Anda di halaman 1dari 19

TOPIK 1 DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN

TOPIK 1 DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN

PENGENALAN
Pada pemerhatian umum, konsep teknologi pengajaran sering disalah- ertikan. Apabila diminta
mentafsir istilah teknologi pengajaran kebanyakan orang akan menyebut tentang penggunaan
alat-alatan seperti komputer, televisyen, video, CD-ROM, projektor overhed dan slaid dalam
pengajaran. Kekeliruan ini mungkin berpunca daripada pelbagai sebab. Namun kekeliruan
itu jelas bersangkut-paut dengan kefahaman tentang teori yang mendasari konsep teknologi
pengajaran. Kefahaman yang tidak jelas hanya akan mengecilkan skop dan peranan yang
dimainkan oleh teknologi pengajaran.

Maka, dalam topik ini kita akan berbincang tentang konsep, teori dan peranan teknologi yang
sebenar. Perbincangan akan dimulakan dengan meneliti erti konsep teknologi, konsep
pengajaran dan akhirnya konsep teknologi pengajaran. Beberapa konsep akan dikemukakan
dengan tujuan agar anda dapat melihat perubahan dan tren dalam bidang ini.

Konsep teknologi pengajaran akan diperincikan dengan memaparkan bagaimana konsep ini
direalisasikan. Justeru, adalah penting untuk kita mengenal pasti domain yang terkandung
dalam konsep ini dan bagaimana ia berinteraksi. Untuk itu, adalah lebih baik diperkenalkan
domain yang terkandung dalam definisi AECT (1977) terlebih dahulu. Dengan cara ini anda
dapat melihat perubahan yang berlaku dalam domain yang berasaskan definisi AECT (1994).
Kefahaman ini penting agar kita berupaya melihat konsep teknologi pengajaran sebagai satu
konsep yang rasional dan realistik, yakni ia tidak tinggal sebagai satu definisi yang hanya
cantik secara lisan, tetapi setiap yang diperkatakan sesuai dan boleh diamalkan.

OBJEKTIF
Di akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. menghuraikan konsep teknologi, pengajaran dan teknologi pengajaran;
2. menghuraikan perbezaan yang terdapat dalam definisi teknologi pengajaran yang
wujud pada masa kini dengan yang sedang digubal;
3. menghuraikan inti pati konsep teknologi pengajaran;
4. mengenal pasti domain teknologi pendidikan tahun 1977 dan 1994 serta fungsi-
fungsinya;
5. menghuraikan bagaimana masalah pembelajaran dapat diatasi berdasarkan
kefahaman terhadap domain ini; dan
6. menghuraikan peranan teknologi pengajaran.

OUM 1
DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN TOPIK 1

PETA MINDA TOPIK

1.1 KONSEP TEKNOLOGI

Apakah yang anda faham tentang istilah teknologi?

Teknologi mempunyai pelbagai makna. Makna teknologi yang biasa kita dengar ialah mesin
atau lain-lain produk yang terhasil daripada ilmu sains moden. Mesin atau alat-alat ini diperlukan
oleh manusia untuk memastikan kehidupan yang selesa dan bahagia. Bagaimanapun, tafsiran
seperti ini dianggap amat sempit. Ia merupakan satu generalisasi jika teknologi ditafsirkan
sama seperti mesin atau peralatan semata-mata. Ini kerana maksud teknologi merangkumi
lebih daripada perkara-perkara tersebut.

2 OUM
TOPIK 1 DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN

Jadi apakah makna teknologi yang lebih wajar bagi manusia? Perkataan teknologi berasal
daripada bahasa Yunani, techne yang bermakna kemahiran. Berdasarkan erti asal perkataan
Yunani ini, maka wajarlah jika Galbraith (1967) mendefinisikan teknologi sebagai:

...the systematic application of scientific knowledge and other organized knowledge


to practical tasks.

Ertinya, kemahiran yang dimaksudkan ialah kemahiran menggunakan pengetahuan (saintifik


mahupun tidak) secara sistematik sehingga terbit satu amalan yang praktikal bagi
melaksanakan sesuatu tugas. Marilah kita teliti istilah ini dengan lebih lanjut.

Pengetahuan saintifik ialah sebarang himpunan pengetahuan atau ilmu yang telah teruji dan
dapat dinyatakan dalam bentuk satu set prinsip-prinsip am. Misalnya, air yang dimasak hingga
menggelegak didapati dapat membunuh kebanyakan kuman yang memudaratkan kesihatan
manusia. Satu lagi contoh ialah pembelajaran perlu dimulakan daripada pengalaman konkrit
kepada abstrak. Andainya kita laksanakan prinsip ini, bermakna kita telah menggunakan
pengetahuan saintifik.

Pengetahuan lain yang tersusun (other organised knowledge) adalah juga pengetahuan yang
berguna kepada manusia. Masih banyak pengetahuan yang tidak terbukti secara saintifik
tetapi menjadi amalan kita kerana ia diterima berdasarkan pengalaman dan pengamatan
manusia. Contohnya, penggunaan herba dan serangga dalam perubatan.

Namun, penggunaan pengetahuan semata-mata belum boleh diklasifikasikan sebagai satu


teknologi kerana syarat untuk digelarkan sesuatu amalan itu berteknologi terletak kepada
aspek penggunaannya secara sistematik lagi praktikal. Dalam hal ini, jika dirujuk kembali
kepada memasak air, maka aspek yang dilihat mungkin tentang kebersihan bekas memasak
air, dapur memasak yang selamat dan jangka masa untuk air menggelegak. Andainya
kesemua aspek ini dipenuhi dan memberi keselesaan (berkesan dan cekap) kepada pengguna
(diri kita), maka barulah dapat dikatakan itu satu teknologi.

Maka, jelaslah bahawa teknologi (seperti dalam hal memasak air ini), bukan alat semata-
mata perkara yang dititikberatkan. Ia sesungguhnya adalah juga satu proses, satu kaedah
dan satu idea. Heinich, Molenda dan Rusell (1969) menyokong pandangan ini dengan tafsiran
teknologi seperti berikut:

Teknologi bukan semata-mata alat dan mesin sahaja. Ia merangkumi proses dan
idea. Kekuatannya terletak terutamanya pada proses dan idea, manakala kejayaan
untuk mencapai sesuatu maksud atau objektif terletak pada alat. Ini bermakna,
dalam merancang sesuatu pengajaran, perancangan awal yang melibatkan
penggunaan idea sama ada dalam bentuk teori, pendekatan, kaedah dan sebagainya
adalah merupakan proses yang terpenting. Alat pula merupakan pemangkin ke
arah mencapai kejayaan.

Terdapat satu lagi tafsiran tentang teknologi oleh Evans dan Nation (2000) yang secara terang-
terangan menolak konsep alat sebagai teknologi. Ia dikatakan seperti berikut:
Technology is not a tool it is an art or science of how to use a tool for a purpose. (hlm.2)

OUM 3
DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN TOPIK 1

Di sini, amat jelas ditegaskan bahawa teknologi itu adalah bagaimana kita menggunakan alat
untuk memenuhi sesuatu keperluan. Penggunaan itu pula bukan dilihat dari sudut sains semata-
mata, tetapi juga seni. Jadi, jika papan hitam atau papan tulis yang usang di bilik darjah
di cantikkan rupanya dan digunakan hingga membangkitkan kefahaman dalam pembelajaran,
maka itulah teknologi. Akan tetapi jika papan tulis itu terbiar dan tidak pernah dicari jalan untuk
mengoptimumkan penggunaannya, maka tinggallah ia sebagai alat yang usang.

Cuba renungkan kembali, apakah pengetahuan saintifik yang telah anda


gunakan dalam pengajaran anda?

1.2 KONSEP PENGAJARAN

Apakah itu pengajaran?

Melalui kajian Wan Zah Wan Ali (2000) terhadap sekumpulan guru pelatih di kampus Universiti
Putra Malaysia, pengajaran didapati mempunyai banyak erti dan ia boleh dibahagikan kepada
empat kategori, iaitu pengajaran sebagai:
menyampaikan maklumat;
memindahkan maklumat;
mendorong pembelajaran; dan
membina manusia yang lebih baik.

Didapati 32% pelajar dalam kajian ini mentafsirkan pengajaran dalam kategori menyampaikan
dan memindahkan maklumat. Ertinya, pengajaran tertumpu kepada guru. Guru adalah orang
yang bertanggungjawab untuk menyampaikan dan memindahkan segala maklumat ke dalam
minda pelajar. Maka, pelajar merupakan unsur yang pasif, sekadar menerima sahaja apa
yang diberikan.

Didapati 68% pelajar tergolong dalam dua kategori terakhir. Jelas sekali di sini, pengajaran
difahami sebagai proses dua hala, perkongsian antara pelajar dan guru bagi memahami
segala macam pengetahuan yang diperlukan bagi pembinaan manusia sebenar. Konsep
pengajaran serupa inilah yang harus menjadi pegangan setiap guru.

Dakwaan ini adalah berasaskan kepada tafsiran kebanyakan penyelidik di bidang ini (Ramsden,
1993; Trigwel, Prosser & Lyons, 1997). Mereka memahami pengajaran sebagai:

4 OUM
TOPIK 1 DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN

Proses bekerja bersama pelajar untuk membantu mereka berkebolehan dan


berkemungkinan untuk belajar. Ia melibatkan usaha mencari dan mengenal pasti
salah tafsiran pelajar terhadap sesuatu yang diajarkan, mengambil tindakan untuk
memastikan perubahan kefahaman dan mencipta konteks pembelajaran yang
menggalakkan pelajar terlibat secara aktif dalam pelajaran yang diikuti.

Apakah yang dimaksudkan dengan Proses bekerja bersama pelajar


hingga membantu mereka berkebolehan untuk Belajar?

Teliti tafsiran ini dengan lebih terperinci.

Pertama, pengajaran adalah proses yang memerlukan guru dan pelajar bekerja bersama,
bukan satu pihak sahaja.

Kedua, usaha yang ditumpukan dalam kerjasama ini dijuruskan ke arah satu tujuan, iaitu
membantu pelajar belajar. Apakah belajar yang dimaksudkan di sini? Menurut Ramsden
(1988), belajar atau pembelajaran di sekolah seharusnya merupakan:

Satu pergerakan ke arah pembentukan insan yang berupaya menyelesaikan persoalan


yang kompleks, mengiktiraf kuasa dan keelokan konsep-konsep sesuatu bidang
pelajar, dan menggunakan ilmu yang dipelajari di dalam kelas dalam menyelesaikan
masalah di luar kelas. Ertinya pembelajaran itu berguna bagi mentafsir dunia yang
kita diami ini. Pembelajaran yang sebenar dapat mengubah kefahaman seseorang
mengenai sesuatu.

Tafsiran di atas jelas menegaskan bahawa belajar itu bukan usaha mengembangkan minda dengan
mengutip segala maklumat tanpa berfikir. Belajar menjadi bermakna apabila wujudnya perubahan
dalam cara berfikir atau melihat. Pembelajaran menjadi lebih bermakna apabila ilmu dapat
diaplikasikan hingga menimbulkan rasa puas di jiwa dan apabila dunia ini semakin difahami hingga
kehidupan menjadi lebih bererti. Untuk tujuan itu, pelajar perlu dibimbing untuk berfikir dan
berusaha mencari pengertian terhadap setiap perkara yang dipelajari. Daripada pengertian
ini akan memungkinkan penggunaan dan pencetusan ilmu yang memberi kesejahteraan
manusia sejagat.

Pendirian ini seiring dengan pandangan Pullias dan Young (1968), yang menyatakan pengajaran
itu keseluruhannya merupakan cara membimbing murid untuk memperoleh sejumlah
pengalaman yang cukup bermutu hingga mampu sejauh mungkin menolong pembinaan
kemungkinan-kemungkinan sebagai manusia. Manusia boleh menjadi pemikir, pemaham,
pembangun dan pencari penuh daya gerak jika mereka dibimbing dengan cinta dan kebenaran,
bukan dengan kebencian dan tengking herdik.

OUM 5
DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN TOPIK 1

Menyentuh tentang manusia dan kefahaman, Oakeshott berkata:

Nobody is born a human being. A human being is the inhabitant of a world composed
not of things, but of meaning.

Pernyataan ini walaupun agak ekstrim tetapi itulah kenyataannya. Manusia yang hanya
mempunyai jasad tetapi kosong mindanya (tidak dapat memahami apa yang ada di sekitarnya)
bukanlah manusia. Misalnya, seseorang yang membuang sampah di merata-rata kerana tidak
faham atau sengaja tidak faham kesannya, maka mereka boleh dianggap bukan manusia.
Orang yang benar-benar memahami tidak akan melakukan perkara seperti ini.

Sebagai rumusan, konsep pengajaran yang dikemukakan adalah untuk melahirkan


pembelajaran yang berkualiti. Apa yang menjadi inti pati konsep ini ialah untuk membebaskan
manusia daripada ikatan pandangan yang sempit dan terbatas. Ini hanya dapat dicapai jika
manusia didorong untuk mencari makna, memahami dan melihat realiti seperti adanya.

Setelah mempelajari tentang konsep pengajaran, uji pemahaman anda dengan mencuba
latihan berikut. Selamat mencuba!

Latihan 1.1

Gariskan risiko yang mungkin terjadi jika pengajaran hanya berfokuskan


kepada penyampaian maklumat semata-mata.

1.3 KONSEP TEKNOLOGI PENGAJARAN

Pada fikiran anda, apakah yang ditakrifkan sebagai teknologi pengajaran?

Terdapat dua perkara yang perlu dijelaskan dalam menerangkan maksud teknologi pengajaran,
iaitu:
(a) Kekeliruan dengan Teknologi Pendidikan
Sesetengah pakar dalam bidang ini beranggapan pendidikan merangkumi skop yang
lebih luas daripada pengajaran. Oleh itu, istilah teknologi pengajaran adalah sub-set
kepada pengajaran, manakala pengajaran pula adalah sub-set kepada pendidikan. Jadi,
jika labelnya pengajaran maka skopnya hanyalah pengajaran dan bukan pendidikan.
Lantas, dua istilah ini berbeza maksudnya.

6 OUM
TOPIK 1 DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN

Sebahagian pakar yang lain pula mendapati istilah teknologi pengajaran adalah lebih sesuai
digunakan kerana bidang ini memang kurang memberi penekanan terhadap soal-soal
yang melibatkan segala aspek pendidikan, tetapi lebih kepada soal-soal yang berhubung
dengan pengajaran dan pembelajaran. Justeru, soal sub-set tidak timbul kerana istilah
teknologi pengajaran telah jelas menunjukkan kedudukan bidang ini.
Terdapat juga mereka yang berpandangan bahawa teknologi pengajaran dan teknologi
pendidikan boleh digunakan secara bertukar ganti. Makna dan matlamat yang tersirat
dalam dua istilah ini adalah sama sahaja. Ini adalah kerana matlamat pengajaran adalah
seiring dengan matlamat pendidikan, iaitu membina manusia yang bercirikan manusia.
Jadi, sudah pasti pertikaian tentang istilah mana yang lebih sesuai, tidak mendatangkan
banyak faedah.
Di Malaysia dan di Eropah, istilah teknologi pendidikan lebih luas digunakan daripada
teknologi pengajaran, manakala di Amerika Syarikat adalah sebaliknya. Dalam modul
ini, istilah teknologi pendidikan akan digunakan seerti dengan teknologi pengajaran.

(b) Konsep yang Tidak Statik


Hingga kini tidak ada pengertian yang mutlak bagi teknologi pengajaran. Maksud dan
istilah teknologi pengajaran sentiasa berubah menurut perubahan zaman. Konsep yang
dipaparkan di sini mungkin akan berubah lagi pada masa akan datang. Apa yang pasti,
untuk melahirkan perubahan yang baru dan lebih bermakna ia memerlukan kefahaman
yang mendalam tentang konsep yang ada pada hari ini.
Secara umum, teknologi pengajaran adalah satu bidang yang berusaha ke arah
meningkatkan kualiti atau keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Semenjak
permulaan tercetusnya bidang ini, usaha ke arah ini jelas kelihatan. Misalnya, pada
tahun 1930an, penghasilan bahan-bahan visual seperti filem, gambar, slaid dan realia
giat diadakan bagi membantu guru dalam pengajaran di bilik darjah. Hal ini diperteguhkan
lagi dengan terbitnya definisi pertama teknologi pengajaran (yang dikenali sebagai
audiovisual communication pada masa itu) yang dibuat oleh Department of Audio Visual
Instruction (DAVI) pada tahun 1963 hinggalah definisi terkini yang dikeluarkan oleh
Association for Educational Communications and Technology pada tahun 1994.

Audiovisual communication is the branch of educational theory and practice


concerned primarily with the design and use of message which control the
learning process. It undertakes:
(a) the study of the unique and relative strengths and weaknesses of both pictorial
and nonrepresentational messages which may be employed in the learning
process for any purpose; and
(b) the structuring and systematising of messages by men and instruments in an
educational environment. These undertakings include the planning, production,
selection, management, and utilisation of both components and entire
instructional systems. Its practical goal is the efficient utilisation of every method
and medium of communication which can contribute to the development of
the learners full potential (Ely, 1963, hlm.18-19)
Instructional technology is the theory and practice of designing, development,
utilisation, management, and evaluation of processes and resources for learning.
(Seels & Richey, 1994, hlm.1)

OUM 7
DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN TOPIK 1

Apa yang membezakan dua definisi di atas ialah teori yang mempengaruhi pembentukan
definisi tersebut. Sebagai sebuah bidang yang sedang berkembang, maka perkembangan
teori di sekitar bidang ini turut mempengaruhi arah dan alirannya.

Bagi definisi yang pertama, teori komunikasi merupakan asas definisi ini. Dengan kata lain,
teori komunikasi dilihat mempunyai pengaruh yang besar terhadap proses pengajaran dan
pembelajaran. Berdasarkan teori komunikasi, isi dan subjek pembelajaran sama pentingnya
dengan media. Definisi ini berbeza daripada pendirian awal bidang ini yang hanya
menitikberatkan aspek media sebagai alat bantu mengajar atau tool technology. Ini adalah
kerana permulaan bidang ini dicetuskan oleh pergerakan pandang dengar.

Manakala bagi definisi yang kedua, aktiviti seperti mereka bentuk, membina, mengimplementasi,
mengurus, menilai dan menganalisis; menerima pakai amalan dan teori dari pelbagai bidang,
asalkan ia boleh dimanfaatkan kepada proses dan sumber pembelajaran. Pembentukan definisi
ini terjadi ketika teori kognitif dan konstruktif mempunyai pengaruh yang besar terhadap pengamal
profesional. Pada masa yang sama, pembangunan yang pesat dalam bidang teknologi komputer
dan maklumat turut mempengaruhi definisi ini. (Huraian lanjut tentang definisi dan domain
teknologi pengajaran akan dibentangkan di dalam topik ini).

1.3.1 Definisi Teknologi Pengajaran dalam Konteks Tempatan

Setakat ini, kita merujuk definisi yang dikeluarkan oleh pihak yang berada di luar Malaysia.
Memandangkan Malaysia turut sama menerima dan mengikuti perkembangan bidang teknologi
pengajaran, maka di sini juga lahir definisi teknologi pengajaran. Salah satu daripadanya
dikeluarkan oleh Persatuan Teknologi Pendidikan Malaysia pada tahun 1988.

Teknologi pendidikan ialah proses yang kompleks dalam menganalisis keperluan


pendidikan secara sistematik, saintifik dan rasional bertujuan untuk mereka bentuk
dan mengaplikasikannya secara sepadu idea, tenaga, sumber bahan, kaedah dan
tatacara untuk mempertingkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

Definisi yang diterbitkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia
pada tahun 1991 didapati lebih menitikberatkan aspek aplikasi daripada keseluruhan proses.
Berikut adalah definisi tersebut:

Teknologi pendidikan ialah aplikasi media, sistem, pendekatan dan teknik-


teknik ke arah pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Justeru, aspek reka bentuk, pembinaan, pengurusan dan penilaian tidak ketara seperti mana
yang terdapat dalam definisi-definisi yang lain. Dengan yang demikian, dibimbangi di kalangan
guru kita, masih ada yang mentafsir teknologi pengajaran dalam konteks yang sempit, serupa
dengan tafsiran di awal perkembangannya.

Setelah pelbagai definisi dibentangkan, didapati terdapat satu elemen yang tidak disebut tetapi
amat penting, iaitu aspek kemanusiaan. Justeru definisi teknologi pengajaran turut
memasukkan elemen ini agar ia seiring dengan fitrah manusia dan seterusnya kesejahteraan
yang terhasil menjadi lebih bermakna dan berkekalan. Kita tertarik kepada slogan Apalah

8 OUM
TOPIK 1 DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN

erti teknologi tanpa kehidupan yang jelas mengambil kira aspek kemanusiaan ini. Ilmu yang
banyak, kepakaran yang tinggi tidak berguna jika nilai murni tidak dipupuk.

1.3.2 Tren Terkini dalam Konsep Teknologi Pengajaran

Pada tahun 2001, Reiser telah mencipta satu lagi definisi. Kehadiran definisi ini diiringi dengan
nama baru bagi bidang ini, iaitu Instructional design and technology atau Reka bentuk
pengajaran dan teknologi. Terdapat beberapa sebab nama dan definisi baru diwujudkan.

Pertama, Reiser mendapati ramai orang menyamakan teknologi pengajaran dengan media
pengajaran. Sedangkan bidang teknologi pengajaran adalah lebih luas dan mengandungi tiga
sub-bidang utama iaitu media pengajaran, reka bentuk pengajaran dan teknologi prestasi
(performance technology).

Teknologi prestasi merupakan satu pergerakan baru yang mula mempengaruhi perkembangan
bidang ini sejak awal 1990an. Ia berkait rapat dengan analisis yang menyebabkan masalah
dalam prestasi dan kemudian mencadangkan alternatif bagi mengatasi masalah tersebut
seperti pemberian insentif dan perubahan dalam persekitaran pekerjaan.

Berikut adalah definisi baru yang dimaksudkan:

The field of instructional design and technology encompasses the analysis of learning
and performance problems,and the design, development, implementation, evaluation
and management of instructional and non-instructional processes and resources
intended to improve learning and performance in a variety of settings, particularly
educational institutions and the workplace. Professionals in the field of instructional
design and technology often use sytematic instructional design procedures and
employ a variety of instructional media to accomplish their goals. Moreover, in
recent years, they have paid increasing attention to non-instructional solutions to
some performance problems. Research and theory related to each of the afore
mentioned areas is also an important part of the field. (Reiser, 2001, hlm.53).

Jika diteliti definisi di atas, jelaslah bidang ini amat peka terhadap perubahan serta keperluan
semasa. Pengajaran dan keperluan terhadapnya bukan hanya terletak di sekolah, tetapi juga
di tempat kerja. Sama ada di sekolah atau di tempat kerja, kejayaan seseorang diukur
berdasarkan prestasinya. Akan tetapi prestasi itu bukan hanya dipengaruhi oleh latihan (cukup
atau tidak) tetapi persekitaran hidupnya. Justeru, penyelesaian masalah pun bukan lagi sekitar
skop pengajaran tetapi melampauinya.

Definisi ini lebih realistik dan rasional kerana ia telah mengambil kira aspek di luar pengajaran
sebagai penyebab kepada masalah prestasi. Kita tidak seharusnya memisahkan dunia
akademik (dalam bilik darjah) dengan dunia di luar kerana apa yang kita lakukan dalam dunia
akademik adalah untuk menghadapi dunia luar.

Sebagai kesimpulan, definisi ini membuka satu lagi lembaran yang penuh erti, walaupun
secara langsung ia mengundang cabaran untuk para pendidik dan profesional di bidang ini.
Walaupun begitu, istilah ini masih belum diterima secara meluas.

OUM 9
DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN TOPIK 1

Setelah anda mengikuti pelajaran di atas, cuba soalan di bawah untuk menguji kefahaman
anda. Semoga berjaya!

Latihan 1.2

Tuliskan perbezaan kefahaman anda tentang teknologi pengajaran sebelum


dan selepas meneliti topik ini.

1.4 DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN 1977


Berdasarkan definisi teknologi pengajaran yang dikeluarkan oleh AECT (Association for
Educational Communication and Technology (1979)):

Teknologi pengajaran merupakan satu proses yang kompleks dan bersepadu yang
melibatkan manusia, prosedur, idea, peralatan dan organisasi untuk menganalisis
masalah-masalah serta mereka bentuk, menilai dan menguruskan penyelesaian
kepada masalah-masalah dalam keadaan di mana proses pembelajaran itu adalah
bermatlamat dan terkawal. (Dipetik daripada Yusuf Hashim, 1998, hlm. 253)

Domain teknologi pengajaran dibahagikan kepada tiga fungsi iaitu:


fungsi pengurusan pengajaran;
fungsi pengembangan pengajaran; dan
fungsi sumber pembelajaran.

Setiap domain mempunyai peranan masing-masing, bergerak secara sistematik dan


bersepadu menuju ke arah pelajar, sebagai kumpulan sasaran yang akan menerima kesan
daripada keseluruhan proses yang berlaku. Dari konteks ini, kesan yang ingin dibawa adalah
kesan positif yang menjadikan pelajar lebih cemerlang dalam pembelajarannya. Pembahagian
domain ini dapat dilihat di Rajah 1.1.

Rajah 1.1: Domain Teknologi Pengajaran (1977)

10 OUM
TOPIK 1 DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN

Secara realiti, penyelesaian masalah tidak berlaku dalam keadaan linear seperti yang
ditunjukkan oleh Rajah 1.1. Biasanya, ia dimulakan oleh fungsi pengembangan pengajaran,
kemudian diikuti oleh fungsi sumber pembelajaran. Fungsi pengurusan pengajaran bertindak
sebagai pihak pengurusan yang memayungi kedua-dua fungsi ini.

1.4.1 Fungsi Pengembangan Pengajaran

Fungsi domain ini ialah menganalisis masalah-masalah pembelajaran serta mereka bentuk,
melaksana dan menilai penyelesaian kepada masalah ini. Ia melibatkan satu proses yang
mengandungi beberapa peringkat. Peringkat pertama ialah mengkonsepsikan model teoretikal
bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Oleh itu, penyelidikan dijalankan bagi
memperoleh maklumat saintifik berkenaan pelajar, pengajaran dan pembelajaran, sumber
pembelajaran dan sebagainya. Di sini teori dan model dihasilkan dan diuji.

Setelah dikenal pasti teori dan model yang sesuai, maka tugas seterusnya adalah mereka
bentuk pengajaran yang selari dengan teori tersebut. Tegasnya, teori kini ditukar menjadi
sebuah spesifikasi yang akan menjadi asas kepada pembinaan pengajaran. Ia dimulakan
dengan analisis terhadap pelajar, menulis objektif, memilih strategi pengajaran, memilih media
pengajaran dan juga menentukan spesifikasi media tersebut.

Daripada spesifikasi ini, penerbitan media pengajaran dilaksanakan, skrip ditulis, grafik dan
gambar dihasilkan. Selain itu, program pengajaran berpandukan komputer dan pengendalian
alat turut diadakan. Adakah ini sahaja yang dilakukan? Tidak. Itu hanyalah beberapa contoh.
Dalam aspek penghasilan atau penerbitan, segala macam media pengajaran boleh dihasilkan
asalkan ada spesifikasinya.

Media pengajaran yang telah dihasilkan tidak boleh terus digunakan. Ia harus dinilai terlebih
dahulu agar benar-benar memberi kesan yang dihajatkan. Aspek yang paling dititikberatkan
dalam proses penilaian ini ialah dari sudut kemampuannya menepati kehendak objektif. Di
samping itu, penilaian terhadap kualiti teknikal turut dilakukan. Daripada penilaian yang
dilakukan, cadangan akan dikemukakan sama ada hasil penerbitan ini diterima, ditolak atau
diterima dengan pembaikan.

Setelah disahkan keberkesanannya, barulah media sedia untuk digunakan. Di peringkat


penggunaan ini, pelajar dibantu untuk memilih sumber pembelajaran (media pengajaran
sebahagian daripadanya) yang sesuai dengan pembelajaran mereka serta membantu mereka
menggunakan sumber yang dipilih. Kemajuan pelajar dipantau semasa mereka menjalani
aktiviti pembelajaran ini.

Untuk memastikan sumber pembelajaran sentiasa tersedia, logistik atau tempat pengumpulan
perlu disediakan. Di sinilah sumber pembelajaran dikatalog, diselenggara dan diedarkan.

Akhir sekali, bagi memastikan perkembangan teknologi pendidikan dapat diikuti, peringkat
penyebaran pula memastikan agar maklumat tentang teknologi pengajaran dikumpulkan
dan disebarkan, melalui pemberian khidmat nasihat, latihan dan pemberitaan.

Apakah tiga domain yang terdapat dalam definisi teknologi pengajaran (1977)
dan apakah fungsi-fungsinya?

OUM 11
DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN TOPIK 1

1.4.2 Fungsi Sumber Pembelajaran

Dalam teknologi pengajaran, penyelesaian kepada masalah-masalah tergolong dalam fungsi


sumber pembelajaran yang terdiri daripada mesej, manusia, bahan, peralatan, teknik dan
tempat atau keadaan (settings). Setiap komponen boleh digunakan secara terpisah atau
secara kombinasi bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Seperti mana
yang telah diterangkan di atas, di peringkat penggunaan dan logistik, sumber pembelajaran
ini dipilih, digunakan dan disebarkan. Oleh itu, domain ini merupakan produk daripada proses
yang berlaku dalam domain atau fungsi pengembangan pengajaran. Ia dikategorikan begini
bagi memudahkan penjelasan.

Apakah yang dikatakan sumber pembelajaran?

Sumber pembelajaran ialah apa sahaja yang menyimpan dan/atau menghantar maklumat
kepada pelajar. Satu daripadanya ialah mesej. Mesej mengandungi maklumat yang diterima
oleh pelajar. Misalnya, isi pelajaran, arahan dan lain-lain.

Manusia ialah penyimpan dan penghantar atau penyebar mesej. Manusia dalam konteks
sekolah adalah seperti guru, pelajar, pengetua dan ibu bapa.

Bahan juga adalah penyimpan mesej yang akan disebarkan seperti nota, buku, pita video,
modul pembelajaran (seperti modul ini), cakera padat dan sebagainya.

Peralatan pula berfungsi menghantar maklumat yang tersimpan di dalam bahan seperti
projektor, perakam audio, pemain cakera video dan sebagainya.

Teknik ialah bagaimana bahan, peralatan dan manusia digunakan bagi menghantar maklumat
seperti perbincangan, lawatan, mel elektronik dan lain-lain.

Akhir sekali tempat atau keadaan. Ia merupakan keseluruhan persekitaran di mana mesej
akan disebarkan seperti bilik darjah, bilik sumber, makmal sains dan lain-lain lagi.

Berhubung dengan sumber pembelajaran, perlu ditegaskan bahawa tidak semua direka bentuk
khusus untuk pembelajaran. Namun, ia masih boleh digunakan sebagai sumber pembelajaran
seperti iklan TV, katalog barangan pengguna, cerita dari filem atau TV, muzium, zoo, Internet
dan banyak lagi. Dalam hal ini, sumber yang tersedia ada sama pentingnya dengan sumber
yang dihasilkan. Oleh itu, pelajar dan guru perlu mengetahui bagaimana menggunakan sumber-
sumber ini.

1.4.3 Fungsi Pengurusan Pengajaran

Fungsi pengurusan bertujuan menyelaras dan mengawal fungsi pengembangan serta fungsi
sumber pembelajaran dan lain-lain fungsi supaya teknologi pengajaran dapat berjalan dengan
berkesan. Fungsi ini meliputi pengurusan organisasi dan kakitangan. Fokus pengurusan
organisasi ialah mentadbir projek dengan cara mengenal pasti keperluan organisasi,

12 OUM
TOPIK 1 DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN

menentukan matlamat dan objektif. Seterusnya, menguruskan soal perbelanjaan, pembelian


serta perkara yang berkaitan dengan prosedur pentadbiran bagi hubungan dalam dan luar
organisasi.

Pengurusan kakitangan pula terlibat dengan perkara yang berkaitan dengan pengambilan,
penyeliaan dan penilaian pekerja. Tujuan utama pengurusan kakitangan ialah mewujudkan
hubungan baik serta meningkatkan keberkesanan komunikasi antara pekerja.

Berdasarkan penjelasan di atas tidak dapat dinafikan bahawa teknologi pengajaran


dilaksanakan secara bersepadu di mana usaha manusia, prosedur dan idea bagi mencapai
satu objektif tertentu diintegrasikan.Untuk menyelesaikan masalah, semua fungsi perlu
bergerak secara sistematik dan bersepadu.

Untuk memastikan anda dapat memahami pelajaran di atas dengan baik, cuba jawab soalan
di bawah. Selamat mencuba!

Latihan 1.3

Berdasarkan perbincangan bagi setiap fungsi dalam definisi teknologi


pendidikan (1977), gariskan langkah yang perlu diambil dalam usaha untuk
mengatasi masalah pembelajaran pelajar.

1.5 DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN 1994


Kita telah pun berbincang secara terperinci tentang domain teknologi pengajaran tahun 1977.
Domain ini masih diguna pakai. Bahkan, domain teknologi pengajaran tahun 1994 merupakan
kesinambungan daripada domain tahun 1977, di mana pembahagian setiap domain diperincikan.

Terdapat lima domain dalam teknologi pengajaran kini berbanding dengan tiga sebelumnya.
Namun itu tidak bermakna wujudnya perbezaan yang banyak di antara domain yang lepas
dengan yang terkini kerana domain pembangunan, penggunaan dan penilaian sudahpun
terangkum dalam fungsi pengembangan pengajaran. Setiap domain mempunyai teori dan
amalannya yang tersendiri dan ia boleh berfungsi secara sendirian atau berinteraksi dengan
domain yang lain. Interaksi ini pula tidak semestinya dalam bentuk linear.

Tujuan domain ini dibentangkan sedemikian rupa adalah untuk menerangkan dengan jelas
apa sebenarnya teknologi pendidikan dan apa yang dilakukan oleh profesion perguruan dalam
bidang ini. Dengan cara ini, salah faham yang wujud pada masa ini dapat diatasi.

Selain daripada kenyataan di atas, paparan tentang domain ini dapat membantu anda
memahami modul ini dan memilih tajuk-tajuk seperti pengajaran kemahiran berfikir, teknologi
maklumat dan penilaian. Petikan kata-kata dari Rowntree (1974), menghuraikan:

OUM 13
DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN TOPIK 1

Educational technology is concerned with the design and evaluation of curricula


and learning experiences and with the problems of implementing and renovating
them. Essentially, it is rational, problem-solving approach to education, a way of
thinking sceptically and systematically about learning and teaching.

Secara ringkasnya, teknologi pengajaran adalah suatu bidang yang penting kepada kita semua.
Dengan memahami konsep dan domainnya, kita dapat berusaha ke arah mempertingkatkan
kualiti pengajaran yang kita laksanakan serta pembelajaran yang dihasilkan oleh anak didik
kita.

1.5.1 Definisi dan Tafsiran Teknologi Pengajaran 1994

Untuk memulakan perbincangan tentang domain teknologi pengajaran 1994, berikut ialah
definisi serta tafsiran tentang teknologi pengajaran yang dikeluarkan oleh AECT pada tahun
tersebut.

Teknologi pengajaran adalah teori dan amalan tentang mereka bentuk, membangun,
mengguna, mengurus dan menilai proses serta sumber untuk pembelajaran.

Definisi ini dengan tegas menyatakan bahawa teori dan amalan menjadi asas kepada setiap
tindakan yang diambil. Seorang yang terlibat dengan pekerjaan ini (anda adalah antara mereka)
mesti mempunyai pengetahuan yang boleh menyokong setiap amalan yang dilakukan.

Teori bermaksud konsep, konstruk, prinsip dan cadangan yang menyumbang kepada badan
pengetahuan.

Amalan pula bermaksud penggunaan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah.

Misalnya, ada teori mengatakan niat dan motif untuk belajar berkait rapat dengan kualiti
pembelajaran. Mereka yang belajar dengan niat untuk lulus peperiksaan semata-mata tidak
dapat memahami bahan yang dipelajari dengan mendalam.

Oleh itu, dalam amalan, niat dan motif perlu dipupuk bukan hanya setakat untuk lulus
peperiksaan. Arah yang dimaksudkan ialah untuk memahami dengan sepenuhnya
pengetahuan yang dipelajari. Sementara itu, niat untuk lulus dan mendapat sijil semata-mata
perlu dikikis kerana ia tidak membantu, malah membantutkan pembelajaran yang berkualiti.

Sebagai amalan, perlu ditegaskan di sini bahawa ia tidak semestinya berasaskan teori saintifik.
Terdapat amalan yang masih menyumbang kepada badan pengetahuan walaupun ia berupa
maklumat yang diperoleh daripada pengalaman sahaja. Dalam konteks perlaksanaan teknologi
pengajaran, hubungan antara teori dan amalan perlu dijaga dan dipupuk demi perkembangan
serta kemantapan bidang ini.

Dalam definisi yang sama, tertera perkataan reka bentuk, pembangunan, penggunaan,
pengurusan dan penilaian. Kesemua ini adalah domain yang dimaksudkan. Kita tinggalkan
domain ini buat sementara kerana kita akan bincangkannya selepas tafsiran tentang definisi
ini selesai dilakukan.

14 OUM
TOPIK 1 DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN

Sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini, perlaksanaan teknologi pengajaran adalah
secara tersusun sistematik dan melibatkan proses. Apakah itu proses? Proses ialah satu
siri aktiviti yang menjurus ke arah mencapai sesuatu keputusan tertentu. Justeru, proses
biasanya merupakan satu urutan prosedur yang bermula daripada input, action dan output.
Contoh proses adalah seperti model pengajaran, model reka bentuk pengajaran dan model
komunikasi.

Rajah 1.2: Proses

Adakah semua proses memerlukan prosedur yang berurutan? Tidak, terdapat juga proses
yang kurang berstruktur seperti proses mengarang.

Selain proses, sumber adalah satu lagi unsur yang penting dalam menyelesaikan masalah
pembelajaran kerana sumber menyokong pembelajaran. Jika anda masih ingat, sumber
pembelajaran bukan sekadar bahan dan peralatan. Sumber termasuklah sistem, bahan dan
persekitaran pembelajaran. Jadi, sumber adalah juga manusia, belanjawan, fasiliti dan lain-
lain lagi. Tanpa sumber, maka sukarlah pembelajaran dilaksanakan.

Kesemua teori, amalan, domain, sumber dan proses ditujukan untuk pembelajaran. Mengapa?
Tujuan teknologi pengajaran ialah untuk mengubah dan memberi kesan terhadap
pembelajaran. Justeru, pembelajaran adalah matlamat, manakala pengajaran adalah cara
untuk mencapai matlamat ini. Oleh itu, adalah sangat penting untuk seseorang guru memahami
maksud pembelajaran untuk mencapai matlamat yang dituju.

Teori dan amalan juga adalah asas bagi setiap domain kerana domain itu adalah
badan pengetahuan. Kepada apakah pengetahuan itu disandarkan? Ia
disandarkan kepada penyelidikan dan pengalaman. Justeru, penyelidikan
dijalankan bagi menghasilkan teori dan amalan. Apakah teori dan amalan itu
pula?

1.5.2 Domain Teknologi Pengajaran 1994

Memandangkan kita semua terlibat secara langsung dalam urusan pengajaran dan
pembelajaran, maka tidak keterlaluan jika dikatakan kita semua adalah ahli bidang ini.
Persoalannya, adakah kita dapat bertindak secara aktif dan berkesan? Untuk menjadi aktif
dan berkesan, mungkin salah satu caranya adalah dengan memahami cabang-cabang ilmu
dalam teknologi pengajaran. Ini bermakna tibalah masanya untuk kita membincangkan makna
setiap domain.

Terlebih dahulu, Rajah 1.3 menunjukkan domain teknologi pendidikan 1994 dan bagaimana ia
berinteraksi.

OUM 15
DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN TOPIK 1

Rajah 1.3: Domain Teknologi Pengajaran (1994)

Nyatakan fungsi bagi setiap domain teknologi pengajaran.

1.6 PERANAN TEKNOLOGI PENGAJARAN


Melihat kepada fungsi setiap domain yang begitu banyak, sudah tentu kita dapat memahami
bahawa peranan yang dimainkan oleh teknologi pengajaran juga banyak.

Cuba anda catatkan peranan teknologi pengajaran mengikut pengetahuan


anda.

Berikut disarankan beberapa peranan teknologi pengajaran. Menurut Abdul Rahim Mohd Saad
(1996), abad ke 21 mengundang pelbagai cabaran dan perubahan berkaitan dengan keperluan
pendidikan dan latihan di sekolah, institusi pengajian tinggi, industri dan sektor perdagangan.
Kewujudan teknologi maklumat dan teknologi multimedia telah meninggalkan impak yang
kuat hingga menimbulkan dua persoalan tentang:
Kesesuaian dan kerelevanan isi kandungan program pendidikan dan latihan masa kini.
Ini disebabkan teknologi tersebut sentiasa memperkenalkan keperluan pengetahuan dan
kemahiran baru seperti keperluan menyumbang kepada pembinaan World Wide Web,

16 OUM
TOPIK 1 DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN

berinteraksi di alam siber dan sebagainya. Oleh itu,objektif baru pengajaran dan latihan
perlu dibentuk seiring dengan hasrat untuk membantu pelajar berjaya dan mendapat
pengetahuan serta kemahiran yang membolehkan mereka terlibat secara aktif dan
berkesan dalam masyarakat moden masa hadapan.
Kesesuaian kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sedia ada berbanding dengan
teknologi masa kini. Jelasnya, kita perlu mereka bentuk pengajaran menggunakan
teknologi baru kerana ia membantu kita menyimpan, memproses maklumat dan
berkomunikasi dengan lebih pantas dan tepat. Maka, pengajar perlu disediakan dengan
pengetahuan dan kemahiran ini agar mereka dapat menggunakan sepenuhnya media
dan sistem penyampaian pengajaran yang baru.

Penyelesaian persoalan ini besar kemungkinan dapat dicapai jika teknologi pengajaran
berperanan sepenuhnya. Antara peranan itu ialah:
(a) Mengubah Peringkat Membuat Keputusan
Kebiasaannya, penggunaan media dirancang semasa kurikulum dilaksanakan, bukan
semasa peringkat merancang dan menentukan kurikulum. Oleh itu terjadilah penggunaan
media secara sesuka hati tanpa berdasarkan perancangan yang sistematik.
Dengan penerimaan teknologi pengajaran pada peringkat perancangan kurikulum,
perancang kurikulum dapat bekerjasama dengan pereka pengajaran untuk menentukan
penggunaan teknologi pengajaran dalam kurikulum sekolah. Cara ini akan lebih menjamin
keberkesanan perlaksanaan pengajaran dan kurikulum yang telah digariskan.

(b) Mengubah Sistem atau Pendekatan Pengajaran


Teknologi pengajaran boleh mempengaruhi sistem atau pendekatan proses pengajaran
dan pembelajaran. Ia boleh menukar sistem atau pendekatan pengajaran konvensional,
menerima sistem pembelajaran jarak jauh, sistem kelas terbuka atau sistem sekolah
bebas.
Teknologi pengajaran boleh mengubah cara pengajaran dirancang dan disusun. Sebagai
contoh, kurikulum pengajaran literasi komputer. Dalam perancangan pengajaran, ia
melibatkan penggunaan komputer, pembinaan pengetahuan melalui pembelajaran usaha
sama, penyelesaian masalah dan penggunaan strategi pembelajaran penguasaan.
Penggunaan teknologi pengajaran terutamanya teknologi maklumat, mungkin mengubah
cara jadual waktu dirancang dan dilaksanakan di sekolah, maktab dan di universiti. Proses
pengajaran dan pembelajaran pula berpusatkan pelajar dan berasaskan pengetahuan
dan maklumat. Guru hanya mengurus aktiviti pembelajaran dan menyediakan sebanyak
mungkin pengalaman dan pencarian maklumat menggunakan teknologi baru untuk
pembelajaran.
Pengenalan kepada jadual waktu anjal oleh KPM pada tahun 1993 memberikan fleksibiliti
dalam perancangan kurikulum dan strategi pengajaran. Ini membolehkan guru merancang
pelajaran dengan lebih berkesan dan memberi lebih masa bagi guru menyemak buku
latihan dan menangani masalah pembelajaran, sedangkan jumlah waktu mengajar adalah
sama (Yusuf Hashim, 1998).
(c) Mengubah Pengalaman Pembelajaran
Tanggapan masa kini terhadap pengalaman pembelajaran terjadi bukan secara tidak
sengaja tetapi sengaja diadakan. Oleh itu, pengalaman ini perlu diadakan melalui
perancangan yang rapi. Penggunaan atau aplikasi teknologi pengajaran secara teratur
boleh membantu setiap pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang khusus (sudah
tentu melalui proses tertentu) bagi menguasai sesuatu perkara, sebagai contoh:

OUM 17
DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN TOPIK 1

Kemahiran berfikir, termasuk kebolehan berfikir secara kreatif, membuat keputusan


yang wajar, menyelesaikan masalah dan membayangkan sesuatu. Kemahiran berfikir
ini berfungsi dalam semua domain kerana setiap domain melibatkan aspek
penyelesaian masalah dan membuat keputusan. Oleh itu, ia amat penting walaupun
ia tidak berdiri sebagai satu domain tersendiri.
Ciri-ciri keperibadian yang mulia seperti jujur, bertanggungjawab, mahir bergaul dan
mahir mengurus (Abdul Rahim Mohd Saad, 1996).
Memandangkan teknologi pengajaran terbuka kepada pelbagai jenis pembelajaran,
secara bersendirian atau berkumpulan, bersama sumber manusia (seperti pakar bidang)
dan bukan manusia (seperti perisian komputer), proses pembelajaran telah menjadi
suatu proses yang aktif di mana pelajar diberi peluang memberi makna kepada
pengalaman yang diterimanya. Lanjutan daripada proses sedemikian, pelajar yang
dihasilkan adalah pelajar yang cemerlang, bertanggungjawab, berkemahiran tinggi dan
berdaya maju.

Sebagai rumusan, teknologi pengajaran boleh memainkan peranan penting dalam menangani
persoalan di atas melalui pembekalan beberapa model pengajaran yang sesuai, teknik-teknik
pengajaran yang maju serta perisian yang relevan dan pengurusan yang cekap.

Cuba anda berikan apakah lagi peranan teknologi pengajaran?

RUMUSAN
Sebagai kesimpulan, topik ini telah membincangkan tentang konsep teknologi, pengajaran
dan teknologi pengajaran. Konsep yang dikemukakan adalah berteraskan kepada tren semasa
dunia pendidikan dan bidang teknologi pendidikan. Kefahaman tentang konsep-konsep ini
merupakan teras sebuah pengajaran yang berkesan.

Topik ini juga telah mengemukakan 3 tajuk utama, iaitu memaparkan definisi dan domain
Teknologi Pengajaran tahun 1977 dan 1994, serta peranan teknologi pengajaran. Kupasan
tajuk-tajuk ini bertujuan agar anda mendapat gambaran yang jelas tentang konsep dan bidang
teknologi pengajaran dan terutamanya, tidak hanya melihat konsep ini sebagai cantik dibaca
tetapi tidak realistik dalam amalan.

GLOSARI

Teknologi Perkataan ini berasal daripada bahasa Yunani, techne


yang bermakna kemahiran. Galbraith (1967)
mendefinisikannya sebagai the systematic application of
scientific knowledge and other organised knowledge. Bagi
Evans dan Nation (2000) pula, technology is not a tool- it
is an art or science of how to use a tool for a purpose.

18 OUM
TOPIK 1 DOMAIN TEKNOLOGI PENGAJARAN

Teknologi Pendidikan Teknologi pendidikan ialah aplikasi media, sistem,


pendekatan dan teknik-teknik ke arah pencapaian
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

UJIAN 1
Mengapakah teknologi diperlukan dalam pengajaran masa kini? Adakah pengajaran
tradisional tidak berkesan yang menyebabkan teknologi diperlukan? Bincangkan.

UJIAN 2
Apakah itu pengajaran? Senaraikan beberapa kategori pengajaran dan terangkan
bagaimana kategori tersebut boleh berfungsi untuk menyampaikan pengajaran yang
berkesan.

OUM 19

Anda mungkin juga menyukai