Anda di halaman 1dari 8

KAJIAN-KAJIAN LEPAS PENGHAYATAN NILAI-NILAI MURNI

KONSEP NILAI-NILAI MURNI

Nilai-nilai murni didefinisikan sebagai perlakuan yang baik dan luhur (Zamri & Norlela, 2008).
Manakala dalam konteks pendidikan Malaysia, nilai-nilai murni ditakrifkan sebagai nilai yang
luhur dan murni meliputi unsur kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan selaras dengan
Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan pembinaan insan kamil yang memiliki sahsiah
yang seimbang dan sepadu daripada aspek rohani, intelek, emosi dan jasmani (Norlela, 2007).
Nilai-nilai murni yang terkandung dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR),
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Kementerian Pelajaran Malaysia (1987) ialah baik hati, berdikari, berhemah tinggi, hormat-
menghormati, kasih sayang, keadilan kebersihan fizikal dan mental, kebebasan, keberanian,
kerjasama, kesederhanaan, kesyukuran, rasional, semangat bermasyarakat, semangat
kewarganegaraan dan patriotisme. Abd. Rahim (2001) menyatakan penerapan nilai-nilai murni
merupakan satu pendekatan yang dinamakan sebagai nilai merentasi kurikulum, di mana
pengajaran nilai-nilai murni diserapkan ke dalam setiap mata pelajaran yang diajar di sekolah.

Menurut Teori Perkembangan Moral Kohlberg (1988), pengajaran nilai merupakan


tanggungjawab bagi membantu murid-murid melalui peringkat perkembangan pemikiran
moral. Ini bermakna pengajaran nilai di sekolah bertujuan untuk membimbing pelajar
mencapai satu peringkat pemikiran dan kesedaran yang tinggi. Kohlberg juga menekankan
pendidikan nilai berkait rapat dengan perkembangan personaliti pelajar. Manakala latihan
kemahiran yang dilakukan secara bersepadu dapat memperkembangkan diri pelajar dalam
aspek emosi, rohani dan jasmani bagi melahirkan pelajar beretika dan berfikiran matang. Pada
hakikatnya, nilai murni dan kemahiran adalah merupakan satu elemen pengajaran dan
pembelajaran yang paling penting serta saling berkaitan untuk membina masa depan pelajar
yang lebih baik.

Menurut Zakiah (2005) sikap pelajar mudah dipengaruhi dengan unsur negatif atau
positif disebabkan kegagalan menanganinya. Ini kerana pihak sekolah terlalu menekankan
kepada pelaksanaan kurikulum terancang dan berorientasikan peperiksaan serta masih kurang
kepada kurikulum tersembunyi melalui penyerapan nilai murni (Saiful Bahri Muhammad,
2008). Guru juga tidak mempunyai kuasa untuk bertindak mempertahankan disiplin pelajar.
Keadaan ini menyebabkan guru tidak dapat memainkan peranan dan fungsi secara berkesan
bagi menangani masalah sosial yang semakin berleluasa di kalangan remaja (Rohani, 2006)

KONSEP PENGHAYATAN NILAI-NILAI MURNI

Berdasarkan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (1994) menjelaskan hayat bermaksud hidup.
Menghayati bermaksud mengalami serta merasai (dalam batin) atau meresap ke dalam jiwa.
Penghayatan adalah perihal kepada kata kerja menghayati. Istilah ini menjelaskan terdapatnya
perlakuan tertentu yang dilaksanakan sehingga meninggalkan kesan kepada jiwa. Ini
menunjukkan bahawa sekiranya sesuatu perlakuan dilaksanakan tetapi tidak meninggalkan
kesan kepada jiwa maka perlakuan itu belum dihayati (Azma Mahmood, 2006).

Dari segi konsep, penghayatan ialah pemanduan sikap, kepercayaan, nilai-nilai,


pendapat dan lain-lain ke dalam syakhsiah (personaliti) seseorang (Hassan Langgulung, 1987).
Ia merupakan satu bentuk pengakuran di mana penghayatan nilai atau kepercayaan merupakan
pengaruh sosial yang paling kekal dan paling berakar. Ini adalah kerana motivasi untuk
menghayati nilai atau kepercayaan tertentu tertanam di dalam diri seseorang dan berkait dengan
keinginan untuk memperolehi kebenaran (Hassan Langgulung, 1987). Manakala Nik Azis Nik
Pa (2007) menjelaskan penghayatan merujuk kepada aspek menjadikan sesuatu perkara
sebagai amalan seharian atau satu tabiat. Sementara itu, Young (1995) menjelaskan
penghayatan nilai diperhatikan apabila kelakuan yang diterima digenerasikan dari faktor
intrinsik dan bukan dari faktor akibat-akibat luar.

Selain itu, menurut Hassan Langgulung, 1987) penghayatan adalah salah satu proses
pembelajaran dalam konteks sosial, iaitu manusia atau perkara-perkara tertentu menjadi
perangsang bagi seseorang untuk mengamalkan atau menghayati nilai-nilai tertentu. Fungsi
utama pendidikan pada zaman dahulu ialah pemindahan nilai-nilai dari generasi tua ke generasi
muda agar identiti suatu masyarakat terpelihara (Hassan Langgulung, 1987). Oleh itu fungsi
pendidikan pada zaman sekarang juga ialah bertujuan pemindahan nilai-nilai dengan
menggunakan kaedah dan teknologi pemindahan itu yang berbeza misalnya penggunaan
komputer dan media massa.
Nik Azis Nik Pa, 1994 pula menyatakan aspek penghayatan nilai murni merangkumi
nilai-nilai kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan. Penghayatan nilai-nilai murni
merupakan satu faktor utama yang boleh memastikan pembentukan kesefahaman dan
kesepaduan dalam mentafsirkan dan merealisasikan wawasan 2020 (Nik Azis Nik Pa, 1994).
Menurut beliau lagi, penghayatan nilai-nilai murni menjadi faktor utama kerana kemajuan
kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan dan
keharmonian yang berkekalan, tetapi sebaliknya banyak membawa keburukan dan kezaliman.
Malah penghayatan nilai-nilai murni merupakan faktor penghalang dalaman untuk tidak
menyalahgunakan kepintaran, kemahiran, kedudukan atau kekayaan yang dimiliki.
Penghayatan nilai-nilai murni boleh menjadi benteng kepada amalan-amalan buruk seperti
penyelewengan, kejahilan, kecuaian dan kezaliman. Nik Azis Nik Pa (2007) turut menjelaskan
faktor penghayatan ilmu dan amal yang rendah menyebabkan jurang antara mengetahui dan
mengamalkan. Maka penghayatan daripada sudut akhlak atau nilai murni menuntut seseorang
itu memahami dan mengamalkan banyak daripada akhlak mulia dan nilai-nilai murni yang baik
(Yakan, 1985). Antara akhlak mulia dan nilai murni yang baik yang dianjurkan untuk dihayati
oleh insan ialah malu, bersangka baik, benar, sabar, menjaga pandangan dan lidah dan
sebagainya.

Mansor Abd. Kadir (1997) menjelaskan bahawa penghayatan akhlak dan nilai murni
boleh digambarkan melalui tingkah laku, pemikiran, pengucapan dan perwatakan yang
dilahirkan dari hati nurani seseorang. Sementara itu, Jamiah et al. (2004) menjelaskan bahawa
terdapat beberapa prinsip yang perlu ada dalam mengukur penghayatan keagamaan
(religiosity) seseorang. Prinsip-prinsip tersebut ialah penilaian tersebut adalah (a) berasaskan
aspek zahir sahaja, (b) pengukuran boleh dibuat namun pengukuran sebenar yang paling tepat
adalah hak di sisi Allah, (c) pengukuran penghayatan keagamaan adalah berasaskan kepada
manifestasi iman, Islam dan ihsan.

Penghayatan nilai boleh dididik melalui disiplin, pengajaran, contoh atau model,
pengukuhan sosial dengan tingkah laku yang sesuai dan persekitaran yang sesuai yang boleh
membentuk tingkah laku (Grusec dan Goodnow, 1994 dalam Young, 1995). Pelajar perlu
digalakkan mencontohi dan mengamalkan nilai-nilai yang baik sebagai satu penghayatan
keterampilan diri dan kualiti warganegara yang baik serta prihatin terhadap soal-soal
kehidupan dan pembinaan diri (Abd. Rahim Abd. Rashid, 2001).
Pendekatan penghayatan nilai merentasi kurikulum di sekolah menjadi satu
kepentingan dalam pendidikan masa kini supaya nilai-nilai murni dapat dipupuk merentasi
kurikulum. Isu ini semakin hangat sejak tercetusnya Pelan Pembangunan Pendidikan 2013
2025 yang menggariskan isu penghayatan nilai dalam pendidikan negara. Asas penting hujah
yang diberikan terhadap tuntutan ini ialah untuk menjadikan mata pelajaran yang dipelajari di
sekolah berupaya mencorak dimensi dan kualiti nilai-nilai baik, positif dan progresif. Nilai-
nilai yang dipupuk merentasi kurikulum akan dapat membentuk generasi muda yang lebih
bertanggungjawab untuk mempertahankan nilai-nilai yang baik sebagai asas mewujudkan
kesejahteraan, keamanan dan kemajuan.

Setiap strategi penerapan nilai-nilai murni yang dilaksanakan oleh pihak sekolah
mestilah dapat meningkatkan tahap penghayatan nilai-nilai murni dalam diri pelajar dan
seterusnya dapat membentuk disiplin dalam diri agar tidak melakukan sebarang kesalahan yang
bertentangan dengan nilai-nilai murni yang telah diterapkan. Penghayatan nilai-nilai murni ini
akan dapat membentuk kehalusan jiwa dan seterusnya akan dapat melahirkan peribadi pelajar
yang lebih berdisiplin dan seimbang.

Pada hari ini banyak daripada amalan dan proses pendidikan yang menyumbang ke arah
pembentukan nilai dalam diri generasi muda semakin berkurangan (Khadijah Rohani Mohd
Yunus, 2008). Pendidikan hari ini terlalu memfokuskan kepada kejayaan akademik yang
menyebabkan pendidikan afektif diabaikan (Khadijah Rohani Mohd Yunus, 2008). Oleh itu,
hasil dapatan beberapa kajian tentang aspek pengetahuan, kefahaman dan penghayatan akhlak,
moral dan nilai murni menunjukkan bahawa responden tidak dapat mendefinisikan konsep
akhlak, kurang memahami dengan tepat makna moral, penghayatan nilai murni tidak begitu
menonjol dan amalan nilai murni pula berada di tahap sederhana (Ab. Halim Tamuri dan Zarin
Ismail, 2002; Asmawati Suhid, Rahil Mahyuddin dan Abdul Rahman Md. Aroff, 2001; Zakaria
Kasa et al., 1996; Ab. Rahman Mahmud & Amidin Zin, 2003).

Sementara itu, kajian Robiah Kulop Hamzah (2001) mendapati guru hanya
menggunakan prinsip asas penanaman nilai yang pertama iaitu prinsip mengajar nilai untuk
tujuan memberi pengetahuan nilai kepada pelajar daripada tiga prinsip asas penanaman nilai
iaitu mengetahui nilai, memahami nilai dan menghayati nilai seperti yang disarankan oleh
Pusat Perkembangan Kurikulum (1988) dan Superka, D. P., Ahren, C., Hedstrom, J.E., Ford,
L.J. & Johnson, P.L. (1976).
Selain itu, keadaan berkaitan dengan kepincangan nilai generasi kini jelas sebagaimana
yang dinyatakan oleh Hishamuddin Hussein Onn (2005) selaku Menteri Pelajaran Malaysia
seperti berikut :

Hari ini kita jarang-jarang dapat melihat warga tua dipimpin oleh anak-anak
muda untuk melintas jalan. Kita juga sudah ketandusan budaya sapa menyapa,
kurangnya rasa hormat-menghormati, tidak menghargai harta benda awam
dan tidak mengutamakan kepada kebersihan. Keadaan ini jika dibiarkan, lama-
kelamaan akan merosakkan tamadun dan mencemarkan budaya bangsa yang
kaya dengan budi pekerti serta nilai-nilai murni yang tinggi (Hishamuddin
Hussein Onn, 2005 :hlm. 3).

Ketiadaan penghayatan nilai-nilai murni dalam masyarakat menyebabkan perilaku


mereka menjurus ke arah negatif (Fatimi Hanafi & Mohd Zamani Ismail, 2006). Begitu juga
pernyataan bahawa penghayatan akhlak yang lemah sering dikaitkan dengan gejala keruntuhan
akhlak masa kini (Harery Abu Saad, 2007). Menurut Tajul Ariffin Noordin dan Nor Aini Dan
(2002) masalah keruntuhan akhlak dan nilai berpunca daripada minda manusia yang terlupa
akan tujuan sebenar mereka dihidupkan di dunia ini. Kealpaan ini menyebabkan manusia
mudah tewas kepada tuntutan hawa nafsu dan bersikap materialistik (Tajul Ariffin Noordin
dan Nor Aini Dan,2002). Akhirnya berlaku jenayah kolar putih, rasuah, pecah amanah,
ketagihan dadah dan pelbagai tingkah laku yang menyimpang yang dilakukan bukan sahaja
dalam kalangan orang yang kurang berpendidikan tetapi juga tidak terkecuali golongan yang
dianggap intelek dan terpelajar. Oleh itu, kajian tentang penghayatan nilai murni dalam
kalangan pelajar semakin penting dewasa ini bagi menjelaskan status tahap penghayatan nilai
murni pada masa kini secara empirikal.

Selain itu, aspek penghayatan penting dikaji kerana dalam domain afektif yang terdiri
daripada aspek sikap, perasaan, emosi dan penghayatan, elemen penghayatan berada pada
tahap tertinggi dimana pelajar cuba memberi maklum balas, menilai dan mengorganisasi nilai
(Krathwohl, Bloom & Masia, 1964). Begitu juga pandangan Bloom (1979) dalam taksonomi
Bloom aspek pengetahuan dan kefahaman adalah aras bawah untuk diuji dan dikaji. Oleh itu,
aspek penghayatan wajar dikaji kerana ia merangkumi aras yang lebih tinggi iaitu dengan
menggabungkan aras aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian (Bloom, 1979).
CADANGAN MENINGKATKAN TAHAP PENGHAYATAN NILAI DALAM
KALANGAN PELAJAR

A. MELALUI PEMBENTUKAN ASAS PENDIDIKAN ISLAM

Secara keseluruhannya tahap penghayatan dalam diri pelajar adalah berada pada tahap tinggi
sekiranya mereka dibentuk dengan asas pendidikan Islam sejak di awal perkembangannya.
Pelajar dapat memahami nilai-nilai murni dan apabila diberi masalah untuk diselesaikan,
mereka dapat berfikir untuk menyelesaikan dengan cara yang terbaik. Sebagai contoh apabila
seseorang memahami kandungan Al-Quran ia akan memberi kesan kepada pembentukan
pemikiran, pembinaan perasaan dan pembawaan hidup seseorang (Abdul Halim, 1991). Begitu
juga apabila memahami nilai-nilai murni sebagai nilai yang dapat membentuk peribadi yang
terpuji, akan memberi kesan terhadap pemikiran pelajar. Oleh itu, apabila pelajar diminta reaksi
daripada situasi yang diberikan, pelajar dapat memberi pilihan yang terbaik kerana tahap
penghayatan nilai-nilai murni dalam diri pelajar adalah tinggi.

Proses penghayatan nilai murni dapat dilakukan seperti mana konsep umat Islam
menghayati al-Quran. Menurut Abdul Halim (1991), apabila seseorang itu menghayati al-
Quran bukan sahaja adalah dalam bentuk pembacaan dan pelaksanaan idea dalam semua aspek,
termasuk penghayatan dalam mengamalkan nilai-nilai dan hukum hakam dalam segala
bentuknya. Oleh itu, penghayatan nilai-nilai murni dalam erti kata sebenar amat penting yang
mana dapat membantu membentuk disiplin dalam diri.

B. PERANAN IBU BAPA DAN PIHAK SEKOLAH

Tahap penghayatan nilai-nilai murni ini masih dapat ditingkatkan dengan usaha yang
berterusan oleh pihak sekolah dan ibu bapa. Ini adalah kerana proses penerapan dan
penghayatan ini tidak boleh terhenti pada satu tahap sahaja. Ibu bapa perlu memainkan peranan
dengan memberi tunjuk ajar dan contoh yang terbaik kepada anak-anak mereka. Nilai-nilai
hidup yang baik perlu ditanam, dipupuk dan dibentuk dalam diri seorang pelajar kerana mereka
adalah merupakan pelapis generasi yang akan datang. Sekiranya nilai-nilai ini tidak terapkan
dari sekarang sistem nilai dalam masyarakat negara kita pasti akan berubah ke arah yang lebih
buruk (Toffler, 1969).
Menyedari hakikat ini, semua pihak perlu bertanggungjawab dan bekerjasama dalam
pemupukan nilai murni kepada pelajar di sekolah. Pelajar-pelajar di sekolah merupakan aset
penting bagi sesebuah negara. Mereka merupakan tenaga muda yang bakal menjadi harapan
negara untuk memimpin generasi akan datang, penyambung budaya, penggerak kemajuan dan
pelopor pembangunan bagi sesebuah masyarakat. Pengamalan nilai-nilai murni penting kepada
setiap pelajar agar mereka dapat menghubungkan ilmu pengetahuan yang dipelajari dengan
kehidupan seharian. Walaupun penerapan nilai murni terdapat dalam sukatan pelajaran yang
telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, namun pembabitan pelajar dalam kes
salah laku masih berleluasa.
RUJUKAN

Abd. Rahim Abd Rashid. 2001. Penerapan nilai-nilai murni dalam pendidikan: menghadapi
cabaran perubahan dan cabaran alaf baru. Kuala Lumpur: Utusan Publications and
Distributors Sdn. Bhd.

Abdul Rahim Abdul Rashid. 2000. Wawasan dan agenda pendidikan. Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Abdul Rahim dan Azharul Nizam.2007. Konsep pendidikan bersepadu serta penerapan nilai-
nilai murni dalam pengajaran matematik menengah rendah.UTM Skudai.

Ab. Rahman dan Amidin.2003.Amalan nilai murni di kalangan pelajar:satu kajian di


Terengganu.Jabatan Pendidikan, Maktab Perguruan, Kuala Terengganu.

Eni dan Ali.2005. Nilai-nilai murni ke arah pembentukan disiplin pelajar di Sekolah Menengah
Teknik Batu Pahat.Projek sarjana yang tidak diterbitkan.UTM Skudai.

Ho Yee Wan.2006.Tahap pengamalan nilai-nilai murni di kalangan pelajar tingkatan 4 di


Sekolah Menengah Teknik Johor Baru dan Sekolah Menengah Kebangsaan Skudai,
Johor.Projek sarjana yang tidak diterbitkan.UTM, Skudai.

Mazdalina Mat Desa, Amla Salleh, Zulia Mahmud, Salleh Amat. 2011. Penerapan Amalan
Nilai Murni Dalam Kelas Dan Dalam Kehidupan Seharian Pelajar. PERKAMA
International Convention 2011. UKM, Bangi.

Mohd Alfaizal.2006.Pengamalan nilai-nilai murni di kalangan pelajar tingkatan 4 Sekolah


Menengah Kebangsaan Taman Universiti (2) yang diamalkan dalam kehidupan
seharian.Projek sarjana yang tidak diterbitkan.UTM,
Skudai.

Norlela Abdollah. 2007. Penyerapan Nilai-Nilai Murni Dalam Pengajaran Bahasa Melayu di
Sekolah Menengah. Projek sarjana yang tidak diterbitkan. UKM, Bangi.

Nor Suhara & Dr. Jamil b. Ahmad. 2010. Kepentingan Kokurikulum Dalam Pendidikan Di
Sekolah Menengah. Prosiding Konferens Antarabangsa Pendidikan Guru UPI & UPSI 8-
10 November 2010.

Anda mungkin juga menyukai