Anda di halaman 1dari 56

Projek MRT

Projek Sistem Pengangkutan Pantas (MRT /Mass Rapid Transit) di Kuala Lumpur
meliputi kepanjangan perjalanan 150 kilometer sementara kos pembinaan dianggarkan
RM36.6 bilion. Ini merupakan projek terbesar setakat ini dalam sejarah pembinaan
prasarana Malaysia.
Pembinaan projek mega ini dijadual bermula Julai 2012 dengan rangkaian rel pertama
dari Sungai Buloh ke Kajang, meliputi kira-kira 60 kilometer dengan 35 stesen yang akan
melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Cadangan projek MRT yang dijangka siap pada 2020 sebahagian besarnya bertujuan
menangani kemelut pengangkutan awam yang membebankan kehidupan pengguna yang
mendiami kawasan Greater Kuala Lumpur (Greater KL).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan istilah Greater KL
sewaktu mengumumkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada 21 Sept 2010 yang
akan memacu Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Greater KL meliputi kawasan seluas 279,327 hektar terdiri daripada Kuala Lumpur,
Putrajaya, Ampang Jaya, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, Kajang, Klang, Sepang
dan Selayang.
Jumlah penduduk Greater KL dianggarkan sekitar enam juta dan dijangka meningkat 10
juta pada 2020.

BAGAIMANA MRT DAPAT MELAKUKAN TRANSFORMASI


PENGANGKUTAN
Projek rel MRT yang berkelajuan tinggi dan besar-besaran ini dibentangkan dalam
Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015). Projek itu selaras dengan Bidang Ekonomi
Utama Negara (NKEA) untuk Greater KL bagi meningkatkan rangkaian pengangkutan
awam bandar raya ini. Usaha memperbaiki pengangkutan awam merupakan salah satu
daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA), yang diberi keutamaan di
bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Apabila siap, projek ikon ini akan meliputi radius 20 kilometer dari pusat bandar raya
Kuala Lumpur. MRT dijangka menawar khidmat sehingga dua juta perjalanan
penumpang sehari berbanding 480,000 oleh sistem rel bandar buat masa ini. Pembinaan
terminal bas dan rel turut dijangka menambah pecahan mod pengangkutan awam di
Greater KL dari 12 peratus pada 2009 kepada 30 peratus pada 2015. Diharapkan
menjelang 2020, sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk KL akan menggunakan
pengangkutan awam. Setakat ini, Malaysia mempunyai pemilikan kereta per kapita lebih
tinggi dari Amerika Syarikat dan Jerman, dengan 20 juta kereta untuk jumlah penduduk
28 juta!

PANDANGAN NEGATIF TERHADAP PROJEK MRT


Di bawah Rancangan Malaysia keenam, peratus penggunaan pengangkutan awam
disasarkan kepada 50 peratus untuk tahun 2000 dengan siapnya sistem transit aliran
ringan (LRT) tetapi ia tidak menjadi kenyataan. Jadi, banyak pihak masih pesimistik
dengan sasaran MRT yang diuar-uarkan berkemampuan melonjakkan peratus penggunaan
pengangkutan awam yakni peratus komuter yang menggunakan pengangkutan awam. Hal
ini kerana pada masa ini pun tidak ada usaha bersungguh-sungguh bagi memperbaiki
sistem sokongan untuk pengangkutan awam, termasuk keutamaan pengangkutan awam
serta langkah kekangan trafik di atas jalan raya yang ada.
Usaha menjadikan pergerakan kenderaan pengangkutan awam seperti bas dan trem lebih
pantas dan boleh diharap cekap masih tidak mencapai kejayaan. Usaha memastikan
kenderaan transit seperti bas atau trem dapat menyusuri jalan yang sedia ada dengan lebih
lancar, jalanraya kurang sesak dan lebih melancarkan perjalanan bas masih gagal.

LANGKAH-LANGKAH MEMASTIK KEJAYAAN PROJEK MRT

1. Bentuk perjalanan di Lembah Klang sekarang ini diperbetul terlebih dahulu menerusi
pembangunan yang berorientasikan pengangkutan awam (TOD) di sekeliling stesen rel
yang ada sebelum kerajaan melaksanakan sebarang cadangan rel baru. Liputan
perkhidmatan rel yang ada masih belum memenuhi potensi maksimum bukan kerana
kekurangan bas perantara tetapi lebih kepada tahap kemudahcapaian dan kesinambungan
ruang pejalan kaki yang rendah, reka bentuk rangkaian bas yang lemah dan kurang
integrasi antara mod transit.
2. Kerajaan perlu memberi tumpuan mewujudkan lorong khas bas bagi mengatasi
masalah jalan raya yang sesak untuk perjalanan dari kawasan kejiranan ke pusat aktiviti
perbandaran setempat, dan dari pusat ini ke pusat bandaraya Kuala Lumpur.

3. Pembangunan yang mengarah kepada pembentukan bandar raya kompak yang mesra
penduduk perlu berteraskan penyepaduan di antara perancangan guna tanah dengan
perancangan pengangkutan awam. Ini memerlukan anjakan paradigma yang
mengutamakan pejalan kaki berbanding pengguna kenderaan peribadi, dan
mendahulukan pergerakan secara berkumpulan berbanding pergerakan individu. Dengan
merujuk kepada Hong Kong dan tempat-tempat lain yang mempunyai penggunaan tanah
serta perancangan pengangkutan yang teratur, projek pembangunan kepadatan-tinggi
seharusnya bertumpu di sekeliling stesen MRT. Apabila lokasi tumpuan aktiviti
masyarakat berada berhampiran dengan perhentian transit, orang ramai lebih mudah dan
pantas melangsaikan tugasan harian mereka.

4. Kerajaan harus ada perancangan mewujudkan laluan bas bagi mengatasi masalah
kelancaran perjalanan bas yang memainkan peranan penting bukan sahaja sebagai
perantara di antara kawasan kejiranan dengan stesen rel sedia ada, tetapi sebagai medium
perhubungan pusat aktiviti perbandaran di luar bandaraya Kuala Lumpur. Kita perlu
memastikan masa yang diambil dengan menggunakan MRT dalam urusan mereka lebih
pendek daripada masa menggunakan kenderaan sendiri.
KEBAIKAN PROJEK MRT
1. MENGURANGKAN BAHAN API FOSIL
MRT menyelamatkan alam sekitar memandangkan sektor pengangkutan di Malaysia
menggunakan bahan api fosil yang tinggi. Perangkaan Imbangan Tenaga Kebangsaan
2008 (National Energy Balance) menunjukkan penggunaan bahan api fosil dalam sektor
pengangkutan meningkat sebanyak 35.8 peratus antara 2000 dan 2008. Peningkatan
seumpama ini boleh dielakkan sekiranya terdapat perkembangan yang
memberangsangkan dalam sektor pengangkutan awam. Sebagai perbandingan, kita dapat
melihat peratus penggunaan yang lebih cekap daripada jumlah penggunaan sumber
tenaga bagi sektor pengangkutan di Amerika Syarikat sebanyak 28.5 peratus, Singapura
18 peratus dan Jepun 24 peratus.

2. MENGATASI PENCEMARAN
Proses pembakaran bahan api akan melepaskan bahan pencemar seperti karbon
monoksida, oksida nitrogen, oksida sulfur serta bahan pencemar yang lain. Di lokasi yang
menjadi tumpuan orang ramai seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Seremban dan Johor
Bahru, paras bahan pencemar daripada kenderaan sangat tinggi. Ini memberikan impak
langsung kepada indeks kualiti udara. Kualiti udara menjadi lebih teruk di lokasi yang
mengalami kesesakan lalulintas. Lalulintas yang tidak diurus dengan baik akhirnya bukan
sahaja membazirkan sumber tenaga tetapi juga menjejaskan kesihatan kepada mereka
yang menghirup bahan pencemar ini secara langsung. Sementara kebanyakan kes rawatan
di hospital melibatkan warga berusia, pencemaran berkaitan trafik juga mempunyai kesan
yang agak teruk ke atas kanak-kanak. Kanak-kanak mudah mengalami penyakit bronkitis
akibat pencemaran udara yang berpunca daripada trafik.

3 JIMAT KOS PENCEMARAN


Pengurangan pelepasan bahan pencemar daripada kenderaan dapat menyelamatkan
nyawa dan menjimatkan peruntukan kebajikan kesihatan. Pertubuhan Kerjasama
Ekonomi dan Pembangunan (OECD) menjalankan kajian yang serupa di Austria,
Perancis dan Switzerland. Kajian seumpama itu membuktikan usaha mengurangkan
pencemaran menerusi pengangkutan awam yang efektif mempunyai impak positif kepada
negara dengan menyelamatkan nyawa, alam sekitar dan memberikan manfaat ekonomi.
Apakah kita dapat melakukan sedemikian melalui projek MRT ini.

Kebebasan perlu ada batasnya

Pada masa kini terdapat sesetengah kumpulan di Malaysia bangkit mempersoalkan


kebebasan dan hak asasi manusia tanpa menyedari kesan kepada pembangunan negara
dan rakyat keseluruhannya.

Persepsi mereka mengenai kebebasan dan hak asasi manusia telah berubah. Kalau dahulu
kebebasan dimaksudkan bebas daripada cengkaman penjajah tetapi kini ia lebih kepada
kebebasan mutlak dalam konteks asas hak asasi manusia. Jadi kebebasan dalam bersuara
dan ekspresi, beragama, berkumpul dan seumpamanya kini dianggap sebagai sebahagian
daripada hak asasi manusia. Inilah antara yang menjadi cabaran negara dalam proses
pembangunan negara di samping mengisi dan mengekalkan semangat kemerdekaan yang
telah dicapai sejak 56 tahun yang lepas.

PENGARUH BARAT

Dakyah dan ideologi yang dimainkan barat itu, kini menjadi topik di mana-mana negara
dan kini menjadikan isu kebebasan sebagai isu sejagat. Masyarakat dunia termasuk di
Malaysia semakin menerima norma-norma kehidupan di barat yang lebih mengutamakan
hak individu dan kumpulan kecil tertentu berbanding kepentingan umum.

Kerana itu di barat, mereka tidak peduli jika segelintir individu atau kumpulan kecil
memilih gaya hidup yang bercanggah dengan norma kehidupan masyarakatnya kerana
mereka bebas untuk melakukan apa sahaja atas nama demokrasi. Contohnya isu
hubungan seks luar nikah, perkahwinan sejenis dan seumpamanya.

Ini jugalah yang pernah diperjuangkan golongan aktivis sosial di Malaysia dalam
Program Seksualiti Merdeka dua tahun lepas yang secara terbuka menuntut hak golongan
lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Pemikiran liberalisme dan pluralisme juga semakin menular dalam masyarakat hari ini
terutama dalam isu kebebasan beragama. Bagi mereka agama menjadi satu kongkongan
dan untuk menuju kemajuan caranya ialah dengan membebaskan diri daripada
kongkongan agama dengan membawa prinsip semua ideologi dan fahaman dianggap
setara, sama benar dan sah.

Kebebasan bersuara yang diiktiraf sebagai hak asasi manusia di dalam Perkara 19
Pengistiharan Hak Asasi Sejagat dan diiktiraf dalam undang-undang Hak Asasi Manusia
Antarabangsa dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak-hak Sivil dan Politik
(ICCPP) turut mengundang konflik kepada masyarakat.

Penggunaan media sosial sebagai medan kebebasan bersuara hingga melangkaui


sempadan terutama menyentuh nilai-nilai berkaitan budaya, agama, institusi raja jelas
memberi impak yang buruk kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini. Hal ini
kerana, walaupun ada golongan liberal dan terbuka untuk membicarakan soal tersebut,
namun majoriti masyarakat Malaysia masih lagi teguh dengan adat dan budaya serta
berpegang kepada agama.

Kebebasan di alam maya yang sukar dikawal ini jugalah menjadi ancaman pengisian
kemerdekaan dan tamadun yang dibina.

HAK ASASI PERLU SEKATAN


Kemerdekaan memberi ruang sesebuah negara membina tamadun dan peradabannya.
Untuk mengisi kemerdekaan, rakyat dan pemimpin harus memahami nilai kemerdekaan
itu sendiri. Namun apa yang berlaku hari ini, terdapat segelintir pihak dalam masyarakat
yang terlalu terikut-ikut dengan globalisasi terutama isu berkaitan hak asasi yang boleh
memberi kesan baik dan buruk.

Konsep hak asasi harus difahami dengan menggunakan neraca yang tepat sekiranya kita
mahu menjaga dan mengekalkan serta mengisi kemerdekaan yang ada. Ia harus
menggunakan piawaian dan standard pembangunan serta perkembangannya mengikut
acuan kita sendiri dan bukan mengikut peradaban lain. Walau apapun perubahan falsafah,
ideologi hak asasi itu, namun tidak boleh meninggalkan perkara-perkara yang boleh
menjamin dan menjaga kelangsungan peradaban dan tamadun yang dibina. Selama mana
kita mahu menjaga kemerdekaan ini, selama itu jugalah adanya sekatan-sekatan tertentu
terhadap hak asasi. Had ini harus diletakkan dalam budaya dan adat sopan kita seperti
hormat menghormati antara satu sama lain serta menghormati agama yang menjadi ciri-
ciri terpenting.

KEMATANGAN DAN JATI DIRI

Jati diri harus dibina atas warna dan cat yang kita berikan kepada demokrasi dengan
mengambil keadaan diri kita sendiri. Jika mahu mengambil hak asasi dari negara lain, ia
harus dilihat bagaimana ia boleh disesuaikan dengan keadaan di negara ini. British sendiri
tidak pernah memaksa Malaysia menggunakan undang-undang mereka. Ketika itu British
meletakkan syarat, undang-undang itu hanya diterima sekiranya ia bersesuaian dengan
keadaan masyarakat di negara ini. Jelas di sini walaupun British itu penjajah, namun
mereka menghormati pandangan dan keadaan masyarakat di Tanah Melayu ketika itu.
Sekarang ramai yang berhujah perlu ikut arus permodenan hak asasi dengan mengikut
apa yang ada di barat. Kita tanya semula adakah ia bersesuaian dengan keadaan budaya
dan masyarakat di sini?

Di sinilah perlunya kekentalan jiwa masyarakat Malaysia untuk menghadapi dan


memerangi apa yang tidak sesuai kerana sedia maklum, perkembangan di luar tidak dapat
dihindari kerana ia adalah lumrah alam. Kematangan dan jati diri penting kerana dapat
menjaga maruah, harga diri negara dan bangsa supaya tidak mudah dipengaruhi elemen-
elemen luar. Dalam peperangan memerlukan senjata sebagai benteng dan perisai. Ia boleh
diumpamakan jati diri kita. Jika kita tidak mampu menyediakan perisai itu, hanya
undang-undang sahaja yang boleh membantu memastikan keselamatan terus terjamin.

PENTINGNYA AGAMA

Hakikat yang terpaksa diterima, setelah 56 tahun merdeka, kita masih lagi dalam
persimpangan dan tercari-cari untuk membentuk jati diri. Kekuatan agama dan bangsa
sebenarnya telah menjadi asas jati diri yang dipegang sejak dulu. Bangsa Malaysia akan
lemah dan lumpuh jika tidak berpegang kepada kedua-dua ini. Jika paksi ini tidak dituruti
dan mahu mengambil nilai orang lain kerana tuntutan globalisasi, pasti kita tidak akan
berjaya mengisi kemerdekaan itu.

Pentingnya agama kerana tidak ada agama di dunia ini mengajar ke arah keburukan dan
perpecahan. Malah kejayaan Malaysia, sebagai sebuah negara yang kecil menjadi maju
dan makmur seperti hari ini adalah kerana pegangan agama yang masih kukuh yang
menjadi benteng keutuhan bangsa. Tempoh lebih 50 tahun merdeka, bukanlah tempoh
yang terlalu panjang. Jika kita bandingkan dengan Amerika yang mencapai kemerdekaan
lebih 200 tahun. Kita kini baru sampai suku atau 1/4 dan jika dibandingkan kemajuan
yang kita capai kini, mungkin kita lebih cepat lagi daripada Amerika. Semuanya kerana
kita mempunyai asas agama yang mengajak kita untuk hormat menghormati. Malah jika
semua rakyat tidak kira agama menghayati agama masing-masing, walau 10 bangsa
sekalipun hidup di dalam negara ini, kita tidak akan bersengketa. Hal ini kerana emosi
dan perasaan dikawal oleh agama yang boleh meredakan persengketaan serta
menifestasikan cinta dan kasih kepada negara dengan menjaga kemerdekaan yang ada.

UNDANG-UNDANG SEBAGAI PERISAI

Rakyat sesebuah negara yang masih belum matang dari segi jati diri, emosi dan
pemikirannya hanya akan menggunakan sentimen apabila membangkitkan soal
demokrasi, kebebasan bersuara atau hak asasi. Ini menyebabkan kadangkala kebebasan
dan hak asasi disalahgunakan secara emosi hingga menimbulkan kegelisahan dan
ketegangan rakyat yang boleh membawa kehancuran kepada sesebuah negara. Apabila
perisai dalam kalangan rakyat masih belum kukuh, hanya sistem perundangan yang
mantap sahaja dapat menjaga rakyat dan menjadi mekanisme untuk mengekalkan dan
mengisi kemerdekaan.

Mengambil contoh Akta Hasutan yang diperkenalkan bagi mengekang kegiatan komunis
yang mengancam keselamatan negara pada tahun 1948. Sumbangan Akta Hasutan sangat
jelas bagi menjaga keharmonian kaum, agama, insitusi raja-raja yang membolehkan kita
hidup dalam keadaan aman damai seperti hari ini, katanya yang berharap penelitian rapi
dilakukan kerajaan sebelum menggantikannya. Setiap individu itu harus menjaga diri
mereka melalui agama, nilai-nilai budaya yang ada. Namun jika rakyat tidak mampu
menjaganya, maka undang-undang dan penguatkuasaan sahaja yang boleh mengekang
kebebasan melampau. Janganlah bangsa Malaysia menunggu sehingga berlaku detik
sukar untuk menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat kerana cabaran berterusan
terus berlaku terutama penghinaan rakyat, liberalisasi, tuntutan kesamarataan yang boleh
mencabar hubungan kaum dan agama di negara ini.

Tegasnya, Malaysia masih belum mampu untuk membuang semua undang-undang yang
boleh menjaga keharmonian kaum yang dikatakan menyekat hak asasi manusia. Sentimen
bangsa yang ada di Malaysia berbeza dengan apa yang ada di barat. Bangsa barat sudah
berkurangan nilai dari segi moral, namun kita di sini lagi kekal dan kukuh. Lantaran itu,
undang-undang yang ketat perlu bagi menjadi semangat dan roh yang boleh menjaga
keamanan kita di dunia dan akhirat.
Biodiversiti

Biodiversiti merupakan sistem


sokongan hidupan antara satu
sama lain. Ia merangkumi
semua hidupan termasuklah
tumbuh-tumbuhan, haiwan
(invertebrata dan vertebrata),
bakteria, kulat dan serangga.
Kepelbagaian biologi atau
biodiversity didefinisikan
sebagai keanekaan antara organisma hidup dari pelbagai sumber dari daratan
mahupun samudera dan lain-lain yang melangkau ekosistem akuatik dan
sebahagian daripada ekosistem yang kompleks termasuk di dalam kelompok spesis
dan antara sepsis dan ekosistemnya. Dianggarkan jumlah bilangan spesies yang
hidup di muka bumi ini melebihi 100 juta.

KEPENTINGAN
1. Pengekalan kitar hidrologi
Hidupan semula jadi berfungsi sebagai penyerapan air. Tumbuhan hijau menyerap air dari
tanah dan membebaskannya melalui proses transpirasi. Hutan, padang rumput dan tanah
lembab akan menyerap air apabila jumlahnya banyak dan membebaskannya sedikit demi
sedikit bila air bertakung. Ini sekaligus mengawal banjir.

2.Modifikasi iklim
Biodiversiti juga memberi khidmat ekosistem seperti mengatur perjalanan cuaca dan
iklim.
Ia juga menyerap radiasi daripada cahaya matahari dan membebaskan wap. Ia akan
mempengaruhi keadaan iklim dan menyederhanakan suhu. Kestabilan iklim akan berlaku
dengan adanya fungsi oleh kepelbagaian biologi biodiversiti ini.

3.Kawal hakisan tanah


Daun dan sampah hutan boleh menyerap dan mengurangkan impak air hujan. Ini
sekaligus menghalang tanah menjadi pecah. Selain itu,akar berfungsi mengikat
tanahdan membantu menghalang berlakunya hakisan terutamanya di kawasan tanah
tinggi. Manakala tumbuhan, haiwan kecil dan mikroorganisma menyumbang kepada
pembentukan tanah. Di kawasan yang berombak,paya bakau berfungsi mengurangkan
kesan pukulan ketika rebut. Ini bukan sahaja menjaga kontur pantai malah dapat
menyelamatkan harta benda dan nyawa.

4. Selenggara kitar oksigen dan nitrogen


Tumbuhan menghasilkan oksigen untuk pernafasan. Manakala mikrob pula membantu
menambah kesuburan tanah serta penetapan kandungan nitrogen dalam tanah.
Kepelbagaian biodiversity juga boleh menghalang tompokan sebatian nitrogen seperti
unsur-unsur Ammonium dan Nitrat yang boleh mengganggu kesuburan tanah.
B.KEPENTINGAN KEPADA MANUSIA

1. NILAI PERUBATAN
Sebanyak 3000 spesis tumbuhan di dunia ini dikenal pasti berfungsi sebagai anti-kanser.
Kekayaan kepelbagaian biodiversiti menyumbangkan US$8 bilion setahun untuk
menghasilkan ubat-ubatan seperti tumbuhan herba dan gamat. Penyaringan dan
pemprosesan flaura dan fauna menghasilkan pelbagai produk komersial, seperti tongkat
ali (eurycoma longifolia), misai kucing (orthosiphon staminues) dan kacip fatimah
(labisia pumila). Ini dapat memperbaiki tahap kesihatan masyarakat dan meningkatkan
jangka hayat manusia.

2. BEKALKAN BAHAN MENTAH KEPADA MANUSIA


Pemeliharaan biodiversiti membekalkan makanan dan minuman kepada manusia.
Misalnya laut yang terpelihara membekalkan makanan laut yang secukupnya kepada
manusia. Glasier membekalkan air mineral kepada penduduk di sekitarnya. Turut
dibekalkan ialah bahan mentah untuk kegunaan industri seperti minyak, petrol, getah,
fiber, resin, gris, aluminium dan sebagainya.

3. BIODIVERSITI JUGA MENJADI TEMPAT RIADAH.


Seisi keluarga boleh mengadakan aktiviti seperti bersenam dan melihat spesis burung.
Hutan hijau tenpat rekreasi untuk menjamin kesihatan manusia. Keindahan pantai dan
dasar laut mendatangkan ketenangan mental.

4. NILAI INTRINSIK
Kepelbagaian biodiversiti ini
juga mempunyai NILAI
TERSENDIRI dan HAK
UNTUK HIDUP. Setiap benda
hidup tidak kira
haiwan,tumbuhan dan manusia
mempunyai hak asasi masing-
masing. Benda hidup
mempunyai ingatan, emosi dan kesakitan.

MASALAH KEMUSNAHAN BIODOVERSITI

1.Kegiatan manusia yang mengubah dan menghapuskan tempat kediaman mereka.


Banyak aktiviti manusia merosakkan biodiversiti. Akibatnya,banyak spesis yang belum
lagi dikenalpasti telah pupus. Ada antara sepsis ini telah disenaraikan dalam ketegori
spesis terancam. Jika tidak ditangani awal dari sekarang, biodiversiti yang ada sekarang
akan terjejas teruk dan mungkin hilang buat selama-lamanya.

2. Pengeksploitasian hutan tropika.


Contohnya kemunculan pelancong berasaskan alam semula jadi atau eko-pelancongan
mendatangkan hasil kepada negara membangun. Namun jika tidak dilaksanakan dengan
teratur boleh menyebabkan kerosakan biodiversity. Kemusnahan habitat akibat penukaran
tanah untuk pertanian, perlombongan, penempatan, pembinaan dan sebagainya untuk
tujuan pembangunan juga bakal memusnahkan kekayaan biodiversiti dunia.

3. Perubahan iklim dan bencana alam seperti tanah runtuh, banjir, kemarau, tsunami
(2004) dan sebagainya menyebabkan kemusnahan kepada kepelbagaian biologi daratan
dan akuatik dunia. Kecairan glasier menyebabkan banyak kawasan rendah ditenggelami
air dan banjir lebih kerap berlaku.

4. Penggunaan sumber biologi secara tidak lestari dan berlebihan.


Aktiviti pembalakan dan pemburuan yang tidak terkawal menjadi satu agenda kepada
kepupusan kepelbagaian biologi. Tangkapan ikan dengan teknologi canggih
menyebabkan bekalan ikan pupus.

LANGKAH SELAMATKAN BIODIVERSITI

1. Persidangan pengurusan biodiversiti.


Bengkel mengenai biodiversity, bioprospek, pengurusan dan pengawasan eko-
pelancongan dan perlindungan spesis terancam. Tahun Biodiversiti Sedunia 2010
memberikan peluang kepada masyarakat dunia untuk memahami kepentingan peranan
biodiversiti dalam mewujudkan suatu suasana kehidupan yang mampan. Aktiviti yang
terancang lebih tertumpu kepada aspek galakan kepada orang awam untuk mengurangkan
kemusnahan biodiversiti, di samping meningkatkan pemahaman terhadap kepentingan
biodiversiti kepada manusia.
120 negara tentang menandatangani KONVENSION KEPELBAGAIAN BIOLOGIKAL
(CBD). memberikan mekanisma global untuk memastikan pemuliharaan dan penggunaan
mapan bioddiversiti bagi generasi sekarang dan akan datang. Dalam perjanjian
tersebut,Malaysia menjanjikan 50% litupan muka bumi dengan hutan dan pokok selama-
lamanya.

2. Menggalakkan dan memperbanyakkan penubuhan pusat penyelidikan dan


pembangunan (R&D).Contohnya Taman Teknologi Malaysia(TPM) sedang giat
menjalankan kajian terhadap potensi-potensi yang boleh digunakan daripada hasil
khazanah alam Negara. Pusat-Pusat penyelidikan seperti Pusat Biodiversiti Raub
menjalankan kerja-kerja mengutip, memelihara dan menjalankan kerja-kerja kajian
farmakologi sampel, pemprosesan dan penghasilan benih. Pemuliharaan kepelbagaian
biologi dapat dibantu dengan kaedah-kaedah bioteknologi seperti penyelamatan embrio,
perlakuran protoplas, kriopengawetan dan perpustakaan DNA. Bioteknologi juga boleh
digunakan untuk menilai variasi ginetik yang terpendam, iaitu melalui teknik RFLP dan
elektroforesis gel.

3. Mengetatkan kawalan dan menjalankan pemantauan yang lebih telus.Antara teknologi


konservasi biodiversiti yang paling praktikal dan digunakan secara meluas pada masa kini
adalah secara penentuan dan pemantauan menerusi satelit. Aktiviti pembalakan dan
pemburuan haram misalnya perlu dikawal lebih ketat. Begitu juga dengan biodiversiti
akuatik Malaysia yang mempunyai nilai yang tinggi, pengawalan terhadap hidupannya
termasuk terumbu karang perlulah dilakukan dengan lebih mantap supaya tidak
merugikan Negara.
Kepelbagaian biologi yang meliputi keanekaan organisma di peringkat genetik, spesis
dan ekosistem, wajar dianggap sebagai harta pusaka sesebuah negara berdaulat.
Khanazah ini seharusnya dipulihara untuk generasi sekarang dan sebagai warisan
generasi-generasi yang akan datang.

Pendidikan secara formal dan informal merupakan pendekatan yang terbaik dalam
menyedarkan masyarakat betapa pentingnya memelihara kepelbagaian biodiversiti
ini.

Pendidikan Formal
1. Mata pelajaran sains dan biologi
Pengenalan biodiversiti dalam mata pelajaran sains atau biologi, mengenalpasti spesis
haiwan dan tumbuhan, peranannya dalam kehidupan seharian dan kebaikan sesuatu spesis
tersebut kepada manusia.

2. Aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum


Melalui aktiviti seperti mencipta syair, pantun, berpidato, ceramah, kuiz, projek kelas,
penyediaan buku skrap, lukisan, permainan alam sekitar, kajian biodiversiti dan
sebagainya dapat mendekatkan para pelajar kepada kepentingan dan keperluan
biodiversiti dalam bentuk karya, ilustrasi atau objek yang menarik. Ini dapat
menggalakkan para pelajar mempelajari dan menghayati kekayaan biodiversiti di dunia
ini dengan lebih berkesan.

3. Penulisan biodiversiti
Dengan memperbanyakkan pembacaan artikel, jurnal, majalah alam sekitar dan
dokumentari berkaitan dengan biodiversiti mampu menambahkan ilmu pengetahuan kita
dalam usaha memelihara biodiversiti di sekeliling kita. Selain itu dapat memupuk
perasaan kasih sayang dan menghargai kepentingan kepelbagaian biodiversiti di dunia
ini.

Pendidikan Tidak Formal


1. Lawatan luar
Dengan mengadakan sesi lawatan ke kawasan hutan simpan, taman negara, zoo negara,
kawasan hutan bakau, taman burung dan taman herba dapat membantu para pelajar akan
kepentingan fungsi biodiversiti dalam kehidupan seharian. Muzium biodiversiti seperti
muzium siput, muzium hidupan akuatik, muzium spesis pokok dan muzium haiwan dapat
menginsafkan diri kita betapa ruginya kita sekiranya kehilangan spesis-spesis yang
berharga kepada negara akibat daripada kerakusan manusia dalam mengejar arus
pemodenan dengan memusnahkan habitat asal spesis haiwan dan tumbuhan tersebut.

2. Aktiviti biodiversiti
Aktiviti seperti menanam pokok, penanaman semula pokok seperti pokok api-api dan
perepat, pokok kayu jati, merbau dan sebagainya dapat mengembalikan semula kitaran
biodiversiti.

3. Program kesedaran
Program-program kesedaran seperti aktiviti mengutip sampah sarap di kawasan persisiran
pantai dan hutan simpan, mengitar semula barangan terpakai seperti botol plastik, kaca
dan suratkhabar, menjalankan aktiviti pembersihan sungai dan pelbagai lagi aktiviti
kesedaran mampu menarik masyarakat di negara ini untuk bersama-sama memelihara dan
memulihara biodiversity dan alam sekitar dengan lebih berkesan.

CONTOH KARANGAN TERBAIK PELAJAR SMAKASAS (PEPERIKSAAN PERCUBAAN


SPM 2013)
Karangan Berpandu diubahsuai daripada karangan Hasilan Nurul Ashikin bt. Abdullah
( Tingkatan 5 Ibnu Haitham) Pelajar Tingkatan 5 Wajib Menyalin Karangan Di
bawah.
Huraikan pendapat anda tentang cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat. Panjang
karangan anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor
kesihatan masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak
berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia. Semakin hari, masalah wabak
pelbagai penyakit semakin menjalar dalam kalangan masyarakat tanpa mengira usia tua
atau muda. Jika dahulu masalah darah tinggi dan kencing manis merupakan penyakit
yang sering dihadapi oleh golongan tua tetapi pada hari ini golongan kanak-kanak juga
sering dihantui penyakit berkenaan. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011, angka pesakit yang menghadapi
masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200 000 orang pesakit melebihi bilangan
pesakit pada tahun sebelumnya. Sebenarnya masalah kesihatan masyarakat mampu
diatasi dengan pelbagai cara terutamanya dengan kemudahan prasarana berkaitan
kesihatan semakin banyak disediakan oleh pihak kerajaan. Klinik desa, Klinik 1
Malaysia, Hospital Desa, Hospital Besar merupakan tempat masyarakat mendapat
kemudahan rawatan kesihatan. Persoalannya, mengapakah kadar pertambahan bilangan
pesakit yang tidak mengenal usia berlaku pada zaman sekarang? Bak kata pepatah, setiap
penyakit ada ubatnya, setiap masalah pasti ada jalan keluarnya. Salah satu daripadanya
adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat sebagaimana yang disarankan oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagaimanakah caranya untuk kita mengamalkan gaya
hidup sihat?

Mari kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di
bawah kata kunci pengambilan makanan seimbang. Kebanyakan rakyat Malaysia
mengganggap pengambilan makanan seimbang ialah diet. Sebenarnya, tanggapan
masyarakat mengenai perkara tersebut adalah salah sama sekali.Hal ini kerana
pengambilan makanan seimbang bermaksud pengambilan makanan oleh seseorang
individu yang mengandungi semua nutrien dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan
secara seimbang. Jika kita merujuk piramid makanan, pembahagian pemakanan terbahagi
kepada beberapa bahagian mengikut keperluan makanan berdasarkan seorang manusia
normal. Bahagian bawah piramid makanan merupakan kumpulan makanan mengandungi
karbohidrat, diikuti dengan kumpulan makanan yang mengandungi vitamin, mineral, dan
serat, seterusnya kumpulan makanan yang mengandungi protin, dan terakhir bahagian
atas ialah kumpulan makanan mengandungi lemak. Piramid makanan juga merupakan
panduan kepada pengguna dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak di
bahagian atas sekali, seperti lemak dan gula,. Oleh sebab itu, makanan berlemak hanya
perlu kita ambil dalam kuantiti sedikit. Berbanding kandungan karbohidrat perlu diambil
dalam kuantiti yang banyak kerana makanan seperti ini membekalkan kita tenaga untuk
menjalani kehidupan seharian, contohnya nasi, roti, dan bijirin. Seorang ahli falsafah
Yunani iaitu Socrates berkata " Aku makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan."
Tegasnya, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan
seimbang setiap hari.

Seterusnya, mari kita lebarkan lensa perbincangan dengan memperkatakan gaya


hidup sihat iaitu menjalankan aktiviti rekreasi. Sebagai mana yang kita sedia maklum,
kegiatan rekreasi merupakan aktiviti yang berfaedah terutama untuk mengisi masa
senggang, merehatkan minda dan mengelakkan stress, selain menyehatkan badan. Pada
abad milenium ini, banyak tempat rekreasi, sama ada bertemakan air, alam sekitar dan
sebagainya. Dengan adanya pusat rekreasi, anak muda atau remaja boleh menyertai
aktiviti berkenaan dengan mandaftar diri dan menyertai program yang dianjurkan seperti
kursus berkayak, mendaki gunung, , menyelam, "jungle tracking" dan sebagainya.
Bagaimana kegiatan rekreasi ini dapat menyihatkan tubuh badan? Aktiviti rekreasi
merupakan aktiviti mencabar. Sebelum melakukan aktiviti berkenaan, peserta selalunya
diminta untuk melakukan aktiviti regangan agar seluruh sendi dan sistem kardivaskular
kita bersedia terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti berkenaan. Bahkan juga, dengan
adanya aktiviti regangan dan pemanasan badan, kadar pengaliran darah dan pergerakan
jantung akan stabil sebelum peserta melakukan aktiviti yang berat. Selain itu, kelenjar
endokrin dan kelenjar adrenalina akan merembeskan peluh yang mengandungi toksin
untuk disingkirkan daripada badan. Oleh sebab itu, badan kita akan menjadi sihat dan
sukar untuk dijangkiti patogen-patogen penyakit. Kebiasaanya, seorang fasiltator akan
memberi penerangan kepentingan melakukan regangan dan peringatan mengenai
langkah-langkah menjaga keselamatan sepanjang program rekreasi diadakan untuk
mengelak sebarang kemalangan atau kecederaan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau
dan sediakan payung sebelum hujan. Justeru, tahap keselamatan peserta lebih terjamin
semasa melakukan aktiviti lasak tersebut. Hal ini jelas menunjukkan aktiviti berekreasi
merupakan satu cara untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat dalam kehidupan.

Mari kita meneruskan perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama


dalam membicara aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Sebagaimana kita
maklum, remaja tidak lari daripada melakukan aktiviti sukan dalam kehidupan mereka
sejajar dengan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan pelaksanaan
Program 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan pelajar sekurang-kurang menyertai satu
aktiviti sukan di sekolah. Bahkan juga,Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah 10%
syarat kemasukan ke universiti berdasarkan pencapaian pelajar dalam bidang
kokurikulum antaranya sukan permainan. Namun, pelaksanaan program ini belum
mencapai objektifnya kerana sebilangan pelajar masih belum membudayakan diri mereka
untuk bersukan dan penglibatan mereka dalam aktiviti berkenaan hanya sekadar untuk
penyertaan bukan sebagai budaya. Sebenarnya, pucuk pangkal permasalahan berkenaan
terus berlaku akibat masyarakat masih belum mengetahui akan manfaat dan kepentingan
sukan dalam kehidupan mereka. Dengan bersukan, masyarakat akan mendapat manfaat
iaitu selain menyihatkan badan, mereka juga akan dapat mencergaskan minda mereka.
Hal ini kerana ketika bersukan oksigen akan diserapkan ke dalam badan dengan lebih
cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan menjalankan proses respirasi, disamping
aliran oksigen ke otak akan lebih aktif. Secara langsung neuron-neuron otak juga akan
bersambung dan badan akan menerima cas-cas positif yang berfungsi untuk menyihatkan
badan dan mencerdaskan otak. Kebaikannya kepada pelajar, mereka tidak akan mudah
mengantuk semasa berada di dalam kelas dan sudah pasti proses pengajaran dan
pembelajaran akan lebih bermakna. Pepatah Arab ada mengatakan bahawa minda cerdas
lahir daripada badan yang sihat. Justeru, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat
dengan melakukan aktiviti bersukan.

Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemeriksaan dan rawatan
kesihatan adalah penting dalam memastikan tahap kesihatan kita sentiasa berada di
bawah paras bahaya. Masyarakat Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan terutamanya
di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia amat mengambil berat dalam
menyediakan prasarana dan kemudahan kesihataperkhidmatan bertaraf dunia. Hal ini
boleh kita lihat di setiap pelusuk negara terdapat pusat rawatan sama ada klinik desa,
Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa dan Hospital Besar sentiasa terbuka untuk dikunjungi
oleh rakyat yang sedar akan kepentingan kesihatan mereka. Bahkan juga, pengamal
perubatan yang sedia merawat pesakit adalah lepasan universiti dikerah berkhidmat di
pusat rawatan daerah, dan negeri agar setiap masyarakat mudah untuk mendapat
perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Berbading suatu ketika dahulu, pesakit yang
memerlukan rawatan daripada seorang doktor hanya boleh mendapat perkhidmatan
mereka di hospital desa atau hospital besar. Rawatan kesihatan amat penting supaya
setiap warganegara akan tahu tahap dan darjah kesihatan mereka dari semasa ke semasa.
Apabila kita melakukan rawatan kesihatan secara berskala sekurang-kurangnya tiga bulan
sekali perkembangan kesihatan kita boleh dipantau oleh pengamal perubatan atau doktor
dengan sebaik-baiknya. Natijahnya cukup positif kerana pengesanan penyakit secara awal
akan memudahkan mereka mendapat rawatan yang sepatutnya. Secara langsung
pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa kerana kadang kala penyakit menyerang
tanpa disedari terutama penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kecing manis dan
serangan jantung. Contohnya, sekiranya pesakit mengalami penyakit kencing manis para
doktor berpengalaman akan menasihatkan pesakit mengawal kaedah pemakanan yang
sesuai dan sekiranya pesakit mengalamai masalah diabetis yang kronik suntikan insulin
akan dilakukan untuk mengawal paras gula dalam badan. Pepatah ada menyebut "
mencegah lebih baik daripada merawat." Tegasnya mendapat pemeriksaan dan rawatan
kesihatan adalah sangat penting dalam memastikan tahap kesihatan masyarakat dalam
keadaan baik.

Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat merupakan inisiatif kita sendiri. Jika
kita inginkan kesihatan kita sentiasa sihat, kita perlulah melibatkan diri dengan
melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh badan kita seperti pengambilan
makanan seimbang, melakukan aktiviti rekreasi, menyertai aktiviti sukan dan
mendapatkan rawatan kesihatan secara sempurna. Oleh itu, untuk menyokong kerajaan
dalam merealisasikan Wawasan 2020, kita perlulah memastikan tahap kesihatan kita
dalam keadaan terbaik kerana pekerja, pentadbir, dan pemimpin yang sihat jasmani,
rohani, emosi dan inteleknya sahaja yang akan dapat membantu menggapai cita-cita
pemimpin untuk memastikan Malaysia mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri
sama tinggi dengan negara maju yang lain. Justeru, kesihatan merupakan aset paling
penting sebagai warganegara Malaysia kerana bak kata pepatah, kesihatan itu lebih
penting daripada wang ringgit yang

Rasuah

RASUAH lebih bersifat abstrak dan kerana itu Bidang Keberhasilan Utama Negara
(NKRA) menentang rasuah di bawah Jabatan Perdana Menteri lebih sukar untuk diberi
penilaian berbanding lima cabang NKRA yang lain.Untuk itu, NKRA ini menumpukan
perhatian dalam mengubah persepsi umum terhadap agensi penguat kuasa, pemerolehan
kerajaan dan hukuman individu berprofil tinggi.

Persepsi rendah didapati membelenggu empat agensi penyelaras dan penguat kuasa iaitu
polis, kastam, imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dianggap paling
banyak terlibat dengan rasuah.
Empat agensi itu juga mempunyai jumlah kes rasuah tertinggi di bawah siasatan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan skor tanggapan integriti paling
rendah di kalangan orang ramai dan komuniti perniagaan.

Persepsi sama turut dilemparkan terhadap amalan pemerolehan kerajaan sementara


individu berprofil tinggi dianggap terlepas hukuman yang banyak kepada ikan bilis dan
bukannya jerung.

Bagi mengatasi persepsi itu, NKRA ini mengambil inisiatif mengukuhkan langkah
pencegahan rasuah serta penguatkuasaan lebih berkesan terhadap penjawat awam melalui
penambahbaikan penyampaian sistem perundangan kes rasuah.

Ia akan dibantu melalui penubuhan unit pematuhan di semua badan penyelaras dan
agensi penguat kuasa termasuk juga SPRM. Untuk pemerolehan kerajaan, ketirisan dana
awam akan dikurangkan melalui penekanan terhadap ketelusan dan
kebertanggungjawapan lebih tinggi dalam pemberian dan pelaksaan kontrak, panduan
menguruskan surat sokongan dan pendedahan maklumat kontrak kepada umum.
Untuk meningkatkan kembali keyakinan rakyat terhadap agensi penguat kuasa, peluang
menyalah guna kuasa di kalangan kakitangan agensi terbabit dikurangkan sementara
pendakwaan kes rasuah dipercepatkan supaya selesai dalam tempoh satu tahun.
Inisiatif lain di bawah NKRA ini termasuk hukuman lebih berat untuk pemberi dan
penerima rasuah, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, pangkalan data awam
memaparkan maklumat pesalah yang disabitkan jenayah rasuah dan Pakatan Integriti (IP)
supaya pemerolehan kerajaan bebas aktiviti rasuah.

Usaha juga akan dijalankan untuk mengukuhkan keberkesanan institusi penting seperti
Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Pejabat Ketua Juruaudit dan SPRM melalui
peningkatan kebebasan (autonomi).
Antara kejayaan paling menyerlah NKRA ini adalah Akta Perlindungan Pemberi
Maklumat 2010 yang digazetkan pada 10 Jun 2010 berkuat kuasa sejak 15 Disember
2010 untuk melindungi identiti pemberi maklumat, imuniti daripada liabiliti sivil atau
jenayah serta perlindungan daripada sebarang tindak balas.

Nama 284 pesalah jenayah rasuah turut didedahkan dalam pangkalan data SPRM
berbanding sasaran awal 84 pesalah selepas dilancarkan pada 4 Mac 2010, mendedahkan
nama, gambar, nombor MyKad dan butiran kes individu yang disabitkan kesalahan bagi
mewujudkan stigma terhadap amalan rasuah.

Lebih 3,500 tender dan kontrak kerajaan juga disenarai melalui portal MyProcurement
untuk mencerminkan komitmen kerajaan terhadap ketelusan. Kegagalan mencapai
sasaran Indeks Persepsi Rasuah pada 2010 dikaitkan dengan tempoh tinjauan dibuat pada
2009 iaitu sebelum beberapa inisiatif NKRA ini dilaksanakan.

Bagaimanapun, Barometer Rasuah Global menunjukkan persepsi rakyat menganggap


tindakan kerajaan berkesan dalam menentang rasuah yang jatuh dari 53 peratus pada
2007 kepada 28 peratus pada 2009, kembali melonjak kepada 48 peratus pada tahun lalu.
Selain itu, perbicaraan kes rasuah kini dipercepatkan melalui 14 sesi khas mahkamah dan
empat Mahkamah Tinggi khas untuk Rasuah di samping menambah baik Kanun Acara
Jenayah (CPC).

Kamera litar tertutup (CCTV) juga digunakan di tempat pemeriksaan panas kastam serta
imigresen, sementara kakitangan yang memegang jawatan panas dipindahkan secara
berkala seperti setiap tiga tahun untuk kakitangan kastam.

Maklum balas Jawatankuasa Antarabangsa Penilaian Prestasi (IPR) untuk NKRA


memperakui usaha kerajaan menentang gejala rasuah serta meningkatkan
kebertanggungjawapan dan ketelusan dengan pujian atas penubuhan SPRM, inisiatif
mendedahkan pemerolehan, melindungi pemberi maklumat serta penggunaan IP.

Beberapa langkah tambahan turut dicadangkan seperti mengharamkan surat sokongan,


ketua pemeriksa di semua agensi kerajaan melapor terus kepada SPRM dan ketua agensi,
serta pendaftaran semua agen (orang tengah) untuk pembida kontrak.
Presiden Transparency Malaysia, Datuk Paul Low turut menyatakan sokongan terhadap
inisiatif yang dikemuka kerajaan bagi menentang rasuah dan percaya usaha ini membantu
mengubah persepsi rakyat.
Laporan Barometer Rasuah Global untuk Malaysia tahun lalu menunjukkan perubahan
drastik pandangan umum terhadap usaha kerajaan menentang rasuah berbanding tahun
sebelumnya.
Berbanding 28 peratus pada 2009, 48 peratus rakyat Malaysia beranggapan usaha
berkesan dalam menentang rasuah pada 2010 iaitu melangkaui sasaran awal 37 peratus,
jelasnya.

Laporan barometer 2010 itu turut menunjukkan penurunan mendadak golongan yang
menganggap usaha kerajaan tidak berkesan bagi menentang rasuah dari 67 peratus pada
2009 kepada hanya 20 peratus tahun lalu.

Untuk 2011, beberapa Sasaran Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) baru telah
ditetapkan sementara beberapa sasaran lama dimansuhkan berikutan maklumat yang
diperoleh kurang memberi kesan kepada NKRA ini.

Antara NKPI baru itu adalah merekodkan IP Kementerian Kewangan dengan ikrar
integriti sektor swasta serta tinjauan persepsi tempatan yang mencerminkan Barometer
Rasuah Global

Peranan antarabagsa Malaysia

KEJAYAAN peranan antarabangsa Malaysia pada hari ini ialah usahanya dalam konteks
penyelesaian konflik serantau dan antarabangsa semasa. Sebagai sebuah negara yang
cintakan keamanan dan keselamatan sejagat, Malaysia sangat perihatin terhadap pelbagai
isu dan konflik yang boleh menjejaskan keamanan negara, serantau dan antarabangsa.
Malaysia telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa strategi pengurusan konflik
secara aman telah berjaya membantunya menghapuskan ancaman komunis dalam negara.

Di peringkat serantau, Malaysia telah bekerjasama dengan negara-negara yang berjiran


dengannya serta menggunakan platform ASEAN bagi menguruskan pelbagai konflik
yang berlaku di sekitar sempadannya. Selepas beberapa tahun, usaha diplomasi Malaysia
ini telah terbukti berjaya.

Sebagai contoh, peranan Malaysia dalam mengurus dan menyelesaikan konflik di Pulau
Mindanao, selatan Filipina telah mendapat pujian daripada banyak pihak, pemerhati
antarabangsa serta PBB. Misi diplomasi Malaysia di Pulau Mindanao berakhir dengan
termeterainya proses damai antara Bangsamoro dengan kerajaan Filipina.
Berikutan dengan kejayaan ini, Malaysia sedang cuba menjual peranan diplomasiya
kepada beberapa buah negara lain yang sedang menghadapi masalah yang sedemikian
rupa seperti Myanmar (isu Rohinya) dan Thailand (isu selatan Thai). Yang terkini,
Malaysia sedang berusaha sedaya upaya untuk menjadi perunding damai di antara
Hamas dan Fatah di Palestin. Sesungguhnya, penglibatan Malaysia pasti menjadi
pembakar semangat kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam sejagat untuk terus
berjuang bagi membantu rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis Israel.

Pun begitu, apa yang telah dicapai oleh Malaysia sekarang sebenarnya hanya satu
permulaan kepada satu episod baru dalam kancah dunia politik antarabangsa era
globalisasi. Apatah lagi, bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia yang ingin mencapai
status sebagai sebuah negara kuasa pertengahan (middle power state), cabaran yang
bakal dihadapinya mulai daripada sekarang dan akan datang adalah semakin mencabar
dan berliku.

Negara kuasa pertengahan ialah satu konsep yang merujuk kepada status sesebuah
negara yang bukan besar dan bukan kecil tetapi boleh berdikari serta mampu
memberikan impak penting dalam konteks politik antarabangsa. Malaysia, pada ketika ini
sedang mempersiapkan dirinya menjadi sebuah negara kuasa pertengahan.

Sememangnya, usaha dan peranan antarabangsa Malaysia khasnya dalam menyokong


idea PBB bagi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat menerusi
pendekatan penyelesaian konflik secara aman dan tindakan multilateralisme yang dijana
menerusi platform PBB telah memperlihatkan tindakan dasar luar Malaysia sebagai bakal
sebuah negara kuasa pertengahan.

Dan sekiranya status ini berjaya dicapai oleh Malaysia, ia bakal meletakkan negara ini
sebaris dengan negara-negara kuasa pertengahan yang tersohor pada ketika ini seperti
Kanada, Brazil, India, Korea Selatan, dan Jepun.

Pendekatan usaha yang dianjurkan oleh Malaysia dalam konteks penyelesaian konflik
antarabangsa sememangnya merupakan satu pendekatan yang baik dan bijaksana. Banyak
negara dunia telah menyambut baik pendekatan ini kerana ia bersifat sangat universal.
Jikalau melihat kepada logik akal, tiada siapa pun mahu melihat kemusnahan dan
kematian.

Ramai yang pasti bersetuju sekiranya semua konflik dan krisis antarabangsa dapat di
selesaikan secara aman tanpa melibatkan kemusnahan dan pertumpahan darah. Tetapi
persoalannya, apakah semua pihak yang sedang berkonflik termasuk pihak-pihak tertentu
yang berkepentingan serta negara-negara kuasa besar dunia benar-benar bersetuju dengan
pendekatan ini?
Dalam hal yang sebegini, bersikap positif dan berbaik sangka adalah sesuatu yang sangat
dialu-alukan. Tetapi kalau disingkap sejarah silam politik antarabangsa, kita akan dapati
keadaan sebaliknya sedang berlaku dan ia sangat mengecewakan.

Realitinya, dalam konteks pengurusan dan penyelesaian konflik antarabangsa, negara-


negara kuasa besar dunia pada hari ini lebih menyukai pendekatan secara kekerasan
daripada pendekatan secara aman. Mereka lebih cenderung kepada peperangan yang
sudah pasti membawa kepada kemusnahan dunia dan kematian manusia yang tidak
berdosa.

Andaian ini boleh disokong dengan beberapa fakta yang sangat menarik untuk difikirkan
bersama, sebagai contoh:

(i) Perubahan peranan misi pengaman antarabangsa daripada hanya misi pengaman
kepada misi campur tangan ketenteraan (military intervention).

(ii) Peningkatan krisis dan konflik antarabangsa di negara-negara yang menolak


demokrasi.

(iii) Peningkatan jumlah misi pengaman antarabangsa sama ada di bawah seliaan PBB
dan agensi bukan PBB (seperti NATO, EU dan pertubuhan-pertubuhan serantau).

(iv) Peningkatan jumlah pengeluaran dan penjualan senjata oleh negara-negara kuasa
besar dunia.

(v) Peningkatan jumlah pembelian senjata oleh negara-negara membangun dan miskin
seperti di Afrika, Asia dan Amerika Selatan.

(vi) Sokongan kuat sama ada oleh PBB dan negara-negara kuasa besar dunia terhadap
usaha campur tangan asing dalam konflik di negara-negara membangun (seperti di Iraq,
Afghanistan, Syria dan yang terkini di Mali).

PBB, sebagai badan antarabangsa yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan
tadbir-urus dunia sejagat (global governance) pula semakin hari semakin hilang
taringnya. Hari ini, banyak usaha misi pengaman antarabangsa yang sebelum ini
diterajui oleh PBB telah diswastakan kepada agensi bukan PBB yang jelas sekali
mempunyai pelbagai kepentingan yang terselindung.

Misi pengaman antarabangsa pada hari ini telah hilang sifat collective security dan
multilateralismenya. Ia tidak ubah seperti misi untuk mempertahankan kepentingan
nasional negara-negara tertentu dan berkepentingan di PBB.
Lihatlah apa yang telah berlaku kepada misi-misi pengaman antarabangsa di beberapa
buah negara seperti Bosnia, Somalia dan Rwanda. Ia adalah antara contoh misi-misi
pengaman yang gagal sementara krisis di beberapa buah negara lain seperti di Palestin
dibiarkan berlarutan.

Semoga Malaysia berjaya menjadi sebuah negara contoh yang gigih berusaha dengan
segala kemampuan yang ada demi memastikan keamanan dan keselamatan dunia sejagat
terpelihara daripada ancaman negara atau pihak yang berkepentingan ini.

Peranan Kita dalam Usaha Mengantarabangsakan Bahasa Melayu


PERENGGAN ISI:
Sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah ingat bahawa orang lain, iaitu bangsa
lain tidak akan menyebarkan bahasa Melayu ke seantero dunia, kecuali kita.
Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah mempunyai iltizam untuk
menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa terpenting pada suatu
hari nanti. Oleh itu, langkah yang pertama ialah kita perlulah memastikan
bahawa bahasa Melayu mestilah diterima di tanah air sendiri. Jika bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi di negara kita
ditolak oleh sebilangan besar rakyat di negara kita, bagaimanakah penduduk
dunia mahu menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kedua mereka? Oleh
hal yang demikian, kita mestilah menyokong segala usaha yang bertujuan
meningkatkan atau memartabatkan bahasa Melayu di negara sendiri.
Selain itu, kita juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui
peranan kita sebagai duta kecil ketika berada di luar negara. Sama ada kita
sebagai pelajar, pelancong, atau pekerja, kita mestilah sentiasa berusaha
untuk menyebarluaskan bahasa Melayu dengan pelbagai cara. Ketika berada
di luar negara, apalah salahnya jika kita mengajar rakan kita dari negara lain
untuk mempelajari bahasa Melayu. Untuk menarik perhatian mereka, kita
juga mestilah bersedia untuk mempelajari bahasa mereka. Jika kita bersedia
untuk mempelajari bahasa mereka, mereka juga pasti bersedia untuk
mempelajari bahasa kita.
Seterusnya, kita hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu
melalui pejabat kedutaannegara kita di luar negara. Di seluruh dunia,
terdapat 104 buah kedutaan Malaysia yang mampu memainkan peranannya
untuk menyebarluaskan bahasa Melayu. Melalui kedutaan tersebut, kita
hendaklah mengetengahkan bahasa Melayu di negara-negara asing dalam
pelbagai acara atau majlis. Melalui usaha ini, bahasa Melayu akan lebih
dikenali, dipelajari, dihayati dan seterusnya dihormati oleh warga dunia.
Pepatah Melayu mengatakan,"tak kenal maka tak cinta". Sebagai rakyat yang
mempunyai semangat `bahasa jiwa bangsa, kita hendaklah mempunyai
iltizam atau kesungguhan untuk mempromosikan bahasa Melayu walau di
mana-mana jua kita berada.
Dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini pula, rakyat Malaysia
mestilah memanfaatkan penggunaan Internet. Mereka yang pakar dalam
bidang ini seperti ahli akademik, pakar bahasa dan sebagainya hendaklah
menyebarluaskan bahasa Melayu melalui laman web atau blog bagi
membolehkan masyarakat dunia untuk mendekati dan mempelajari bahasa
Melayu. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan masyarakat di duni mencari
dan memperoleh maklumat melalui Internet. Oleh itu, kita mesti;ah
mengambil kesempatan ini untuk mempromosikan bahasa Melayu. Oleh
sebab Internet merupakan medium yang paling murah, mudah dan cepat
untuk menyebarkan maklumat, kita mestilah mengeksploitasikan kelebihan
ini untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu ke seantero dunia.
Bukan itu sahaja, kita juga hendaklah mengantarabangsakan bahasa Melayu
melalui filem. Jika penerbit filem di negara kita mampu menghasilkan filem
yang bermutu, sudah pasti masyarakat antarabangsa akan menerima filem
kita. Apabila mereka menerima filem kita, hal ini akan memberikan peluang
kepada mereka untuk mendalami dan mempelajari bahasa dan budaya
Melayu. Namun, masalah yang kita hadapi ialah penerbit filem negara kita
masih belum mampu menghasilkan filem yang bertaraf antarabangsa seperti
filem yang dihasilkan oleh negara Hongkong, Jepun, Korea , Bollywood, dan
sebagainya Jadi, jika kita mahu menggunakan filem sebagai satu cara untuk
menyebarluaskan bahasa Melayu, kita mestilah memartabatkan dan
mengantarabangsakan filem Melayu juga

Langkah-langkah untuk Menggalakkan Orang Ramai Menggunakan


Pengangkutan Awam
Zaman beralih, musim bertukar, selepas tamat penjajahan asing selama
446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan
kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan diri dalam
mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami
pelbagai anjakan paradigma, kerajaan telah berusaha menyediakan
prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam
berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh
dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan
(LRT), Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan monorel. Jikalau bukan kita yang
sebagai warganegara Malaysia menyokong pengangkutan awam, siapakah
lagi menyokong? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik
hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan
pengangkutan awam.

Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat
mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan
rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat
mereka untuk bergerak dari tempat asal ke tempat destinasi dengan
penukaran rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah
melaksanakan sistem tiket bersepadu yang dapat menggalakkan orang ramai
untuk menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah menubuhkan
sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan
pengangkutan di negara kita. Pertubuhan tersebut dapat mempercepat
proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam peringkat
kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh negara barat seperti
Melbourne, di negara Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket
untuk menaiki kereta api dan bas. Seperti kata peribahasa serampang dua
mata, pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang tetapi juga
dapat memudahkan rakyat untuk mengatur pejalanan laluan. Jikalau sistem
tiket bersepadu direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai
sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali.

Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki


pengangkutan awam adalah dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti
pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah
dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, KTM negara kita
haruslah mencontohi perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan
kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train). Dengan menggunakan
lokomotif kuasa elektrik, kekerapan KTM di negara kita pasti dapat
meningkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah salah satu unsur
untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu
kereta atau menunggang motosikal. Dengan kekerapan pengangkutan yang
tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk menunggu komuter.
Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan keseluruhan. Dalam era
globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam kekerapan
pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan
menyebabkan mereka kurang keyakinan terhadap pengakutan awam.
Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk mendapat balik keyakinan
rakyat terhadap pengangkutan awam.

Langkah memasang televisyen dalam bas awam yang dijalankan oleh


kerajaan mendapat banyak komen yang baik dan diberi pujian kerana
langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para
penumpang berpeluang untuk menonton siaran televisyen ketika berada
dalam perjalanan mereka. Prakasa ini haruslah diperluaskan dalam
pengangkutan awam seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak
penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para
penumpang ketika dalam perjalanan, siaran televisyen juga mampu
menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan
menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan mengimbas kembali
detik-detik sejarah negara dan sebagainya.Selain rancangan sebegini,
program lain seperti berita, laporan cuaca, perkembangan sukan, maklumat
kewangan juga harus disiarkan supaya rakyat dapat mendapat informasi
yang terbaharu dan meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan mereka.
Hal ini pasti dapat meningkatkan bilangan penumpang pengangkutan awam
kerana langkah ini telah memenuhi tabiat rakyat Malaysia yang ingin
mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan banyaran yang
minimum. Manisfestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat
menarik perhatian para penumpang.

Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari


rebungnya, pendidikan sejak kecil juga merupakan salah satu langkah untuk
menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam. Sekolah
dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan
menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan
pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam
kepada fikiran pelajar supaya menaiki perkhidmatan awam lebih baik
daripada menggunakan kenderaan sendiri. Usaha ini bukan sahaja diberi
kepada pelajar yang kecil, tetapi juga harus diberi kepada mereka yang
dewasa untuk mengubah imej buruk yang mendalam di dalam hati mereka.
Melalui pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan yang bergantung pada
perkhidmatan kereta api sebagai pengangkutan utama mereka.Hal ini dapat
meningkatkan bilangan penumpang yang menaiki pengangkutan awam.
Walaupun mereka memiliki kenderaan sendiri, tetapi mereka tetap akan
menggunakan perkhidmatan awam seperti kereta api sebagai pengangkutan
utama mereka jika konsep kebaikan pengangkutan awam ditanam mendalam
kepada mereka.

Sebenarnya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti


mengurangkan jarak perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi
penghantaran barangan ke sesuatu destinasi dan sebagainya kepada kita.
Akhir kata, pemodenan sistem perhubungan darat merupakan inovasi yang
penting ke arah mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada tahap
yang paling optimum. Lantaran itu, kita harus menyokong usaha-usaha yang
diambil oleh kerajaan dalam meningkatkan penumpang menaiki
pengangkutan awam

USAHA MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG


Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan
ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi
golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan
petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban
kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai
pihak untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena
jimat sebelum habis.

Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah
setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat.
Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat
perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja
sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada
50 atau 60 perataus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui
cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan
seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan
sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan


keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan
keperluan yang sebenarnya. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak
diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga
hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal,
peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan
pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan
sebagainya.

Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang


di pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat
hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu,
iaitu bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah
membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak
munasabah. Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging
tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat


pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana
pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada
pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan
lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual
mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah
darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga
barangan secara sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan,
mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan
mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara
menghadapi kemelut kenaikan harga minyak.

Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak.


Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk
menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah
bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.
Semua rakyat Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki
dan ke lurah sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan
kemelut yang berlaku. Sebagai pengguna pula, kita mestilah memboikot
barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan
dalam situasi genting yang bagai telur di hujung tanduk ini.

KESAN JEREBU
Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah, rakyat Malaysia
telah digemparkan lagi dengan berita Indeks Pencemaran Udara (IPU) di
kawasan Kuala Lumpur yang meningkat secara mendadak akibat berlakunya
jerebu. Keadaan jerebu di Malaysia yang berlaku secara tahunan telah
menjadi suatu kebiasaan bagi penduduk di bandar raya besar tersebut.
Masalah jerebu yang seperti bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan
daun nyiru telah mendapat liputan meluas daripada pihak media massa dan
dalam kalangan rakyat Malaysia. Keadaan jerebu bertambah serius akibat
berlakunya fenomena El-Nino. Persoalannya, apakah faktor dominan
berlakunya jerebu? Adakah pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan
penting dalam mengatasi masalah jerebu ini? Tepuk dada tanyalah selera.
Oleh sebab setiap yang berlaku pasti ada akibatnya, masalah jerebu telah
mendatangkan pelbagai impak yang negatif kepada negara kita dan juga
rakyat kita.
Antara kesan negatif yang disebabkan oleh jerebu ialah kualiti udara negara
kita akan terjejas. Udara negara kita yang segar dan bersih akan dipenuhi
oleh debu dan asap setiap kali jerebu melanda sehinggalah jarak penglihatan
mendatar yang dahulunya sejauh 2 kilometer menjadi 50 meter. Sebagai
contoh, pada bulan Ogos 2005, negara kita dilanda jerebu yang paling teruk
dalam sejarah negara kita, di mana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala
Selangor dan Pelabuhan Klang mencecah lebih 500 buat kali pertama di
Malaysia sehingga darurat diisytiharkan di kedua-dua kawasan tersebut,
justeru segala aktiviti luar tidak dapat dijalankan dan kebanyakan sekolah,
pelabuhan dan kilang ditutup buat sementara. Oleh itu, sudah terang lagi
bersuluhbahawa jelaslah jerebu boleh mendatangkan keburukan terhadap
negara kita.
Jerebu juga boleh menyebabkan masalah kesihatan rakyat. Golongan yang
lebih lemah seperti kanak-kanak dan warga tua mudah jatuh sakit. Hal ini
berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi lemah dan imunisasi
semakin rendah. Penyakit-penyakit selesema dan batuk akan mudah
merebak. Misalnya, pesakit-pesakit asma dan penyakit respiratori mudah
diserang penyakit pernafasan lain. Hal ini berlaku kerana pernafasan mereka
menjadi tidak baik dan ditambah pula udara yang kurang bersih maka
kesihatan mereka akan mudah terancam. Dalam jangka masa yang panjang,
kita juga mungkin akan sakit kerongkong, kegatalan kulit, kemerahan mata
dan sebagainya. Dengan itu, jelaslah bahawa jerebu membawa kesan negatif
kepada kesihatan orang ramai.
Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara
turut terjejasakibat kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap
penglihatan yang rendah menyebabkan aktiviti luar disekat dan industri
perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin keselamatan
dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang
perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif yang lain untuk mencari
pendapatan buat sementara waktu. Apabila masalah jerebu menjadi semakin
meruncing, kesan negatif yang lebih serius akan timbul. Sumber pendapatan
negara turut terancam akibat jerebu. Sumber pendapatan negeri-negeri yang
berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan Sarawak akan merosot
kerana industri pelancongan terjejas akibat jerebu. Para pelancong bukan
sahaja dari dalam negeri malah dari negara asing tidak akan melawat ke
Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku di Malaysia kerana bimbang akan
keselamatan dan kesihatan mereka semasa melancong ke Malaysia. Secara
tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas akibat jerebu.
Jika dilihat dari perspektif lain, masalah jerebu dapat menjejaskan flora dan
fauna di negara kita. Apabila jerebu berlaku, kandungan karbon dioksida
berlipat ganda daripada kandungan yang biasa, sebaliknya kandungan
oksigen akan kurang daripada yang biasa. Hal ini akan menyebabkan
tanaman akan mengambil masa yang lebih lama untuk membesar. Kualiti dan
hasil tanaman juga akan merosot. Hal ini disebabkan oleh proses fotosintesis
yang terjejas akibat kandungan karbon dioksida yang berlebihan. Proses
pernafasan yang melibatkan penyerapan gas oksigen dan pembebasan gas
karbon dioksida ini menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh dengan lebih lama.
Misalnya, pokok balak akan mengambil masa yang lebih panjang untuk
matang. Secara tegasnya, hasil dan kualiti pertanian boleh terjejas sehingga
30 peratus. Sumber petani akan turut terjejas sekali gus ekonomi negara
yang bergantung pada pertanian turut terjejas. Bagi fauna pula, hidupan
akuatik akan terjejas kerana kandungan oksigen yang terlarut dalam air pula
akan berkurang dan hidupan akuatik seperti ikan-ikan tidak akan mendapat
oksigen yang secukupnya. Jelaslah bahawa masalah jerebu akan menjejaskan
flora dan fauna negara.
Intihanya, semua pihak termasuklah rakyat Malaysia haruslah bersinergi dan
berganding bahu dalam menyelesaikan masalah jerebu di Malaysia bagi
mendukung kebenaran yang kita sepakati, persis kata cendekiawan, bagai
aur dengan tebing. Sekiranya masalah ini dipandang enteng, nyawa modal
insan negara kita akan menjadi seperti telur di hujung tanduk. Kebobrokan
sikap anak-anak juga mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging
masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk
mengatasi masalah jerebu dan seterusnya menggapai impian Wawasan
2020. Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak diatasi dengan segera,
lama-kelamaan efek buruknya akan menjadi berpanjangan dan berkekalan
serta sukar untuk diselesaikan dan ketika itu kita akan berasa menyesal
tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi

LANGKAH-LANGKAH MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA

'Bahasa jiwa bangsa', itulah frasa yang paling sesuai untuk


melambangkan signifikan sesuatu bahasa kepada bangsa-bangsa di Malaysia.
Pelbagai polemiktelah dibangkitkan sejak akhir-akhir ini bagi membicarakan
identiti bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan bagi sebuah rumpun
bernama Malaysia. Bahasa Malaysia telah diadaptasikan daripada frasa asal
'Bahasa Melayu' yang disifatkan berjiwa perkauman sekaligus tidak relevan
dengan Gagasan 1 Malaysia. Namun begitu, apakah inisiatif yang perlu
dilaksanakan demi memartabatkan bahasa Malaysia dalam kalangan
masyarakat?

Langkah-langkah yang patut diambil termasuklah menggesa semua


urusan rasmi dan surat-menyurat di semua jabatan
kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda. Mutakhir ini, jabatan-
jabatan kerajaan lebih gemar memilih bahasa Inggeris yang dianggap
berdarjat tinggi berbanding bahasa Malaysia untuk digunakan dalam urusan
syarikat mereka. Sifat nafsi yang menggunung dalam jiwa mereka wajar
diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka persis mengenepikan
sebuah bahasa yang telah mendewasakan pemikiran mereka. Oleh itu, pihak-
pihak ini haruslah menjaga martabat bahasa Malaysia supaya tidak hilang
ditelan zaman.

Selain itu, idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI) juga harus dilupuskan. Sifat dominan bahasa
Inggeris dalam kehidupan kita tidak harus dinafikan, tetapi langkah ini dilihat
berpotensi memadamkan kegemilangan bahasa Malaysia di peringkat lokal.
Jika teras pentarbiahan turut dilaksanakan dalam bahasa asing, tidak
mustahil pada satu era nanti, generasi akan datang tidak mengenali lagi
perkataan 'Melayu'. Ironinya, usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia dan
Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dilihat
sangat proaktif sebagai mangkin yang efektif demi membejat
kemelut bahasa yang sedang dihadapi Malaysia kini.

Sementelahan pula, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan


Tamil juga tidak harus dikerling enteng berikutan perkara tersebut
berkemampuan memperkasakan bahasa Cina dan bahasa Tamil lantas
menjatuhkan darjat bahasa ibunda di sekolah-sekolah berkenaan. Jika dilihat
dari perspektif berbeza, hal ini dapat menimbulkan nafsi perkauman bahkan
tidak sejajar dengan penerapan 1Malaysia dalam kalangan masyarakat.
Maka, polemik ini mungkin tidak dapat mencapai objektif kemenjadian
bahasa sebagai agen perpaduan yang utuh bagi semua rakyat di negara ini.
Tuntasnya, pihak-pihak yang berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) harus berfikir secara kreatif dan kritis demi menaikkan imej bahasa
ibunda secara holistik.

Di samping itu, bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Malaysia dalam


sanubari rakyat rencaman golongan, DBP harus melaksanakan pelbagai
aktiviti yang menggapai minat umum terhadap keindahan bahasa Malaysia.
Aktiviti seperti Sayembara Pidato Antarabangsa anjuran Kementerian
Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan dengan usahasama Radio
Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini dilihat sebagai anjakan
paradigma yang berpotensi memperkenalkan bahasa kebangsaan di
peringkat dunia. Deduksinya, langkah yang sama harus diambil DBP untuk
mewujudkan 'jiwa bahasa' dalam kalangan rakyat.

Mendepani arus globalisasi kini, pelbagai perubahan serta modifikasi yang


sudah dilaksanakan terhadap bahasa Malaysia asal sehingga
terbentuk bahasa rojak. Lihat sahaja di kiri dan kanan jalan raya serta di
bangunan-bangunan pencakar langit, banyak papan tanda memaparkan
penggunaan bahasa rojak. Perkara ini tidak patut dibiarkan berlarutan kerana
keupayaannya untuk mencemarkan bahasa adalah tinggi. Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT) tidak harus berpeluk tubuh dan mendiamkan diri, sebaliknya
perlu mengambil tindakan Undang-undang bagi menyedarkan pihak
berkenaan bahawa bahasa Malaysia bukanlah
sebuah wadah mainan komersial. Oleh itu, 'pidana bahasa' ini perlu dibejat
bagi mewujudkan rakyat kontemporari yang berpegang teguh dengan bahasa
ibunda.

Konklusinya, semua pihak haruslah menggembleng sinergi untuk


meledakkan darjat bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam semua
urusan harian, selain status utamanya sebagai bahasa kebangsaan.
Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai pemodenan
dengan mementingkan bahasa asing sebaliknya menidakkan kebolehan
bahasa Malaysia untuk membawa kita ke mata dunia. Pepatah Melayu ada
menyebut, "yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi,
yang indah itu bahasa". Oleh hal yang demikian, marilah kita berpijak di bumi
yang nyata dengan menjaga bahasa kebangsaan supaya kekal nirmala dan
'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek pana
Kesedaran sivik merupakan aspek penting dalam kehidupan. Namun sikap ini
semakin kurang diamalkan dalarn kalangan masyarakat. Huraikau punca
wujudnya keadaan ini dan cara-cara untuk menerapkan kesedaran tersebut.

Karangan Contoh:

Kesedaran sivik boleh ditakrifkan sebagai rasa sedar yang mendalam dan
berterusan serta muncul dari hati seseorang atas dasar tanggungjawab untuk
memelihara hak dan kepentingan awam. Kesedaran sivik akan menjadikan
seseorang individu itu warganegara yang ikhlas dan bersungguh-sungguh
untuk mempertahankan kepentingan awam untuk dikongsi bersama. Hari ini,
kita begitu megah mengatakan bahawa negara kita telah maju dan pesat
membangun seiring dengan era globalisasi namun, malangnya tanpa kita
sedari kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia begitu rendah malah
semakin luntur ditelan arus pemodenan. Hal ini terbukti apabila masih
terdapat dalam kalangan masyarakat kita, individu-individu yang masih tidak
menghormati satu sama lain. Kata-kata, Yang muda disayangi, yang tua
dihormati, tidak dapat kita lihat daripada perlakuan mereka. Buktinya,
sampah-sarap dibuang di merata-rata tempat telah mengotorkan dan
menyakitkan mata memandang bukan lagi perkara asing di negara kita. Di
manakah silapnya sehingga pada zaman negara mengorak langkah ke arah
menjadi negara maju pun, fenomena negatif yang memperlihatkan
kerendahan kesedaran sivik masyarakat kita masih berleluasa dan dapat kita
lihat di mana-mana? Oleh itu, kita harus meneliti dan mendalami punca
permasalahan ini agar langkah yang ampuh dan berkesan dapat
dilaksanakan bagi menyuburkan kesedaran sivik ini dalam kalangan
masyarakat kita.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa segala-galanya bermula dari


rumah. Kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita berpunca
daripada keruntuhan institusi kekeluargaan. Memang tidak dapat dinafikan
bahawa terdapat masyarakat kini menjadikan rumah sebagai neraka buat
anak-anak mereka. Kajian Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati bahawa
kadar perceraian dan rumah tangga bermasalah semakin hari semakin
meningkat terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, George
Town dan Johor Baharu. Perceraian memperlihatkan masalah rumah tangga
antara suami isteri yang berpunca daripada permusuhan, perkelahian dan
kecurangan antara suami isteri. Siapakah saksi kepada semua permasalahan
ini? Sudah pastilah jawapannya ialah anak-anak. Menyaksikan ibu bapa
seperti anjing dengan kucing, akan mempengaruhi pertumbuhan jiwa anak-
anak terutama remaja yang sedang meningkat dewasa. Perasaan marah
kepada ibu bapa ini akan mendorong mereka melepaskan kemarahan itu di
luar rumah, iaitu dengan menconteng tempat-tempat menunggu bas atau
merosakkan harta benda awam seperti tandas dan telefon awam. Sikap ini
dapat diumpamakan seperti marahkan pijat, kelambu dibakar. Segala
perlakuan ini menjadi bukti betapa rendahnya kesedaran sivik dalam
kalangan masyarakat kita. Jadi, tidak keterlaluan jika kita menyatakan
bahawa salah satu punca kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan
masyarakat adalah berpunca daripada kelonggaran dalam institusi rumah
tangga itu sendiri sehingga menyebabkan jiwa anak-anak menjadi tidak
subur atau terbantut yang akan memberi impak kepada perlakuan mereka
yang tidak bermoral.

Selain itu, semangat patriotik yang rendah juga menjadi sebab lunturnya
kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Anak-anak hari
ini kurang dididik agar berbangga menjadi rakyat Malaysia. Oleh itu,
perasaan sayang akan negara dan berbangga menjadi warganegara Malaysia
masih amat kurang dalam kalangan masyarakat kita. Satu contoh yang jelas
membuktikan pernyataan ini adalah apabila Lagu Kebangsaan, Negaraku,
berkumandang di udara, berapa ramaikah antara kita yang berhenti dan
berdiri tegak secara sukarela bagi menghormati lagu tersebut? Tidak
keterlaluan dikatakan bahawa jumlahnya adalah terlalu sedikit; iaitu hanya
dalam kalangan warga senior kita. Apabila tahap kesedaran dan kecintaan
terhadap negara rendah, natijahnya perasaan Negara KitaTanggungjawab
Kita juga turut kurang dalam diri setiap individu. Lantaran itu, ada yang tidak
berasa bersalah apabila mereka membuang sampah di tempat-tempat yang
tidak sepatutnya, seperti ke dalam sungai atau di mana-mana yang difikirkan
selesa untuk mereka berbuat demikian. Perkara yang jelas adalah wujudnya
sikap, aku, aku dan engkau, engkau dalam diri masyarakat kita. Oleh itu,
perasaan sepunya terhadap harta benda awam, perasaan menghormati
pelbagai kaum atas dasar ini ialah tempat kita dan negara ini ialah negara
kita dan kitalah yang bertanggungjawab atas keharmonian, kesejahteraan
serta keindahannya, tidak wujud dalam diri mereka yang terlibat. Maka,
sehingga hari ini, kita masih menyaksikan perlakuan-perlakuan negatif yang
memperlihatkan bahawa tahap kesedaran sivik masyarakat ternyata masih
rendah.

Pada era globalisasi ini, negara kita begitu ghairah untuk mencapai
matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Dalam keghairahan mengejar kemajuan dan fatamorgana hidup terutamanya
dalam aspek kebendaan telah mewujudkan golongan masyarakat yang
individualistik dan materialistik. Kemajuan serta pembangunan pesat juga
telah meragut semangat kejiranan dan kemesraan dalam masyarakat. Sikap
siapa lu siapa gua semakin berleluasa. Hidup bak enau dalam belukar,
hanya melepaskan pucuk masing-masing sudah menjadi kelaziman dalam
masyarakat. Natijahnya, kepentingan terhadap kebendaan ini menyebabkan
seseorang bertindak tanpa mementingkan perasaan dan kebajikan orang lain.
Dengan alasan tidak mahu menjaga tepi kain orang lain, masyarakat,
terutamanya yang di bandar-bandar besar hanya sibuk dengan kerjaya dan
urusan masing-masing. Kegiatan gotong-royong yang diadakan hanya akan
disertai jika terdapat orang-orang besar yang merasmikannya. Jika tidak,
amalan bergotong-royong itu tidak akan mendapat sambutan. Oleh yang
demikian, kita menyaksikan masyarakat di bandar-bandar besar mengadakan
majlis kenduri dan perkahwinan di hotel-hotel. Dengan berbuat demikian,
mereka sebenarnya telah membunuh semangat kerjasama yang mewujudkan
silaturrahim serta keharmonian dalam masyarakat. Peluang untuk saling
mengenali dan bertegur sapa antara jiran juga tidak dapat dipraktikkan. Jadi,
tidak hairanlah jika dikatakan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat
kita semakin berkurang.
Walaupun petanda-petanda kerendahan kesedaran sivik dalam kalangan
masyarakat semakin jelas, namun kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan
membiarkan permasalahan ini semakin serius. Oleh itu, sebelum nasi menjadi
bubur, sebelum yang bengkok terus menjadi patah, langkah-langkah untuk
mengembalikan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat perlu segera
dilaksanakan. Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab
penting ini kepada pihak pendidikan. Hal ini juga turut disedari oleh Menteri
Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan agar kurikulum
semua mata pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Jika melalui
Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM), elemen nilai-nilai murni wajib
diterapkan dalam setiap mata pelajaran, maka dalam kurikulum baharu yang
disemak semula, perkara ini ditambah pula dengan meletakkan elemen
semangat patriotik sebagai sesuatu yang wajib diterapkan dalam pengajaran.
Selain itu, mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan telah dimasukkan
dalam kurikulum sekolah dan wajib dipelajari oleh semua pelajar. Bekas
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah menyatakan bahawa kita
perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara mereka semakin
maju, namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di
samping mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. Semangat
inilah yang membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya
sanggup berkorban jiwa dan raga demi negara yang tercinta. Tegasnya,
dalam usaha menerapkan kesedaran sivik yang tinggi dalam diri masyarakat
kita, maka perubahan dalam sistem pendidikan wajib dilaksanakan.

Cara yang seterusnya untuk membentuk masyarakat yang mempunyai


tahap kesedaran sivik yang tinggi adalah melalui tindakan tegas dan
penguatkuasaan undang-undang. Jika kita tinjau ke negara jiran kita iaitu
Singapura, kita akan begitu kagum akan rakyatnya yang begitu patuh akan
peraturan serta amat bertanggungjawab terhadap harta benda awam.
Namun begitu, dasar sebenar sikap tersebut adalah daripada ketegasan
kerajaan Singapura mendidik rakyatnya. Setiap mereka yang didapati
melanggar peraturan awam akan terus didenda. Malahan, dalam perkara
penggunaan tandas awam pun, Singapura sentiasa memastikan
penggunaannya yang betul. Sesiapa yang didapati tidak menarik pam air
selepas menggunakan tandas akan dikenakan hukuman pada masa itu juga.
Negara kita juga perlu menguatkuasakan peraturan dan undang-undang yang
melibatkan rakyat yang kurang kesedaran siviknya ini. Jika Singapura
mewajibkan aktiviti khidmat masyarakat kepada sesiapa yang didapati
melanggar hak-hak penggunaan harta benda awam seperti telefon awam,
dan pembuangan sampah-sarap, mengapakah kita tidak boleh
melaksanakannya? Golongan masyarakat yang berkepala batu dan terlalu
mementingkan diri sendiri ini sememangnya perlu dikenakan tindakan tegas.
Setakat ini, tiada tindakan yang diambil terhadap mereka yang tidak dapat
membezakan antara tong sampah dengan tempat menunggu bas. Dalam hal
ini, tindakan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) menangkap orang
ramai yang mengotorkan tempat-tempat awam dan mewajibkan mereka
membersihkan tempat itu semula adalah amat dipuji. Hal ini disebabkan,
melalui pelaksanaan peraturan yang tegas itu, orang ramai akan sentiasa
beringat-ingat semasa menggunakan segala kemudahan awam yang
disediakan oleh pihak kerajaan untuk kemudahan mereka. Izharlah bahawa
hukuman atau tindakan yang tegas dan berat dapat menanam kesedaran
sivik dalam diri masyarakat kita.

Secara tuntasnya, terdapat beberapa punca yang menyebabkan


kesedaran sivik rakyat Malaysia semakin luntur dan beberapa langkah dapat
diambil untuk menangani permasalahan tersebut. Walaupun masalah
kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita belum begitu
parah, namun, kita perlu berusaha untuk membaikinya. Hal ini terutamanya
dalam kalangan generasi muda kita kerana merekalah yang bakal
mencorakkan hala tuju masa depan negara. Kita menginginkan agar
kemajuan yang kita kecapi selaras dengan pembangunan jiwa dan peribadi
anak-anak bangsa kita. Dalam menyedari hakikat bahawa kesedaran sivik
dalam kalangan masyarakat masih rendah atau semakin luntur, semua pihak
harus membuka mata dan memainkan peranan masing-masing untuk
membina satu bangsa Malaysia yang berjaya dan mempunyai tahap
kesedaran sivik yang tinggi kerana negara kita menjadi tanggungjawab kita.
Oleh itu bersama-samalah kita seluruh warga negara yang tercinta ini
memupuk sikap saling bekerjsama dan saling bersatu hati agar kemajuan
yang diingini tercapai tanpa mengorbankan nilai dan susila bangsa dan
agama kita. Janganlah diabaikan pesanan ahli filsuf Tao iaitu jika kita mahu
hidup setahun tanamlah gandum, jika kita mahu hidup sepuluh tahun
tanamlah pokok dan jika kita mahu hidup selama-lamanya tanamlah jiwa
manusia. Sekiranya kita ingin melihat kesedaran sivik masyarakat kita kukuh,
marilah kita bersama-sama menanam jiwa manusia dengan kesedaran sivik
tanpa menunggu hari esok.

Soalan:

Pada masa ini, teknologi maklumat memberikan banyak kebaikan dalam


kehidupan seharian. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada masyarakat dan negara.

Zaman beralih musim berubah, fasa demi fasa perubahan dunia telah
berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman
industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan
zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh
manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia
memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan,
penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi
yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai
pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan
maklumat yang paling canggih. Di Malaysia, teknologi maklumat dan
komunikasi merupakan agenda baharu yang begitu diberikan
perhatian. Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah yang serius untuk
menerapkan budaya ICT kepada masyarakat. Berbagai-bagai kempen
dijalankan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya
teknologi maklumat. Sejumlah peruntukan yang besar telah dilaburkan untuk
tujuan itu. Berdasarkan usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu,
ternyatalah bahawa bidang ICT mempunyai manfaat yang sangat besar
kepada masyarakat dan negara ini.

Teknologi maklumat dan komunikasi mampu menjadikan masyarakat


negara ini sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan
perkembangan dan pergolakan dunia. Melalui kemajuan dalam bidang
penyebaran maklumat, masyarakat negara ini tidak ketinggalan untuk
mengikuti perkembangan di dalam dan di luar negara. Maklumat yang
disalurkan amat pantas. Hanya dengan memiliki sebuah komputer peribadi
yang disambung dengan perkhidmatan Internet, masyarakat boleh
mendapatkan maklumat dari seluruh dunia. Mereka hanya perlu
menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat terkini dalam sesuatu
bidang. Contohnya masyarakat Malaysia boleh mengikuti pergolakan politik
di Timur Tengah melalui skrin komputer mereka. Dengan ini, masyarakat
Malaysia tidak akan keciciran maklumat dalam menelusuri arus perdana yang
pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini. Gelaran katak di bawah
tempurung tidak akan dilabel pada setiap rakyat Malaysia. Oleh itu
penguasaan teknologi maklumat mampu menjadi masyarakat Malaysia
sebagai masyarakat berinformasi.

Selain itu, dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat dan
komunikasi dapat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat
Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar
negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan
ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh
diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita,
ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat
keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel
elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan
telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu,
hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan
juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama
dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum.
Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya? Jelaslah
bahawa kemajuan ICT dapat merapatkan hubungan silaturahim antara satu
sama lain walaupun berada di benua yang berbeza. Kejauhan tidak lagi
menjadi penghalang untuk menjadikan hubungan semakin akrab bagai isi
dengan kuku.

Jika kita tinjau kebaikan ICT kepada negara pula, kehadiran teknologi
maklumat dan telekomunikasi merupakan anugerah istimewa kepada dunia
pendidikan. Kewujudan ICT dapat membantu dalam sistem pengajaran dan
pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di sekolah dapat dimajukan oleh ICT
sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar mendapatkan maklumat dari
seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-projek di
sekolah. Pelajar akan belajar mengikut kemampuan mereka serta melahirkan
generasi yang celik komputer. Pendidikan di sekolah atau di institusi lebih
bercirikan pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih luas,
selain menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor
kelas dan usia. Hal ini melahirkan lebih ramai cendekiawan. Fakta ini nyata
terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia setahun jagung sudah
boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik daripada pelajar
yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah
rendah ataupun pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari melalui modul
pemelajaran yang disediakan dalam cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-
ROM) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
Izharlah bahawa kemajuan ICT mampu menjadi pemudah cara dan menjadi
tarikan dalam memajukan sistem pendidikan di negara kita.
Selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi
penyumbang penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.
Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara Malaysia dapat diatasi
dengan bantuan ICT. Televisyen atau kamera litar tertutup (CCTV) banyak
digunakan dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank, kasino,
lapangan terbang, pangkalan terbang, dan pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini
ialah penggunaan kamera video untuk menghantar isyarat ke tempat-tempat
tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka. Hal ini
berbeza sekali dengan televisyen. CCTV ini digunakan untuk mengawas
keselamatan sesuatu tempat yang tertentu sahaja. Di samping itu, kegiatan
jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya memberkas penjenayah
yang terbabit. Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang bernama
Nurin Jazlin berjaya ditemui. Kes penculikan kanak-kanak yang penuh tragis
tersebut pernah menggegarkan seluruh masyarakat Malaysia. Kejadian ini
tentu sekali kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat kanak-kanak
tersebut ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati namun dengan
adanya kamera video dapat merakamkan lokasi beg yang mengandungi
mayat kanak-kanak tersebut. Dengan kemajuan bidang ICT, keselamatan
negara dapat dipelihara dan secara implisitnya, kehidupan rakyat juga tidak
akan terancam. Tugas anggota keselamatan negara juga akan menjadi lebih
mudah. Pendek kata, keamanan dan keselamatan dapat dijaga melalui
kemajuan bidang ICT di negara kita.
Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat dan telekomunikasi juga
meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan
bidang ICT secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti
manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan
kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu
maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara,
masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di
pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman.
Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada
pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates,
insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali
sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer
persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara
yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu,
terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan
Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara
maju yang lain.
Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa ICT memainkan peranan
yang penting kepada masyarakat dan negara. Kita tidak harus ketinggalan
untuk menguasai kemahiran ICT kerana bidang ini akan terus berkembang
dari semasa ke semasa dengan pantas. Sistem hidup manusia masa depan
akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang ini. Malah pada masa
ini pun, kebergantungan manusia terhadap teknologi maklumat
sememangnya tidak dapat dinafikan. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, kita
perlu menyokong usaha ini di samping menyediakan diri untuk mempelajari
pengetahuan baharu berkaitan ICT agar kita tidak dianggap seperti katak di
bawah tempurung. Namun begitu, sebagai pengguna yang bijak kita tidak
harus menyalahgunakan kemudahan ICT. Semua pihak harus bersinergi bagai
aur dengan tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada
unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini.
Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan
yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju
dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi
Wawasan 2020

OALAN:
Bangsa Membaca Bangsa Berjaya
Huraikan kepentingan amalan membaca.

Kehendak soalan
Calon perlu menghuraikan kepentingan amalan membaca

Nasi lemak buah bidara,


sayang selasih hamba turutkan;
amalan membaca banyak faedahnya,
untuk kegunaan masa hadapan.

Masyarakat Melayu sinonim dengan pelbagai jenis puisi tradisional bagi


melahirkan perasaan yang telah terpahat dalam atma dan sukma mereka.
Puisi di atas menggambarkan amalan membaca sangat penting dalam
kehidupan seharian kita bagi melahirkan generasi yang berintelektual dalam
mencorak masa hadapan. Ketahuilah kita bahawa masa depan menjanjikan
cabaran yang sarat dengan muatan cabaran reformasi. Oleh sebab itu,
menerusi amalan membaca juga dapat mencetus kesegaran minda agar
tidak wujud modal insan yang dibelenggu dengan cara berfikir yang sempit.
Walaupun dunia sudah melepasi pelbagai zaman dalam beberapa dekad,
namun budaya membaca tetap mendominasi kemajuan dan keagungan
sesebuah bangsa. Sejarah telah mencatatkan bahawa bangsa yang berjaya
antara lain dicirikan oleh masyarakatnya yang memiliki budaya literasi.
Begitu juga sebaliknya. Sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau
kejayaan dalam sesuatu bidang tidak boleh mempertahankan miliknya tanpa
budaya ilmu yang mantap. Rakyat Malaysia yang tidak mengetahui
kepentingan amalan membaca perlulah membudayakan amalan yang mulia
ini yang mengandungi seribu satu kemuliaan yang tidak dapat dipertikaikan
lagi. Persoalannya, apakah kepentingan amalan membaca?

Sesungguhnya amalan membaca mampu menambah pengetahuan kita.


Amalan membaca dapat membantu memberikan nilai tambah dalam diri
seseorang sebagai persediaan untuk bersaing dalam era globalisasi
ini. Setiap seseorang daripada kita mesti memberikan nilai tambah kepada
diri masing-masing, demikian mantan perdana menteri Malaysia Tun
Abdullah Ahmad Badawi pernah menukil dalam salah satu ucapan beliau
sekitar pertengahan tahun 2005 yang lalu. Ungkapan keramat itu, membawa
maksud bahawa nilai seseorang anak pascamerdeka ini akan bertambah
andai individu itu berusaha melakukan anjakan paradigma untuk dirinya
daripada terus berada di takuk lama. Jika ditelusuri, ungkapan ini boleh
direalisasikan dengan amalan membaca yang pastinya dapat
menyumbangkan idea bernas dalam diri pembaca. Selain melalui proses
pembelajaran secara formal di sekolah, nilai diri akan dapat ditambah dengan
banyaknya menerusi amalan membaca bahan-bahan ilmiah seperti Majalah
Dewan Bahasa, Dewan Siswa, Kosmik dan sebagainya. Cerdik pandai sering
menganggap amalan membaca sebagai jambatan ilmu. Persepsi ini
terjelma lantaran amalan membaca yang dapat menghubungkan antara
manusia dengan dunia ilmu. Tegasnya, amalan membaca sememangnya
dapat menambah ilmu pengetahuan dan menjadi persiapan untuk
kesiagaan kita bersaing dengan cabaran kemajuan yang terbentang di
jagatraya ini.

Seterusnya, mari kita fokuskan lensa pemikiran kita kepada manfaat


seterusnya iaitu membaca dapat meningkatkan kepakaran. Kepakaran yang
dimaksudkan ialah tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran
tinggi dalam sesuatu bidang. Membaca dapat mewujudkan koridor kemajuan
ekonomi demi meningkatkan tenaga pakar yang berpengetahuan.
Sebagaimana yang diketahui masyarakat yang suka membaca merupakan
masyarakat yang maju dan kompetetif sehingga dapat mencetuskan gegaran
minda sekaligus dapat menjulang negara kita ke puncak jagat. Buktinya kita
melihat betapa negara pengeluar minyak yang kaya-raya terpaksa
bergantung hampir dalam semua aspek penting kehidupan negaranya
kepada negara lain yang lebih maju dari segi keilmuan dan kepakaran. Oleh
sebab itu, amalan membaca dapat membentuk masyarakat madani yang
berkemahiran dan berkepakaran tinggi. Apabila negara kita sudah mencapai
tahap yang maksimum dalam membentuk individu yang mempunyai
kepakaran yang tinggi dalam satu-satu bidang, kita tidak perlu bergantung
kepada kepakaran luar lagi. Jelaslah bahawa amalan membaca dapat
membekalkan tenaga pakar atau mahir kepada sesebuah negara itu.

Jika dilihat dari aspek yang lain, membaca merupakan tiang sandaran
konkrit untuk berjaya dalam akademik. Namun begitu, cahaya amalan
membaca semakin hari semakin malap dalam naluri pelajar. Kontradiksinya,
para pelajar tidak mempunyai kesedaran bahawa membaca itu penting
dalam kehidupan sedangkan amalan membaca dapat meningkatkan ilmu
pengetahuan dan mampu meluaskan horizon pemikiran para pelajar. Oleh
sebab itu, para pelajar perlu menyemai bibit-bibit minat membaca dalam diri
kerana membaca merupakan wasilah utama kejayaan seseorang pelajar.
Sebagi contoh, adik Nik Nor Madihah telah berjaya memperoleh 20A dalam
SPM dengan membudayakan amalan membaca dalam diari kehidupannya
sebagai seorang pelajar. Meyedari kepentingan membaca dalam kalangan
pelajar, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak sekolah bagi
memperkasakan minat membaca dalam kalangan pelajar seperti
mengadakan minggu membaca dan program NILAM. Melalui program NILAM
ini jugalah lahirlah tokoh-tokoh pelajar yang berjaya. Selain berjaya dalam
akademik, para pelajar juga boleh mengaplikasikan ilmu yang diperolehi
melalui membaca dalam kehidupan seharian. Ringkasnya, jelaslah bahawa
amalan membaca dapat memberikan pelbagai kemaslahatan kepada para
pelajar untuk berjaya. Sesungguhnya, menuntut ilmu tanpa membaca ibarat
basikal tanpa roda.

Dengan membudayakan amalan membaca juga, rakyat yang


berpengetahuan luas dalam sesebuah negara mampu mencetuskan ideologi
dan buah fikiran yang bernas dalam memacu proses pembangunan negara
dapat dilahirkan. Hal ini dikatakan dmeikian kerana membaca merupakan
acuan untuk membentuk sesebuah tamadun yang gemilang seiring dengan
negara-negara yang telah mengecapi modenisasi mapan seperti Jepun. Di
Jepun, atas dasar aplikasi dan pengetahuan sains dan inovasi mereka mampu
mencipta teknologi yang tidak terdapat di negara-negara lain seperti mesin
layan diri yang dapat memenuhi keperluan harian iaitu mesin menjual ketam
hidup, telur ayam segar, sayur-sayuran segar dan baju hujan dan barang
kemas. Kelebihan mesin layan diri ini dapat beroperasi sepanjang masa iaitu
24 jam sehari. Keadaan ini membolehkan para peniaga dan usahawan tidak
perlu bersusah-payah menjaga premis perniagaan mereka kerana mesin
layan diri ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang sempurna
selain mereka dapat memperuntukkan masa mereka dengan aktiviti yang
dapat meningkatkan kemajuan negara mereka. Jelaslah bahawa amalan
merupakan ramuan yang efektif untuk membentuk masyarakat yang
berproduktiviti tinggi dan seterusnya dapat merealisasikan aspirasi negara
untuk bertambah maju.

Secara konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa amalan


membaca sangat mulia kerana mendatangkan pelbagai kebaikan atau faedah
kepada pembaca, keluarga, bangsa dan negaranya. Amalan membaca
merupakan permulaan positif sebagai langkah pertama dalam penjanaan dan
penyebaran ilmu. Hal ini terbukti berdasarkan peristiwa penuh bermakna dan
agung dalam sejarah Islam melalui surah al-Alaq iaitu ketika Nabi
Muhammad mendapat wahyu yang pertama di Gua Hira melalui perantaraan
malaikat Jibril yang menyuruhnya membaca. Jelaslah membaca merupakan
kunci ilmu yang memberikan impak positif dalam mempengaruhi
perkembangan minda masyarakat. Walaupun pada hari ini pelbagai prakarsa
telah dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca namun, usaha
tersebut diumpamakan hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai
tanggungjawab yang besar dalam memupuk budaya membaca sejak kecil
lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pihak kerajaan juga perlu
menyediakan pelbagai kemudahan seperti perpustakaan supaya kita dapat
membaca dengan selesa. Kempen-kempen membaca juga perlu dipergiat.
Jika usaha-usaha memupuk budaya membaca giat dijalankan, negara
Malaysia pasti akan menjadi negara yang maju. Oleh itu, semua orang
wajiblah membaca dan berusaha meningkatkan budaya membaca agar
masyarakat yang celik ilmu dapat dilahirkan. Ingatlah bahawa bangsa
membaca, bangsa maju

KESAN JEREBU
Dalam mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah, rakyat Malaysia
telah digemparkan lagi dengan berita Indeks Pencemaran Udara (IPU) di
kawasan Kuala Lumpur yang meningkat secara mendadak akibat berlakunya
jerebu. Keadaan jerebu di Malaysia yang berlaku secara tahunan telah
menjadi suatu kebiasaan bagi penduduk di bandar raya besar tersebut.
Masalah jerebu yang seperti bangkai gajah yang tidak dapat ditutup dengan
daun nyiru telah mendapat liputan meluas daripada pihak media massa dan
dalam kalangan rakyat Malaysia. Keadaan jerebu bertambah serius akibat
berlakunya fenomena El-Nino. Persoalannya, apakah faktor dominan
berlakunya jerebu? Adakah pihak kerajaan sahaja yang memainkan peranan
penting dalam mengatasi masalah jerebu ini? Tepuk dada tanyalah selera.
Oleh sebab setiap yang berlaku pasti ada akibatnya, masalah jerebu telah
mendatangkan pelbagai impak yang negatif kepada negara kita dan juga
rakyat kita.
Antara kesan negatif yang disebabkan oleh jerebu ialah kualiti udara negara
kita akan terjejas. Udara negara kita yang segar dan bersih akan dipenuhi
oleh debu dan asap setiap kali jerebu melanda sehinggalah jarak penglihatan
mendatar yang dahulunya sejauh 2 kilometer menjadi 50 meter. Sebagai
contoh, pada bulan Ogos 2005, negara kita dilanda jerebu yang paling teruk
dalam sejarah negara kita, di mana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala
Selangor dan Pelabuhan Klang mencecah lebih 500 buat kali pertama di
Malaysia sehingga darurat diisytiharkan di kedua-dua kawasan tersebut,
justeru segala aktiviti luar tidak dapat dijalankan dan kebanyakan sekolah,
pelabuhan dan kilang ditutup buat sementara. Oleh itu, sudah terang lagi
bersuluhbahawa jelaslah jerebu boleh mendatangkan keburukan terhadap
negara kita.
Jerebu juga boleh menyebabkan masalah kesihatan rakyat. Golongan yang
lebih lemah seperti kanak-kanak dan warga tua mudah jatuh sakit. Hal ini
berlaku kerana jerebu menyebabkan badan menjadi lemah dan imunisasi
semakin rendah. Penyakit-penyakit selesema dan batuk akan mudah
merebak. Misalnya, pesakit-pesakit asma dan penyakit respiratori mudah
diserang penyakit pernafasan lain. Hal ini berlaku kerana pernafasan mereka
menjadi tidak baik dan ditambah pula udara yang kurang bersih maka
kesihatan mereka akan mudah terancam. Dalam jangka masa yang panjang,
kita juga mungkin akan sakit kerongkong, kegatalan kulit, kemerahan mata
dan sebagainya. Dengan itu, jelaslah bahawa jerebu membawa kesan negatif
kepada kesihatan orang ramai.
Selain kemerosotan taraf kesihatan rakyat Malaysia, sektor ekonomi negara
turut terjejasakibat kerenah jerebu yang berlaku di Malaysia. Tahap
penglihatan yang rendah menyebabkan aktiviti luar disekat dan industri
perikanan dan pertanian terpaksa dihentikan demi menjamin keselamatan
dan kesihatan pekerja-pekerja. Rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang
perikanan dan pertanian terpaksa mencari alternatif yang lain untuk mencari
pendapatan buat sementara waktu. Apabila masalah jerebu menjadi semakin
meruncing, kesan negatif yang lebih serius akan timbul. Sumber pendapatan
negara turut terancam akibat jerebu. Sumber pendapatan negeri-negeri yang
berasaskan industri pelancongan seperti Sabah dan Sarawak akan merosot
kerana industri pelancongan terjejas akibat jerebu. Para pelancong bukan
sahaja dari dalam negeri malah dari negara asing tidak akan melawat ke
Malaysia sekiranya jerebu masih berlaku di Malaysia kerana bimbang akan
keselamatan dan kesihatan mereka semasa melancong ke Malaysia. Secara
tidak langsung, ekonomi negara kita akan terjejas akibat jerebu.
Jika dilihat dari perspektif lain, masalah jerebu dapat menjejaskan flora dan
fauna di negara kita. Apabila jerebu berlaku, kandungan karbon dioksida
berlipat ganda daripada kandungan yang biasa, sebaliknya kandungan
oksigen akan kurang daripada yang biasa. Hal ini akan menyebabkan
tanaman akan mengambil masa yang lebih lama untuk membesar. Kualiti dan
hasil tanaman juga akan merosot. Hal ini disebabkan oleh proses fotosintesis
yang terjejas akibat kandungan karbon dioksida yang berlebihan. Proses
pernafasan yang melibatkan penyerapan gas oksigen dan pembebasan gas
karbon dioksida ini menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh dengan lebih lama.
Misalnya, pokok balak akan mengambil masa yang lebih panjang untuk
matang. Secara tegasnya, hasil dan kualiti pertanian boleh terjejas sehingga
30 peratus. Sumber petani akan turut terjejas sekali gus ekonomi negara
yang bergantung pada pertanian turut terjejas. Bagi fauna pula, hidupan
akuatik akan terjejas kerana kandungan oksigen yang terlarut dalam air pula
akan berkurang dan hidupan akuatik seperti ikan-ikan tidak akan mendapat
oksigen yang secukupnya. Jelaslah bahawa masalah jerebu akan menjejaskan
flora dan fauna negara.
Intihanya, semua pihak termasuklah rakyat Malaysia haruslah bersinergi dan
berganding bahu dalam menyelesaikan masalah jerebu di Malaysia bagi
mendukung kebenaran yang kita sepakati, persis kata cendekiawan, bagai
aur dengan tebing. Sekiranya masalah ini dipandang enteng, nyawa modal
insan negara kita akan menjadi seperti telur di hujung tanduk. Kebobrokan
sikap anak-anak juga mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging
masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk
mengatasi masalah jerebu dan seterusnya menggapai impian Wawasan
2020. Sekiranya masalah jerebu di negara kita tidak diatasi dengan segera,
lama-kelamaan efek buruknya akan menjadi berpanjangan dan berkekalan
serta sukar untuk diselesaikan dan ketika itu kita akan berasa menyesal
tetapi sesal dahulu pendapatan,

1. Kebaikan amalan melancong di dalam negara bersama-sama


keluarga (KELUARGA)

Melancong dapat ditakrifkan sebagai pergi bercuti atau berlibur ke sesuatu


tempat untuk makan angin atau menenangkan fikiran sama ada bersama-
sama dengan keluarga ataupun dengan rakan-rakan. Dewasa ini, destinasi-
destinasi pelancongan di dalam negara semakin mendapat sambutan dan
perhatian dalam kalangan warganegara tempatan mahupun orang luar. Hal
ini merupakan hasil daripada usaha-usaha kerajaan mengadakan kempen
dan mempromosikan destinasi pelancongan tempatan seperti Pulau
Langkawi, Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Melaka dan lain-lain destinasi kepada
rakyat pribumi Malaysia dan rakyat luar negara. Menurut Datuk Seri Utama
Dr. Rais Yatim, mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, industri
pelancongan di dalam negara boleh berkembang setanding dengan destinasi
pelancongan di luar negara seperti Pulau Bali, Disneyland dan lain-lain
sekiranya usaha memperkenalkan Malaysia dilakukan secara giat malah
disokong oleh rakyat jelata. Sehubungan dengan itu, salah satu obligasi yang
perlu dipikul oleh ibu bapa ialah ibu bapa seyogianya membawa ahli
keluarganya melancong di dalam negara dengan lebih kerap untuk
memartabatkan industri pelancongan negara di peringkat global. Berpijaklah
di bumi yang nyata bahawa melancong bersama keluarga di dalam negara
sememangnya membawa pelbagai kemaslahatan yang tidak dapat dinafikan.
Marilah kita bersama-sama menghalusi dan meneliti keberkesanan aktiviti
melancong bersama keluarga tercinta di tanah tumpahnya darah kita sendiri
kerana kata orang, tak kenal maka tak cinta.
Kebaikan yang perdana ialah hubungan kekeluargaan dapat dipererat. Dalam
sesebuah institusi keluarga, kesibukan melayani aktiviti harian masing-
masing memang tidak dapat dinafikan. Si ibu dan si ayah sibuk dengan
kerjaya mereka manakala si anak pulak sibuk dengan tugasan sekolahnya.
Situasi ini menyebabkan masa untuk bersama-sama dengan ahli keluarga
amat terbatas. Sehubungan dengan itu, aktiviti melancong di dalam negara
bersama keluarga ini sudah pasti dapat menyediakan satu ruang untuk ahli
keluarga merapatkan hubungan yang kian renggang. Kata orang, yang jauh
kita dekatkan. Oleh itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak bercuti di dalam
negara pada musim cuti sekolah di pusat peranginan seperti di Tanah Tinggi
Cameron, Genting Highlands dan Bukit Fraser. Percutian seumpama ini dapat
menenangkan fikiran seisi keluarga kerana berada di kawasan yang jauh dari
kesibukan. Bukan itu sahaja, Masa percutian ini juga boleh diguna untuk
menyelesaikan masalah keluargaan dengan cara berbincang mengenai
masalah keluarga berkenaan. Ibu bapa dan anak-anak dapat memahami
antara satu sama lain. Dengan ini, anak-anak serta ibu bapa akan berasa
lebih terbuka untuk berbincang mengenai keadaan keluarga mereka. Hal ini
secara tidak langsung akan menyelamatkan hubungan kekeluargaan serta
institusi keluarga daripada runtuh lalu keluarga yang sakinah dapat
dilahirkan. Tegasnya, melancong di dalam negara dapat mempererat
hubungan kekeluargaan agar menjadi bagai isi dengan kuku.

Selain itu, percutian di dalam negara bersama keluarga juga dapat


mengurangkan gejala sosial dalam kalangan anak-anak daripada berleluasa.
Melancong merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mengisi masa
lapang kita. Lazaimnya, semasa cuti persekolahan bermula anak-anak akan
mempunyai banyak masa terluang. Sekiranya masa ini tidak dirancang
dengan bijak oleh ibu bapa maka anak-anak akan hanyut dalam dunia
hedonisme yang akhirnya akan membawa kedurjanaan dalam kehidupan
anak-anak. Oleh itu, di kesempatan ini ibu bapa sering merancang percutian
terutamanya di dalam negara untuk mengisi masa terluang ahli keluarganya
dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Destinasi percutian yang sering
menjadi tumpuan ibu bapa pada musim cuti persekolahan ialah taman tema
air yang kini dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Taman tema yang
sering dikunjungi oleh ahli keluarga ialah Taman Tema Sunway Lagoon, Taman
Tema Bukit Gambang dan Taman Tema Air AFamosa. Kesannya, anak- anak
akan terhindar daripada melakukan perkara negatif terutama pada waktu cuti
sekolah seperti bercampur gaul dengan remaja yang rosak akhlak. Ibu bapa
juga dapat mengetahui aktiviti anak-anak kerana sepanjang waktu
melancong, anak-anak sentiasa bersama mereka. Hal ini secara tidak
langsung akan menyelamatkan hubungan kekeluargaan serta institusi
keluarga daripada runtuh lalu keluarga yang harmoni dan marem dapat
dilahirkan. Izharlah bahawa penglibatan anak-anak dalam gejala tidak sihat
dapat dielakkan melalui aktiviti melancong bersama keluarga di dalam
negara.

Seperkara lagi, ilmu pengetahuan ahli keluarga juga dapat ditingkatkan. Ilmu
yang berharga ialah ilmu yang diperoleh melalui pengalaman yang dialami
sendiri. Jadi, membawa ahli keluarga melancong di dalam negara
membolehkan ahli keluarga kita menimba ilmu pengetahuan yang akan kita
ingati selagi hayat dikandung badan. Janganlah kita taksub dengan keunikan
dan keistimewaan di negra orang sedangkan keunikan di negara sendiri
masih seperti katak di bawah tempurung. Jika situasi ini berlaku, sudah pasti
kita akan berasa malu apabila pelancong asing bertanyakan keunikan negara
kita kepada kita yang kecetekan ilmu tentang negara sendiri. Sebagai contoh,
kunjungan ke tempat-tempat bersejarah seperti Melaka dan Georgetown
dapat mendedahkan banyak sejarah negara kepada keluarga kita
terutamanya kepada generasai muda. Kita sepatutnya menghargai
pengiktirafan Tapak Warisan Dunia yang telah diberikan oleh UNESCO
kepada Melaka dan Georgetown. Bandaraya Melaka perlu dijelajahi oleh ahli
keluarga kerana bandar ini kaya dengan peninggalan sejarah Tanah Melayu
seperti Kota AFamosa, Bangunan Stadthuys, Perigi hang Li Po, Makam Hang
Tuah dan sebagainya. Kunjungan ke bandar-bandar bersejarah ini sudah pasti
dapat mengukuhkan pengetahuan ahli keluarga kita tentang sejarah negara
yang dipelajari di sekolah. Secara implisitnya, khazanah sejarah tanah air
akan terus terpelihara dan sentiasa terpahat dalam memori setiap anak
watan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Ringkasnya, ilmu
pengetahuan ahli keluarga tentang keunikan negara sendiri dapat dicapai
melalui aktiviti melancong di dalam negara bersama keluarga.

Jika kita kaji dari perspektif yang berbeza, aktiviti melancong di dalam negara
bersama-sama dengan keluarga juga dapat meningkatkan ekonomi negara
supaya dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara
maju yang lain di seantero dunia. Hal ini disebabkan oleh setiap ahli keluarga
tidak perlu membazirkan wang mereka untuk bercuti ke luar negara kerana
bagi mereka, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih
baik di negeri sendiri. Oleh itu, apabila ahli keluarga melancong di dalam
negara sahaja, pengaliran wang ke luar negara dapat dielakkan seterusnya
negara dapat menggunakan pusingan wang tersebut untuk memajukan
sektor pelancongan negara lagi. Malah, kemasukan pelawat-pelawat asing
juga dapat meningkatkan kadar tukaran wang sekali gus dapat
menambahbanyakkan jumlah pendapatan negara. Sektor perhotelan
memperoleh laba yang besar apabila para pelancong menginap di hotel
seperti Hotel Seri Malaysia, Hotel Vistana Kuala Lumpur dan Hotel Bahagia
Langkawi. Hal ini dibuktikan melalui pertumbuhan pesat bangunan-bangunan
hotel di serata pelosok negara. Di samping itu, terdapat juga motel dan
chalet didirikan oleh pengusaha pusat-pusat peranginan bagi kemudahan
pelancong yang datang. Semakin banyak tempat penginapan dibina, maka
semakin banyak peluang pekerjaan terbuka kepada rakyat Malaysia. Dengan
ini, kadar pengangguran rakyat kita semakin menurun. Jelaslah bahawa
melancong bersama keluarga dalam tempatan dapat merancakkan
pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam nada yang berbeza, melalui aktiviti pakej pelancongan bersama-sama


keluarga di dalam negara juga dapat meningkatkan taraf destinasi
pelancongan negara di mata dunia. Perkara ini dikatakan demikian kerana
apabila sesebuah pusat pelancongan itu sering dikunjungi oleh pelancong
dari dalam dan luar negara, pelancong lain yang sebelum ini tidak pernah
melawat tempat tersebut akan mempunyai semangat inkuiri untuk melihat
sendiri keistimewaan dan keunikan destinasi tersebut. Oleh itu, apabila
destinasi tersebut sering menjadi tumpuan dan sebutan seperti Tanah Tinggi
Genting dan Tanah Tinggi Cameron, maka tempat tersebut tidak akan putus-
putus menerima pelawat seperti air yang mengalir di kali. Dengan demikian,
destinasi pelancongan tersebut akan diiktiraf sebagai destinasi pelancongan
antarabangsa yang tersohor. Seterusnya, misteri dan keanehan yang
terdapat di dalam negara juga menyebabkan pelancong ingin menerokai
alam tersebut seperti misteri bunga Refflesia iaitu bunga yang terbesar di
dunia. Secara tidak langsung, hal ini memberikan tempias kepada industri
tempatan terutamanya industri desa. Oleh itu, kita tidak dapat menafikan lagi
bahawa lawatan-lawatan di dalam negera membolehkan destinasi
pelancongan di dalam negara dinobatkan di peringkat antarabangsa.

Secara konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa melancong di dalam


negara bersama-sama dengan keluarga banyak memberikan kebaikan sama
ada kepada institusi keluarga tersebut, mahupun negara kita, Malaysia yang
indah permai ini. Industri pelancongan ini sememangnya menjurus ke arah
kemajuan ekonomi sesebuah negara. Malah, industri pelancongan juga
menjadi pemangkin bagi industri-industri lain untuk sama-sama berkembang
maju dan seterusnya menambahkan hasil ekonomi negara. Oleh itu, ibu bapa
dan ahli keluarga haruslah menyokong industri pelancongan tempatan untuk
memartabatkan industi ini di persada antarabangsa. Namun begitu, usaha ini
tidak seharusnya diletakkan atas pundak kerajaan dan keluarga sahaja
kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, marilah sekalian
rakyat Malaysia bersatu ibarat yang berat sama dipikul, yang ringan sama
dijinjing dan bersemangat tinggi setinggi Gunung Everest untuk
mempopularkan industri pelancongan di pentas dunia. Diharapkan komitmen
jitu daripada pelbagai pihak dapat merealisasikan harapan kita agar suatu
masa nanti destinasi pelancongan yang terdapat di Malaysia akan mendapat
publisiti yang meluas, malah mendapat perhatian semua penduduk dan
menjadi destinasi pelancongan yang terunggul di mata dunia. Oleh itu, rakyat
Malaysia yang berhasrat untuk bercuti di luar negara perlu berfikir terlebih
dahulu kerana hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih
baik di negeri sendiri. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari
terus bersinar, biarlah industri pelancongan negara terus maju di seantero
dunia. Malaysia Boleh!

2. LANGKAH-LANGKAH MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN


DESA(NEGARA)

Sedasawarsa ini, pelancongan desa merupakan industri perkhidmatan


yang kian berkembang pesat di negara kita. Pada tahun 2000, purata
pelancongan yang berkunjung ke Malaysia dianggarkan sebanyak 10.2 juta
orang. Senario ini menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga paling banyak
menerima pelancong Asia Timur selepas China dan Hong Kong. Lantaran itu,
pelancongan desa telah juga mendapat tempat di mata pelancong asing.
Pelancongan desa dapat memberikan pengalaman kepada pelancong supaya
menghargai kehidupan di kampung dan menikmati kebudayaan dan adat
resam sesuai dengan peribahasa masuk kandang kambing mengembek,
masuk kandang kerbau menguak. Pelancongan desa akan bertambah maju
sekiranya pelbagai pihak memainkan peranan penting untuk memajukan
industri ini. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk
memajukan industri ini agar terus berkembang maju?

Minhaj pertama yang perlu dilaksanakan untuk memajukan


pelancongan desa ialah pihak kerajaan perlu mengadakan kempen melalui
media massa dan media elektronik. Melalui kempen yang dilaksanakan,
keunikan dan kelebihan sesebuah desa dapat disebarkan kepada masyarakat
tempatan dan pelancong asing dengan cepat. Dengan memanfaatkan
kecanggihan teknologi yang ada pada masa ini, kerajaan boleh membina
laman sesawang yang mengandungi pelbagai informasi tentang
keistimewaan sesebuah desa di negara kita untuk disebarkan kepada
masyarakat luar. Sekiranya pihak kerajaan memandang enteng dan bersikap
lepas tangan dalam usaha untuk memajukan sektor pelancongan desa, maka
industri ini akan terus hilang ditelan zaman justeru dapat mengurangkan
pendapatan penduduk kampung. Oleh itu, pelaksanaan kempen merupakan
langkah pragmatik dalam usaha memajukan pelancongan desa agar industri
ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ditelan arus kemodenan.

Minhaj seterusnya untuk memajukan pelancongan desa agar terus


berkembang ialah pihak kerajaan melalui Kementeriaan Pelancongan di
bawah pimpinan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Yang Berhormat
Dato Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz Nadem haruslah menyediakan dan
mencekapkan infrastruktur di negara kita. Dengan adanya kelengkapan
infrastruktur yang sempurna dan kondusif, sudah pasti negara kita akan
menjadi destinasi utama kepada pelancong-pelancong asing. Selain itu,
kemasukan pelancong asing akan dapat meningkatkan ekonomi industri desa
di negara kita melalui pengaliran mata wang asing. Pihak kerajaan juga
seharusnya mengeluarkan dana untuk diagihkan kepada wakil-wakil di setiap
negeri bagi menaik taraf infrastuktur seperti rumah penginapan, siber kafe,
bekalan air bersih, kafe dan kemudahan asas yang lain. Cuba kita bayangkan
bagaimana reaksi pelancong asing yang melancong ke negara kita jika
kerajaan tidak mengambil berat terhadap kemudahan infrastruktur?
Seandainya pihak kerajaan menjalankan tanggungjawab seperti melepaskan
batuk di tangga, maka industri desa akan terus berada pada takuk yang
sama. Tegasnya, pihak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan perlulah
menyediakan dan mencekapkan infrastruktur agar industri desa di negara
kita terus berkembang maju.

Selain itu, pihak pengurusan inap desa perlu menyediakan pelbagai


aktiviti rekreasi sebagai satu minhaj untuk memajukan industri pelancongan
desa di negara kita. Aktiviti-akitiviti rekreasi perlu dilaksanakan dengan lebih
efektif kerana aktiviti tersebut merupakan daya tarikan utama kepada
pelancong asing mahupun pelancong tempatan untuk menyertai aktiviti yang
dijalankan sekaligus meningkatkan industri pelancongan desa. Pihak
pengurusan inap desa boleh menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi. Sebagai
contoh, mereka boleh memperkenalkan permainan tradisional masyarakat
Melayu seperti gasing, congkak, wau, dan sebagainya. Mereka juga boleh
mengadakan pertandingan tarian, aktiviti menuai padi, dan pertandingan
membuat kraf tangan. Di samping dapat memperkenalkan budaya tempatan
kepada pelancong asing, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan
silaturahim dalam kalangan mereka. Melalui aktiviti ini, banyak nilai murni
dapat diserap dalam jiwa pelancong-pelancong kerana ketika menyertai
aktiviti-aktiviti tersebut mereka diasuh untuk saling membantu ibarat hati
gajah sama dilapah,hati kuman sama dicecah. Seandainya aktiviti rekreasi
tidak dilaksanakan dengan penuh komitmen, sudah pasti industri
pelancongan desa akan terus mundur dan berada di takuk lama. Ringkasnya,
pihak pengurusan inap desa perlu menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi
sebagai uslub penting untuk memajukan industri pelancongan desa di negara
kita.

Di samping itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dan


Kebudayaan juga haruslah memainkan peranan mereka dengan
mempromosikan kawasan pelancongan di desa kepada pelancong dalam dan
luar negeri. Pihak Kementerian Pelancongan haruslah menitikberatkan
perkara ini kerana tidak banyak rakyat Malaysia dan pelancong asing
mengenali kawasan-kawasan yang strategik untuk melancong dan melawat
kawasan desa di negara kita. Antara langkah yang dapat diambil untuk
mempromosikan kawasan pelancongan di desa adalah dengan mengadakan
kempen. Pihak media massa dan media elektronik juga haruslah memainkan
peranan mereka dalam menjayakan kempen pelancongan ini dengan
menyiarkan dan memaparkan lokasi-lokasi di desa yang strategik untuk
dijadikan kawasan pelancongan. Pihak kerajaan juga haruslah campur tangan
dalam hal ini dengan mengadakan festival-festival seni dan kebudayaan di
kawasan-kawasan desa yang terpilih untuk menambah minat pelancong lagi
untuk mengenali dengan lebih mendalam tentang kebudayaan dan adat
resam sesebuah masyarakat di desa itu. Sebagai contoh, untuk menarik
minat kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara adalah dengan
mengadakan pesta wau, pesta mencanting batik dan pesta kebudayaan
masyarakat di kawasan desa itu. Secara tidak langsung, pelancong akan
mengunjungi kawasan itu untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi
tentang kebudayaan di situ bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.
Pendek kata, peranan pihak kerajaan mempromosikan kawasan pelancongan
di desa kepada pelancong dalam dan luar negeri dapat menambahkan
kehadiran pelancong di negara ini.

Jika dilihat dari skop yang berbeza, kerajaan negeri melalui pihak
berkuasa tempatan perlu membangunkan kawasan desa sebagai langkah
untuk memajukan industri pelancongan desa. Berdasarkan kajian yang telah
dibuat menunjukkan bahawa masih terdapat banyak tempat menarik di
Malaysia yang mampu dieksploitasi sebagai tempat pelancongan khususnya
di kawasan-kawasan desa. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa tempatan
seharusnya mengambil langkah proaktif dengan membangunkan sesebuah
desa menjadi sebuah pusat pelancongan. Pihak kerajaan bolehlah mendirikan
sekurang-kurangnya satu industri dalam sesebuah desa seperti industri
pemprosesan makanan, batik dan kraf tangan. Industri desa haruslah
diperkembangkan supaya tidak lesu serta dapat memberikan pulangan yang
lumayan dalam industri pelancongan. Andainya kerajaan negeri melalui pihak
berkuasa tempatan mengambil langkah sebegini, maka industri pelancongan
desa di negara kita dapat terus berkembang maju. Izharlah bahawa untuk
memajukan industri desa, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan
hendaklah membangunkan kawasan desa sebagai salah satu pusat
pelancongan desa.

Secara intihanya, bayang kian jelas bahawa usaha semua pihak


sangat signifikan dalam memajukan industri pelancongan desa di negara
kita. Seandainya langkah untuk mempromosikan kawasan pelancongan di
desa tidak diambil serius oleh pihak kerajaan, kempen Cuti-cuti Malaysia dan
Tahun Melawat Malaysia tidak dapat dijayakan, seterusnya menjatuhkan
kekukuhan sektor pelancongan di negara kita. Oleh itu, pihak yang berautoriti
perlulah melakukan pelbagai anjakan paradigma untuk memastikan industri
desa terus bersinar di negara kita. Namun begitu, kita tidak seharusnya
meletakkan obligasi berat ini kepada pihak tertentu sahaja kerana bertepuk
sebelah tangan takkan berbunyi. Jadi, semua pihak haruslah memainkan
peranan dan bekerjasama bagai aur dan tebing dalam merealisasikan modus
operandi untuk memajukan pelancongan desa di negara kita. Komitmen jitu
daripada semua pihak dapat memacu pertumbuhan industri-industri
berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam
pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.
Diharapkan usaha bersama ini dapat dapat menangkis pandangan negatif
negara-negara Barat yang suatu ketika dahulu pernah mengatakan negara
kita sebagai sebuah negara yang penduduknya tinggal di atas pokok dan
bercawat. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar
dan biarlah industri pelancongan desa dapat menaikkan nama negara di
mata dunia walaupun negara kita merupakan satu titik kecil di atas peta.
Malaysia Boleh!

3. Usaha-usaha memajukan industri pelancongan negara (NEGARA)


(a) Kempen dan usaha mempromosikan Malaysia di persada dunia
(b) memajukan infrastruktur awam dan prasarana negara
(c) menitikberatkan aspek kebersihan
(d) keselamatan pelancong harus dipertingkatkan
(e) pihak berkuasa perlu menghapuskan atau mengurangkan cukai belian
barangan di negara ini

4. Kebaikan sektor pelancongan kepada negara kita (NEGARA)


(a) memajukan ekonomi negara pengaliran wang masuk pelancong
berbelanja
(b) meningkatkan imej negara layanan mesra rakyat tempatan
(c) memajukan industri tempatan industri kraftangan, inap desa, industri
perhotelan peluang pekerjaan - mengurangkan kadar pengangguran
negara
(d) memperkenalkan budaya dan adat resam kepada rakyat asing
(e) dapat menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara luar

5. Keistimewaan / Keunikan Malaysia sebagai destinasi


pelancongan (NEGARA)
(a) Keindahan flora dan fauna
(b) Keunikan adat resam dan kebudayaan masyarakat Malaysia
(c) Kestabilan politik
(d) Keindahan pantai yang bersih
(e) Keramahan rakyat

Keamanan sejagat merupakan tanggungjawab global. Oleh itu, setiap negara


wajar melaksanakan pelbagai cara untuk mengekalkan keamanan negara dan
antarabangsa. Bincangkan.

Pertelingkahan politik dalam negara seperti di Syria, konflik antara


kaum yang masih melanda Sri Lanka dan pembunuhan etnik yang pernah
terjadi di Bosnia Herzergovina serta Rwanda memberikan bayangan bahawa
keamanan di dunia amat goyah ibarat buih-buih di lautan. Oleh yang
demikian, usaha mewujudkan keamanan dunia menjadi agenda perdana
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Walau bagaimanapun, setiap
negara tidak boleh bergantung semata-mata kepada badan dunia itu, malah
setiap negara perlu mengambil inisiatif untuk mengekalkan keamanan dalam
negara mahupun antarabangsa.
Tidak boleh dinafikan bahawa perpaduan antara rakyat merupakan
kunci keamanan sesebuah negara terutamanya di negara yang berbilang
bangsa dan agama seperti Malaysia. Oleh itu, usaha mewujudkan semangat
bersatu padu dalam kalangan rakyat hendaklah dilaksanakan secara serius
dan berterusan. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang pernah mencalar sejarah
Malaysia membuktikan bahawa ikatan perpaduan dalam kalangan rakyat
berbilang kaum sangat rapuh. Mainan sentimen perkauman yang keterlaluan
ibarat percikan api telah menyemarakan gelombang kebencian antara kaum.
Impaknya, peristiwa berkenaan telah meninggalkan parut walaupun lukanya
sudah sembuh kepada mangsanya. Atas dasar tidak mahu pisang berbuah
dua kali kerajaan Barisan Nasional telah ditubuhkan bagi membentuk
kerjasama pintar antara parti politik yang mewakili setiap kaum. Tegasnya,
pertelingkahan dalam kalangan rakyat hanya akan merugikan negara kerana
pihak yang kalah menjadi abu tetapi pihak yang menang menjadi arang.
Pada masa yang sama keamanan sejagat juga mampu diwujudkan
dengan cara menjalin hubungan kerjasama antara negara serantau. Impak
daripada kerjasama antara negara dapat memupuk persefahaman antara
negara serantau ibarat aur dan tebing Sehubungan itu, Malaysia telah
menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan
Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Negara-negara Berkecuali
(NAM), dan Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC) di samping
menjalin hubungan diplomatik dengan setiap negara di dunia kecuali Israel.
Penglibatan Malaysia dalam pertubuhan-pertubuhan berkenaan adalah untuk
menjalin kerjasama dari aspek politik, ekonomi, dan sosial serta
membincangkan usaha untuk menyelesaikan konflik antara negara anggota.
Intihanya, hubungan baik antara negara mampu menjadikan planet Bumi ini
sebagai sebuah petempatan untuk manusia yang aman dan makmur.
Marcapada, perbalahan antara negara seakan-akan sukar untuk
dielakkan apabila masing-masing cuba mengeksploitasi sumber kekayaan
yang terdapat di muka bumi ini demi kelangsungan ekonomi negara masing-
masing. Apabila keadaan ini terjadi maka meja rundingan ialah platform yang
paling ampuh untuk menyelesaikan konflik yang timbul dan bukannya
dengan mengangkat senjata. Dalam hal ini, Mahkamah Keadilan
Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda telah banyak berjasa dalam
menyelesaikan pertikaian antara negara seperti perebutan Pulau Ligitan dan
Sipadan oleh Malaysia dan Indonesia serta Pulau Batu Putih antara Malaysia
dan Singapura. Tuntasnya, setiap perumitan yang timbul hendaklah
diselesaikan dengan penuh berhemah ibarat menarik rambut di dalam
tepung, rambut tidak putus, manakala tepung pula tidak berselerak.
Akhir sekali, keamanan negara mahupun antarabangsa boleh
dikekalkan jika layanan yang adil dan saksama diberikan kepada semua
pihak. Tamsilannya, di Malaysia, kerajaan telah memperkenalkan Dasar
Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk memastikan setiap kaum
mendapat hak yang adil dan saksama untuk menikmati kemakmuran negara.
Begitulah yang seharusnya berlaku di peringkat antarabangsa. Kuasa-kuasa
besar dunia sewajarnya memberikan layanan yang adil kepada semua negara
tanpa melabelkan negara-negara yang tertentu sebagai sekutu ataupun
seteru. Buktinya, peristiwa 11 September 2001 dikatakan berpunca daripada
kebencian puak militan terhadap Amerika Syarikat yang bersikap pilih kasih
dalam isu-isu antarabangsa yang memberikan keuntungan kepada rakan
sekutunya, khususnya Israel. Kempen memerangi keganasan tajaan Amerika
Syarikat juga ternyata telah gagal untuk mengekalkan keamanan dunia
malah negara Uncle Sam itu ibarat tikus membaiki labu apabila keamanan
dunia bertambah buruk lantaran polisi pilih bulu pemimpin negara
berkenaan. Rumusannya, keadilan dan kesaksamaan layanan antara semua
pihak merupakan kunci keamanan sesebuah negara dan buana.
Deduksinya, prakarsa untuk mewujudkan keamanan dalam negara
dan antarabangsa tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja. Perpaduan
dalam kalangan rakyat harus dipupuk sejak kecil, ibarat melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Selain itu, hubungan kerjasama antara negara harus
dipererat dan budaya bermusyawarah hendaklah diamalakan untuk
menyelesaikan sesuatu perbalahan. Tambahan lagi, semua pihak harus
dilayan secara adil dan saksama untuk mewujudkan keamanan sejagat.
Sesungguhnya, umat manusia harus sedar bahawa planet ini adalah untuk
semua makhluk ciptaan-Nya dan manusia sebagai khalifah-Nya harus
memastikan dunia terus makmur dan aman.

Setiap kaum di Malaysia mengamalkan budaya warisan kaum


masing-masing seperti cara berpakaian dan adat
perkahwinan. Jelaskan kepentingan-kepentingan
mengekalkan budaya warisan tersebut.

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk yang berbilang


kaum. Tiga kaum yang terbesar terdapat di negara ini ialah kaum Melayu, Cina dan
India. Perkara ini juga merupakan salah satu keunikan Malaysia berbanding negara lain
di dunia. Kewujudan pelbagai kaum ini telah menyebabkan variasi dalam pelbagai bentuk
aspek kehidupan seperti makanan yang berlainan untuk setiap kaum, cara berpakaian dan
pakaian tradisional mengikut mengikut kaum masing-masing, adat melangsungkan
perkahwinan mengikut agama dan kepercayaan serta bahasa. Seperti yang telah
termaktub dalam perlembangan Malaysia, agama Islam merupakan agama rasmi negara
tetapi agama lain bebas diamalkan. Oleh itu, pelbagai budaya warisan telah wujud di
Malaysia sejak dahulu lagi. Namun, pada zaman era globalisasi ini, pelbagai masalah
datang menghampiri masyarakat dengan kemasukan budaya-budaya luar seperti budaya
Barat dalam kehidupan seharian menyebabkan keaslian budaya warisan pelbagai kaum
terhakis. Sebagai masyarakat Malaysia, usaha mengekalkan budaya warisan pelbagai
kaum adalah amat penting.

Antara kepentingan mengekalkan budaya warisan kaum masing-masing adalah sebagai


tanda ketaatan dan kepatuhan terhadap agama masing-masing. Setiap adat yang
diamalkan oleh sesuatu kaum, pasti berkait rapat dengan kepercayaan dan agama kaum
tersebut. Contohnya, adat melayan tetamu dalam masyarakat Melayu adalah dengan cara
melayan tetamu sebaik-baiknya. Hal ini berkaitan dengan ajaran Islam yang menyuruh
umatnya melayan tetamu dengan sebaik-baik mungkin kerana tetamu yang datang ke
rumah membawa rahmat. Selain itu, dalam adat berpakaian pula, masyarakat Melayu
memakai baju kurung yang agak longgar. Hal ini kerana agama Islam meyuruh umatnya
memakai pakaian yang longgar dan sopan bertepatan dengan potongan baju kurung.
Perkara ini jelas menunjukan bahawa adalah amat penting untuk mengekalkan budaya
warisan sebagai tanda ketaatan dan kepatuhan terhadap agama dan kepercayaan masing-
masing.

Seterusnya, kepentingan mengekalkan budaya warisan adalah untuk mengekalkan


daripada terus dilupakan dan hilang ditelan zaman. Warisan ini seharusnya dikekalkan
supaya dapat diwarisi oleh generasi akan datang agar tak lapuk dek hujan, dan tak lekang
dek panas. Hal ini juga penting bagi mengelakkan masyarakat terpengaruh dengan
budaya Barat yang boleh merosakkan bangsa kita. Kemasukan budaya Barat dalam
budaya warisan kita dikhuatiri akan merosakkan generasi yang akan datang dengan
pengaruh negatif yang dibawa oleh mereka. Perkara ini juga penting untuk mengelakkan
negara kita daripada dijajah lagi oleh negara luar sama ada dari segi mental dan fizikal.
Sudah terang lagi bersuluh hal ini menunjukkan bahawa amat penting untuk kita
mengekalkan budaya warisan bangsa agar budaya Barat tidak dapat menyerap masuk ke
dalam diri anak-anak muda yang merupakan bakal pemimpin negara pada masa yang
akan datang.

Selanjutnya kepentingan mengekalkan budaya warisan adalah untuk menunjukkan


identiti kaum masing.masing. Misalnya, kita dapat mengenali sesuatu kaum melalui cara
berpakaian mereka. Contohnya baju Melayu atau baju kurung merupakan pakaian
tradisional orang Melayu. Manakala, Cheongsam merupakan pakaian tradisional
masyarakat China dan Sari merupakan pakaian tradisional masyarakat India. Perkara ini
penting supaya kita dapat mengenali adat dan budaya kaum lain dengan lebih mendalam
dan kita akan lebih menghormati kaum mereka. Identiti kaum adalah penting untuk
menunjukkan keunikan kaum masing-masing kerana setiap kaum pasti mempunyai
keunikan yang tersendiri. Melalui cara ini jugakita dapat memperkenalkan budaya kita
kepada orang luar. Tegasnya, pengekalan budaya warisan amat penting untuk
menunjukkan identiti kaum masing-masing kepada masyarakat luar.

Akhirnya, kepentingan mengekalkan budaya warisan adalah untuk menunjukkan variasi


dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Perkara ini boleh dijadikan sebagai satu bahan
tarikan pelancong di Malaysia. Makanan yang pelbagai, bahasa yang bermacam-macam
memudahkan komunikasi antara anggota masyarakat dengan pelancong asing. Malahan
pakaian tradisional serta adat-adat yang diamalkan oleh kaum masing-masing amat
menarik bagi orang luar. Tambahan pula, dengan suasana negara dan keadaan yang aman
damai ini telah mendorong kemasukan pelancong asing. Kemasukan pelancong asing
menyebabkan berlaku pertukaran wang asing dan ini menyebabkan ekonomi Malaysia
meningkat. Perkara ini diumpamakan sambil menyelam minum air kerana di samping
mengekalkan budaya warisan bangsa , kita juga dapat menolong meningkatkan ekonomi
negara .Jelaslah bahawa mengekalkan budaya warisan bangsa adalah penting bagi
meningkatkan kadar kemasukan pelancong asing ke negara kita.

Kesimpulannya, budaya warisan seharusnya dikekalkan bagi mengelakkan budaya


tersebut pupus ditelan zaman. Hal ini demikian kerana budaya ini merupakan warisan
daripada nenek moyang kita yang harus dijaga sebaik-baiknya agar dapat diwarisi oleh
generasi akan datang justeru semua pihak haruslah memainkan peranan dalam menjaga
warisan bangsa sebagai satu identiti kaum dan maruah bangsa.
. KEBAIKAN PENGANJURAN SUKAN ANTARABANGSA

Negara kita pernah diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah


kepada sukan bertaraf dunia. Tahun 1998 merupakan detik bersejarah
kepada Malaysia dan Asia kerana Sukan Komanwel yang ke-16 telah
berlangsung dari 11 hingga 21 September di negara kita. Sukan SEA juga
dianjurkan di Malaysia pada tahun 2001. Penganjuran sukan bertaraf dunia
merupakan langkah ke arah merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020 yang
merupakan inspirasi dan wawasan pembangunan negara yang dapat
melahirkan masyarakat yang maju, penyayang, demokratik dan sejahtera.
Negara kita amat bertuah kerana telah terpilih menjadi tuan rumah bagi
acara sukan yang bertaraf dunia. Hal ini merupakan satu peluang keemasan
bagi negara kita untuk menonjolkan imej dan kewibawaan Malaysia di arena
antarabangsa. Selain Sukan Komanwel, negara kita juga pernah menjadi
penganjur perlawanan bola sepak, Piala Thomas, Le Tour de Langkawi, dan
sebagainya. Persoalannya sekarang apakah faedah penganjuran sukan
bertaraf dunia kepada rakyat dan negara kita?

Kemaslahatan penganjuran sukan bertaraf dunia kepada negara ialah


pendapatan negara akan meningkat sekiranya berjaya menjadi tuan rumah
sukan antarabangsa. Hal ini dikatakan demikian kerana pertandingan sukan
seumpama ini akan membawa pelancong dan peminat sukan yang banyak
untuk melawat ke negara kita. Secara tidak langsung, kedatangan mereka ini
akan memajukan industri pelancongan dan perhotelan negara. Industri
pelancongan dapat memberikan pulangan yang lumayan kepada negara. Biar
kita imbas kembali Sukan Olimpik yang diadakan di Atlanta. Negara Amerika
telah mendapat keuntungan sebanyak US20 bilion dalam penganjuran
temasya sukan berprestij ini. Memang benar kata mantan Perdana Menteri
Malaysia, iaitu penganjuran Sukan Komanwel dapat membantu negara
mengatasi masalah kegawatan ekonomi yang semakin melarat pada masa
itu. Para pelancong dan peminat sukan bukan sahaja membeli tiket sukan,
tetapi mereka turut membeli cenderamata dan hasil kraf tangan yang
dihasilkan oleh penduduk Malaysia. Maka, industri kecil dan industri hiliran
dapat berkembang dengan lebih maju lalu ekonomi negara dapat dijana.

Penganjuran sukan bertaraf dunia merupakan instrumen perpaduan


yang berkesan untuk mencapai integrasi nasional. Perpaduan yang dipupuk
bukan sahaja dalam kalangan rakyat tetapi juga mendorong rakyat yang
berbilang bangsa, etnik dan budaya menggemblengkan semangat berbakti
dan berkorban untuk negara. Sebagai contoh, pihak badan bukan kerajaan
berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk menjayakan Sukan Komanwel
secara sukarela. Bukan itu sahaja, hal ini juga dapat mengukuhkan nilai
perpaduan seperti toleransi, kerjasama, meletakkan kepentingan kebangsaan
melebihi kepentingan peribadi. Dengan memupuk perpaduan dalam kalangan
rakyat, mereka akan memberikan sokongan yang padu kepada atlet negara
kita untuk memenangi sesuatu perlawanan. Penganjuran sukan dapat
melahirkan semangat kekitaan dalam sesuatu pasukan untuk meraih
kejayaan kerana bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat. Lantaran itu, tanpa muafakat amat sukar untuk sesuatu pasukan
itu mencapai kejayaan. Jadi, perpaduan antara kaum dapat dilahirkan melalui
penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.

Dengan menganjurkan sukan seumpama ini, mutu sukan negara kita


pasti bertambah baik. Melalui sukan bertaraf antarabangsa, kita dapat
meniru teknik-teknik latihan yang digunakan dan kelengkapan yang
disediakan oleh negara tersebut. Tamsilnya, dalam sukan badminton dan bola
sepak, kita boleh mempelajari teknik pengurusan dan melihat kelengkapan
prasarana sukan. Dengan cara ini, atlet kita akan mengetahui punca
kegagalan mereka dan membaiki kelemahan mereka. Oleh itu, mereka akan
berlatih dengan lebih giat lagi demi mencapai tahap yang diharapkan.
Mereka juga akan berlatih dengan berdisiplin demi mencapai prestasi yang
diharapkan. Pendek kata, prestasi sukan dan atlet negara akan meningkat
jika kita sering menganjurkan sukan bertaraf antarabangsa.

Sebagai konklusinya, penganjuran sukan yang bertaraf dunia akan


membawa negara kita ke era kecemerlangan yang lebih membanggakan.
Semua pihak sama ada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan mahupun
rakyat jelata yang lain harus berganding bahu dan menggembleng
tenaga ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk menjayakan
pertandingan sukan yang diadakan dan menolong membuat persiapan
sepenuhnya. Dengan kerjasama daripada pelbagai pihak, acara sukan yang
diadakan di negara kita akan dapat berjalan dengan lancar. Penganjuran
sukan bertaraf dunia merupakan salah satu cara pemodenan sukan yang
dapat memperbaik prestasi sukan yang diidamkan oleh setiap negara.
Dengan ini, diharapkan agar manfaat-manfaat yang tidak ternilai harganya
semasa penganjuran sukan bertaraf dunia harus dihayati dan dapat dinikmati
oleh semua rakyat di nusa yang tercinta ini.
cara untuk memajukan sektor pertanian

Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang penting ynag


mendapat tumpuan dalam perdagangan dunia kerana sektor ini merupakan
pembekal makanan dan sumber bahan mentah kepada penduduk di dunia. Di
Malaysia, sektor pertanian amat penting dan meyumbang lima peratus
kapada pendapatan kasar negara. Hal ini dapat membantu meningkatkan
pendapatan negara dan secara tidak langsung dapat membantu ekonomi
negara kita. Sektor pertanian di Malaysia berfungsi sebagai pembekal sumber
makanan kepada seluruh penduduk di Malaysia. Namun begitu kita masih lagi
mengimport tenaga asing dalam sektor perladangan dan di sektor lain.
Ramai dalam kalangan masyarakat kita masih tidak peduli tentang sektor
pertanian ini, padahal sektor ini mempunyai potensi yang besar untuk di
majukan.

Masalah sektor ini belum dapat dimajukan ialah negara kita kekurangan
tenaga kerja mahir dan separa mahir. Hal ini demikian kerana ramai ramai
golongan muda terutama golongan mahasiswa dan mahasiswi tidak berminat
untuk mempelajari dan menceburi bidang pertanian ini kerana mereka tidak
mahu bersusah payah di bawah panas terik matahari dan lebih
mementingkan keselesaan diri sendiri serta berminat untuk makan gaji.
Namun demikian golongan ini kurang meneroka untuk mengaplikasikan apa
yang mereka pelajari itu denagn sektor pertanian. Sebagai contoh, pelajar
yang mengambil jurusan sains boleh menggabungkan bidang sains dan
pertanian untuk menghasilkan satu bidang pertanian ynag lebih moden iaitu
bioteknologi. Golongan ini jugaharus menyedari bahawa sekarang ini sektor
pertanian di dominasi oleh golongan tua dan ini menyebabkan produktiviti
menjadi rendah. Dengan itu, golongan belia ynag mempunyai banyak kudrat
harus membantu membangunkan sektor ini.

Usaha yang dapat dilakukan untuk memajukan sektor pertanian ini boleh
dilaksanakan dengan bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani .
Kementerian ini bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pertanian termasuk
perikanan dan ternakan. Kementerian ini juga memberi peruntukan yang
besar untuk membuat penyelidikan dalam sektor tertentu. Contohnya,
Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI). Mardi
ditubuhkan dengan matlamat memajukan dan menggiatkan teknologi
bersesuaian yang baru dan yang berkait dalam industri pertanian di Malaysia.
Teknologi ini bertujuan meningkatkan penghasilan dan keberkesanan denagn
memodenkan sektor pertanian selain membantu meningkatkan
pulangan petani. Selain Mardi, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga
berperanan membantu dalam sektor pertanian khususnya kelapa sawit.
MPOB di pertanggungjawabkan untuk meneraju dan membangunkan industri
sawit negara. Industri ini merupakan bahan eksport utama ke luar negara
contohnya ke Amerika Syarikat. Hasil daripada penyelidikan ini juga,
penemuan teknologi dan inovasi baru telah dikomersialkan. Contohnya
penggunaan biojisim dan biodiesel, penjenteraan ladang serta kawalan
serangga dan penyakit. Oleh itu, bantu kementerian ini amat diperlukan.

Seterusnya, strategi pemasaran untuk memperkenalkan jentera-jentera


pertanian, bahan pertanian, baja organik serta benih-benih ynag telah
diinovasikan untuk menghasilkan pokok yang bervariasi contohnya orkid.
Pameran Pertanian, Horikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2006 (MAHA
2006) merupakan pameran pertanian yang diadakan di Taman Ekspo
Pertanian Malaysia (MAEPS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian
Malaysia di (MARDI) Serdang Selangor. Lebih seratus jenis orkid di pamerkan
pada pameran pertanian itu termasuk dua spesis hybrid orkid baru yang
dilancarkan iaitu Dendrobium dan Ascorahnis . Spesis ini amat cantik dan
mempunyai saiz bunga yang lebih besar serta mampu bertahan sehingga
tiga bulan. Dengan adanya pameran seperti ini Malaysia dapat menarik
perhatian sektor pertanian luar negara untuk bersama-sama memajukan
bidang pertanian. D samping itu, pameran ini dapat membantu hubungan
dua hala Malaysia dengan negara lain untuk mengembangkan bidang ynag
berkaitan dengan pertanian seperti perikanan dan ternakan. Pertanian hiliran
juga boleh dilakukan untuk memasarkan sesuatu produk yang lebihlama ke
pasaran antarabangsa. Contohnya, buah pisang ialah buah yang cepat busuk
dan tidak tahan lama. Hal ini dapat diatasi dengan menghasilkan makanan
segera seperti kerepek pisang yang bukan sahaja mempunyai tempoh
pasaran ynag lebih lama tetapi juga harga yang tinggi. Oleh itu, para petani
yang sedia ada dan yang bakal menceburi bidang ini seharusnya mempunyai
pengetahuan yang tinngi tentang strategi pemasaran ynag berkasan.
Teknologi moden untuk menggandakan hasil pengeluaran sesuatu
produk boleh dilaksanakan dengan menggabungkan teknologi sains dan
pertanian. Kaedah ini dipanggil sebagai bioteknologi.bioteknologi
menghasilkan manfaat ketara seperti pengurangan kos pengeluaran,
peningkatan hasil pertanian, pengurangan penggunaan racun perosak dan
racun herba. Pelbagai kaedah digunakan untuk meningkatkan kualiti dan
kuantiti pengeluaran makanan. Contohnya, kaedah pembiakbakaan yang
sering digunakan dalam menghasilkan kelapa sawit yang lebih berkualiti.
Kelapa sawit sepsis Tenera dihasilkan melalui pembiakbakaan dua sepsis
kelapa sawit iaitu sepsis dura dan pisifera. Manakala kawalan biologi juga
dapat membantu meningkatkan hasil produk. Kaedah ini sering digunakan di
kawasan ladang kelapa sawit bagi mengawal kerosakan buah oleh tikus.
Mereka lazimnya menggunakan ular atau burung hantu untuk memakan tikus
tersebut. Kaedah ini merupakan kaedah ynag mesra alam dan tidak
mencemarkan alam sekitar kerana tidak melibatkan bahan kimia dan hanya
menggunakan sifat semula jadi haiwan ynag berkenaan. Dengan itu,
penggunaan teknologi moden amat diperlukan dalam dunia yang kian
berkembang.

Usaha lain yang dapat dilakukan ialah bantuan kewangan dan


perundingan. Pihak bank pertanian khususnya boleh memberi pinjaman
kepada para petani untuk memulakan projek pertanian mereka. Pinjaman yng
dibuat dapat membantu membeli jentera bagi menggantikan tenaga manusia
dan membeli benih yang lebih bermutu .skim pinjaman yang berkadar
faedah rendah perlu disediakan oleh bank, terutamanya Agrobank untuk
pekabun kecil. Sebagai contoh, Agrobank telah menawarkan Modal
Usahawan 1 Malaysia kepada petani kita untuk mengusahakan industry kecil
dan sederhana IKS yang berasaskan pertanian. Bak kata pepatah, ada padi
semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras. Dengan adanya skim mikro,
pekebun kecil dapat megusahakan pertanian atau penternakansecara
komersial dan saintifik dan berupaya menjalankan iks.oleh itu, pihak bank
amat membantu dalam mengubah hidup para petani kita.

Tuntasnya, kata orang tua-tua, genggam bara api biar sapai jadi
arang.semua pihak yang terlibat perlu menggembleng tenaga untuk
memajukan sektor ini. ibu bapa harus memainkan peranan untuk memberi
pendedahan tentang kelebihan bidang pertanian kepada anak anak sejak
mereka kecil lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Ibu bapa juga boleh menyemai sikap cinta akan pertanian dalam diri anak-
anak dengan membawa mereka ke pameran pertanian seperti MAHA yang
dijalankan setiap dua tahun untuk memdedahkan anak-anak dalam
dunia pertanian yang menguntungkan. Kita juga harus mengubah persepsi
masyarakat kita bahawa bidang pertanian ini amat menguntungkan dan
bukannya memenatkan sahaja..bak kata pujangga Aminuddin Baki, ayam
dikepuk mati kelaparan,itik di air mati kehausan. Kiasan tersebut memberikan
tamparan pedas bahawa apa-apa bidang sekalipun jika tidak diusahakan
dengan segala ikhtiar dan kebijaksanaan, kita tidak akan dapat mengubah
hidup kita.

Sukan merupakan wadah untuk menyatupadukan masyarakat seluruh


warga dunia tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Sukan juga
merupakan suatu instrumen untuk menaikkan nama Malaysia di persada
dunia. Negara kita sendiri telah berjaya menganjurkan beberapa kejohanan
sukan peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel 1998, Grand Prix
Formula One, Le Tour de Langkawi, Monsoon Cup dan sebagainya. Kejayaan
penganjuran kejohanan-kejohanan tersebut telah memberikan imej yang
positif kepada negara kita pada peringkat antarabangsa. Hal ini telah
membuktikan bahawa Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi dengan negara lain. Kejayaan ini telah mendatangkan kesan positif
terhadap Malaysia daripada pelbagai aspek.

Kesan positif yang paling ketara dapat kita lihat ialah kedatangan
pelancong asing semakin meningkat ke negara kita. Melalui penganjuran
sukan bertaraf dunia, industri pelancongan sukan di negara kita akan
mengalami kemajuan. Hal ini sekali gus mampu menjana ekonomi negara
dari segi tukaran mata wang asing. Sebagai contohnya, penganjuran
kejohanan sukan antarabangsa yang diadakan secara tahunan di Malaysia
seperti Grand Prix Formula One dan Le Tour de Langkawi telah berjaya
menarik banyak pelancong asing, bak kata pepatah, Di mana ada gula, di
situ ada semut. Para pelancong berkunjung ke Malaysia semata-mata untuk
menonton pertandingan sukan ini secara langsung. Di samping itu, pihak
kerajaan melalui Kementerian Pelancongan dapat mempromosikan Malaysia
kepada masyarakat antarabangsa. Hal ini akan menyumbang kepada
pertumbuhan ekonomi negara yang mapan. Oleh itu, penganjuran sukan
antarabangsa perlu diteruskan kerana banyak memberikan manfaat kepada
ekonomi negara kita.

Kejohanan sukan yang berprestij pastinya akan mendapat liputan yang


meluas dari seluruh dunia. Bagi mereka yang tidak dapat menyaksikan
kejohanan sukan yang dipertandingkan secara langsung, mereka boleh
menyaksikannya melalui media massa seperti televisyen dan radio. Banyak
siaran langsung dibuat oleh negara-negara yang mengambil bahagian untuk
melaporkan perkembangan kejohanan itu kepada penduduk di negara
masing-masing. Oleh itu, masyarakat dari seluruh dunia dapat menyaksikan
kejohanan sukan yang diadakan di negara kita. Secara tidak langsung, orang
yang tidak tahu akan kewujudan Malaysia akan mengenalinya melalui
liputan-liputan yang disampaikan. Perkara ini akan meningkatkan imej
Malaysia ke seluruh dunia.

Selain itu, melalui penganjuran sukan antarabangsa, negara kita dapat


menjalin dan mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara yang terlibat.
Kerjasama yang sudah terjalin pula akan bertambah erat dengan adanya
penglibatan dalam bidang sukan. Sebagai contohnya, Malaysia telah menjalin
hubungan kerjasama dengan beberapa buah negara di Asia dan Eropah bagi
memajukan sukan di Malaysia. Hal ini dapat dilihat apabila para pemimpin
dari seluruh dunia akan menghadiri upacara perasmian dan penutupan
sesuatu kejohanan. Dengan cara itu, sudah pasti para pemimpin tersebut
akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan hubungan diplomatik
antara negara mereka termasuk Malaysia. Dengan adanya hubungan
diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara yang terlibat, tentunya
negara kita akan mendapat kelebihan daripada pelbagai aspek.

Di samping itu, kita sentiasa mendengar bahawa sukan merupakan


wadah untuk perpaduan. Melalui penganjuran sukan antarabangsa, kita
dapat mengeratkan perpaduan sejagat antara masyarakat dari seluruh dunia.
Sebarang pertelingkahan, pergaduhan dan permusuhan dapat dilupakan dan
mereka dapat menerima kekalahan dengan semangat kesukanan. Sebagai
contohnya, semasa Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia iaitu ketika Dato
Lee Chong Wei menewaskan Taufik Hidayat dari Indonesia pada peringkat
akhir, mereka masih boleh bergurau antara satu sama lain dan berpelukan
sebagai tanda persahabatan. Hal ini menunjukkan bahawa perpaduan melalui
penganjuran sukan juga boleh diwujudkan kerana sukan dilihat mampu
memecahkan tembok perbezaan kaum. Oleh itu, nama Malaysia akan
dijulang sebagai juara perpaduan kerana sikap kerjasama dan toleransi bagai
aur dengan tebing.

Selain agen perpaduan, penganjuran sukan peringkat antarabangsa ini


juga akan meningkatkan mutu sukan negara kita. Hal ini demikian kerana,
ahli sukan di negara kita dapat menyaksikan kehebatan ahli sukan dari
seluruh dunia bertanding di negara kita. Bagi ahli sukan negara sendiri yang
bertanding dalam sesuatu acara itu, sudah pasti mreka akan mendapat
suntikan semangat yang lebih daripada penyokong-penyokong tempatan. Hal
ini akan menyebabkan mereka lebih bersemangat untuk bertanding. Selain
itu, mereka akan membuat persediaan yang lebih rapi dan membiasakan diri
dengan gelanggang perlawanan sebenar untuk membuktikan bahawa
kejayaan akan menjadi milik negara kita sendiri di samping slogan Malaysia
Boleh.

Konklusinya, penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa terbukti


mendatangkan pelbagai kesan positif terhadap perkembangan Malaysia. Di
samping itu, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan bagi
mengangkat martabat Malaysia di pentas antarabangsa. Pihak kerajaan
terutamanya haruslah sentiasa membida hak untuk menganjurkan kejohanan
sukan bertaraf antarabangsa dengan lebih kerap agar negara Malaysia akan
lebih dikenali. Selain itu, penganjuran sukan juga mampu menjana ekonomi
negara yang agak lembap sejak akhir-akhir ini. Hal ini boleh diibaratkan
seperti serampang dua mata. Oleh itu, kita berharap agar matlamat negara
untuk terus menjadi penganjur kejohanan-kejohanan sukan antarabangsa
akan menjadi kenyataan

CONTOH JAWAPAN kepentingan industri halal

Memetik firman Allah dalam al Quran (Surah al Baqarah ayat 168)


yang bermaksud, Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa-apa yang
ada di bumi, makanan yang halal lagi baik. Dalam agama Islam, perihal halal
amat dipandang berat. Sebarang salah laku kerana mengambil makanan
yang tidak halal adalah berdosa besar. Secara universal pula larangan
tersebut bertepatan dengan budaya dan amalan kepercayaan lain
juga. Oleh hal yang demikian, inisiatif Malaysia dalam menghasilkan produk
makanan halal mula mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa
kerana terjamin dari segi kebersihan dan kesuciannya. Sebenarnya, usaha
Malaysia itu telah mendorong pelbagai impak positif melalui penghasilan
produk makanan halal.

Sebagai perintis dalam industri ini, Malaysia bakal menjadi hub


produk halal sama ada di peringkat wilayah mahupun antarabangsa. Hal
demikian kerana, produk halal amat diperlukan oleh 1.7 bilion umat Islam
dunia. Dalam konteks yang berkaitan, langkah Malaysia amatlah pragmatik
kerana dapat menyelamatkan umat Islam di seluruh dunia terhadap tuntutan
fardhu Ain, yakni mengambil makanan yang halal adalah wajib. Seandainya
dalam enam dekad yang silam, Jepun telah berjaya meletakkan negaranya
sebagai hub industri automotif yang tersohor di dunia, nescaya bukan
mustahil Malaysia pula akan dikenali sebagai hub industri halal. Dengan hal
yang demikian, langkah yang diambil oleh Malaysia merupakan inisiatif yang
sangat strategik lagi pragmatik untuk menguasai industri makanan dalam
kalangan negara-negara Islam.

Apabila industri ini benar-benar berjaya, seyogia suatu lagi


rangkaian niaga dalam kalangan blok negara-negara Islam akan terbentuk.
Kita yakin sebagai perintis, Malaysia sudah pasti menjadi tumpuan seluruh
negara Islam untuk mendapatkan bekalan produk halal. Usaha ini juga turut
membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) agar dapat
berkembang selaras dengan permintaan global yang semakin tinggi. Pada
hari ini pun, beberapa buah negara telah mula mengadakan hubungan
dagang produk halal dengan Malaysia. Negara-negara tersebut seperti
Indonesia, Kazakhstan, Sri Lanka, Kuwait, UAE dan Arab Saudi bakal menjadi
pintu masuk pasaran baru eksport Malaysia berasaskan produk makanan
halal. Hanya sanya, langkah proaktif pihak pemain-pemain industri tempatan
sahaja yang akan menentukan sama ada langkah yang dirintis oleh kerajaan
Malaysia akan berjaya atau tidak.

Kepentingan bahasa dalam masyarakat

Dalam kerancakan penduduk jagat raya menari-nari bersama bayang-bayang


pemodenan, kerajaan yang diumpamakan sebagai jantung negara mestilah
menjalankan langkah proaktif bagi mengatasi setiap kemelut yang melanda
negara kita. Seperti yang kita ketahui, slogan Bahasa Jiwa Bangsa acap kali
di wara-warakan di dada-dada akhbar, di corong-corong radio dan televisyen
serta galakan daripada tokoh-tokoh terkemuka di negara kita sendiri. Namun
begitu, masih ada lagi insan yang tidak menghargai bahasa kebangsaan
sebaliknya mengagung-agungkan bahasa-bahasa lain terutama bahasa
Inggeris dan sebagainya. Lantaran itu, setiap individu tidak sewajarnya
memandang enteng terhadap perkara ini. Setiap pihak harus menggembleng
tenaga dalam memartabatkan bahasa kebangsaan supaya bumi emas
Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi setaraf dengan
negara-negara membangun yang lain. Bahasa kebangsaan mempunyai
pelbagai kepentingan terutamanya kepada masyarakat pelbagai kaum, yang
berbumbungkan langit yang sama, dan bertanahkan bumi Malaysia yang
dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu.

Pada zaman milenium ini, bahasa sudah biasa dijadikan sebagai cerucuk
utama dalam melambangkan sesuatu bangsa dan negara. Bahasa
merupakan satu simbolik perdana perdana dalam menentukan martabat
bangsa dan negara. Bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dapat
mengharumkan nama negara di seantero jagat ini. Sebagai contoh, ketika
zaman Kesultanan Melayu Melaka, Tanah Melayu telah menjadi palabuhan
entreport yang penting. Rentetan daripada itu, bahasa Melayu telah dijadikan
bahasa perhubungan atau lingua franca di Asia Tenggara. Jelaslah di sini
bahawa bahasa kebangsaan akan dipandang tinggi jika setiap rakyat
berusaha menghargainya.

Peribahasa ada mengatakan, tak kenal maka tak cinta, yang jelas
menunjukkan bahawa perlunya proses mengenali sebelum mencintai
sesuatu. Begitu juga dengan bahasa kita. Dengan mengenali bahasa
kebangsaan kita, kita sentiasa dapat menyemai sikap cintakan negara walau
ke pulau manapun kita dicampak. Sebagai contoh, jika kita ditakdirkan
menyambung pengajian di negara Barat, kita seharusnya memperkenalkan
bahasa Melayu dan berbangga apabila bertutur dalam bahasa ini. Jika kita
sudah terbiasa bertutur dalam bahasa Melayu, kita akan menjadi alah bisa,
tegal biasa. Terbuktilah bahawa penghargaan kita terhadap bahasa
kebangsaan mampu menjadikan kita memartabatkan negara kita sendiri.

Ketika zaman penjajahan British, orang-orang Melayu ditindas, dan ekonomi


orang Melayu tidak memberangsangkan, lantaran itu, sifat British yang sering
menanam tebu di bibir mulut telah berjaya membawa masuk imigran Cina
dan India sehingga melahirkan masyarakat majmuk di negara ini. Lantaran
itu, bahasa kebangsaan amat penting sebagai ejen penyatuan dan
perpaduan antara kaum di Malaysia. Bahasa Melayu juga telah dijadikan
sebagai bahasa rasmi di negara kita. Kita dapat melihat semua bangsa
Malaysia pada era ini menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan.
Sebagai contoh, semua sekolah kebangsaan telah diseragamkan dengan
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Hal ini bagi
mengelakkan persengketaan antara kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969
daripada berlaku lagi. Tegasnya, bahasa Kebangsaa mampu menjadikan
setiap kaum di negara kita bersatu-padu persis kata mutiara, bersatu kita
teguh, bercerai kita roboh.

Darsawarsa ini, setiap negara sedang bersaing bagi menguasai alam jagat
ini. Negara Malaysia pula sedang berusaha bagi merealisasikan Wawasan
2020. Dalam menjayakan wawasan ini, kita seharusnya mempunyai identiti
sendiri yang mampu menaikkan nama negara di mata dunia. Warganegara
Malaysia yang memasuki pertandingan atau perlawanan sukan hingga ke
peringkat antarabangsa seharusnya memperkenalkan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan kita. Sebagai contohnya, Datuk Lee Chong Wei yang
telah menjadi Juara Badminton Dunia akan dikenali di seluruh dunia, dan
sudah semestinya membawa sekali identiti Malaysia bersama-sama
kejayaannya. Dengan itu, bahasa Melayu akan mula dikenali dari semasa ke
semasa. Sebagai intihanya, bahasa Melayu mencerminkan identiti negara
yang masyhur di persada dunia.

Tanpa kita sedari, bahasa kebangsaan dapat meningkatkan taraf ekonomi di


negara kita. Dalam mendepani arus globalisasi, rakyat di negara kita sedang
menggembleng tenaga bagi mencapai kecemerlangan dalam kehidupan. Jika
semua kaum dapat menjalankan aktiviti ekonomi dengan menggunakan
bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantaraan, kita semua dapat bersatu
untuk saling melengkapi. Masyarakat Melayu, Cina, dan India sentiasa
berbincang dan bertukar fikiran tentang ekonomi dengan menggunakan satu
bahasa. Justeru, setiap pihak akan jelas dan dapat merealisasikan matlamat
negara kita iaitu untuk mencapai Wawasan 2020 yang berbaki lapan tahun
lagi. Kita seharusnya bekerjasama persis peribahasa, berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing, namun begitu, tidak boleh ada kaum yang bagai enau
di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Percayalah bahawa
bahasa kebangsaan mampu dijadikan wadah dalam meningkatkan taraf
ekonomi negara Malaysia bagi menuju visi dan matlamat Wawasan 2020.

Bahasa kebangsaan membawa pelbagai kemaslahatan kepada bangsa dan


negara. Ada pepatah yang mengatakan, hilang bahasa, lenyaplah bangsa.
Di sini jelaslah pada kita bahawa bahasa amat penting untuk mengekalkan
keamanan negara. Memandangkan kita hidup dalam kelompok masyarakat
majmuk, kita seharusnya mengutamakan bahasa Melayu, kerana bahasa
kebangsaan inilah yang mengikat perpaduan antara kaum. Apabila semua
masyarakat bertutur dalam bahasa Melayu, maka alah bisa tegal biasa dan
akan bercambah rasa cinta akan negara. Sesungguhnya bahasa kebangsaan
mampu membawa keamanan antara kaum di Malaysia.

Kita satu bangsa, kita satu negara, kita satu matlamat Begitulah sedikit
bait-bait lirik lagu patriotik yang sering berkumandang di corong-corong radio
dan di televisyen. Kesimpulannya, setiap pihak mestilah memainkan peranan
penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan di negara kita. Hal ini
dapat mendorong kita mencapai matlamat Wawasan 2020 seterusnya
melahirkan masyarakat mawaddah dan sakinah. Namun begitu, hal ini hanya
mampu direalisasikan sekiranya setiap warganegara Malaysia mencintai dan
berusaha menaikkan nama Malaysia di seantero dunia. Jelaslah bahawa
bahasa kebangsaan mempunyai kepentingan yang jitu untuk semua kaum di
negara ini.

Anda mungkin juga menyukai