Anda di halaman 1dari 9

1

BAHASA DALAM UJANA KREATIF:


PENELITIAN DARI PRESPEKTIF STILISTIK
Arbaie bin Sujud Ph.D
Jabatan Bahasa Melayu,
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM
arbaie@fbmk.upm.edu.my
Pendahuluan
Bahasa merupakan wadah untuk manusia berkongsi maklumat, menyampaikan maksud dan apa-apa juga
saranan yang mewajarkan berlakunya tindak balas sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Melalui
keupayaan berbahasa yang dimiliki oleh seseorang itu, keakraban dan perkongsian maklumat dapat
diperoleh. Melalui keupayaan berbahasa, khazanah ilmu dapat diselongkar. Berfungsinya
bahasa,
sehingga dapat merubah tanggapan, perasaan dan keperibadian seseorang. Dalam konteks inilah yang
dikatakan bahawa bahasa mempunyai kuasa sebagaimana ditegaskan oleh Aristotle. Untuk maksud ini,
keupayaan bahasa yang digunakan berupaya menggalas dan menyelongkar khazanah komunikatif sama
ada yang tersurat mahupun tersirat. Dalam karya sastera yang bersifat kreatif imaginatif umpamanya,
kedudukan dan fungsi bahasa sangat penting untuk membangkitkan kesan kepada pembaca atau khalayak
sasarnya.
Hal ini demikian kerana bahasa sastera terikat kukuh dengan mekanisme emosinya yang menjadi
penunjang keistimewaan genre sastera. Bahasa emosi dalam konteks ini merujuk kepada tindak balas dan
kesan penerapan bahasa oleh pencipta yang mampu menerbitkan pelbagai perasaan kepada khalayak.
Antaranya, perasaan suka, duka, sayang, benci atau marah. Bagi pembaca yang benar-benar menghayati
sesebuah teks sastera, runtunan emosi akan hadir kesan daripada olahan bahasa yang digunakan oleh
penulisnya. Justeru, dalam menyampaikan maklumat, penulis mempelbagaikan cara dan pendekatan
tertentu agar pembaca dapat memahami maksud yang disampaikan. Pemahaman pembaca terhadap
sesebuah karya sama ada berbentuk prosa mahupun puisi dipengaruhi oleh penggunaan bahasa yang
merupakan wahana pengungkapan bagi seseorang pengarang. Pembaca akan mentafsir lambang-lambang
bahasa, penanda dan petanda bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam mengungkapkan pemikiran
mereka. Lambang atau sistem tanda yang digunakan itu mempunyai makna sebagai mewakili atau saluran
pengucapan pengarang. Penerapan unsur bahasa seperti perlambangan, personifikasi, metafora, dan
simile yang menjadi input keindahan berbahasa dalam sastera, tidak seharusnya dipilih dan digunakan
secara sewenang-wenang. Penggunaannya perlu diteliti supaya tidak memberatkan pemahaman sehingga
menimbulkan jurang antara pembaca dengan penulis.
Penanda Bahasa dalam Ujana Kreatif
Sesebuah karya sastera akan menimbulkan kesan dan penghayataan yang mendalam sekiranya
pembaca dapat memahami perkara yang disampaikan oleh pengarang. Maksud pengarang akan ditanggapi
berdasarkan perantara bahasa. Dalam hal ini tentunya wujud perbezaan dari aspek langgam dan seni
bahasa yang digunakan dalam teks sastera jika dibandingkan dengan teks ilmiah. Hal ini demikian kerana
karya sastera yang bersifat kreatif imaginatif dilingkungi aturan gaya bahasa tertentu. Antaranya, gaya
berseni yang dipancarkan melalui kehalusan, ketertipan, bersistem dan nilai estetik yang dimiliki
(Slamatmuljana:1998). Apatah lagi jika konsep dan pengertian sastera itu juga merujuk kepada konsep
sastera berteraskan seni bahasa yang indah. Dengan demikian wujud pertalian erat yang saling
menompang antara bahasa dan sastera. Bahasa dan sastera terikat erat dalam jalinan disiplin yang dapat
dipadankan. Kesepadanan ini berasaskan bahawa bahasa adalah wahana penting dalam wacana sastera.
Dengan demikian, penyatuan disiplin ilmu antara bidang bahasa dan sastera terjalin kukuh tanpa suatu
pemisahan yang rigid. Penyatuan itu, dapat dilihat dengan penerapan ilmu lingustik untuk mengkaji karya
atau teks sastera yang pelbagai genre iaitu puisi atau prosa dan jenisnya iaitu tradisional mahupun moden.

2
Menyentuh tentang fungsi dan kedudukan bahasa dalam teks sastera pembaca akan mentafsir dan
melakukan jangkaan makna berdasarkan unsur bahasa yang digunakan oleh pengarangnya. Ketepatan
pemilihan kata dan diksi yang digunakan oleh pengarang akan memberi ruang kepada pembaca untuk
memahami dan mendekatkan jurang makna. Dalam karya kreatif umpamanya, bahasa sangat berperanan
penting. Hal ini demikian kerana bahasa dan sastera terikat erat dalam jalinan disiplin yang dapat
dipadankan. Keupayaan bahasa yang digunakan mampu untuk menggalas dan menyelongkar khazanah
komunikatif sama ada yang tersurat mahupun tersirat. Sifat karya sastera yang kreatif imaginatif tentunya
memerlukan wahana tertentu untuk membedah lautan makna yang ada di dalamnya. Oleh sebab itu,
beberapa disiplin linguistik berupaya dijadikan landas penganalisisan sesebuah karya sastera.
Menerusi pendekatan stilistik umpamanya, jurang makna antara pengarang dengan pembaca
dapat dikecilkan. Penggunaan bahasa dalam karya sastera dengan memberi tumpuan kepada tujuan dan
kesesuaian penggunaan bahasa oleh pengarang yang dikesan melalui aspek morfologi, sintaksis mahupun
semantik. Hal ini demikian kerana terdapat pertalian yang erat antara bahasa dengan sastera yang perlu
difahami oleh pembaca. Stilistik sedapat mungkin memberikan pilihan dan pendidikan secara tidak formal
kepada pembaca ketika membaca dan mentafsir sesebuah karya. Bagi penulis pula, pendekatan ini
memberi ruang kepada mereka untuk memahami aspek bahasa yang tepat dan selaras dengan makna
yang difikirkan serta penggunaan teknik-teknik yang sesuai dalam mengungkapkan wacana mereka.
Penggunaan bahasa dan teknik yang menjadi kecenderungan kepada seseorang pengarang itu dapat
memperlihatkan kejatidirian seseorang penulis.
Dalam memahami sesebuah karya, khalayak pembaca tidak selamanya dapat menikmati atau
memahami keseluruhan karya yang dibacanya itu. Tambahan pula, dengan wujudnya kepelbagaian karya
oleh pelbagai penulis telah menyajikan pelbagai gaya atau stail penulisan. Justeru, akan wujud penilaianpenilaian tertentu. Penilaian negatif akan timbul kerana karya yang dibaca itu tidak dapat memberi makna
seperti yang diharapkan kerana kekaburan dan kecelaruan bahasa yang digunakan. Namun, ada juga karya
yang mendapat tanggapan positif dan memberi kesan penghayatan yang tinggi berdasarkan penggunaan
dan keindahan bahasa yang digunakan. Kesan tersebut mewujudkan ketegangan antara penulis dengan
pembaca. Pembaca yang tidak dapat menikmati sesuatu karya seperti yang diharapkan mungkin akan
menganggap penulis gagal menggunakan bahasa yang baik untuk menghubungkan idea dengan
pembacanya. Bagi penulis pula, kegagalan pembaca memahami perkara yang disampaikan disebabkan
kegagalan pembaca mentafsir motif yang disampaikan dengan tepat. Konflik antara pembaca dan penulis
akan berterusan sekiranya ruang saling menerima dan memahami tidak diwujudkan.
Dalam situasi ini, lebih mudah untuk melihat khalayak pembaca yang akan menitiskan air mata
untuk menggambarkan perasaan sedih, hiba tangisan kegembiraan kesan daripada pembacaan
menggunakan teks sastera berbanding dengan teks ilmiah walaupun mungkin dihasilkan oleh penulis yang
sama. Hakikat inilah yang dapat ditentukan bahawa pengucapan sastera mempunyai langgam bahasa
tertentu yang dapat membezakan antara karya sastera dan bukan sastera. Seorang pengarang sentiasa
mempunyai kepekaan dan berusaha menggunakan bahasa sepadat dan sebaik mungkin. Hal ini demikian
kerana sesuatu yang dipilih atau diciptakan oleh seseorang bukan sekadar ciptaan kosong yang dangkal
tetapi sewajarnya dapat memberikan pengertian dan makna kepada pembaca. Bagi Mohammad Mokhtar
Hassan (1995:1), ini tentu sahaja boleh berlaku kerana seorang pengarang berkemampuan untuk
memperoleh idea yang luar biasa atau genius. Kebolehan yang luar biasa itulah yang mampu dilakukan
oleh pengarang atau penyair berbanding dengan manusia biasa untuk menghasilkan karya-karya yang
dapat mengajak masyarakat untuk memahami dan merenungi dengan mata fikirnya. Dalam konteks ini,
beberapa penanda dikenal pasti sebagai rujukan penerapan bahasa dalam karya kreatif. Antaranya
penanda emotif, penanda gaya kepengarangan, penanda sebab dan akibat, penanda fungsional dan
penanda estetik.
a. Penanda Emotif
Sesebuah karya prosa berkembang berdasarkan konflik-konflik watak yang diwujudkan.
Kerencaman konflik ini dipaparkan melalui olahan bahasa yang digunakan oleh pengarang berdasarkan
dialog-dialog watak. Misalnya, sewaktu berkonflik dialognya berbeza sewaktu dalam situasi kegembiraan,

3
atau santai. Begitu juga dalam menggambarkan pelbagai perasaan seperti marah, benci atau sayang
pelbagai penanda bahasa digunakan. Semuanya ini dikesan melalui penggunaan ayat, diksi mahupun
simbol-simbol tertentu mempunyai interpretasi tertentu. Dalam hal inilah kreativiti berbahasa pengarang
dituntut untuk menjadikan bahasa yang digunakan kemas dan memberi kesan maksimum kepada
pembacanya. Lantaran itu penggunaan bahasa dalam teks sastera tidak hanya menekankan aspek
tatabahasa sahaja tetapi kepada makna atau maksud sebenar sesuatu perkataan atau ayat digunakan
mengikut konteks pertuturan atau penggunaan yang sebenarnya.
Hal ini selaras dengan pernyataan Wittgenstein ( 1938: 7 ) yang menegaskan bahawa makna
bukan setakat apa yang dapat dilihat daripada bentuknya, tetapi penggunaan itulah maksudnya. Melalui
petikan di bawah, dapat dilihat penggunaan bahasa dengan konteks dan situasi sesuatu dialog tersebut
diujarkan.
[A 1] Dia memaksa saya, ayah. Siti Sarah menangis terus.
[A2] Dan kau ... pak Mat tidak berani meneruskannya
[A3] Dia cuba memaksa saya, ayah.
[A4] Dan saya melawannya. Saya melawannya
(Perjudian:108)
Ayat [A1-A4] adalah dialog antara seorang ayah dengan anak yang berhadapan dalam konflik
akibat daripada peristiwa yang terjadi. Pelbagai perasaan dapat dikesan iaitu perasaan takut, cemas, sedih
dan ledakan perasaan yang meluap-luap bercampur baur. Hal ini mempengaruhi penggunaan bahasa oleh
pengarang. Dalam petikan tersebut, didapati interaksi dan lawan cakap antara watak-watak berlaku dalam
julat yang cepat, bertalian antara satu dengan lain bertujuan untuk mencari penyelesaian. Hal ini ditandai
dengan penggunaan ayat yang berstruktur ayat tunggal dengan ayat yang pendek. Pemilihan kata mudah
difahami yang menjadikan aliran pengucapan bersituasi cepat. Pengarang berhati-hati memilih ayat atau
diksi yang sesuai untuk menimbulkan kesan kepada pembaca semasa menghayati. Perkara yang sama
dikesan dalam petikan dialog di bawah :
Siapa demo fikir kuat?
Mana kawan tahu, jawab peraih kedua tadi dengan selamba
Hukum alam kata begitu.
Kawan tak tahu.
(Wajah Seorang Wanita:192)
Namun, jika hal yang dibicarakan oleh watak-watak merakamkan perasaan gembira atau
melahirkan keceriaan dialog yang diungkapkan juga berbeza struktur ayat atau diksi yang digunakan seperti
dilihat dalam petikan di bawah :
[B1] Lain kali kalau nak tulis doa atau nak tulis lain-lain, cari abang Omar tetapi Siti
mesti ingat, Abang Omar menulis untuk Siti bukan percuma selama-lamanya, tau,
mesti juga ada upahnya sesekali.
(Wajah Seorang Wanita:78)
Ayat [B1] dalam petikan tersebut dialog diujarkan oleh seorang watak yang berstruktur ayat majmuk.
Binaan ayat tersebut terdiri daripada dua atau lebih klausa. Struktur ayatnya lebih panjang dan ditandai
dengan kata hubung setara dan penanda pancangan. Dari aspek pembacaan pula didapati tidak ada
desakan pengucapan yang memerlukan ungkapan dialog tersebut diungkapkan secara cepat. Untuk
maksud ini Ida Bagus Putrayasa (2007), berpendapat bahawa setiap gagasan, fikiran atau konsep yang
dimiliki seseorang pada praktisnya diterapkan ke dalam bentuk kalimat. Kalimat itu harus disusun
berdasarkan kaedah-kaedah yang berlaku seperti unsur-unsur penting yang harus dimiliki setiap kalimat

4
(subjek dan predikat), serta cara memilih kata (diksi) yang tepat dalam kalimat. Kalimat yang memenuhi
kaedah-kaedah tersebut jelas dan mudah difahami oleh pembaca dan pendengar.
b. Penanda Gaya Kepengarangan
Setiap penulis mempunyai kemampuan dan kebolehan untuk memanipulasikan bahasa sebaik
mungkin. Dalam hal ini kemampuan berbahasa sebagai satu anugerah dan bakat seseorang penulis.
Kebolehan dan bakat yang dimaksudkan ialah keupayaan seseorang penulis mengeksploitasi bahasa
terutama yang bercorak kreatif. Justeru, kajian tentang karya sastera merupakan suatu huraian tentang
bakat dan kebolehan mengarang bagi seseorang pengarang. Dalam hal ini analisis sastera tidak sahaja
semata-mata dalam lingkungan pengaplikasian bahasa tetapi juga menjangkaui kepersisan bakat
berbahasa penulisnya.
Lantaran itu, didapati sesetengah pengarang ,memilih kata-kata atau diksi yang pelbagai sifatnya.
Misalnya, kata-kata atau diksi yang bersifat kolokial, dan lazim digunakan. Antaranya pengungkapan gaya
sehari-hari yang dikesan melalui penggunaan kata atau diksi misalnya dalam sajak J.M Aziz bertajuk
Gugur (DS; Mac 1976:35) di bawah ;
..
Kelapa tua
bersantan lemak berminyak
kelapa muda
berbemban lembut molek.
Perkataan bersantan, `lemak, berminyak dalam sajak tersebut merupakan perkataan-perkataan yang
umum digunakan dalam kehidupan harian. Pemilihan kata atau diksi yang bersifat harian ini seolah-olah
menjadikan pengungkapan tersebut berlaku secara tidak langsung atau tidak formal. Penyair berusaha
menimbulkan kesan keakraban dengan pembacanya melalui pemilihan kata yang kerap diungkapkan atau
difahami maksudnya.
Selain penggunaan kata seharian yang maknanya diketahui secara umum, dikesan juga
penggunaan kata seharian yang berupa dialek Melayu yang dituturkan oleh masyarakat Malaysia. Pemilihan
kata atau diksi yang berupa dialek, dapat memperkaya perbendaharaan kata dan memperluaskan horizon
penuturnya. Hal ini ditegaskan oleh J.M Murry bahawa penulis sewajarnya menjadi individu pembina yang
menciptakan keinginan pihak lain serta meluaskan kemampuan berbahasanya tanpa disedari. Apatah lagi
jika pemilihan kata tersebut dapat menimbulkan keinginan untuk pembaca di luar daerah pertuturan dialek
itu, untuk memahami makna sebenarnya. Misalnya, dalam sajak J.M Aziz bertajuk Timbang (DS; Jun
1979:45), penyairnya menerapkan beberapa diksi harian masyarakat Melayu khususnya di Terengganu.
Secara kebetulan J.M Aziz adalah penyair yang berasal dari negeri ini. Teliti rangkap sajak tersebut yang
menggunakan diksi harian yang bersifat dialek itu.
Timbang-timbanglah
molek-molek
mudah-mudahan
tak sengelat.
Kata molek-molek dalam konteks ini dapat dirujuk sebagai betul-betul, berhati-hati atau jujur
manakala kata sengelat membawa makna menipu atau tidak berlaku jujur. Dalam hal ini J.M Aziz telah
mempertimbangkan pemilihan kata tersebut secara tepat untuk mengungkapkan apa yang ada dalam
pemikirannya. Setiap diksi yang mewakili baris tersebut seimbang dari segi kesepadanan perkataan iaitu
kata `timbang-timbang dengan mudah-mudahan, merupakan kata bahasa Melayu yang umum, manakala
kata molek-molek dengan tak sengelat merupakan dialek Melayu. Penyairnya tidak mencampuradukkan
diksi bahasa Melayu umum dengan dialek. Pencampuran itu akan menyukarkan pemahaman dan boleh
mengelirukan pembacanya.
Penerapan diksi dari bahasa daerah atau suku dalam sajak yang dikaji dikesan dalam sajak
Abdulaziz H.M bertajuk Sing Ono Orak Ono, Sing Ora Ono Ono (DS; Februari 1979:20), yang bermaksud

5
yang ada tidak ada, yang tidak ada ada merupakan penggunaan diksi atau kata dalam bahasa Jawa.
Walaupun penggunaan kata dan diksi dalam bahasa Jawa tersebut tidaklah menyeluruh melainkan frasa
Sing Ono Orak Ono, Sing Ora Ono Ono yang diulang-ulang penggunaannya pada setiap rangkap, namun
ia masih menimbulkan kesulitan bagi sesetengah pembaca untuk memahami maknanya. Ini kerana
penerapan diksi bahasa ibunda seperti bahasa Jawa itu bukanlah daripada rumpun bahasa Melayu yang
jelas penyimpangnnya, berbanding dengan dialek daerah yang masih dalam kelompok atau rumpun bahasa
Melayu. Hal ini akan menimbulkan kesukaran kepada pembaca untuk mengagak makna berdasarkan diksi
atau kata yang digunakan.
Sajak-sajak yang diksi atau pemilihan katanya diambil daripada bahasa daerah atau dialek tertentu
itu keseluruhannya dihasilkan oleh penyair yang berasal dari daerah atau tempat yang menggunakan
dialek tersebut, misalnya dialek pantai Timur khususnya Terengganu oleh J.M Aziz dan dialek Kelantan oleh
Ashaari Muhammad manakala diksi atau kata Jawa diterapkan oleh Abdulaziz H.M yang berketurunan
Jawa. Dalam hal ini, penyair terlibat tentunya mempunyai alasan dan tujuan tertentu yang mendorong
mereka memilih diksi atau kata daripada bahasa ibunda atau dialek negerinya. Pada dasarnya, pemilihan
kata dan diksi yang sedemikian ini merupakan satu kelainan dari segi pengungkapan.
Dalam hal ini, pemilihan kata yang dilakukan oleh penyair merupakan satu kebebasan dan hak
penyair itu sendiri. Namun pemilihan, kata itu jika berdasarkan kepada pendapat Herman J. Waluyo
(1987:73), memperlihatkan bahawa pemilihan itu selain memperhitungkan soal makna yang disampaikan,
tingkat perasaan serta susunan batinnya, ia juga dipengaruhi oleh faktor sosiobudaya penyair. Lantaran itu,
didapati bahawa bahasa atau dialek dalam sajak-sajak yang dikaji itu, digunakan oleh penyair yang
mempunyai kebolehan dan pengalaman sama ada sebagai penutur atau pernah menggunakannya dalam
konteks sehariannya. Penekanan terhadap penggunaan kata yang padat dan berkesan disentuh oleh
Rachmat Djoko Pradopo (1987:11). Menurutnya, darjat sajak terletak pada kepadatan atau konsentrasinya.
Perkara ini dilakukan hasil daripada ekspresi kreatif penyair memadatkan pemikiran melalui pemilihan kata
atau diksi yang bermakna. Ini kerana dalam sajak kata-kata tidak keluar daripada simpanan ingatan sematamata. Sebaliknya, kata-kata dalam sajak lahir dan dibentuk untuk disesuaikan dengan maknanya. Justeru,
sewajarnya, dalam sajak tidak ada perbezaan kata dengan pemikiran yang diungkapkan.
Walaupun penggunaan kata atau diksi yang bombastik seperti yang dijelaskan oleh Rachmat Djoko
Pradopo, mampu menjejaskan kepadatan pengungkapan namun sesetengah penyair yang mementingkan
kepuitisan seperti yang dinyatakan oleh Altenbernd (1970:4-5), mempunyai pelbagai pilihan dan cara untuk
mendapatkan kesan puitis yang sebanyak-banyaknya. Kesan puitis sajak dapat dilihat melalui penerapan
dan pemanipulasian bahasa oleh penyairnya. Dalam hal ini, seseorang penyair akan menggunakan
kreativiti dan daya imaginasi untuk menterjemah pemikiran yang bersifat abstrak melalui kata-kata yang
dapat dikonkritkan maknanya. Misalnya dalam petikan di bawah kata bilik sempit dan gerigi-geriji besi
merujuk kepada subjek yang sama tetapi memberi kesan yang berbeza dalam konteks pemahaman kepada
pembacanya.
Tuan, kembalikan di ke bilik sempit dan gelap. Saya emaknya, bukan
datang hendak merayu dibebaskan. Saya cuma hendak ziarah!.
(Harga Sebuah Maruah:188)
.
Di balik gerigi-gerigi besi
Dan sunyi kian memamah hati
Sekian waktu dihukum
Terkurung dalam sangkar sepi

Selain itu dapat juga dikesan dalam gaya kepengarang penggunaan unsur perulangan. Perulangan
dalam karya sastera sama ada prosa ataupun puisi adalah sesuatu yang lazim ditemukan. Namun,
perulangan yang dilakukan itu bukanlah sesuatu yang dilakukan tanpa asas. Hal ini kerana dalam
menerapkan sesuatu teknik, pengarang atau penyair akan memperhitungkan kesan penerapannya terhadap
pemikiran yang disampaikan. Dari aspek penggunaannya, teknik perulangan tidaklah digunakan dengan
rigid. Dalam hal ini, wujud kepelbagaian penerapan jenis perulangan sebagaimana ditegaskan oleh

6
S.Effandi (2002:56). Kepelbagaian perulangan demikian dapat menimbulkan keragaman dan keseimbangan
unsur sama ada di dalam mahupun di luar yang membina struktur teks sesebuah karya sastera.
Pak Long Derani, generasi kita sudah lama hilang budaya tradisi sawah,
tetapi kita masih ada sawah, walaupun tradisi bersawah itu pupus oleh
zaman moden. Kita terima kepupusan tradisi itu. Tetapi apabila sawah kita
hilang atau pupus, bererti kita hilang tradisi dan sawahnya sekali. Ada
gantikah?
(Harga Sebuah Maruah:220)
Jelasnya, teknik perulangan yang digunakan bukanlah sesuatu pembaziran tetapi merupakan salah
satu daripada ragam bahasa dalam karya kreatif imaginatif yang bertujuan untuk mempertegas sesuatu
penyataan atau pemikiran yang diungkapkan. Bagi Farid M. Onn (1982), pula menjelaskan bahawa tulisan
kreatif sebagai tulisan imaginatif yang memerlukan penggunaan atau gaya bahasa yang kreatif dan
imaginatif, iaitu bahasa yang memenuhi konsep `forgrounding, iaitu mengandungi nilai-nilai estetika yang
tinggi sehingga dapat menimbulkan kepuasan dan kenikmatan pendengar serta pembacanya. Bahasa
kreatif juga dapat dilihat sebagai mengandungi unsur pengulangan dan pemusatan.
c. Penanda Fungsional
Karya sastera adalah refleksi kehidupan masyarakat. Pengarang sewaktu menghasilkan karya
mempunyai tujuan tertentu. Lantaran itu wujudnya perbezaan-perbezaan tertentu dari aspek gaya bahasa
dengan makna yang disampaikan. Misalnya untuk tujuan nasihat atau mendidik ada penanda-penanda
yang bersifat suruhan, tegahan atau perintah. Hal ini dapat dilihat dalam contoh petikan di bawah :

Teruskan hidup ini dan hiduplah sebagaimana kau anggap baik. Jauh
rasa tabur dan putus asa. Ini hak kita. Ini sawah pusaka datuk nenek
kita. Mak pinta satu, jangan hendaknya kau menjadi orang yang
terlampau kurang ajar berbicara dengan orang lain, tapi lakukan
kurang ajar jika maruah engkau, maruah sawah kita dicabar
(HSM:307)

Hal ini dapat dilihat melalui contoh petikan di bawah :


Dia seorang yang mengancam ketenteraman dan menentang
pembangunan. Beberapa hari yang lalu dia cuba menebas leher pemandu
lori, kata lelaki itu dengan sinis, tersenyum dan menjeling-jeling pada Cah.

Tuan, kembalikan di ke bilik sempit dan gelap. Saya emaknya, bukan


datang hendak merayu dibebaskan. Saya cuma hendak ziarah!.
(HSM:203)
Kesan pembacaan terhadap novel Azizi ini, dapat dirungkaikan bahawa persoalan maruah sesuatu yang
wajar diperjuangkan. Walau atas alasan apa-apa pun, jangan sesekali tunduk dan memberi ruang. Hal ini
kerana jika seinci ruang diberikan akan sejengkal jalan baru diteroka yang lama kelamaan segala-galanya
akan hilang sedikit demi sedikit. Azizi amat menyedari akan hakikat ini. Hal tersebut digarap secara kreatif
melalui watak-watak yang dimunculkan dan dialog-dialog yang diungkapkan melalui sentuhan kreativiti yang

7
mengesankan sehingga sesuatu yang dihasilkannya itu sedikit banyaknya memberi kesan kepada khalayak
pembaca.
d. Penanda Diksi
Dalam konteks berbahasa lisan, tidak semua perkara yang disampaikan oleh penutur dapat diterima
oleh pendengar. Penutur akan menggunakan lambang-lambang bahasa untuk menyatakan sesuatu yang
disampaikan dan pendengar pula akan memproses lambang-lambang bahasa yang diujarkan sebelum
ditafsir dalam bentuk makna-makna. Sekiranya lambang-lambang bahasa yang digunakan wujud dalam
fakulti bahasa individu pendengar akan mudah memahami maksud yang diterima melalui isyarat bahasa.
Jika perkataan tersebut tidak difahami, pendengar akan mencari makna yang hampir berdasarkan isyaratisyarat bahasa atau meneka makna dalam konteks yang paling minimum.
Berhubung hal ini, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pemahaman makna ujaran
seseorang. Antaranya intonasi, aliran fikiran, pemilihan diksi, presepsi dan tanggapan, dan hubungan.
Beberapa dialog atau situasi yang diberikan dapat memperjelas faktor pemahaman makna.

Dialog 1 : [Bagusnya anak emak! Lain kali panjat lagi tinggi ye. Kalau kurang tinggi nanti mak
ambikkan tangga!]
Dialog 1 adalah dialog antara ibu dengan anaknya. Dialog tersebut boleh ditafsir sekurang-kurang untuk dua
situasi berdasarkan konteksnya. Pertama, bentuk sindiran atau tegahan agar si anak jangan lagi melakukan
hal sedemikian yang memungkinkan boleh mendatangkan mudarat. Merujuk kepada ayat /Bagusnya anak
emak/ bukan merujuk kepada pujian tetapi sebaliknya. Hal ini dapat dilihat melalui ungkapan seterusnya
/Lain kali panjat lagi tinggi ye!/.
Kedua, ayat tersebut kemungkinan ditafsir oleh si anak sebagai suruhan. Hakikat ini tentu sahaja
boleh berlaku kerana dalam menanggapi makna, penutur dan pendengar sedapat mungkin akan mentafsir
berdasarkan lambang-lambang bahasa yang digunakan. Halangan yang wujud dalam pemahaman makna
boleh menjejaskan penafsiran terhadap maksud sebenar.
Makna tafsiran juga dipengaruhi oleh tanggapan terhadap ayat yang diujarkan oleh penutur kepada
pendengar. Dengan mengambil contoh dialog-dialog daripada cerpen Korban karya Anis Husna AY dapat
dilihat perbezaan makna tafsiran tersebut.
Dialog 2: [Emak tu, lepas makan, tidur!. Terlentang. Perut selambak macam perut lembu kena
sembelih. Kita je yang kesian kat dia, dia buat tak pada je!]
Dialog 3 : [Emak tu lebih kurang macam adik je. Selagi tak dibelikan, asyik tanya je. Lain kali
tak payah cakap-cakap, belikan je]
Meneliti kedua-dua dialog di atas, penggunaan frasa/ Perut selambak macam perut lembu/ dan /lebih
kurang macam adik je/ sekiranya pendengar membuat tafsiran terhadap frasa tersebut dalam konteks yang
sama iaitu merujuk sebagai perbandingan, maka kesan ujaran tersebut tentunya dapat diterima sebagai
suatu bahasa perbandingan. Dengan demikian taraf frasa tersebut adalah sama. Walaupun dari sudut
penggunaan kata, dialog 2 difikirkan agak keras kerana perbandingan yang dibuat merujuk subjek haiwan
manakala dalam dialog 3 pebandingannya menggunakan subjek manusia.
Namun, sekiranya frasa tersebut ditafsir dengan rujukan yang berbeza, tentunya akan membawa
perubahan terhadap kesan penerimaan kepada pendengar walaupun penutur mengujarkan dalam maksud
yang sama iaitu sebagai kata perbandingan. Kesalahtafsiran makna sering kali wujud jika terjadinya
halangan komunikasi dan tujuan ujaran tidak difahami sepenuhnya. Merujuk kepada dialog dalam cerpen
Korban , tafsiran kepada dialog 3, akan memberi kesan yang negatif sekiranya ujaran tersebut ditafsir
sebagai suatu perendahan taraf yang menyamakan watak emak sama dengan watak adik. Begitu juga

8
halnya jika fahaman terhadap dialog 2 akan berbeza, sekiranya penerima atau pendengar melakukan
penafsiran dengan menggunakan rujukan yang berkaitan dengan perendahan taraf bukan sebagai bahasa
perbandingan.
Dalam konteks ini, ketidakhaluan dalam menafsir kata boleh menimbulkan ketegangan dan salah
tanggap. Oleh sebab itu, bagi menggelak ketidakfahaman dan salah tanggapan ini, penutur dan pendengar
sewajarnya memahami makna dan tujuan berkomunikasi. Dalam hal ini tentunya komunikasi bertujuan untuk
berkongsi informatif yang sewajarnya dielakkan unsur konflik dan ketegangan. Sekirannya timbul sesuatu
yang tidak pasti, minta dan beri ruang kepada penutur atau pendengar memberi penjelasan terhadap apaapa juga perkara yang ingin disampaikan. Di samping itu, wujudkan suasana keterbukaan dalam
berkomunikasi dan tidak prajudis serta emosional apabila berlakunya salah faham dan tafsiran dalam
berinteraksi. Di sinilah pentingnya bahasa sebagai wahana yang dapat memperjelas makna sehingga
sesuatu yang kabur dan mengelirukan dapat ditanggap dengan sejelasnya.
Kesimpulan
Dalam situasi ini, pendekatan stilistik mengutarakan satu bentuk kompromi dan penyelesaian
melalui penganalisisan karya dengan memberi tumpuan kepada beberapa pengertian penting yang
tersembunyi di sebalik bahasa yang digunakan. Langgam bahasa yang ditandai dengan laras bahasa
merupakan pencorakan bahasa yang kerap kali digunakan dalam sesuatu situasi komunikatif yang tertentu.
Laras bahasa adalah variasi bahasa yang berlainan berdasarkan fungsinya yang tertentu. Oleh yang
demikian laras sesuatu bahasa akan berubah-ubah mengikut situasi. Berdasarkan huraian di atas, peranan
linguistik sebagai wahana yang dapat menterjemahkan pemikiran, ekspresi dan apresiasi serta penilaian
karya sastera sangat besar. Pendekatan ini dapat digunakan untuk memberi maklumat tentang sesuatu
karya yang baik dan bermutu di samping mendekatkan jurang pemahaman kepada pembaca dalam
memahami sesebuah karya sastera yang menggunakan elemen bahasa sebagai alat pengucapannya.
Justeru, dengan menerapkan pendekatan ini dalam menganalisis teknik pengungkapan ada kewajarannya
kerana dalam konteks ini bahasa sebagai wahana komunikasi yang menyalurkan pemikiran melalui cara
tertentu yang dipilih oleh penyair.
Bibliografi
A. Wahab Ali. 2000. Kritikan Estetika Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. (2002). Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur:
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Aziz Deraman. (2006).
Pustaka.

Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia.

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Hamka. (1985). Keadilan Sosial dalam Islam. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.
Ibnu Khaldum (2000). Muqadimah (terj). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ismail Hamid. (2004). Peradaban Melayu dan Islam. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd
Kemala. 1995. Usman Awang: Dasar Estetika dan Keakrabannya dengan Puisi Tradisi Melayu. Dewan
Sastera. Jld.25.5, hal. 80-87.
Mana Sikana.1996. Falsafah dan Seni Kreatif Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Milner, Andrew.1996. Literature, Culture and Society. New York: New York University Press.
Mohd. Makzan Musa.1997. Psikologi Sosial. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors.
Mohd. Yusof Hasan (ed.). (2006). Dunia Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

9
Mohamad Mokhtar Hassan.1995 . Sosiologi Sastra Teori dan Aplikasi. Kuala Lumpur: Aneka Publishing.
Muhammad Haji Salleh.. 1986. Cermin diri Esei Kesusasteraan. Petaling Jaya : Fajar Bakti Sdn.Bhd.
Ramli Isin.1997. Novel Melayu Mutakhir. Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Rene Wellek dan Austin Wareen.1988. Teori Kesusasteraan. (terje. Wong Seng Tong). Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Umar Junus.1986. Teori Moden Sastera dan Permasalahan Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai