Anda di halaman 1dari 5

Masalah jerebu merupakan fenomena cuaca yang dialami oleh negara kita saban tahun.

Fenomena ini seolah-olah termaktub dalam takwim ramalan cuaca negara kerana acap kali
melanda negara.
Bincangkan punca-punca berlakunya masalah jerebu dan kesan-kesannya .
Analisis soalan:
Tema/Isu
: Masalah jerebu
Tugasan
: bincangkan punca-punca berlakunya jerebu dan kesan-kesannya
Format
: tiada (perbincangan)
FAKTOR JEREBU
Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas dan berkembang ini, masyarakat
pada hari ini sering berhadapan dengan masalah jerebu yang bagaikan bangkai gajah yang
tidak dapat ditutup dengan nyiru lagi. Fenomena jerebu ini seolah-olah telah termaktub dalam
takwim ramalan cuaca negara kerana telah acapkali melanda negara kita. Pada tahun 2005,
kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah menyebabkan jerebu yang teruk di
Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Kelang. Di samping itu, Kuala
Selangor dan Pelabuhan Kelang telah diiystiharkan darurat kerana Indeks Pencemaran Udara
(IPU) di kedua-dua kawasan itu telah melebihi 500, iaitu tahap darurat. Pada tahun 2006,
masalah jerebu turut berlaku sekali lagi. Masalah jerebu yang banyak mengundang
kontroversi ini, sebenarnya disebabkan oleh beberapa punca, persis kata orang tua-tua ,
jikalau tiada angin, masakan pokok bergoyang .
Faktor dominan yang menyumbang kepada masalah jerebu ialah pembakaran hutan
secara besar-besaran. Sebenarnya, keadaan cuaca di kawasan hutan hujan tropika memang
terlalu panas sehingga boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan terbakar dengan sendirinya
akibat suhu meningkat . Hal ini berlaku demikian kerana fenomena pemanasan global yang
sedang berlaku di muka bumi ini. Di negara jiran kita, Indonesia pembakaran hutan sering
berlaku kerana pihak Indonesia ingin membina infrastruktur yang baharu seperti bangunan,
sekolah dan lebuh raya. Hal ini mengakibatkan pembakaran hutan secara berleluasa. Apabila
angin bertiup dari Sumatera ke Malaysia, angin tersebut akan membawa jerebu bersama-sama
ke negara kita. Natijahnya, udara kita semakin tecemar sementelahan pula Indeks
Pencemaran Udara di negara kita melebihi paras berbahaya. Oleh itu, pembakaran hutan akan
menyebabkan asap dan debu serta bahan yang telah separuh bakar berterbangan di atmosfera
lalu berlakulah jerebu.
Seterusnya, masyarakat yang melakukan pembakaran secara terbuka tanpa kawalan
juga menyebabkan keadaan jerebu menjadi-jadi. Pembakaran terbuka ini dilakukan oleh
pihak yang ingin menghapuskan sesuatu seperti sampah sarap. Sesetengah rakyat negara pula
melakukan pembakaran terbuka di belakang kawasan rumah mereka sendiri. Mereka telalu
malas untuk membawa sampah sarap mereka ke tempat pembuangan sampah atau pusat
pengitaran sampah semula. Jadi, mereka telah mengambil jalan mudah dengan membakar
sampah sarap mereka tanpa kisah jika asap daripada pembakaran terbuka itu yang sedikit
demi sedikit membawa kepada masalah jerebu. Ada pula sesetengah petani yang membakar
jerami padi untuk membersihkan kawasan sawahnya sebelum melakukan penanaman semula.
Mereka tidak sedar bahawa asap dari pembakaran ini tidak akan berada di suatu tempat

sahaja tetapi akan ditiup angin dan meliputi kawasan yang amat luas. Natijahnya,
pembakaran terbuka ini melepaskan asap ke udara dan mengakibatkan jerebu.
Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya yang bagaikan cendawan tumbuh selepas
hujan juga telah mengakibatkan masalah jerebu di Malaysia. Di Malaysia, terdapat 9.3 juta
buah kenderaan di jalan raya. Kenderaaan yang tidak dilengkapi pengubah pemangkin telah
menyebabkan 16.2 tan karbon monoksida dan dua tan sodium dioksida dikeluarkan setiap
hari. Kesesakan lalu lintas menyebabkan kenderaan tidak bergerak tetapi mengeluarkan asap
pencemar. Gas-gas pencemar ini merupakan bahan terampai yang memenuhi udara. Gas-gas
yang dibebaskan pula tidak dapat dibebaskan ke atmosfera dan sebaliknya terperangkap
dalam lapisan bumi. Kejadian gas-gas yang terperangkap ini bagai selimut yang menutupi
bumi. Peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya akan menyebabkan jumlah asap yang
dikeluarkan dari paip ekzos kenderaan meningkat dan berlegar-legar di atmosfera dan
terperangkap di lapisan ozon serta tidak dapat keluar ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan
udara menjadi tebal dan berlakulah jerebu di negara kita.
Selain itu, masalah jerebu juga berpunca daripada kegiatan industri yang tidak
terkawal. Hal ini berlaku demikian kerana sesebuah negara banyak bergantung pada bidang
perindustrian yang mengaut keuntungan yang lumayan demi kemajuan negara. Malangnya,
sikap pengusaha kilang yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing
menyebabkan asap-asap dari kilang yang dilepaskan ke udara telah mencemarkan udara di
negara kita. Mereka tidak sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk mendapatkan
alat penapisan asap untuk menapis asap yang dikeluarkan dari kilang mereka sedangkan asapasap yang dikeluarkan ini mengandungi sulfur dioksida dan nitrogen yang boleh
mengakibatkan udara menjadi berjerebu. Situasi ini bertambah buruk apabila ada pihak
pengusaha kilang yang memasang corong asap yang terlalu rendah sehingga menyalurkan
asap beracun ke udara. Pelepasan asap kilang yang tidak terkawal dan tidak mengikut
prosedur tertentu akan memburukkan keadaan jerebu di negara kita lagi.
Sebagai penutup bicara, jerebu merupakan fenomena alam yang memberi kesan yang
buruk kepada manusia. Fenomena jerebu yang disebabkan oleh proses alam semula jadi
tidaklah menyebabkan jerebu yang buruk berbanding dengan jerebu yang disebabkan oleh
aktiviti manusia. Kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini, sebaliknya
langkah-langkah efektif perlu diambil sebelum kemelut tersebut berada di luar kawalan persis
kata orang tua-tua, sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya masalah jerebu tidak mendapat
perhatian ramai, nescaya generasi yang akan datang ketandusan nilai cinta akan alam sekitar.
Oleh itu, semua wargabumi haruslah berganding bahu untuk menyelesaikan masalah
berjerebu di Malaysia yang semakin serius supaya masyarakat sejagat dapat hidup dengan
selamat. Tidak gunanya kita meratapi kehilangannya suatu ketika nanti jika langkah-langkah
pencegahan tidak dimulakan dan dilakukan dari sekarang kerana pepatah melayu ada
berbunyi, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI JEREBU


Mutakhir ini, arus globalisasi yang semakin menerjah di seantero dunia telah banyak
membawa perubahan kepada kehidupan seharian manusia di tanah air kita. Dalam
keghairahan mengejar arus modenisasi ini, kita sering dikejutkan dengan situasi negara kita
yang sering mengalami masalah jerebu. Berita buruk ini yang semakin menjadi-jadi ini
dipaparkan pada dada akhbar saban hari. Hal ini telah menjadi polemik orang ramai dari
kedai kopi sehinggalah ke parlimen. Persoalan yang sering terlintas di fikiran kita ialah
mengapakah Malaysia selalu dilanda dengan krisis jerebu? Banyak jawapan yang berlegarlegar di gawang minda kita kita. Namun begitu, masalah yang semakin serius ini perlu diatasi
dengan segera kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Kerajaan merupakan penawar mujarab dalam mengatasi masalah jerebu. Pihak
kerajaan memikul kewajipan untuk menguatkuasakan undang-undang yang termaktub dalam
Akta Alam Sekitar. Individu-individu yang telah mengingkari undang-undang dengan
membakar sampah sarap secara terbuka manakala pemaju kilang yang membiarkan pelepasan
asap daripada kilang tanpa ditapis perlu dikenakan hukuman yang lebih berat. Biarlah mereka
menerima pengajaran supaya lebih peka terhadap isu jerebu yang semakin kronik ini, kerana
sudah terhantuk baru tengadah. Pemaju-pemaju kilang yang mengamalkan sikap sebegitu
bukan sahaja harus dikenakan saman yang lebih tinggi, malah premis kilang mereka harus
disita. Bagi memastikan masalah jerebu terkawal, kerajaan turut perlu mewajibkan setiap
kilang perindustrian supaya memasang sistem penapisan asap dalam kilang mereka untuk
mengurangkan penyaluran habuk dan gas-gas toksik ke dalam udara. Pada masa yang sama,
Jabatan Alam Sekitar haruslah menggemblengkan tenaga dengan organisasi bukan kerajaan
untuk menjalankan kempen kesedaran yang lebih efektif secara giat. Kempen kesedaran ini
bukan sahaja dapat menyedarkan orang ramai tentang perbuatan mereka yang menyumbang
kepada masalah jerebu, malah kempen tersebut mampu membekalkan mereka dengan
informasi tentang langkah-langkah yang patut diambil oleh setiap individu untuk membantu
dalam mengatasi fenomena jerebu. Tuntasnya, kerajaan menjadi pemangkin perdana bagi
memastikan masalah jerebu dapat ditangani dengan cara yang efektif.
Selain itu, tindakan kerajaan yang lain dalam menangani masalah jerebu ialah
pembenihan awan perlu dilaksanakan demi menyekat keadaan jerebu daripada menular.
Akibat daripada fenomena El-Nino, cuaca kering dan kemarau telah melanda Malaysia.
Keadaan ini memburukkan lagi keadaan jerebu. Dengan demikian, kerja pembenihan awan
terpaksa dilakukan untuk mendapatkan hujan. Apabila cuaca kering, suhu awan menjadi
tinggi, titisan air menjadi ringan, Titisan yang sangat ringan ini tidak dapat jatuh ke bumi

sebagai hujan. Oleh itu, iodin perak ataupun ais kering akan ditabur untuk menurunkan suhu
awan tersebut. Ais kristal akan terbentuk dan semakin membesar lalu ditarik oleh graviti, air
kristal akan jatuh ke bumi dan bertukar menjadi titisan air apabila cair akibat daripada suhu
bumi yang panas. Hujan boleh memainkan peranan penting apabila keadaan jerebu menjadi
sangat serius. Hujan dapat membawa bersama jerebu jatuh ke bumi, justeru masalah jerebu
dapat diatasi dengan pembenihan awan.
Tidak dapat dinafikan juga ialah peranan ibu bapa dalam menangani fenomena jerebu.
Ibu bapa dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak mereka tentang langkah-langkah
mencegah masalah jerebu, menerusi pendidikan tidak formal. Ketika mereka masih di bangku
sekolah, anak-anak diibaratkan sebagai kain putih dan memerlukan bimbingan ibu bapa untuk
membentuk jati diri mereka yang sempurna. Sebagai memberi teladan kepada anak-anak
mereka, mereka perlu memikul tugas untuk memaparkan sikap mesra alam supaya sikap
sebegitu tersemai dalam sanubari anak-anak mereka sehingga menjadi satu kebiasaan dalam
kehidupan, bak kata pepatah, alah bias tegal biasa. Berpegang pada prinsip bagaimana
acuan begitulah kuihnya, anak-anak akan mengikut sikap ibu bapa sebagai rakyat negara
yang mengutamakan kebersihan udara. Dalam membentuk keperibadian mereka supaya
menjadi individu yang mengamalkan sikap mesra alam, ibu bapa juga diamanahkan dengan
tugas menyuburkan nilai-nilai murni, seperti nilai bertanggungjawab dan nilai peka terhadap
isu-isu alam sekitar dalam jiwa anak-anak untuk menyedarkan anak-anak tentang
tanggungjawab mereka dalam memelihara kebersihan udara. Ibu bapa turut diberikan
tanggungjawab untuk membuka mata anak-anak mereka terhadap isu jerebu melalui
penyertaan dalam kempen-kempen kesedaran kerajaan. Melalui langkah tersebut, anak-anak
akan didedahkan kepada perkara serius ini sejak umur yang kecil lagi, malah hal ini
membantu mereka memahami impak jerebu terhadap negara supaya mereka dapat
menghulurkan bantuan dalam usaha menangani masalah jerebu. Maka, peranan ibu bapa
dalam usaha mengatasi fenomena jerebu turut mendatangkan impak positif kerana mereka
menjadi penentu sahsiah generasi muda.
Selain kerajaan dan ibu bapa, pemimpin-pemimpin negara perlu bertemu dengan
pemimpin dari negara jiran dan berbincang tentang kesan-kesan yang disebabkan oleh
pembakaran hutan serta mencari cara penyelesaian masalah bersama-sama. Pemimpin negara
Indonesia boleh memainkan peranan dengan merancang pembakaran hutan dengan teliti dan
memikirkan cara mengurangkan implikasi negatif yang dibawa oleh pembakaran hutan.
Mereka juga patut melarang pembakaran hutan dan mengenakan hukuman yang berat
terhadap mereka yang melanggar peraturan tersebut. Dengan melaksanakan dan
menguatkuasakan undang-undang tersebut, maka masalah jerebu dapat diringankan.
Sebagai rakyat Malaysia kita boleh memainkan peranan kita dengan tidak membakar
sampah sarap secara terbuka. Hal ini kerana asap yang dihasilkan melalui pembakaran
sampah sarap merupakan antara penyumbang kepada jerebu dan sebagai akibatnya kesihatan
manusia akan terjejas dan membawa kepada pelbagai penyakit seperti sakit kerongkong,
penyakit asma, pneumonia, barah paru-paru dan sebagainya. Di samping itu, kita boleh
melibatkan diri dalam aktiviti menyelamatkan alam sekitar dengan menanamkan tumbuhtumbuhan di sekitar kawasan rumah. Dengan adanya kerjasama daripada masayarakat,
masalah jerebu pasti dapat ditangani sebelum nasi menjadi bubur.

Masalah jerebu telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia. Bagi
menyelesaikan masalah jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bersinergi dalam
mengatasi masalah tersebut, persis kata orang-orang tua, berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing. Pelbagai langkah perlu diambil demi mengelakkan masalah jerebu daripada
berlaku lagi. Sekiranya Malaysia bebas daripada belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara
Malaysia dapat berkembang maju dalam semua bidang terutamanya bidang pelancongan
yang sememangnya berpandukan cuaca dan iklim Malaysia. Marilah kita berusaha
mengurangkan masalah jerebu dan mewujudkan negara yang bebas jerebu untuk kepentingan
bersama.

Anda mungkin juga menyukai