Anda di halaman 1dari 4

Setiap sifat wajib ada sifat lawannya iaitu sifat mustahil.

Sementara sifat harus bagi ALLAH ada satu sahaja iaitu untuk menjadikan atau tidak
menjadikan adalah harus bagi ALLAH swt. Harus bagi ALLAH untuk melakukan apa sahaja yang dikehendaki-NYA atau meninggalkan apa sahaja
yang dikehendaki-NYA. Tiada sesuatu yang boleh menhalang atau memaksa ALLAH dalam segala kejadian di alam ini kerana segala kejadian alam
itu adalah di dalam Kekuasaan-NYA. Malah ALLAH tidak wajib sama sekali untuk mencipta alam serta diri manusia itu sendiri.

Sifat wajib ke 5 bagi ALLAH ialah qiyaamuhu binafsihi dan sifat lawannya iaitu sifat mustahil ihtiyaaju ilal ghairi.

Pengertian sifat qiyaamuhu binafsihi.

Ertinya berdiri dengan sendirinya. Berdiri ALLAH dengan sendirinya bermaksud ZAT ALLAH yang Berdiri tanpa perlu kepada sesuatu seperti kaki
(untuk berdiri). Berdiri ALLAH dengan sendirinya juga bermaksud;-

 ALLAH swt tidak bergantung kepada tempat atau masa.

 ALLAH swt tidak berhajat atau berharap kepada apa jua yang terfikir oleh akal

 ALLAH swt tidak perlu kepada perkakas untuk melaksanakan perbuatan-NYA.

 ALLAH swt tidak ambil faedah dari segala hukum-hakam dan ibadah hamba-hambaNYA.

 ALLAH swt tidak boleh disaingi kekuasaan-NYA.

Wujudnya ALLAH tidak dari sesuatu. Wujudnya ALLAH tidak dijadikan. Wujudnya ALLAH kekal tidak ada yang mengekalkan-NYA. Maka itu ALLAH
tidak perlu kepada apa jua yang ada di alam nyata atau di alam ghaib kerana segalanya adalah ciptaan dan kepunyaan-NYA belaka.

Ini adalah sifat wajib bagi ALLAH swt.

Pengertian sifat ihtiyaaju ilal ghairi.

Bererti berhajat kepada yang lain. Ini memberi maksud, bahawa ALLAH memerlukan atau berhajat atau berharap kepada sesuatu dari alam ciptaan-
NYA untuk DIRI ALLAH sendiri. Bahawa ALLAH bergantung pada masa dan tempat untuk wujud. Bahawa ALLAH mengambil faedah dari hukum-
hakam dan ibadah hamba-hambaNYA untuk kepentingan DIRI-NYA. Ini bererti ALLAH perlu kepada yang lain dan tidak boleh berdiri dengan
sendirinya tanpa pertolongan dari yang lain.

Ini adalah sifat mustahil bagi ALLAH swt.

Huraian terperinci sifat qiyaamuhu binafsihi.

Sifat qiyaamuhu binafsihi merangkumi;-

 sifat wajib

 sifat salbiah

 sifat istighna'

1) Sifat wajib qiyaamuhu binafsihi.


ALLAH bersifat berdiri dengan sendirinya adalah berlainan dari sifat berdikari makhluk. Seorang manusia boleh bermegah dengan mengatakan
dirinya boleh hidup berdikari tanpa pertolongan orang lain. Adakah benar dakwaan sedemikian itu? Walau pun manusia itu boleh hidup berdikari
(berdiri atas kaki sendiri), hakikatnya manusia itu masih perlu kepada yang lain untuk hidup. Tanpa makanan, air dan udara mustahil manusia itu
boleh hidup. Sedangkan ALLAH sudah pasti tidak perlu kepada makanan, air dan udara kerana ALLAH itu wujud dengan sendirinya tanpa perlu
kepada sesuatu untuk menjadikan dan menghidupkan ZAT (DIRI) ALLAH itu.

Dalil naqli (dari al-Quran), surah al-Hajj ayat 64, yang bermaksud; "Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan-NYA. DIA-lah jua yang
Maha Terkaya lagi Maha Terpuji."

Tiada siapa yang lebih terkaya dari yang boleh berdiri dengan sendirinya tanpa sebarang keperluan kepada yang lain melainkan ALLAH swt.

Dalil akli (akal) mengatakan bahawa jika ALLAH itu tidak bersifat kiamuhu binafsi pastilah ALLAH itu berhajat dan perlu kepada yang lain. Jika ALLAH
perlu kepada yang lain untuk DIRI-NYA, maka ini bererti ALLAH tidak boleh berdiri dengan sendirinya. Ini bererti ALLAH itu bersifat kekurangan.
Setiap yang bersifat kekurangan itu adalah lemah. Setiap yang lemah tidak mungkin boleh mencipta alam dan mentadbirkannya dengan sempurna
seperti yang dapat kita lihat. Ini adalah mustahil dan tidak dapat diterima oleh akal yang sihat.
Maka jelaslah bahawa ALLAH wajib bersifat qiyaamuhu binafsihi dan mustahil bersifat ihtiyaaju ilal ghairi.

2) Sifat salbiah qiyaamuhu binafsihi.


Sifat salbiah adalah sifat yang menolak sesuatu yang tidak layak bagi ada pada ALLAH swt. Sifat salbiah qiyaamuhu binafsihi menolak dan
menafikan bahawa:-

 ALLAH memerlukan sesuatu.

 ALLAH bersandar pada sesuatu seperti tempat dan masa.

 ALLAH mengambil faedah dari hukum-hakam yang telah ditetapkan-NYA.

 ALLAH berhajat kepada yang lain dalam apa jua perkara yang dapat difikir oleh akal.

Sifat salbiah qiyaamuhu binafsihi tidak dapat difikirkan akal akan hakikatnya yang sebenar. Iaitu akal tidak dapat menerangkan bagaimanakah sifat
berdiri dengan sendirinya itu terjadi. Sifat ini juga tidak dapat dilihat akan kesannya di alam dunia ini.

3) Sifat istighna' qiyaamuhu binafsihi.


Sifat istighna' ialah sifat ketuhanan yang terkaya di seluruh alam. Sifat istighna' qiyaamuhu binafsihi bererti ALLAH bersifat terkaya dari
memerlukan apa jua bagi DIRI-NYA. Sifat terkaya tidak boleh ada pada yang selain ALLAH. ALLAH terkaya dalam sifat kiamuhu binafsi bererti;-

 ALLAH tidak perlu kepada mata untuk melihat

 ALLAH tidak perlu kepada telinga untuk mendengar

 ALLAH tidak perlu kepada lidah untuk berkata-kata

 ALLAH tidak perlu kepada kaki dan tangan untuk melaksanakan Kehendak-NYA

 ALLAH tidak perlu kepada perkakas untuk melakukan sesuatu

 ALLAH tidak perlu kepada makanan, air dan udara untuk hidup

 ALLAH tidak perlu kepada tempat dan masa untuk wujud

 ALLAH tidak perlu kepada ibadat hamba-hambaNYA untuk menjadi Tuhan

 ALLAH tidak perlu kepada segala hukum-hakamNYA bagi keperluan DIRI-NYA

ALLAH itu bersifat ketuhanan dan tidak perlu kepada sesuatu jua pun kerana segala yang ada di alam nyata dan di alam ghaib adalah kepunyaan
dan ciptaan-NYA belaka.

Wahdaniah

Mengenal dan belajar sifat 20 adalah cara untuk mengenal ALLAH. Belajar sifat 20 bukan secara menghafal nama-nama sifat 20 itu tetapi hendaklah
dengan memahami erti setiap sifat itu. Untuk fahami setiap sifat 20 adalah dengan menggunakan akal (logik). Sifat 20 perlu dihuraikan, dibahaskan
dan dibuktikan sebelum dapat diterima kebenarannya. Maka akal yang berfungsi sangatlah penting dalam mempelajari ilmu sifat 20 ini.

Sifat ALLAH - Wahdaniah

Wahdaniah ertinya esa atau tunggal. Maksud tunggal bagi ALLAH ialah:-
* ALLAH tersendiri
* ALLAH tidak tersusun dari sesuatu
* ALLAH tidak berhajat kepada sesuatu
* ALLAH tidak perlu kepada pertolongan
* ALLAH tidak ada sekutu
* Tidak ada yang menyamai ALLAH

Lawan wahdaniah ialah taa'dud ertinya berbilang. Maksud berbilang bagi ALLAH ialah:-
* ALLAH ada saingan
* ALLAH tersusun dari sesuatu
* ALLAH berhajat kepada sesuatu
* ALLAH perlu pertolongan
* ALLAH ada sekutu
* Ada yang menyamai ALLAH

Wahdaniah merangkumi 3 jenis sifat bagi ALLAH iaitu:-


* sifat wajib
* sifat ketuhanan
* sifat salbiah

Sifat wajib wahdaniah.


ALLAH wajib bersifat esa dan mustahil bersifat berbilang. ALLAH esa pada 3 perkara iaitu:-
* esa pada Zat
* esa pada sifat
* esa pada perbuatan

* ALLAH esa pada Zat.(Diri)


Tidak ada yang menyamai Zat ALLAH. Zat ALLAH tidak tersusun dari sesuatu. Zat ALLAH tidak berbentuk. Zat ALLAH tidak berjirim. Jirim adalah sifat
makhluk. ALLAH tidak boleh sama dengan makhluk.

* ALLAH esa pada sifat.


Tidak ada yang menyamai sifat ALLAH. Sifat ALLAH tidak perlu kepada sesuatu. Sifat ALLAH tidak boleh dipisahkan dari Zat. Contohnya, ALLAH
mendengar tanpa perlu kepada sesuatu (telinga) kerana telinga adalah sifat makhluk. ALLAH tidak boleh sama dengan makhluk.

* ALLAH esa pada perbuatan.


Tidak ada yang menyamai perbuatan ALLAH. Perbuatan ALLAH tidak perlu pada perkakas seperti tangan. Tangan adalah sifat makhluk. ALLAH tidak
boleh sama dengan makhluk.

Jika ALLAH tidak boleh sama dengan makhluk maka ALLAH tidak boleh bersifat berbilang kerana berbilang adalah sifat makhluk. Alam (makhluk)
bersifat berbilang. Contohnya diri makhluk adalah tersusun dari sesuatu. Diri Malaikat tersusun dari cahaya, diri Jin dan Iblis tersusun dari api, diri
manusia tersusun dari darah, daging, tulang, kulit dan sebagainya.

Zat (Diri) ALLAH pula tidak tersusun dari sesuatu, maka adalah mustahil ALLAH bersifat sama seperti makhluk. Jika ALLAH tidak bersifat seperti
makhluk ertinya mustahil ALLAH bersifat berbilang. Jika ALLAH mustahil bersifat berbilang, maka ALLAH itu wajib bersifat esa.

Apakah buktinya ALLAH bersifat esa?

Dalil (bukti) sifat wahdaniah.


Dalil atau bukti untuk sifat-sifat ALLAH terbagi 2 iaitu:-
1) Dalil Naqli - Dalil al-Qur'an
2) Dalil Aqli - Dalil Akal

1) Dalil Naqli.
Dalil atau bukti dari al-Qur'an adalah wajib dipercayai. Percaya kepada Kitab ALLAH adalah salah satu dari rukun iman. Menolak dalil al-Qur'an
ertinya tidak percaya akan al-Qur'an. Tidak percaya al-Qur'an gugurlah rukun iman. Jika rukun iman telah gugur, maka terkeluarlah dia dari agama
Islam.

Antara ayat-ayat al-Qur'an yang menegaskan sifat esa ALLAH:-

Surah al-Ikhlas ayat 1 - 4, yang bermaksud; "Katakanlah (Wahai Muhammad): '(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan
sekelian makhuk untuk memohon sebarang hajat. Dia tidak beranak dan tidak pula diberanakkan. Dan tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-
NYA."

Surah al-Israa' ayat 111, yang bermaksud; "Dan katakanlah; segala pujian bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNYA sekutu dalam
urusan KerajaanNYA, dan tiada bagiNYA penolong disebabkan sesuatu kelemahanNYA; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakanNYA
dengan bersungguh-sungguh."

Kedua surah ini dengan jelas membuktikan keesaan ALLAH yang mutlaq. Banyak lagi ayat-ayat yang sedemikan yang terakam di dalam kitab suci al-
Qur'an yang menegaskan betapa ALLAH itu wajib bersifat esa dan mustahil ALLAH bersifat berbilang.

2) Dalil Aqli
Dalil akal wajib difikir sebelum dapat diterima dan dibenarkan. Akal akan terima jika dalil itu logik dan akan menolak jika ia tidak logik. Secara
ringkas fungsi akal ada 2:-
* menetapkan sifat wajib bagi ALLAH
* menolak sifat mustahil bagi ALLAH

Dalil akal bahawa ALLAH itu esa adalah:-

Adanya alam ini.


Alam yang dicipta dengan begitu hebat dan teratur adalah sangat mengkagumkan serta menakjubkan setiap akal yang sihat. Alam membuktikan
bahawa Pencipta itu adalah lain dari yang lain. Pencipta itu adalah sangat kuat kerana jika Dia lemah mustahil dapat mencipta sesuatu yang hebat
seperti alam.

Alam yang teratur membuktikan bahawa yang mencipta itu hanya satu kerana jika yang mencipta itu tidak satu, bererti Pencipta itu perlu
bertolongan-tolongan antara satu dengan yang lain. Perlu kepada pertolongan adalah tanda kelemahan. Mustahil Pencipta yang lemah dapat
mencipta alam yang hebat.

Dan jika pencipta alam itu lebih dari satu, pastinya akan timbul perselisihan sesama sendiri kerana ingin lebih berkuasa dan tidak bersependapat.
Dapatkah alam yang dicipta lebih dari satu pencipta berjalan dengan teratur dan jitu (tepat) segala sistemnya?

Maka adalah tidak logik alam ini dicipta oleh pencipta yang berbilang sifatnya. Akal menolak sifat berbilang dan menetapkan sifat esa pada yang
mencipta alam ini.

Sifat Ketuhanan Wahdaniah

Sifat ketuhanan adalah sifat yang wajib ada pada Zat yang layak disembah. Sifat ketuhanan tidak boleh ada pada diri makhluk. Sifat ketuhanan
terbagi 2 iaitu:-
* terkaya di seluruh alam - istighna'
* seluruh alam berhajat kepadaNYA - iftiqar

ALLAH adalah Pencipta tunggal alam ini. ALLAH yang mengatur, mengurus, memelihara dan menguasai alam ciptaanNYA tanpa ada campur tangan
dari yang lain. ALLAH yang memberi rezeki kepada setiap makhlukNYA. ALLAH yang menurunkan hujan. ALLAH yang menumbuhkan tumbuh-
tumbuhan. ALLAH yang menetap tempat tinggal bagi setiap jenis makhluk ciptaanNYA. ALLAH yang menetapkan hidup dan mati tanpa ada yang
mampu mempercepat atau melambatkannya sedetik jua pun.

Maka jelaslah sekelian alam ini bergantung (berhajat) sepenuhnya kepada Sang Pencipta Tunggal itu. TanpaNYA alam tidak boleh wujud. Sifat
wahdaniah (esa) adalah sebenarnya sifat ketuhanan iftiqar (seluruh alam berhajat kepadanya).

Sifat Salbiah Wahdaniah

Sifat salbiah adalah sifat ALLAH yang tidak dapat dilihat kesannya oleh mata manusia dan tidak dapat dihuraikan hakikatnya oleh akal.

Maksudnya:-
Keesaan ALLAH pada Zat, Sifat dan PerbuatanNYA tidak meninggalkan kesan atau tanda yang dapat dilihat mata. Akal hanya dapat berfikir tentang
alam yang diciptakanNYA tetapi akal tidak dapat memikirkan hakikat bagaimana keesaan ALLAH itu. ALLAH adalah ghaib. ALLAH tidak dari sesuatu.
Bagaimana akal mampu untuk memikirkan sesuatu yang tidak dari sesuatu? Akal manusia adalah terlalu lemah untuk merungkai hakikat sifat
wahdaniah ALLAH.

Anda mungkin juga menyukai