Anda di halaman 1dari 8

Batu Bersurat

Telaga Batu

Batu Bersurat Telaga Batu


Batu Bersurat Telaga Batu ialah batu
bersurat Srivijaya dari abad ke-7 yang
ditemui di Sabokingking, 3 Ilir, Ilir Timur II,
Palembang, Sumatera Selatan sekitar
tahun 1950. Batu bersurat ini kini
dipamerkan di Muzium Nasional
Indonesia, Jakarta, dengan nombor
inventori D.155. Beberapa tahun
sebelumnya, sekitar 30 batu bersurat
berkenaan Siddhayatra telah ditemui di
sekitar Sumatera Selatan, kebanyakannya
menceritakan tentang perjalanan
Siddhayatra Dapunta Hyang Sri Jayanasa,
yang menurut Batu Bersurat Kedukan
Bukit berlaku sekitar tahun 605 saka (683
M). Kini, kesemua batu bersurat
Siddhayatra ini disimpan di Muzium
Nasional Indonesia.

Batu bersurat ini dihasilkan dari batu


andesit yang berukuran 118 cm tinggi dan
148 cm lebar. Bahagian atasnya dihiasi
dengan tujuh kepala naga, dan pada
bahagian bawahnya terdapat bentuk
seperti cerat yang mengalirkan air, yang
berkemungkinan dicurah ketika upacara
ritual kesetian. Batu bersurat ini ditulis
dengan tulisan Pallava dalam Bahasa
Melayu Kuno.

Pentafsiran
Teks pada batu bersurat ini agak panjang,
bagaimanapun isi kandungan utamanya
hanya berkisar tentang sumpahan-
sumpahan ke atas sesiapa yang
menderhaka kepada kedatuan Srivijaya
atau melanggar perintah dātu. Menurut
Casparis, jenis-jenis orang, pekerjaan atau
pangkat kedudukan yang disebut dalam
batu bersurat ini dikategorikan sebagai
berpotensi membawa bahaya dan
berkemungkinan memberontak terhadap
ketuanan Srivijaya. Bagi mencegah
sebarang cubaan menderhaka, pemerintah
Srivijaya mewajibkan mereka ini
menyatakan kesetian, dengan ancaman
akan disumpah jika tidak berbuat
demikian.[1]

Berikut adalah golongan-golongan dalam


masyarakat yang disebut dalam batu
bersurat ini: rājaputra (putera raja),
kumārāmātya (menteri), bhūpati
(pemerintah daerah), senāpati (panglima
perang), nāyaka (pemimpin masyarakat
setempat), pratyaya (bangsawan), hāji
pratyaya (Raja bawahan), dandanayaka
(hakim), tuhā an vatak (pengawas pekerja
rendah), vuruh (buruh), addhyāksi nījavarna
(penyelia rendah), vāsīkarana (tukang
besi/pembuat senjata), cātabhata (askar),
adhikarana (pegawai), kāyastha (pekerja
kedai), sthāpaka (artisan), puhāvam
(nakhoda kapal), vaniyāga (peniaga), marsī
hāji (pelayan raja), hulun hāji (hamba raja).

Batu bersurat ini mengandungi senarai


paling lengkap pegawai-pegawai kerajaan.
Beberapa ahli sejarah berpendapat ibu
kota Srivijaya sepatutnya terletak di
Palembang, kerana kewujudan batu
bersurat ini yang mengandungi pangkat-
pangkat yang kompleks dan berstarata.[2]
Bagaimanapun, Soekmono berpendapat
batu bersurat yang mengandungi
sumpahan ini tidak wajar terletak di ibu
kota kerajaan, kerana ia mengandungi
sumpahan yang menakut-nakutkan
kepada sesiapa yang durhaka kepada
kedatuan,[3] dan beliau yakin ibu kotanya
terletak di Minanga (mungkin terletak
sekitar Candi Muara Takus) seperti yang
disebut dalam Batu Bersurat Kedukan
Bukit.[4]

Rujukan
1. Casparis, J.G., (1956), Prasasti Indonesia
II: Selected Inscriptions from the 7th to the
9th Century A.D., Dinas Purbakala Republik
Indonesia, Bandung: Masa Baru.
2. Irfan, N.K.S., (1983), Kerajaan Sriwijaya:
pusat pemerintahan dan
perkembangannya, Girimukti Pasaka
3. Madjelis Ilmu Pengetahuan Indonesia,
(1958), Laporan Kongres Ilmu Pengetahuan
Nasional Pertama, Volume 5.
4. Soekmono, R., (2002), Pengantar sejarah
kebudayaan Indonesia 2, Kanisius, ISBN
979-413-290-X.

Diambil daripada
"https://ms.wikipedia.org/w/index.php?
title=Batu_Bersurat_Telaga_Batu&oldid=4210409"

Last edited 3 months ago by HsfBot

Kandungan disediakan dengan CC BY-SA 3.0


kecuali jika dinyatakan sebaliknya.

Anda mungkin juga menyukai