Anda di halaman 1dari 2

DEFINISI plot:

Teknik Plot -Bermaksud cara yang digunakan oleh pengarang untuk mengembangkan plot supaya ceritanya menjadi menarik.

Plot -Bermaksud susunan peristiwa dalam sesebuah cereka dengan berdasarkan hukum sebab dan akibat.Peristiwa itu mungkin disusun sama ada secara kronologi atau tidak kronologi.Plot ysang disusun secara kronologi akan mengikut urutan waktu,peristiwa yang berlaku dahulu akan didahulukan manakala peristiwa yang berlaku kemudian akan dikemudiankan.Dalam plot yang disusun secara tak kronologi pula,peristiwa yang berlaku kemudian didahulukan sementara peristiwa yang berlaku dahulu dikemudiankan.

Binaan plot -Terdiri daripada eksposisi atau pengenalan,pertengahan dan akhiran.Eksposisi ialah bahagian untuk memperkenalkan watak-watak,masalah dan konflik yang wujud.Dalam bahagian pertengahan,konflik yang berlaku menjadi semakin rumit dan terpaksa dihadapi oleh watak-watak.Kerumitan itu menuju ke satu tahap yang dikenali sebagai klimaks atau puncak cerita.Pada tahap ini juga konflik akan menemukan penyelesaian lalu cerita itu akan bergerak ke bahagian akhir atau peleraian.

Imbas muka -Merupakan teknik atau cara pengarang memberikan bayangan awal atau ramalan tentang sesuatu peristiwa yang akan berlaku kesan daripada aksi-aksi watak dalam cerita berkenaan.Teknik ini dapat mewujudkan keyakinan tertentu dalam kalangan pembaca terhadap sesuatu yang akan terhasil.

Saspens -Saspens dikenal juga dengan istilah ketegangan yang bermaksud peristiwa dalam cerita yang menimbulkan keadaan tertanya-tanya atau perasaan ingin tahu dalam kalangan pembaca tentang peristiwa yang akan berlaku selanjutnya.

Konflik -Konflik merupakan pertentangan antara dua pihak atau dua kekuatan dalam dalam kekuatan dalam satu urutan plot.Konflik luaran merujuk kepada konflik antara watak dengan watak lain ataupun antara watak dengan alam sekitar. Konflik ini tidak semestinya melibatkan perlawanan fizikal tetapi boleh

digambarkan melalui pertentangan pendapat,idea,sikap atau pemikiran. Konflik dalaman merujuk kepada pertentangan dalam diri watak yang melibatkan fikiran dan perasaan watak berkenaan.Cerita yang menonjolkan konflik dalaman kurang memaparkan aksi watak.

Kejutan -Perubahan dalam urutan peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba tanpa diduga oleh pembaca,inilah kejutan.Kesan yang timbul daripada perubahan itu tidak sama dengan yang diduga oleh pembaca.Kejutan merupakan unsur yang mampu menjadikan plot cerita semakin menarik.

Dialog -Percakapan atau pertuturan antara watak atau lebih daripada dua watak. Melalui dialog antara watak-watak inilah biasanya tergambar pendapat atau fikiran yang berkaitan dengan tema.Dialog dapat menggerakkan cerita.

Monolog -Tutur kata atau pengucapan watak secara bersendirian.Monolog lebih merupakan usaha untuk menyampaikan fikiran atau menyatakan perasaan. Penyataan perasaan dan fikiran itu mungkin dalam bentuk doa,ratapan, keluh kesah atau rayuan cinta.

Monolog dalaman -Kata hati atau pengucapan batin sesuatu watak.Teknik ini menjadi alat untuk merakamkan isi hati,pergelokan batin,dan fikiran watak yang tidak dilahirkan dalam bentuk dialog atau monolog.Hanya terdapat dalam cerpen atau novel. sifat-sifat monolog dalaman ialah berasa kesal hati,bersifat unsur pemikiran, bersifat menentang,bersifat psikologi,bersifat menetapkan azam,bersifat ragu-ragu,bersifat takut,bersifat angan-angan,dan bersifat ego dan sebagainya. Monolog dalaman lazimnya ditandai dengan kata-kata rintih hatinya,keluhnya, bisik hatinya dan sebagainya.
POSTED BY GEGE PLACE AT 5:24 PM