Anda di halaman 1dari 3

Kepentingan semangat patriotisme

Mari kita seluruh warga negara,


Ramai-ramai menyambut hari merdeka,
Merdeka!
Tiga satu bulan lapan lima puluh tujuh,
Hari mulia negaraku merdeka.

Terima kasih sejambak mawar, seharum kasturi, buat pimpinan majlis, yang dihormati para hakim
yang adil lagi saksama, penjaga masa yang setia, para intelektual berkarisma, seterusnya sidang
hadirin pencetus revolusi kita yang saya muliakan. Assalamualaikum, selamat pagi dan salam
sejahtera. Sebelum hujah diperkukuhkan bukti, sebelum bibir terus mengorak bicara, biarlah saya
canangkan dahulu tajuk pidato saya pada hari ini yang berbunyi “Kepentingan Semangat
Patriotisme”. Maka, izinkan saya merungkai benang-benang kalimat yang mengikat setiap frasa agar
hadirin hadirat yang kabur semakin jelas maksudnya.

Hadirin hadirat sekalian,


Menurut definisi nilai-nilai murni dalam Pendidikan Moral, frasa “Semangat patriotik atau
patriotisme” bermaksud perasaan sayang dan bangga kepada negara serta meletakkan kepentingan
negara melebihi kepentingan diri. Mengikut kamus dewan edisi terbaru pula, patriotisme bermaksud
perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air.

Saban hari, kita dapat rasakan semangat patriotisme semakin luntur dalam kalangan masyarakat di
negara kita seperti yang didakwa oleh banyak pihak. Hal ini berlaku demikian kerana masing-masing
sibuk dengan urusan sendiri dan tidak menitikberatkan semangat patriotisme. Berapa orang dalam
kalangan kita yang bangga mengibarkan bendera Malaysia ketika sambutan ulang tahun
kemerdekaan negara dijalankan? Seratus? Sepuluh? Slogan-slogan seperti cintailah negara dan
sayangilah tanah air sering kita dengar di dada-dada akhbar, kaca-kaca televisyen dan media
elektronik lain-lain. Namun demikian, adakah kita mempraktikkan kata-kata ini ataupun hanya
sekadar masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri?

Sidang hadirin yang saya muliakan,

Sesungguhnya semangat patriotisme amat penting disemai dan dipupuk sejak dari bangku sekolah
lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Dengan ini, dapatlah kita lahirkan
masyarakat yang sentiasa cinta akan negara dan tidak melakukan perkara-perkara yang akan
memburukkan nama negara. Persoalan yang berlegar-legar dalam minda ialah, apakah kepentingan
semangat patriotisme? Tiga perspektif hujah akan merungkai persoalan ini.

Sidang hadirin yang dikasihi,

Hujah saya yang pertama. Melalui semangat patriotik, kita dapat menyedarkan rakyat supaya
berbakti kepada negara. Hal ini dikatakan kerana pelbagai elemen nilai murni yang utama seperti
nilai amanah, bertanggungjawab, taat setia, sanggup berkorban dan yang paling penting kesyukuran
kepada Tuhan menjadikan seseorang itu tidak sanggup untuk melihat keutuhan negaranya digugat
musuh. Persis kata peribahasa, berputih tulang daripada berputih mata. Ahli sukan kita yang bertaraf
dunia seperti Datuk Nicole David Dan Datuk Lee Chong Wei masih berdiri di bawah panji Jalur
Gemilang walaupun Negara luar menadah tangan untuk menerima mereka. Persoalannya,
mengapakah mereka tetap tidak tergoda dengan penawaran lumayan yang diberikan oleh negara
lain? Tepuk dada, Tanya selera. Salah satu jawapannya ialah semangat patriotisme yang dipupuk
pada jati diri telah menyebabkan diri tetap bertaat setia kepada tanah air. Maka, sudah terang lagi
bersuluh bahawa dengan adanya semangat patriotik, dapat membentuk modal insan terbilang.

Hadirin hadirat yang saya muliakan,

Menyusul pula hujah saya yang kedua. Semangat patriostisme dapat menjadi pemangkin kepada
kejayaan dan kemajuan negara. Hal ini bersangkut paut dengan sikap rakyat Malaysia terutamanya
generasi muda yang sanggup bekerja kuat untuk menyumbang ke arah pembangunan negara. Hal ini
sama dengan peribahasa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Dalam konteks ini, keadaan
negara akan menjadi muhibbah dan dapat membuka perniagaan di negara kita. Impaknya, dapat
membuka peluang pekerjaan, menaikkan lagi taraf hidup rakyat serta Malaysia akan terus maju.

Sidang hadirin yang dikasihi,

Meniti pula hujah saya yang ketiga dan terakhir iaitu semangat patriotisme dapat melahirkan rakyat
yang mengharumkan nama negara. Hal ini dapat saya jelaskan bahawa rakyat dapat hidup bersatu
padu dalam mempertahankan kemerdekaan negara. Oleh yang demikian, rakyat perlu acap kali
membaca sejarah negara dan menghayatinya serta menjadikan teladan dan pengajaran dalam
kehidupan setiap warganegara. Sebagai akibatnya, bangsa akan menjadi kuat lalu sentiasa
mempertahankan kedaulatan dan imej negara. Hakikatnya, Mahatma Gandhi pernah berkata
bahawa, "Majunya sesebuah negara kerana asas jati diri bangsanya ", dan rakyat Malaysia haruslah
menjadikan falsafah pemimpin ini untuk meningkatkan semangat cinta akan negara.

Biar gelora ganas membadai, biar mentari hangus membakar, namun modal insan yang tertancap
semangat patriotik pasti dapat membentuk modal insan yang terbilang. Semangat patriotisme
merupakan nadi kepada kebebasan, kemerdekaan, kestabilan dan kemajuan sesebuah negara.
Kurangnya semangat patriotisme dalam kalangan rakyat sesebuah negara akan membawa kepada
kegoyahan dan penderitaan kepada rakyat.

Sidang hadirin yang saya muliakan,

Ingatlah, patriotisme juga akan melahirkan rakyat yang akan berkhidmat dengan cekap, yakin dan
jujur dalam tindakan mereka. Menurut tokoh pendidikan dan ekonomi, Profesor Diraja Ungku Aziz:
“Patriotisme tidak harus dipandang sepi oleh rakyat sehingga rasa kesetiaan kepada negara sekadar
ungkapan dan tanggungjawab yang hanya terletak di atas bahu pemimpin lapisan pertama iaitu
Perdana Menteri yang rapat dengan mereka.” Lebih-lebih lagi, dengan sokongan Slogan SATU
MALAYSIA yang diuar-uarkan, bukankah slogan ini bertujuan untuk menyedarkan kita bahawa hanya
dengan bersatu padu, Negara maju, hanya adanya perasaan sayang kepada Negara, maka Negara
semakin berjaya! Maka dayung sudah ditangan, perahu sudah diair, marilah kita menanam semangat
patriotik di jiwa sendiri agar menjana modal insan terbilang. Dengan ini, saya mengakhiri pidato
saya. Saya cinta akan negara Malaysia!

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai