Anda di halaman 1dari 11

BAB 1

1.0 PENGENALAN

Bagi kandungan dalam bab satu, secara umumnya pengkaji akan memfokuskan pengenalan bab
ini berdasarkan latar belakang fenomena kajian yang akan dijalankan, dan memberi gambaran
serta maklumat dalam mengetahui fenomena kajian. Selain itu, dalam bab satu ini juga, pengkaji
akan menerangkan mengenai pernyataan masalah sebagai tumpuan atau fokus kajian ini. Setelah
itu, pengkaji juga akan menyatakan matlamat dan objektif kajian ini dijalankan, disamping
menyatakan berkaitan skop kajian. Turut dimuatkan dalam kandungan bab ini adalah penerangan
pembahagian bab dan juga kepentingan kajian. Secara keseluruhannya bab ini merupakan
bahagian asas untuk memahami keseluruhan kajian yang akan dijalankan.

1.1 LATAR BELAKANG FENOMENA KAJIAN

Merujuk kepada sejarah tanaman kelapa sawit, kelapa sawit pada mulanya banyak ditemui di
benua Afrika yang mana iklimnya yang panas dikatakan sangat sesuai dengan pertumbuhan
tanaman tersebut. Kelapa sawit merupakan tumbuhan yang terdiri daripada dua jenis spesis iaitu
spesis Arecaceae yang berasal daripada benua afrika dan juga spesis Elaeis oleifera yang
dikatakan berasal dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan (Susanto, 2009; Treu, 1998;
Semangun, 1990). Tumbuhan kelapa sawit telah menjadi salah satu tanaman komoditi yang
semakin penting dan semakin diberi perhatian di dunia khususnya negara-negara tropika. Kelapa
sawit dilihat membawa peranan yang semakin penting dalam kehidupan manusia di mana,
tanaman ini bukan sahaja menjana sumber makanan, malahan juga sebagai sumber bahan mentah
kepada industri global, kesediaan peluang pekerjaan, serta menjana ekonomi kepada rantau yang
menghasilkannya, khususnya negara negara yang sedang membangun (Jing, 2007, Majlis
Minyak Sawit Malaysia, 2005a).

Kelapa sawit telah menjadi salah satu tanaman komoditi penting kepada pembangunan ekonomi
yang utama di negara-negara membangun yang mana ianya merupakan antara penyumbang yang
besar kepada pembangunan ekonomi negara melalui industri kelapa sawit (Moll, 1987). Industri
kelapa sawit di Malaysia telah berkembang dengan pesatnya sejak lima puluh tahun yang lalu,
dimana pada tahun 1960-an, kawasan pertanian kelapa sawit di Malaysia dikatakan seluas 55,000
hektar telah menghasilkan pengeluaran minyak kelapa sawit sebanyak 0.1 juta tan (Basiron &
Chan, 2006; Majlis Minyak Sawit Malaysia, 2005b), dan daripada jumlah itu, kawasan pertanian
kelapa sawit telah berkembang luas kepada 5 juta hektar tanah pada tahun 2010 (Nishfariza,
2012, MPOB, 2011).

Perkembangan yang berlaku secara pesat ini turut meningkatkan pengeluaran hasil kelapa sawit
daripada 94000 tan per hektar (Nishfariza, 2012, Yusof, 2000) kepada 18.03 juta tan per hektar
pada tempoh masa yang sama (Nishfariza, 2012, MPOB, 2011). Perkembangan yang berlaku
dalam industri kelapa sawit ini juga telah didorong dengan peranan kerajaan melalui pelbagai
usaha antaranya adalah menubuhkan badan-badan khas seperti FELDA, RISDA, FELCRA,
MPOB dan sebagainya dalam mengembangkan sektor pertanian kelapa sawit di Malaysia, antara
usaha yang telah dijalankan adalah seperti rancangan petempatan penduduk untuk meningkatkan
keluasan tanaman kelapa sawit, pembangunan dan penyelidikan ( R&D) dan sebagainya.

Perkembangan yang pesat berlaku dalam industri kelapa sawit ini telah menjadikan negara
Malaysia antara negara yang sangat produktif dalam pengeluaran industri kepala sawit di dunia
selain negara jiran seperti Indonesia. Kedua-dua negara ini telah menjadi pengeluar terbesar
bekalan kelapa sawit dalam perdagangan antarabangsa (Nishfariza, 2012, Corley dan Tinker,
2003). Peranan besar sektor pertanian ini sebagai penyumbang besar kepada ekonomi Malaysia,
menjadikan jenis tanaman ini sentiasa diberi perhatian pada aspek kualiti tanaman iaitu dari segi
kesihatan dan jumlah pengeluaran yang dihasilkan.


Masalah wabak penyakit dan serangan makhluk perosak merupakan antara cabaran yang perlu
dihadapi dalam industri penanaman kelapa sawit. Ancaman wabak penyakit dan serangan
makhluk perosak ini dilihat sebagai satu perkara yang serius, dimana masalah seperti ini sudah
pastinya akan memberi kesan buruk kepada perkembangan industri kelapa sawit di Malaysia,
samada pada jangka masa yang pendek mahupun jangka masa panjang. Secara amnya terdapat
pelbagai jenis spesis makhluk perosak yang mampu memberi ancaman kepada pertumbuhan
kelapa sawit, sebagai contoh di negara Malaysia, makhluk perosak yang paling dominan
memberi ancaman kepada pertumbuhan kelapa sawit adalah seperti ulat beluncas, ulat bungkus,
ulat tandan dan kumbang badak ( Nishfariza, 2012, Siti Ramlah et al, 2011). Kewujudan serta
gangguan daripada makluk perosak ini sudah pastinya sedikit sebanyak akan menjejaskan kualiti
dan produktiviti pengeluaran yang dihasilkan.
Selain daripada ancaman makhluk perosak, tumbuhan kelapa sawit juga tidak terlepas daripada
ancaman wabak penyakit. Pada asasnya terdapat beberapa jenis penyakit yang dikenalpasti
menyerang tumbuhan kelapa sawit di dunia antaranya adalah penyakit Bud Rot yang mana
diteliti banyak terdapat di sebelah kawasan Amerika Selatan dan juga Amerika Tengah
(Nishfariza, 2012, Martinez, 2009). Selain itu, di sebelah benua Afrika pula, dikenalpasti
terdapat dua jenis penyakit yang dominan menyerang tumbuhan kelapas sawit di sana iaitu
penyakit Cercospora Leaf Spot dan penyakit Vaskular Wilt (Idris, 2011b; Turner, 1981).
Manakala di sebelah benua Asia pula, khususnya di rantau Asia Tenggara seperti Indonesia dan
Malaysia, jenis penyakit yang paling dominan dan sinonim di rantau ini adalah penyakit Reput
Pangkal Batang (RPB) yang disebabkan oleh serangan sejenis kulat yang dikenali dengan
panggilan Ganoderma Boninense ( Jing, 2007).

Ancaman penyakit RPB terhadap tanaman kelapa sawit di dunia khususnya Malaysia dilihat
sebagai satu masalah yang sangat serius kerana implikasinya yang membawa kepada kerugian
dari dua aspek, iaitu kerugian secara langsung dan tidak langsung. Kerugian secara langsung
melibatkan perhubungan dengan pengeluaran yang rendah kerana kematian pokok, manakala
dari aspek tidak langsung adalah melibatkan penurunan berat buah dan bilangan tandan. Kulat
ganoderma boninse yang menyerang akan mengurangkan berat batang pokok kelapa sawit yang
mana lama-kelamaan akan mereputkan batang dan seterusnya membunuh pokok. Oleh hal
demikian, pengkaji merasakan isu ini antara isu yang menarik dan perlu untuk dikaji, dalam
kajian ini, pengkaji akan cuba mengenalpasti kawasan panas (hot spot) penyakit Reput Pangkal
Batang (RPB) di lokasi kajian dan cuba membuat analisis berdasarkan kajian yang dijalankan.
Bagi menjalankan kajian yang melibatkan aspek spatial dan juga temporal, perisian seperti
Sistem Maklumat Geografi serta teknologi Penderiaan Jauh (Remote Sensing) dilihat mampu
dan sangat relevan bagi menjalankan dan menyempurnakan keperluan kajian ini. Keadaan ini
selaras dengan peningkatan teknologi dan kepentingan bidang teknikal tersebut pada era ini
selain telah dibuktikan berkesan dalam kajian-kajian yang lepas. Kajian yang akan dijalankan
akan melihat dan mengkaji mengenai sejauhmana perubahan ruang dan masa mempengaruhi
sebaran penyakit Reput Pangkal Batang yang disebabkan kulat Ganoderma Boninse pada tahun
2009 dan 2013.

1.2 PERNYATAAN MASALAH

Penyakit Reput Pangkal Batang (RPB) khususnya, merupakan antara penyakit yang sangat
sinonim dengan sektor pertanian kelapa sawit di rantau Asia Tenggara, ianya dilihat sebagai
antara agen yang mampu membantutkan perkembangan industri kelapa sawit di Malaysia.
Penyakit yang berpunca daripada spesis ganoderma boninse ini menjadi perhatian dalam kajian
ini kerana, penyakit ini merupakan antara penyakit yang dominan dan sangat kerap menyerang
pokok kelapa sawit di Malaysia, yang mana ianya juga dikatakan antara punca kerugian terbesar
terhadap pokok kelapa sawit selain tanaman-tanaman lain di seluruh dunia khususnya di Asia
(Flood et al, 2000).

Serangan awal kulat ganoderma ke atas pokok sawit akan menyebabkan berlakunya pengurangan
hasil buah tandan segar dan seterusnya pokok akan mati. Berdasarkan bancian penyakit RPB di
Malaysia pada 2009, sebanyak 53 peratus (471) estet melaporkan kejadian penyakit ini manakala
keluasan kawasan penanaman sawit yang diserang ini adalah 3.02 peratus (40,600 hektar) dan
kesan daripada serangan penyakit ini, negara mengalami kerugian hasil sebanyak RM1.1 bilion
(Nisfariza, 2012, MPOB, 2011). Serangan penyakit ini tidak hanya tertumpu kepada usia pokok
tertentu sahaja, serangan penyakit ini boleh berlaku ke atas pokok muda dan juga matang. Bagi
kawasan yang pertama kali ditanam kelapa sawit, kebiasaannya penyakit ini akan ditemui pada
pokok yang berusia lebih 10 tahun selepas ditanam. Bagaimanapun, untuk pokok generasi kedua
atau penanaman untuk kali kedua, kebiasaannya pokok yang dikenal pasti adalah pada usia 12
bulan selepas ditanam terutama pada kawasan bawahan.

Kulat ganoderma hidup dalam akar atau batang sawit dan akan mati apabila batang atau akar
reput, namun sekiranya penyakit ini ada pada tunggul sawit, ia akan mati selepas 15 tahun pokok
itu tumbang. Kewujudan penyakit ini bukan sahaja memberi kesan kepada pengeluaran hasil,
malahan ianya turut memberi jangkitan kekal kepada tanah tanaman yang seterusnya akan
memberi jangkitan kepada kelapa sawit yang ditanam pada peringkat seterusnya, keadaan ini
membawa kepada kejadian yang tinggi terhadap jangkitan RPB selepas perhatian dijalankan
selama 15 tahun selepas penanaman semula (Nisfariza, 2102). Menurut Turner (1981) penyakit
ini merupakan satu masalah yang sangat serius melanda tanaman kelapa sawit di Malaysia
kerana ianya boleh membawa kerugian sehingga 80% selepas penanaman semula.

Kesan buruk yang berlaku ke atsa tanaman ini sudah pastinya bukan sahaja memberi kesan
negatif kepada pembangunan ekonomi negara secara amnya, malahan turut memberi implikasi
kepada kesejahteraan sosial masyarakat di Malaysia terutamanya menjejaskan pendapatan
golongan penduduk yang berkecimpung dalam sektor pertanian kelapa sawit bermula daripada
pekebun kecil, pengusaha industri sawit, pihak kerajaan mahupun swasta. Oleh hal demikian,
dalam kajian ini, pengkaji akan cuba mengenalpasti permasalahan yang mewujudkan penyakit
ini selain mengenalpasti kawasan panas (hot spot) penyakit BSR dan membuat perbandingan
jumlah pokok yang diserang RPB pada tahun 2009 dan 2013 di kawasan kajian, selain membuat
analisis kepada keadaan tersebut.

1.3 MATLAMAT KAJIAN

Matlamat umum kajian ini dijalankan adalah untuk mengetahui secara terperinci sejauhmana
perubahan ruang dan masa mempengaruhi sebaran penyakit Reput Pangkal Batang (RPB) pada
tahun 2009 dan 2013. .






1.4 OBJEKTIF KAJIAN

Berdasarkan kepada kajian ini, pengkaji telah menetapkan beberapa objektif yang ingin dipenuhi
agar kajian atau penyelidikan yang dijalankan ini dapat mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Pengkaji telah menetapkan tiga objektif yang perlu dipenuhi bagi merealisasikan matlamat kajian.

1. Objektif pertama ialah mengenalpasti kawasan panas (hot spot) tanaman kelapa sawit
yang dijangkiti penyakit Reput Pangkal Batang (RPB). Berdasarkan kajian di lapangan
dan data yang diperoleh, maka pembentukan pangkalan data serta pemetaan dapat
dihasilkan dengan menggunakan perisian GIS untuk mengenalpasti kawasan hot spot
penyakit RPB.

2. Objektif kedua pula adalah untuk melihat perbandingan dan perubahan yang berlaku
terhadap penyakit BSR pada tahun 2009 dan 2013. Perbandingan ini akan dapat
menghasilkan satu maklumat ruangan baru dan analisis kepada masalah penyakit RPB.


3. Objektif yang terakhir adalah ialah mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi kepada
perubahan pembentukan penyakit BSR di kawasan kajian pada tahun 2009 dan 2013.
Melalui objektif ini, pengkaji akan cuba mendedahkan faktor-faktor yang wujud dan
mempengaruhi kepada perubahan pembentukan penyakit RPB di kawasan kajian.



1.5 SKOP KAJIAN

Skop kajian ini dilakukan di kawasan perladangan kelapa sawit di salah satu kawasan rancangan
felcra di Seberang Perak sebagai kawasan kajian, skop utama yang ingin dicapai dalam kajian ini
adalah untuk menganalpasti kawasan hotspot penyakit ganoderma dan cuba melihat perubahan
penyakit Reput Pangkal Batang pada tahun 2009 dan 2013 serta cuba menganalisis permasalahan
berkaitan perubahan tersebut.

1.6 PEMBAHAGIAN BAB

Bab satu dalam kajian ini merangkumi tentang pengenalan kepada fenomena kajian yang akan
dijalankan . Selain itu, dalam bab satu ini juga turut diterangkan mengenai permasalahan yang
wujud bagi tumpuan kajian, hal ini adalah perlu bagi menonjolkan masalah yang perlu dikaji. Di
samping itu, turut dikemukan dalam bab ini adalah perkara-perkara berkaitan dengan matlamat
kajian, objektif kajian, skop kajian, pembahagian bab serta kepentingan kajian.

Bab dua pula, bab ini lebih tertumpu kepada kajian literatur berkaitan pengenalan mengenai GIS
dimana ianya memuatkan denifisi, komponen dan aplikasi GIS untuk fenomena ruangan . Selain
itu, turut disertakan dalam bab ini adalah pengenalan mengenai teknologi penderiaan jauh
(remote sensing) dan juga tumbuhan kelapa sawit, dimana ianya berkaitan dengan definisi dan
juga kajian terdahulu. Di samping itu, pengkaji turut memuatkan pengenalan mengenai penyakit
Reput Pangkal Batang dan kulat Ganoderma Boninse iaitu berdasarkan definisi, faktor dan
selainnya. Dalam bab ini juga terdapat semakan ke atas kajian-kajian terdahulu.

Bab tiga merupakan bab yang dimuatkan dengan rangka kerja konseptual dimana ia
menggambarkan proses perjalanan kajian ini, selain melibatkan tajuk kajian dan pemilihan
kawasan kajian. Selain itu, dalam bab ini, pengkaji juga akan menerangkan mengenai
metodologi kajian berkaitan kaedah perolehan data yang diperlukan bagi menghasilkan kajian ini.
Bab ini juga lebih tertumpu kepada pengenalan pembangunan pangkalan data (database),
interpestasi data, dan analisis serta hasil kajian yang bakal diperolehi.

Bab empat adalah bab yang memuatkan perkara-perkara berkaitan dengan pembangunan
pangkalan data (database). Dimana ia lebih kepada proses bagaimana langkah-langkah
menghasilkan peta yang berdigit, memasukkan data-data dalam bentuk ruangan (spatial) dan
bukan ruangan (atribut) serta banyak lagi. Bab ini lebih kepada kerja-kerja teknikal dimana data-
data yang diperlukan diaplikasikan dalam GIS.

Bab lima pula merupakan bab terakhir yang memperlihatkan tentang analisis yang dijalankan
bagi memperoleh keputusan yang dikehendaki untuk menjalankan penilaian . Bab ini sangat
penting bagi menentukan kejayaan kajian penyelidikan ini. Selain itu, bab ini juga memuatkan
hasil kajian yang diperoleh daripada analisis yang dijalankan, selain cadangan-cadangan yang
difikirkan perlu untuk manfaat semua pihak.
1.7 KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian ini penting dijalankan memandangkan sektor pertanian kelapa sawit dilihat sebagai antara
penyumbang terbsear kepada ekonomi negara selain mempengaruhi kepada kesejahteraan sosial
masyarakat Malaysia yang menjadikan sektor pertanian ini sebagai punca rezeki utama kepada
mereka, ancaman yang dibawa oleh penyakit ganderma ini sudah semestinya memberi kerisuan
dan akan menjejaskan pendapatan rakyat Malaysia seterusnya memberi kesan negatif kepada
ekonomi Malaysia. Oleh hal demikian dengan kajian yang dijalankan ini, maka ianya mungkin
sedikit sebanyak akan dapat membantu mencari punca dan penyelesaian kepada masalah
penyakit yang berpunca dari serangan ganoderma boninse ini.

Anda mungkin juga menyukai