Anda di halaman 1dari 8

etika professional

1.0 PENGENALAN
Kehidupan manusia di dunia ini adalah berdasarkan kepada etika yang diamalkan
dalam kehidupan mereka bagi menentukan kejayaan dalam hidup seseorang. Individu yang
beretika akan melahirkan masyarakat, bangsa dan negara yang beretika. Masyarakat yang
beretika adalah masyarakat yang berpegang teguh kepada falsafah moral dan etika untuk
menjamin kesejahteraan dan keharmonian negara. Penghayatan kepada falsafah moral dan
etika dan seterusnya mengamalkannya adalah penting kerana kemajuan dari segi material
semata-mata akan menyebabkan sesebuah masyarakat dan negara itu pincang.
Selain etika yang diterapkan dalam diri individu, etika dalam bentuk kolektif juga
perlu diamalkan dalam sesebuah organisasi. Perkara ini bagi menjamin keberlangsungan
sesebuah organisasi. Jika sesebuah organisasi mempunyai sekumpulan pekerja yang
mengamalkan etika profesional, maka tidak ada alasan untuk organisasi tersebut memperoleh
kejayaan dan seterusnya memberikan keuntungan bukan sahaja kepada organisasi tersebut,
malah kepada bangsa dan negara
Negara kita semestinya mempunyai rakyat yang mengamalkan etika dan budaya yang
positif dan unik yang membantu menaikkan industri pelancongan negara. Menurut Pengurus
Besar Sekretariat Tahun Melawat Malaysia 2014, Nor Yahati Awang Sehingga September
2013 yang lalu, Malaysia menerima kedatangan 46 juta orang dan daripada jumlah
berkenaan 23 juta orang adalah pelancong. Ia menjadikan negara mencatatkan kemasukan
25,032,708 pelancong asing, berbanding 24,714,324 pelancong asing yang direkodkan pada
tahun sebelumnya .
Kepentingan etika profesional juga dapat dilihat melalui aspirasi mantan Perdana
Menteri ke empat Tun Doktor Mahathir Mohamad dalam Wawasan 2020. Pada cabaran yang
ketujuh untuk membentuk sebuah masyarakat berbudi yang berbudaya penyayang, sebuah
sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri, dengan kebajikan
rakyat tidak diasaskan kepada negara mahupun individu tetapi pada sistem kekeluargaan yang
mantap. Wawasan 2020 bertujuan mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara maju
berdasarkan acuannya sendiri tanpa meniru negara-negara maju yang lain. Kemajuan yang
dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna mengikut acuan budaya tersendiri masyarakat
kita dan tidak hanya diukur daripada sudut pembangunan materialistik sahaja. Oleh itu,
dalam gagasan ini kerajaan bertekad untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang sempurna
berlandaskan kepada nilai-nilai moral dan etika yang tinggi.
2.0 DEFINISI
Kajian berkenaan etika telah lama menjadi perbahasan ilmuan. Sebelum melangkah
kepada perbincangan yang lebih mendalam berkaitan etika, adalah lebih baik untuk kita
menyusuri definisi etika.
Menurut Kamus Dewan (Edisi Keempat) mendefinisikan etika sebagai prinsip moral
atau akhlak atau nilai-nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu
kumpulan . White (1993) mendefinisikan etika sebagai salah satu cabang falsafah yang
berkaitan dengan kebaikan moral (virtue moral) dan menilai tindakan manusia. Pendekatan
secara peribadi kepada etika adalah menerusi kajian tingkah laku tentang moraliti melalui
rasional yang dilihat kepada kehidupan manusia. Menurut Sahakian et.al. (1993), etika
berasal daripada bahasa Greek kuno iaitu ethos yang bermaksud falsafah moral. Etika
merupakan salah satu cabang utama falsafah yang merangkumi kelakuan betul dan kehidupan
baik. . Salah satu aspek utama etika ialah kehidupan yang baik, iaitu kehidupan yang bernilai
atau memuaskan. Pencarian summum bonum atau kebaikan yang terbaik merupakan salah
satu isu utama dalam etika.
Kesimpulannya etika ialah prinsip-prinsip tingkah laku yang akan menentukan
tindakan yang diambil oleh seseorang individu itu boleh diterima daripada segi moral atau
sebaliknya. Setiap individu perlu mempunyai etika yang boleh diterima oleh setiap anggota
masyarakat di sekelilingnya. Individu yang tidak mempunyai etika akan menyebabkan
wujudnya konflik sosial seperti rasuah, pecah amanah, tidak bertanggungjawab, cuai dalam
tugas dan sebagainya.
2.1 Etika Profesional
Bagi mendalami maksud etika profesional, maka kita hendaklah mengetahui pula apa
yang dimaksudkan dengan profesional. Profesional bermaksud keupayaan dan kecekapan
dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab berdasarkan ilmu, latihan dan kepakaran.
Etika professional pula merujuk kepada etika dalam sesuatu profesion dan bidang
profesional. Menurut Mohd Janib Johari (2001), etika profesional merupakan satu alat
kawalan sosial terhadap golongan profesional yang membolehkan organisasi dan masyarakat
mengawasi dan menilai tingkah laku mereka dari semasa ke semasa. Secara ringkasnya,
etika profesional boleh disimpulkan sebagai satu panduan dan tatacara yang menentukan
kualiti moral, profesional dan nilai seseorang individu atau sesebuah organisasi.
Dalam sesuatu profesion, etika profesional dijadikan sebagai panduan oleh setiap
kakitangan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Etika tersebut mesti dipatuhi
untuk memastikan tiada sebarang masalah atau konflik sosial seperti jenayah ketika
menjalankan tanggungjawab.
Kesimpulannya, etika profesional merupakan penentukur dan garis panduan yang
bertujuan untuk meningkatkan tahap disiplin, kualiti dan produktiviti seseorang kakitangan
dalam sesebuah organisasi. Etika profesional memberi penekanan terhadap semua aspek
yang berkaitan dengan peraturan, peradaban, peranan nilai serta tingkah laku profesion. Oleh
itu, prinsip etika ini perlu difahami dan diaplikasikan oleh setiap anggota masyarakat dalam
apa juga perkara yang dilakukan.

3.0 FAKTOR-FAKTOR MEMPENGARUHI ETIKA INDIVIDU


Terdapat beberapa faktor yang mencorakkan etika seseorang. Faktor-faktor tersebut
adalah pengaruh ahli keluarga dan rakan sebaya, pengalaman hidup, nilai peribadi dan prinsip
moral dan faktor keadaan atau situasi.
3.1 Pengaruh Keluarga
Seseorang individu akan mula membentuk etika dalam diri mereka sejak zaman
kanak-kanak melalui perbuatan meniru atau mencontohi perilaku ibu bapa mereka. Pada
waktu itu, peranan ibubapa dan ahli keluarga yang lain amat besar dalam mempengaruhi
pembentukan etika kanak-kanak tersebut. Sekiranya ibubapa dan ahli keluarga banyak
menunjukkan etika dan tingkahlaku yang baik, maka kanak-kanak tersebut akan membentuk
nilai dan etika yang baik. Namun sebaliknya jika kanak-kanak tersebut membesar dalam
suasana yang tidak beretika maka hasilnya lahirlah individu yang tidak beretika.
3.2 Pengaruh Rakan
Apabila kanak-kanak telah mula bersekolah, mereka akan dipengaruhi pula oleh rakan
sebaya. Faktor pengaruh rakan merupakan salah satu faktor yang kuat mempengaruhi
pembentukan etika seseorang individu. Ini adalah disebabkan mereka bertemu dan bergaul
sesama mereka untuk tempoh enam ke lapan jam hampir setiap hari Mereka akan
menunjukkan etika yang baik sekiranya bergaul dengan rakan sebaya yang baik dan begitulah
juga sebaliknya mereka akan menunjukkan etika yang negatif jika bergaul dengan rakan
yang tidak beretika.
3.3 Pengalaman Hidup
Pelbagai pengalaman yang dihadapi dalam kehidupan seseorang. Pengalaman tersebut
juga akan sedikit sebanyak mempengaruhi etikanya. Pengalaman tersebut samaada
pengalaman yang menggembirakan atau menyedihkan, positif atau negatif akan membentuk
kehidupan dan prinsip etika seseorang. Pengalaman ini akan membantu mematangkan
seseorang untuk menjalani kehidupan mendatang.
3.4 Nilai Peribadi dan Prinsip Moral
Kedudukan dan status seseorang dalam sesebuah masyarakat juga akan menentukan
etika seseorang. Contohnya jika seseorang individu lebih mengutamakan keluarga, maka
nilai peribadinya pasti berbeza dengan seseorang yang lebih mengutamakan kedudukan
pangkat dan kewangan yang secara mudahnya akan bertindak berdasarkan kepentingan
peribadi tanpa mengira implikasinya terhadap individu lain.
3.5 Faktor Situasi
Etika seseorang individu juga boleh dipengaruhi oleh faktor situasi kehidupan yang
dilaluinya. Walaupun sesuatu perilaku itu tidak beretika, tetapi faktor situasi boleh
menyebabkan seseorang melanggar etika tersebut. Contohnya seseorang ibu tidak mungkin
akan membiarkn anaknya dalam kesusahan dan kelaparan, tetapi dalam situasi tertentu
seperti tekanan emosi dan kedaifan boleh menyebabkan si ibu mengabaikan tanggungjawab
terhadap anaknya.

4.0 TIGA FAKTOR YANG MEMBENTUK ETIKA INDIVIDU


Daripada beberapa faktor yang mempengaruhi etika yang telah disebutkan di atas, tiga
faktor yang dianggap paling penting dalam mempengaruhi etika seseorang yang akan
diterangkan dengan lebih jelas ialah faktor pengaruh keluarga, faktor pengaruh rakan sebaya
dan factor situasi.
4.1 Pengaruh Keluarga
Ibubapa dan ahli kelurga merupakan perkara pertama yang dikenali oleh seorang bayi
dan kanak-kanak. Oleh itu keluarga memainkan peranan yang sangat besar dalam
mempengaruhi etika dalam diri seseorang. Perkara ini adalah disebabkan kanak-kanak amat
cepat belajar dan salah satu cara mereka belajar adalah dengan cara meniru perlakuan orang
sekeliling mereka.
Menurut Prof. Madya Dr. Mastura Badzis, Pengarah Pusat Penyelidikan
Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris, pernah
menyatakan hakikat yang perlu kita tahu daripada fakta oleh pakar perkembangan dan
psikologi kanak-kanak, pada peringkat umur 6 tahun pertama adalah peringkat paling utama
dan paling laju perkembangan mereka berbanding dengan peringkat-peringkat atau tahap
umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan.
Dapatan terbaru dari kajian yang dilakukan oleh pakar neurologi mendapati bahawa
8085% perkembangan otak manusia berlaku dalam tempoh enam tahun pertama usia
seorang kanak-kanak dan melaui peringkat perkembangan otak yang paling pesat. Justeru
boleh dikatakan di sini bawa ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seseorang
kanak-kanak merupakan asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan datang.
Sebagaimana yang kita ketahui kanak-kanak di bawah usia 6 tahun biasanya
menghabiskan masa mereka bersama keluarga. Ahli keluargalah merupakan kumpulan
individu yang paling hampir dengan kanak-kanak semasa mereka membesar. Oleh itu setiap
ahli dalam sesebuah keluarga mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap pembentukan
etika kanak-kanak. Segala kelakuan dan perbuatan yang diamalkan oleh ahli-ahli keluarga
terutamanya ibu bapa akan ditiru dan diamalkan oleh kanak-kanak kerana meniru merupakan
cara mereka belajar pada usia awal tersebut.
Disebabkan itu, ahli keluarga terutama ibubapa mesti menyedari hakikat ini. Mereka
mesti berusaha menanamkan etika yang positif dalam diri kanak-kanak dengan cara
menunjukkan dan mengamalkan etika yang positif dalam kehidupan sehariaan mereka.
Perkara ini amat penting kerana sekiranya ibu bapa mempunyai etika yang positif, maka
kanak-kanak tersebut akan meniru dan mengamalkan etika positif tersebut. Ibu bapa yang
mengamalkan gaya hidup yang positif seperti menghormati orang lain, akan membina diri
individu yang beretika, menghormati orang lain dan menjadi seorang warganegara yang
berguna.
Tetapi sekiranya ibu bapa kanak-kanak tersebut mengamalkan etika yang negatif,
maka kemungkinan besar kanak-kanak tersebut akan membesar dengan perilaku dan etika
yang negatif. Contohnya, seorang bapa yang sering mengeluarkan kata-kata yang kurang
sopan akan menganggap bahawa perbuatan tersebut adalah baik dan kanak-kanak tersebut
akan menjadikan tabiat bercakap kurang sopan sebagai etika dalam kehidupannya. Oleh itu,
ibu bapa sepatutnya menjadi seorang idola dan contoh terbaik kepada anak-anaknya dengan
mengamalkan perilaku yang beretika.
Berdasarkan pengamatan dan pengalaman dalam bidang kerjaya dan rumahtangga,
amat jelas diihat kesan pendidikan daripada zaman kanak-kanak akan membentuk seseorang
individu. Bagi pengalaman peribadi saya sendiri yang mempunyai adik beradik lelaki yang
ramai dan hanya mempunyai seorang kakak menyebabkan ibubapa saya menunjukkan segala
tugasan perlu dibuat secara bersama tanpa membezakan tugasan kepada anak lelaki atau
perempuan. Hasilnya kami berlima beradik mampu menguruskan segala kerja rumah
daripada mengemas, membasuh pinggan mangkuk, membersihkan rumah sehinggalah kepada
memasak tanpa sebarang masalah berbanding dengan rakan-rakan yang tidak didedahkan
dengan kerja-kerja rumah tersebut.
Selain itu, saya juga mempunyai hobi membaca.. Ini disebabkan sejak saya kecil, saya
sering melihat ibu dan bapa saya sering mempunyai buku di tangan mereka. Daripada
pengamatan saya terhadap tabiat kedua ibubapa menyebabkan saya juga mempunyai hobi
yang sama. Namun begitu seiring dengan perkembangan teknologi terkini,saya masih lagi
suka membaca tetapi bahan bacaan saya sekarang adalah yang dimuatturun daripada perisisan
telefon pintar. Oleh kerana telefon pintar yang sering berada di tangan menggantikan buku,
maka saya melihat anak saya lebih gemar bermain dengan telefon pintar atau tablet
berbanding dengan memegang buku yang dibelikan untuknya.
Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi, pengaruh keluarga sangat membawa kesan yang
besar dalam membentuk etika yang baik untuk kehidupan seseorang.
4.2 Pengaruh Rakan
Selain daripada faktor latarbelakang keluarga, faktor rakan sebaya juga merupakan
faktor yang besar yang dapat mempengaruhi proses pembentukan etika. Pengaruh keluarga
akan berkurangan apabila kanak-kanak meningkat remaja. Oleh kerana pada umur sebegini,
kebanyakan remaja sudah mempunyai ramai kawan bahkan sesetengah mereka menjadi amat
rapat dengan kawan berbanding dengan keluarga sendiri
Ahli sosiologi mengistilahkan rakan sebaya sebagai kumpulan kanak-kanak ataupun
kumpulan remaja yang mempunyai lingkungan umur yang sama. Kumpulan rakan sebaya ini
mempunyai peranan yang besar dalam aktiviti sosial. Ia adalah agensi tidak formal yang
memberikan pengalaman yang tidak dapat diperolehi daripada keluarga dan juga di sekolah.
Bagi para pelajar, rakan sebaya adalah tempat mereka mencurahkan masalah dan pengganti
ibu bapa, terutamanya bagi golongan yang mempunyai masalah di rumah.
Remaja biasanya akan memilih rakan sebaya yang mempunyai persamaan tingkah
laku, sikap dan identiti dengan mereka (Akers, Jones & Coyle, 1998; Hogue & Steinberg,
1995). Selain dipengaruhi, mereka juga didominasi oleh rakan sebaya (Brown, 1990). Oleh
kerana keperluan untuk diterima oleh kumpulan rakan sebaya amat penting, seseorang remaja
akan menepati norma dan nilai yang ditonjolkan oleh kumpuan tertentu samaada ia positif
ataupun negatif. Contohnya, sekiranya rakan-rakan dalam sesebuah kumpulan rakan sebaya
tersebut mempunyai standard etika yang tinggi seperti mementingkan disiplin diri dan
pelajaran maka individu-individu dalam kumpulan tersebut juga akan menerima standard
etika tersebut.
Pengaruh rakan sebaya juga boleh mewujudkan tabiat yang negatif seperti ponteng
kelas, vandalisme, merokok dan mungkin juga perbuatan jenayah sosial. Golongan remaja
biasanya lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan sebaya. Kebiasaannya,
golongan remaja yang melakukan salahlaku akan melakukannya secara berkumpulan.
Mereka belum mencapai tahap umur yang matang untuk menilai sesuatu perbuatan dan hanya
ingin menurut kata hati sendiri.Apabila mereka berkumpul sesama mereka, maka akan
timbullah pelbagai idea untuk melakukan sesuatu yang baru tanpa mengambilkira kesalahan
di sisi undang-undang.
Mengikut pengalaman saya sendiri ketika bersekolah dan tinggal di asrama, saya
adalah individu yang amat berlainan semasa bersama keluarga dan rakan sebaya. Ibubapa dan
keluarga telah membentuk diri saya menjadi seorang anak yang beretika, tetapi dengan rakan
sebaya di asrama saya suka melakukan aktiviti yang negatif yang biasa dilakukan oleh pelajar
di asrama seperti keluar ke bandar tanpa pengetahuan warden. Walaupun mengetahui perkara
tersebut adalah salah, tetapi bersama dengan rakan sebaya, kami merasa bangga sekiranya
dapat melakukan perkara tersebut.
Begitu juga dengan tabiat merokok yang sukar untuk dihentikan, walaupun bapa saya
bukan seorang perokok, saya mempelajarinya daripada rakan sebaya ketika di alam remaja.
Sehingga kini walaupun pelbagai cubaan untuk berhenti daripada tabiat yang saya sendiri
mengakui sebagai tabiat yang buruk, ia adalah amat sukar sekali kerana kini saya bersama-
sama pula dengan rakan sekerja yang mempunyai tabiat yang sama.
Oleh itu, terbukti pengaruh daripada rakan sebaya juga merupakan faktor yang kuat
yang yang akan mencorak sikap, tingkah laku dan etika individu terutamanya mereka yang
berasal daripada keluarga bermasalah.

4.3 Faktor Situasi


Situasi merujuk kepada keadaan, suasana dan kedudukan sesuatu perkara. Situasi
boleh mempengaruhi etika pula bermaksud keadaan hidup seseorang akan boleh memberi
kesan kepada etika hidup yang diamalkan terutama ketika berdepan dengan sesuatu masalah
atau dilema dalam kehidupan. Kadangkala seseorang secara tidak sengaja berada dalam
situasi yang memerlukan mereka bertindak bertentangan dengan pertimbangan yang baik.
Sebagai contoh, seorang pekerja yang mempunyai masalah kewangan menipu dalam akaun
tuntutan mereka kerana mempunyai masalah beban kewangan pada ketika itu. Walaupun
keadaan ini tidak memberi justifikasi yang tepat kepada ketidakjujurannya, namun ianya
perlu dalam konteks memberi kefahaman mengapa seseorang boleh bertindak secara tidak
beretika sekiranya mereka berada di dalam situasi tertentu seperti berada di dalam dilemma
atau tertekan dengan masalah di tempat kerja atau di rumah.
Sepertimana yang kita maklum, baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan berita
seorang remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) yang ditemui dalam keadaan yang menyayat
hati akibat menjadi mangsa pengabaian ibu sendiri. Secara fitrah dan logiknya, semua ibu
menghendaki yang terbaik untuk anak mereka dan akan berusaha semampu yang mungkin
untuk melindungi anak mereka. Semua manusia akan mengakui ibu mana yang tidak
sayangkan anak. Namun, daripada kes ini, kita tidak dapat menerima hakikat perbuatan
kejam seorang ibu yang sanggup meninggalkan anak dalam keadaan tidak terurus dari segi
makan dan pakainya. Secara logiknya kita semua tidak mampu untuk memberi alasan
mengapa si ibu sanggup memperlakukan anaknya sedemikian. Namun, sekiranya ditinjau dari
aspek psikologi, situasi yang dialami ibu remaja tersebut memungkinkan dia bertindak
sedemikian. Apabila diceraikan oleh suami, dan terpaksa menjaga anak istimewa yang
memerlukan penjagaan rapi seorang diri mungkin menyebabkan ibu hilang kewarasan akal
lantas bertindak mengabaikan anaknya. Ini jelas dilihat keadaan remaja tersebut sebelum ini
yang kelihatan baik dan terurus sebelum berlakunya perceraian tersebut.
Melalui pengalaman saya sendiri ketika bertugas di Sierra Leone Afrika Barat, situasi
negara itu yang belum stabil dari aspek ekonomi dan keselamatan, menjadikan saya seorang
yang lebih bersyukur dan lebih berani dalam menjalani kehidupan sekarang. Melihat kepada
keadaan mereka yang amat sukar meneruskan kehidupan kerana sumber makanan yang
terhad dan tidak mampu dimiliki, menjadikan saya seorang yang mudah menawarkan bantuan
dan amat sensitif terhadap mereka yang serba kekurangan.
Di negara tersebut juga saya melihat salahlaku rasuah berlaku di mana-mana sahaja.
Ia menjadi satu kemestian apabila hendak berurusan dengan pihak berkuasa. Saya melihat
perkara tersebut seolah-olah bukanlah satu kesalahan kerana pihak berkuasa sendiri yang
melakukan salhlaku tersebut. Walaupun saya amat membenci rasuah dan tahu ia perbuatan
yang tidak beretika, pada beberapa ketika saya terpaksa juga memberi rasuah terutama ketika
berurusan di lapangan terbang bagi memudahkan urusan penerbangan saya untuk pulang ke
Malaysia atau untuk memasuki negara tersebut.
Maka, boleh disimpulkan di sini bahawa situasi yang dialami oeh seseorang pada
masa tertentu, boleh menjadikan seseorang itu lebih beretika atau terpaksa memilih cara yang
tidak beretika untuk kepentingan dirinya.

5.0 UNDANG-UNDANG SEBAGAI PANDUAN UNTUK PILIHAN MORAL


Setiap orang akan sentiasa bebas untuk memilih agar menjadi seseorang yang beretika
atau tidak. Maka , untuk memastikan semua orang mesti memilih cara hidup yang beretika, ia
tidak boleh hanya bergantung kepada kekuatan dalaman seseorang . Oleh itu, undang-undang
diperukan bagi menjadi panduan kepada pilihan hidup yang lebih bermoral.
Undang-undang merupakan satu set peraturan yang konsisten dan digubal oleh
masyarakat untuk mengawal kelakuan masyarakat dan telah diterbitkan (published), diterima
(generally accepted) dan dikuatkuasakan (enforced). Secara ringkasnya, undang-undang
adalah set peraturan yang dibina oleh masyarakat untuk menguasai atau mengawal kelakuan
di dalam sesebuah masyarakat. Undang-undang akan mengatur perjalanan hidup manusia
tanpa mengira pangkat, warna kulit, agama, ideologi politik dan sebagainya agar perjalanan
hidup mereka seiring dengan norma yang dibenarkan dan diterimapakai oleh masyarakat .
Di negara kita, badan kehakiman yang menjaga undang-undang terletak di hirarki
yang tinggi dalam negara. Sebagai rakyat Malaysia, kita juga melafazkan ikrar untuk patuh
kepada undang-undang dan perlembagaan dalam ikrar kita.Ini membuktikan undang-undang
mengawal dan menentukan peranan institusi atau badan kerajaan dan rakyatnya. Selain
daripada itu, undang-undang juga berperanan sebagai agen keamanan dan kesejahteraaan.
Undang-undang mesti dilaksanakan untuk mengawal ahli-ahli masyarakat daripada
melakukan sebarang tindakan yang salah dan memudaratkan diri dan orang ramai. Individu
yang melanggar peraturan undang-undang akan dikenakan hukuman yang setimpal dengan
perbuatan mereka. Hukuman tersebut dibuat bertujuan untuk memberi pengajaran kepada si
pelaku dan orang ramai. Oleh yang demikian, hak-hak dan kebebasan setiap individu akan
terpelihara dan akhirnya satu bentuk kehidupan sosial dan poitik yang stabil dapat
diwujudkan.
Inilah kepentingan undang-undang yang boleh kita lihat yang dapat menjadikannya
sebagai panduan untuk pilihan moral. Ini bermaksud seseorang individu di dalam sesebuah
masyarakat perlu merujuk kepada undang-undang apabila berhadapan dengan dilema etika.
Sebagai contoh, setiap individu yang tinggal di dalam negara Malaysia tertakluk di
bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang bertujuan untuk melindungi rahsia
keselamatan negara. Ketika tugasan ini sedang disiapkan, negara digemparkan dengan kes
berkenaan seorang diplomat yang didakwa membocorkan dokumen tidak sah berhubung
jadual lawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Emiriah Arab Bersatu
(UAE) bermula 8 April lepas. Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa telah
menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas
terhadap penjawat awam yang didapati membocorkan rahsia-rahsia kerajaan.
Selain itu, kes kemalangan jalan raya di negara kita semakin meningkat terutama
ketika musim perayaan. Salah satu faktornya adalah keadaan pemandu yang tidak mematuhi
etika di jalanraya. Rekod mencatatkan angka kematian kemalangan jalan raya di Malaysia
adalah yang tertinggi di dunia, iaitu 19 kematian setiap hari. Oleh itu, kerajaan terus
mengambil serius tentang perkara ini dengan melipatgandakan usaha dalam menangani kes
ini, antaranya melaksanakan penggunaan kamera AES pada kawasan yang sering menjadi
lokasi kemalangan. Saman akan dikeluarkan bagi mereka yang melanggar had laju yang
ditetapkan dan tindakan yang lebih tegas akan dikenakan. Saya sendiri pernah menerima
saman berkaitan had laju. Disebabkan itu, saya menjadi lebih berhati-hati dan memastikan
saya sentiasa mematuhi etika di jalan raya.

6.0 KESIMPULAN
Dalam kehidupan kita di dunia ini, sudah pasti menyebabkan kita akan bekerja dan
berkomunikasi sesama manusia. Oleh itu, bagi mengekalkan komunikasi dan perhubungan
yang baik maka semua manusia perlu berpegang kepada cara hidup beretika. Etika
merupakan prinsip moral atau akhlak yang mesti menjadi pegangan setiap individu. Etika
yang baik akan membina seorang individu mulia dan berintegriti mempunyai sifat-sifat
terpuji dan siasah diri yang unggul walau di mana sahaja dia berada kerana nilai etika telah
membentuk falsafah hidup, gaya berfikir dan tindak- tanduknya. Perkara ini seterusnya akan
membawa kejayaan kepada dirinya sendiri seterusnya kejayaan kepada masyarakat dan
negara.
Selain etika yang membentuk peribadi seseorang individu, bagi sesebuah organisasi,
ia memerlukan setiap anggota dalam organisasi tersebut mempunyai etika professional. Ia
merujuk kepada nilai dan etika yang diperlukan dalam bidang professional. Pegangan kepada
etika inilah yang akan memastikan seseorang menjalankan tugas yang telah diamanahkan
mengikut peraturan yang digariskan bagi menjayakan kelangsungan organisasi tersebut.
Pekerja yang mempunyai etika kerja yang baik pastinya akan memberi keuntungan kepada
semua.
Namun begitu etika tidak datang begitu sahaja Ia bukan satu perkara yang
dianugerahkan kepada seseorang sejak ia lahir. Tetapi etika perlu dipuuk melalui didikan
samaada formal atau tidak. Etika juga akan berubah bergantung kepada beberapa faktor.
Antara factor yang mempengaruhi etika yang dibincangkan dalam tugasan ini adalah faktor
ahli keluarga dan rakan sebaya, pengalaman hidup, nilai peribadi dan prinsip moral serta
faktor keadaan atau situasi.
Dalam tugasan ini, saya telah memfokuskan tiga faktor utama yang mempengaruhi
etika seseorang individu. Peranan ibubapa dan ahli keluarga merupakan faktor yang paling
utama kerana pada peringkat awal umur seseorang itulah paling banyak perkara yang
dipelajari hingga menjadikan ia tabiat bagi seseorang. Jika keluarga mengamalkan nilai dan
etika yang positif, maka sudah pasti individu yang terbentuk daripada keluarga tersebut akan
mengamalkan etika yang baik sepanjang kehidupan mereka dan begitulah jika sebaliknya.
Faktor pengaruh rakan sebaya juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam
membentuk etika seseorang. Ini disebabkan apabila kanak-kanak beralih ke alam remaja,
maka kebanyakan masa mereka dihabiskan bersama rakan sebaya mereka. Di sinilah rakan
sebaya mengambil peranan yang besar dalam menentukan standard etika yang diamalkan.
Jika mereka bersama dengan rakan sebaya yang menamalkan etika yang baik, sudah pasti
akan melahirkan individu yang beretika. Faktor seterusnya yang mempengaruhi etika ialah
situasi atau keadaan seseorang. Perkara ini biasanya berlaku apabila seseorang terjerat dalam
situasi yang memerlukannya membuat pilihan yang beretika atau tidak untuk kepentingan diri
sendiri.
Oleh kerana banyak faktor luaran yang mempengaruhi etika seseorang, maka undang-
undang diperlukan sebagai satu dorongan agar manusia sentiasa memilih cara hidup yang
beretika. Undang-undang akan memastika setiap individu akan mematuhi nilai etika pada
setiap masa dan dalam jua keadaan. Oleh itu sekiranya berlaku perlanggaran etika, maka
sudah pastilah tindakan undang-undang akan dikenakan kepada mereka yang melanggar etika
tersebut.
Sebagai kesimpulannya, semua orang mesti mengamalkan etika yang baik pada setiap
masa kerana ia merupakan satu kemestian bagi menjamin kesejahteraan negara. Adalah
menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan amalan etika yang baik sejak dari kanak-
kanak hinggalah akhir hayatnya agar menajdikan masyarakat Malaysia terutamanya sebuah
negara yang dipandang tinggi bukan sahaja kerana pencapaian kemajuan malah boleh
dicontohi kerana rakyatnya mengamalkan etika hidup yang mulia.

Anda mungkin juga menyukai