Anda di halaman 1dari 5

TELAH DIBERINYA HATI

Tartillah selalu. Kerna dalam tadabbur Al-Furqan itu ada sakinah dan syifa’.
Ketenangan dan penawar. Hikmah dan makna. Bukankah Al-Quran itu mukjizat teragung
Muhammad, wahyu dari Dia Yang Haq? Lalu sembuhlah duhai hati, sudah kutemu
penawar geringmu.
Aduhai hati! Jangan rencam berona rindu. Bukankah sudah bersatu bahasa hatiku
dan bahasa jiwanya? Sungguh. Hatinya sudah akrab dengan hatiku. Terlalu!
Furqan itu kukucup lalu hatiku bergetar dan terus berdenyut. Tapak tanganku
kuletak perlahan ke dada. Ya! Ia berdenyut memanggil namanya- Muhammad. Dalam
desah nafas yang panjang malam itu, aku kepingin mencari wajahnya di balik purnama
sabit. Begitu pesannya pada ibu tua itu, pinta disampaikan padaku- Andai hatimu
kencang berdenyut, intai wajahku di hampar langit. Meski jasad Muhammad dan
Khadijah ini terpisah, kita masih berbumbung langit yang sama, jua masih berkongsi hati.
Seperti Muhammad Al-Amin yang tidak pernah melupai pengorbanan srikandi Islam
Khadijah, harum mekar kasih di hati.
Dulu, tatkala sendirian begini, aku punya dirinya menyelongkar makna
persahabatan. Lalu dia yang saban hari menceriakan hidupku yang dura. Menguntum
senyum di bibirku yang kering dan merekah. Datang pada waktu siang dia berkongsi
cerita tentang kerjaya dan perjuangannya. Datang pada waktu malam, dia berkisah
tentang derita ibu tuanya. Dan tiap kali itu jua air matanya yang ditahan di empang mata,
luruh dan pipinya basah. Dan sedunya itu aku memujuk. Lalu dia kembali berjenaka.
Dia doktor yang merawatku di wad yang kuhuni ini. Ya! Doktor Muhammad.
Seorang doktor yang kukira amat dekat dengan pesakit-pesakitnya. Sanggup bersengkang
mata dan bergegas ke wad andai ada panggilan kecemasan. Seorang doktor yang mampu
berkongsi cerita dengan pesakit. Seorang doktor yang memahami jiwa kami. Terlalu! Dia
seperti lilin yang membakar diri. Sanggup berkorban demi insan lain- yang tiada pertalian
sahabat, jauh sekali hubungan keluarga. Sungguh! Mulia benar kerjayanya. Lalu sering
dia berkata padaku :
Kupunya ilmu yang diizinkan Allah untuk memilikinya. Lalu wajib aku menggunakan
ilmu ini demi kebajikan insan lain.
Dan saban hari itu jualah, dia semakin mengenali sikap degil dan egoku. Begitu
jua aku- yang mendasari sifatnya yang tak lokek ilmu dan bantuan. Lalu kami berkongsi
ceritera hidup. Sering, dia ralit berkisah tentang ibu tuanya yang menderita. Ya! Derita
seperti aku. Namun deritaku hanya kerna punya penyakit hati lalu terlantar di wad ini
hampir setahun.
Meski banyak yang hitam, memori lalu bisa menjadi penyuluh perjalanan hidupku
di masa depan. Begitu kata Muhammad padaku. Tapi bagaimana? Aku bertanya dia. Lalu
aku pesona mendengar bicaranya- Seperti orang buta yang tidak bisa memandang dunia
dengan mata zahir tetapi bisa menikmati keindahan ciptaan Tuhan dengan mata hati dan
mata akal. Begitu jua kenangan yang meski hitam dan gelap, bisa jadi penyuluh- jadi
pedoman!
Lalu air mataku jatuh. Sebabak-babak kenangan menerpa ke dimensi ingatan. Ya!
Aku anak yang liar suatu ketika dahulu. Rencam akhlak, tegar dengan maksiat dan
kehinaan. Tandus kasih sayang. Sebu dengan kekayaan. Lalu kala saat gering seperti ini,
aku menilai semula perihal hidupku yang lampau. Dan setiap detik waktu itu jualah air
mataku begitu murah mengalir. Aku yang tidak pernah menangisi dosaku, saat ini sudah
terlalu takut dengan noda. Makin mengakrabi Tuhan- Dan aku belajar semua ini
daripadanya.
Saat kali pertama Muhammad menghulur salam kenal padaku- aku jadi malu. Dia
memang Muhammad yang terpuji tapi aku bukan Khadijah yang mulia. Jauh! Lalu air
mataku semakin laju menitis saat mengingati aku mawar yang sudah rontok dek
kumbang- yang sudah sirna wanginya. Aku tidak memilih sahabat. Begitu katanya. Lalu
detik itu, kami terus berkongsi kelaring luka masing-masing dan dia tidak jemu-jemu
merawatku.
Kala aku dibenarkan keluar wad untuk 1 minggu, Muhammad membawaku
pulang menemui ibu tuanya yang derita itu. Katanya bayu desa baik untuk kesihatanku.
Papa dan mama mengizinkan malah kulihat wajah mereka semakin jernih melihat
perubahanku. Dari seorang anak yang agresif metah, menjadi gadis santun yang
menghormati mereka. Sungguh! Ini hikmah ujian-Mu Tuhan. Dan Muhammad ini Kau
kirim sebagai penunjuk jalanku.
Singgah di tanah kelahiran Muhammad, aku jadi terpana. Dingin pawana kampung
meresap ke sumsum. Bersih dan wangi. Gumpalan awan bak ropol-ropol kapas putih,
indah dan cantik. Kala gerimis, pelangi tujuh warna muncul. Dan desis bisikan
Muhammad masih kuingat- Begitu pelangi, terlalu sukar melihat kehadirannya-
munculnya tidak selalu, hadir kala gerimis di panas hari cuma. Begitupun wanita solehah,
sukar benar ditemui di zaman dasawarsa baru ini. Lalu aku memandangnya penuh makna.
Terkesip aku memijak tanah selut di tengah bendang. Merasai sejuk lintah
merayap di kaki, aku menjerit. Dan Muhammad ketawa. Lintah jantan katanya.
Menarikan layang-layang di hamparan langit biru, begitu mengasyikkan. Dan setiap kali
itu jualah, Muhammad berbisik ke telingaku. Hidup umpama layang-layang. Dan kita
adalah pemain layang-layang itu. Pegang talinya erat-erat. Bimbang, terputus tali, hilang
arah tujuan- akan melayang entah ke mana. Dan air mataku mula bergenang.
Lalu aku semakin sedar, hutan konkrit yang aku huni tidak secantik rumput dan
bunga kertas yang tumbuh di laman teratak Muhammad. Malah mentari di sini lebih
cantik dan terang sinarnya. Dan aku mula menyesali kehidupanku yang kaku dan pejal.
Aku terkurung dek waktu yang bisu- yang tidak pernah bercerita perihal keindahan
suasana desa yang begitu mempesona. Mengintai ikan-ikan kecil di kali, aku teringat ikan
emas dalam akuarium besar di banglo putihku. Ah! Betapa ikan emasku rindu berenang
di air yang bebas mengalir seperti ini. Lalu Muhammad memujukku- mengajak aku
mengail di sungai di hujung kampung. Aku menjerit kala seekor ikan haruan termakan
umpan. Dan tengah hari itu aku, Muhammad dan ibu tuanya menikmati makan tengah
hari yang enak. Sederhana tapi penuh erti. Lantas perlahan-lahan rasa rindu pada
hubungan ibu-anak, ayah-anak meresap ke nubariku.
Ibu tua itu sering merenungku penuh kasih. Dia menyelimutiku saat bayu
menyapa jendela teratak kayu itu, mendinginkan tubuhku kala aku kehangatan. Lalu aku
senang mengurut dadanya saat dia sesak nafas. Jua aku gembira memicit tangan dan kaki
tuanya dengan minyak angin yang dihulur Muhammad. Ibu tua itu tabah. Dari tubir
matanya yang semakin kuyu dan lemah, aku nampak hidupnya penuh dengan cerita-
manis dan pahit. Bapa Muhammad meninggal dipagut ular ketika menyulam padi di
tengah terik mentari segalah di kepala. Muhammad masih kecil kala itu- 9 tahun. Dia
hanya punya saudara perempuan- seorang kakak yang kini sudah bergelar pensyarah.
Lalu ibu tua itulah yang membesarkan dua beradik itu dengan mencari rezeki menjual
kuih hingga Muhammad berjaya menjadi doktor dan kakaknya menyandang jawatan
penolong profesor.
Tidak pula seperti aku yang hidup penuh mewah namun berteman bayang-bayang sendiri.
Aku tidak pernah rasa beruntung hidup dalam dunia penuh wang ringgit. Kerna bagiku
harta kekayaan tidak mampu membeli kasih sayang dan kebahagiaan. Dia beruntung.
Punya ibu pada mata zahir dan batin. Aku? Pada zahirnya punya ibu dan ayah namun
hakikatnya aku tidak punya siapa-siapa. Dan aku membesar bersama secarik kenangan
begitu. Bukan sepertinya yang kukuh peribadi dan salasilah. Punya ibu yang memahami
dan mengasihi. Punya kakak yang bisa dihormati dan disanjungi.
Lalu saat Muhammad pulang sebentar ke kota, menemui pesakit-pesakitnya, ibu
tua itu mula berkisah padaku. Muhammad mahu ke lembah Tigris Euphrates. Aku
terkejut! Lalu mata ibu tua itu mula berkaca. Sekali lagi, seperti dulu dia pernah
tinggalkan ibu lalu menjadi doktor sukarela, menyertai misi keamanan ke Bosnia dan Al-
Quds. Aku terkesima. Terlalu!
Dan kala sekerdip embun menyapa dedaun gontai di suatu pagi nan salju,
Muhammad berwajah jernih itu mula berkisah perihal perjuangannya.
Sejak tamat universiti dalam ijazah kedoktoran, aku sering mengikuti anggota
sukarelawan membantu mangsa-mangsa perang dan kebuluran. Aku pernah ke Bosnia
ketika krisis Kosovo pada 1992, membantu etnik Albania, ke Ramallah dan kem pelarian
di Jenin beberapa kali, ke Kashmir wilayah yang saban waktu bergolak, lalu kali ini mahu
ke Baghdad- selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.
Mendengar bicaranya, air mataku luruh bak memanik embun pagi itu.
Ibu sudah merestui. Dan aku juga mahu pergi atas restumu, Khadijah.
Kau mahu pergi kerana ingin mewangikan nama?
Tidak. Aku pergi mewangikan perjuangan. Perjuangan membela nasib saudara seagama.
Perjuangan mempertahankan maruah Islam. Kita masing-masing berjuang, Khadijah.
Aku berjuang. Mereka berjuang. Kau juga. Cuma cara perjuangan itu sahaja yang
berbeza. Aku berjuang dengan ilmuku yang dikurniai Allah, kau berjuang dengan
semangat dan ketabahan, mencari kembali nikmat sihat. Mereka berjuang dengan maruah
dan nyawa, mencari kembali akar kedamaian.
Diam. Aku kelu untuk menitir kalam. Aku mahu sepasang mata ini sahaja yang berbicara
dengannya.
Tapi sebelum aku pergi, aku punya satu hajat yang harus aku tunaikan. Suatu hadiah
untukmu, Khadijah.
Hajat? Hadiah? Aku bertanya.
Dia tersenyum dan bicara itu terhenti di situ.
Lalu tidak sampai seminggu aku mencanai kenangan di laman indah nian itu, aku
perlu pulang ke hospital. Mataku sudah kekuningan amat. Muntah-muntah dan cirit-birit
itu petanda kurang enak. Jua demam yang tidak kunjung kebah. Perlu perhatian segera.
Begitu kata Muhammad. Dia risau benar, begitu jua dengan ibu tua itu. Lalu setelah
kukucup pipi dan tangan yang sempat kurasai air tangan masakannya, aku pulang ke kota
dalam kebasahan air mata. Nanti saya kembali ya ibu! Dan ibu tua itu mengangguk lalu
mendakapku perlahan.
Di wad, pemeriksaan rapi ke atasku dijalankan. Aku perlu dibedah segera! Aku
bingung. Aku belum punya penderma hati.
Sudah ada. Muhammad berbisik ke cuping telingaku. Aku tambah bingung.
Siapa?
Seorang insan yang mengasihimu dan ingin melihatmu beroleh sejahtera dan hidup dalam
nafas keimanan. Lalu dia tersenyum.
Siapa? Aku makin kebingungan. Oh! Aku perlu mengenalinya, Muhammad. Aku perlu
mengucapkan terima kasihku padanya.
Dia tidak ingin dikenali. Cukup sekadar dihargai sebahagian hati yang ingin diberinya
padamu dan pesannya supaya kau sinari hati itu dengan Nur Al-Quran dan bajainya
dengan benih ketaqwaan.
Usai pembedahan, Muhammad tidak pernah menjengukku. Aku bertanya pada
Doktor Suraya dan Doktor Afkar juga jururawat-jururawat di situ, tapi jawapan yang
kuterima begitu mengelirukan. Aku bingung! Hampa. Muhammad, kau tidak adil! Kau
pergi menjejak kota Baghdad tanpa memberitahuku. Lalu dalam bara amarah yang
membakar hatiku, aku terasa hatiku sendiri seperti mencemuhku. Ya! Hati yang sudah
bersatu dengan hati insan yang tidak kuketahui gerangannya. Jangan pernah menghina
Muhammad. Hatiku berbicara. Aku kaget. Lantas aku merasai benang-benang jahitan
yang berselirat di dada. Hati siapakah yang sudah bersatu dengan hatiku kini?
Lalu saat aku sudah cukup sembuh untuk meninggalkan wad, aku tidak pernah
segan mengunjungi teratak Muhammad dan ibu tuanya. Aku mahu mencari kepastian
pada sebuah kepemergian yang tidak diberitakan. Air mataku menitis saat tubuhku
mendakap tubuh tua yang sarat wajah kerinduan. Di jalur matanya ada gharisah.
Muhamamad ada ibu? Dia tidak menjawab. Namun menjemputku masuk.
Petang itu, dalam silau remang senja, kulihat sepucuk surat daripada celah sebuah
buku Biologi milik Muhammad. Beralamatkan ibunya. Aku buka dan meneliti kandungan
warkah bersampul papirus itu. Tulisan itu bukan milik Muhammad tapi menceritakan
perihal dirinya. Astaghfirullah! Hatiku berdegup kencang. Pantas dan laju. Air mataku
menitis. Semakin deras hingga seduku kedengaran. Lalu ibu tua itu kaget metah! Dia
mendakapku dan aku basah dalam tangisan serta pelukannya.
Aku menatap wajah ibu tua yang sarat kesayuan itu, menanti dia berkisah padaku.
Matanya bengkak. Jelas, dia banyak menangis.
Muhammad masih “hidup” dalam hatimu, Khadijah.
Aku kebingungan.
Hatinya dan hatimu sudah bersatu, anakku.
Aku tambah bingung!
Muhammad adalah penderma hati yang ingin kau kenali itu. Setelah hampir
setahun merawatmu, Muhammad tahu bahawa dialah penderma hati yang sesuai
untukmu. Lalu telah diberinya hati padamu sebelum dia pergi menjejak Baghdad.
Hatiku berdegup. Semakin kencang dan laju. Terlalu!
Benarkah? Lalu aku merasai degupan hatiku dan aku dengar hati itu berbisik
namanya. Muhammad. Muhammad. Muhammad. Yang terpuji.
Lalu aku teringat kata-katanya sebelum aku disorong ke bilik pembedahan. Hati
itu diberikan oleh seseorang yang mengasihimu dan ingin melihatmu sejahtera dan hidup
dalam nafas keimanan.
Masya Allah! Aku kelu. Ada sebak ada pilu. Ada resah dan buntu. Ada keliru dan
takut. Percaturan-Mu Ya Allah sungguh tidak kuduga! Meski kami tidak mungkin
ketemu, hati kami sudah menjadi satu. Bercantum dan abadi dalam tubuhku.
Muhammad meninggal dalam suatu letupan bom di Tikrit. Mayatnya hancur. Lalu
hanya sebahagian hatinya sahaja yang masih berdenyut dalam tubuhmu, anakku
Khadijah.
Aku terkesima. Pernyataan ibu itu menghiris pedih. Terlalu! Kupandang ke langit
mencari wajahnya. Dan aku nampak dia. Ya! Muhammad- Dalam pakaian putih murni, di
sebuah bustan nan indah, kulihat dia tersenyum. Lalu hati ini terus berdenyut. Ya!
Berdenyut menutur namanya- Muhammad.
Sungguh! Hingga detik ini dia masih “bernyawa” dan hidup dalam tubuhku,
dalam hatiku. Merah dan suci. Bercantum lalu bersatu dalam tiap detap, dalam tiap
denyut menghitung hari dalam nafas keimanan bersama…

Ghafirah Idris
15 Mac 2004
Perlis.

Anda mungkin juga menyukai