Anda di halaman 1dari 12

Penulisan Akademik

PEMIKIRAN DAN PENULISAN ILMIAH


DI UNIVERSITI*
Oleh

Sivachandralingam Sundara Raja


Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera & Sains Sosial,

Universiti Malaya
I.
II.
III.
IV.
V.
VI.
VII.

Pengenalan
Pengertian Penulisan Akademik
Ciri-ciri Penulisan Akademik
Esei Akademik Yang Baik
Perkara-Perkara Asas Dalam Membuat Penyelidikan Ilmiah
Kaedah Menulis Nota Kaki, Bibliografi dan Gaya Penerbitan
Senarai Rujukan

I. Pengenalan

Modul ini akan memperkenalkan mahasiswa/siswi kepada lima persoalan utama dalam
penulisan akademik. Pertama, pengertian penulisan akademik yang akan diperjelaskan
dengan mengemukakan contoh esei yang mewakili kaedah yang dijalankan oleh ahli
sains sosial. Kedua, adalah ciri-ciri penulisan akademik. Harus diketahui penulisan boleh
dibahagikan kepada penulisan akademik dan bukan akademik. Penulisan yang akan
dijalankan oleh siswa/siswi di universiti adalah penulisan akademik dan ia mewakili
penulisan berbentuk kertas kerja, laporan dan latihan ilmiah. Sebaliknya penulisan cerpen
dan novel tergolong dalam penulisan yang bersifat bukan ilmiah kerana ia tidak terikat
kepada peraturan-peraturan penulisan akademik. Dalam bahagian ini akan diterangkan
ciri-ciri yang harus ada pada penulisan akademik yang baik.
Bahagian Ketiga, esei akademik yang baik akan menjelaskan tiga bahagian utama esei,
iaitu pengenalan, isi esei dan penutup. Adalah penting untuk memastikan ketiga-tiga
bahagian ini terjalin untuk menghasilkan esei yang baik. Contoh-contoh akan
dikemukakan sebagai lampiran untuk memudahkan pemahaman siswa/siswi. Bahagian
Keempat pula adalah perkara-perkara asas dalam penulisan esei akademik atau latihan
ilmiah. Bahagian ini penting kerana sebelum memulakan kajian, siswa/siswi perlu
mengetahui persoalan kajian, skop kajian, kepentingan kajian dan kaedah untuk
menjalankan kajian.
Bahagian Kelima, kaedah penulisan nota kaki, bibliografi dan gaya penerbitan adalah
perkara asas yang harus diketahui oleh siswa/siswi sejak semester pertama untuk
memudahkan penulisan esei akademik yang baik. Penguasaan teknik penulisan nota
kaki, bibliografi dan aspek-aspek lain adalah sangat-sangat perlu dalam melahirkan
siswa/siswi yang berkemahiran dalam lapangan penyelidikan dan penulisan untuk
membantu penulisan di universiti dan juga apabila menjawat pekerjaan di sektor awam
ataupun swasta.
Untuk menguji pemahaman siswa/siswi mengenai ciri-ciri penulisan akademik, di akhir
modul ini disediakan latihan yang memerlukan siswa/siswi menilai sejauh manakah

makalah yang dilampirkan memperlihatkan ciri-ciri penulisan akademik yang baik.


Menyedari bahawa pembacaan yang luas diperlukan untuk memahami ciri-ciri penulisan
akademik, modul ini telah disertakan dengan bibliografi yang mempunyai nombor
panggilan perpustakaan. Bahan bacaan ini boleh dirujuk di bahagian Bertanda Merah
(RS) dan Rak Terbuka (OS) di perpustakaan utama, Universiti Malaya.
Adalah diharapkan penyediaan modul ini dapat membantu siswa/siswi menguasai teknikteknik penulisan dan menghasilkan penulisan yang baik dalam bidang-bidang yang bakal
dikhususi di jabatan masing-masing di Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

II. Pengertian Penulisan Akademik


Penulisan akademik adalah penulisan yang dijalankan secara ilmiah atau saintifik.Ia
mengkaji secara teratur dan teliti sesuatu persoalan. Ia berbeza dari kaedah-kaedah lain
seperti penulisan novel yang berasaskan khayalan atau rekaan dan generalisasi daripada
pengalaman. Kaedah saintifik adalah berasaskan kepercayaan bahawa mana-mana
fenomena mempunyai keterangan-keterangan tertentu; iaitu tiap-tiap kesan mempunyai
sebab. Kaedah ini berasaskan idea bahawa kesimpulan hanya boleh diterima bila
disokong oleh bukti. Seorang penulis akademik harus mengumpulkan data secara
objektif, tidak berat sebelah dalam mengumpulkan data yang menyokong kebenaran
hipotesis dan mengabaikan yang tidak mengikut kehendak peribadi penyelidik. Untuk
membolehkan pengetahuan biasa menjadi pengetahuan ilmiah(sains), ia harus melalui
jalan yang panjang. Proses yang disebut sebagai kaedah ilmiah dapat disusun seperti di
bawah;
(a) Pengumpulan data dan fakta
(b) Pengamatan data dan fakta
(c) Pemilihan data dan fakta
(d) Penggolongan data dan fakta
(e) Penafsiran data dan fakta
(f) Kesimpulan umum
(g) Perumusan hipotesis
(h) Pengujian terhadap hipotesis melalui kajian dan percubaan empiris
(i) Penilaian; menerima atau menolak atau menambah, ataupun merubah hipotesis
(j) Perumusan teori ilmu pengetahuan
(k) Perumusan dalil atau hukum ilmu pengetahuan
Rujuk Lampiran I untuk gambaran lebih jelas pengaplikasian kaedah saintifik oleh ahli

sains sosial.

III. Ciri-ciri Penulisan Akademik


Secara ringkas ciri-ciri penulisan akademik adalah seperti di bawah;
(a) Menyampaikan fakta secara sistematik atau mengemukakan hukum alam kepada
situasi yang spesifik.
(b) Penulisannya cermat, tepat, benar dan tidak membuat andaian.
(c) Tidak menulis untuk memenuhi kehendak golongan-golongan tertentu.
(d) Penulis hanya menulis untuk memaklumkan tentang sesuatu dan tidak bersifat
prejudis.
(e) Penulisan ilmiah bersifat sistematik. Setiap langkah direncanakan secara sistematik,
konseptual dan mengikut prosedur yang jelas.
(f) Penulisan ilmiah tidak bersifat emosional. Ia mengemukakan sebab-musabab dan
pengertian sesuatu masalah/persoalan. Kata-katanya mudah diidentifikasi.
(g) Setiap pandangan yang dikemukakan disokong dengan bukti.
(h) Menulis dengan jujur dan hanya mengemukakan kebenaran. Tidak ada kenyataankenyataan yang boleh menimbulkan keraguan.
(i) Penulisan ilmiah tidak bersifat argumentatif. Rumusan yang dibuat dalam penulisan
ilmiah akan membiarkan fakta berbicara sendiri.
(j) Penulisan ilmiah tidak bersifat persuasif. Jika penulisan berkenaan berjaya mengubah
pandangan pembaca, ia bukan melalui kaedah persuasif, argumentasi, percanggahan
pendapat dan protes, tetapi melalui fakta yang berdiri/berbicara sendiri.
(k) Penulisan ilmiah tidak akan memutar-belitkan fakta kerana ia akan merosakkan tujuan
penulisan ilmiah. Ia juga tidak akan melebih-lebihkan sesuatu kerana ia akan
menunjukkan motif penulis yang mementingkan diri sendiri (Keraf, 1981, hlm. 15-19).

IV. Esei Akademik Yang Baik


Esei akademik kebiasaannya akan mempunyai tiga bahagian yang jelas, iaitu pengenalan
esei, isi esei dan penutup.
(a) Pengenalan
Pengenalan akan bermula secara umum dan kemudian memokus kepada suatu idea
utama.Pengenalan penting untuk menarik minat pembaca supaya terus membaca.

Pengenalan harus mempunyai ciri-ciri menyeronokkan, menyampai dan memberi


maklumat yang baru serta merangsang naluri ingin tahu pembaca. Sebaik-baiknya ayat
yang digunakan biarlah mudah, tepat dan menarik. Perenggan pengenalan juga perlulah
ringkas dan jitu.
(b) Isi Esei
Isi esei harus mempunyai banyak fakta dan maklumat. Bahagian ini biasanya lebih
panjang daripada bahagian-bahagian lain. Maklumat-maklumat tersebut boleh disertakan
dengan penjelasan lanjut dalam bentuk statistik, kutipan, anekdot, fakta, carta dan rajah.
Ia bertujuan untuk menyokong idea dan pendapat penulis. Di samping itu penjelasan ini
juga menjadikan sesebuah esei lebih menarik dan senang difahami dan ditulis dalam
bentuk perenggan. Setiap perenggan perlu ada tiga perkara penting iaitu kesatuan idea,
urutan idea dan penonjolan idea utama. Ketiga-tiga perkara ini perlu diberikan perhatian
untuk memastikan peralihan idea berjalan lancar dan memudahkan pembaca mengikuti
perkembangan idea tersebut.
Apabila mengemukakan sesuatu idea dalam sesuatu perenggan, adalah perlu untuk
menghubungkannya dengan penyambung ayat yang betul. Caranya adalah dengan
menggunakan kata-kata penghubung seperti sementara itu, selepas itu, walau
bagaimanapun, tetapi, sejajar dengan, dalam perkembangan ini dan sebelum ini. Kata
penghubung penting bagi memastikan kelancaran idea dalam sesuatu esei dan
memberikan maklumat yang sejelas-jelasnya kepada pembaca.
Bilangan perenggan yang ingin digunakan oleh penulis bergantung kepada jumlah isi
yang ingin diketengahkan. Bahagian tubuh sebenarnya adalah bahagian atau
argumentasi hujah. Penulis perlu mengemukakan hujah yang akan meyakinkan
pembaca. Untuk menarik perhatian pembaca, penulis perlu memperkayakan
perbendaharaan kata dan menguasai gaya bahasa supaya penulisan menjadi lebih
kemas dan efektif. Antara semua ini, yang paling penting ialah hujah-hujah disusun
secara logik. Isi yang disusun juga mestilah mengikut keutamaan.
(c) Penutup
Bahagian ini harus kembali kepada pengenalan dan membuat kenyataan umum.
Bahagian penutup juga sama penting dengan pengenalan. Penutup harus menarik
seperti pengenalan dan jumlah perkataan lebih kurang sama dengan pengenalan.
Untuk gambaran jelas mengenai struktur esei yang jelas, rujuk Sulaiman Masri. (1988).
Penulisan dalam Bahasa Malaysia Baku. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 5663.

V. Perkara-perkara Asas Dalam


Membuat Penyelidikan Ilmiah
Membuat Penyelidikan Ilmiah
Penyelidikan ilmiah melibatkan dua kegiatan, pertama, proses penyelidikan dan kedua,
cadangan penyelidikan ( research proposal). Kedua-dua proses ini harus dijalankan
mengikut peraturan-peratauran tertentu untuk memastikan penulisan terakhir adalah

lengkap dan tidak mengalami kecacatan.


(a) Proses Penyelidikan
(i) Mendapatkan masalah atau tajuk
Penyelidikan bermula dengan masalah; iaitu penyelidik melihat wujudnya masalah di
bidang yang hendak dikaji.
(ii) Membentuk Hipotesis
Ia merupakan kesimpulan sementara bagi masalah yang hendak dikaji. Hipotesis juga
mestilah bersifat khusus dan bukan umum. Sebagai contoh, (a) wanita yang bekerja
lambat berkahwin; (b) pelajar rajin lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan dan (c)
petani yang mempunyai bendang yang luas akan menggunakan jentera lebih awal dari
petani yang mempunyai bendang yang sempit (Ahmad Mahdzan Ayob,1983, hlm.17).
Hipotesis juga tidak harus dipengaruhi oleh nilai, pertimbangan moral atau etika; yang
merupakan cadangan-cadangan yang mengatakan sesuatu itu baik atau buruk. Sebagai
contoh, (a) melewatkan perkahwinan di kalangan wanita yang bekerja adalah tidak baik
(nilaian) (b) petani yang tidak mengunakan jentera adalah ketinggalan zaman (nilaian), (c)
petani yang tidak menggunakan benih padi baru perlu mengubah sikap (norma). Ketigatiga hipotesis ini akan menyukarkan untuk mengukur kenyataan seperti tidak baik dalam
contoh (a) ketinggalan zaman dalam (b) dan (c) perlu mengubah sikap yang lebih
merupakan pandangan peribadi yang bersifat pertimbangan nilai. Menurut Ahmad
Mahdzan Ayob (1983), tidak ada ukuran yang objektif untuk menyukat buruk baik,
ketinggalan zaman dan keperluan mengubah sikap. Sesungguhnya suatu hipotiesis
mestilah boleh diuji dan untuk itu memerlukan data yang konkrit.
(iii) Memungut Data
Data atau sumber boleh dibahagikan kepada sumber pertama dan kedua. Sumber
pertama merujuk kepada data asli yang dihasilkan oleh penyelidik sendiri sama ada
melalui ujikaji, ujian kes atau kajiselidik dan juga penerbitan rasmi. Sumber kedua berupa
bahan-bahan bercetak yang dihasilkan oleh individu atau institusi. Proses pengumpulan
data berbeza-beza mengikut disiplin. Kaedah pemungutan data yang biasa digunakan
ialah kajian perpustakaan, siasatan( survey), temuramah ( interview), soal-selidik
( questionares) dan pemerhatian ikutserta ( participation observation).
(iv) Analisis Data
Analisis data adalah proses yang berbeza mengikut bidang kajian. Dalam bidang
ekonomi, data akan dianalisa dengan menggunakan ilmu statistik dan kaedah saintifik.
Manakala dalam bidang Sejarah/Pengajian Melayu, analisa lebih berupa huraian idea
secara sistem dengan menggunakan bukti, memapar atau menerang supaya fakta-fakta
dapat difahami. Analisa boleh diringkaskan seperti dibawah;
- Pengenalan
- Idea pokok

- Sokongan fakta utama kepada idea pokok


- Huraian daripada idea pokok dengan sokongan fakta pecahan atau fakta kecil termasuk
misalan dan/atau rajah
- Rangkaian idea pokok
- Fakta-fakta besar menyokong kepada rangkaian idea pokok
Analisis yang baik tidak harus mempunyai idea yang meloncat. Setiap idea mesti
dikembangkan dengan baik dari satu perenggan ke perenggan yang lain. Pendek kata
analisis yang baik mesti mempunyai flow of ideas, thoughts and descriptions yang baik.
( Metodologi dan Penyelidikan dalam Pengajian Melayu, 1990, hlm.55). Harus juga
diketahui bila harus diletakkan petikan dan nota kaki supaya maklumat yang disampaikan
adalah jelas dan tidak mengganggu aliran idea dalam para berkenaan. Petikan pula
seeloknya digunakan untuk menyokong fakta, tidak banyak dan terlalu panjang. Petikan
juga biarlah yang sangat-sangat perlu dan tepat.
Catatan kaki pula harus berperanan untuk menyokong huraian dan analisis. Disamping
itu untuk membantu pembaca membuat pembacaan lebih lanjut dan untuk memberi
perspektif lain tentang isu yang dibincangkan. Ini kerana jika perspektif yang berbeza
dibincang dalam teks ia akan menganggu aliran pemikiran ( Metodologi dan Penyelidikan
dalam Pengajian Melayu, 1990, hlm.56).
(b) Menyediakan Cadangan Penyelidikan
(i) Masalah Kajian
Dalam masalah kajian, penulis harus menyatakan pernyataan kajian. Pengkaji harus
menyatakan persoalan yang ingin dikaji dan persoalan ini pula boleh dibahagikan kepada
persoalan pokok dan sampingan.
(ii) Skop Kajian
Skop kajian harus menyatakan batas kajian hingga setakat mana dan kenapa. Dalam
bahagian ini juga boleh dinyatakan bab-bab yang dijangkakan. Bab-bab ini seboleh
mungkin mestilah berkait antara satu dengan yang lain. Bahagian ini penting untuk
pembaca atau penyelia mendapat gambaran menyeluruh kerangka tesis pelajar.
(iii) Kepentingan Kajian
Dalam bahagian ini pengkaji harus menjelaskan keistimewaan kajian. Kepentingan kajian
ini boleh dilihat dari sudut akademik dan kepentingan kepada negara. Dari segi akademik,
pembuktian adalah dengan membuat literature review bidang yang dikaji dan menilaikan
sejauh manakah tajuk yang dipilih belum diusahakan dan ia dapat mengisi kekosongan
dalam bidang berkenaan. Kepentingan kepada negara adalah dengan merujuk kepada
kajian-kajian bersifat kontemporari. Sebagai contoh masalah keruntuhan moral di
kalangan pelajar, kemasukan pekerja tanpa izin dari Indonesia dan lain-lain. Kajian-kajian
seperti ini dapat membantu kerajaan mengenalpasti masalah golongan-golongan ini dan
merancang dasar-dasar yang bersesuaian untuk menangani isu tersebut secara efektif.

(iv) Kaedah Kajian


Kaedah kajian kebiasaannya terbahagi kepada tiga jenis. Pertama kajian perpustakaan,
kajian lapangan dan kajian menemudaga dan persamplen. Kaedah-kaedah kajian ini
berbeza mengikut bidang-bidang yang diusahakan. Bagi pengkaji di bidang Sejarah,
kajian mereka adalah bersifat library research dengan merujuk sumber-sumber pertama
dan kedua. Bagi pengkaji dalam bidang Antropologi dan Sosiologi, pengkajiannya akan
memerlukan penyelidik ke lapangan dan bersama responden yang diselidiki. Bagi
pengkaji dari bidang ekonomi, perlu menguasai ilmu statistik, persamplen dan kaedah
menggunakan komputer untuk menganalisis data.
Rujuk Lampiran II untuk gambaran jelas suatu contoh cadangan penyelidikan.

VI. Kaedah Menulis Nota Kaki, Bibliografi


dan Gaya Penerbitan
Nota Kaki dan Bibliografi
Terdapat pelbagai stail penulisan nota kaki dan bibliografi. Terpulanglah kepada
siswa/siswi untuk memilih stail yang sesuai mengikut cita-rasa masing-masing. Walau
apapun stail yang dipilih, paling utama ia mestilah konsisten. Stail yang biasa digunakan
ialah American Physological Association (APA), The Chicago Manual Style dan Modern
Language Association of America (MLA). Pelajar boleh melihat kesemua stail ini dan pilih
yang sesuai dengan kehendak masing-masing.
(a) Stail APA
Stail ini biasa digunakan oleh ahli psikologi, sains sosial dan pendidik. Stail ini hanya
memerlukan penulis menyatakan nama keluarga pengarang, tahun buku diterbitkan dan
halaman buku dalam kurungan. Untuk pengetahuan pelajar, modul kertas kerja ini ditulis
dengan stail APA. Stail ini sebenarnya adalah ekonomik kerana maklumat yang
dinyatakan dalam kurungan tidak perlu dinyatakan dalam nota kaki. Dalam pada itu
maklumat yang akan diketengahkan hanyalah nama keluarga pengarang, tahun terbit dan
halaman (Sufean Hussin, 1985, hlm. 66-67). Maklumat lengkap setiap sumber yang
dirujuk dalam teks diberikan dalam senarai bibliografi yang disusun mengikut abjad dan
nama keluarga. Untuk maklumat lanjut rujuk Lester, J.D. (1987). Writing Research
Papers, A Complete Guide. London: Scott, Foresman and Company, (211-214) dan
Campbell, Wilia, Giles, Balldu, Stephen Vaughan dan Slade, Carole (1990). Form and
Style, Theses, Reports, Term Papers, Boston:Houghton Mifflin Company, 251-261.
(b) Stail Chicago
Stail Chicago pula digemari oleh sejarawan, ahli sains politik, arkeologi, antropologi dan
ahli falsafah. Stail ini tidak mengganggu continuity dan flow dalam pembacaan (Sufean
Hussin, 1995, hlm. 67). Stail ini memerlukan nombor nota kaki diletakkan dalam teks dan
maklumat penuh perlu dinyatakan dalam nota kaki halaman yang sama. Ada kalanya nota
kaki ini akan mewakili separuh dari nota kaki halaman berkenaan.
Stail ini selain dari menyatakan maklumat penuh buku yang dirujuk di nota kaki, ia juga
boleh digunakan untuk membahas sesuatu isu, memberi rujukan tambahan dan

mengemukakan nota kaki untuk menyokong hujah. Untuk maklumat lanjut sila rujuk
Lester, J.D. (1987). Writing Research Papers, A Complete Guide. London: Scott,
Foresman and Company, 237-240.
(c) Stail Modern Language Association (MLA)
Stail MLA jarang digunakan dalam bidang sains sosial. Kaedah ini memerlukan sesuatu
petikan disusuli oleh pengarangnya yang membuat kenyataan tersebut. Petikan tersebut
pula berakhir dengan nombor halaman yang dinyatakan dalam kurungan. Dokumentasi
sumber yang mempunyai maklumat lengkap tentang tajuk buku, tempat terbit dan
penerbit boleh didapati di bahagian bibliografi. Stail ini hanya membenarkan penggunaan
nota kaki jika ia bertujuan untuk membuat huraian kandungan ( content footnotes) (Lester,
1987, hlm. 108). Stail ini dapat dilihat dalam contoh di bawah:Dalam buku History and Education, Paul Nash menyatakan, "Facts do not speak for
themselves: They are meaningless and powerless without a human mind to give them
shape, form, organization, sequence, interrelationship, and significance". (10).4
_____________________________________________________________________
4. Untuk lebih lanjut tentang interpretasi dalam sejarah, rujuk Barzun dan Graff (42-56)
dan Suntharalingam (28-40).
Untuk maklumat lebih lanjut tentang stail ini rujuk Hult, C.,A. (1996). Researching and
writing across the curriculum. Boston: Simon & Schuster Company, 311-333 dan Lester,
J.D. (1997). Citing cyberspace. Diperolehi pada 3 Februari 1999 daripada World Wide
Web: http://longman.awl.com/ english pages/cyber.htm.
Susunan Bibliografi
Susunan bibliografi bagi kesemua sistem penulisan tidak banyak berbeza. Hampir
kesemua penulisan menganjurkan penulisan bibliografi mengikut susunan nama keluarga
pengarang, tajuk buku, tempat terbit , penerbit, tahun terbit dan halaman. Suatu
kewajipan bagi kesemua bibliografi adalah nama keluarga pengarang, tajuk buku, tempat
terbit, penerbit dan tahun. Untuk maklumat lanjut, rujuk penyusunan bibliografi mengikut
stail APA dalam Campbell, Wilia, Giles, Ballou, Stephen Vaughan dan Slade, Carole
(1990). Form and Style, Theses, Reports, Term Papers, Boston:Simon & Schuster
Company, (251-261)
Gaya Penerbitan
Penulisan yang baik juga harus memberi perhatian kepada gaya penerbitan yang merujuk
kepada peraturan menulis huruf besar, singkatan, penomboran, tanda bacaan, tata
bahasa dan tanda kutip yang seragam. Semua ini akan menentukan samada esei yang
dinilai wajar diberi gred yang baik. Untuk maklumat lebih lanjut, rujuk Sulaiman Masri.
(1988). Penulisan dalam Bahasa Malaysia Baku. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 97-106, 114-129.

Senarai Rujukan

Abdullah Zakaria Ghazali. (1981). Raja Kechil-Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah 17181722: Suatu kajian tentang asal-usulnya. Jernal Sejarah Melaka, 6, 48-52.
Ahmad Mahdzan Ayob. (1983). Kaedah penyelidikan sosioekonomi, suatu pengenalan.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (H 62 Ahma - RS)
Andaya, L.Y. (1973). Raja Kechil and the Minangkabau conquest of Johore 1718. Journal
of Malayan Branch Royal Asiatic Society, 40 (2), 51-75.
Appudurai Ganaran Ganasan. (1969/70). A study of the Federal Industrial Development
Authority (FIDA) and industrial development in Malaysia. Tesis ijazah sarjana muda
ekonomi dan pentadbiran yang belum diterbitkan. Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran,
Universiti Malaya.
Barzun, J. dan Graff, H.F. (1977). The modern researcher, the classic manual on all
aspects of research and writing. New York: Harcourt & Brace Javanovich Inc. (D 13 Bar OS)
Campbell, W. G., Ballou, S.V., dan Slade, C. (8th ed.). (1990). Form and style, theses,
reports, term papers. Boston: Houghton Mifflin Company. (LB 2369 Cam RS)
Chalmers, A.F. (1963). What is this thing called science. St. Lucia: University of
Queensland Press.
Chon Huay Ye. (1994/95). Satu kajian terhadap pelaburan asing di Malaysia. Tesis ijazah
sarjana muda ekonomi dan pentadbiran yang belum diterbitkan. Fakulti Ekonomi dan
Pentadbiran, Universiti Malaya.
Copleston, F. (1963). A history of philosphy. London: Image Book Edition.
Dane, F, C. (1990). Research methods. California: Brooks/Cole Publishing Company.
(H62 Dan RS)
Fitz-Gibbon, C.T., dan Morris, L.L. (1987). How to analyse data. California: Sage
Publications. (H 62 Fit RS)
George Cho. (1992). The Malaysian economy:Spatial perspective. London: Routledge.
Goode, W.J., dan Hatt, P.K. (1952) Methods in social research. New York: McGraw-Hills.
(H 62 Goo RS)
Harcharan Singh Khera. (1972). Problems and prospects of the Malaysian economy.
Kuala Lumpur: Khera Sdn Bhd.
Horton, S. R.,(Terjemahan). (1993). Penulisan:Cetusan fikiran. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka. (PE 1408 Hor RS)
Hult, C. A. (1996). Researching and writing across the curriculum. Boston: Allyn and
Bacon. (LB 2369 - OS).

Jackson, W.. (1995). Methods doing social research. Ontario: Prentice-Hall Canada Inc.
(H 62 Jac RS)
Johnson, M.J. (1975). Doing field research. New York: Macmillan Publishing Co., Inc.
(H62 Joh RS)
Jomo Kwame Sundaram. (1993). Pertumbuhan dan kemelesatan ekonomi Malaysia pada
tahun lapan puluhan. Kuala Lumpur: Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya.
Jomo Kwame Sundaram. (1997). Southeast asia's misunderstood miracles: Industrial
policy and economic development in Thailand, Malaysia and Indonesia. New York:
Westview Press.
Kamus dwibahasa. (1989). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Keraf, G. (1981). Komposisi. Jakarta:Penerbit Nusa Indah. (PL 50803 Ker RS)
Lester, J.D. (1987). Writing research papers, a complete guide. Glenview: Scott,
Foresman and Company. (LB 2369 Les - OS)
Lester, J.D. (1997). Citing cyberspace. Diperolehi pada 3 Februari 1999 daripada World
Wide Web: http://longman.awl.com/englishpages/cyber.htm
Logic II:Proof. (1971). London:The Open University Press.
M.C.Lamin. (1993/94). The role of direct foreign investment in Malaysia. Tesis ijazah
sarjana ekonomi yang belum diterbitkan. Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti
Malaya.
Metodologi dan penyelidikan dalam pengajian Melayu. (1990). Kuala Lumpur: Jabatan
Pengajian Melayu.
Miller, D.C. (1983). Handbook of research design and social measurement. London: Sage
Publications. (H 62 Mil RS)
Mohammad Hatta. (1982). Alam fikiran Yunani. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Mohd Sheffie Abu Bakar. (1991). Metodologi penyelidikan. Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsan Malaysia. (HB 131 Mohsab RS)
Nash, P. (1970). History and education. New York: Random Howe Inc.
Nuraini Yusoff. (1991). Penulisan berformat. Kuala Lumpur: Pustaka Pertiwi Sdn. Bhd.
Pengenalan kepada sains sosial. (1998). Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd. (H61 Pen OS)
Preece, R. A. (1994). Starting research. London: Pinter Publishers. (LB 2369 Pre - RS)

Ranjini Balakrishnan. (1997/98). Pelaburan asing di Negeri Sembilan. Tesis ijazah sarjana
muda ekonomi yang belum diterbitkan. Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti
Malaya.
Robinson, C.E. (1965). Apollo history of Greece. New York: Thames Y.Cromwell
Company.
Samarudin Rejab dan Nazri Abdullah. (1992). Panduan menulis tesis. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka. (LB 2369 RS)
Shaharom TM Sulaiman dan Wan Ab.Kadir Wan Dollah. (1998). Pengurusan maklumat
alaf baru. Pemikir, 11, 176-184.
Sufean Hussin. (1995). The art of research and dissertation writing, for the Humanities
and Arts. Kuala Lumpur: Asas Tunas Publications. (LB2369Sufh OS)
Sulaiman Masri. (1988). Penulisan dalam bahasa Malaysia baku. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka. (PL 5083 Sulm RS)
Suntharalingam, R. (1985). Pengenalan kepada sejarah. Kuala Lumpur: Marican and
Sons (M) Sdn.
The Chicago manual of style (14th ed.). (1993). Chicago:The University of Chicago Press.
(Z253 UCP RS)
Turabian, K.L. (1973). A manual for writers of term papers, theses and dissertations,
Chicago: The University of Chicago Press. (LB 2369 Wil OS)
Wan Hashim, Ting Chew Peh dan Shamsul Amri Baharuddin (Disunting). (1980). Kaedah
penyelidikan sosial. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (Th 62 Kae RS)
Winkler, C.A., dan McCuen, J.R. (1979). Writing the research paper, a handbook. New
York: Harcout Brace Jovanovich Inc. (LB 2369 Wil - OS)
Zainal Mat Saat. (1985). Pengantar statistik. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.
(HA 29.5 M2Zains RS)

* Kertas kerja yang dibentangkan dalam bengkel fasilitator untuk modul


Pengayaan Pembelajaran Pelajar Baru Sesi 1999/2000 di Fakulti Sastera
& Sains Sosial pada 26 April, 1999.

HOMEPAGE
BIODATA KARYA PETIKAN PENULISAN VISUAL E-MAIL
April, 1999

Anda mungkin juga menyukai