Anda di halaman 1dari 7

DIARI SEORANG BUAYA

Oleh: Helmi Effendy

“Malangnya, kau kalis rindu pada aku”

Sinopsis
Qisteena Kamal ialah satu-satunya gadis yang buat jantung Adrian hilang. Tapi Qisteena bukan
lagi miliknya. Bahagia dengan orang lain dan sedang mengandung dah pun. Tapi Adrian dapat
peluang kedua untuk memikat Qisteena. Seorang lelaki misteri memanggil dirinya sebagai Jiwa
menawarkan kepada Aqram untuk kembali ke hari pertama dia di Universiti Tun Perak.

Adrian cuma ada masa 1 minggu sahaja. Tapi mana cukup 1 minggu. Qisteena tu hatinya keras
gila. Sangat-sangat keras. Lagi-lagi untuk Adrian. Jadi, Adrian ada pilihan kedua. Kata Jiwa,
Adrian boleh panjangkan masanya untuk berada pada detik silam itu kalau dia berjaya memikat
seorang gadis. Sebaik sahaja gadis itu jatuh cinta pada Adrian, maka ingatannya akan hilang dan
cinta hatinya boleh dijadikan pertukaran untuk Adrian panjangkan masanya di masa silam untuk
1 minggu lagi!

Sambil berusaha memikat Qisteena, Adrian kena pikat pulak betapa banyaknya hati-hati gadis
demi Qisteena. Mampukah Adrian berjaya menjadi suri hati di hati Qisteena? Atau dia akan
gagal, lalu kembali ke masa depan semula, dengan hati yang lebih hancur lebur?

Prolog
Nama aku Adrian. Satu universiti kenal aku siapa. Tiada seorang perempuan pun mampu
lari daripada aku bila aku beraksi. Mereka panggil aku buaya, dan aku tak pernah nafikan.
Seperti mana buaya, sekali mangsa datang, buaya tidak pernah langsung tersasar menyambar
sasarannya.
Kehebatan aku menundukkan hati setiap gadis adalah legenda. Kononnya tersebar
diseluruh universiti tentang bagaimana aku memiliki katalog yang dinamakan sebagai "Jenis-
Jenis Bunga Dan 101 Cara Untuk Menundukkannya."' Dan legenda itu sememangnya benar.
Kalau nama Dr Cinta itu harus wujud di dunia, biarlah aku sendiri yang memakai
mahkotanya. Aku mengenali puluhan gadis dalam hidup aku, dan setiapnya memiliki personaliti
berbeza. Menggunakan cara aku yang berbeza bagi setiap gadis, aku berjaya memikat setiap
antara mereka. Dan teknik-teknik memikat itu aku rakamkan dalam sebuah diari.
Tetapi sesungguhnya segala kebolehan aku ini tidak mungkin aku miliki tanpa seorang
gadis ini. Qisteena, cinta pertama aku yang aku tak mungkin mampu memilikinya. Dia sekarang
sudah bahagia dengan pilihan hatinya. Dah berkahwin pun. Ketika aku mengenalinya, aku
hanyalah si lelaki yang nak bertutur depannya pun aku tak punya kemampuan itu.
Dua kali dia tolak cinta aku. Dua kali dia senyum sinis aku. Dan penolakan cintanya
buatkan aku tekad untuk belajar bagaimana menjadi lelaki pujaan wanita. Daripada si skema
yang bertimbun dengan buku, cermin mata sebesar mungkin, rambut sikat tepi, aku berubah
persis model. Tapi macam dah terlambat sebab Qisteena berhenti belajar apabila dia memilih
untuk menerima lamaran Dato' Khuzrin.
Dan sejak hari itu, aku menjadi pemusafir yang singgah dari hati ke hati, singgah untuk
mencari kembali rasa pertama aku mengenali Qisteena. Bukan sengaja aku mempermainkan hati
mereka, tetapi aku terseksa kerana perasaan aku ketika kali pertama bertemu dengan Qisteena
tidak pernah kunjung tiba.
Pernahkah kalian rasa ketika bertemu dengan seorang gadis, masa, zarah, putaran bumi
malahan hembusan angin semua jadi kaku di sekeliling kalian? Aku dapat merasakannya dengan
Qisteena! Pernahkah kalian ketika bertemu dengan seorang gadis, merasakan jantung kalian
berdebar, lantas mahu tercabut keluar, berguling di atas jalanraya di depan kalian? Qisteena bikin
aku jadi sedemikian!
Dan sekarang, aku ada berita baik! Aku ditawarkan peluang kedua untuk merebut
Qisteena. Seorang lelaki misteri, datang kepadaku dengan tawaran yang aku tak mampu tolak.
Dia benarkan aku kembali ke hari pertama aku di Universiti Tun Perak, Dirgahayu. Undur masa
gitu. Dan aku akan menggunakan segala ilmu yang aku ada, untuk merebut satu-satunya gadis
yang kalis rindu pada aku!
Qisteena, cinta pertamaku, kau tunggu aku datang!
Bab 1
Semuanya bermula pada malam itu. Aku seorang diri menangisi kisah silam aku,
mengenangkan satu-satunya detik aku jatuh cinta pada seorang gadis. Hanya kesunyian Tasik
Bunting yang berada ditengah-tengah kampus Universiti Tun Perak yang menjadi temanku,
mendampingiku yang sedang melontarkan batu-batu kecil ke arah ke tengah tasik.
Tidaklah gelap sangat laluan orang berjogging itu kerana ada beberapa batang lampu
yang datang dari tiang yang menyerupai seni bina zaman Victoria sedang bertenggek tidak jauh
daripada aku. Cahaya yang datang daripada lampu itu agak kelam. Selain itu, bunyi cengkerik
menjadi latar muzik.
Bila hati dah dilanda melankolik macam ni, bunyi serangga macam tu pun dah jadi
macam muzik jiwang. Silap hari bulan, aku boleh dengar yang suara Saleem nyanyi lagu
Fantasia Bulan Madu. Mungkin pokok-pokok yang suram ni pun akan melambai macam kat
konsert, ikut sekali bunyi Saleem tarik lagu. Oh ya, malam itu merupakan hari pertama aku
bertemu dengan Qisteena. Ulang tahun aku bertemu dengan seorang gadis yang telah bikin aku
penasaran. Ulang tahun aku kenal erti cinta.
“Kenapa kau terima lamaran datuk tu! Kenapa kau tak tunggu aku Qisteena!” teriakku
sambil menumbuk kerusi batu tempat aku labuhkan punggung. Dan beberapa saat kemudian,
punyalah aku menyesal berbuat demikian sebab betapa tangan aku kemerah-merahan. Kesakitan
yang aku sedang rasa mencadangkan barangkali ada keretakan pada tulang tapak tangan aku,
atau itu yang aku fikirkan ketika itu.
Dan ketika aku sedang terduduk memegang penumbukku, tiba-tiba anak telingaku dapat
menangkap bunyi muzik. Tak… tak, bukan muzik Salim yang aku bualkan tadi. Muzik ni realiti,
bukan suara nyanyian cengkerik jadi syahdu sebab aku rindukan Qisteena. Lagunya berentak
rancak, dengan bunyi deraman merupakan latar utama. Liriknya macam aku kenal.
Salam baginda adik menawan
Salam baginda adik menawan
Salam baginda adik menawan
Lirik lagu yang terungkap selepas itu agak lucah untuk aku bualkan. Tapi aku kenal lagu
ni. Ini lagu ketika zaman aku sekolah dulu. Lagu yang disiulkan oleh budak-budak nakal sekolah
aku dulu. Tapi gegerangan, atau bahasa yang lebih kasar, si kejadah mana yang mainkan lagu tu
kat tengah-tengah tasik pada waktu…. sekejap aku nak tengok jam, haa pukul 10 malam! Apa
kejadahnya muzik sebegini rupa dimainkan, menganggu terus mood mengenang rindu aku yang
baru sahaja nak bermula?
“Woii! Kalau kau hantu syaitan, aku nak bagitahu yang lagu ni tak akan buat aku takut!”
teriakku.
Bila sudah cukup 9 bulan
Suara bayinya pula kedengaran
Itulah dia dia anak setan
Marilah kita kesingkirkan
“Celaka, dah sampai sini dah lirik lagu tu!” gumamku sambil mula keluarkan telefon
bimbit, lantas cuba menyuluh keadaan disekitar. Tiada penampakkan langsung. Entah budak
mana yang mainkan lagu itu dan…
“ALLAH!” Lafaz itu terkamit dari mulutku. Sedang aku suluh ke arah tengah tasik, ada
seorang lelaki sedang berjalan di atas air, sambil berjoget sendirian. Aku mengecilkan mata aku.
Lelaki itu memakai swater yang menutupi kepalanya. Barangkali lagu itu datang daripada lelaki
itu.
“Woiii, kau berdiri atas apa tu?” teriak Adrian.
Lelaki itu tersentak.
“Kau boleh nampak aku?” soal lelaki itu.
“Hello, mestilah boleh nampak. Aku bukan buta lagi,” balas Adrian.
“Dan kau boleh dengar lagu ni?” soal lelaki misteri itu.
“Mestilah. Aku tak pekak,” tambah Adrian.
Kepala botak cantik berseri
Pusing ke sini pusing ke sana
Itulah dia mahatma Gandhi
Dan sekali petik sahaja, lagu yang sedang berkumandang disekitarku terus padam.
Terpingga-pingga aku jadinya. Dia terus mengorek telinganya, seperti sedang mengeluarkan
sesuatu menggunakan jari telunjuknya. Dan tidak semena-mena, lelaki yang berdiri di tengah-
tengah tasik itu tiba-tiba melangkah menuju ke arahku
“Maaf budak, lagu bangsa manusia ni boleh tahan best,” kata lelaki berkelubung itu
sambil menjatuhkan kelubungnya. Sekali wajahnya kelihatan, terus aku terduduk pada kerusi
batu tempat dia lepaskan geramnya sekuat hati tadi. Mana tidaknya, itu merupakan wajah paling
ngeri yang pernah ditatap oleh aku sepanjang hidupku.
Kepalanya botak, cukup berkilat sampai mampu memberikan pantulan wajah Adrian
sekiranya ditenung lama. Kulitnya merah menyala seperti sedang melecur teruk. Mata kanan
pula berwarna hijau. Tak cukup dengan itu, mata kirinya pula berlubang, dengan beberapa ekor
lipas keluar daripadanya. Apabila dia tersenyum memandangku, semua giginya berwarna emas.
“Hannn…tu?” gumamku. Namun, lelaki itu mengeleng sebelum dia menghulurkan
tangannya untuk bersalaman denganku. Aku memandang tapak tangannya yang berwarna hitam
legam dengan kuku panjang 3 kali ganda lebih panjang daripada kukuku. Akhirnya aku membuat
keputusan untuk tidak menyambut salam lelaki.
“Kau… merindukan seseorang?” soal lelaki itu.
“Macam mana kau tahu?” soalku.
“Aku dapat bau. Bau seperti Kasturi. Sekejap…” Dia seperti memejamkan matanya.
Tangannya dihalakan ke arah kepalaku. Aku pula berkerut dahi memerhatikan sahaja lagaknya.
“Permintaan paling dalam kau ialah kau nak kembali ke masa silam, untuk memikat balik
si… Qisteena?” soal lelaki itu.
“Kau boleh baca fikiran aku?” Punyalah hebat dia membaca fikiran sampai nama gadis
yang paling aku cinta, sayang dan rindu dalam hidup aku pun dia tahu. Mungkin kalau dia
meneroka lebih lama fikiran aku, dia juga akan belajar cara mengeja nama Qisteena.
“Bukan Qystina, Qistina. Q – I – S – T – E – E - N –A. Doube E.” Terus terngiang kata-
kata Qisteena ketika aku cuba mengeja nama gadis itu dalam telefon bimbitku suatu masa dulu.
Ahh, merdunya suara dia.
“Sebab itu mereka kurung aku selama ribuan tahun. Sekarang aku dah bebas. Baru jer
tadi bila kau menjerit tengah-tengah malam kesakitan,” ucap lelaki tadi. Aduh, baru aku nak
berangan, dia terus kacau lagi. Dua kali dia bikin masalah yang sama malam ni.
“Siapa… apa kau?” soal Adrian.
“Aku makhluk bunian yang paling ditakuti dalam sejarah. Tapi kau tak perlu takut, nama
aku Jiwa. Dan aku memerlukan bantuan kau,” ucap Jiwa.
“Bantuan apa?” soalku.
“Aku akan bantu kau ke masa silam, tapi kau kena bantu aku dapatkan hati-hati gadis.
Pastikan mereka jatuh cinta dengan kau. Aku perlukan cinta tersebut untuk aku kembali kuat
seperti dulu,” tutur Jiwa.
“Ke… napa tiba-tiba?” soal aku. Aku sebenarnya tahu jawapan yang bakal keluar dari
lidah Jiwa, tetapi lelaki narsistik seperti aku memang menunggu saat seperti ini untuk mendengar
sendiri daripada Jiwa, seorang lelaki bunian yang ada kemahiran berjalan atas air dan membaca
fikiran manusia. Bukan senang mahu mendengar pujian seperti itu datang dari makhluk aneh
sepertinya.
“Muhammad Adrian bin Rozaini. Umur 21 tahun. Pelajar semester akhir Diploma
Komunikasi dan Media Universiti Tun Perak, Dirgahayu. Aku kenal kau siapa. Romeo terhebat
abad ini. Tak ada gadis yang mampu lari daripada kau. Aku dah baca kisah hidup kau. Dan kalau
aku beri kau peluang untuk dapatkan Qisteena Kamal, apakah kau akan berkhidmat untuk aku?”
Siot, siap nama bapa Qisteena dia tahu. Qisteena tak pernah bagitahu kat aku. Alasannya, suami
dia jer boleh tahu, itu pun ketika majlis akad nikah nanti, masa lafaz akad.
“Baiklah, aku setuju,” balasku.
Tidak semena-mena, air tasik yang tenang tiba-tiba berpusar dasyat. Aku jadi kaget
melihatnya, lantas menoleh ke arah Jiwa. Dia masih lagi memakai sweater serba hitam dengan
jeans biru yang terdapat garis-garis aneh, membentuk corak tertentu.
“Terjun ke dalam pusaran air itu, kau akan kembali ke tiga tahun yang lalu ketika kau
pertama kali bertemu dengan Qisteena Kamal. Tapi ingat, kau hanya ada 1 minggu sahaja. Untuk
panjangkan waktu 1 minggu kau di alam sana, kau kena dapatkan aku cinta gadis. 1 cinta, 1
minggu tambahan untuk kau kekal pada masa silam,” ucap Jiwa.
“Serius kalau aku terjun dalam tu, aku tak mampus?”
“Bukankah kau pernah dakwa, demi Qisteena lautan api pun kau sanggup renangi?
Apalah sangat kau terjun dalam putaran tu?” soal Jiwa.
“Aku nak wassap Qisteena buat kali terakhir boleh?” pintaku.
“Dipersilakan,” kata Jiwa.
“Dear Qisteena. I just wanna confess to you. If you find this message…” Belum sempat
aku nak habiskan taipan aku, tiba-tiba Jiwa menendang punggungku menyebabkan aku
terjelopok jatuh ke dalam pusaran air.
“Lambat sangat mamat jiwang ni,” gumam Jiwa.

Anda mungkin juga menyukai