Anda di halaman 1dari 8

KPR 3013 : Refleksi Tajuk

Nombor 1
Perkembangan Kurikulum Dan Pengajaran Sekolah Rendah.
Rumusan Tajuk
Bab ini menghuraikan secara ringkas senario kurikulum dan pengajaran pada zaman
prapenjajahan Inggeris, semasa zaman penjajahan Inggeris dan zaman pascamerdeka. Boleh
dikatakan sejarah kurikulum dan pengajaran telah bermula sejak bermulanya tamadun
manusia.
Dalam konteks masyarakat Melayu telah pun wujud kurikulum dan pengajaran zaman
prapenjajahan Inggeris . Pada masa ini telah wujud pendidikan tradisional atau pendidikan
informal. Ibu bapa memainkan peranan penting mendidik anak-anak terutamanya berkaitan
soal keagamaan seperti fardhu ain dan fardhu kifayah, sahsiah, kesopanan dan hubungan
kemasyarakatan. Ilmu diperturun dan diwarisi daripada satu generasi kepada generasi yang
lain. Pada zaman ini juga kanak-kanak lelaki dilatih mewarisi pekerjaan bapa. Manakala anak-
anak perempuan pula dilatih mewarisi pekerjaan ibu mengurus rumah tangga. Tuntasnya,
pendidikan zaman ini lebih menitikberatkan survival untuk hidup hari ini yang dapat menepati
kehendak agama.
Pada zaman prapenjajahan Inggeris juga wujud pendidikan formal yang berlangsung di
istana. pendidikan ini disediakan untuk anak-anak golongan bangsawan dan pembesar istana.
Pendidikan berjalan secara terancang dan teratur. Kanak-kanak mengikuti pelajaran
berdasarkan kemahiran membaca, menulis dan mengira di samping penekanan ilmu
keagamaan.
Pada zaman penjajahan Inggeris, kurikulum dan pengajaran telah berubah. Pada zaman ini
Inggeris telah memperkenalkan sekolah vernakular yang berteraskan bahasa ibunda murid-
murid. Antara sekolah tersebut seperti sekolah Melayu yang menggunakan bahasa Melayu
sebagai bahasa pengantar. Tulisan rumi dan jawi digunakan secara serentak. Matlamat
pendidikan pula supaya murid-murid mewarisi pekerjaan sebagai petani dan pekerja bawahan.
Kurikulum pula berkisar kemahiran membaca, menulis, mengira dan mengarang.
Selain itu, pada zaman ini juga terdapat sekolah vernakular Cina. Kurikulum sekolah ini
meliputi ajaran klasik Cina, opera, tulisan dan ajaran Confucius. Tenaga pengajar dibawa masuk
dari tanah besar Cina. Mulai tahun 1929 sekatan kemasukan guru dari Cina telah berkuat kuasa.
Secara umumnya sekolah vernakular Cina menitikberatkan budaya dan adat resam yang
berkiblatkan negara asal.

Sekolah vernakular yang lain ialah sekolah Tamil. Sekolah ini juga berorientasikan negara
asal. Pada dasarnya sekolah ini bertujuan membasmi buta huruf dan menerapkan unsur-unsur
kerohanian. Bahasa pengantarnya pula meliputi bahasa Tamil, Malayalam, Telegu dan Punjabi.
Seterusnya, terdapat sekolah Inggeris untuk mendidik anak-anak pegawai Inggeris, anak-
anak ahli peniagaan dan anak-anak golongan elit Melayu. Nilai yang diterapkan ialah perasaan
bangga terhadap pemerintah Inggeris. Sekolah ini menggunakan bahasa Inggeris sebagai
bahasa pengantar.
Ketika Jepun menjajah Tanah Melayu, pihak berkuasa Jepun telah membuka sekolah
Nihongo. Kurikulumnya meliputi nyanyian lagu-lagu klasik Jepun, budaya Jepun dan penerapan
nilai kesetiaan kepada kerajaan dan maharaja Jepun. Jepun melaungkan slogan Asia adalah
untuk orang Asia.
Selepas Perang Dunia Kedua Inggeris telah menubuhkan Jawatankuasa Cheeseman yang
mengeluarkan laporan supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris diberikan kepada
semua murid di sekolah rendah. Sementara pelajaran vokasional dilaksanakan sepenuhnya.
Seterusnya pada 1949 lahir pula Laporan Barnes. Antara cadangannya ialah Pengajaran di
sekolah rendah menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Sekolah dibuka kepada
semua kaum secara percuma. Hanya bahasa Inggeris digunakan di sekolah menengah.
Laporan Barnes dianggap memihak kepada orang Melayu. Oleh sebab itu, lahir pula
Laporan Fenn-Wu, 1951. Syor Jawatankuasa ini ialah penggunaan bahasa Melayu, Inggeris dan
Cina dalam pelaksanaan kurikulum dan pengajaran. Mata pelajaran bahasa Cina dan bahasa
Tamil diteruskan dan diperbaiki. Bantuan kewangan daripada kerajaan ditambah kepada
sekolah Cina. Walau bagaimanapun Laporan Fenn-Wu tidak dapat dilaksanakan.
Pada 1956 lahir pula Penyata Razak yang mengesyorkan supaya perpaduan menjadi agenda
utama pendidikan. Penyata Razak telah menjadi asas kepada Ordinan pelajaran 1957. Pada
tahun 1960 Jawatankuasa Rahman Talib telah mengeluarkan laporan yang menjadi asas
kepada pewartaan Akta Pelajaran 1961. Antara kandungan laporan tertsebut ialah satu
bentuk kurikulum dan peperiksaan yang sama untuk keseluruhan sistem persekolahan di
negara ini digunakan. Seterusnya pendidikan selepas merdeka adalah untuk melahirkan
perpaduan dan rakyat yang bebas buta huruf.
Secara tuntasnya, kurikulum dan pengajaran di negara kita telah melalui proses yang panjang
lagi berliku-liku. Hal ini kerana pendidikan di sekolah kita adalah untuk memenuhi kemahuan
rakyat dan dasar pemerintah. Walau bagaimana rumit sekali pun matlamat pendidikan hendak
dicapai, agenda perpaduan dan kemahiran murid adalah keutamaan.

2. Peta Minda
Kurikulum dan pengajaran zaman sebelum penjajahan Inggeris
Pendidikan Tradisional
Pendidikan Informal
Pendidikan Formal
Kurikulum dan pengajaran zaman penjajahan Inggeris
Sekolah Melayu
Sekolah Cina
Sekolah Tamil
Sekolah Inggeris
Sekolah Nihongo (Zaman Jepun)
Kurikulum dan pengajaran selepas Perang Dunia Kedua
Jawatankuasa Cheeseman (1946)
Laporan Barnes (1949)
Laporan Fenn Wu (1951)
Kurikulum dan pengajaran zaman selepas merdeka.
Penyata Razak (1956) = Ordinan Pelajaran 1957
Penyata Rahman Talib (1960) = Akta Pelajaran 1961






3. 5 konsep/ istilah.
Konsep/Istilah/Perkara
Penting
Penjelasan
1 Fardhu ain Fardhu ain ialah perkara-perkara yang wajib ditunaikan
oleh setiap umat Islam.Jika ditinggalkan dengan sengaja
hukumnya adalah berdosa. Fardhu ain meliputi hal-hal
seperti ibadat, akidah dan hukum-hakam dalam Islam .
Sebagai contoh, solat fardhu, zakat, ibadat haji, berbakti
kepada ibu bapa dan menuntut ilmu pengetahuan.
2 Fardhu kifayah Fardhu kifayah ialah perkara yang dituntut oleh syarak
dan wajib dilaksanakan oleh sebahagian anggota umat
Islam. Jika diabaikan seluruh anggota masyarakat Islam
akan menanggung dosa. Namun, jika sebahagian lain yang
melaksanakannya seleruh masyarakat Islam terlepas
daripada dosa. Sebagai contoh pengurusan jenazah, solah
berjemaah dan menuntut pelbagai ilmu sains.
3 Golongan bangsawan Golongan yang berkedudukan dalam masyarakat dan
dipandang mulia. Dalam konteks masyarakat Melayu
tradisi golongan bangsawan adalah golongan yang rapat
dengan pihak istana. Oleh sebab itu, golongan bangsawan
menjadi perantara antara rakyat jelata dengan pihak
istana.
4 Asia adalah untuk orang
Asia.
Slogan ini mula diperkenalkan oleh tentera Jepun semasa
menduduki Tanah Melayu dalam Perang Dunia Kedua.
Jepun telah membuktikan bahawa bangsa Asia boleh
menewaskan bangsa Eropah. Slogan ini adalah sebagai
satu cara menarik minat rakyat Tanah Melayu untuk
menyokong perjuangan bangsaAsia seperti Jepun.
Seterusnya, seluruh kekayaan negara Asia adalah untuk
orang Asia sahaja, bukannya orang Eropah.
5 Akta Undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dan
terpakai di seluruh negara Malaysia. Sebagai contoh,
Akta Pelajaran, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta
Jenayah dan sebagainya.




4. Impak Tajuk ke Atas Perkembangan Ilmu Perguruan Anda.
Tajuk ini telah meremajakan semula sejarah pendidikan negara kepada saya. Dua isu
penting yang terdapat dalam tajuk ini ialah pendidikan bertujuan membentuk perpaduan
dalam kalangan rakyat. Sebagai seorang guru saya mesti bersedia bekhidmat sepenuh hati agar
pendidikan hari ini menjurus ke arah perpaduan rakyat yang menjadi asas kepada
pembanganun negara dan keharmonian hidup bermasyarakat.
Isu yang kedua ialah matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan insan berilmu,
bersahsiah mulia dan berkemahiran. Matlamat pendidikan seperti ini telah pun sejak zaman
lama dahulu. Oleh sebab itu, tajuk ini memberi ilham tambahan kepada saya untuk mencari
jalan menyampaikan ilmu secara tersurat dan tersirat agar anak bangsa tidak tertinggal dalam
menggapai cita-cita murni menjadi insan yang berkualiti.

5. Pendapat Anda Tentang Tajuk
Tajuk ini sangat relevan dengan kursus yang saya ikuti. Tajuk ini telah menghurai kembali
secara ringkas akar sejarah pendidikan negara. Sesuai dengan perubahan masa, sejarah
pendidikan negara telah berubah dari satu tahap kepada tahap lain. Tajuk ini dapat memberi
kefahaman kepada saya tentang keperluan perubahan dasar-dasar pendidikan negara.
Sesungguhnya sejarah telah berlalu tetapi faktanya terus hidup. Begitulah halnya dengan
tajuk ini yang telah membuka semula jendela sejarah yang dapat memberi ruang kepada saya
melihat saujana warna pendidikan negara.









REFLEKSI TAJUK
(KRP 3013 : Kurikulum dan Pengajaran Sekolah Rendah)

No.Tajuk Tajuk
Unit 3 Matlamat Kurikulum Sekolah Rendah.
1. Rumusan Tajuk
Matlamat pendidikan sentiasa mengalami perkembangan dari semasa ke semasa. Pada
zaman penjajahan Inggeris matlamat pendidikannya adalah selari dengan dasar pecah dan
perintah. Oleh sebab itu, matlamat pendidikan bukanlah ke arah perpaduan rakyat. Walau
bagaimanapun selepas negara mencapai kemerdekan pendidikan digerakkan ke arah
perpaduan, pembasmian buta huruf dan melahirkan tenaga kerja masih untuk kemajuan
negara.
Matlamat pendidikan di Malaysia telah mengalami perubahan di beberapa tahap. Pada
zaman sebelum penjajahan Inggeris pendidikan bercorak tradisional yang pendidikan berlaku
dalam lingkungan keluarga dan masyarakat. Matlamat pendidikan pula untuk mencapai
kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Sementara itu, pada zaman penjajahan Inggeris, pihak berkuasa telah memperkenalkan
sistem pendidikan formal dengan menubuhkan sekolah vernakular. Sebagai contoh, sekolah
Melayu yang berbahasa pengantar bahasa Melayu. Sekolah Cina pula menggunakan bahasa
Cina dan sekolah Tamil menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar. Matlamat
pendidikan ialah memberi pendidikan asas kepada kanak-kanak agar dapat mewarisi pekerjaan
ibu bapa.
Pada zaman pascamerdeka pula matlamat pendidikan di negara kita mengalami beberapa
perubahan yang lebih tersusun. Penyata Razak 1956 telah menggariskan beberapa cadangan
seperti pendidikan adalah untuk membina sebuah negara yang bersatu padu dan menjadikan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Laporan inilah yang menjadi asas kepada
pengisytiharan Ordinan Pelajaran 1957.
Pada tahun 1979 lahir pula Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar
Pelajaran Kebangsaan. Jawatankuasa ini memperakukan bahawa kurikulum sekolah rendah
terarah kepada kemahiran murid kepada tiga bidang asas iaitu komunikasi, manusia dan alam
sekelilingnya dan bidang perkembangan individu. Ekoran daripada saranan jawatankuasa ini,
diperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) 1983 yang memberi penekanan kepada
kemahiran asas 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira.
KBSR 1983 mengalami perubahan apabila dimurnikan dan dikenali sebagai Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah (1993). Perubahan ini adalah selari dengan Fahsafah Pendidikan
Kebangsaan yang mencorakkan murid agar mampu bersaing pada abad ke-21. Justeru melalui
KBSR 1993 diharap mampu melahirkan generasi yang berfikir dan berilmu pengetahuan,
beretika tinggi dan bijaksana, dan menggunakan teknologi maklumat secara berkesan.
Pelaksanaan KBSR 1993 pula menekankan aspek penerapan nilai murni dan semangat patriotik
dalam kalangan murid-murid.
Matlamat pendidikan sekolah rendah terus mengalami perubahan ke arah menggarap
sistem pendidikan yang lebih gemilang. Sesuai dengan matlamat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan yang berhasrat memperkembang potensi individu secara menyeluruh dari segi
jasmani, emosi, rohani dan intelek, maka KBSR mengalami sekali lagi perubahan. Mulai tahun
2011 Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah dilaksanakan ke atas semua murid
Tahun 1. KSSR berharap agar murid yang mengikuti KSSR mempunyai asas-asas insan yang
seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial. Selain itu, murid akan menjadi
warganegara yang bertanggungjawab . Seterusnya murid akan bertindak sebagai Global Player
dan pekerja berilmu.


2. Peta Minda










3. Konsep/Istilah/Maksud perkara penting yang terdapat dalam tajuk ini.
Konsep/Istilah/Perkara Penting Penjelasan
1 Dasar pecah dan perintah Dasar pecah dan perintah adalah polisi penjajah
Inggeris untuk meruntuhkan kekukuhan sistem politik,
ekonomi dan sosial rakyat tempatan. Selepas sistem
tersebut lemah dan tidak bermaya, maka Inggeris
mengambil kesempatan menunjukkan kebijaksanaan
menguruskan pentadbiran negeri-negeri Tanah Melayu.
2 Beretika tinggi Prinsip moral atau akhlak mulia yang menjadi pegangan
insan yang budiman. Sebagai contoh, insan yang
beretika tercerna melalui tutur kata terpuji, adab sopan
mulia, kejujuran dalam tindakan , sentiasa terdorong
melakukan kebaikan, sentiasa terdorong meninggalkan
kejahatan dan takut kepada Allah.
3 Semangat patriotik Perasaan cinta yang tebal kepada negara. Rela
berkorban demi negara. Sanggup berjuang untuk
negara dalam sebarang keadaan sama ada di medan
perang atau berjuang untuk memartabatkan imej
negara ke tahap tertinggi.
4 Asas-asas insan yang seimbang Insan yang memiliki kekuatan yang seimbang dalam
segala aspek seperti kekuatan Rohani dan Jasmani,
Fizikal dan Emosi. Menurut Islam, insan yang seimbang
ialah insan yang dapat menunaikan kewajipan Allah dan
Sunnah Rasul secara berhikmah untuk mencapai
keredhaan di dunia dan di akhirat.
5 Global player Generasi yang akan mencorakkan dunia dalam semua
bidang. Generasi ini akan bersaing di peringkat
antarabangsa dengan semua pekerja mahir dari
pelbagai negara di dunia. Dalam arus globalilasi global
player mestilah memiliki kemahiran tinggi dan menjadi
sumber penawaran menarik kepada agensi
antarabangsa.

Anda mungkin juga menyukai