Anda di halaman 1dari 12

PERKEMBANGAN KURIKULUM BAHASA MELAYU

1.0 APA ITU KURIKULUM?

1.1 Definisi Kurikulum

Sebelum kita membincangkan dengan lebih lanjut tentang kurikulum tersembunyi


adalah lebih baik kita mengetahui terlebih dahulu tentang apa yang dimaksudkan
dengan kurikulum. Dalam dunia pendidikan, seseorang tenaga mengajar perlu
mempunyai satu panduan atau pedoman yang akan memandu hala tuju mereka di
dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Perancangan atau hala tuju ini sangat
penting bagi memastikan tenaga pengajar tersebut tidak terpesong dari matlamat asal
yang telah ditentukan. Panduan atau pedoman kepada guru atau tenaga pengajar
semasa melaksanakan pembelajaran dan pengajaran dikenali sebagai kurikulum.

Dalam kurikulum, terdapat semua maklumat berkaitan proses pelaksanaan


pembelajaran dan pengajaran. Seseorang tenaga pengajar tidak boleh lari daripada
mengikuti dan melaksanakan kurikulum seperti yang telah dipersetujui. Perkataan
kurikulum berasal daripada bahasa Latin iaitu curere. Perkataan ini mambawa maksud
laluan atau jejak. Secara lebih luas ia membawa maksud jurusan, manakala dalam
Bahasa Inggeris kurikulum mengandung pengertian jelmaan atau metamorfosis.
Paduan makna daripada kedua-dua bahasa ini menghasilkan satu makna kurikulum
iaitulaluan dari satu peringkat ke satu peringkat. Perluasan makna ini memberikan
pengertian kurikulum dalam perbendaharaan kata bahasa Inggeris sebagai jurusan
pengajian yang diikuti di sekolah.

Selain itu, Nicholls, S.H. dan Nicholls, A. dalam Penerokaan Teori Kurikulum,
mentakrifkan kurikulum sebagai semua peluang pembelajaran yang dirancang oleh
guru-guru untuk murid sekolah. Hirst memberikan definisi kurikulum sebagai satu
program yang disusun oleh guru untuk membolehkan murid mencapai objektif yang
dirancangkan. Menurut Tyler juga dalam Penerokaan Teori Kurikulum , kurikulum ialah
segala pembelajaran yang dirancang dan diarah oleh sekolah bagi mencapai matlamat
pendidikan. Definisi ini meliputi objektif pendidikan, segala pengalaman yang terancang
dan penilaian pencapaian murid-murid. Kurikulum juga boleh didefinisikan sebagai
pengetahuan dan pengalaman yang dibina semula oleh murid. Pengetahuan dan
pengalaman yang dibina semula ini dibentuk dengan bersistem di bawah naungan
sekolah untuk mempertingkat kemajuan murid mengawal pengetahuan dan pengalaman
sendiri. Hakikatnya, kurikulum mengaitkan proses pembinaan semula pengetahuan dan
pengalaman murid dengan kebolehan murid itu sendiri.

1.2 Konsep Kurikulum

Setelah meneliti pelbagai jenis definisi, kurikulum bolehlah difahamkan sebagai


rancangan merangkumi aktiviti akademik seperti matapelajaran, kursus dan kegiatan

1
EDU 3316
PERKEMBANGAN KURIKULUM BAHASA MELAYU

luar bilik darjah seperti kelab dan persatuan, unit beruniform serta sukan dan permainan.
Kurikulum itu hendaklah mengandungi aktiviti-aktiviti sama ada akademik atau bukan
akademik yang boleh membantu para murid mencapai perkembangan dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani. Pengalaman-pengalaman yang dirancangkan itu hendaklah
secocok dengan umur, kebolehan, minat dan kematangan murid.

1.3 Objektif Kurikulum

Kurikulum yang telah dirancang dan dilaksanakan untuk murid-murid di sekolah


mempunyai beberapa objektif. Antara objektif utama ialah :
a) Berhasrat menghasilkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani.
b) Membentuk insan yang berupaya berfikir secara logis, analitis, kreatif, inovatif
serta memiliki ilmu pengetahuan yang benar.
c) Bertujuan memperkembangkan potensi atau bakat dan keupayaan setiap
individu.
d) Menyediakan suasana pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan
uantuk membolehkan pembelajaran maksimum tercapai.
e) Membolehkan murid-murid mempelajari nilai-nilai murni melalui
matapelajaran yang disediakan.
f) Menghasilkan murid yang berakhlak mulia dan progresif.
g) Berhasrat melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan dan
berketerampilan agar dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan
Negara.
h) Melahirkan insan yang beragama, mempunyai kemantapan jiwa dan bersedia
untuk berbakti.

1.4 Jenis-jenis Kurikulum

Warwick dalam Mohd Daud Hamzah(1993) menerangkan bahawa terdapat tiga


dimensi atau aspek kurikulum yang jelas untuk mencapai objektif-objektif di atas. Tiga
dimensi itu ialah kurikulum formal, kurikulum ideal dan kurikulum tersembunyi atau juga
dikenali sebagai kurikulum terpendam.

a) Kurikulum Formal
Kurikulum formal merujuk kepada semua aktiviti yang berlaku secara nyata di
sekolah. Hal ini merangkumi segala aktiviti bilik darjah, kegiatan luar bilik darjah serta
sukan dan permaianan yang telah dirancang oleh pihak tertentu dan dikawal selia oleh
guru. Aktiviti yang berlaku ini boleh diibaratkan seperti kandungan geologi bumi, di mana
setiap lapisan yang terdapat dalam bumi adalah saling berkaitan antara satu sama lain
dari lapisan kerak hinggalah ke teras dalam. Begitu juga dengan kurikulum di sekolah,
kita boleh ibaratkan satu lapisan mewakili satu bentuk satu aspek kurikulum yang saling
berkaitan .

2
EDU 3316
PERKEMBANGAN KURIKULUM BAHASA MELAYU

b) Kurikulum Ideal
Prinsip-prinsip yang terlibat dalam sesuatu kurikulum akan menjamin
kesepaduan kurikulum secara keseluruhannya. Prinsip-prinsip inilah yang terkandung
dalam kurikulum ideal. Kurikulum ideal ini sepatutnya mengandungi pandangan-
pandangan daripada semua pihak yang terlibat dalam sistem persekolahan, iaitu
pengetua, guru besar, guru, nazir, kakitangan sumber ibu bapa dan sebagainya. Tanpa
kurikulum ideal, kurikulum formal tidak mempunyai asas serta kekurangan arah yang
tertentu. Kurikulum ideal ini merupakan satu batu induk bagi kurikulum formal.

c) Kurikulum Tersembunyi
Dimensi ketiga kurikulum ialah kurikulum tersembunyi. Kurikulum ini merupakan
pengalaman pembelajaran yang dipelajari secara tidak langsung oleh para murid dan
kesannya adalah di luar kawalan guru. Pembelajaran sampingan berlaku disebabkan
cara kurikulum itu disusun dan kaedah-kaedah pengajaran yang diterapkan oleh guru
dan persekitaran di sekolah.

2.0 KURIKULUM TERSEMBUNYI

Kurikulum dan sekolah saling lengkap melengkapi. Setiap sekolah di Malaysia


mengikuti kurikulum yang sama , dirancang oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK).
Melalui kurikulum yang dibina inilah pihak sekolah dapat membekalkan ilmu dan
pengalaman kepada para murid. Di sebalik kurikulum yang direkabentuk dan
disusunatur persembahannya terdapat satu lagi kurikulum yang tersembunyi. Menurut
Roland Meighan dalam Ishak Ramly(2003), beliau menyatakan kurikulum tersembunyi
ialah segala amalan-amalan di sekolah yang kadangkala dilakukan tanpa difikirkan
tujuannya. Kesimpulannya, tidak terdapat definisi yang tepat dan khusus bagi kurikulum
tersembunyi kerana kedudukan, makna, fungsi dan peranannya dalam pendidikan
adalah pelbagai arah , tidak khusus dan pelbagai objektif. Terdapat dua jangkaan
kurikulum tersembunyi iaitu jangka masa panjang dan jangka masa pendek.

2.1 Konsep Kurikulum Tersembunyi


Istilah kurikulum tersembunyi merujuk segala perkara yang dapat mempengaruhi
pengajaran dan pembelajaran serta sistem persekolahan yang bertujuan untuk
meningkat dan mendorong pertumbuhan pengajaran dan pembelajaran. Kurikulum
tersembunyi ini berlaku secara terselindung atau tidak rasmi dalam organisasi sekolah,
sistem sekolah atau sistem pendidikan.
Kepelbagaian kurikulum tersembunyi ini telah membawa pelbagai implikasi serta
perubahan dalam mewariskan tradisi bagi mengekalkan struktur sosial masyarakat.

3
EDU 3316
PERKEMBANGAN KURIKULUM BAHASA MELAYU

Kurikulum tersembunyi boleh berlaku secara adaptasi, asimilasi, interpretasi dan


asosiasi rukun serta susila hidup yang bersistem dan berpelembagaan kepada generasi
baru yang menjadi pewaris masyarakat. Menyedari akan hakikat bahawa kurikulum
pendidikan mempunyai matlamat mengubah murid dari segi pemikiran, perasaan,
perbuatan dan kepercayaan kepada satu tahap yang diperakukan masyarakat maka
mahu ataupun tidak, sekolah telah mengambil alih dalam banyak perkara pendidikan
daripada institusi-institusi keluarga, masyarakat, kebudayaan dan sebagainya. Ini
bermakna dalam konteks khusus, kurikulum tersembunyi telah berlaku dan dapat
diertikan sebagai menyediakan pengalaman murid yang tidak diduga yang timbul
daripada sesuatu kurikulum, serta juga pengalaman yang timbul daripada beberapa
situasi dan pola budaya yang terdapat di sekolah. Apa yang mungkin dialami oleh murid
dalam kurikulum tersembunyi ialah mereka dilatih untuk hidup dalam masyarakat dan
diberi latihan yang lebih bersifat soft skils atau kemahiran insaniah untuk masa
hadapan dan memberi kepuasan kepada mereka sepanjang berada di sekolah.
Hakikatnya, walaupun tidak distrukturkan secara kemas dan tersusun dalam
pelaksanaan kurikulum rasmi sekolah, tetapi kurikulum tersembunyi ini dapat
menentukan keberkesanan pengalaman sekolah yang dilalui oleh setiap murid.

2.2 Pelaksanaan kurukulum tersembunyi


Pelaksanaan Kurikulum tersembunyi ini sering menimbulkan persoalan dalam
kalangan masyarakat sekolah, sama ada pihak pentadbir, guru pekerja sekolah dan
murid. Persoalan yang timbul ialah dari manakah datangnya kurikulum tersembunyi ini,
adakah dari murid, guru atau orang-orang berkepentingan mendapatkan ganjaran dan
kedudukan seperti PIBG dan lain-lain.
Untuk mengetahuinya, saya memetik pendapat Kliebard dan Bellack dalam Inilah
Kurikulum Sekolah (2003) yang telah mengemukakan tiga dimensi kurikulum
tersembunyi iaitu:
a) Kurikulum tersembunyi menunjukkan perlakuan hubungan sekolah yang
meliputi interaksi sosial guru, murid, struktur kelas, keseluruhan pola
organisasi bdan murid sebagai mikro kosmos sistem nilai sosial.
b) Kurikulum tersembunyi dapat menjelaskan sejumlah proses pelaksanaan di
dalam ataupun di luar sekolah yang meliputi hal-hal yang mempunyai nilai
tambah, sosialisasi dan pengekalan struktur organisasi kelas.
c) Kurikulum tersembunyi meliputi perkara-perkara yang dapat membezakan
tingkat kesengajaan yang dimiliki masyarakat yang diperoleh secara
incidental dan pola-pola kesejagatan ini sama-sama berperanan membentuk
dan mengekalkan pola serta perlakuan manusia. Kurikulum tersembunyi
sama-sama berperanan dalam menentukan perubahan fungsi nilai sosial
pendidikan.

Secara terhad kurikulum tersembunyi meliputi pengelompokan murid


berdasarkan kemampuan, hubungan guru dengan murid, peraturan kelas, isi buku teks
secara implisit, perbezaan peranan murid berdasarkan jantina dan struktur kenaikan

4
EDU 3316
PERKEMBANGAN KURIKULUM BAHASA MELAYU

kelas. Manakala dalam konteks yang lebih luas kurikulum tersembunyi ini meliputi
hasilan sosiopolitik, kepercayaan, nilai, adat budaya, sikap dan kekuasaan. Jelaslah di
sini semua perkara yang dapat mempengaruhi pelaksanaan kurikulum rasmi dan
pendidikan dapat dikelompokan sebagai kurikulum tersembunyi.

2.3 Aspek Kurikulum Tersembunyi


Seperti mana yang kita tahu kurikulum tersembunyi tidak direncanakan atau
diprogramkan tetapi kehadirannya sudah cukup untuk mempengaruhi tingkah laku
murid. Terdapat dua aspek dalam kurikulum tersembunyi yang menjalankan tugas ini
iaitu:

a) Aspek Relatif Tetap


Meliputi ideologi, keyakinan, nilai budaya masyarakat yang mempengaruhi sekolah.
maksudnya di sini, masyarakat merupakan pihak yang menetapkan pengetahuan yang
harus diwarisi dan yang tidak perlu diwariskan kepada generasi muda yang memimpin
dan menerajui masyarakat. Selain itu, sistem pengurusan kelas, aturan yang diterapkan
serta pengelompokan murid juga telah membawa implikasi pengaruh kepada murid.

b) Aspek Berubah-ubah
Meliputi angkubah organisasi sistem sosial dan kebudayaan. Perkara ini
termasuklah pengelolaan kelas oleh guru, penyampaian dan kaedah pengajaran yang
hendak digunakan dan sistem kenaikan kelas, yang mungkin berdasarkan bilangan
jantina dalam kelas, markah pencapaian dan lain-lain. Manakala sistem sosial pula
meliputi hubungan murid dengan guru, murid dengan murid, guru dengan pentadbir
sekolah, guru dengan murid dan sebagainya. Angkubah kebudayaan pula membawa
pengertian segala sistem keyakinan dan nilai yang didukung masyarakat dan sekolah.

2.4 Bagaimana Kurikulum Tersembunyi Berlaku?

Kita sedia maklum bagaimana kurikulum yang direkabentuk oleh Pusat


Perkembangan Kurikulum (PPK) berfungsi dan dilaksanakan di sekolah secara
terancang. Namun kurikulum yang kita sediakan itu jarang-jarang berfungsi seperti yang
diharapkan kerana sebahagian besarnya ilmu pengetahuan yang agak terpisah
daripada situasi yang boleh digunakan secara terus. Oleh yang demikian, kerelevanan
ilmu itu sukar dilihat oleh murid. Nilai-nilai hidup yang akhir-akhir ini diserapkan ke dalam
kandungan pelajaran di sekolah juga didapati bukan sahaja terlalu ideal tetapi terlalu
janggal dari segi pengajarannya sehinggakan murid merasai pembelajaran seperti
mempelajari ilmu yang bersifat akademik. Justeru, sebahagian proses pembelajaran
boleh berlaku melalui cara-cara lain daripada pengajaran formal yang berlandaskan
kurikulum. Proses pembelajaran ini ialah kurikulum tersembunyi yang banyak terdapat di
sebalik mata pelajaran yang dipelajari di sekolah. Pembelajaran ini banyak membantu
murid bukan sahaja untuk lulus dalam peperiksaan tetapi yang lebih penting adalah
untuk memastikan murid-murid memperoleh kejayaan dalam hidup. Persoalannya

5
EDU 3316
PERKEMBANGAN KURIKULUM BAHASA MELAYU

bagaimana proses pembelajaran ini boleh berlaku? Oleh itu, seterusnya kita lihat
beberapa cara dan situasi yang telah menerapkan kurikulum tersembunyi ini.

2.4.1 Interpretasi Pelajar

Pertama, ialah melalui interpretasi murid terhadap pelajaran yang diajar secara
formal. Penjelasan guru tentang sesuatu isi pelajaran seringkali disalahfahami dan
kadang-kadang diterokai secara mendalam oleh murid sehinggakan perkara yang
ditemui oleh murid itu berlainan sekali daripada yang ingin disampaikan oleh guru.
Contohnya, dalam pelajaran subjek sejarah terdapat peristiwa-peristiwa peperangan dan
penaklukan. Apa yang penting untuk disampaikan mengikut preskripsi kurikulum
mungkin perkaitan dan kesinambungan daripada perpektif masa, tetapi murid mungkin
tersilap dalam menyusun fakta yang boleh membawa implikasi berlainan terhadap
fahaman dan penghayatan peristiwa yang dipelajarinya. Murid juga berkemungkinan
mendalami dan membuat beberapa andaian yang membolehkan dia terus menilai dan
akhirnya melakukan interpretasi yang berlainan. Hasilnya, murid bukan sahaja telah
melalui proses penghayatan yang terfikir oleh perancang kurikulum dan guru malah
murid juga telah sampai ke suatu tahap dalam membuat pendirian tersendiri berkenaan
peristiwa itu dan ini diserapkan sebagai sebahagian daripada falsafah hidupnya.

2.4.2 Guru Sebagai Model

Guru-guru secara langsung atau tidak langsung, di dalam atau di luar bilik darjah
memainkan peranan penting dalam mendidik para murid di sekolah. Sepanjang
menjalankan tugas sebagai seorang pendidik sudah pastinya akan tersisip
pembelajaran secara tidak formal oleh guru atau kurikulum tersembunyi. Contohnya, kita
lihat melalui situasi disiplin, apabila seseorang murid tidak manyiapkan kerja yang diberi
untuk disiapkan di rumah mungkin guru menasihati murid berkenaan mengubah sikap
ataupun guru tersebut mungkin mendenda murid tersebut. Tindakan yang dilakukan oleh
guru bukan sahaja menjadi pengajaran kepada murid berkenaan, malah menjadi
pengajaran kepada murid-murid lain juga. Nilai dan norma masyarakat yang
disampaikan melalui tunjuk ajar sebegini mampu menjadi teladan kepada murid dan
menjadi pegangan kepada mereka dalam menilai perkara baik dan buruk. Selain itu,
guru juga sinonim bertindak sebagai mentor kepada murid. Peranan guru sebagai
mentor tidak terbatas kepada tugas mengajar matapelajaran sahaja. Malah guru
sebenarnya memainkan peranan lebih daripada yang tercatat dalam tugas rasmi guru.
Situasi mentor dan pementoran ini boleh wujud dalam keadaan formal dan tidak formal.
Peranan guru sebagai mentor adalah untuk membimbing murid membina konsep kendiri
positif. Misalnya, seorang guru matematik dan sains berperanan sebagai mentor, maka
dia perlu menjadi orang yang lebih analitis dan saintifik sebelum muridnya. Semua guru
sebenarnya memegang peranan sebagai mentor dan memiliki kualiti mentor yang positif
secara tidak langsung kerana guru merupakan role model kepada murid-murid di
sekolah.

6
EDU 3316
PERKEMBANGAN KURIKULUM BAHASA MELAYU

Saya bawa satu contoh situasi kes pementoran dan kurikulum tersembunyi ini
berlaku. Seorang murid A yang berada dalam dilema sama ada ingin terus
bertanggungjawab mengetuai pasukan bahas sekolah atau memberi tumpuan pada
peperiksaan SPM. Sindiran guru Y apabila markah peperiksaan bulanannya merosot
memberi tekanan kepadanya. Oleh itu, dia berjumpa kaunselor dan menyatakan dia
dapat memperbaiki bahasa inggerisnya sejak menyertai bahas. Cikgu K yang banyak
membimbingnya sejak tingkatan 3. Cikgu K selalu menggunakan bahasa Inggeris
apabila mereka hendak meluahkan perasaan. Murid A sudah menang peringkat daerah
dan membanggakan semua orang, namun berbeza dengan cikgu Y yang tidak suka.
Maka, siapa sebenarnya mentor murid ini? Jawapannya ialah cikgu K kerana beliau
telah berjaya mendorong, memberi keyakinan dan mengoptimumkan potensi murid
tersebut walaupun hanya dengan kata-kata. Dengan ini, murid telah beroleh satu
keyakinan dan dapat mengekalkan potensi diri untuk masa hadapan.

2.4.3 Suasana Bilik Darjah

Ketiga, bilik darjah sebenarnya boleh dianggap sebagai arena yang memboleh
dan meluangkan masa murid berinteraksi dan menimba kemahiran hidup yang
berlaianan dalam konteks sosial. Walaupun prioriti persekolahan dikatakan mempelajari
perkara-perkara yang berbentuk akademik, namun pengajaran untuk hidup, iaitu
kemahiran hidup sebagai sebahagian daripada masyarakat dan untuk survival tidak
ketinggalan. Pengajaran seperti ini diperoleh dalam konteks sosial iaitu menerusi aktiviti
sosial murid mencuba pelbagai cara untuk terus hidup bersama. Contohnya, kita lihat
situasi di kantin murid-murid ini akan beratur semasa membeli makanan walaupun ia
bukan satu peraturan yang termaktub dalam kuriklum yang direncanakan namun, dalam
konteks sosialnya beratur itu mewujudkan sifat tolak ansur dan kesabaran. Dengan ini,
murid bukan sahaja dapat memuaskan kehendaknya tetapi juga kehendak
organisasinya iaitu rakan murid yang lain. Peranan yang dimainkan oleh setiap murid
ialah peranan yang sesuai dengannya dan peranan ini diasaskan kepada kedudukan
murid dalam kumpulan itu. Konflik akan sering berlaku dan ia akan diselesaikan dengan
menggunakan mekanisme sistem sosial yang sedia ada. Perkara penting di sini ialah
dalam memainkan peranan sebagai ahli kumpulan, murid mempelajari norma dan nilai
hidup masyarakat agar mereka dapat meneruskan hidup bersama.

2.4.4 Konsep Diri

Seterusnya, melalui gaya kepimpinan stimulasi inspirasi yang dimainkan oleh


guru juga ini tersisip kurikulum tersembunyi dengan kemas. Sepertimana yang kita tahu,
bagi seseorang murid di sekolah, guru-gurunya adalah konsep dirinya yang utama. Oleh
yang demikian guru-guru perlu menjalankan fungsi membantu murid mempunyai konsep
diri positif selain daripada menjalankan fungsi sebagai pengajar matapelajaran. Menurut

7
EDU 3316
PERKEMBANGAN KURIKULUM BAHASA MELAYU

Bandura dalam Psikologi Pendidikan Untuk Perguruan, pembelajaran sosial berlaku


melalui pemerhatian. Oleh itu, manusia dan haiwan boleh belajar dengan memerhatikan
orang lain. Kalau manusia boleh belajar dengan memerhati, sudah tentu mereka
menumpukan perhatian, membentuk imej, mengingat, menganalisis dan membuat
keputusan yang memberi kesan ke atas pembelajaran. Dalam pembinaan konsep
kendiri yang positif murid akan mengambil kira tiga sumber utama iaitu yang pertama,
pendapat orang lain iaitu cara individu lain menganggap , bercakap dan melayan diri
seseorang murid itu. Contohnya apabila murid itu sering mendengar guru memujinya
sebagai pelajar pintar, dengan ini timbul keyakinan dalam dirinya sebagai orang pintar.
Kedua ialah penilaian dengan individu lain iaitu bagaimana seseorang murid itu
memerhati dan membandingkan dirinya dengan individu lain di sekelilingnya. Individu-
individu ini merupakan sumber inspirasi konsep dirinya yang utama. Misalnya, apabila
seseorang murid itu hendak mengetahui sejauh mana dia mempunyai sesuatu bakat
dan kebolehan, oleh itu dia akan membandingkan dirinya dengan murid-murid di
sekelilingnya. Salah satu cara perbandingannya ialah dengan menyertai sesuatu
pertandingan dan sekiranya dia memenangi pertandingan tersebut maka dia mendapat
gambaran tentang kepintaran dan kebolehannya dan akan menjadi sumber konsep
kendiri yang penting baginya. Yang terakhir ialah melalui penilaian dengan diri sendiri.
Sumber ini menyatakan bagaimana seseorang murid itu mentafsir perilaku dengan
pemikirannya sendiri. Pentafsiran yang dilakukan ini akan membentuk konsep diri murid
itu sendiri. Sebagai contoh, seseorang murid itu percaya perbuatan tidak menyiapkan
kerja-kerja rumahnya adalah buruk dan tanda seorang pemalas, dan apabila dia
melakukan perbuatan tersebut dia akan berasa tidak seronok kerana sudah melihat ciri-
ciri orang yang pemalas ada pada dirinya. Dengan ini guru-guru memainkan peranan
dalam membina anggapan-anggapan positif ke atas diri murid berkenaan. Ini kerana,
sedar atau tidak, di sekolah murid akan berasa yakin dan bangga apabila guru yang
memberi pendapat yang baik tentang dirinya.
Guru perlu memastikan dia mempunyai tingkah laku dan perwatakan yang positif
waima dari segi pakaian supaya murid dapat yakin dengan tegurannya dan menirunya.
Segala tindakan yang ditunjukkan oleh guru kepada muridnya hendaklah sesuatu yang
boleh dicontohi oleh murid, walaupun kita tahu hubungan seorang guru dengan seorang
murid tidak akan berkekalan kerana murid akan terus membesar. Namun, perlu diingat
bahawa guru yang menjadi model dan pembimbing kepada seseorang murid akan
bertukar dari semasa ke semasa. Hasil daripada proses interaksi dan sanjungan ialah
murid dengan sendirinya mempelajari norma dan nilai yang didokongi oleh model
tersebut.
Menyedari akan hal ini, pemilihan seseorang guru itu sangat penting kerana
sekiranya guru tidak didokongi oleh satu cara hidup yang sesuai dengan budaya
masyarakatnya maka dia tidak sesuai mengajar kerana tingkahlakunya akan ditiru atau
diteladani oleh murid yang berlawanan norma dan nilai masyarakatnya. Guru-guru juga
seharusnya mengawasi murid-murid yang lebih dewasa kerana murid-murid ini akan
menjadi model dan penasihat kepada murid yang lebih muda. Konsep diri yang
terbentuk dalam diri murid ini akan membawa dirinya bersama pengalaman-pangalaman
yang ada pada masa hadapan sama. Mereka mungkin memiliki segala pengetahuan

8
EDU 3316
PERKEMBANGAN KURIKULUM BAHASA MELAYU

dan kemahiran ketika di sekolah tetapi semuanya tidak akan bermakna sekiranya tiada
keyakinan diri untuk mempraktikkan ilmu yang diperoleh itu. Oleh itu, bentuklah konsep
diri yang positif dalam diri mereka.

2.4.5 Iklim Sekolah

Sekolah boleh diibaratkan sebagai pasar, penjara, gedung ilmu dan pelbagai
lagi. Semua perbandingan mengenai ethos ini mencerminkan iklim atau suasana
sesebuah sekolah. Jika di dalam sesebuah sekolah itu kita dapati pelajarnya berkeliaran
atau ponteng kelas dan guru tidak dapat menggunakan kuasanya untuk
mententeramkan situasi ini, maka ciri pasar akan tertera pada sekolah ini. Berbeza
dengan sekolah yang menjalankan fungsi seperti yang diharapkan dan mempunyai
mekanisme kawalan seperti ganjaran dan dendaan dengan berkesan serta setiap
individu menjalankan tugas masing-masing, maka sekolah ini akan dilabel sebagai
gedung ilmu.
Setiap pelaksanaan yang berlaku di dalam sesebuah sekolah akan
mencerminkan setiap individu yang berada didalamnya. Dengan ini, kita dapat melihat
cara sesebuah sekolah mentadbir murid-muridnya. Meninjau sekolah-sekolah ini, kita
akan terasa setiap sekolah mempunyai suasana yang berbeza dan tersendiri.
Perbezaan-perbezaan iklim sekolah ini mungkin dapat dikelompokkan mengikut
penekanan yang diberikan kepada tiga jenis tindakan sosial iaitu tindakan instrumental,
tindakan ekspresif dan tindakan moral.
Di sini kita dapat lihat kurikulum tersirat ini dilaksanakan oleh setiap individu di
dalam sekolah sama ada para guru, pihak pentadbir dan murid-murid. Contohnya kita
lihat sekolah yang banyak melahirkan murid cemerlang. Biasanya cara pentadbiran
yang di bawa oleh sekolah seperti ini menekankan kepada tindakan instrumental iaitu
semua aktiviti yang dijalankan diarahkan kepada satu matlamat untuk masa hadapan.
Tindakan ini berbentuk kognitif dan juga yang menolong dalam pembentukan murid
yang bertanggungjawab. Murid-murid di sekolah ini biasanya belajar bersama-sama
rakan, merujuk kepada buku-buku di perpustakaan, menyoal guru, menjemput pegawai
kerajaan untuk menerangkan sesuatu isu seperti dadah, menjalankan kerja lapangan
bagi merekod sejarah setempat dan sebagainya. Dengan ini, sekolah dapat menjadikan
murid lebih berdikari, yakin dan sentiasa ke hadapan.
Selain itu, sekolah juga tidak dapat lari daripada situasi yang menekankan
tindakan ekspresif, di mana tindakan yang dibuat itu ialah untuk melahirkan perasaan
dan proses ini memberikan kepuasan kepada diri sendiri. Dalam hal ini, tindakan itulah
juga adalah matlamatnya, misalnya menyanyi, membaca, membuat bising, menolong
kawan dan tindakan-tindakan sepertinya merupakan aktiviti yang mengurangkan
ketegangan dan menimbulkan kepuasan. Tindakan ini tidak bertujuan untuk
meningkatkan pengetahuan dan peraturan. Seterusnya, sekolah juga ada mengamalkan
tindakan moral yang bertujuan menyatupadukan semua individu sebagai satu kumpulan
yang bersefahaman tentang perkara sama ada yang salah atau yang benar. Setiap
sekolah mempunyai mekanisme bagi menghindar perbuatan yang merosakkan dan
menggalakkan perbuatan yang bermanfaat. Ethos sesebuah sekolah biasanya

9
EDU 3316
PERKEMBANGAN KURIKULUM BAHASA MELAYU

dipengaruhi oleh faktor-faktor sejarah, lokasi, jenis dan latar belakang murid mengikut
status sosioekonomi keluarga.
Justeru, jelas bentuk-bentuk iklim atau suasana yang di cipta oleh sekolah
banyak mempengaruhi murid kerana mereka tidak dapat lari daripada mengikut
kehendak kumpulan dan organisasi. Dalam hal ini, semua rancangan yang datang dari
luar, tingkah laku guru-guru dan arahan-arahan daripada pihak sekolah akan di
interpretasikan dalam konteks budaya dan iklim sekolah dan terus meresap dan
mempengaruhi dalam pembentukan sahsiah dan peribadi murid-murid. Oleh itu, penting
bagi pihak guru dan pentadbir sekolah untuk mewujudkan satu iklim pembelajaran yang
sihat di sekolah kerana persekitaran merupakan salah satu faktor terbesar yang
mempengaruhi diri seseorang individu.

2.4.6 Pelaksanaan Aktiviti

Seperti mana yang kita ketahui aktiviti ko-kurikulum merupakan kurikulum yang
telah dirancang seperti mata pelajaran juga. Namun di sebalik pelaksanaan aktiviti
seperti ini banyak tingkah laku dan sikap yang terbentuk selain daripada yang telah
dirancang. Persatuan bahasa melayu umpamanya, objektif utamanya adalah untuk
meningkatkan kemahiran pelajar dalam penggunaan bahasa Melayu melalui aktiviti-
aktiviti bahasa seperti penulisan esei, deklamasi sajak dan drama. Namun, tanpa kita
sedar penyertaan pelajar dalam aktiviti seperti ini contohnya dalam drama adalah cara
terbaik mengajar murid untuk melihat sesuatu melalui kaca mata orang lain iaitu setiap
orang mempunyai pandangan yang berbeza. Lebih signifikan lagi, murid dapat
membayangkan perasaan orang lain dan bermakna mereka perlu meletakkan diri
mereka sebagai orang itu dan berada dalam situasinya. Apabila mereka memilki
kemahiran ini, mereka akan lebih berfikiran terbuka, tidak mementingkan diri sendiri dan
menghormati perasaan orang lain. Aspek kemahiran ini merupakan salah satu cara
dalam pembentukan akhlak murid-murid.
Selain itu, persatuan-persatuan lain juga seperti persatuan Bulan Sabit Merah
dan Kadet Remaja Sekolah mempunyai matlamat mereka yang tersendiri. Walaupun
matlamat-matlamat yang termaktub ini cuba dicapai, terdapat matlamat-matlamat lain
yang tidak ditulis juga dicapai. Misalnya, peristiwa-peristiwa seperti hari terbuka atau
hari sukan sekolah dan sebagainya. Pada masa ini semua persatuan akan menjalankan
aktiviti-aktiviti masing-masing dan ketika inilah pelbagai tingkah laku instrumental,
tingkah laku ekspresif dan tingkah laku moral yang tidak dirancang berlaku. Murid
biasanya tidak sedar mereka secara sukarela telah menyediakan satu rancangan dan
menyelenggarakan aktiviti yang dirancangkan. Kemahiran merancang dan
menyelenggarakan aktiviti, khususnya dalam mengatur perkara-perkara yang perlu
dilakukan dan memastikan wujudnya perhubungan yang baik antara ahli-ahli bukanlah
matlamat sebenar persatuan. Namun begitu, kemahiran yang diperoleh ini bukan sahaja
berguna pada masa persekolahan malah akan membantu mereka pada masa hadapan.
Selain itu, dari sudut tingkah laku moral sudah tentu jelas dengan adanya aktivit-
aktiviti kumpulan dengan adanya sikap kerjasama, tolong-menolong, mengambil inisiatif

10
EDU 3316
PERKEMBANGAN KURIKULUM BAHASA MELAYU

memajukan diri sendiri dan berbagai-bagai lagi yang disemai secara tidak langsung.
Manakala tingkah laku antimoral seperti tidak mahu bekerjasama, menghalang sesuatu
rancangan daripada dijalankan, menyakiti hati kawan wajar dijadikan pengajaran dan
teladan. Secara umumnya, setiap tingkah laku yang berlaku akan membentuk
personaliti murid itu sendiri.

2.4.7 Proses Pengajaran Dan Pembelajaran(P&P)

Sekiranya sebelum ini kita mengetahui proses P&P yang berlaku merupakan
sebahagian daripada kurukulum yang telah direncanakan, maka kita juga boleh melihat
bagaimana proses ini menerapkan nilai-nilai, kemahiran insaniah, tingkah laku dan
segainya. Contohnya, kemahiran membuat ramalan dan akibat. Tiada subjek khusus
yang mengajarkan tentang ramalan kesan dan akibat. Ramalan tentang sesuatu perkara
yang akan terjadi merupakan sebahagian daripada sains, sebahagian daripada
matematik dan sebahagian lagi daripada bayangan untuk mencipta gambaran dalam
pemikiran tentang apa yang akan berlaku seterusnya. Dengan ini, murid dapat membuat
ramalan tentang hidupnya dengan mengaplikasikan kemahiran yang diperoleh. Manusia
jarang-jarang berfikir ke depan. Dengan adanya kemahiran ini murid boleh mentafsir
masa hadapannya. Misalnya, Apa yang akan berlaku sekiranya dia tidak belajar?.
Maka secara tidak langsung dia dapat meramal dan mengetahui akibatnya dan
membuatkan dia sedar betapa pentingnya untuk belajar.
Dalam sesi P&P murid juga dilatih untuk menjadi lebih kreatif dan kritis dalam
menggunakan kognitif mereka. Untuk menjadi kreatif mereka perlu memahami proses
kreativiti itu sendiri. Idea kreatif itu sebenarnya hasil daripada memanipulasikan
pengetahuan yang ada dengan cara tertentu. Manakala kreativiti biasanya muncul
sebagai respon untuk sesuatu masalah dan untuk menjadi kreatif murid perlu mencari
dan menyelesaikan masalah untuk diatasi. Sebahagian besar daripada kita sebenarnya
tidak menyedari bahawa perkara inilah yang diterapkan dalam mata pelajaran
Matematik sebenarnya iaitu bagaimana untuk menaakul dan menyelesaikan masalah.
Selain daripada mata pelajaran matematik, subjek lain juga ada menerapkan nilai
sebegini misalnya, dalam subjek Bahasa Melayu apabila pelajar diminta untuk membuat
karangan yang bertajuk cara-cara mengatasi kesesakan jalan raya, murid perlu berfikir
bukan sahaja dari satu sudut tetapi dari keseluruhan sudut masalah atau berfikir di luar
situasi yang juga dikenali sebagai thinking outside the box.
Selain itu, penggunaan jadual bertugas di dalam kelas juga dapat menerapkan
kebersihan dalam diri murid dan erti tanggungjawab. Contohnya, apabila guru masuk ke
dalam kelas sebelum memulakan P&P, guru akan bertanya tentang kebersihan kelas
secara tidak langsung mengingatkan murid yang bertugas tentang tanggungjawab
mereka untuk menjaga kebersihan kelas pada hari tersebut. Penerapan nilai-nilai
sebegini dapat membentuk akhlak dan peribadi yang mulia. Secara praktisnya, banyak
nilai-nilai yang diserapkan secara tidak langsung dalam proses P&P di dalam kelas
selain daripada yang dinyatakan. Antaranya ialah cara untuk berkomunikasi, cara untuk
menghargai diri sendiri dan nilai kasih sayang sesama makhluk.

11
EDU 3316
PERKEMBANGAN KURIKULUM BAHASA MELAYU

3.0 KESIMPULAN
Dapatlah dirumuskan di sini kurikulum tersembuyi adalah perlakuan,
perancangan dan tindakan menggubal, membina dan melaksanakan kurikulum yang
tidak dinyatakan secara bertulis tetapi berfungsi membina hati, akal dan jiwa pelajar
supaya menjadi insan yang berguna dan dapat meneruskan tradisi hidup dan
masyarakat. Pembelajaran daripada kurikulum tersembunyi ini sama pentingnya
dengan kurikulum tersurat. Sebagai warga pendidik kita seharusnya tahu apa yang kiata
mahu murid-murid kita belajar. Apabila kita peka dengan keadaan ini maka kita dapat
menggunakan sebaik mungkin peluang daripada kurikulum tersurat untuk menyisipkan
kurikulum tersurat ini dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Kurikulum tersembunyi ini mempunyai pertalian yang erat dengan pengalaman
persekolahan individu. Jika seseorang individu itu mengikuti perjalanan sistem
pendidikan yang diterjemahkan dalam pelbagai reka bentuk kurikulum maka dia akan
memperoleh ilmu dan pengalaman persekolahan yang akan menjadi ingatan , panduan
dan pegangan hidup sehingga kanak-kanak itu dewasa. Pelaksanaan kurikulum
tersembunyi ini mempunyai pengaruh dan peranan yang besar dalam membentuk nilai
dan budaya masyarakat. Amalan dan kebiasaan tradisi ini akan membawa implikasi dan
kestabilan dan keharmonian pada masyarakat.
Justeru, dalam melaksanakan kurikulum tersembunyi ini para guru sewajarnya
mengambil sedikit masa untuk menerangkan dan menjelaskan kepada murid-murid
tentang manfaat daripada setiap pelajaran yang disampaiakan di sekolah. Dengan ini,
murid akan sedar bahawa setiap perkara yang dilakukan di sekolah bukanlah sesuatu
yang sia-sia tetapi berguna untuk diri mereka sendiri, keluarga, masyarakat dan masa
hadapan mereka. Mereka juga mungkin akan lebih teruja dan berkeinginan untuk belajar
dan terus belajar kerana mereka tahu setiap perkara yang mereka lakukan akan
memberi impak kebaikan bukan sahaja pada diri sendiri malah kepada orang di
sekelilingnya.

12
EDU 3316

Anda mungkin juga menyukai