Anda di halaman 1dari 2

http://cikgusazali.blogspot.

com
Grafik di bawah merupakan sebahagian daripada logo laman sosial yang digunakan pada masa ini
serta maklumat tentang faedah-faedah menggunakannya.
Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah menggunakan laman sosial. Panjangnya huraian
anda hendaklah antara 200 250 patah perkataan.
Faedah-faedah Menggunakan Laman Sosial

Menambahkan kenalan
Mempromosikan barangan
Menyebarkan maklumat

Selaras dengan zaman globalisasi dan ledakan maklumat, penggunaan laman sosial
khususnya dalam kalangan remaja menjadi satu fenomena dalam dunia komunikasi pada masa ini.
Pertambahan bilangan pengguna telefon pintar menjadikan aplikasi laman sosial semakin popular
dan muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dan boleh dimuat turun melalui Google Play
dengan mudah. Sesungguhnya, penggunaan laman sosial memberi banyak faedah kepada
pengguna.
Pada pandangan saya, antara faedahnya ialah menambahkan kenalan. Hal ini dikatakan
demikian kerana laman sosial membuka ruang yang seluas-luasnya kepada seseorang untuk mencari
dan mengenali rakan mereka melalui paparan maklumat peribadi dan foto yang dimuat naik. Di
samping itu, pengguna laman sosial juga dapat menghubungi atau bertukar-tukar pesanan ringkas
serta berkongsi cerita dengan rakan mereka pada bila-bila masa. Sebagai contoh, pengguna boleh
menambahkan kenalan menerusi aplikasi Facebook kerana aplikasi ini menyediakan kemudahan
carian kenalan, paparan data peribadi, foto dan pengguna hanya menekan aksara pemintaan untuk
menjadi rakan jika berhajat untuk berbuat demikian. Tegasnya, menambahkan kenalan merupakan
antara faedah menggunakan laman sosial.
Selain itu, mempromosi barangan juga dikenal pasti sebagai salah satu manfaat yang
diperoleh daripada penggunaan laman sosial. Hal ini bermaksud, laman-laman sosial menyediakan
ruang kepada mana-mana usahawan untuk mempromosikan produk mereka secara dalam talian.
Lagipun, laman-laman sosial ini menjadi wahana yang cukup berkesan untuk menarik perhatian
pengguna internet kerana maklumat tentang sesuatu barangan boleh diakses dengan mudah pada
bila-bila masa. Contohnya, para usahawan boleh membuka akaun facebook dan menggunakan
akaun tersebut untuk menyatakan maklumat terperinci tentang sesuatu produk yang dihasilkan.
Mereka juga boleh melakukan perkara yang sama melalui WhatsApp atau Twitter walaupun paparan
dalam kedua-dua aplikasi ini agak terbatas. Jelaslah bahawa salah satu manfaat laman sosial ialah
mempromosikan barangan.

http://cikgusazali.blogspot.com
Faedah menggunakan laman sosial yang berikutnya ialah menyebarkan maklumat. Dalam
konteks ini, para pengguna boleh memanfaatkan laman sosial untuk berkongsi sesuatu maklumat
yang terkini bersama-sama rakan yang lain dalam talian. Tambahan pula, kos untuk menyebarkan
maklumat melalui laman sosial lebih murah berbanding dengan kaedah konvensional. Misalnya,
para pengguna boleh menggunakan laman sosial untuk menghebahkan maklumat tentang pelajaran
dengan menggunakan WhatsApp, Twitter atau Facebook di rumah masing-masing. Mereka juga
boleh menyebarkan maklumat tentang isu semasa di dalam atau di luar negara dan berkongsi idea
dengan pengguna internet yang lain. Saya optimis bahawa menyebarkan sesuatu maklumat dengan
pantas dan menjimatkan merupakan antara faedah yang diperoleh menerusi penggunaan laman
sosial dalam kalangan masyarakat.
Kesimpulannya, setiap pengguna mestilah berusaha untuk memanfaatkan laman sosial
secara optimum agar laman ini menjadi medium yang boleh membantu seseorang untuk
berinteraksi secara lebih mudah. Dalam hal ini, orang tua-tua pernah menyatakan bahawa kalau
tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya!

Anda mungkin juga menyukai