Anda di halaman 1dari 10

Pengenalan Pendidikan Islam bermaksud satu kefahaman terhadap ajaran Islam yang membawa seorang manusia kepada menjauhi

diri dari sifat-sifat tercela dan mendekatkan diri dengan sifat terpuji (Al-Sharqawi, 1983). Menurut Fathi Yakan (1997) pula, pendidikan Islam ialah proses membina individu dan masyarakat berdasarkan paksi Islam sama ada dalam aspek pegangan, pemikiran mahu pun perbuatan. Dapat disimpulkan bahawa pendidikan Islam bermaksud membentuk peribadi seseorang individu untuk menjalani hidup berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Ini adalah supaya seseorang mendapat balasan yang baik apabila di akhirat kelak berlandaskan pendidikan Isla yang diterima semasa hidup di dunia (Mohd Roslan, Wan Mohd Tarmizi, 2011). Perkembangan Pendidikan Islam di Malaysia Pelaksanaan pendidikan Islam telah bermula sejak Islam mula bertapak di Melaka sekitar abad ke 14. Namun, sistem pendidikan Islam pada waktu itu tidak bersifat formal. Penekanan pendidikan Islam yang diberikan semasa zaman tersebut adalah kelas mengaji al-Quran (Ramlah, 1991). Huruf-huruf jawi juga diperkenalkan pada waktu itu bagi memudahkan penduduk tempatan mempelajari huruf-huruf arab yang menjadi tunjang kepada pembacaan al-Quran. Pengenalan huruf-huruf jawi kepada masyarakat melayu meningkatkan perpaduan di antara kaum melayu serta menjadikan pembacaan al-Quran semakin mudah dipelajari (Abdullah, 1995). Pada peringkat awal, kelas pengajian al-Quran dilakukan di rumah guru yang mengajar al-Quran. Apabila bilangan pelajar-pelajar mulai bertambah, kelas al-Quran kemudiannya berpindah ke surau dan masjid (Ahmad Mohd, 2004). Tambahan lagi, pendidikan semakin berkembang apabila pengajian ilmu Fiqh, Tauhid, Tafsir, Sirah, Tasawuf dan Falsafah Islam di ajar di surau dan masjid dan mendapat sambutan masyarakat setempat. Pada zaman penjajahan barat ke atas Tanah Melayu, pendidikan Islam mengalami sedikit gangguan dalam perkembangannya kerana anasir-anasir dari pihak penjajah. Sebagai contoh, ketika Portugis menjajah Melaka, mereka mengambil sikap berdiam diri tanpa melakukan apa-apa inisiatifdalam membantu perkembangan agama dan pendidikan Islam pada waktu itu. Justeru, kegiatan agama dan pengajaran pendidikan Islam menjadi perlahan dan kegiatan dakwah tidak dijalankan secara meluas. Terdapat pendapat yang mengatakan kegiatan dakwah terpaksa dijalankan secara rahsia bagi mengelakkan tentangan ganas dari pihak penjajah sewaktu penjajahan Belanda di Tanah Melayu (Abdullah, 1995).

Sebelum kedatangan Inggeris, sistem pendidikan Islam dilaporkan masih berjalan seperti biasa. Menurut catatan Abdullah Munshi, terdapat sekolah-sekolah al-Quran yang dilaksanakan di negeri Melaka, Singapura dan Pulau Pinang. Namun, selepas 1854, sekolah-sekolah al-Quran berubah corak apabila diambil alih oleh pemerintahan Inggeris melalui Syarikat Hindi Timur Inggeris. Sekolah-sekolah ini diberikan bantuan penuh dengan syarat ia mengadakan mata pelajaran membaca, menulis dan ilmu hisab disamping pelajaran agama dan membaca al-Quran (Kementerian Pelajaran Malaysia, 1972). Walaupun menghadapi campur tangan dari pihak Inggeris, pendidikan Islam masih menjadi tumpuan para pelajar. Terdapat ibu bapa yang sanggup menghantar anak-anak mereka untuk belajar di peringkat yang lebih tinggi seperti di Pattani, Mekah, Mesir dan negaranegara lain. Apabila mereka kembali ke Tanah Melayu, mereka meluaskan sistem pendidikan Islam dengan membuka institusi-institusi yang dikenali sebagai pondok (Abdullah, 1995). Selain itu, gerakan islah di Timur Tengah turut membawa perubahan di Tanah Melayu apabila pelajar-pelajar yang belajar di Mesir pulang ke Tanah Melayu dan membawa bersama perubahan ini. Mereka berusaha untuk mengubah sikap orang Melayu supaya memahami Islam dalam bentuk yang lebih lengkap. Antara tokoh yang terlibat dalam mengubah sistem pendidikan Islam ialah Syed Syeikh al-Hadi yang telah menubuhkan sebuah madrasah yang dikenali sebagai al-Madrasah al-Misriyyah di Bukit Mertajam pada tahun 1906 (Ahmad Kilani, 2003). Perkembangan pendidikan Islam semakin rancak apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Contohnya, segala perbelanjaan berkaitan pelajaran agama Islam ditanggung oleh Kementerian Pelajaran seperti yang dinyatakan dalam Syor Penyata Abdul Rahman Talib 1960 (KPM, 1972). Pada 1962, Akta Pelajaran 1961 telah muula dikuatkuasakan iaitu dengan mengadakan peruntukan berkaitan peruntukan kewangan selain mewajibkan sekolah-sekolah bantuan kerajaan mengadakan pelajaran agama Islam kepada murid-murid selama dua jam seminggu sekiranya sekolah tersebut mempunyai 15 orang pelajar Islam atau lebih. Pada tahun yang sama, pelajaran agama Islam dimasukkan dalam jadual waktu pelajaran biasa kepada murid-murid yang beragama Islam dengan peruntukan masa 120 minit seminggu (Ahmad Mohd, 2004). Tambahan lagi, guru-guru agama telah dilantik bagi mengajar mata pelajaran tersebut. Justeru, perkara ini menjamin kefahaman murid-murid terhadap agama Islam kerana mereka mendapat pendidikan Islam selama sebelas tahun; enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Majlis Raja-Raja juga telah memberikan persetujuan berkenaan sukatan pelajaran agama Islam dan mula dilaksanakan pada tahun 1962 (KPM, 1972).

Pada 1967, sukatan pelajaran agama Islam disusun sekali lagi untuk menyesuaikan isi kandungan pendidikan Islam dengan tahap dan umur murid-murid. Sukatan pelajaran agama Islam di sekolah rendah mengandungi perkara-perkara mustahak berkenaan asas agama Islam yang disusun mengikut umur serta tahap perkembangan dan pertumbuhan murid-murid. Antaranya ialah Aqidah, Ibadah, sejarah rasul-rasul, budi pekerti dan bacaan al-Quran. Sukatan pelajaran agama Islam di sekolah menengah mengandungi perkaraperkara yang mustahak diketahui oleh orang Islam pada peringkat akil baligh. Antaranya fiqh, tauhid, sejarah Islam, ayat-ayat al-Quran dan hadith. Namun, memandangkan waktu yang diperuntukkan adalah terhad, maka tidak semua aspek dalam kehidupan dapat dimuatkan dalam sukatan tersebut (KPM, 1972). Sebelum Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) diperkenalkan, mata pelajaran pendidikan Islam tidak wajib diambil dalam peperiksaan seperti peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun ianya wajib dipelajari (KPM,1972). KBSR digubal dan dilaksanakan pada tahun 1983, manakala KBSM dilaksanakan pada 1988 sebagai penerusan kepada KBSR. Pada waktu itu jugalah mata pelajaran pendidikan Islam dijadikan mata pelajaran teras di peringkat menengah rendah dan menengah tinggi dan diwajibkan di dalam peperiksaan. Mata pelajaran elektif seperti Tasawur Islam, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah dan Syariah Islamiyyah turut diperkenalkan di peringkat menengah atas (KPM,

1992). Pada tahun 1993, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan bagi menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah. Mata pelajaran pendidikan Islam turut mendapat impak positif daripada perubahan ini apabila kandungannya diperkemaskan dan ditambah satu bidang iaitu bidang asas akhlak Islam. Pengenalan program j-QAF kepada sekolah rendah turut memperkasakan mata pelajaran pendidikan Islam. Program J-QAF iaitu singkatan kepada Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardhu Ain diilhamkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri kelima bagi memperkukuhkan penguasaan jawi, memastikan murid-murid khatam al-Quran di sekolah rendah, meningkatkan kesedaran berkenaan bahasa Arab dan memantapkan amalan dan penghayatan fardu ain. Program ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkasakan pendidikan Islam dan sekaligus memantapkan sistem pendidikan kebangsaan (KPM, 2007). Program ini telah dilaksanakan sejak tahun 2005 untuk pelajarpelajar sekolah rendah. Program ini juga akan diperkenalkan di sekolah menengah apabila semua tahap di sekolah rendah telah dilaksanakan sepenuhnya (Utusan Online, 2009) . Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang mula dilaksanakan pada tahun 2011 turut memberi impak positif kepada perkembangan pendidikan Islam. Sebagai contoh,

dalam topik aqidah, penekanan diberikan kepada pemahaman dan penghayatan terhadap topik-topik yang dipelajari. Perkara ini adalah bagi memastikan murid-murid lebih mendalami Islam dan dapat mempraktikkan Islam secara menyeluruh. Dapat disimpulkan di sini bahawa kedatangan Islam ke Tanah Melayu merupakan satu rahmat dari Allah yang telah mengubah cara hidup Melayu dan sekaligus menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia.

PERANAN GURU PENDIDIKAN ISLAM Profesion guru pendidikan Islam merupakan satu profesion yang mencabar. Menurut pandangan Islam, tugas guru adalah mendidik, iaitu berusaha mengembangkan seluruh potensi murid sama ada dari segi jasmani atau rohani. Berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Islam dan matlamat pendidikan dalam Islam, guru dalam masyarakat perlu menjadi role model yang dicontohi dan bukan sekadar seorang pekerja yang dibayar gaji sahaja. Pada masa kini, tugas mendidik telah hampir diserahkan sepenuhnya kepada guruguru dan institusi-institusi pendidikan semata-mata tanpa penglibatan aktif masyarakat dan ibu bapa (Ab. Halim & Mohamad Khairul Azman, 2010). Oleh yang demikian, peranan guruguru pendidikan Islam semakin mencabar kerana mereka bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi mendidik dan membangunkan diri murid-murid mereka. Guru dalam sistem pendidikan Islam mestilah memenuhi segala tuntutan sebagai role model, atau qudwah hasanah kepada masyarakat, sebagai ejen perubahan di dalam masyarakat sama ada melalui pendidikan formal atau tidak formal. Pada masa kini, dunia yang telah berkembang pesat dan maju. Pemikiran, ideologi, budaya dan teknologi yang melimpah memasuki ruang negara yang seolah-olah sudah menjadi sebuah Borderless World (Kenichi Ohmae, 1990), iaitu dunia tanpa sempadan. Kehadiran dunia tanpa wayar dan internet yang kini berada dihujung jari telah menyebabkan budaya-budaya dari luar sama ada baik atau buruk memasuki negara kita tanpa sebarang halangan. Oleh yang demikian, pegangan dan pedoman yang kukuh adalah diperlukan agar Malaysia tidak ditenggelami budaya-budaya dari luar. Di sini, guru pendidikan Islam memainkan peranan untuk menjadi muallim, iaitu orang yang mengajar dan memindahkan ilmu kepada sesorang yang sebelum ini tidak mengetahui ilmu tersebut. Perkara ini adalah berkaitan dengan firman Allah:

Maksud: Dan Ia telah mengajarkan Adam, akan segala nama-nama dan gunanya, kemudian ditunjukkan kepada malaikat lalu Ia berfirman: Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar. Mereka (Malaikat) menjawab: Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (Surah Al-Baqarah: 2:31-32) Ibn Kathir (2001) mengatakan bahawa Allah telah mengajarkan nabi Adam semua perkara yang tidak diketahuinya sebagai tanda kemuliaan dan kelebihan Baginda. Dalam ayat ini, Allah telah menjadi muallim kepada nabi Adam alaihissalam. Perkataan ( bermaksud Dia mengajarkan dan (

yang

yang bermaksud yang telah Engkau ajarkan

kepada kami merujuk kepada proses talim iaitu proses mengajarkan ilmu oleh muallim (Ab. Halim & Mohamad Khairul Azman, 2010). Menurut Ab. Halim & Mohamad Khairul Azman (2010) proses talim yang berkesan akan mencorak dan mewarnai pembangunan diri para murid sebagai insan soleh. Perkara ini hanya akan dapat dicapai apabila guru berjaya mendidik muridnya untuk menjadikan alQuran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan utama dalam menilai dan memahami sesuatu ilmu atau maklumat. Oleh itu, guru pendidikan Islam mempunyai peranan yang penting dalam membentuk minda murid untuk menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan utama sepanjang kehidupan mereka di dunia. Selain itu, guru juga berperanan untuk memantapkan akhlak murid agar selari dengan kehendak Islam. Akhlak merupakan antara komponen terpenting dalam pendidikan Islam selari dengan sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam,


Maksudnya: sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang terbaik. (Al-Adab Al-Mufrad: 1:273) Justeru, guru pendidikan Islam mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memantapkan akhlak murid-murid. Akhlak perlu diberikan penekanan kerana kampung tanpa sempadan kini telah menjadikan murid-murid terdedah kepada arus globalisasi yang memberikan impak positif dan juga negatif. Sebagai contoh, dunia barat kini telah mula menerima budaya homoseksual dan membenarkan perkahwinan sejenis. Perkara ini memberikan impak yang amat negatif terhadap murid-murid dan guru perlu memainkan peranan menerangkan bahawa perkara ini adalah amat bertentangan dengan Islam serta mengundang pelbagai penyakit. Peranan guru yang terakhir yang ingin ditekankan sini adalah pengajaran Tilawah alQuran kepada murid-murid Islam. Hasil kajian yang dijalankan oleh Mohd Aderi (2004) tentang celik al-Quran dalam kalangan pelajar tingkatan satu di Kuala Lumpur menunjukkan 63 peratus daripada responden kajian telah khatam al-Quran, tetapi tahap membaca keseluruhan responden adalah pada tahap sederhana dan lemah. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng kerana murid-murid ini adalah orang-orang Islam yang bakal meneruskan legasi Islam khususnya di Malaysia. Oleh yang demikian, guru pendidikan Islam bertanggungjawab menjalankan amanah yang diberikan kepada mereka untuk mendidik murid-murid supaya mereka mahir dalam tilawah al-Quran.

RUJUKAN 1. Al-Quran al-Karim. 2. Abdullah Ishak (1995) Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Pustaka. 3. Ab. Halim Tamuri & Mohamad Khairul Azman Ajuhary (2010) Amalan Pengajaran Guru Pendidikan Islam Berkesan Berteraskan Konsep Muallim, dalam Journal of Islamic and Arabic Education, Universiti Kebangsaan Malaysia. 4. Ahmad Kilani Mohamed (2003) Pengurusan Pendidikan di Sekolah: Huraian Menurut Perspektif Islam. Universiti Teknologi Malaysia. 5. Ahmad Mohd Salleh (2004) Pendidikan Islam. Falsafah, Sejarah dan Kaedah Pengajaran Pembelajaran. Shah Alam, Oxford Fajar Sdn. Bhd. 6. Al-Sharqawi, Hassan (1983), Nahw Tarbiah Islamiah, Muassasah Thiyab al-Jamiah 7. Fathi Yakan (1997) al-Tarbiah al-Wiqaiyyah fi al-Islam, Beirut, Muassasah al-Risalah. 8. Ibn Kathir (2001) Tafsir al-Azim, Riyadh, Maktabah Dar al-Salam. 9. Kementerian Pelajaran Malaysia (2007) Buku Panduan Dasar, Pelaksanaan dan Pengurusan Kurikulum dan Kokurikulum Program J-QAF, Putrajaya, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral. 10. Kementerian Pelajaran Malaysia (1992) Buku Penerangan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, Kuala Lumpur, Pusat Perkembangan Kurikulum. 11. Kementerian Pelajaran Malaysia (1972) Laporan mengenai Pelaksanaan Dasar Pelajaran terhadap Pelajaran Ugama Islam mengikut Shor2 Penyata Razak 1965, dan Jawatankuasa Menyemak Pelajaran 1960, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka. 12. Kenichi Ohmae (1991) The Borderless World: Power and Strategy in the interlinked economy, Fontana, London. 13. Utusan Online, 17 Julai 2009 J-QAF akan diperluas ke sekolah menengah, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0717&sec=Terkini&pg=bt_32 .htm

- . . . - . - . . KBSM . J-QAF - . KSSR 2 1 3

.KBSR KSSR KBSR KSSR . - . . . - . .J-QAF J-QAF . - . . :

: - - ! . .

Anda mungkin juga menyukai