Anda di halaman 1dari 8

PEMIKIRAN FIQH

AL-IMAM AL-NAWAWI

Oleh

Abd. Rasyid Bin Idris


(Institut Al-Qayyim)

PEMIKIRAN FIQH
AL-IMAM AL-NAWAWI1

‫ات‬ ِ ‫اهلل ِمن ُش رو ِر أَن ُف ِس نَا وس يِّئ‬ِ ِ‫ و َنع وذُ ب‬،‫غفره‬ ِ ِِ ِ ِ


َ ََ ُ ُ َ ُ ُ َ‫احلَ ْم ُد ِهلل حَن َم ُدهُ َونَس تَعينُهُ َونَس تَهديه َونَس ت‬
ِ ِ ِ ِِ ِ ‫أ‬
ُ‫حده‬َ ‫َشه ُد أَن الَ إِلَهَ إِالَّ اهللُ َو‬
َ ‫ أ‬،ُ‫ي لَه‬
َ ‫ َو َمن يُضل ْل فَالَ َه اد‬،ُ‫ َمن يَهده اهللُ فَالَ ُمض َّل لَه‬،‫َعمالنَ ا‬ َ
‫ص ْحبِ ِه‬ ِِ ٍ
َ ‫ص ِّل َعلَى حُمَ َّمد َو َعلَى آل ه َو‬ َ ‫ اللَّ ُه َّم‬،ُ‫َن حُمَ َّمداً َعب ُدهُ َو َر ُس ولُه‬ َ ‫الَ َش ِر‬
َّ ‫ َوأَش َه ُد أ‬،ُ‫يك لَ ه‬
.‫عد‬
ُ َ‫ أ ََّما ب‬،‫ني‬ِ
َ ‫أَمجَع‬
Pendahuluan

Al-Imam Al-Nawawi merupakan salah satu nama yang terbilang di persada


kesarjanaan Islam. Kemasyhuran beliau merentasi berbagai disiplin ilmu seperti Fiqh,
Hadith, Ulum Al-Hadith, Nasab, Tarikh, Bahasa Arab dan sebagainya.
Khidmat dan sumbangan Al-Nawawi terhadap Islam khususnya di bidang ilmu
Hadith sangat besar. Setiap sarjana ilmu hadith seakan-akan berhutang dengannya atas
apa yang telah beliau tinggalkan dalam ilmu tersebut. Namanya juga jarang diabaikan
oleh para fuqaha’ dalam menyatakan pendapat ulama berhubung satu-satu masalah fiqh.
Kecenderungan beliau dalam membahaskan dalil-dalil yang dikemukakan oleh fuqaha’
(khususnya mazhab Syafi‘i) menjadikan sahsiahnya agak tersendiri dan unik.
Menyandarkan suatu fatwa kepadanya seakan-akan memberi kekuatan kepada fatwa
tersebut.
Keperibadian, pemikiran, manhaj dan sumbangan Al-Nawawi dalam pelbagai
bidang ilmu terus dikaji dan dibincangkan sejak sekian lama hingga ke hari ini. Sehingga
kini di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi sudah terdapat lebih 20 tajuk tesis M.A dan
PhD berkaitan dengannya. Kehebatan ilmunya diiktiraf dan dihormati, sumbangannya
terhadap agama dan umat ini dihargai. Sungguhpun begitu, ia tidak bermakna Al-Nawawi
tidak pernah tersilap di dalam pendiriannya. Ini kerana tiada seorang insan (tidak kira
betapa hebatnya dia) yang tidak terlepas daripada kesilapan. Justeru itu, sebarang
kesilapannya turut dinyatakan oleh para pengkaji. Ia tidak mencacatkan kehebatan Al-
Nawawi sebaliknya ia hanyalah bukti bahawa beliau juga insan dan insane itu tidak sunyi
dari salah dan silap.
Kertas kerja serba ringkas ini hanyalah sedikit pengumpulan terhadap tulisan para
sarjana terdahulu. Tulisan ini cuba menumpukan kepada manhaj pemikiran Al-Imam Al-
Nawawi khususnya di bidang Fiqh.
Sebenarnya menghimpunkan fakta berkaitan topik yang besar ini dalam waktu
yang singkat amat memenatkan. Namun mudah-mudahan usaha yang sedikit ini dapat
dimanfaatkan oleh sidang pembaca dan hadirin.

1
Kertas kerja ini dibentang sempena Seminar Pendekatan Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah – Aqidah dan
Syariah pada 11 Ogos 2007 di Hotel Garuda Plaza, Medan, Indonesia anjuran bersama Kerajaan Negeri
Perlis dan Pertubuhan Muhammadiyyah, Indonesia.
Latar Belakang

Beliau ialah Syeikh Al-Islam Muhyi Al-Din Abu Zakaria Yahya Bin Syaraf Bin
Muriy Bin Al-Hasan Bin Al-Husein Bin Muhammad Bin Jum‘ah Bin Hizam Al-
Dimasyqi Al-Syafi‘i Al-Nawawi2.
Menurut adat kebiasaan Arab seseorang itu dipanggil berdasarkan nama anak
khasnya yang sulung atau anak lelaki. Namun beliau dipanggil Abu Zakaria kerana
namanya Yahya walaupun tidak pernah berkahwin apatah lagi memiliki anak. Ia sekadar
panggilan beradab sahaja. Panggilan yang seumpama dengannya seperti Abu Al-Hasan
untuk yang bernama Ali, Abu Hafs untuk Umar, Abu Ishaq untuk Ibrahim, Abu Yusuf
untuk Ya‘qub dan sebagainya3.
Beliau digelar Muhyi Al-Din (Penghidup Agama) walaupun beliau sendiri tidak
menyukai gelaran tersebut atas dasar sifatnya yang tawadhu‘ dan merendah diri. Namun
gelaran itu memang bersesuaian dengan sumbangan dan jasanya yang besar dalam
menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W dan mematikan bid‘ah. Beliau melaksanakan
amar ma‘ruf dan nahi munkar menggunakan lisan dan tulisannya4.
Gelaran Al-Nawawi adalah bersempena nama kampung kelahiran dan
kewafatannya iaitu Nawa yang terletak di Hauran, Syria. Gelaran Al-Dimasyqi pula
adalah kerana beliau tinggal lama di kota Damsyiq. Al-Syafi‘i dinisbahkan kepadanya
kerana beliau bermazhab Syafi‘i. Malahan Al-Nawawi telah memberikan nafas baru
dalam penulisan mazhab Syafi‘i di mana beliau menjelaskan martabat hadith yang
dijadikan hujah oleh fuqaha’ mazhab seperti yang dilakukan dalam kitabnya Al-Majmu‘.
Beliau dilahirkan pada bulan Muharram tahun 631 Hijrah di Nawa. Beliau mula
menghafal Al-Quran dan mempelajari ilmu Fiqh semasa berusia 10 tahun. Pada tahun
649 Hijrah, beliau mengikuti bapanya ke kota Damsyiq untuk belajar di Dar Al-Hadith
yang terletak di timur Masjid Umawiy. Pada tahun 651 Hijrah beliau menunaikan ibadah
haji bersama bapanya kemudian pulang semula ke Damsyiq.
Al-Nawawi meninggal dunia di kampung halamannya di Nawa selepas
menziarahi Al-Quds dan Al-Khalil pada bulan Rejab tahun 677 Hijrah. Beliau
dikebumikan di sana.5

Akhlak dan Peribadi

Al-Nawawi adalah seorang manusia yang sangat tekun bekerja. Ibn Al-‘Attar
(salah seorang muridnya) menyatakan bahawa gurunya itu tidak pernah menghabiskan
waktu siang mahupun malamnya melainkan untuk ilmu. Beliau akan terus-terusan
menelaah kitab sekalipun di perjalanan. Seterusnya beliau sibuk menulis dan mengajar
serta menasihati umat Islam dan pemimpin-pemimpinnya. Beliau juga sangat prihatin
dalam mengeluarkan diri daripada perselisihan pendapat di kalangan fuqaha’ dan
mengambil berat tentang amalan hati. Beliau seorang yang hafal hadith-hadith nabi dan
mengetahui nilai hadith yang sahih ataupun dhaif, Beliau juga menguasai kaedah-kaedah
2
Lihat: Al-Yunini, Abu al-Fath Musa Bin Muhammad. Dhayl Mir’at al-Zaman. (3/283), India:al-Matba‘ah
al-‘Uthmaniyyah, ctk. pertama (1374H).
3
Al-Haddad, Ahmad Abd al-‘Aziz Qasim. Al-Imam al-Nawawi wa Atharuhu fi al-Hadith wa ‘Ulumihi.
(hal.18), Beirut:Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah, ctk. pertama (1413H).
4
Ibid (hal.19)
5
Lihat: Ibn Qadi Syahbah. Tabaqat Al-Syafi‘iyyah. (1/98), http://www.alwarraq.com.
dan usul mazhab (Syafi‘i), pendapat para ulama dari kalangan sahabah dan tabi‘in, serta
perselisihan ulama.6 Beliau mengetuai dar Al-Hadith Al-Asyrafiyyah selepas kematian
Al-Imam Abu Syamah tanpa mengambil sebarang upahpun.
Beliau sangat membenci sifat bersangka buruk terhadap orang lain. Dalam
kitabnya Al-Azkar, beliau menulis satu bab bertajuk: “Ghibah (Mengumpat) dengan hati”.
Beliau menyatakan bahawa bersangka buruk adalah haram. Sebagaimana haramnya
bercakap tentang keburukan orang lain demikianlah juga haram bercakap tentang
keburukan orang lain di dalam diri sendiri.7

Keilmuan

Kehidupan ilmiah Al-Nawawi semasa di kota Damsyiq terkenal dengan 3 perkara


iaitu:
Pertama: Kesungguhan dalam menuntut ilmu.
Beliau telah menimba ilmu dalam usia yang muda dan memperolehi kelazatan
menuntut ilmu. Beliau bersungguh-sungguh membaca, menelaah dan menghafal karya
para ulama. Al-Nawawi telah menghafal kitab Al-Tanbih dalam masa 4 bulan setengah,
menghafal bahagian ibadat dari Al-Muhazzab dalam masa 5 bulan setengah yang
berikutnya.
Ketekunan dan kekuatan hafalannya menyebabkan beliau dilantik oleh gurunya
Abu Ibrahim Ishaq Bin Ahmad Al-Maghribi menjadi pembantu pengajar dalam
halaqahnya. Kemudian beliau mengajar di Dar Al-Hadith Al-Asyrafiyyah. Seterusnya
dilantik mengetuai Dar Al-Hadith tersebut.

Kedua: Keluasan ilmunya.


Setiap hari Al-Nawawi akan membaca di hadapan gurunya 12 pelajaran berbentuk
syarah ataupun tashih. Pengajiannya itu meliputi: 2 kelas untuk kitab Al-Wasit karangan
Al-Ghazali, 1 kelas untuk Al-Muhazzab, 1 kelas untuk Al-Jam‘ Bayna Al-Sahihayn, 1
kelas Sahih Muslim, 1 kelas Al-Luma‘ fi Al-Nahu karangan Ibn Jinniy, 1 kelas untuk
kitab Islah Al-Mantiq karangan Ibn Al-Sikkit tentang ilmu bahasa, 1 kelas ilmu Saraf, 1
kelas Usul Fiqh kadangkala kelas kitab Al-Luma‘ oleh Abi Ishaq, atau Al-Muntakhab
oleh Fakhr Al-Razi, 1 kelas untuk ilmu nama-nama perawi dan 1 kelas untuk ilmu Usul
Al-Din. Setiap kitab yang beliau pelajari itu akan diulas, dijelaskan maknanya dan
diperbetulkan bahasa atau faktanya jika perlu.

Ketiga: Penghasilan karya yang produktif.


Al-Nawawi mula menulis pada tahun 660 Hijrah dalam usianya 30 tahun. Bahasa
penulisannya mudah difahami, fikrahnya juga jelas, adil dalam mendatangkan penadapat-
pendapat fuqaha’ dan dalil yang mapan.
Karya-karyanya masih mendapat perhatian umat Islam hingga hari ini sama ada
sebagai bahan rujukan dan sandaran mahupun sebagai bahan kajian ilmiah. Antara karya
ilmiahnya ialah:
1. Al-Majmu‘ Syarh Al-Muhazzab – Kitab yang mensyarahkan perkataan Abu Ishaq
Al-Syirazi berkaitan hukum hakam Fiqh mazhab Al-Syafi‘i. Kelebihannya ialah

6
Ibid
7
Lihat: Al-Nawawi, Yahya Bin Syaraf. Al-Azkar. (hal.344), Mauqi‘ Ya‘sub.
Al-Nawawi turut membahaskan kekuatan hadith-hadith yang digunakan sebagai
hujah dengan cara menerangkan kekuatan dan kelemahan tyang terdapat dalam
sanad hadith tersebut. Ini merupakan antara bentuk yang agak berbeza daripada
kebiasaan fuqaha’ di zamannya. Sungguhpun begitu beliau tidak sempat
menghabiskannya.
2. Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim – Merupakan salah satu kitab yang mensyarahkan
hadith-hadith di dalam Sahih Muslim, bahkan ia adalah yang paling utama.
3. Al-Azkar (Zikir-zikir) – Mengandungi himpunan hadith berkaitan dengan
zikrullah.
4. Riyadh Al-Salihin (Latihan Orang-orang Soleh) – Mengandungi ayat-ayat dan
hadith-hadith yang dibahagikan berdasarkan tajuk-tajuk berkaitan akhlak dan
keperibadian mulia.
5. Al-Idoh fi Al-Manasik (Penerangan tentang Ibadah Haji) – Merupakan kumpulan
risalah berhubung ibadah haji.
6. Al-Khulasoh (Kesimpulan) – Di sini beliau meringkaskan hadith-hadith yang
tersebut di dalam kitabnya Syarh Al-Muhazzab.
7. Raudah Al-Talibin wa ‘Umdah Al-Muftin (Taman Para Penuntut dan Teras para
Mufti) – Merupakan ringkasan Al-Nawawi ke atas kitab Syarh Al-Wajiz oleh Al-
Rafi‘i.
8. Al-Arba‘in Al-Nawawiyyah (40 hadith Himpunan Al-Nawawi) – mengandungi 40
hadith pilihan beliau dalam berbagai perkara asas Islam.
9. Al-Tibyan fi Adab Hamalat Al-Quran (Penerangan tentang Adab Pembaca Al-
Quran) – Kitab ringkas mengandungi adab-adab manusia yang bermuamalah
dengan Al-Quran.

Pandangan Ulama

Kebanyakan ulama yang membicarakan tentang Al-Nawawi akan mengkaguminya


dan mengakui betapa besarnya sumbangan beliau terhadap agama dan umat ini. Sebarang
kesilapan pendirian yang dilakukan oleh beliau hanyalah bukti bahawa beliau hanya
seorang manusia, bukan Tuhan Yang Maha Sempurna. Hanya segelintir kecil penuntut
ilmu yang kurang sopan dalam membicarakan tentang hal ini.
Di sini disertakan beberapa pandangan ulama tentang beliau:
1. Kata Al-Zahabi:
«…seorang imam, hafiz yang terulung, menjadi ikutan, Syeikh Al-Islam, symbol
para wali, penghidup agama… »8
«…mufti umat, Syeikh Al-Islam, penghidup agama…seorang hafiz, faqih mazhab
Syafi‘i yang zuhud, salah seorang tokoh terkenal… »9 

2. Kata Ibn Kathir :


«…seorang syeikh, imam, ‘allamah yang hafiz, ‘abid yang mulia, penyusun
mazhab…salah seorang daripada ‘abid dan ulama yang zuhud…besederhana dalam
kehidupan dan bersabar atas kesusahannya, seorang wara‘ yang tiada tandingan di
zamannya dan sebelumnya untuk jangkamasa yang lama.. »

8
Al-Zahabi, Syams Al-Din. Tazkirah Al-Huffaz. (4/1470), Mauqi‘ Ya‘sub.
9
Al-Zahabi. Tarikh Al-Islam. (12/345), http://www.al-warraq.com
3. Kata Al-Suyuti:
« …imam yang faqih, hafiz yang terulung, menjadi ikutan, Syeikh Al-Islam,
simbol para wali, penghidup agama… »10

Fatwa Al-Nawawi

Al-Imam Al-Nawawi merupakan mujtahid fatwa iaitu beliau mensahihkan apa


yang merupakan pandangan mazhab Syafi‘i. Di kala itu, beliau jarang sekali
mengemukakan pandangannya sendiri. Adakalanya apa yang rajih di sisi mazhab berbeza
dengan pendapatnya sendiri. Ini kerana tugas beliau dalam menyatakan pandangan
mazhab hanyalah menyampaikan. Ia berbeza dengan tugas menilai pelbagai pendapat
ulama yang memerlukan proses mentarjih dalil.
Di sisi fuqaha’ mazhab Syafi‘i apabila bercanggah pendapat Al-Nawawi di dalam
kitab-kitabnya, mereka menyusunnya seperti berikut:
1. Al-Tahqiq 2. Al-Tanqih 3. Al-Majmu‘
4. Al-Minhaj 5. Al-Raudoh 6. Syarh Sahih Muslim
7. Al-Fatawi 8. Tashih Al-Tanbih

Menurut Dr. Muhammad ‘Uqlah nisbah kesamaan pendapat Al-Nawawi di dalam kitab-
kitabnya berdasarkan kira-kira 900 masalah yang beliau kaji adalah melebihi 95%.
Sungguhpun begitu, untuk mengithbat pandangan Al-Nawawi yang terkini dan
mutakhir berdasarkan tulisannya yang terkini adalah suatu yang sukar. Ini kerana apabila
beliau mula menulis satu-satu kitab, tidak semestinya beliau akan menghabiskannya
sebelum menulis kitabnya yang lain. Adakalanya beliau menulis lebih dari satu kitab
dalam satu masa.
Sebagai contoh, apa yang dinyatakan oleh Al-Subki bahawa Al-Nawawi selesai
menulis kitab Al-Raudoh pada hari Ahad 15 Rabi‘ul Awwal tahun 669Hijrah dan mula
menulis Syarh Al-Muhazzab pada hari Khamis bulan Syaaban tahun 662 Hijrah. Beliau
selesai bab Al-Jana’iz (Jenazah) pada 10 Muharram tahun 673 Hijrah, pada hari yang
sama beliau memulakan kitab Al-Zakah (Zakat) dan menghabiskan bab ihram pada hari
Isnin 9 Syawwal tahun itu juga. Pada hari itu juga beliau memulakan bab Sifat Haji dan
menyelesaikan bahagian ibadat pada hai Isnin 14 Rabi‘ul Awwal 674 Hijrah. Kemudian
beliau memulakan bab Al-Bay‘ (Jual beli) hingga ke bab Riba dan beliau meninggal
dunia sebelum sempat menghabiskan syarahya ke atas kitab tersebut.
Kitab Tashih Al-Tanbih pula telah beliau habiskan pada pagi Jumaat 27 Rejab
tahun 671 Hijrah.
Pendek kata, Al-Nawawi menulis apa yang beliau perolehi daripada pengajian
dan pengkajian begitu juga apa yang diperolehi semasa menuntut ilmu akan beliau tulis
dalam kitabnya. Ini berbeza dengan cara Al-Rafi‘i dan Ibn Rif‘at yang hanya menulis
apabila sudah merasakan cukup kelengkapan untuk menulis.
Contoh pilihan fatwa beliau :

10
Al-Suyuti, Jala Al-Din. Tabaqat Al-Huffaz. (1/106), http://www.al-warraq.com
1. Wajib berwuduk selepas memakan daging unta seperti pendapat mazhab Ahmad
dan Ishaq. Kata Al-Nawawi: Mazhab ini lebih kuat dalil sekalipun jumhur
berbeza daripadanya.11
2. Tidak makruh bersiwak di bulan Ramadan bagi orang yang berpuasa secara
mutlak. Ini sama dengan pendapat Al-Muzani dan kebanyakan ulama.
3. Permulaan tempoh masa menyapu khuf adalah dari masa menyapunya selepas
berhadas. Ini merupakan salah satu riwayat dari pendapat Ahmad, ia juga
pendapat Daud Al-Zahiri. Kata Al-Nawawi: ia adalah pilihan yang rajih di sudut
dalil.
4. Barangsiapa yang menanggalkan khufnya ataupun sudah tamat tempohnya
sedangkan dia masih dalam keadaan suci disebabkan sapuan khuf, tidak perlu
berwuduk kembali atau membasuh kedua kakinya. Taharahnya kekal dan sah
solat dalam keadaan itu selama mana dia belum berhadas. Keadaannya sama
seperti ketika belum menanggalkan khufnya. Kata Al-Nawawi: inilah yang dipilih
dan paling kuat. Ini juga pendapat Al-Hasan Al-Basri, Qatadah dan Ibn Al-
Munzir.12
5. Harus jamak solat kerana sakit.
6. Haram bersetubuh dengan wanita haid tetapi harus bersentuhan dengan apa yang
di bawah pusat dan atas lutut. Ini adalah pendapat Al-Auza‘i, Al-Tsauri, Ahmad,
Ishaq dan ramai lagi. Kata Al-Nawawi:bahawasanya mazhab ini lebih kuat di
sudut dalil.13
7. dan banyak lagi.

Pemikiran Fiqh

Al-Nawawi memilih untuk tidak keluar daripada kaedah dan usul mazhab Syafi‘i
sekalipun beliau mempunyai kelayakan untuk berijtihad dan menilai dalil. Namun
beberapa pilihan pendapat yang beliau pegang berbeza daripada apa yang masyhur di
dalam mazhab membuktikan betapa beliau sebenarnya tidak terikat dengan keputusan
mazhab Syafi‘i yang terdahulu. Beliau bukan muqallid buta. Bahkan disebabkan
berpegang dengan kaedah mazhablahlah beliau dan ramai lagi ulama memilih pendapat
yang berbeza samada kerana dalil yang lebih kuat.
Pemikiran fiqh beliau sebenarnya boleh difahami dengan cara meneliti beberapa
pilihan pendapat tersebut. Kebiasaannya beliau akan menyatakan bahawa pilihannya itu
adalah lebih kuat di sudut dalil berbanding qaul yang satu lagi. Beliau juga akan
menyandarkan pendapat itu kepada ulama yang terdahulu sekalipun ia bercanggah
dengan qaul jumhur. Adakalanya beliau sekadar mengisyaratkan bahawa pendirian
mazhab tidak berdasarkan dalil yang kuat.
Contohnya tentang hukum kenajisan babi yang hidup. Kata Al-Nawawi: “tiada
dalil bagi kita -ulama Syafi‘iyyah- suatu dalil yang jelas menyatakan kenajisan babi yang
masih hidup”.14

11
Al-Nawawi. Syarh Sahih Muslim. (2/74), http://www.al-islam.com
12
Al-Nawawi. Al-Majmu‘ (1/527),
13
Ibid (1/474)
14
Ibid (2/568)
Contoh-contoh lain pendapat Al-Nawawi:
1. Kata beliau15: “Suatu yang diketahui bahawa mayat tidak sampai kepadanya pahala
bacaan Al-Quran (orang lain kepadanya) semata-mata. Bagi menjadikan pahala itu
sampai kepada mayat, ada 2 cara:
i. Hendaklah diiringi bacaan itu dengan doa untuk mayat agar pahala itu sampai
kepadanya. Doa selepas bacaan Al-Quran lebih hampir untuk diterima dan
lebih banyak keberkatan.
ii. Hendaklah berniat bahawa pahala bacaan itu adalah untuk mayat tersebut.

2. Beliau mentarjihkan bahawa tarikh peristiwa Isra’ dan Mi‘raj ialah pada malam 27
Rabi‘ul Awwal setahun sebelum Hijrah.16

Kesimpulan

Secara keseluruhannya Al-Nawawi masih terikat dengan disiplin, kaedah dan usul
mazhab Syafi‘i dalam fatwanya. Namun pendapat-pendapat beliau yang berbeza dari qaul
mazhab membuktikan beberapa perkara:
1. Hukum hakam syarak mestilah berasaskan dalil dan hujah yang paling kuat.
2. Kecintaan dan penghormatan terhadap pendapat imam-imam mazhab tidak
menyebabkan dalil-dalil syarak yang kukuh diketepikan.
3. Pendapat teramai tidak semestinya berdasarkan dalil yang kuat, adakalanya
kebenaran di pihak yang sedikit.

‫واهلل أعلم‬

Relau, Bandar Baru


11.00 malam
08/08/2007

15
Al-Nawawi. Raudat Al-Tolibin wa ‘Umdat Al-Muftin. (2/212), http://www.al-warraq.com
16
Dinukilkan oleh Ibn Kathir. Al-Bidayah wa Al-Nihayah. (3/135), Mauqi‘ Ya‘sub.

Anda mungkin juga menyukai