Anda di halaman 1dari 6

LIMA LANGKAH UTAMA DALAM

PERMAINAN GASING
.
1. Melilit tali
Melilit tali merupakan langkah yang paling penting. Tali yang tidak diikat
dengan kemas akan terurai dan berkemungkinan gasing tidak dapat
berpusing dengan ligat. Terdapat dua cara melilit tali :-
Melilit di lengan
Melilit di jari kelingking







2. Melilit gasing
Lilitan gasing akan dibuat pada bahagian leher gasing. Gasing boleh dililit
menggunakan dua cara, sama ada dililit pada bahagian lengan dan
kemudian dililit pada gasing ataupun melilit tali pada pokok dan kemudian
dililit pada gasing.


3. Memusing gasing
Biasanya pemain gasing mempraktikkan gaya permainan secara pusingan
sorong tarik atau pusingan sentap. Bagi pusingan sorong dan tarik, gasing
perlu sentiasa berada dalam keadaan mengiring. Pemain akan
menumpukan perhatian pada sasaran di hadapan dan badan dibongkokkan
kira-kira 45 darjah. Gasing akan diayunkan dan semasa ayunan dibuat,
gasing akan ditegakkan. Pusingan secara sentap pula dilakukan untuk
menghasilkan pusingan yang ligat. Pemain akan berdiri dalam keadaan
tegak dengan tangan yang memegang gasing menghala ke atas. Tangan
pemain berada kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Ketika gasing
diayunkan, pemain akan menyentap sedikit tali supaya gasing menjadi lebih
ligat dan mampu berpusing lama.
4. Memangkah gasing
Pemain yang ingin memangkah gasing pihak lawan, perlu menumpukan
perhatian tepat mengenai sasaran supaya gasing dapat berpusing dengan
lama dan menghasilkan uri yang ligat. Terdapat empat gaya ketika
memangkah, iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah layang, dan
pangkah tebang.

5. Mengangkat gasing
Gasing akan diangkat ketika masih berpusing. Tujuannya adalah untuk
memastikan pusingan gasing dapat bertahan dengan lebih lama. Semasa
gasing masih ligat berpusing, pemain akan cuba mengangkat gasing dan
memastikan gasing tersebut tidak berhenti ketika diangkat. Sebelum gasing
diangkat, pemain terlebih dahulu menentukan liuk gasing. Liuk gasing
adalah pusingan terendah bahagian patak dengan bumi. Arah pusingan
badan juga perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan
gasing. Gasing akan diangkat menggunakan tali dan cokok. Untuk
memastikan gasing berpusing ligat, mengangkat gasing perlu dibuat
berhati-hati dan gasing perlu berada dalam keadaan tegak serta tali yang
digunakan perlu tegang.
KAEDAH
Gasing dimainkan dua cara, sama ada sebagai gasing uri ataupun
gasing pangkah. Gasing uri biasanya dimainkan untuk melihat dan
menguji ketahanan gasing berpusing. Pemenang akan diadili
berdasarkan jangka masa gasing dapat berpusing. Gasing yang
mampu berpusing lama dikira sebagai pemenang pertandingan.
Biasanya gasing mampu berpusing lebih daripada satu jam.

Gasing pangkah pula dimainkan untuk mengetuk gasing pihak
lawan dan dimainkan oleh dua buah kumpulan. Setiap kumpulan
terdiri daripada dua hingga lima orang. Sebelum permainan
dimulakan, mereka akan beradu kekuatan dahulu. Pertandingan
uri akan dibuat untuk memilih kumpulan memangkah dan
kumpulan menanti. Gasing kumpulan yang berpusing lebih lama
akan menjadi kumpulan memangkah manakala kumpulan yang
kedua akan menjadi kumpulan menanti.

Kumpulan memangkah akan memangkah gasing kumpulan
menanti. Tujuannya adalah untuk memecahkan gasing pihak
lawan atau paling tidak, dapat menghentikan gasing pihak lawan.
Tetapi jika gasing kumpulan menanti masih berpusing, jong cokok
akan digunakan. Jong cokok diperbuat daripada kayu dan agak
leper. Gasing yang masih berpusing akan dicokok ke permukaan
jong dan jika gasing pihak menanti lebih lama berpusing,
kumpulan memangkah akan bertukar menjadi kumpulan menanti
dan begitulah sebaliknya.
SEJARAH DAN ASAL USUL GASING





Asal Usul Perkataan Gasing
Menurut sumber dari Terengganu, gasing berasal daripada permainan
memusing buah berembang. Buah berembang berbentuk bulat, licin dan
agak leper. Buah yang mudah ditemui di pesisir pantai ini selalu digunakan
oleh ahli silat sebagai satu latihan untuk menguatkan tangan. Di sesetengah
tempat, buah berembang juga dikenali sebagai buah perepat (sonneratia
alba).
Buah berembang ini juga dijadikan sebagai permainan. Dalam permainan
buah berembang, buah ini akan dipusingkan dengan menggunakan tangan.
Buah berembang yang berpusing paling lama dan paling ligat dikira paling
gah dan pemusingnya dianggap sebagai pemenang.
Gasing dicipta berdasarkan bentuk buah berembang. Perkataan gasing
berasal daripada gabungan dua perkataan iaitu gah berpusing. Gah dalam
istilah permainan gasing bermaksud berpusing dengan ligat dan tegak.

Gasing Berasal Daripada Permainan Laga Telur
Sumber dari Kedah ada menyatakan bahawa permainan gasing berasal
daripada permainan laga telur ayam. Permainan memusing dan melagakan
telur ayam ini menjadi permainan kegemaran kanak-kanak pada masa
dahulu. Kemudian barulah timbul idea untuk menghasilkan gasing mengikut
rupa bentuk telur. Paksi ditambah agar gasing berputar dengan laju dan
tegak. Gasing yang diputar dengan tangan kurang ligat berputar dan
pusingannya tidak tahan lama. Oleh itu tali digunakan supaya dapat
memusingkan gasing dengan lebih ligat dan lama.

Gasing Berasal Daripada Peralatan Memburu Binatang
Pemain gasing veteran dari Sungai Pahang menyatakan bahawa gasing
dahulunya merupakan senjata untuk memburu binatang. Gasing yang
berbentuk leper dan bulat akan berputar dengan ligat apabila dilemparkan ke
badan binatang buruan. Idea permainan gasing dikatakan datang daripada
aktiviti masa lapang para pemburu, yang pada mulanya bertujuan menguji
kecekapan melempar gasing ke sasaran.
PENGENALAN
Gasing merupakan sejenis permainan tradisional yang begitu popular pada
suatu ketika dahulu. Kepenatan membanting tulang dalam mencari rezeki
menyebabkan orang Melayu dahulu mencari alternatif untuk bergembira
tanpa mengeluarkan belanja yang besar dan menggunakan bahan
terbuang. Ini telah menimbulkan idea kepada masyarakat Melayu untuk
mencipta permainan gasing yang diperbuat daripada saki baki kayu yang
terbuang. Pelbagai faedah boleh didapati daripada permainan gasing ini.
Selain dijadikan sebagai hiburan dan juga memanfaatkan bahan terbuang,
permainan gasing juga dapat mengembangkan idea-idea masyarakat
Melayu, dan ini terbukti dengan kemunculan pelbagai bentuk gasing serta
teknik permainan. Permainan gasing juga dapat menyerikan lagi rumah
tradisional Melayu kerana gelanggang permainan gasing kebiasaannya
dibina di halaman rumah dan di bawah pohon yang rendang yang
meredupkan gelanggang. Permainan gasing bagi orang Melayu juga
mengukur tahap kemahiran dan kepantasan seseorang dalam menghadapi
sesuatu situasi. Kemahiran dan kebolehan ini diaplikasi secara sistematik
dalam gelanggang gasing. Kepantasan dan ketepatan amat jelas dalam
permainan gasing dan ia juga memupuk semangat kekitaan yang tinggi.
Permainan gasing harus terus dimainkan oleh generasi muda sekarang
sebagai langkah mengekalkan daya kreatif bangsa Melayu mencipta
permainan berasaskan serpihan kayu. Jika usaha gigih diteruskan pasti
suatu ketika nanti gasing akan menjadi permainan yang digemari.
Pemulihan permainan ini diharap dapat memaparkan kepada umum
tentang warisan bangsa Melayu yang telah dilupakan agar terus
berkekalan.

Anda mungkin juga menyukai