Anda di halaman 1dari 12

BAB SEMBILAN

PENGENALAN KEPADA MAKROEKONOMI


BAHAGIAN I

OBJEKTIF BAB

Selepas mempelajari bab ini, pelajar seharusnya boleh:


1. Menerangkan dua masalah utama makroekonomi secara terperinci.
2. Menjelaskan definisi inflasi dan pengangguran.
3. Membezakan jenis inflasi dan pengangguran.
4. Menghitung kadar inflasi dan kadar pengangguran.
5. Menjelaskan kesan-kesan inflasi dan pengangguran ke atas ekonomi.

9.1 PENGENALAN

Setelah kita mengkaji analisis mikro dengan terperinci dalam babbab sebelum
ini maka bab ini pula akan membincangkan tentang teori makroekonomi dan
bagaimana ianya berbeza dengan teori mikroekonomi. Analisis-analisis mikro
menerangkan corak kegiatan dalam ekonomi negara dengan memberi
tumpuan kepada unit-unit yang kecil, seperti sebuah firma, pengguna dan juga
pengeluar. Seperti yang diketahui, mikroekonomi adalah kajian tentang
bagaimana caranya sebuah masyarakat menyelesaikan tiga persoalan utama
iaitu apakah jenis barang yang akan dikeluarkan?, bagaimana ia dikeluarkan ?
dan akhir sekali untuk siapakah barangan tersebut diagihkan. Ini timbul
disebabkan oleh faktor- faktor pengeluaran yang terhad manakala keinginan
masyarakat pula adalah tidak terhad. Oleh itu pilihan perlu dilakukan, dan
apabila pilihan dibuat akan wujudlah apa yang dipanggil sebagai kos lepas.

Adapun analisis makroekonomi pula adalah kajian tentang bagaimana unit-


unit yang kecil tadi digabungkan dan membentuk satu bentuk kegiatan secara
menyeluruh. Jika kita andaikan sepohon pokok, maka ranting-rantingnya
adalah mikro manakala sepohon pokok itu adalah makro. Kajian makro lebih
luas berbanding mikro. Analisis-analisisnya meliputi penentuan kegiatan
ekonomi, masalah-masalah makroekonomi dan juga bentuk dasar-dasar
kerajaan yang digunakan bagi membantu menyelesaikan permasalahan dalam
sesebuah ekonomi.

Pemboleh ubah utama yang dihadapi oleh sesebuah ekonomi ialah masalah
pengangguran, inflasi, pertumbuhan ekonomi dan imbangan pembayaran.
Pemboleh ubah yang akan kita bincangkan di dalam bab ini hanyalah inflasi
dan pengangguran. Bagi pembolehubah lain akan dibincangkan dalam bab-
bab seterusnya.

129
9.2 PEMBOLEHUBAH PEMBOLEHUBAH MAKRO

9.2.1 INFLASI

(a) Definisi Inflasi

Inflasi ialah kenaikan tingkat harga umum bagi barang dan perkhidmatan yang
berlaku secara menyeluruh dan berterusan. Harga dalam makroekonomi
adalah merujuk kepada indeks harga (harga purata) dan harga agregat. Indeks
harga digunakan bagi mengukur kadar inflasi bagi sesebuah negara. Kadar
inflasi dinyatakan dalam peratus, menunjukkan besarnya kenaikan harga-harga
umum yang berlaku dalam satu tahun tertentu apabila dibandingkan dengan
tingkat harga pada tahun sebelumnya. Kadar inflasi ini juga digunakan bagi
menentukan ukuran kestabilan tingkat harga umum. Berasaskan kepada
kepesatan kadar inflasi, inflasi dapat dibezakan kepada;

i. Inflasi merayap : iaitu proses kenaikan harga yang sangat lambat, iaitu
kadarnya tidak melebihi 3 peratus setahun.

ii. Inflasi hiper : iaitu proses kenaikan harga yang sangat cepat. Biasanya
kadar inflasi dapat mencapai beberapa peratus dan adakalanya beberapa
ribu peratus dalam setahun.

(b) Indeks Harga

Indeks harga terbahagi kepada 2 iaitu;


1. Indeks harga pengguna
2. Indeks harga pengeluar

i. IndeksHargaPengguna (CPI)

Indeks harga pengguna atau IHP (Consumer Price Index, CPI) merupakan
kaedah yang digunakan untuk mengukur atau menentukan kadar inflasi. IHP
mengukur harga purata barang-barang dan perkhidmatan yang biasanya
digunakan oleh isi rumah pada tempoh masa yang ditetapkan. IHP diukur
dengan membandingkan purata harga barangan dan perkhidmatan pada tahun
asas dengan purata harga barang pada tahun semasa.

IHP mengambil kira "bakul" barangan dan perkhidmatan secara am,


dikelaskan berpandukan kepada "Klasifikasi Penggunaan Individu Mengikut
Tujuan" oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Classification
of Individual Consumption According to Purpose (COICOP)). Jadual 9.1 berikut
terdiri daripada 12 kumpulan barangan dan perkhidmatan yang diambil kira
dalam pengiraan IHP.

Jadual 9.1 menunjukkan barangan dan perkhidmatan serta wajaran bagi setiap
satunya. Kumpulan barangan dan perkhidmatan tersebut diperolehi
berdasarkan kepada Penyiasatan Perbelanjaan Isirumah yang dijalankan
setiap lima tahun. Dapat dilihat wajaran terbesar adalah bagi makanan dan
minuman bukan alkohol dikuti oleh perumahan dan kemudahan utiliti seperti
gas dan elektrik. Data 2010 menunjukkan berlaku pertumbuhan yang ketara
dalam minuman alkohol dan tembakau iaitu sebanyak 4.0 peratus yang
tertinggi berbanding dengan barangan lain.

130
Jadual 9..1 Wajaran Barangan dan Perkhidmatan dalam Indeks
Harga Pengguna

Bakul barangan dan perkhidmatan Wajaran Pertumbuhan


2005 tahun 2010
(%)
Makanan dan minuman bukan alkohol 31.4 2.4
Minuman alkohol dan tembakau 1.9 4.0
Pakaian dan Kasut 3.1 -1.4
Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan 21.4 1.1
Api
Hiasan, Perkakasan dan Penyelenggaraan 4.3 0.7
Isi rumah
Kesihatan 1.4 1.6
Pengangkutan 15.9 1.6
Komunikasi 5.1 -0.2
Perkhidmatan Rekreasi dan Kebudayaan 4.6 1.6
Pendidikan 1.9 1.7
Restoran dan Hotel 3.0 2.0
Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan 6.0 2.7
JUMLAH 100

Pengiraan Indeks Harga Pengguna


Proses pengiraan IHP merupakan satu proses yang rumit kerana bakul
pengguna mengandungi banyak barang. Terdapat tiga langkah utama dalam
pengiraan IHP :

i. Mengira kos bakul pengguna IHP pada harga tahun asas.


ii. Mengira kos bakul pengguna IHP pada harga tahun semasa.
iii. Mengira IHP bagi tahun asas dan tahun semasa.

Harga yang digunakan dalam pengiraan IHP adalah harga runcit tanpa
mengambil kira samada ia dinyatakan sebagai harga biasa atau harga istimewa
termasuk juga semua cukai jualan dan cukai eksais yang dikenakan ke atas
komoditi tertentu. Harga ini dipungut pada tempoh masa yang ditetapkan. Di
Malaysia, pungutan ini dilaksanakan setiap bulan bagi kesemua item kecuali
bagi barangan makanan mudah rosak yang dipungut setiap minggu.
Pengecualian diberikan kepada sewa rumah yang dipungut pada setiap suku
tahun.

Tahun Asas (Base Year)


Tahun asas merupakan satu tahun yang telah dipilih sebagai penanda aras
benchmark bagi mengukur perubahan harga. Dalam kes ini, tahun asas yang
dipilih ialah tahun 2005, iaitu harga berasaskan kepada harga barangan dan
perkhidmatan pada tahun 2005. IHP tahun asas 2005 adalah bersamaan
dengan 100 yang telah dikuatkuasa pada bulan Januari 2006. Bakul barangan
dan perkhidmatan dan juga tempoh asas bagi IHP dikemaskini setiap lima
tahun dengan mengambil kira perubahan dalam corak perbelanjaan isirumah.
Contoh berikut menunjukkan cara mengira perubahan indeks harga antara
tahun semasa dan tahun sebelumnya.

131
Perubahan indeks harga= Indeks harga pengguna tahun semasa-Indeks
harga pengguna sebelumnya.

Contohnya, 125.4 - 124.3 = 1.1

Kadar Inflasi = Perubahan indeks harga semasa/Indeks harga sebelumnya


x 100

Kadar Inflasi = {(IH1IH0)IH0} x 100

Di mana IH1 ialah indeks harga pada tahun di mana kadar inflasi akan
ditentukan. IH0 pula ialah indeks harga pada tahun sebelumnya. Kadar inflasi
dinyatakan dalam bentuk peratus.

contohnya, (125.4 - 124.3)/124.3 x 100 = 0.9

Kadar inflasi tahun semasa berbanding dengan tahun sebelumnya ialah


sebanyak sembilan peratus.

ii. Indeks Harga Pengeluar

Indeks harga pengeluar pula adalah satu indeks harga untuk mengukur kadar
perubahan purata semua harga barang yang dikenakan oleh pengeluar bagi
barang keluaran tempatan dan juga yang dikenakan oleh pengimport bagi
barang yang di import. Ringkasnya kedua-dua jenis indeks harga di atas
mengukur perubahan harga yang berlainan dan tidak boleh ditukar ganti
antara satu sama lain untuk mengukur kadar inflasi dalam sesebuah negara.

(c) Jenis-jenis Inflasi

Jenis-jenis inflasi dapat dilihat dari faktor yang mendorong kepada kenaikan
harga samada dari sudut pengguna atau pengeluar. Sekiranya ia didorong oleh
peningkatan permintaan dari pengguna maka ia dinamakan sebagai inflasi
tarikan permintaan dan jika ia didorong oleh peningkatan kos pengeluaran
maka ia di namakan sebagai inflasi tolakan kos.

i. Inflasi Tarikan Permintaan berlaku apabila sektor perusahaan tidak


dapat memenuhi permintaan pengguna terhadap barang yang
dikeluarkan. Justeru kekurangan barangan akan berlaku dan ini
mendesak harga meningkat. Inflasi jenis ini selalunya berlaku dalam
keadaaan ekonomi mencapai tahap guna tenaga penuh dan
pertumbuhan ekonomi yang pesat. Permintaan pengguna yang lebih
tinggi berbanding dengan pengeluaran akan menyebabkan inflasi tarikan
permintaan ini berlaku.

ii. Inflasi Tolakan Kos berlaku apabila peningkatan kos bahan mentah
yang digunakan di dalam proses pengeluaran menyebabkan kos
keseluruhan pengeluaran akan meningkat. Sebagai contoh akibat dari
peningkatan harga minyak telah menyebabkan kos pengeluaran
meningkat, untuk mengelak pengeluar dari menanggung kerugian akibat
peningkatan kos ini maka pengeluar akan mengalihkan kos tersebut
kepada pengguna dalam bentuk peningkatan harga barangan yang dijual
kepada pengguna.

132
(d) Kesan Inflasi

Kadar inflasi mempengaruhi kuasa beli penduduk dan mampu mempengaruhi


struktur dan perkembangan ekonomi sesebuah negara. Dalam bahasa
mudahnya, semakin tinggi kadar inflasi di Malaysia contohnya, nilai matawang
Malaysia akan semakin mengecil. Kadar inflasi di Malaysia secara puratanya
bagi tahun 2011 ialah sebanyak 4.8 peratus. Walaupun kerajaan cuba
mengurangkan kadar inflasi dan menuju ke arah inflasi sifar, namun kesan
peningkatan harga barangan terutamanya peningkatan harga bahan api seperti
minyak ditambah dengan kemelesetan ekonomi global sedikit sebanyak telah
mengganggu kestabilan harga domestik. Kesan inflasi terhadap ekonomi dapat
dilihat dari beberapa aspek antaranya ialah;

Kesan Inflasi Terhadap Ekonomi dan Masyarakat

i. Inflasi akan menyebabkan harga barangan domestik menjadi mahal


secara tidak langsung harga eksport meningkat. Peningkatan harga
eksport akan memburukkan dagangan luar negara. Jika harga eksport
dari Malaysia lebih mahal dari negara lain, ini akan mengurangkan
permintaan luar negara terhadap barangan eksport Malaysia.

ii. Kesan kedua adalah lanjutan dari di atas iaitu apabila permintaan untuk
eksport Malaysia berkurang permintaan untuk ringgit akan jatuh,
kesannya nilai ringgit akan jatuh berbanding nilai mata wang asing.
Contohnya dahulu USD $1 = RM3.50, apabila nilai ringgit jatuh maka
nilai ringgit sekarang akan menjadi USD $1 = RM5.00. Ini bermakna
kita perlukan ringgit yang banyak bagi memperolehi satu USD$1. Secara
tidak langsung ia akan mengurangkan kuasa beli ringgit Malaysia.

iii. Inflasi juga turut mempengaruhi penggunaan isirumah dan masyarakat.


Akibat peningkatan harga barangan akan menyebabkan taraf hidup
masyarakat jatuh. Dahulu dengan pendapatan sebanyak RM500 mereka
mampu hidup selesa tetapi kini RM500 hanya mampu bagi membiayai
perbelanjaan makan dan minum untuk keluarga mereka sahaja. Bagi
golongan yang tidak berpendapatan tetap kesan inflasi akan menjadi
lebih buruk lagi.

iv. Akibat peningkatan harga barangan akan menyebabkan pendapatan


benar berkurang. Seperti yang dibincangkan di atas, jika Ahmad bergaji
sebanyak RM500 sebulan pada tahun 2010 manakala indeks harga
pengguna pada tahun 2010 adalah 114.0 dan indeks harga bagi tahun
2009 adalah 112.1. bagi menghitung pendapatan benar adalah seperti
berikut;

Gaji semsa = gaji tahun lepas x (CPI tahun semasa /CPI tahun sebelum)
Gaji semasa = RM500 x (114 112.1)
Gaji semasa = RM508.47

Oleh itu gaji tahun 2010 sepatutnya adalah RM508.47 supaya ianya
bersamaan dengan RM500 pada tahun lepas atau pendapatan Ahmad
berkurang sebanyak RM8.47 sen dari tahun lepas.

v. Kesan inflasi seterusnya dapat dilihat dilihat dari sudut si berhutang dan
si piutang. Biasanya, orang yang berhutang mendapat faedah dari
keadaan inflasi kerana nilai sebenar hutang mereka telah turun.

133
Mengikut nilai sebenar, si berhutang membayar balik kurang dari pada
jumlah hutang yang dibuat olehnya sebelum berlaku keadaan inflasi.
Bagi orang yang memberi pinjam wang atau si piutang pula, ia
menerima kerugian kerana wang yang dibayar balik kepadanya
mempunyai kuasa beli wang yang lebih rendah berbanding dengan
wang yang dipinjamkannya dahulu, iaitu sebelum berlakunya inflasi.

vi. Kesan inflasi juga mendorong kepada kegiatan spekulasi dan


menyorok barangan. Keskes sebegini sering berlaku di negara kita
terutamanya bila menghampiri musim-musim perayaan di mana jumlah
permintaan terhadap barangan kawalan meningkat. Sebagai contoh
minyak masak, gula dan tepung. Apabila berlaku spekulasi tentang
kenaikan harga pada barangan tersebut mendorong pengguna membeli
dengan kuantiti yang melebihi dari kebiasaan. Penjual pula akan
mengambil kesempatan dari situasi ini dengan menyorokkan barang
agar mendapat keuntungan yang lebih apabila harga barangan tersebut
meningkat. Akibatnya jumlah penawaran berkurangan berbanding
jumlah permintaan yang meningkat secara mendadak. Justeru penjual
akan mengambil kesempatan menaikkan harga barangan tersebut.

9. 2.2 PENGANGGURAN

Pembolehubah makroekonomi kedua yang akan dibincangkan ialah


pengangguran. Pengangguran adalah satu keadaan di mana seseorang yang
termasuk dalam tenaga buruh ingin mendapatkan perkerjaan tetapi belum
memperolehinya, berumur di antara 15 hingga 60 tahun dan sedang aktif
mencari pekerjaan. Seseorang yang tidak bekerja, tetapi tidak aktif mencari
pekerjaan tidak digolongkan sebagai penganggur. Sebagai contoh, suri rumah
yang tidak ingin bekerja kerana hendak mengurus keluarganya tidak
digolongkan sebagai penganggur. Seorang anak orang kaya yang tidak mahu
bekerja kerana gaji yang ditawarkan kepadanya lebih rendah dari yang
dikehendakinya juga tidak digolongkan sebagai penganggur. Suri rumah dan
anak orang kaya tersebut dinamakan penganggur sukarela. Adapun golongan
yang menganggur dan tidak aktif mencari pekerjaan dinamakan discourage
worker iaitu golongan yang tidak berminat untuk bekerja dan golongan ini
terkeluar dari golongan penganggur.

Pengangguran dapat dibahagikan kepada dua iaitu pengangguran semulajadi


dan pengangguran kitaran. Pengangguran semula jadi pula dibahagikan kepada
dua iaitu pengangguran geseran dan pengangguran struktur. Sebelum kita
mengkaji pengangguran ini dengan lebih lanjut para pelajar perlu mengetahui
beberapa istilah penting yang akan digunakan bagi menghitung kadar
pengangguran.

(a) Istilah Penting dalam Pengangguran

i. Tenaga Buruh

Adalah jumlah penduduk dalam usia kerja 15-60 tahun yang sedang
bekerja atau sedang aktif mencari pekerjaan. Tidak termasuk di
dalamnya suri rumah, pelajar-pelajar universiti, pelajar-pelajar lepasan
SPM/STPM dan warga tua yang pencen. Ini kerana mereka tidak aktif
bekerja atau aktif mencari kerja dan tidak termasuk di dalam golongan
tenaga buruh lagi seperti golongan yang pencen.

134
Kadar Tenaga Buruh = (Jumlah Tenaga Buruh/Jumlah Penduduk) x
100%

Kadar Pertumbuhan Tenaga Buruh = [(Tenaga Buruh Baru - Tenaga


Buruh Asal)/Tenaga Buruh Asal] x 100%

ii. Guna Tenaga

Guna tenaga ialah tenaga buruh yang terlibat dalam kegiatan ekonomi
untuk menghasilkan barang dan perkhidmatan.Golongan ini adalah
golongan yang bekerja.

Contohnya, jumlah tenaga buruh ialah 1.2 juta orang, jika hanya 1 juta
orang dari jumlah tersebut bekerja, ini bermakna guna tenaga berjumlah
1 juta orang.

Guna Tenaga = Tenaga Buruh Jumlah Penganggur


Kadar Guna Tenaga = (Guna Tenaga/Tenaga Buruh) x 100%

Kadar Pertumbuhan Guna Tenaga = [(Guna Tenaga Baru Guna


Tenaga Asal)/Guna Tenaga Asal] x 100%

(b) Kadar Pengangguran

Kadar pengangguran ialah kadar peratus jumlah tenaga buruh yang tidak
mendapat pekerjaan berbanding jumlah tenaga buruh.

Contohnya, jika jumlah tenaga buruh ialah 1.2 juta orang dan jumlah
penganggur ialah 0.2 juta orang, ini bermakna kadar pengangguran ialah
16.7%.

Kadar Pengangguran = (Jumlah Penganggur/Tenaga Buruh) x 100%

Kadar pengangguran dalam trend menurun menunjukkan berlaku


peningkatan di dalam guna tenaga. Kesan dari peningkatan guna tenaga ini
akan mendorong kepada peningkatan dalam keluaran negara seterusnya
pertumbuhan ekonomi akan meningkat.

Ekonomi berada pada tahap guna tenaga penuh apabila kadar pengangguran
berada pada paras 4 peratus atau kurang. Semasa guna tenaga penuh,
pengangguran masih wujud dan pengangguran ini dikenali sebagai
pengangguran semulajadi yang merangkumi sama ada pengangguran geseran
atau pengangguran struktur. Oleh itu pengangguran tidak mungkin akan
mencapai pengangguran sifar, berbeza dengan inflasi boleh mencapai kadar
inflasi sifar.

(c) Punca-punca Pengangguran

Seseorang itu menganggur bukanlah atas kehendaknya sendiri, kadangkala


faktor persekitaran yang menyebabkan ia menganggur. Begitu juga faktor
ekonomi turut menyumbang kepada pengangguran seseorang Contohnya
kemelesetan ekonomi yang berpunca dari krisis kewangan pada tahun 1997 di
Malaysia telah mendorong berlakunya pengangguran yang tinggi. Di sini, kita

135
akan membincangkan antara sebab-sebab mengapa seseorang individu itu
menganggur. Antaranya ialah ;

i. Kehilangan pekerjaan kerana dibuang atau diberhentikan kerja


disebabkan oleh ekonomi meleset atau penutupan kilang. Ketika
ekonomi meleset banyak kilang-kilang ditutup kerana kekurangan
permintaan terhadap barangan mereka justeru ramai pekerja telah
diberhentikan.

ii. Meninggalkan pekerjaan secara sukarela atau atas sebab-sebab kesihatan.


Bagi yang berhenti secara sukarela adalah atas pilihan sendiri tetapi bagi
yang terpaksa berhenti atas sebab kesihatan selalunya dinasihatkan oleh
doktor yang merawat pesakit. Contohnya pesakit yang mengidap barah
pada tahap kritikal adalah dinasihatkan agar berhenti kerja dan berehat.

iii. Diberhentikan kerja untuk sementara dan menyertai semula tenaga


buruh. Golongan ini adalah golongan yang diberhentikan untuk
sementara selalunya berkait rapat dengan kilang-kilang yang
mengarahkan supaya pekerjanya berhenti buat sementara dan akan
dipanggil semula apabila ekonomi pulih atau kedudukan kewangan
mereka stabil.

iv. Baru menyertai tenaga buruh atau pekerjaan, ini merujuk kepada pelajar
yang baru menamatkan pengajian di peringkat SPM, STPM, Diploma
dan juga di pusat-pusat pengajian tinggi.

(d) Jenis-jenis Pengangguran

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini pengangguran dapat dibahagikan


kepada dua iaitu pengangguran semulajadi (geseran dan struktur) dan
pngangguran kitaran.

i. Pengangguran semulajadi ialah pengangguran yang wujud walaupun


ekonomi sudah mencapai tahap ekonomi guna tenaga penuh (GTP).
Justeru kadar pengangguran tidak akan mencapai kadar pengangguran
sifar. Pengangguran semulajadi ini pula dapat dibahagikan kepada dua
iaitu pengangguran geseran dan pengangguran struktur.

ii. Pengangguran geseran berlaku apabila individu bertukar pekerjaan


bagi mendapat pekerjaan yang lebih baik atau seorang pelajar yang baru
memasuki alam pekerjaan. Bagi yang bertukar kerja mereka terpaksa
menunggu untuk dipanggil kerja di tempat yang baru, manakala bagi
graduan yang baru menamatkan pengajian terpaksa menunggu untuk
mendapatkan pekerjaan, jadi dalam proses mencari pekerjaan tersebut
mereka terpaksa menganggur. Di samping itu, terdapat juga
pengangguran geseran yang disebabkan oleh sesuatu musim, seperti
ketika musim tengkujuh nelayan terpaksa menganggur kerana laut
bergelora untuk menangkap ikan atau bagi pesawah yang menganggur
selepas menuai padi menunggu untuk memasuki musim seterusnya.

iii. Pengangguran struktur berlaku atas dua sebab iaitu disebabkan oleh
tidak ada kesinambungan dalam kemahiran (mismatch in skill) dan
keduanya tidak ada kesinambungan dalam tempat/lokasi (mismatch in
location). Peluang pekerjaan yang ditawarkan tidak seiring dengan
kemahiran yang ada akan menyebabkan seseorang individu itu

136
menganggur. Contohnya tawaran pekerjaan sebagai akauntan adalah
tidak sesuai jika yang memohon adalah graduan yang mempunyai ijazah
dalam bidang ekonomi. Begitu juga jika kemahiran yang diperlukan tidak
memenuhi kehendak bidang pekerjaan oleh pemohon. Contohnya
bidang pekerjaan yang memerlukan pekerjanya mengetahui tentang
penggunaan komputer atau soft ware tertentu. Adapun faktor lokasi
pula ialah tidak seiring dengan kehendak pemohon. Contohnya seorang
pemohon yang tinggal di Kedah memohon suatu pekerjaan sebagai
akauntan, akan tetapi akauntan yang diperlukan ditempatkan di Johor
Baharu. Oleh kerana lokasi yang jauh dari tempat tinggal pemohon
maka dia terpaksa menolak pekerjaan tersebut atas sebab lokasi. Jadi ia
terpaksa menganggur.

iv. Pengangguran Kitaran berlaku ketika ekonomi meleset. Contohnya


ketika kemelesetan ekonomi pada tahun 1997 yang berpunca dari
kejatuhan nilai ringgit menyebabkan ramai di kalangan pekerja
diberhentikan kerja kerana ekonomi meleset. Begitu juga apa yang
berlaku pada tahun 1983 kemelesetan ekonomi yang berpunca dari
kenaikan harga minyak mentah dunia.

(e) Kesan Pengangguran

Pengangguran akan menimbulkan kesan yang buruk dari segi sosial dan
ekonomi.

i. Kesan buruk kepada sosial


Gangguan emosi dan hilang keyakinan diri dan merasa tersisih dari
masyarakat sekeliling.
Meningkatnya gejala sosial seperi rompakan, membunuh dan aktiviti-
aktiviti yang tidak sah dari segi undang-undang (underground economics)
contohnya pelacuran dan penjualan dadah.

ii. Kesan buruk kepada ekonomi


Kejatuhan dalam output negara menyebabkan pendapatan negara
merosot.
Pekerja akan hilang kemahiran jika tempoh pengangguran terlalu
lama.
Taraf hidup masyarakat jatuh begitu juga tahap kesihatan.

9.3 RUMUSAN

Inflasi dan pengangguran merupakan dua masalah dalam sesebuah ekonomi


dan ianya merupakan pilihan kepada penggubal dasar. Sekiranya penggubal
dasar ingin mengurangkan inflasi kesannya akan wujud pengangguran dalam
ekonomi dan sebaliknya jika ia ingin mengurangkan kadar pengangguran maka
kadar inflasi pula yang akan meningkat. Oleh itu, dalam menangani kedua
masalah ini campurtangan kerajaan adalah diperlukan. Kita sebagai pengguna
haruslah bijak menguruskan kewangan ketika berlakunya inflasi dan kita juga
haruslah bersedia sekiranya kita tergolong dalam golongan penganggur. Ini
kerana ekonomi negara kita banyak bergantung dan dipengaruhi oleh
kedudukan ekonomi global yang di luar jangkaan kita. Contohnya kemelesetan
global yang berpunca dari kejatuhan ekonomi negara Amerika dan benua
Eropah pada tahun 2010 secara tidak langsung turut mempengaruhi ekonomi
negara kita. Banyak kilang-kilang di kawasan perindustrian Prai telah ditutup
menyebabkan kadar pengangguran semasa telah meningkat. Ini kerana

137
kebanyakan eksport negara yang terdiri dari barangan elektronik dieksport ke
US dan benua Eropah. Apabila permintaan terhadap eksport jatuh, pengeluar
terpaksa gulung tikar.

SOALAN STRUKTUR

1. Terangkan perbezaan antara inflasi tarikan permintaan dan inflasi tolakan


kos.

2. Apakah yang di maksudkan dengan indeks harga pengguna dan


bagaimanakan ianya digunakan sebagai pengukur inflasi?

3. Apakah faktor yang mendorong kepada seseorang individu itu


menganggur?

4. Senaraikan dua (2) kesan dari sudut sosial dan dua (2) kesan dari sudut
ekonomi apabila berlakunya pengangguran.

SOALAN OBJEKTIF

1. Makroekonomi merupakan kajian tentang


A. pertumbuhan ekonomi, kitaran niaga dan inflasi.
B. jualan dalam industri, strategi pemasaran dan pertumbuhan
korporat.
C. permintaan barangan, kos keluaran dan pemaksimuman
keuntungan.
D. pilihan pengguna, pilihan individu dan pemaksimuman pengguna.

2. Mana satukah dari tajuk di bawah yang paling hampir menerangkan kajian
makroekonomi berbanding kajian mikroekonomi
A. Harga padi yang meningkat disebabkan oleh banjir di Kedah.
B. Pekerja di kilang Proton telah menandatngani perjanjian bagi
meningkatkan upah dan faedah lain sebanyak 7 peratus untuk tempoh
3 tahun akan datang.
C. KDNK benar meningkat sebanyak 2.3 peratus dalam suku tahun
kedua.
D. Tiket penerbangan meningakat disebabkan oleh peningkatan kos
minyak.

3. Berikut adalah pembolehubah makroekonomi yang utama KECUALI


A. jumlah penganggur.
B. tingkat inflasi.
C. jumlah perbelanjaan kerajaan.
D. pertumbuhan ekonomi.

4. Inflasi berkaitan dengan


A. kenaikan harga sebahagian kecil barang yang berlaku secara terus-
menerus.
B. kenaikan tingkat harga umum yang berterusan.
C. kenaikan indeks harga pada tahun asas.
D. kenaikan harga barang keperluan.

138
5. Gunatenaga ialah
A. jumlah penduduk ditolak jumlah penganggur.
B. jumlah tenaga buruh yang mendapat pekerjaan.
C. jumlah penduduk yang sanggup bekerja.
D. jumlah tenaga buruh.

6. Antara berikut, yang manakah TIDAK BENAR berkenaan sesebuah


negara yang mencapai guna tenaga penuh?
A. Terdapat pengangguran struktur dalam ekonomi.
B. Kadar penggunaan faktor buruh ialah 100 peratus.
C. Kadar pengangguran ialah 3 peratus.
D. Kadar guna tenaga ialah 98 peratus.

7. Inflasi berkaitan dengan


A. kenaikan harga sebahagian kecil barang yang berlaku secara terus-menerus.
B. kenaikan tingkat harga umum yang berterusan.
C. kenaikan indeks harga pada tahun asas.
D. kenaikan harga barang keperluan.

8. Kenaikan kadar inflasi menyebabkan kesan berikut KECUALI


A. kenaikan harga barang dan perkhidmatan.
B. penurunan taraf hidup masyarakat.
C. kenaikan nilai wang benar.
D. kenaikan kos sara hidup.

9. Indek Harga pengguna pada tahun 2003 adalah 184.9. Pada tahun 2004
indeks harga pengguna meningkat kepada 188.9. Berdasarkan kepada
indeks harga pengguna ini berapakah kadar inflsi di antara tahun 2003 ke
2004?
A. 4.9 peratus.
B. 188.9.
C. 2.66 peratus.
D. 2.59 peratus.

10. Inflasi yang tidak dijangkakan akan menyebabkan


A. kerugian kepada peminjam dan keuntungan kepada pemberi pinjam.
B. kerugian kepada peminjam dan kepada pemberi pinjam.
C. keuntungan kepada kedua-dunya peminjam dan pemberi pinjam.
D. keuntungan kepada peminjam kerugian kepada pemberi pinjam.

11. Seseorang yang boleh bekerja tetapi tidak aktif mencari pekerjaan dalam
tempoh 4 minggu lepas di klasifikasikan sebagai
A. Bekerja.
B. tidak bekerja.
C. tidak termasuk di dalam tenaga kerja.
D. tidak termasuk di dalam golongan umur bekerja.

Jadual 1
Jumlah penduduk 20,000
Tenaga Kerja 15,000
Bekerja 1,000
Tidak bekerja 100

139
12. Merujuk Jadual 1, kadar pengangguran adalah
A. (100/1,000) 100.
B. (100/1,100) 100.
C. (100/15,000) 100.
D. (100/20,000) 100.

13. Konsep pengangguran paling tepat dikaitkan dengan


A penduduk yang tidak bekerja.
B penduduk yang tidak sanggup bekerja.
C pengangguran geseran dalam ekonomi.
D sejumlah faktor ekonomi yang tidak digunakan dalam ekonomi.

14. Antara berikut, yang manakah BENAR mengenai keadaan sebuah negara
yang telah mencapai tingkat guna tenaga penuh?
A Pengangguran semulajadi wujud.
B Keluaran negara boleh terus ditambah.
C Pendapatan negara mencapai tingkat maksimum.
D Wujud stagflasi dalam ekonomi.

15. Siapakah yang di bawah ini TIDAK memenuhi definisi menganggur?


A Tidak bekerja tetapi sedang aktif mencari kerja.
B Tidak bekerja tetapi sedang menunggu dipanggil balik bekerja oleh
majikan.
C Tidak bekerja tetapi tidak aktif mencari kerja.
D Tidak bekerja tetapi sedang menunggu untuk melapor diri kepada
pekerjaan baru.

140

Anda mungkin juga menyukai