Anda di halaman 1dari 5

PENGGUNAAN BAHASA KASAR / PASAR DALAM KALANGAN PENUTUR BAHASA MELAYU Bahasa merupakan aspek terpenting dalam kehidupan

manusia untuk berinteraksai antara satu sama lain. Bahasa merupakan sebuah sistem komunikasi yang membuatkan manusia boleh berhubung sesama sendiri, bekerjasama, memahami, bergaul, beramah mesra, menunjukkan emosi, perasaan dan sebagainya. Kamus Dewan mendefinisikan bahasa sebagai sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dgn individu yg lain). Jelasnya, bahasa adalah alat perhubungan sesama manusia. Dalam sistem bahasa Melayu terdapat beberapa jenis bahasa yang menjadi pertuturan dan penulisan. Antaranya ialah bahasa baku; iaitu bahasa yang teratur dan mantap pelbagai aspeknya seperti ejaan, bentuk kata, tatabahasa dan sebagainya, dan diterima oleh mesyarakat sebagai norma penggunaan yang betul dan sahih atau dikenali sebagai bahasa standard. Bahasa Baku merupakan bahasa yang digunakan dalam keadaan rasmi, khususnya dalam penulisan rasmi seperti surat, laporan, berita dan penulisan ilmiah. Dalam pertuturan pula kebanyakan penutur Melayu menggunakan bahasa Melayu Johor Riau. Namun begitu terdapat juga penggunaan bahasa baku dalam pertuturan; tetapi tidak meluas seperti forum, pengacaraan majlis dan diskusi ilmu. Bahasa pertuturan lebih dikenali sebagai bahasa basahan, iaitu bahasa yang digunakan sehari-hari dalam keadaan tidak rasmi. Seperti perbualan sesama rakan sekerja, di rumah, di pejabat dan sebagainya. Dalam bahasa pertuturan ini terdapat pula beberapa ragam bahasa yang mewarnai ragam bahasa Melayu antara ragam bahasa yang sering digunakan dalam pertuturan lisan ialah bahasa pasar. Bahasa pasar dalam Kamus Dewan, ialah ragam bahasa Melayu yang tidak betul jalan bahasanya (terutamanya seperti yang dituturkan oleh orang asing yang tidak tahu akan kaedah bahasa Melayu). Dr Abdullah Hassan (1992) mendefinisikan bahasa pasar sebagai bahasa yang digunakan apabila salah seorang penutur bukan penutur Melayu asli. Contohnya, seorang penutur Melayu bertutur dengan penutur India atau penutur Cina bertutur dengan penutur Siam, maka istilah, perbendaharaan kata dan ciri tatabahasanya akan terpengaruh dengan bahasa India, Cina atau Siam. Dalam bahasa pasar ini terdapat pula bahasa kasar. Kamus Dewan mengistilahkan bahasa kasar sebagai bahasa yang tidak sopan atau tidak manis dituturkan (digunakan), atau bahasa kesat iaitu bahasa kasar yang digunakan untuk percakapan atau tulisan yang menyakitkan hati orang lain apabila mendengar atau membacanya. Penggunaan bahasa kasar atau bahasa kesat atau bahasa tidak sopan ini telah menjadi satu fenomena yang tidak terkawal lagi. Jika difahami dari aspek definisinya, bahasa pasar merupakan bahasa Melayu yang tidak betul strukturnya kerana dituturkan oleh pengguna yang bukan bahasa ibundanya Melayu. Tetapi kini bahasa pasar, bahasa kasar dan bahasa tidak sopan telah manjadi satu fenomena baharu dalam kalangan penutur aslinya pula iaitu masyarakat melayu itu sendiri. Gejala ini bukan sahaja melibatkan pertuturan secara lisan, malah telah menular hingga ke bentuk penulisan. Jika diselidik, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan berlakunya perleluasaan penggunaan bahasa tidak sopan dalam kalangan penutur bahasa melayu dalam negara ini. Faktor penuturan bahasa kasar

Penggunaan bahasa kasar atau bahasa tidak sopan ini telah menular dengan begitu meluas sekali dalam kalangan penutur Melayu. Jika dilihat dari sudut definisinya, bahasa pasar dituturkan apabila salah seorang atau keduanya bukan dalam kalangan penutur Melayu asli; namun, apa yang berlaku kini ialah penggunaan bahasa kasar telah menjadi gaya pertuturan dalam kalangan penutur jati melayu itu sendiri. Lebih teruk lagi bahasa pasar yang digunakan merupakan bahasa kasar atau bahasa yang tidak sopan. Mengapa keadaan ini berlaku? Dr Hassan Ahmad, dalam artikelnya dalam Dewan Masyarakat Edisi Januari 2011, yang berjudul Memahami Hakikat Bahasa menyatakan Orang Melayu yang tahu bahasa bukan hanya bererti dia pandai tatabahasa Melayu; dia juga tahu adat berbahasa. Apabila dia berbual dengan orang yang lebih tua atau berdarjat dalam masyarakat, dia tidak akan menggunakan bahasa yang salah dari segi nilai budaya atau sosialnya. Pernyataan tersebut merujuk kepada nilai diri penutur Melayu yang dicerminkan melalui pertuturannya. Beliau melanjutkan lagi dengan pernyataan Inilah salah satu cara bagaimana kita dapat mengkaji budaya sesuatu bangsa berdasarkan bahasa yang mereka gunakan dalam pelbagai konteks perhubungan sosial. Pepatah Melayu ada menyatakan, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Maksudnya, sebab menggunakan bahasa yang salah dari segi adatnya, bermacammacam kesan buruk boleh berlaku kepada orang itu. Melalui dua pernyataan oleh Dr Hassan Ahmad tersebut menampakkan satu implikasi besar terhadap penutur Melayu kini. Seolah-olahnya penutur Melayu kini merupakan penutur yang tiada nilai, kurang adap, buruk perangai dan sebagainya. Ini telah dibuktikan melalui berleluasanya penggunaan bahasa pasar kasar yang dituturkan oleh penutur Melayu kini. Berbalik kepada soalan, MENGAPA KEADAAN INI BERLAKU? Antara faktor utama yang menyebnabkan keadaan ini berlaku adalah disebabkan oleh silang budaya. Menurut Asmah Haji Omar perbezaan makna lestikal dalam silang bahasa ialah Sesuatu perkataan itu boleh menimbulkan perasaan-perasaan tertentu bergantung kepada suasana perkataan itu digunakan atau juga bergantung kepada latar belakang masyarakat yang berkenaan. Banyak perkataan yang hanya boleh digunakan untuk masyarakat sahaja tetapi tidak sesuai untuk digunakan dalam masyarakat lain. Jika hal ini dilanggar, ia akan menimbulkan kemarahan, perasaan tidak senang, sakit hati, tersinggung, kecil hati dan sebagainya. Namun begitu, penggunaan beberapa istilah atau perkataan yang menjadi tabu atau dianggap sensitif bagi sesuatu kaum atau budaya tidaklah menjadi persoalan yang besar kerana penggunaan kata dalam sesuatau budaya itu berbeza maknanya mengikut pemahaman budaya itu sendiri. Penggunaan kata yang dianggap kasar mengikut budaya tertentu hanya difahami oleh penuturnya, tidak digunakan secara berleluasa dalam kalangan penutur lain lantaran berbeza makna dan penggunaan. Sempadan budaya dan kepercayaan jika dihormati tidak akan menimbulkan suasana yang tegang. Tetapi apa yang lebih buruk lagi ialah penggunaan bahasa kasar yang berlaku sekarang ini merupakan satu kesengajaan yang melangkuan batas sempadan dan silang budaya. Antara lain faktor penggunaan bahasa kasar yang sangat berleluasa kini adalah pengaruh filem-filem melayu yang menampilkan gaya hidup samseng jalanan yang menggunakan perkataan atau istilah yang difahami oleh geng-geng tertentu. Antara perkataan yang begitu populer yang

dipamerkan melalui filem ialah perkataan langsi, gua, lu, hengget, gedik, jantan, betina, hantam dan sebagainya. Perkataan-perkataan ini dipopulerkan oleh filem-filem aksi kongsi gelap, gaya hidup orang muda, mat rempit, kaki lumba dan kutu rayau yang berlambak di pasaran. Antara filem yang didapati menggunakan bahasa kasar ialah seperti filem Kongsi, Bini-Biniku Gengster, KL Drift, Libas dan Aku Masih Dara. Secara keseluruhannya, filem-filem ini dan banyak lagi filem Melayu yang hangat di pasaran secara sengaja menggunakan sebahagian besar malah hampir keseluruhan dialognya dengan bahasa kasar. Apakah tujuannya? Mungkin hanya untuk menarik perhatian golongan muda menonton filem-filem ini. Penggunaan khidmat pesanan ringkas atau SMS melalui telefom bimbit dan laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Blog telah mempengaruhi penggunaan bahasa kasar kepada penggunanya. Sistem khidmat pesanan ringkas atau SMS melalui telefon bimbit yang hanya menghadkan bilangan aksara tertentu setiap kali pesanan dihantar menyebabkan ejaan dan tatabahasa tidak menjadi perhatian utama. Apa yang penting ialah pesanan tersebut dihantar dan difahami oleh penerimanya. Laman sosial Facebook, Twitter dan Blog secara sengaja menambahkan dan mencampuradukkan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain dalan interaksi. Gurauan dengan menggunakan bahasa kesat dianggap suka-suka telah menjadi satu kebiasaan. Hukum tatabahasa dilanggar secara sewenang-wenangnya. Kedapatan blog-blog peribadi ditulis bukan bertujuan untuk penulisan ilmiah, melainkan hanya sebagai tempat mencurahkan kekecewaan, melampiaskan kemarahan, caci maki dan sebagainya. Dalam meluahkan perasaan tidak puas hati dan kemaharan didapati pemilik blog menggunakan bahasa pasar dan bahasa kasar secara berleluasa tanpa rasa segan silu. Disebabkan terlalu taksub dengan gaya penulisan seumpama ini menyebabkan ramai calon peperiksaan UPSR, PMR, SPM, STPM malah di pusat pengajian tinggi menjawab soalan ilmiah dengan menggunakan bahasa pasar dan bahasa kasar. Antara lain faktor penggunaan bahasa kasar dalam kalangan penutur Melayu jati ialah terlalu mudah terpengaruh dengan penutur bukan jati. Sifat kurang jati diri penutur Melayu ini menyebabkan mereka terpengaruh dengan gaya pengujaran penutur lain. Maka jadilah penutur Melayu itu lebih Cina daripada kaum Cina, lebih India daripada kaum India. Sepatutnya; sebagai penutur jadi, masyarakat Melayu perlu membetulkan pengujaran salah oleh kaum lain ketika menggunakan bahasa Melayu. Hal ini juga turuf melibatkan pengaruh besar oleh media massa. Artis-artis popular yang sering mengajuk percakapan kaum lain menjadi ikutan para peminat mereka. Antara artis yang suka mengajuk pertuturan kaum Cina ialah Johan Raja Lawak melalui watak Ah Cai. Disebabakan taksub dengan artis ini maka para peminatnya turut meniru cara percakapan yang salah tersebut. Sekadar meniru lisan tidak mengapa, tetapi meniru dalam gaya penulisan ilmiah. Faktor yang lebih ketara ialah tiadanya sikap patriotik terhadap bahasa sendiri. Penutur jati Melayu nampaknya tidak serius dalam memperjuangkan kedaulatan bahasanya. Secara sengaja mereka membiarkan orang lain memperlekehkan bahasa Melayu, malah kaum Melayu juga secara sengaja tidak menggunakan bahasa yang betul dalam komunikasi seharian.

Sedikit contoh Silang budaya merupakan salah satu ciri penggunaan bahasa kasar dalam penuturan sesuatu bahasa. Dalam rumpun Melayu terdapat banyak kaum dan suku kaum yang mempunyai dialek yang tersendiri. Faktor geografi, budaya, adat, kepercayaan, slanga dan sebagainya akan menerbitkan perbendaharaan kata tersendiri. Malah banyak perkataan dalam bahasa Melayu yang dituturkan oleh pelbagai suku kaum tetapi membawa maksud yang pelbagai mengikut tempat dan budaya. Bagi sesetengah kaum perkataan yang diungkap itu merupakan perkataan biasa dan mambawa maksud yang baik, manakala bagi kaum lain pula menganggapnya sebagai satu kebiadapan kerana maksudnya berunsur, makian, carutan dan lucah. Contoh perkataan yang membawa pelbagai konotasi dan makna dalam lestikal silang budaya seperti yang dinyatakan oleh Asmah Haji Omar ialah perkataan sakai. Bagi masyakarat Melayu secara umumnya sakai bermaksud salah suku kaum dalam masyarakat Orang Asli iaitu orang Asli kaum Sakai seperti juga kaum lain dalam kaum orang Asli seperti Senoi dan Jakun. Justeru penggunaan sakai dalam masyarakat Melayu membawa konotasi negatif iaitu dianggap sebagai cacian. Berbeza bagi masyarakat Melayu Melanau dan Murut di Sarawak. Bagi masyarakat Melanau sakai bermaksud kawan, manakala masyarakat menggunakan istilah sakai untuk manusia. Di kawasan pedalaman Kedah,sakai digunakan sebagai sekeh atau meluku kepala. Perkataan lain yang membawa maksud yang sangat jauh bezanya dalam kalangan penutur Melayu ialah butuh. Dalam masyarakat melayu di Malaysia butuh membawa maksud carutan. Perkataan ini merupakan perkataan yang tidak dibenarkan penggunaannya kerana dianggap sebagai mencarut. Berbeza pula bagi masyarakat Melayu Indonesia, butuh bermaksud keperluan. Maka istilah butuh digunakan secara meluas di Indonesia tetapi tidak di Malaysia. Jelasnya kedua-dua penutur Melayu Malaysia dan Indonesia berkongsi perkataan yang sama tetapi membawa makna yang sangat berbeza kerana berlakunya silang budaya yang sangat besar. Jadi sebagai penutur yang halus budinya, haruslah bijak memilih perkataan mengikut tempat agar sesuai dan tidak melanggar norma dan budaya supaya dianggap sebagai penutur budiman. Pengaruh bahasa kasar melalui laman sosial Face Book seperti contoh berikut Aqi kandar mane ade aku bajet gangster.aku gangster la Md Shah gangster taik anjing Mali Mud adushh,, skrg ni aq sdh la.... knape dyea time aq,,, aq kn budax budax lgi..??? knape dia x cri pengganti slain aq??? aq jugk yg dyea nk.. ayt x blh bla jea... bile aq tnye kenape dia pilih aq, dia ckp "dengn hati budi dan keikhlasan adalah perkara yang amat penting bgi satu prhubungan dan kawan yang sudi mendengar masaalah." aq cepuk jugak kang ayat dyea ni... mcm x de org laen kat KL tu,.... adushh,, pe ni awk?? x kn x de org laen kat KL sane tuh..??? kat KL tu kn pempuan nye comei comei... hurmm... btw.. im sory

Lana Faana ececehhh, Married uh ngn BFF aq, sjak bile un kapel ngn dyew ? Kempat-empat nama di atas merupakan pelajar sekolah rendah dan menengah yang berusia antara 12 hingg 15 tahun. Perkataan yang digunakan merupakan perkataan yang dianggap sebagai bahasa kasar, ayat yang digunakan pula merupakan ayat yang lintang-pukang tatabahasanya. Penggunaan struktur yang salah, ejaan yang sengaja direka untuk membentuk intonasi remaja masa kini. Antara perkataan yang secara jelas menunjukkan bahasa kasar ialah gangster taik anjing. Dalam pertuturan melayu istilah taik dan anjing merupakan satu makian. Begitu juga dengan istilah cepuk yang menampakkan emosi sedang marah yang membuak-buak. Penggunaan bahasa kasar dalam filem melayu yang menjadi ikutan masyarakat Melayu seperti berikut; Filem Kongsi : Barua, hang berani mai tempat aku . Hang berani picit puting tetek aku.. : sebab apa nama aku naik, depa nak cari mampus dengan aku apa .. Melalui dua dialog filem Kongsi di atas terdapat beberapa perkataan yang berunsur bahasa kasar digunakan secara terang-terangan iaitu barua, tetek dan mampus. Perkataan barua dan mampus merupakan perkataan makian manakala tetek merupakan perkataan carut. Perkataan ini biasanya digunakan untuk menunjukkan kemarahan dan untuk menyakitkan hati pendengar. Sepatutnya ungkapan seperti ini tidak patut digunakan secara sewenang-wenangnya kerana menunjukkan maksud yang sangat jelek.

Anda mungkin juga menyukai