Anda di halaman 1dari 2

Alam sekitar adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tidak

mengira bangsa, agama dan negara. Namun demikian, pelbagai projek


sosioekonomi dijalankan namun secara tidak sedar alam sekitar sudah
terjejas. Kita sebenarnya tersepit antara keinginan menjadi sebuah negara
maju dengan alam sekitar yang perlu dipelihara, bak kata peribahasa
ditelan mati mak, diluah mati bapa. Oleh itu, langkah-langkah bersama
yang pragmatik dan proaktif perlu diambil untuk memelihara alam sekitar.
Persoalannya, apakah peranan setiap pihak bagi memastikan pemeliharan
alam sekitar secara berterusan?
Setiap obligasi haruslah bermula dengan diri kita sendiri. Begitu juga
dengan cara untuk menjaga alam sekitar adalah dengan mengamalkan kitar
semula. Hal ini demikian kerana pihak berkuasa sebelum ini pernah
memperkenalkan tong-tong kitar semula yang mempunyai tiga warna
berbeza. Namun, kempen kitar semula yang bernas ini dilaksanakan seperti
hangat-hangat tahi ayam. Kita perlu sentiasa memulakan sebuah
perubahan dengan diri sendiri untuk menjadi seorang individu yang
berminda kelas pertama. Tegasnya, penjagaan alam sekitar bermula
dengan amalan kitar semula di rumah.
Selain itu, kaedah seterusnya untuk menjaga alam sekitar adalah
dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia dalam setiap aspek
kehidupan kita. Sebagai contoh, pertanian organik merupakan salah satu
kaedah yang wajar digalakkan kerana tiada bahan kimia terlibat dalam
penghasilan hasil tani selain mengelakkan racun perosak yang digunakan
daripada mengalir masuk ke sungai berdekatan dan mencemari sumber air.
Kejadian pencemaran Sungai Kim Kim yang berlaku di Pasir Gudang, Johor
merupakan salah satu contoh di mana anak-anak jatuh sakit dan sekolah
terpaksa ditutup. Perkara ini berlaku hanya kerana individu yang tidak
bertanggungjawab telah membuang bahan kimia industri terus ke dalam
sungai tersebut. Secara tuntas, sekiranya bahan kimia dapat dikurangkan
dalam penggunaan seharian kita, secara langsung alam sekitar kita menjadi
lebih selamat dan terjamin.
Di samping itu, langkah untuk menjaga alam sekitar yang wajar
dilaksanakan di peringkat industri adalah dengan menggunakan teknologi
mesra alam. Tamsilnya, penggunaan penapisan udara yang dipasang di
cerobong asap kilang dan juga ekzos kenderaan perlu diwajibkan. Persis
kata peribahasa, tidak ada gunung yang tak dapat didaki, tiada lurah
yang tidak boleh dituruni. Intihannya, penjagaan alam sekitar lebih efektif
dengan menggunakan teknologi mesra alam secara komersial dan juga di
peringkat perindustrian.
Seterusnya, pengenalan dasar dan polisi serta penguatkuasaan
undang-undang oleh pihak berkuasa adalah mustahak dalam menjaga alam
sekitar di negara ini. Contohnya, sehingga kini, pembalakan haram di
seluruh negara kita masih berleluasa kerana tiada penguatkuasaan dan
pelaksanaan undang-undang yang cekap. Peribahasa Melayu berkata,
menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Justeru itu, penjawat
awam khususnya wakil rakyat dan anggota penguatkuasa perlu
menjalankan amanah dengan jujur dan berintegriti.
Kesimpulannya daripada perbincangan di atas, pelbagai langkah yang
boleh dilakukan untuk menjaga alam sekitar. Setiap pihak perlu memainkan
peranan untuk memastikan usaha di atas dipraktikkan dan kesedaran
disebarkan tanpa sebarang pengecualian. Persis kata mutiara, sehari
selembar benang, lama-lama menjadi kain. Sedikit demi sedikit langkah
yang kita lakukan pada setiap hari untuk menjaga alam sekitar akan
membuahkan hasil yang menguntungkanpada kita dan juga generasi masa
hadapan atas nikmat kekayaan alam sekitar di negara ini.

Anda mungkin juga menyukai