Anda di halaman 1dari 19

Memanfaatkan Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Bahasa Melayu Dalam Abad Ke-21

Pengenalan

Kemunculan abad baru sudah pasti membawa bersamanya cabaran terhadap


perkembangan dunia pendidikan dan bahasa Melayu. Yang penting adalah bagaimana
pendidikan bahasa Melayu harus berhadapan dengan keperluan abad baru ini. Pada hari ini
kita ingin melihat pula kemampuan sastera untuk mengisi ruang dalam pengajaran dan
pembelajaran bahasa Melayu dalam arus abad ke-21. Jika sastera mampu untuk mengisi
ruang tersebut, bagaimana pula coraknya dapat mewarnai dan menangani proses
pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

1. Definisi bahasa dan Sastera

Menurut Kamus Dewan bahasa didefinisikan sebagai sistem lambang bunyi suara yang
dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara
individu dengan individu yang lain). Bahasa juga merupakan percakapan yang baik dan
penuh sopan santun. Bahasa juga meliputi adab, tatatertib, sopan santun, dan tingkah laku
yang baik. Bahasa dirumuskan sebagai satu sistem simbol bunyi ucapan yang arbitrari, dan
menjadi medium manusia berkomunikasi. Bahasa diwujudkan oleh dua komponen utama,
iaitu: bunyi ucapan, dan satuan pengalaman yang mencakup cita, rasa, dan makna. Melalui
bahasa, kita dapat: berkomunikasi, meluahkan perasaan, menyampaikan ilmu dan
mengakumulasikannya, mengungkapkan keindahan dalam pelbagai wahana, dan
mewariskan ilmu, budaya, peradaban, dan agama

Hashim Awang (1985) memperincikan sastera sebagai hasil ciptaan seni yang disampaikan
melalui bahasa. Hasil sastera disebarkan melalui bahasa manakala bahasa mampu
memancarkan keindahan yang terkandung dalam karya sastera. Wahana bahasa
menjadikan karya sastera dapat difahami segala isi dan tujuan yang mahu dilakarkan oleh
pengarang. Karya sastera membicarakan apa yang berlaku dan terlibat pada sesuatu
masyarakat sambil mengemukakan sikap, nilai dan pandangan tertentu. Bagi Ali Ahmad
(1994) karya sastera terkandung di dalamnya nilai-nilai estetika atau keindahan manakala
bahasa sastera lahir bersama-sama pembinaan rasa, cita-cita, imaginasi kehidupan, dan
fikiran. Selain itu karya sastera tidak dapat lari dari membawa bersamanya unsur nilai yang
ada perkaitan dengan keagamaan, kebudayaan, dan kemasyarakatan.

2. Hubungan antara bahasa dan sastera

Titik pertemuan antara bahasa dan sastera adalah sifat sastera itu sendiri yang memerlukan
bahasa sebagai wahana komunikasi. Melalui bahasa isi dan tujuan karya itu dapat difahami
pembaca. Bahasa memungkinkan pembaca menghayati pengalaman dan emosi yang
terkandung dalam karya sastera. Bahasa sastera dilahirkan melalui imaginasi, fikiran, dan
emosi. Bahasa bukan sastera bermaksud untuk memberikan keterangan manakala bahasa
sastera di dalamnya merangkumkan adunan emosi, imaginasi dan pemikiran. Bahasa
sastera membawa unsur ketaksaan dalam maknanya berbanding bahasa bukan sastera
yang lebih objektif sifat maknanya.
Bahasa sastera mempunyai sistem bahasa yang tersendiri. Bahasa sastera tidak terikat
pada sistem bahasa yang amat ketat seperti mana yang perlu ada pada bahasa sains atau
bahasa ilmu. Bahasa sastera juga bukanlah suatu yang sewenang-wenangnya diungkapkan.
Keterikatan dan sekatan makna pada bahasa sastera tidak akan menghidupkan sastera
kerana ia gagal berfungsi meperagamkan emosi dan bayangan. Susun kata dalam sastera
juga tidak boleh sewenang-wenangnya kerana ia akan gagal melahirkan kesan keindahan
yang diharapkan dalam sastera.

Keupayaan bahasa sastera untuk lahir sebagai bahasa yang penuh estetika terletak pada
kebijaksanaan pengarang mengolah bahasa yang melahirkan kesan mendalam terhadap
pembaca. Pengarang berkemampuan untuk menjadikan bahasa beranekaragam kesan
penggunaannya serta melahirkan kesan rasa dalaman terhadap pembaca. Pengarang
menggunakan kata untuk melahirkan makna konotatif atau mempelbagaikan makna kata
atau frasa yang digunakan. Hidupnya karya sastera bergantung kepada hidupnya bahasa
yang digunakan oleh seseorang pengarang.

Selain estetika bahasa, sastera juga mengandungi unsur keindahan yang terkandung dalam
susunan cerita seperti perwatakan, plot, sudut pandangan, latar, dan bentuk. Sastera
mempunyai bentuk berdasarkan genrenya sama ada pantun, syair, sajak, drama, cerpen,
atau novel. Meskipun bahasa menjadi wahana karya sastera namun ia terbina atas
organisasi atau strkutur yang tersendiri. Dalam puisi ada imej dan bunyi sebagai unsur yang
menyumbang kepada pembentukan makna puisi itu sendiri. Dalam cerpen pula ia dibina
oleh urutan plot, latar, watak dan perwatakan serta nilai yang dibawa oleh karya berkenaan.

3. Pengajaran bahasa menggunakan bahan sastera

3.1. Hubungan pembaca dengan teks

Penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa bertujuan untuk memupuk minat
membaca dan melahirkan kenikmatan membaca serta penghayatan terhadap bahan
sastera. Bahan sastera dapat memberi kefahaman terhadap pelajar dari aspek penikmatan
hasil karya yang indah, pelahiran emosi, serta pelajar dapat membuat apresiasi dan
penghayatan terhadap karya sastera.

Aspek estetika yang diutamakan dalam penggunaan bahan sastera adalah kebolehan
pelajar untuk memahami dan memberi respons peribadi terhadap karya sastera. Ia dapat
dilakukan melalui penceritaan semula sesebuah karya sastera, mengenalpasti perkara yang
menarik dalam karya sastera, menyatakan bentuk dan nada puisi, menyatakan jenis, ciri,
tema dan persoalan, pemikiran serta nilai dan pengajaran. Di samping itu pelajar
berkebolehan untuk menghuraikan maksud, gaya bahasa, dan unsur bunyi dalam puisi, dan
mengulas karya sastera dari aspek watak dan perwatakan, latar, plot, gaya bahasa, dan
sudut pandangan.

Penggunaan bahan sastera dapat membantu merangsang pelajar supaya memberikan


pelbagai tindak balas dalam kegiatan pengajaran-pemelajaran di dalam bilik darjah
(Marohaini Yusoff : 2001). Pelajar boleh menggunakan bahasa secara aktif sewaktu
pengajaran kemahiran bahasa seperti membaca, mendengar, bertutur, dan menulis.
Kegiatan membaca, membuat perbincangan, dan menulis tentang kesusasteraan dapat
membantu pelajar memahami teks yang dibaca dengan lebih baik. Pembacaan bahan
sastera dapat memberikan pelajar latihan dari segi kemahiran pemahaman dan
memperkukuhkan perbendaharaan kata dan kebolehan mereka untuk berfikir secara kritis.

3.2. Kemahiran abad ke-21

Sandra Burchsted merumuskan kemahiran abad ke-21 sebagai berikut :

Literasi Informasi - Kompetensi mencari, menilai dan menggunakan informasi yang


bersesuaian
Literasi Budaya - Menerima dan menghayati kepelbagaian budaya dan manusia;
Kesedaran Global - Memahami dan menerima hubungan antara negara, perbadanan
multinasional, serta manusia di serata dunia;
Adaptabiliti / Kebolehan Menghadapi Kompleksiti;
Kreativiti dan Kesanggupan Menghadapi Risiko Kesediaan untuk meningkatkan
pengetahuan ke arah pendidikan sepanjang hayat
Kreativiti Menggunakan imaginasi untuk membina perkara baru
Pemikiran Tinggi - Proses penyelesaian masalah secara kreatif menggunakan informasi,
pendapat, dan penilaian.
Kerja Berpasukan - Kebolehan bekerjasama dalam satu pasukan ke arah pencapaian
matlamat
Kolaborasi dan Kemahiran Interpersonal Boleh berkomunikasi dan bekerjasama dengan
orang lain dengan berkesan ke arah pencapaian matlamat
Rasional Boleh berfikir secara logik untuk mencapai hasil dan membuat keputusan
Kemahiran Visual Kebolehan membuat interpretasi, dan mengemukakan pendapat
melalui imej, grafik, lakaran, ikon, fotografi, dan video
Kebolehan Merancang dan Mengurus Untuk Mencaoai Hasil
Keberkesanan Mengunakan Kemudahan dan Mencapai Produk Berkualiti (Prospectiva)

Jika dilihat dari aspek kemahiran tersebut bermakna bahasa Melayu mempunyai potensi
besar untuk muncul sebagai bahasa ilmu pada abad ke-21. Nik Safiah Karim (2004)
menyatakan bahawa bahasa Melayu harus muncul sebagai bahasa ilmu dan bahasa
perhubungan umum pada abad ini. Sebagai bahasa ilmu ia memerlukan penyediaan bahan
bacaan dan bahan rujukan yang mencukupi. Di samping itu perlu lahir lebih ramai
intelektual yang dapat menjadi contoh penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu
pada tempat dan waktu yang sesuai. Bahasa Melayu perlu muncul sebagai bahasa
perhubungan dalam kalangan rakyat jelata melibatkan pelbagai konteks. Selain
menumpukan kepada interaksi bahasa dalam situasi yang melibatkan pelbagai laras bahasa
seperti laras politik, laras sastera dan sebagainya, penekanan perlu diberikan terhadap
estetika bahasa.

Pengisian terhadap estetika bahasa akan menentukan keupayaan bahasa Melayu bertahan
sebagai bahasa komunikasi dan bahasa ilmu abad ke-21. Masyarakat perlu didedahkan
dengan penggunaan bahasa Melayu yang indah dan menarik. Bahasa perlu sebati dengan
masyarakat agar bahasa Melayu dapat diterima sebagai bahasa yang indah dan menarik.
Kris Gutirrez (2000) menerangkan bahawa keperluan pengajaran bahasa pada abad ke-21
adalah menggunakan bahan yang realistik dan mempunyai perkaitan dengan komuniti. Di
samping itu kemahiran yang diajar hendaklah dapat memenuhi keperluan kerjaya pelajar.
Aspek-aspek yang perlu diberi penekanan termasuklah sosio budaya, linguistik, jati diri
bangsa, serta nilai. Oleh itu peranan bahan sastera dalam pengajaran bahasa amat relevan
dalam menentukan keupayaan bahasa Melayu memenuhi keperluan alaf baru ini.

4. Kepentingan sastera

Ilmu sastera pada abad ke-21 merupakan satu bentuk ilmu yang penting dan relevan pada
zaman ini. Kemajuan sesebuah negara tidak hanya berasaskan ukuran pembangunan
jasmaniah, sains, dan teknologi tetapi perlu mengambil kira aspek-aspek kemanusiaan dan
kerohanian. Kesusasteraan mempunyai perkaitan dengan cabang ilmu lain seperti agama,
falsafah, budaya, politik, perubatan, undang-undang, dan sebagainya. Teks sastera penuh
dimensi dan ia memberi banyak ruang untuk diteroka oleh pelajar. Selain itu ilmu
kesusasteraan merupakan disiplin ilmu yang berkait rapat dengan aspek emosi dan nilai
hidup manusia. Sastera bukan sekadar memberi maklumat tentang keintelektualan tetapi
melengkapkannya dengan dunia emosi dan nilai kepada manusia. Kehadiran aspek nilai
menjadi penting dalam pemupukan dan pembentukan kualiti insan.

Karya sastera tidak dapat lari daripada dua fungsi utama. Pertama karya sastera bertujuan
untuk menghiburkan dan keduanya untuk memberi pengajaran, pesanan atau peringatan.
Keperluan untuk menghiburkan melahirkan karya sastera yang membawa keseronokan yang
indah. Hiburan terhasil dari keindahan kata-kata yang diungkapkan, irama atau rentak yang
yang tesusun, kemampuan karya sastera untuk membelai emosi pembaca atau pendengar,
unsur kelucuan dan sebagainya. Kepentingan fungsi hiburan menjadikan karya sastera
seperti cerita penglipurlara diterima oleh masyarakat sebagai karya yang diminati dan
digilai masyakarakat pada suatu ketika.

Pantun misalnya merupakan karya sastera yang cukup popular kerana keupayaannya
membawa keindahan yang menghiburkan. Saya teringat sebuah pantun lama berbunyi
seperti berikut :
Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelang kaki
Berguru kepalang ajar
Bagai bunga kembang tak jadi

Kualiti menghiburkan dalam pantun tersebut cukup banyak. Rentak dan rima yang bersukat
membentuk irama dalam pantun. Malah pantun pula mempunyai struktur bacaan yang
tersendiri yang menghasilkan keindahan dalam pembacaan. Selain itu, pantun disampaikan
pula dalam pelbagai variasi yang semakin menambahkan fungsi menghiburkan seperti
dijadikan lirik dikir barat di Kelantan, lirik lagu popular, dan pelbagai bentuk lagi.
Kemampuan pantun untuk bertahan sebagai karya sastera yang popular menunjukkan
bahawa unsur hiburan ini amat banyak dalam pantun.

Fungsi kedua karya sastera adalah untuk memberi pengajaran, nasihat atau pesanan
kepada masyarakat. Fungsi ini juga menjadikan karya sastera sebagai suatu bahan yang
dapat membawa kesedaran kepada masyarakat, mengubah pemikiran, serta memberi ruang
untuk masyarakat menyerap nilai-nilai moral yang dibawa dalam karya sastera. Cerita Sang
Kancil dengan Buaya misalnya cukup terkenal bukan semata-mata kerana ceritanya
menghiburkan tetapi keupayaannya untuk memasyarakatkan nilai, unsur moral dan
pengajaran yang berguna kepada masyarakat. Tanpa kita sedari kita dibesarkan dalam
asuhan moral yang dibawa dari cerita tersebut. Tanpa sedar kita dserapkan dengan
kepentingan nilai tolong-menolong dan kita pula diperingatkan betapa buruknya sikap tidak
mengenang budi.

Sama seperti pantun tadi, pemilihan kata yakni berburu dan digandingkan dengan berguru
memberi mesej yang penting pada kita. Dalam ungkapan yang ringkas, pantun membawa
tafsiran makna yang mendalam. Kerja berburu sama sukarnya dengan berguru. Ia
memerlukan kemahiran dan ketekunan. Peringatan yang cuba dibawa dalam pantun iaitu
pentingnya ilmu tetapi jangan salah berguru.

Permasalahan yang perlu direnung kembali adalah bagaimana dwi fungsi sastera ini dapat
dipertahankan dalam cabaran abad ke-21?.

Untuk menjadikan karya sastera dapat diterima dengan berkesan sudah pastinya dwi fungsi
sastera itu dapat berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Meski pun karya
sastera itu sendiri sudah lengkap dengan unsur hiburan dan pengajarannya, bagaimana ia
dapat disampaikan kepada pelajar? Ia pastinya menjadi satu cabaran kepada guru-guru
bahasa Melayu. Jika karya sastera tidak sampai kepada pelajar dalam bentuk yang
menghiburkan. Nilai sastera sebenar tidak sampai kepada pelajar. Keindahan sastera tidak
dapat diselami oleh pelajar. Akhirnya pelajar terasa sastera hanya membebankan mereka
dengan teks yang banyak bukan menghiburkan mereka. Kepalang ajar kadangkala lebih
banyak membunuh minat dan kecenderungan pelajar.

5. Matlamat

5.1. Bahasa

Penggunaan bahan sastera bermatlamat ke arah membina perkembangan bahasa. Interaksi


pelajar dengan bahan sastera memberi ruang kepada pelajar mengasah kemahiran
membaca dan memahami. Pengajaran tentang sesebuah teks sastera melibatkan
pengajaran kemahiran membentuk makna bukan sahaja tentang teks yang dibaca tetapi
juga makna yang dibawa oleh teks tersebut dan hubungannya dengan pengetahuan dan
pengalaman seseorang pelajar. Hal ini juga bermaksud bahawa makna atau maksud yang
dibawa oleh sesebuah teks sastera yang dibaca, bukan sahaja didapati dalam teks, tetapi
juga diperoleh melalui interaksi dengan teks. Konteks hubungan pembaca dengan teks
dapat diperkayakan dengan penguasaan laras bahasa dalam karya kreatif. Pelajar dapat
mengenalpasti gaya bahasa dalam karya sastera, menganalisis gaya bahasa dan unsur
bunyi dalam karya sastera. Pelajar juga dapat menguasai aspek penggunaan gaya bahasa
dan unsur bunyi dalam penulisan kreatif.

Kemahiran berbahasa diperluaskan dengan interaksi pelajar dengan keindahan bahasa yang
terpancar dalam karya sastera. Keindahan bahasa yang menjadi intisari sesebuah karya
sastera berupaya mendekatkan pelajar dengan keragaman dan kekayaan bahasa sastera
yang indah dan menarik. Matlamat pengunaan bahan sastera adalah untuk membentuk
kepekaan pelajar terhadap variasi bahasa yang wujud dalam teks sastera. Melalui
penghayatan karya sastera pelajar dapat mempelajari kekayaan bahasa masyarakatnya dan
dapat meneladaninya untuk memperoleh kekuatan bahasa. Selain itu, kemahiran berbahasa
dilengkapkan melalui kemampuan pelajar menghasilkan penulisan kreatif. Penghasilan prosa
atau puisi secara terancang, kemas, serta mematuhi pengunaan bahasa yang tepat, indah,
dan menarik.

5.2. Nilai

Karya sastera tidak terlepas dari pancaran nilai yang terakam di dalamnya. Nilai-nilai yang
dipaparkan bersifat nilai kesejagatan yang membawa kelangsungan kepada umat manusia.
Manusia dilukiskan untuk membayangkan nilai-nilai murni supaya manusia terus hidup
dengan lebih sempurna. Mendekati karya sastera bermakna pelajar dapat merenung,
berfikir, dan membuat refleksi tentang situasi dirinya dalam kehidupan ini. Kesejahteraan
dan kemakmuran manusia yang dipancarkan dalam karya sastera dapat menyemai naluri
keinsanan dalam jiwa pelajar.

5.3. Pembangunan sahsiah

Fungsi mendidik yang dibawa dalam karya sastera bertujuan untuk pembinaan sahsiah
seseorang. Sastera dapat membina manusia yang berfikir, berpegang pada etika, manusia
yang halus pertimbangannya, bersikap adil dan saksama, serta dapat membayangkan
perasaan orang lain. Karya sastera memberi ruang kepada pelajar untuk merasa prihatin
terhadap keperitan dan kedukaaan yang dialami orang lain. Mereka menjadi peka kepada
sesama manusia dan persekitarannya. Karya sastera mengajak manusia untuk membina
sebuah masyarakat atau manusia yang baik.

5.4. Jati diri

Sastera yang tumbuh dalam jiwa dan bahasa sesuatu bangsa akan menjadi alat, bukti, dan
unsur jati diri bangsa berkenaan. Sastera akan menjadi sebahagian dari wajah dan jiwa
bangsa. Karya-karya sastera tradisional seperti pantun, syair, seloka, dan gurindam serta
karya-karya prosa tradisional seperti sastera rakyat, metos, legenda, dan epik menjadi
khazanah yang amat dibanggakan. Mengenali teks sastera bermakna memberi ruang
kepada pelajar memahami jati diri mereka. Sastera menjadi warisan kerana di dalamnya
terkumpul alatan komunikasi, fikiran, konsep, persepsi, emosi, muzik, dan seni bangsa itu
(Muhammad Haji Salleh : 2004). Bahan sastera berupaya untuk memberikan pendedahan
berkaitan unsur budaya, pemikiran, sikap, dan nilai yang diamalkan dalam masyarakat.

6. Peranan dan kesan penggunaan bahan sastera


dalam pembelajaran bahasa

Awang Sariyan (2003) penggunaan bahan sastera dalam pengajaran bahasa bertujuan
untuk melatih pelajar membaca karya sastera dengan strategi yang tepat, bukan semata-
mata untuk memenuhi tujuan praktis seperti memperolehi maklumat tetapi untuk
menganalisis teks sastera bagi memperoleh kemungkinan makna tertentu secara simbolis
atau filosifis. Pembacaan ini merupakan kemahiran membaca aras tinggi untuk membentuk
pelajar yang analitis, kritis dan kreatif dalam respons terhadap teks yang dibaca.

Menurut Mohd. Taib Osman (1977) kepentingan bahan sastera sebagai sebagai alat
pendidikan dapat dilihat dari tiga sudut :
1. Aspek pemakaian bahasa sebagai medium kesusasreraan. Hasil-hasil karya sastera kreatif
seperti cerpen, novel, drama, dan puisi merupakan pendidikan bahasa yang lebih luas
daripada pelajaran penggunaan, pamakaian atau kemahiran bahasa kerana bahan-bahan
itu mencakup bidang-bidang bahasa yang kreatif, imaginatif dan statis.
2. Sifar kejadian hasil sastera sebagai pernyataan seni. Aspek estetika dan keindahan di
dalam jasmani dan alam rohani manusia.
3. Kesusasreraan itu tidak lahir dalam vakum tetapi sastera adalah hasil sesuatu
kebudayaan dan masyarakat. Satu khazanah ciri-ciri pilihan daripada pemikiran intelektual,
pengolahan seni serta pengalaman hidup sesuatu masyarakat.

6.1. Membina dan memperkasa bahasa

Awang Sariyan (1993) menjelaskan bahawa penggunaan bahan sastera membolehkan


pelajar menghayati keunikan gaya bahasa individu seseorang pengarang. Karya sastera
memiliki kelainan gaya bahasa antara seorang pengarang dengan pengarang yang lain.
Variasi gaya kepengarangan menjadi bahan bahasa yang penting dihayati pelajar dalam
usaha memahami kekayaan bahasa masyarakatnya.

Nafii Mat (2006) menjelaskan bahawa penggunan bahan sastera dalam pengajaran bahasa
Melayu berupaya menjadikan pengajaran bahasa Melayu menghiburkan, menyeronokkan,
dan pelajar dapat menguasai bahasa secara maksimum. Penggunaan bahan sastera dapat
mendedahkan kepada pelajar berkaitan dengan sifat-sifat bahasa yang berkesan di samping
pelajar dapat menikmati keindahan karya sastera.

Matlamat akhir pengajaran bahasa Melayu adalah untuk membina kebolehan pelajar untuk
menggunakan laras bahasa yang sesuai dengan keadaan. Pelajar berupaya untuk
berinteraksi, berunding, memberi pendapat, membuat pertimbangan, memujuk,
mempengaruhi orang lain melakukan sesuatu, atau berurusan untuk mendapatkan
barangan dan perkhidmatan. Pemenuhan terhadap matlamat ini sewajarnya dapat
disempurnakan melalui pengguna bahan sastera. Pelbagai kemahiran berbahasa dapat
dikuasai oleh pelajar melalui penggunaan bahan sastera sama ada secara lisan atau
bertulis. Malah bahan sastera itu sendiri lebih merujuk kepada apa yang sebenarnya berlaku
dalam masyarakat ditambah dengan unsur hiburan dan pengajaran yang sedia sebati dalam
bahan berkenaan.

6.2. Membentuk dan membina tanggapan dan pemikiran tentang cerita

Kemampuan bahan sastera adalah untuk berkomunikasi dalam ruang pengalaman yang
lebih jauh dari apa yang dialami pelajar. Karya sastera itu sendiri lahir dari proses yang
cukup menarik. Di dalam sesebuah karya sastera tersimpan di dalamnya imaginasi
pengarang, emosi, pemikiran, realiti, bahasa, dan nilai. Sifat estetika karya sastera sama
ada dari aspek bahasa, struktur karya, nada, emosi, dan isi karya mempunyai pelbagai
dimensi yang dapat diteroka oleh pelajar. Jika mereka berhadapan dengan sebuah teks
drama, bermakna pelajar bukan sekadar membaca untuk memahami ceritanya, sebaliknya
pembacaan ini membawa pelajar ke dalam dunia karya itu sendiri.

6.3. Mencipta dan membina kebolehan bercerita

Kepentingan bahan sastera dalam pengajaran bahasa adalah untuk membolehkan pelajar
berkomunikasi dalam pelbagai situasi. Keupayaan ini dapat dilakukan melalui proses
bercerita, deklamasi, lakon, forum, bahas, syarahan, dan sebagainya. Kebolehan
berkomunikasi dalam pelbagai variasi ini memberi peluang kepada pelajar menguji
kemahiran berbahasa mereka sama ada dari aspek mendengar, membaca, dan menulis.
Bahan sastera dapat dijadikan landasan untuk membina peningkatan kemahiran berkenaan.
Sekiranya bahan sastera itu disusuri dengan penuh bijaksana sudah tentunya kekayaan
bahan sastera itu akan dapat dialami dan dihayati oleh pelajar. Aspek-aspek emosi, nilai dan
budaya yang sebati di dalamnya berupaya memaparkan pengalaman baru kepada pelajar.

Penerokaan bahan sastera melibatkan proses penikmatan dan penghayatan. Karya-karya


sastera dinikmati oleh pelajar melalui proses pembacaan, deklamasi, dan sebagainya.
Melalui penikmatan ini pelajar akan dapat menghayati karya sastera dengan lebih
mendalam. Sebuah sajak perlu dideklamasikan dengan penuh penghayatan, intonasi yang
sesuai dan nada yang bertepatan. Pelajar dapat membina pengalaman baru berhadapan
dengan sajak dan dinikmati pula dalam bentuk yang lebih kreatif. Sajak berkenaan bukan
sekadar dideklamasikan malah boleh dinyanyikan, mestamu, puisidra, dan sebagainya. Di
samping dapat menikmati keindahan karya sastera sudah tentu aktiviti yang dilakukan
melahirkan keseronokan. Keseronokan akan membuka ruang kepada minda pelajar untuk
meneroka perkara yang lebih mencabar dalam karya sastera seperti memahami dan menilai
karya tersebut.

Aspek penikmatan yang bersesuaian membawa kepada proses penghayatan karya sastera.
Pelajar dapat menggali makna karya berkenaan apabila mereka sudah sebati dengan karya.
Proses penikmatan telah menyediakan ruang pengalaman yang lebih bermakna untuk
pelajar meneroka makna yang terkandung dalam karya sastera. Proses penghayatan akan
membawa kepada pemahaman pelajar terhadap isi karya, watak, latar dan sebagainya.
Karya sastera yang digauli akan mudah difahami. Penerokaan dalam aspek penghayatan
akan membuka penemuan ke arah kemampuan pelajar membuat penilaian terhadap karya
sastera. Mereka boleh mengemukakan pandangan tentang kesan karya yang dibaca,
pengalaman yang diterima, serta menjelaskan di manakah tarikan yang terkandung dalam
karya berkenaan.

6.4. Mencabar dan membina kreativiti

Noriah Taslim (1996) menjelaskan bahawa penghayatan karya sastera boleh mendidik
pelajar berfikiran kritis dan kreatif. Penghayatan memerlukan penaakulan dan penilaian.
Pelajar perlu membina semula dunia makna, dunia ilmu, dan dunia nilai yang disuratkan dan
disiratkan dalam sesebuah karya sastera. Ia melatih pelajar untuk berhujah, mentafsir apa
yang tersurat dan tersirat, membuat pertimbangan dan membuat keputusan. Sumbangan
bahan sastera adalah untuk melahirkan manusia yang kritis dan kreatif.

Di samping itu pelajar pula berhadapan dengan karya sastera yang sememangnya
mempunyai struktur dan corak tertentu. Aspek penikmatan genre sastera seperti sajak,
cerpen, drama atau novel mempunyai perbezaannya. Drama misalnya memerlukan pelajar
untuk melafaz dialog sesuai dengan intonasi dan keperluan makna teks. Pantun dibacakan
dalam struktur bacaan yang berja dan bersukat. Tuntutan sedemikian sudah pastinya
memerlukan kreativiti yang tinggi. Berhadapan dengan teks sastera bermakna pelajar akan
memasuki dunia kreativiti yang mencabar emosi, jasmani, intelek dan rohani pelajar. Bahan
sastera memberi peluang kepada pelajar menjana emosi, melahirkan respons terhadap
bahan sastera serta meningkatkan kreativiti dalam melakukan apresiasi terhadap karya
sastera. Ini bermakna karya sastera bukan sekadar untuk dibaca dan menghafal cerita tetapi
dinikmati dan dihayati dengan lebih kreatif.

6.5. Berkongsi pengalaman kehidupan

Bahan sastera berupaya menyediakan dunia pengalaman yang luas kepada pelajar. Manusia
yang dipaparkan dalam karya sastera adalah manusia yang berada dalam lingkungan
kehidupan pelajar dan di luar lingkungan hidup mereka. Watak-watak yang temui dalam
karya akan membuka pengalaman baru terhadap pelajar. Latar yang ditemui juga berbeza-
beza. Zaman yang diungkapkan juga berlainan. Bahasa yang digunakan mempunyai variasi
yang pelbagai. Segalanya berupaya membentuk kepekaan pelajar tentang pelbagai aspek
budaya dan kehidupan masyarakat. Pelajar melihat diri orang lain dan berupaya untuk
membandingkan dengan kehidupan dirinya. Pelajar merasai denyut emosi orang lain dan
disatukan dengan emosi dirinya. Pengalaman ini akan dapat membantu ke arah
pembentukan rasa persefahaman, tolak ansur, dan kesediaan untuk menyesuaikan diri
dengan persekitaran. Pelajar dapat mengenal budaya dan pola kehidupan bermasyarakat.
Melahirkan anggota masyarakat yang menghormati tatacara hidup masyarakatnya,
mengurangkan potensi meluasnya kadar jenayah dan pelanggaran hak orang lain.

6.6. Meneroka masa dan ruang pengalaman dalam kehidupan

Bahan sastera memberi peluang kepada pelajar meneroka apa yang jauh dari ruang
pengalaman sebenar mereka. Pelajar dapat menemui pengalaman baru berdampingan
dengan teks yang mereka nikmati dan pengalaman ini membuka ruang kehidupan yang
melampaui batas pengalaman sedia ada mereka. Penerokaan ke alam sastera adalah
penerokaan yang indah dan mengkagumkan. Pelajar akan dapat memahami dan menyedari
kehidupan yang bergerak di luar lingkaran mereka sekaligus memahami bahasa dan budaya
masyarakatnya.

Menurut Spencer (2001) sastera memberi ruang kepada pelajar melakukan kontemplasi
terhadap diri mereka sendiri. Melalui sastera pelajar akan lebih memahami kehidupan dan
apa yang berlaku di sekeliling mereka. Kepentingan sastera adalah untuk membawa pelajar
berhadapan dengan realiti diri, di mana mereka berada dan bagaimana mereka memahami
diri orang lain. Sastera memungkinkan pelajar menemui manusia-manusia yang berbeza
sama ada dari segi pengalaman, latar kehidupan, dan sikap. Manusia-manusia berkenaan
mungkin mereka gemari atau benci. Geertz (1973) menambah bahawa apabila kita
berhadapan dengan karya sastera yang berbeza dengan budaya kita, kita bukan sekadar
membaca teks tetapi mengkaji budaya di mana karya itu dilahirkan. Karya sastera perlu
diberi interpretasi dengan penuh sensitiviti untuk mencari maknanya dan mengenali budaya
yang dipaparkan. Sesuatu yang kelihatan asing pada awalnya barangkali dapat
dimengertikan dan mempunyai perkaitan dengan pengalaman kita sendiri.

6.7. Mencermin kejayaan individu dan masyarakat

Sastera dianggap sebagai dokumen sosial yang memaparkan rupa dan wajah
masyarakatnya. Apabila pelajar berhadapan dengan karya sastera mereka sebenarnya
melihat ke dalam masyarakatnya. Kepentingan sastera adalah untuk mengajak manusia
mengenal budayanya dan mengamalkan nilai-nilai yang dikongsi bersama. Di dalam karya
sastera ada kisah-kisah tentang kejayaan dan kegagalan, kemurungan dan kegembiraan,
dan sebagainya. Kisah-kisah sedemikian dapat diambil sebagai teladan dan pengajaran bagi
pelajar. Nilai-nilai yang tersebar dalam karya sastera dapat diterapkan untuk membina
kekuatan diri dan keperibadian pelajar. Oleh itu karya-karya yang dihidangkan kepada
pelajar adalah karya-karya sastera yang dapat mencerminkan nilai, budaya, pemikiran, dan
sikap masyarakat. Sejarah Melayu misalnya adalah cermin kecemerlangan masyarakat pada
zaman tradisinya.

6.8. Membina jati diri

Keupayaan bahan sastera adalah untuk memberi peluang kepada pelajar menikmati suatu
hasil yang lahir dari cetusan pemikiran, sikap dan nilai sesuatu bangsa. Karya-karya sastera
bukan sahaja menjadi dokumen budaya tetapi menjadi sumber khazanah ilmu yang berguna
untuk pembinaan jati diri bangsa. Aspek budaya, masyarakat, dan manusia yang ditatap
menerusi karya sastera akan menggerakkan pelajar untuk mengenal jati dirinya. Sama ada
karya tradisional atau karya moden ia membawa pengaruh tertentu berkaitan suatu zaman.
Jika karya sastera terlepas dari bacaan pelajar bermakna mereka akan ketinggalan satu
khazanah penting yang merakamkan jati diri, budaya dan pemikiran bangsa.

7.0. Pendekatan menggunakan bahan sastera dalam pengajaran bahasa

Menurut Mana Sikana (2001) tidak semua pelajar mempunyai ketekunan membaca teks
sastera. Jika teks sastera gagal dikuasai secara literasi maka menjadi tangunggjawab guru
untuk menguasai teks secara literasi. Kegagalan pelajar membaca teks sastera membawa
kepada kesukaran dalam pengajaran sastera. Jika pelajar dipaksa membaca teks sastera, ia
akan menjadikan sesi pembelajaran suatu yang menderakan dan akan mengorbankan
falsafah sastera itu sendiri. Teks tidak seharusnya didekati dengan bacaan sahaja. Teks
sastera boleh ditransformasi kepada bentuk-bentuk lain. Puisi boleh dirakamkan dan
diperdengarkan kepada pelajar. Teks drama boleh diterjemahkan kepada lakonan pentas.
Malah teks sastera boleh ditransformasikan kepada bentuk multimedia yang boleh
merangsang pelajar. Mana Sikana merumuskan kegagalan pengajaran sastera adalah
disebabkan oleh :
1. Pengajaran sastera terlalu tertumpu di bilik sekolah, membaca dan menganalisisnya;
alangkah baiknya dibina makmal sastera.
2. Sastera dianggap hanya apa yang ada di dalam teks, tingkat ketergantungan kekepada
teks terlalu tinggi; alangkah baiknya mengaitkannya dengan nilai sasterawi dengan nilai di
luar teks; nilai kehidupan yang berkaitan dengan alam hidup pelajar.
3. Kurang terdapat hubungan antara teori dengan pengajaran yang boleh membangunkan
rasa apresiasi; malah ada pengajaran tanpa penguasaan teori, apalagi teori yang terbaru;
alangkah baiknya saling menguasai teori dan saling memperbaharui dengan teori baru
supaya pengajaran sastera menjadi dinamik.
4. Sumber sastera sebagai bahan pengajaran dan pemelajaran sering dilihat hanya
diakrifkan oleh guru, pelajar hanya sebagai penerima. Sepatunya guru hanya bertindak
sebagai seorang pengarah drama, pelajarlah yang mempunyai kebebasan mengaksikan
segala tafsiran dramatiknya.
Pusat Perkembangan Kurikulum (1994) menyarankan tiga kaedah untuk mengajar iaitu
Kaedah Analisis-Struktur, Kaedah Mengalami-Menghayati, dan Kaedah Berfokus untuk
digunakan dalam pengajaran bahasa Melayu.

1. Kaedah Analisis-Struktur (Struktural)

Kaedah pengajaran dan pembelajaran menganalisis karya sastera dari sudut pembinaan
atau struktur karya. Aspek yang dikaji ialah tema, plot, watak dan perwatakan, gaya bahasa,
latar, sudut dan teknik. Kaedah mi menekankan aspek intrinsik. Kaedah ini digunakan untuk
mengkaji dan memahami aspek struktur sesebuah karya secara induktif. Kaedah ini
memerlukan pembacaan rapi
Oleh guru dan pelajar. Guru perlu mengajar aspek struktur secara umum terlebih dahulu,
kemudian menjelaskan setiap aspek secara terperinci. Kaedah ini menekankan pemahaman
pelajar terhadap setiap aspek tentang sesebuah karya.

2. Kaedah Mengalami-Menghayati

Kaedah ini memerlukan penghayatan pelajar sendiri melalui pengalaman, penaakulan, dan
penganalisisan. Melalui kaedah ini pelajar dapat menjiwai sesebuah karya sastera dan
mungkin dapat mengaitkannya dengan pengalaman sendiri. Aspek yang membentuk karya
sastera iaitu tema, plot, watak, bahasa, dan sudut pandangan dapat dikaji secara terperinci
setelah pelajar memahami isi cerita atau maksud puisi. Kajian dijalankan oleh pelajar sendiri
secara individu atau berkumpulan setelah mendapat bimbingan awal daripada guru untuk
mewujudkan pengajaran dan pemelajaran yang berkesan. Guru hendaklah mempelbagaikan
teknik dan aktiviti yang menarik, di samping memberi penekanan kepada penggunaan alat
bantu mengajar yang sesuai untuk menimbulkan suasana yang dapat membantu pelajar
menghayati sesebuah karya sastera yang dikaji. Latihan yang diberikan oleh guru harus
lebih menumpukan kepada penghayatan pelajar sendiri, misanya pendapat mereka tentang
sesebuah episod, watak atau peristiwa, dan penilaian terhadap plot Kaedah ini
mementingkan aktiviti yang dapat melatih pelajar berfikir secara kritis dan analitis. Guru
harus mempelbagaikan teknik serta alat bantu mengajar dan belajar yang sesuai dan
berkesan.

3. Kaedah Berfokus

Kaedah ini menekankan sesuatu aspek dalam sesebuah karya sastera di samping aspek lain
secara sampingan. Kaedah ini bertitik tolak daripada aspek yang menonjol dalam sesebuah
karya. Fokus utama (FU) dalam sesebuah karya akan menjadi lebih istimewa dan bermakna
jika dibantu oleh fokus sampingan (FS), kerana kedua-duanya saling berhubung kait. Untuk
menimbulkan pengajaran dan pemelajaran sastera yang berkesan dan menyeronokkan,
perkara yang penting dan menarik dalam karya sastera perlulah dijadikan fokus utama (FU),
dan perkara lain dijadikan fokus sampingan (FS). Fokus utama (FU) dan fokus sampingan
(FS) boleh bertukar ganti, bergantung pada aspek yang hendak ditekankan.
Gaya Pemelajaran Gardner : Kecerdasan Pelbagai

Dalam mengaplikasikan bahan sastera di bilik darjah guru perlu mengenal pasti tahap
kebolehan serta gaya pembelajaran pelajar-pelajarnya. Gaya pembelajaran merupakan satu
set ciri peribadi yang mempengaruhi seseorang dalam menerima, mengumpul, dan
memproses maklumat. Gaya pembelajaran pula berkait rapat dengan tahap kecerdasan
seseorang pelajar. Gardner (1993) yang mengkaji teori kognitif, telah memperkenalkan satu
model kecerdasan pelbagai (multiple intelegence). Model ini menjelaskan bahawa
kecerdasan dapat dipelajari, dikembang, dan ditingkatkan. Model Gardner ini berlandaskan
prinsip:
Setiap individu mempunyai kesemua sembilan kecerdasan tetapi pada tahap
perkembangan yang berbeza-beza.
Kebanyakan individu mampu mengembangkan kecerdasan yang dimiliki ke tahap yang
cekap jika diberikan penggalakan, pengayaan, dan pengajaran yang sesuai.
Kecerdasan sering bertindak serentak dalan menghasilkan sesuatu kerja, dan jarang
beroperasi secara tersendiri.
Sesuatu kecerdasan dapat dimanifestasikan dalam pelbagai bentuk dan cara.

Berdasarkan Model Kercerdasan Pelbagai Gardner, aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan


penggunaan bahan sastera melibatkan :

1. Kecerdasan Linguistik

Kecerdasan linguistik dapat diperkayakan dengan aktiviti seperti peraduan menulis


cereka/karya kreatif, pertandingan bercerita, deklamasi sajak, pendapat dan penerangan,
teater pembaca, improvisasi, drama, penulisan jurnal, penerbitan buletin, akhbar kelas dan
ulasan, penulisan cerita berdasarkan lukisan komik, dan projek seperti pameran.

2. Kecerdasan Visual/ spatial

Aktiviti melibatkan lakonan atau drama, diorama adegan tertentu dalam cereka, penontonan
rakaman video atau sebahagian filem untuk tujuan perbincangan atau penjelasan, tetamu
dalam aksi (menjemput tetamu, seperti penulis atau pelakon dalam sesuatu pementasan),
permainan drama, penciptaan gerak bermakna dan gerak kreatif, bagi menjelaskan atau
menghuraikan maksud sesuatu aspek dalam teks, dan pantomim.

3. Kecerdasan Muzikal

Memasang lagu latar ketika mendeklamasikan sajak atau bercerita, melafazkan puisi dengan
nada, emosi dan rima yang sesuai, mestamu (memelodikan sajak tanpa alat muzik),
melagukan puisi (nyanyian lagu puisi), menulis lirik berdasarkan idea dalam teks,
merancang kesan bunyi berdasarkan urutan peristiwa atau bercerita berpandukan kesan
bunyi dalam rakaman, dan membuat projek seperti pertandingan melagukan puisi
tradisional dan puisi moden.

4. Kecerdasan Kinestetik

Main peranan, simulasi penyelesaian masalah, andaian, ramalan, improvisasi (aksi kaku)
plot berdasarkan teks, teater bercerita, pantomim, permainan drama, kerusi panas
(berdasarkan watak dan perwatakan dalam karya), gerak kreatif dan gerak bermakna.

5. Logik Matematik

Penyelesaian masalah seperti melakar bentuk bagi menjelaskan rumusan, melakarkan peta
minda, grafik atau carta aliran, mengisi borang pengurusan grafik.

6. Kecerdasan Interpersonal

Aktiviti perbincangan rakan sebaya, aktiviti kumpulan pakar. teater pembaca, dramatisasi,
simulasi dan improvisasi membina satu idea baru atau karya kreatif berdasarkan idea dalam
teks, kerusi panas berdasarkan watak dalam cereka, balang emas (wawancara dan ulasan),
forum (perkara pokok dalam karya), perbahasan (isu yang ditimbulkan dan teks).

7. Kecerdasan Intrapersonal

Menulis surat kiriman kepada sahabat, berkenaan salah satu aspek dalam karya,
menghantar e-mel memberikan pendapat anda tentang watak dalam cerpen, menulis jurnal
atau diari (refleksi tentang perasaan anda ketika membaca novel), membuat kerusi panas
berdasarkan watak dalam cereka, mengadakan perbahasan (isu yang ditimbulkan dan teks),
dan membuat bayangan minda seperti membuat suatu ramalan masa depan.

8. Kecerdasan Naturalistik

Menikmati karya bersama rakan di taman atau di bawah pohon sekitar sekolah, membuat
improvisasi meluahkan perasaan kepada alam dan persekitaran, untuk penghasilan karya
atau penikmatan karya, membuat buku skrap berdasarkan bahan alam, dan membuat
analogi dengan kehidupan sendiri untuk mencari konsep serta idea penghasilan karya.

9. Kecerdasan Emosi

Perbincangan tentang nilai dan pengajaran dalam karya, perbahasan isu-isu dalam karya
yang perlu diselesaikan, main peranan sepeti watak-watak yang boleh menjadi model atau
menimbulkan aspek positif pelaku, improvisasi seperti mengisahkan klimaks dalam drama
dan memberi penjelasan mengapakah penelesaiannya harus begitu, tetamu dalam aksi
seperti menjemput pengarang untuk membicarakan moral dan pemikiran dalam karya, dan
monodrama atau monolog seperti menghayati watak dalam karya serta merasai perasaan
dan aspek kerohanian watak dalam karya.
Teknik Pengajaran

Bahan sastera seharusnya diajar menggunakan teknik pengajaran yang dapat mengekalkan
keperluan corak dan struktur sastera. Unsur-unsur hiburan dan keseronokan harus
dikekalkan di samping teknik yang digunakan tetap berperanan memperkayakan
pengetahuan dan kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar.

Di antara teknik pengajaran yang boleh digunakan di dalam bilik darjah ialah :

1. Respons pembaca

Respons membaca melibatkan sebarang tingkah laku yang dapat dilihat daripada aktiviti
membaca. Respons pembaca terhadap bahan sastera dapat dinyatakan dalam pelbagai
bentuk : penulisan jurnal, buku laporan, ulasan lisan, persembahan dramatik, lukisan, dan
sebagainya. Tujuan respons pembaca ialah pelajar dapat memberi reaksi terhadap teks yang
dibaca.

2. Mestamu

Mestamu bermaksud melagukan puisi tanpa muzik. Biasanya dilakukan secara berpasangan,
seorang mendeklamasi puisi manakala pasangannya akan melagukan puisi. Manakala jika
dilakukan secara perseorangan, orang yang sama akan mendeklamasikan sajak dan
melagukan puisi.

3. Puisidra

Puisi yang didaramakan atau dilakonkan. Seorang pelajar akan mendeklamasikan puisi
manakala sekumpulan pelajar akan melakonkannya. Pergerakan pelakon adalah selaras
dengan ungkapan puisi berkenaan.

4. Teater Bercerita

Satu bentuk drama naratif bercorak cerita. Seorang pelajar akan membacakan cerita
manakala pelajar yang lain akan melakonkannya. Ia boleh melibatkan ramai pelakon.
Lakonan pula dibuat secara spontan. Pencerita akan menyampaikan cerita dan pelakon
beraksi mengikut watak dalam cerita berkenaan.

5. Improvisasi

Lakonan secara spontan yang mengisahkan kejadian, peristiwa, atau situasi sebenar dalam
kehidupan seharian. Aktiviti dijalankan dalam kumpulan kecil iaitu antara dua hingga lima
orang.

6. Kerusi Panas

Pelajar diberi satu peranan berdasarkan skrip atau improvisasi. Pelajar akan cuba
berimaginasi tentang gaya atau aksi watak tersebut dalam semua aspek seperti cara
bercakap, cara berjalan, pemikiran dan seumpamanya. Pelajar hendaklah mengkaji latar
belakang watak dari aspek umur, gambaran fizikal, dan bagaimana watak itu bertindak.
Aspek penting yang diberi perhatian adalah aspek watak. Pelajar-pelajar lain boleh bertanya
soalan berkaitan dengan teks kepada pelakon tersebut yang duduk di atas kerusi di hadapan
kelas.

7. Adaptasi Genre

Pelajar memilih mana-mana teks sama ada cerpen, novel atau drama. Teks tersebut diolah
semula ke dalam bentuk teks lain yang berbeza genrenya. Misalnya sebuah teks cerpen
dipindahkan menjadi sebuah drama atau sebuah syair.

8. Teknik Penfasiran Grafik

Memindahkan teks sastera seperti sajak ke dalam bentuk bahan grafik sama ada lukisan,
fotografi, lakaran, carta, graf, dan sebagainya.

9. Monodrama

Satu teknik lakonan yang dilakonkan oleh seorang pelakon. Pelakon perlu menghayati satu
watak yang dipilih dari teks yang dibaca. Pelakon akan berlakon secara perseorangan
meluahkan rasa hati, dan emosi watak agar ia dapat menjelaskan peranan dan tindakan
watak. Pelajar akan menilai perwatakan pelakon dan perwatakan watak lain berdasarkan
lakonan tersebut.

Berdasarkan perbincangan di atas dapatlah dirumuskan pengajaran dan pembelajaran


bahan sastera sebagai berikut :

1. Penggunaan teknik pengajaran yang sesuai dengan bahan sastera. Kepelbagaian teknik
pengajaran akan memberi peluang kepada pelajar meneroka bahan sastera melalui
pengalaman yang berbeza-beza. Pelajar lebih gemar kepada proses pengajaran dan
pembelajaran berlaku secara tidak formal dan banyak melibatkan pelajar secara aktif.

2. Guru perlu menguasai kemahiran sastera. Guru perlu menjadi model kepada pelajar. Guru
dapat menguasai pelbagai aspek sastera seperti mendeklamasi, berlakon, bersyair,
berseloka, berpantun, beraksi dan sebagainya. Guru menjadi penyubur kepada bahan
sastera dalam bilik darjah. Sentuhan emas guru menjadikan bahan sastera berkembang dan
semerbak dalam bilik darjah

3. Sesuatu pengajaran perlu perancangan yang teliti. Perancangan ini melibatkan masa,
penggunaan bahan, fokus pembelajaran, dan sebagainya. Perancangan yang dilakukan
membolehkan guru merangka aktiviti yang bersesuaian dengan keperluan pembelajaran
pelajar. Keutamaan perancangan guru adalah bagaimana untuk melibatkan pelajar secara
berkumpulan atau individu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

4. Penggunaan bahan bantu belajar yang menarik. Bahan bantu mengajar terdiri daripada
peta minda, lakaran grafik, video, fotografi, keratan akhbar, majalah, cd, vcd, dvd dan
sebagainya. Bahan-bahan ini hendaklah dirancang dengan teliti pengunaannya agar ia
dapat memanfaatkan pengajaran guru. Bahan-bahan yang dicipta secara kreatif oleh pelajar
sesuai digunakan dan akan menyeronokkan mereka.

5. Aktiviti dalam bilik darjah berfokuskan pelajar. Guru memberi peluang kepada pelajar
untuk terlibat aktif dalam aktiviti yang dirancang. Guru bertindak sebagai fasilitator
manakala pelajar akan menggunakan segala kemahiran berbahasa dalam aktiviti yang
dilakukan.

8.0. Faktor penentu kejayaan nasional

Keperluan akhir dalam mencorakkan kejayaan adalah keupayaan guru untuk menguasai
pendekatan dan teknik pengajaran yang bersesuaian dengan keperluan pelajar. Pelajar hari
ini tidak menerima apa sahaja yang guru berikan malah mereka lebih berminat untuk
mempelajari sesuatu yang menarik, menyeronokkan, dan melibatkan mereka secara aktif.
Guru perlu bersedia untuk menajamkan kemahiran dan pengetahuan yang seiringan dengan
keperluan dan tuntutan pendidikan masa kini. Guru-guru perlu menyertai seminar, bengkel,
kolokium, dan sebagainya yang boleh mempertajamkan ilmu mereka tentang bahasa dan
sastera. Guru perlu bersikap positif terhadap kemunculan bahan sastera dalam pengajaran
serta menerimanya dengan cukup profesional tentang pembaharuan dan inovasi yang
perkenalkan.

Alaf baru memerlukan pemikiran, sikap, dan pandangan baru seorang guru. Bergeraklah ke
dalam dunia sastera dengan penuh minat, kesedaran, dan rasa tanggungjawab. Tajamkanlah
kefahaman dan kebolehan guru terhadap sastera. Jika guru berbakat menulis dan
berkaryalah kerana ia memberi kematangan ilmu terhadap guru-guru. Kajian dan
penyelidikan sesama rakan seperjuangan boleh memanfaatkan banyak pihak sama ada
guru, pelajar dan sekolah. Amalan pengajaran kolaboratif, kerja berpasukan, kajian tindakan,
dan sebagainya boleh membina pengukuhan ilmu dan penemuan terhadap idea baru yang
membantu guru-guru.

Sudah sampai masanya guru mendeklamasi sajak di khalayak, mementaskan teater, dan
menyanyikan lagu puisi. Hadirlah ke majlis-majlis sastera seperti seminar, baca puisi dan
sebagainya kerana ia membawa manfaat besar terhadap guru. Guru perlu menonton teater,
bersemuka dengan pelakonnya atau membawa bersama-sama pelajar menonton, kerana ia
memberi dimensi baru guru dan pelajar terhadap dunia sastera. Undanglah sasterawan dan
penulis ke sekolah atau bilik darjah kerana kehadiran mereka membina ufuk baru terhadap
pelajar.

Kehadiran bahan sastera dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu akan
membuka lembaran baru kepada guru dan pelajar. Iklim pengajaran dan pembelajaran akan
menjadi lebih bermakna, menyeronokkan, dan menggembirakan. Ada hilai tawa dan
kecindan. Ada muzik dan suara bergandingan.

Bahasa dan sastera menjadi irama dan lagu yang semakin indah dan sukar dipisahkan lagi.

Penutup
Sulamlah kain sastera berbenang bahasa
pakailah ke taman ilmu ke kolam pujangga
serikanlah taman dengan muzik sastera dan suara bahasa
dendangkanlah puisi sabda bahasa lidah sastera
di kolam sastera ada cermin budaya ada citra bahasa
sulamlah kain sastera berbenang bahasa
hiasan anak muda di bangku ilmu
gemerlap sutera bahasa serinya cahaya sastera
membiak nusa membina negara

BIBLIOGRAFI

Ali Ahmad (1994). Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Awang Sariyan (2003). Isu-Isu Asas Penggunaan Bahan Sastera Dalam Pengajaran Bahasa.
Dewan Bahasa. Jil 3 Bil 4 : 7 11

Abdul Hamid Mahmood dan Ab Rahman Ab Rashid (2002). Teknik Pengajaran Sastera Dalam
Bahasa Melayu. Dewan Bahasa. Jilid 2 Bil 6 : 12 17.

Gardener, H (1993). Frames of Mind:The Theory of Multiple Intelligences. (2nd edition)


London: Fontana

Gutirrez, Kris (2000) . Teaching and Learning in the 21st Century. English Journal. 7 : 290
298

Geertz, Clifford. (1973). The interpretation of cultures, Basic Books, New York.

Hashim Awang. (1985). Teman Pelajar Kesusasteraan. Petaling Jaya : Fajar Bakti Sdn Bhd.

Mana Sikana (2001). Pengajaran Drama Sebagai Peneguhan Bahasa Melayu. Dewan
Bahasa. Jil 1 Bil 9 : 7 -13.

Muhammad Haji Salleh (2004). Sastera Di Ambang Globalisasi Dlm. Ilmu Kesusasteraan
Abad Ke 21. Jelani Harun (ed). Pulau Pinang : Penerbit Universiti Sains Malaysia

Mohd Taib Osman (1977). Pengajaran Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Marohaini Yusoff. (2001). Landasan Pengajaran Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu.
Dewan Bahasa. Jil 1 Bil 6 : 20 26.

Modul Pengajaran dan Pembelajaran KOMSAS Tingkatan 4 dan 5. (2004). Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Meek Spencer, Margaret. (2001). Childrens literature and national identity, Trentham Books,
Stoke on Trent.

Nafii Mat (2006). Keperluan Teks Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu. Dewan
Bahasa. Jilid 6 Bil 9. : 44 47.

Nik Safiah Karim. (2004). Bahasa Melayu Bahasa Tamadun Moden. Dewan Bahasa. Jil 4 Bil
1. : 10 15.

Noriah Taslim. (1996). Menggarapi Dunia Faedah dan Keilmuan Sastera Melalui
Penstrukturan Kurikulum dan Pemantapan Kaedah Pengajaran. Dlm. Pengajaran Sastera.
Othman Puteh (Peny.). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pusat Perkembangan Kurikulum. (1994). Buku Panduan Guru Kesusasteraan Melayu


Tingkatan IV dan V . Kuala Lumpur : Pusat Perkembangan Kurikulum.

Sandra Burchsted. Prospectiva. http://www.prospectiva.net

Anda mungkin juga menyukai