran kerajaan. Penghulu merupakan orang
perantaraan antara kerajaan British dengan kaum tani. Penghulu
menjadi ejen atau wakil kerajaan di kampung mereka.
Di bawah British penghulu diberi gaji, berpencen dan biasanya
mereka ini berpindidikan.
Penghulu tidak lagi dikawal oleh pembesar daerah tetapi oleh
pihak British. Jika pihak British hendak berhubung dengan orang
kampung, maka penghululah orang yang memainkan peranan
penting. Penghulu tidak lagi dicalonkan oleh pembesar daerah
tetapi oleh pegawai daerah atau residen British. Segala pencalonan,
perlantikan, pemecatan dan bidang kuasanya ditetapkan oleh
residen dalam Majlis Mesyuarat Negeri dan sultan hanya
mengesahkan sahaja.
Tugas-tugas lain penghulu ialah :
1. memungut hasil
2. memilahara keamanan dan keselamatan
3. menghakimi kes-kes jenayah kecil dan menjatuhkan hukuman.
4. menyampaikan maklum balas rakyat kepada pihak kerajaan

Kesimpulan
Institusi penghulu penting sebelum dan selepas campur tangan
British. Apa yang membezakannya adalah perubahan tugas.
Selepas campur tangan British, penghulu tidak lagi dikawal
pembesar daerah tetapi oleh British.. institusi penghulu telah
dimasukkan dalam birokrasi awam British.. Penghulu adalah ahli
kerajaan yang bergaji dan hak serta tanggungjawabnya tertakluk
dibawah undang-undang negeri. Sumber kuasa penghulu adalah
dari pentadbiran British dan bukan lagi pembesar daerah.

SEJARAH MALAYSIA
TEMA 1 : MASYARAKAT TEMPATAN
BAB 3 : SISTEM SOSIAL
SUB TAJUK : SUSUN LAPIS MASYARAKAT
“Masyarakat Melayu tradisional merupakan masyarakat feudal”.
Bincangkan pernyataan ini.
Pendahuluan
• Masyarakat Melayu Tradisional merupakan masyarakat feudal
• Dari segi struktur, masyarakat ini dibahagikan kepada golongan
pemerintah yang terdiri daripada sultan, pembesar daerah, serta
penghulu dan golongan yang diperintah yang terdiri daripada
rakyat bebas dan hamba. Hubungan antara kedua-dua golongan ini
adalah hubungan timbal balik dan saling melengkapi antara lapisan
sosialnya.
• Dalam masyarakat feudal ini, kedudukan politik golongan
pemerintah tidak dipersoalkan langsung oleh golongan yang
diperintah. Rakyat menerima sesuatu arahan tanpa soal.

Isi
i) Sultan sebagai tonggak pemerintahan
• politik feudal menentukan kekuasaan mutlak sultan.
• rakyat taat setia kepada sultan. Sesiapa yang melanggar perintah
sultan dianggap menderhaka dan dipercayai akan ditimpa tulah.
• kedudukan sultan diperkukuhkan dengan system kepercayaan dan
agama. Konsep daulat dan derhaka mengukuhkan kedudukan
seseorang sultan.
• Sultan mempunyai keistimewaan yang membezakan dengan
golongan lain, misalnya warna tertentu dikhaskan kepada sultan
dan kerabatnya, penggunaan bahasa istana, cop mohor, nobat dan
alat kebesaran.
• Sultan menjadi ketua dalam unit politik terbesar, iaitu negeri.

ii) Pembesar Daerah


• Menduduki lapisan selepas sultan dan termasuk dalam golongan
pemerintah.
• Pembesar daerah memerintah di daerah atau kawasan pemakanan
yang dikurniakan oleh sultan. Pembesar daerah dilantik oleh sultan
melalui surat tauliah.
• Golongan pembesar daerah dibahagikan kepada beberapa lapisan.
Secara amnya terdapat Pembesar Berempat, Pembesar Berlapan,
Pembesar Enam Belas, Pembesar Tiga Puluh Dua dan seterusnya.
Ini juga mencerminkan kedudukan mereka dikalangan pembesar
daerah yang ada.
• Selain mentadbir, tugas pembesar daerah merangkumi tugas
seperti memungut cukai dan menjaga keamanan. Sebahagian
daripada cukai yang dipungut mesti diserahkan kepada sultan
sebagai sagu hati.
• pembesar daerah menjadi perantaraan antara sultan dengan
rakyat.

iii) Penghulu
• Menduduki lapisan selepas pembesar daerah.
• Mentadbir unit politik terkecil, iaitu kampung.
• Penghulu dicalonkan oleh pembesar daerah tetapi dilantik oleh
sultan melalui surat tauliah.
• Penghulu menjadi orang perantaraan antara pembesar daerah
dengan anak buahnya di kampung.
• Penghulu menjalankan tugas memungut cukai dan hasil,
menyelesaikan kes jenayah yang kecil, serta membekalkan buruh
kepada sultan dan pembesar daerah melalui sistem kerah.

iv) Rakyat
• Rakyat terdiri daripada rakyat bebas dan hamba
• Rakyat taat setia kepada sultan dan pembesar daerah. Mereka
membayar cukai kepada golongan ini dan menjalankan sistem
serah dan kerah.

v) Hamba
• Menduduki lapisan paling bawah dalam hierarki masyarakat
Melayu
• Terdapat tiga jenis hamba iaitu hamba raja, hamba biasa dan
hamba berhutang.

vi) Hubungan saling bergantung/timba balik

a. Hubugan antara sultan dengan pembesar daerah.


• sultan memerlukan sokongan pembesar daerah kerana mereka
merupakan penentu perlantikan sultan. Sultan memerlukan
pembesar daerah untuk menjamin kedudukannya.
b. Hubungan antara pembesar daerah dengan sultan
• kekuatan dan pengaruh pembesar daerah mesti disokong oleh
lencana dan gelaran yang hanya dikurniakan oleh sultan. Inilah
yang akan diiktiraf oleh golongan bangsawan.
• sultan diperlukan oleh pembesar daerah untuk menjamin
keamanan dan mengukuhkan ekonomi kerana baginda adalah
lambing perpaduan dan kepentingan ekonomi Negara.
• Pemebsar daerah adalah orang perantaraan antara sultan dan
rakyat.
c. Hubungan antara penghulu dengan sultan dan pembesar daerah.
• Penghulu dicalonkan oleh pembesar daerah tetapi dilantik oleh
sultan melalui surat tauliah.
• Penghulu adalah orang perantaraan antara pembesar daerah
dengan anak buahnya.
d. Hubungan antara rakyat dengan golongan pemerintah.
• Rakyat memberi taat setia yg tidak berbelahbahagi kepada sultan
dan pembesar daerah.
• Rakyat juga taat setia kepada penghulu di kampong mereka.
• Rakyat membayar cukai kepada golongan pemerintah dan
menganggap pembayaran ini sebagai undang-undang.
• Rakyat menjalankan system kerah dan serah tanpa soal.

Kesimpulan.
• Memang tdk dinafikan bahawa masyarakat Melayu tradisional
merupakan masyarakat feudal.
• Masyarakat ini mempunyai lapisan social yang diketuai oleh
sultan.
• Golongan pemerintah membekalkan keselamatan dan
perlindungan manakala golongan diperintah memberikan
perkhidmatan sebagai balasan kepada perlindungan dan
keselamatan itu.

SEJARAH MALAYSIA
TEMA 1 : MASYARAKAT TEMPATAN
BAB 2 : PERANAN ADAT,PERATURAN DAN UNDANG2
Bincangkan peranan adat, peraturan dan undang-undang yang
diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional.
Hukum adat dan peraturan merupakan amalan yang dilakukan
dalam sesebuah masyarakat sehingga ia menjadi sebati dalam
kehidupan masyarakat. Amalan ini dapat dilihat daripada adat
resam yang diamalkan secara turun temurun. Manakala undang-
undang pula lebih merupakan peraturan bertulis yang bertujuan
untuk menjaga hak dan kepentingan pemerintah dan ahli
keluarganya. Bagaimanapun hukum adat, peraturan dan undang-
undang ini penting bagi mengawal perlakuan masyarakat,
sekaligus dapat membentuk masyarakat yang harmoni.

Sesungguhnya adat, peraturan dan undang-undang penting dalam


kehidupan masyarakat tradisional. Dengan adanya peraturan dan
undang-undang, masyarakat akan sentiasa patuh dan sentiasa
berhati-hati dalam apa sahaja tindakan yang akan dilakukan. Ini
bermakna adat, peraturan dan undang-undang merupakan garis
panduan yang mesti dipatuhi dalam masyarakat tradisional.
Sesiapa yang melanggar adat dan peraturan sudah tentu akan
dikenakan hukuman. Misalnya seseorang yang tidak menurut
perintah raja akan dikenakan hukuman. Dalam soal peraturan dan
adat pula pelanggarannya akan membawa seseorang itu dipandang
serong atau dipulaukan dalam sesebuah masyarakat. Dengan
adanya peraturan-peraturan sebegini, keselamatan rakyat terjamin
dan seterusnya negara akan aman dan makmur

Disamping itu masyarakat tradisional terkenal dengan sopan


santun yang tinggi. Seseorang yang mempunyai nilai budi yang
tinggi akan disanjung dan disebut namanya dalam masyarakat
sehinggakan dalam soal pemilihan jodoh, orang yang mempunyai
budi pekerti yang tinggi menjadi satu syarat dalam pemilihan
menantu. Dalam soal menjaga ketertiban dalam masyarakat ini
jelas sekali bagaimana orang-orang yang lebih tua akan mendidik
dan mengasuh bagaimana untuk menghormati orang tua, orang
yang lebih muda mesti menghormati orang yang lebih tua, kanak-
kanak tidak boleh mencampuri perbualan orang tua dan jika ini
berlaku maka seseorang itu dianggap biadap.segala adat dan
peraturan ini jelas sekali mendidik generasi muda supaya menjaga
ketertiban agar dipandang mulia disisi masyarakat.

Undang-undang dan adat yang terdapat dlm masyarakat digunakan


untuk menjaga dan mengukuhkan kedudukan golongan pemerintah
iaitu raja dan pembesar. Ini dapat dibuktikan dalam HKM,
Undang-undang Pahang dan Undang-undang Johor jelas
memperlihatkan keistimewaan raja dan larangan-larangan kepada
rakyat jelata. Contohnya larangan memakai pakaian kuning,
menggunakan bahasa dalam dan sebagainya adalah bertujuan agar
masyarakat menghormati, dan menyanjung raja. Kedudukan raja
ini diperkukuhkan lagi dengan konsep daulat dan derhaka sehingga
rakyat tidak boleh mempersoalkannya.

Dalam hukum adat, peraturan dan undang-undang jelas sekali


memperlihatkan peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi. Misalnya
dalam Hukum Kanun Melaka disenaraikan peraturan-peraturan
yang meliputi semua aspek kehidupan yang merangkumi perkara-
perkara seperti adat lembaga, perbuatan jenayah, dan undang-
undang awam. Semua peraturan ini menjadi panduan dan
penyelewengan undang-undang ini akan dikenakan tindakan
hukuman. Tindakan menghukum kepada pesalah secara tidak
langsung memberi amaran kepada sesiapa yang melanggar
undang-undang dan dalam masa yang sama melatih rakyat
berdisiplin dan mengikut peraturan.

Undang-undang dan adat dapat menentukan tanggungjawab dan


hak setiap anggota masyarakat dalam masyarakatnya.
Tanggungjawab dan hak setiap anggota masyarakat tidak boleh
dipersoalkan kerana telah termaktub dalam undang-undang dan
adat. Contohnya dlm UULM telah dinyatakan bidang tugas
nakhoda, jurumudi,jurubatu, malim dan kiwi.

Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa Hukum Adat peraturan dan


undang-undang memberi sumbangan yang besar dalam masyarakat
Melayu. Ia meliputi dalam semua aspek kehidupan.
Pengamalannya menjamin keharmonian, kesejahteraan dan
keamanan dalam masyarakat Melayu tradisional

SEJARAH MALAYSIA
TEMA 1 : MASYARAKAT TEMPATAN
BAB 2 : SISTEM SOSIAL
Kepercayaan dan Agama masyarakat Melayu Tradisional di Tanah
Melayu
Masyarakat Melayu tradisional di Tanah Melayu sebelum
kedatangan Barat mengamalkan pelbagai bentuk agama dan
kepercayaan yang mempengaruhi kehidupan mereka. Bincangkan

Pengenalan
• Amalan agama dan kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat
Melayu tradisional di Tanah Melayu membuktikan bahawa
masyarakat Melayu ketika itu sudah memiliki tamadun yang
tinggi.
• Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat awalnya
berbentuk animisme. Ia kemudiannya berkembang dengan meluas
kepada kepercayaan agama Hindu dan Buddha. Bagaimanapun
kepercayaan ini mula merosot apabila Islam tersebar meluas di
kalangan masyarakat Melayu.

Isi-isi penting
Kepercayaan animisme
• Kepercayaan animisme merupakan bentuk kepercayaan paling
awal sebelum kehadiran agama lain. kepercayaan ini berhubung
kait dengan alam semula jadi.
• Mereka percaya semua benda di dalam dunia ini mempunyai roh
atau semangat yang mempengaruhi kehidupan manusia sama ada
baik atau buruk.
• Roh atau semangat ini perlu dipuja agar membawa kebaikan dan
menambahkan rezeki. Keadaan ini telah mempengaruhi kehidupan
mereka kerana terdapatnya aktiviti-aktiviti memuja pantai atau
semangat padi bagi menjamin keselamatan dan menambahkan
hasil padi.
• Dengan ini timbullah konsep pantang larang, adat istiadat,
undang-undang, kebudayaan dan sebagainya. Bagi memuja
semangat ini lahirlah tarian,nyanyian,drama,muzik ,unsur
mainan,mentera,adat menanam,adat kematian dan sebagainya yang
ada hubungan dengan kepercayaan itu.
• Kemunculan unsur budaya seperti tarian,nyanyian,unsur mainan
dan sebagainya sebenarnya berasaskan kepada kepercayaan kuasa
ghaib seperti memuja semangat padi,hantu laut dan sebagainya.
unsur ini menjadi hiburan dan mainan yang pada asalnya
merupakan upacara yang berkaitan dengan kuasa ghaib. Contohnya
Main Puteri, Main Dewa, memutus ubat dan sebagainya.
• Berkaitan dengan unsur mainan dan tarian tadi maka lahirlah
upacara jampi serapah yang betujuan untuk melindungi permainan
daripada segala bencana dan menghalau jin dan hantu daripada
menggangu persembahan. Setiap persembahan ada peraturan dan
pantang larang kerana asal usul sesuatu jenis persembahan
selalunya dihubungkait dengan kuasa ghaib.
• Dengan wujudnya pelbagai kepercayaan tersebut maka wujud
satu golongan masyarakat yang dihubungkaitkan dengan upacara-
upacara pemujaan seperti dukun,tabib,pawang,nenek kebayan dan
sebagainya yang bertanggungjawab memulih diri seseorang yang
dipercayai disampuk atau hilang semangat.
• Terdapat juga bentuk kepercayaan terhadap roh orang yang sudah
mati. Mereka percaya individu yang semasa hidupnya mempunyai
kuasa hebat apabila mati akan tetap memberi perlindungan.
Berdasarkan kepercayaan inilah masyarakat tempatan memuja roh
si mati agar dapat memberi perlindungan.
AgamaHindu-Buddha
• Pengaruh agama Hindu pula dikatakan tersebar sejak abad ke 6
lagi yang dibawa oleh pedagang India. Penyebaran agama ini
berkembang pesat apabila kedatangan golongan Brahmin dan
penerimaan agama ini oleh golongan pemerintah.
• Ajaran ini diterima oleh pemerintah kerana agama ini berpegang
teguh kepada konsep Dewaraja iaitu raja adalah tuhan dibumi yang
sekaligus memperkukuhkan kedudukan raja sebagai pemerintah.
• Sebagai contoh, terdapat dua buah kerajaan Hindu di Tanah
Melayu iaitu kerajaan Langkasuka dan kerjaaan Kedah Tua.
Disamping itu terdapatnya penyembahan Dewa Siva dan Vishnu,
yang dapat dilihat daripada pembinaan Candi Bukit Batu Pahat dan
Candi Bukit Pendiat di Lembah Bujang, Kedah.
• Agama Buddha pula turut tersebar di kalangan masyarakat
tempatan dan ia mempunyai pertalian dengan agama Hindu. Ini
disebabkan agama ini mengalami pengubahsuain dengan unsur-
unsur agama Hindu
• Agama ini diasaskan oleh Sidharta Gautama di India. Agama ini
melarang manusia melakukan kekejaman kerana ia tidak
mendatangkan sebarang kebaikan.
• Ajaran agama Buddha ini mudah diterima kerana anggapan
mereka bahawa pengasas agama Buddha merupakan penjelmaan
kembali salah satu daripada Dewa Hindu. Dengan ini masyarakat
tempatan mula menganuti pencampuran agama Hindu dan Buddha.
• Sesungguhnya agama Hindu dan Buddha telah meninggalkan
kesan yang besar terhadap masyarakat tempatan dari aspek
keagamaan,pemerintahan,pentadbiran,kesusasteraan dan bahasa.
• Dari segi pemerintahan konsep raja mula digunakan. Amalan
pertabalan di raja mempunyai kaitan dengan unsur Hindu-Buddha
yang disempurnakan oleh golongan Brahmin. Sehubungan dengan
itu lahirlah konsep dewaraja, unsur kesaktian,mitos dan lagenda
untuk memperkukuhkan kedudukan raja.
• Contoh yang lain dapat dilihat dalam bidang kesusasteraan
dimana masyarakat tempatan mula terpengaruh dengan epic
Ramayana dan Mahabharata yang kemudiannya lahirlah bentuk
penceritaan lisan,mitos dan teater seperti wayang kulit.

Agama Islam
• Kedatangan agama Islam pada abad ke 7 telah menghakis
sebahagian amalan kepercayaan Hindu Buddha yang telah lama
bertapak di Tanah Melayu
• Agama Islam disebarkan oleh golongan pedagang dan
pendakwah Islam dari Asia Barat.
• Ajaran Islam menekankan dua aspek penting iaitu Akidah dan
Syariah. Akidah ialah kepercayaan seluruh jiwa raga terhadap
keEsaan Allah manakala syariah merupakan perundangan dan
hukum Islam berdasarkan Al Quran dan Hadis.
• Ajaran Islam berlandaskan kepada lima Rukun Islam dan enam
Rukun Iman yang wajib diketahui oleh penganutnya.
• Kedatangan agama Islam telah membawa perubahan yang besar
dalam politik, perundangan, ekonomi, dan budaya masyarakat
Melayu.
• Dari segi politik jelas dapat dilihat dengan penggunaan gelaran
pemerintah iaitu raja telah digantikan dengan gelaran sultan.
Malahan sultan dianggap sebagai ketua agama Islam. Segala
upacara rasmi didahului dengan doa. Pemimpin agama merupakan
penasihat sultan dalam hal-hal mengenai hukum syarak atau hal
berkenaan dengan agama Islam.
• Dari segi perundangan hukum syarak digunakan berpandukan al-
Quran dan al-Hadis
• Dalam aspek perniagaan, Islam mengharamkan riba dan
menggalakkan umatnya mencari rezeki yang halal.
• Disamping itu amalan zakat dan fitrah sedikit sebanyak telah
membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk menjalani
kehidupan
• Dari segi sosial pula wujudnya semangat jihat bagi memilihara
kesucian agama Islam daripada penjajahan Barat. Malah Islam
menggalakkan umatnya sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah.
• Dari segi adat pula didapati terdapat pengubahsuaian daripada
unsur Hindu-Buddha kepada unsur keislaman seperti
perkahwinan,adat turun tanah,melenggang perut,berkhatan dan
sebagainya.
• Adat bercukur dimulakan dengan berzanji dan marhaban iaitu
bacaan mengenai kisah kelahiran dan kebesaran nabi Muhammad.
Upacara ini diakhiri dengan bacaan tahlil dan doa selamat sebagai
mengucap syukur kepada Allah.
• Pada peringkat awal Islam, pengajian al-Quran menjadi asas
kepada system pendidikan awal ketika itu. Disamping itu mereka
belajar sembahyang dan fardu ain. Biasanya mereka belajar di
sekolah pondok

Penutup
• Walaupun terdapat pelbagai bentuk kepercayaan di kalangan
masyarakat tempatan, namun amalan animisme tetap subur dan
terus dipercayai.
• Penyebaran agama Hindu-Buddha serta Islam telah memberi
kesan yang besar dalam kehidupan masyarakat Melayu
terutamanya dalam aspek kesenian.
• Kedatangan Barat telah menambahkan lagi agama masyarakat di
Tanah Melayu iaitu agama Kristian.
SEJARAH MALAYSIA
TEMA 1 : MASYARAKAT TEMPATAN
BAB 2 : HUKUM ADAT,PERATURAN DAN UNDANG-UNDANG
Undang-undang Melaka dan Undang-undang 99 Perak
Bincangkan peranan adat dan undang-undang dalam masyarakat
Melayu tradisional dan nyatakan ciri-ciri yang terdapat dalam
Undang-undang Melaka dan Undang-undang 99 Perak.

Pengenalan
• Adat penting dalam maysarakat Melayu tradisional kerana ia
dijadikan sebagai panduan hidup masyarakat kea rah keharmonian
hidup.
• Adat berkaitan dengan hal tatacara, peraturan, larangan dan
upacara-upacara yang mesti dipatuhi.
• Undang-undang pula sebenarnya wujud bersumberkan daripada
adat yang diwarisi itu. Setiap negeri boleh dikatakan ada undang-
undang bertulisnya sendiri antaranya Undang-undang Melaka dan
Undang-undang 99 perak.

Isi-isi penting
• Adat memainklan peranan penting mengawal tingkahlaku
masyarakat dan dengan ini keselamatan anggota masyarakat
terjamin.
• Adat juga boleh mengeratkan hubungan persaudaraan dikalangan
anggota masyarakat. Sebagai contoh pembahagian harta warisan
keluarga dapat menjamin hak seseorang dalam masyarakat.
Adanya panduan ini dapat mengelakkan peristiwa yang tidak
diingini dalam masyarakat.
• Selain itu undang-undang dan adat digunakan oleh pihak
pemerintah untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam system
pemerintahan. Sebagai contoh Hukum Kanun Melaka jelas
dinyatakan larangan-larangan dan keistimewaan raja yang nyata
sekali rakyat tidak boleh mempersoalkannya. Dengan cara ini
kedudukan raja terjamin.
• Undang-undang dan adat juga dapat menentukan tanggungjawab
hak setiap anggota masyarakat. Sebagai contoh dalam Undang-
undang Laut Melaka jelas dinyatakan tugas dan tanggungjawab
seorang nakhoda, jurumudi, jurubatu dan sebagainya. Jika dilihat
dalam adat Temenggung pula jelas dinyatakan bahawa raja
mempunyai kuasa mutlak dan rakyat pula menerima tanpa ragu-
ragu.
• Jika semua ini dipatuhi dan rakyat tahu peranan dan tugas
masing-masing, maka keamanan dan keharmonian terjamin dan
hidup aman berkekalan.
• Salah satu undang-undang bertulis yang terdapat di Melaka ialah
Undang-undang Melaka atau lebih dikenali sebagai Hukum Kanun
Melaka. Undang-undang ini mengandungi 44 bab yang antara lain
dinyatakan tugas raja dan pembesar serta peraturan rasmi di istana.
• Selain daripada itu dinayatakan juga hukuman yang dikenakan ke
atas penderhaka dan pencuri. Perbuatan jenayah seperti mencuri,
membunuh, tidak menurut perintah raja akan dikenakan hukuman
yang setimpal. Sebagai contoh hukuman seorang pembunuh ialah
hukuman bunuh
• Dinyatakan juga dalam Hukum Kanun Melaka bahawa seseorang
raja itu mempunyai pembantu dalam melaksanakan urusan
kerajaan. Sebab itulah wujud system pembesar Berempat iaitu
Bendahara, Temenggung, Penghulu bendahari dan Laksamana
yang mempunyai peranan dan tugas masing-masing dalam urusan
kerajaan.
• Menurut undang-undang Melaka, hukuman yang lebih berat akan
dikenakan kepada seseorang yang berpangkat tinggi jika didapati
bersalah. Penghakiman akan dilaksanakan oleh sultan dan
pembesar negeri.
• Oleh kerana Islam merupakan agama rasmi Kesultanan Melayu
Melaka, maka undang-undang yang digubal sebenarnya
berdasarkan hukum syarak. Ini bersesuaian dengan taraf Melaka
sebagai pusat penyebaran agama Islam yang utama di Nusantara.
• Undang-udang 99 Perak pula mengandungi 99 perkara. Undang-
undang ini tergolong dalam rumpun adat temenggung dan
dikatakan sebagai undang-undang yang paling bertimbang rasa dan
berperikemanusiaan.
• Didalam undang-undang ini disenaraikan tugas dan
tanggungjawab sultan, pembesar dan penghulu untuk memudahkan
pentadbiran kerana jelas dinyatakan pembahagian dan
pengkhususan kerja itu agar tidak timbul kekeliruan.
• Disenaraikan juga cara dan syarat perlantikan pegawai-pegawai
kerajaan. Sebagai contoh perlantikan seorang kadi mestilah
mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang Islam.
• Selaian itu undang-undang ini menyebut tentang hal dakwa
mendakwa dikalangan anggota masyarakat
• Undang-undang ini juga menyebut garis panduan tentang
hubungan antara pemerintah dengan pembesar serta antara
golongan pemerintah dengan rakyat.
• Peraturan tentang pembahagian harta, perhambaan dan
perkahwinan turut dinyatakan . sebagai contoh dalam pewarisan
harta, undang-undang ini menetapkan hak dan harta warisan anak.

Penutup
• Adat dan undang-undang penting dalam menjamin keamanan dan
keharmonian hidup masyarakat.
• Dengan adanya garis panduan bagi golongan pemerintah dan
yang diperintah, memudahkan lagi anggota masyarakat
memainkan peranan masing-masing.
• Tidak dinafikan bahawa undang-undang yang terdapat di Perak
dan Melaka menggunakan hukum syarak sebagai pedomannya
kerana kedua-dua negeri tersebut menjadikan Islam sebagai agama
rasminya
SEJARAH MALAYSIA
TEMA 1 : MASYARAKAT TEMPATAN
BAB 4 : SISTEM EKONOMI

“Sistem ekonomi Tanah Melayu sebelum campur tangan British bersifat ekonomi sara
diri semata-mata.” Jelaskan.

Masyarakat Melayu tradisional telah mempunyai satu bentuk sistem ekonomi sara diri
sejak awal lagi. Sistem ekonomi sara diri yang terbentuk cukup untuk menyara hidup
tertumpu kepada kegiatan pertanian, penternakan binatang, pungutan hasil hutan, dan
perlombongan secara kecil-kecilan. Walau bagaimanapun, kegiatan ekonomi berbentuk
komersial telah pun bermula sebelum campur tangan British

Sistem ekonomi sara diri ialah kegiatan ekonomi yang dikendalikan bagi mendapatkan
bahan-bahan makanan dan hasil-hasil lain untuk memenuhi keperluan hidup seharian,
iaitu bagi menyara keperluan keluarga sendiri. Petani-petani menggunakan cara pertanian
yang asas sahaja. Peralatan tradisional dan tenaga binatang telah digunakan. Tenaga
manusia pula terdiri daripada anggota keluarga. Lebihan hasil akan ditukarkan untuk
mendapatkan barang-barang keperluan yang tidak dapat mereka keluarkan.

Masyarakat Melayu tradisional yang tinggal di pesisiran sungai dan kawasan pedalaman
menanam padi_sawah dan padi_huma. Penanaman padi adalah kegiatan pertanian sara
diri utama.
Padi sawah ditanam di kawasan lembah sungai atau tanah rendah. Padi huma pula
ditanam di kawasan bukit atau kawasan pedalaman. Kawasan penanaman padi di Tanah
Melayu terdapat di Negeri Kedah, Pahang, dan Kelantan. pengairan penting dalam
penanaman padi. Petani-petani akan membina terusan dan parit untuk tujuan tersebut.

Selain penanaman padi, pertanian sara diri juga mengusahakan penanaman tanaman lain
seperti pisang, jagung, ubi kayu, dan buah-buahan. Di samping itu mereka juga
menjalankan kegiatan menternak dan memburu binatang, mengumpulkan hasil-hasil
hutan, menangkap ikan. Terdapat sebilangan kecil yang mengusahakan perlombongan
sebagai kerja sambilan.

Di samping sistem ekonomi sara diri yang lebih menumpukan kepada kegiatan pertanian,
masyarakat Melayu tradisional telah menjalankan sistem ekoriomi komersial
berlandaskan perdagangan dan perlombongan. Sebelum campur tangan British,
masyarakat Melayu tradisional ini telah menjalinkan hubungan perdagangan dengan
negara-negara Eropah, China, dan India melalui pelabuhan Singapura.
Di Negeri Johor, lada hitam dan gambir telah diusahakan antara tahun 1840 hingga tahun
1850- an di bawah Sistem Kangcu. Tanaman ini mendapat pasaran yang besar di Eropah
dan Singapura. Lada hitam dan gambir ditanam di sepanjang sungai secara besar-besaran
untuk tujuan eksport.
Sebelum campur tangan British, Negeri Johor terbukti sebagai sebuah negeri yang giat
dalam perdagangan. Negeri Johor juga menghasilkan bähañ-bahan seperti getah perca,
sagu, dan koko. Kayu balak, pengeluaran dieksport ke India di bawah kawalan Syarikat
Peterson, Simons and Co. Kayu balak yang telah diproses dieksport ke China, Mauritius,
Jawa, dan Sri Lanka.

Di Seberang Perai, buah pala, cengkih, dan tebu diusahakan oleh orang Eropah.Ubi kayu
ditanam di Melaka dan dianggarkan bahawa terdapat 400 hektar ladang ubi kayu di
Melaka pada tahun 1860.
Terengganu juga telah menjalankan perdagangan dengan Negeri China sebelum campur
tangan British. Terengganu mengeksport emas bijih timah, rotan, dan damar. Sultan
Terengganu menggalakkan usaha mencari gali emas di kawasan Ulu Nerus dan bijih
timah di Kemaman.
Kegiatan ekonomi komersial juga amat jelas dalam bidang perlombongan.
Perlombomngan bijih timah giat dija1ankan di negeri Perak terutamanya di kawasan Hilir
Perak, Kinta, dan Larut. Lombong-lombong ini kepunyaan pembesar-pembesar Melayu.
Orang Cina dibawa dari Pulau Pinang dan Melaka untuk mengusahakan perusahaan ini
kerana mereka menggunakan teknologi moden seperti pam dedah dan roda air.

Di Selangor, perlombongan bijih timah dijalankan di Lukut dan kawasan Kelang. Di


Negeri Sembilan, orang Cina telah melombong di Sungai Ujung sejak tahun 1828 lagi.
Sistem ekonomi komersial yang dijalankan memerlukan modal yang besar, teknologi
moden, dan diusahakan dalam skala yang besar. Oleh sebab itu, modal dan kepakaran
asing sangat diperlukan. Pada mulanya, modal Cina adalah lebih penting daripada modal
Eropah.

Jelaslah bahawa sistem ekonomi masyarakat Melayu tradisiorial bukan sahaja berbentuk
sara diri, malah juga berbentuk ekonomi komersial sebelum campur tangan British.
Kedua-dua bentuk sistem ekonomi ini dijalankan serentak.

Anda mungkin juga menyukai