Anda di halaman 1dari 2

Cabaran ASEAN tangani isu global, lokal

Kadir Dikoh
bhnews@bh.com.my Ahad, 12 November 2017 | 6:57am

DUA puluh pemimpin dunia berhimpun di Manila mulai hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN
Ke-31 serta Sidang Kemuncak yang berkaitan, dengan tuan rumah menggerakkan 60,000 anggota
keselamatan bagi mengawal setiap sudut, terutama di lokasi sidang serta hotel penginapan.

Semua ketibaan dan pelepasan pemimpin menggunakan Lapangan Terbang Clark seperti diarahkan oleh
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte selaku Pengerusi ASEAN, bagi mengelak sebarang gangguan di
Lapangan Terbang Antarabangsa Manila. Lapangan Terbang Clark pernah menjadi pangkalan udara tentera
Amerika Syarikat (AS) paling besar di luar negara sehingga ditutup pada 1991 dan diserahkan kepada
Kerajaan Filipina.

Sudah semestinya, kesesakan bandar Manila berkurangan kerana baru-baru ini Malacañang mengumumkan
13 hingga 15 November sebagai hari cuti untuk kawasan metro Manila, Pampanga dan Bulacan disebabkan
Kegiatan berkaitan ASEAN di kawasan terbabit. Ini mendapat bantahan, terutama daripada pekerja bergaji
hari, yang mendakwa kehilangan pendapatan untuk bebe-rapa hari.

Tukar pandangan isu wilayah, antarabangsa

Namun, buat kali pertama pada Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak berkaitan ialah kehadiran
Presiden AS, Donald Trump, manakala Malaysia diwakili Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selain
kehadiran Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Dengan tema 'Perkongsian Bagi Perubahan, Mendepani Cabaran Dunia', Duterte mempengerusikan sidang
pleno di mana pemimpin ASEAN dijangka membincangkan pelaksanaan Wawasan Komuniti ASEAN 2025,
selain pelantikan Setiausaha Agung baharu pertubuhan dianggotai 10 negara itu. Mereka juga akan bertukar
pandangan mengenai isu penting mengenai wilayah dan antarabangsa.

Selain sidang kemuncak ASEAN, turut diadakan ialah Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN Ke-40 bersama
AS, Kanada dan Kesatuan Eropah (EU); Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga kali Ke-20; Sidang
Kemuncak ASEAN-China Ke-20; Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Ke-19; Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun
Ke-20; Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-12; Sidang Kemuncak ASEAN-India Ke-15 dan Sidang Kemuncak
ASEAN-PBB Ke-9.

Semua sidang kemuncak ini akan menilai dan melihat hala tuju masa depan kerjasama dalam kerangka
mekanisme ini. Pemimpin ASEAN akan menandatangani Konsensus ASEAN mengenai Perlindungan dan
Promosi Hak Pekerja Imigran, dokumen bersejarah yang akan memperkukuhkan perlindungan sosial, akses
kepada keadilan, kemanusiaan dan layanan adil, selain akses kepada perkhidmatan kesihatan untuk pekerja
migran Asia Tenggara.

Pada acara penutup Sidang Kemuncak ASEAN Ke-31 dan sidang kemuncak yang berkaitan, Duterte akan
menyerahkan secara simbolik jawatan Pengerusi ASEAN kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien
Loong untuk tempoh 2018.
Yang pasti menjadi tumpuan sidang kali ini ialah isu ketika berkaitan senjata nuklear Korea Utara, keganasan
dan kemungkinan isu etnik Rohingya turut disentuh. Sidang Kemuncak ASEAN Ke-30 sebelum ini antara
lain menampilkan komitmen memerangi ekstremisme, selain pengedaran dadah, pemerdagangan manusia
dan jenayah perairan, termasuk kedaulatan Laut China Selatan.

Tidak pasti bagaimana isu Rohingya di wilayah Rakhine akan dibincangkan kerana pendirian ASEAN sendiri
ialah tidak masuk campur dalam urusan dalaman negara anggota, tetapi sesetengah pihak menyatakan ia
isu kemanusiaan dan memerlukan pembelaan.

Sidang kali ini juga sempena ulang tahun ke-50 ASEAN iaitu tahun yang menjadi begitu bermakna kepada
negara anggota selepas lima dekad menempuh segala cabaran untuk belajar dan bersaing dengan blok
gergasi lain di dunia.

Dengan lebih 600 juta penduduk, pertubuhan ini sesungguhnya menjadi elemen penting kepada kuasa besar
lain, tambahan lokasi geopolitik rantau ini yang menjadi jalan perdagangan penting menghubungkan barat
dan timur.

Tidak dinafikan selepas meniti pelbagai cabaran dan ancaman global, ASEAN berjaya mengekalkan
autonomi dan reputasi selaku satu unit padu yang mampu bangkit dalam abad ke-21 ini.

Beri peluang ASEAN tangani isu serantau

Pada peringkat antarabangsa, ASEAN sebenarnya boleh memainkan peranan pendamai. Misalnya, pada
2011 dalam Sidang Kemuncak ASEAN di Bali, Korea Selatan dan Korea Utara yang kita sedia maklum
langsung tidak boleh bertemu muka, mampu duduk semeja dan berunding bersama.

China dan India yang tidak sehaluan selama ini boleh 'bersatu' di Bangkok atas nama ASEAN dan ia sesuatu
yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana pertemuan pada peringkat dunia.

Oleh itu, Komuniti ASEAN harus dilayan dengan adil bagi membolehkan mereka mempamerkan kredibiliti
serta kewibawaan dalam menangani pelbagai isu serantau.

Menurut bekas Setiausaha Agung ASEAN, Dr Surin Pitsuwan, pertubuhan itu selama ini tidak diberi peluang
menonjolkan keupayaannya dalam menangani isu kritikal walaupun ada ketikanya, ia adalah hal ehwal
dalaman yang seharusnya diselesaikan secara konsensus antara semua negara anggota.

Najib sendiri pernah mengingatkan supaya ASEAN berfungsi dengan rentak dan acuan sendiri tanpa
meminggir mana-mana rakan yang dilihat sebagai peringatan bagi memastikan ikatan selama ini tidak
diganggu dugaan seperti dihadapi EU.

Penulis adalah Pengarang Bersekutu Ehwal Semasa BH

https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2017/11/349624/cabaran-asean-tangani-isu-global-lokal

Anda mungkin juga menyukai