Anda di halaman 1dari 4

Akil Baligh Remaja Perempuan

Tumbesaran Gadis: Akil baligh dan Tanda-tanda

Tumbesaran gadis: Mencapai akil baligh

APABILA seorang ibu memerhatikan bagaimana anak perempuannya membesar setiap hari,
seolah-olah memerhatikan pembesaran dirinya sendiri. Ibu-ibu harus sedar yang anak
perempuan mereka sedang berubah dari dalam dan juga di luar bila tiba masanya.

Perubahan seksual sekunder (akil baligh) mungkin tidak berlaku secara serentak untuk semua
gadis. Adalah normal sekiranya perubahan ini berlaku pada umur seawal lapan tahun ataupun
mungkin lewat sekitar umur 14 tahun.

Walaupun tidak nampak perubahan luaran yang ketara, sebenarnya anak perempuan anda
sedang menjalani perubahan fisiologi, endokrin serta anatomi dalaman lain. Untuk itu, para
ibu diharapkan dapat mengetahui dan memahami;

1. Bagaimana perubahan ini berlaku

2. Mengapa berlakunya perubahan ini

3. Bila kedatangan haid dijangka tiba

Dalam perubahan pada anak gadis semasa akil baligh, satu bahagian pada otaknya akan
menghantar isyarat pada kelenjar seks iaitu ovari supaya mula berfungsi. Kelenjar seks ini
pula akan menghantar isyarat pada organ-organ lain supaya mula berubah mengikut
keperluan perkembangan seksual sekunder.

Isyarat-isyarat ini dihantar melalui hormon-hormon yang dijanakan oleh badan anak gadis
berkenaan untuk mengawal tumbesaran badan sebagai seorang gadis yang bertambah dewasa
serta kematangan sistem seksual.
Pada tahap permulaan ini, seorang ibu dapat melihat perubahan pada anak gadis seperti;

Payudara makin membesar

Penambahan berat badan dan juga penambahan ketinggian

Ukuran di bahagian punggung semakin lebar

Tumbuhnya bulu ketiak dan juga di kawasan genitalia (kemaluan)

Perubahan bau badan

Kehadiran jerawat di muka.

Mungkin perubahan pertama yang dilihat bermula pada kawasan payudara yang semakin
membesar. Kawasan yang gelap di sekeliling puting akan membengkak, jisim payudara akan
lebih membulat serta menjadi padat dan berat.

Terdapat juga kemungkinan tumbesaran payudara di kedua-dua belah dada tidak seiras dan
serupa. Mungkin juga anak anda merasai tidak selesa pada kedua-dua ataupun sebelah
payudara.

Namun tidak perlu runsing kerana ini mungkin normal untuk peringkat awal
perkembangan. Jika waswas, bawa anak perempuan anda berjumpa dengan doktor untuk
kepastian.

Kematangan hormon juga menyebabkan kematangan sistem reproduksi anak gadis dengan
ovari kini berupaya mengeluarkan telur untuk disenyawakan. Dengan kata lain, ovulasi sudah
berlaku dan sekiranya persenyawaan tidak berlaku, lapisan dalam rahim iaitu endometrium
yang pada mulanya menebal akan gugur sebagai darah haid.

Darah haid

Sukar untuk mengetahui dengan tepat bila seorang anak gadis akan mengalami haid
pertamanya.

Kebanyakan anak gadis akan mendapat haid pertama sekitar umur 12 tahun. Haid pertama
biasanya sedikit sahaja dan berlangsung untuk tiga hingga tujuh hari dengan kekerapan sekali
setiap bulan.

Berkemungkinan juga darah haid anak gadis tidak teratur dan datang sekali setiap dua bulan
atau mungkin dalam jumlah darah lebih sedikit.

Bagaimanapun, anak gadis ini mungkin perlu mendapatkan rujukan doktor jika kedatangan
haid masih tidak teratur, tidak tenteram dan juga selalu menyakitkan selepas 2 tahun.

Buat perancangan nota kehadiran haid


Seorang ibu perlu memberi tunjuk ajar kepada anak gadisnya supaya menanda kehadiran haid
di dalam diari ataupun kalendar dan catatkan sebarang masalah ataupun kesakitan semasa
datangnya haid.

Dengan cara sebegini, anak gadis dapat meramalkan bila haid berikutnya akan datang dan
juga julat di antara dua peristiwa haid berdekatan.

Lazimnya julat darah haid adalah di antara 21 hari hingga 45 hari. Adalah biasa bagi julat
haid berbeza-beza dan hari pertama haid pun mungkin pada hari awal dan juga mungkin
lewat berbanding dengan bulan lampau.

Untuk mereka yang sudah berkahwin pula, biasanya kelewatan haid dikaitkan dengan
kemungkinan mengandung, bergantung kepada tempoh lewat datang haid.

Persediaan

Adalah lebih baik sekiranya perancangan awal disediakan sebelum datangnya haid seperti
menyimpan tuala wanita di dalam beg dan dibawa ke sekolah.

Tuala ini dipakai di bahagian dalam seluar dalam dan bertujuan menyerap darah yang keluar.
Perlu diingat bahawa tuala wanita ini perlu ditukar setiap empat jam kerana darah haid yang
terkumpul mungkin menjadi tempat pembesaran yang baik untuk bakteria.

Biasanya untuk beberapa hari pertama, tuala wanita perlu ditukar dengan lebih kerap
disebabkan jumlah darah yang keluar terlalu banyak.

Penggunaan tuala wanita yang diletakkan bau haruman juga tidak digalakkan kerana
mungkin menyebabkan berlakunya keradangan pada kulit sekitar kemaluan.

Tidak selesa dan sakit

Ramai gadis mengalami kekejangan di bahagian bawah abdomen semasa kehadiran


haid. Mungkin juga kesakitan tersebut merebak ke bahagian belakang (seperti mereka yang
sakit bersalin).

Ada juga keluhan seperti sakit kepala, pening-pening, kekerapan buang air besar dan juga
loya-loya muntah. Jangan runsing kerana ini adalah normal untuk pengalaman awal
kehadiran haid.

Untuk menghilang masalah serta rungutan ini, anak gadis ini boleh mengambil;

Pil penahan sakit seperti NSAIDs, contohnya ibubrofen ataupun naproxen sodium.

Bersenam

Meletakkan pemanas seperti bertungku di bahagian bawah abdomen.

Rujuk kepada doktor sekiranya:


1. Anak anda sudah pun berusia 15 tahun tetapi masih belum datang haid.

2. Kehadiran haid yang sebelum ini teratur, tetapi sekarang tidak lagi teratur.

3. Julat di antara sebelum dan selepas haid kurang dari 21 hari ataupun melebihi 45 hari.

4. Julat haid berlaku selama 90 hari (3 bulan) walaupun hanya untuk baru satu kitaran (bukan
mengandung).

5. Kehadiran darah haid melebihi tujuh hari.

6. Sekiranya jumlah pendarahan terlampau sehinggakan tuala-tuala wanita perlu ditukar


setiap satu hingga dua jam.

Banyak perubahan dari segi emosi dan juga fizikal akan berlaku pada anak gadis anda.
Nasihatkan mereka supaya menjaga pemakanan supaya berat badan ideal dapat dikekalkan.

Bersenam serta beriadah mungkin dapat mengurangkan ketidakselesaan serta kesakitan


ketika datang haid. Amalkan senaman untuk mengukuhkan tulang-tulang, menguatkan otot-
otot dan juga mengurangkan kekejangan semasa datang haid.

Akil baligh juga menyebabkan kelenjar di bawah kulit mengeluarkan sebum dan dengan
kehadiran sebum yang banyak boleh menyekat lubang-lubang halus, menyebabkan
berlakunya jerawat.

Membasuh muka dengan air ataupun bahan pencuci muka dengan kerap dapat mengurangkan
kehadiran sebum di muka dan seterusnya dapat mengurangkan kehadiran jerawat di muka.

Jangan biarkan jerawat berlarutan di muka kerana penyembuhan jerawat mungkin


meninggalkan parut yang berkekalan

Anda mungkin juga menyukai