Anda di halaman 1dari 5

PEN.

SR/ /04/22 SELASA, 5 APRIL 2022

Busang Jelini tawar keunikan sajian tradisional Orang Ulu di Miri


Luhat Ajang

MIRI : Terserlah keindahan pada tatapan mata dan ketenangan dirasai sebaik sahaja melangkah
masuk ke sini, segala-galanya memenuhi citarasa bagi mereka yang inginkan sedikit kelainan
sambil menikmati juadah yang disediakan.
Alunan muzik Sape’ berkumandang sayu menjadi halwa telinga bagi setiap pengunjung
dan keindahan dekorasi berbentuk ukiran tradisional yang dikenali sebagai Ikeng, diserikan lagi
dengan penghut iaitu kayu yang diraut halus atau lebih dikenali sebagai Bungai Jarau di
kalangan masyarakat di negeri ini dan sesungguhnya itu kombinasi keunikan yang ada di sini.
Namun semua yang dipaparkan itu bukanlah keistimewaan utama sebaliknya kelainan
dan keenakan sajian yang dihidangkan iaitu makanan tradisional masyarakat Orang Ulu yang
menjadi tarikan utama masyarakat setempat di Miri.
Pelbagai lauk pauk tradisional atau juga boleh diperkatakan sebagai makanan kampung
pastinya memenuhi selera setiap pelanggan yang berkunjung ke Busang Jelini Café.
Busang Jelini Café, sebenarnya sebuah kedai makanan berkonsepkan makanan
tradisional masyarakat Orang Ulu khasnya etnik Kayan merupakan satu destinasi wajib
dikunjungi ketika berada di Miri yang terletak di Jumbo Park, Senadin, hanya 18 kilometer dari
pusat bandar, ia wajar dilihat sebagai salah satu pakej pelancongan yang sedia ada di bandar
peranginan ini.
Namun demikian, menceritakan mengenai Busang Jelini Café ini ia tidak menyediakan
sajian halal kerana bertujuan untuk memenuhi kerinduan citarasa masyarakat Kayan yang
berada di Miri dan pengunjung kaum lain yang berminat merasai masakan tradisional kaum
tersebut.
Migrasi ataupun penghijrahan komuniti Orang Ulu ke pusat bandar samada atas faktor
ekonomi mahupun pekerjaan turut menjadi salah satu sebab Busang Jelini ditubuhkan.

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, SARAWAK


Bahagian Media Dan Komunikasi Korporat, Jalan Diplomatik off Jalan Bako, 93050 Petra Jaya, Kuching.
Tel : 082- 319780-98 Fax : (082) 319808 emel: mkksrk@inform.gov.my; mkkswk2@gmail.com
Menurut Pauline Wan Luhat, 42 dari Kampung Uma Beluvuh Long Panai, Tutoh Baram
yang merupakan pemiliknya, Busang Jelini Café bukan sahaja dikunjungi masyarakat Orang Ulu
tetapi juga masyarakat Iban, Cina, Bidayuh dan yang lain-lain kerana keunikan serta kelainan
menu yang ada di sini.
“Keunikan yang ada di sini sememangnya tumpuan utama kaum kami terutamanya bagi
mereka yang telah berhijrah ke Miri, di sinilah juga mereka dapat melepaskan kerinduan
makanan tradisional ini tetapi juga tarikan kaum lain apatah lagi asimilasi melalui perkahwinan
campur secara tidak langsung menyerlahkan juadah kami kepada kaum lain,” jelas Pauline lagi.
Bagi mereka yang berkunjung ke sini, pastinya Sup Salai Babi Terung Asam merupakan
pilihan utama di samping Salai Busang Jelini dan juga pekasam babi.
Sajian sampingan lain seperti pekasam ikan sungai, pansuh, ubi tutuk, terung asam, ikan
sultan kukus, mi sup ikan tapah, sup ikan baung, sup ikan keli, terung pipit goreng bercili, pucuk
pakis, umai dan sayuran tempatan juga merupakan kemestian kepada mereka yang berkunjung
di sini dan uniknya cafe ini tidak membataskan kepada sajian tradisonal semata-mata.
“Pelbagai pilihan sajian turut disediakan iaitu hidangan Western Food dan makanan
laut termasuk mi udang yang ramai menggemarinya, disediakan oleh dua tukang masak yang
berpengalaman,” tambah beliau lagi.
Dikenali masyarakat Kayan sebagai Dinuh yang diperbuat daripada tepung beras pulut
dan Pitoh iaitu sejenis kelupis atau kuih tradisonal turut merupakan menu sampingan di
samping minuman Tuak (Burak) tradisional masyarakat Kayan.
Menceritakan lanjut, Pauline menjelaskan setiap sajian yang disediakan berasaskan
bahan mentah seperti ikan dan sayuran hutan terutamanya paku pakis yang diperolehi dari
kampung halaman bertujuan untuk memastikan kesegaran dan keenakan asli sesuai dengan
sajian berkonsepkan tradisional.
Namun demikian, beliau dan suaminya Herry Ngo yang lebih dikenali sebagai Taman
Edang mengutamakan salai dan pekasam sebagai tarikan utama di Busang Jelini Café.
“Sup Salai Babi Terung Asam merupakan salah satu menu pilihan di sini dan kalau boleh
biarlah orang ramai akan sentiasa mengingati salai kami, sebut sahaja salai automatik
teringatkan ‘Salai Busang Jelini’, begitu juga dengan pekasam,” kata Herry.
Ketika ditanya bagaimanakah proses menyediakan salai dan pekasam, beliau mengulas
lanjut bahawa proses penyediaannya memerlukan banyak prosedur dan masa di mana seawal
pagi beliau dan pembantunya telah mula memproses seekor babi yang besar, kemudiannya

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, SARAWAK


Bahagian Media Dan Komunikasi Korporat, Jalan Diplomatik off Jalan Bako, 93050 Petra Jaya, Kuching.
Tel : 082- 319780-98 Fax : (082) 319808 emel: mkksrk@inform.gov.my; mkkswk2@gmail.com
menyalaikan daging tersebut sehingga kering manakala pekasam akan disimpan di dalam
tempayan atau tajau yang berusia lebih seratus tahun untuk kesegaran dan ketahanan yang
maksimum.
Menurut beliau lagi, daging salai dan ikan salai boleh bertahan lama walaupun dengan
hanya menyimpannya di bahagian atas dapur kayu.
Seperti mana penyediaan pekasam oleh masyarakat lain, Pauline dan Herry juga
menggunakan bahan asas seperti garam, nasi dan daun ubi dan kesemua itu digaul sebati
bersama daging tadi untuk menghasilkan kualiti yang terbaik.
Lebihan daging untuk salai dan pekasam itu tadi akan digunakan untuk menyediakan
pansuh dan juga untuk masakan lain tetapi pada kebiasaannya permintaan terhadap salai dan
pekasam agak tinggi sehingga ada ketikanya tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan.
Robert Oyo Ing Emang, 52 dari Kampung Long Bemang, Apoh Baram pula merupakan
pelanggan tetap yang memilih menu pekasam sebagai hidangan wajib selain sup salai daging
babi campur terung asam Dayak setiap kali berkunjung ke sini.
Beliau yang sering ditemani isterinya memberitahu dengan berkunjung ke kedai ini,
sedikit sebanyak mengubat kerinduan terhadap kampung halamannya.
“Walaupun telah berhijrah ke bandar, makanan tradisi masih menjadi idaman dan
kegemaran kami sekeluarga dan rasa tiada kepuasan jika tidak merasai makanan tradisional
yang telah sebati dengan selera sejak kecil lagi,” ujar Robert.
Jackson Billy, 26, Iban dari Sungai Arang, Bakong juga merupakan penggemar masakan
tradisional masyarakat Sarawak berpendapat masakan setiap kaum di Sarawak mempunyai
keistimewaan tersendiri walaupun mempunyai sedikit persamaan.
Beliau yang amat menggemari masakan terung asam Dayak berharap agar lebih
banyak lagi masakan berasaskan terung ini dihidangkan di mana – mana kedai makan.
Liging Tungkan, 62, Kelabit berasal dari Bario juga sependapat bahawa sejak dari kecil beliau
meminati masakan Orang Ulu dan baginya cukup dengan hanya memakan nasi berlaukkan salai
sahaja sudah memuaskan hatinya.
Busang Jelini Café amat dicadangkan sebagai lokasi persinggahan untuk penggemar
sajian tradisonal masyarakat Orang Ulu bukan sahaja untuk masyarakat sekitar Miri malah juga
untuk mereka yang dari luar jika berkesempatan untuk berkunjung ke sini.

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, SARAWAK


Bahagian Media Dan Komunikasi Korporat, Jalan Diplomatik off Jalan Bako, 93050 Petra Jaya, Kuching.
Tel : 082- 319780-98 Fax : (082) 319808 emel: mkksrk@inform.gov.my; mkkswk2@gmail.com
Selain daripada keenakan sajian yang dihidangkan, ciri cafe ini sendiri unik kerana terbahagi
kepada dua bahagian iaitu tempat makan utama dan satu bahagian lagi yang terletak di atas
kolam yang dinamakan Lephok Jelini atau Lubuk Jelini.
“Busang Jelini Café ditubuhkan pada 22 Ogos 2019 dan pemilihan nama Busang Jelini
bermaksud Pulau Jelini itu sendiri dibuat sempena nama sebuah tempat di kampung halaman
saya yang berbatu – batu dan kaya dengan berbagai jenis ikan,” jelas Pauline bila ditanya
mengapakah cafe beliau dinamakan sedemikian.
Manakala satu ruangan di atas masih dalam perancangan untuk digunakan bergantung
kepada keadaan dan keperluan semasa.
Berkeluasan 1,620 kaki persegi, ia mampu menampung sekitar 250 pelanggan untuk
majlis keramaian seperti pertunangan, perkahwinan, sambutan hari lahir, makan malam
keluarga malahan majlis kesyukuran turut diadakan dan turut dihadiri oleh beberapa orang
kenamaan sebelum ini.
Di satu sudut pula, pentas turut disediakan untuk acara rasmi mahupun untuk aktiviti
hiburan seperti tarian kebudayaan mahupun sesi berkaraoke kepada mana-mana pihak yang
berminat.
Bagi sesiapa yang ingin mengetahui lebih mendalam tentang Busang Jelini, boleh
melayari laman Facebook Busang Jelini Café dan Instagram Busangjelini.-TAMAT-

Keterangan foto:
Foto 1 Pemilik Busang Jelini Cafe' Pauline bersama beberapa sajian tradisional yang
merupakan menu utama.
Foto 2 Pauline menunjukkan daging babi yang akan dijadikan pekasam untuk disimpan
di dalam tempayan khas.
Foto 3 Tempayan khas untuk pekasam yang berusia lebih 100 tahun.
Foto 4 Herry menunjukkan daging yang sedang disalai.
Foto 5 Daging yang disalai menggunakan kayu api.
Foto 6 Dihidangkan secara tradsional menggunakan talam.
Foto 7 Pasangan suami isteri Pauline dan Herry yang merupakan pemilik Busang Jelini
Cafe'.
Foto 8 Lephok Jelini yang merupakan bahagian kedua tempat makan berada di atas
kolam.

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, SARAWAK


Bahagian Media Dan Komunikasi Korporat, Jalan Diplomatik off Jalan Bako, 93050 Petra Jaya, Kuching.
Tel : 082- 319780-98 Fax : (082) 319808 emel: mkksrk@inform.gov.my; mkkswk2@gmail.com
Foto 9 Robert (tengah) antara pengunjung yang menjamu selera di bahagian Lephok
Jelini.
Foto 10 Antara sajian tradisional yang terdapat di Busang Jelini.
Foto 11 Lukisan mural berkisarkan Orang Ulu turut menghiasai laluan masuk Busang
Jelini Cafe'.
Foto 12 Dekorasi dan kesenian Orang Ulu menghiasi dalaman Busang Jelini Cafe'.
Foto 13 Ruang santai turut dihiasi dengan corak tradisional Orang Ulu.

(Foto Luhat Ajang)

Sila dapatkan gambar melalui e-mail. Terima kasih.

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, SARAWAK


Bahagian Media Dan Komunikasi Korporat, Jalan Diplomatik off Jalan Bako, 93050 Petra Jaya, Kuching.
Tel : 082- 319780-98 Fax : (082) 319808 emel: mkksrk@inform.gov.my; mkkswk2@gmail.com

Anda mungkin juga menyukai