Anda di halaman 1dari 4

Apa itu Kualiti Hidup?

Secara umumnya, KUALITI HIDUP ini bukan sahaja merangkumi pembangunan ekonomi malahan juga
melibatkan pelbagai aspek lain yang tidak dapat dipisahkan seperti aspek sosial, psikologi, kebudayaan,
politik dan alam sekitar. Namun begitu, aspek yang paling utama dalam memberi kehidupan yang
berkualiti kepada manusia mengandungi empat perkara iaitu politik, ekonomi, sosial dan pendidikan.

Kehidupan mengubah setiap perkara dan setiap perwatakan sama ada melibatkan kematian atau
kehidupan. Kehidupan menunjuk kepada setiap perkara yang hidup, proses kehidupan serta sifat dalam
persekitaran. Apabila berbicara mengenai kualiti hidup, perkara penting yang selalu bermain di fikiran
adalah persoalan, adakah kita bercakap mengenai kualiti hidup seseorang atau kualiti sesebuah negara.
Persoalan yang lain seperti
…apakah peringkat kualiti hidup yang tertinggi?
…siapa yang bertanggungjawab dalam meningkatkan kualiti hidup itu sendiri?
…apakah yang terkandung dalam perkataan kualiti itu sendiri?
…adakah ia perlu merangkumi kesihatan yang baik, kekayaan yang melimpah ruah, kekuasaan yang
tinggi, kecantikan atau kepandaian?

Penilaian mengenai kualiti hidup adalah sukar untuk diukur dan tiada definisi umum yang boleh diterima.
Pada masa dulu, kebanyakan pengkaji hanya mengira kualiti hidup manusia berdasarkan satu dimensi
sahaja seperti fungsi fizikal, ekonomi atau fungsi seksual. Tetapi, kebanyakan pengkaji kini cuba untuk
mengembangkan lagi definisi kualiti hidup ini. Kualiti hidup di Malaysia ditakrifkan merangkumi kemajuan
diri, gaya hidup yang sihat, pencapaian dan kebebasan untuk memperolehi pengetahuan dan menikmati
taraf hidup yang melebihi keperluan asas dan psikologi individu, mencapai tahap kesejahteraan sosial
yang seiring dengan hasrat negara. Apabila sesebuah masyarakat beralih kepada suasana kehidupan
yang pada amnya lebih baik, maka kualiti hidupnya dianggap telah meningkat.
Memahami kualiti hidup adalah penting, terutama dalam penjagaan kesihatan di mana kemampuan
kewangan tidak di ambil kira. Kualiti hidup ialah darjah kesejahteraan hidup yang dirasai oleh seseorang
individu atau kumpulan manusia. Kualiti hidup bukanlah konsep yang nyata dan tidak boleh disukat
secara terus. Ianya mengandungi dua komponen iaitu, pertama dari aspek fizikal termasuklah kesihatan,
diet, perlindungan daripada penyakit dan kesakitan. Komponen kedua, psikologi secara semula jadi.
Aspek ini termasuklah tekanan, kebimbangan, kepuasan dan keadaan emosi yang negatif atau
positif. Adalah mustahil untuk meramalkan kualiti hidup khususnya bagi seseorang individu. Gabungan
sifat yang ada pada seseorang individu jarang mendorong seseorang individu untuk berpuas hati
terhadap orang lain.

Mengikut World Health Organization, kualiti hidup didefinisikan sebagai anggapan individu mengenai
posisi kehidupan mereka dalam konteks budaya dan sistem di mana ia berhubung rapat dengan
matlamat, jangkaan, tahap dan beban. Ada yang mengatakan kesejahteraan hidup merupakan sesuatu
perkara yang menyebabkan seseorang itu merasa seronok, bahagia dan merasakan hidupnya amat
bermakna. Terdapat buku yang menghuraikan kesejahteraan hidup pada hakikatnya adalah usaha untuk
mengatasi masalah dan meningkatkan kualiti hidup manusia sehingga berada dalam keadaan hidup yang
selamat, sihat dan selesa baik secara fizikal, sosial mahupun psikologi.
Berdasarkan satu laporan yang dikeluarkan oleh U.S Deparment of Health and Human Services, kualiti
hidup merupakan nilai yang didasarkan kepada jangka masa kehidupan yang dimodifikasikan atau
diubah oleh kerosakan, keadaan berfungsi, persepsi dan peluang sosial yang dipengaruhi oleh penyakit,
kecederaan, rawatan dan polisi. Mereka juga mencadangkan bahawa penilaian umumnya menyumbang
ke arah kualiti hidup. Contohnya kefungsian fizikal, kefungsian emosi atau psikologikal, kefungsian sosial,
rungutan fisiologi dan somatik serta laporan global tentang kualiti hidup.

Konsep kesejahteraan hidup atau kualiti hidup ini bukan semata-mata diukur dengan penilaian material
sahaja seperti pemilikan rumah, kenderaan, taraf pendidikan yang tinggi tetapi ianya juga merangkumi
aspek- aspek yang tidak berbentuk material seperti perasaan kasih sayang, kemesraan, rasa belas
kasihan antara individu dan sentiasa berlapang dada. Pandangan bahawa kualiti hidup mempunyai
beberapa konsep atau isu yang boleh dikenal pasti dan dibahagikan kepada lima kategori. Kategori-
kategori ini memfokuskan kepada :
i. keupayaan untuk hidup dalam kehidupan yang biasa,
ii. kegembiraan atau kepuasan,
iii. pencapaian ke arah matlamat,
iv. keupayaan untuk mendorong ke arah kehidupan sosial yang lebih berguna
v. kemampuan fizikal dan mental.

Komponen Kualiti hidup


Komponen kualiti hidup terdiri daripada tiga perkara utama iaitu “being”, “belonging” dan “becoming”.
Komponen-komponen ini pula terdiri daripada sembilan sub komponen. Komponen being terdiri daripada
sub komponen fizikal, psikologikal dan spiritual. Komponen belonging terdiri daripada sub komponen
fizikal, sosial dan komuniti dan komponen becoming pula terdiri daripada sub komponen praktikal, masa
lapang dan pertumbuhan.
Being
Being merangkumi aspek-aspek asas sebagai seorang individu. Physical being merangkumi kesihatan
fizikal termasuklah nutrisi dan keseimbangan. Ia juga berkaitan dengan mobiliti fizikal dan ketangkasan
seperti kebersihan diri dan kekemasan. Psychological being adalah perasaan individu, kognisi dan
penilaian individu tentang diri sendiri. Ia memfokuskan kepada penghargaan kendiri, kawalan diri dan
bagaimana seseorang individu itu berhadapan dengan kebimbangan serta permulaan tingkah laku positif.
Spiritual being berkenaan nilai-nilai peribadi seseorang dan standard untuk hidup, kepercayaan agama
(yang mana boleh atau tidak boleh dipercayai secara semulajadinya) yang melangkaui pengalaman
kehidupan seharian (contohnya melalui alam semula jadi dan muzik), meraikan peristiwa tertentu dalam
hidup seperti hari lahir, kesyukuran dan sambutan kebudayaan dan keagamaan.
Belonging
Physical belonging merujuk kepada hubungan seseorang dengan persekitarannya (jiran- jiran, tempat
kerja, serta komuniti yang lebih besar). Sub komponen ini termasuklah perasaan mereka apabila berada
di rumah dalam persekitaran itu. Ianya merangkumi kebebasan individu untuk mempamerkan apa yang
dimilikinya (aset berharga) dengan selamat. Individu itu juga berkehendakan masa untuk diri sendiri
dalam persekitarannya. Social belonging adalah tentang hubungan individu itu dengan persekitarannya.
Ia menfokuskan kepada perhubungan yang bermakna contohnya hubungan dengan pasangan, keluarga,
rakan sekerja, jiran-jiran dan individu- individu lain yang sebangsa dan seagama. Community belonging
adalah tentang rangkaian atau hubungan yang dimiliki oleh individu itu dengan sumber-sumber asas
yang tersedia untuk ahli-ahli komuniti dan masyarakat tersebut. Ini termasuklah maklumat tentang
bagaimana untuk mendapatkan pendapatan yang lebih baik, pekerjaan, pendidikan, program-program
rekreasi, perkhidmatan kesihatan dan sosial serta aktiviti- aktiviti sosial.

Becoming
Practical becoming adalah berkenaan dengan sesuatu yang praktikal, aktiviti harian seperti mengemas
rumah, kerja-kerja sukarela,mengambil dan memberi perkhidmatan seperti perkhidmatan sosial dan
kesihatan. Leisure becoming merujuk kepada masa lapang dan aktiviti rekreasi yang tidak semestinya
mempunyai nilai instrumental yang ketara. Aktiviti-aktiviti sebagai biasanya untuk merehatkan fikiran,
mengurangkan tekanan dan sebagai suatu “rekreasi” supaya dapat memberi keseimbangan antara
pekerjaan dan aktiviti-aktiviti riadah dalam kehidupan. Ia juga melibatkan aktiviti-aktiviti yang mempunyai
hubungan dalam jangka masa yang pendek (contohnya membuat sosialisasi, hal-hal di taman permainan
atau rekreasi atau permainan tenis). Sama juga seperti juga seperti aktiviti yang memerlukan jangka
panjang contohnya bercuti. Growth becoming dalam aktiviti-aktiviti ini dapat memberi kesan atau impak
kepada pembangunan individu di dalam kemahiran dan pengetahuan, samada ia melibatkan aktiviti
formal dan tidak formal seperti pendidikan dan pembelajaran. Hal ini termasuk juga mempelajari
maklumat baru, meningkatkan kemahiran yang sedia ada atau mempelajari sesuatu yang baru dan
mengadaptasikan perubahan dalam kehidupan mereka.
Aspek ekonomi merupakan komponen kualiti hidup yang memberi peluang kepada setiap individu dalam
meningkatkan kualiti hidup masing-masing supaya lebih selesa. Ini melibatkan pekerjaan yang baik,
status kehidupan dan sebagainya. Pendapatan kasar atau pendapatan per kapita telah digunakan
sebagai proksi bagi mencerminkan kebajikan atau taraf hidup. Pendapatan membolehkan individu
menampung perbelanjaan bagi diri serta keluarga mereka manakala agihan pendapatan pula
menggambarkan kesaksamaan dan pengagihan sumber ekonomi.

Komponen penyertaan sosial dapat menggambarkan komitmen dan kesediaan orang ramai untuk terlibat
dalam aktiviti sosial, politik, keagamaan dan aktiviti kemasyarakatan. Sebagai pengganti kepada
kekurangan tersebut, terdapat beberapa aspek yang dijadikan sebagai kayu ukur terhadap tahap kualiti
hidup. Pengukuran ini memfokuskan kepada banyak perkara yang melibatkan kehidupan yang disifatkan
sebagai lebih sensitif untuk berubah. Contohnya, Sheldon and Moore telah melihat kepada aspek
demografi dan trend populasi iaitu tenaga buruh dan pekerja, pengetahuan dan kronologi, keadaan
semula jadi dan tahap aktiviti politik oleh kerajaan dan warganegara, perubahan dalam kehidupan
keluarga, penglibatan dalam aktiviti keagamaan, penggunaan masa lapang, status kehidupan dan
akademi, stratifikasi sosial dan sebagainya.

Komponen pekerjaan atau status ini memberi ganjaran kepada individu melalui pemilikan tempat
kediaman, kenderaan, pakaian, makanan dan sebagainya. Sistem pendidikan merupakan alat utama bagi
penyampaian pengetahuan dan budaya dari satu generasi ke generasi yang lain. Ia menyediakan asas
bagi pembentukan dan peningkatan teknologi yang diperlukan untuk mengekal serta memperbaiki kualiti
hidup. Pendidikan juga mencerminkan kepada taraf dan status yang baik. Hal ini kerana pendidikan dapat
mengubah seseorang itu daripada jahil kepada berilmu. Seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan
mampu mengubah dirinya atau status ekonomi diri kepada yang lebih baik. Apabila seseorang itu mampu
mengubah kehidupannya, maka kualiti hidupnya akan meningkat dan terus maju seiring dengan
pertambahan ilmunya.

Komponen kesihatan merangkumi kesejahteraan jasmani dan mental membolehkan manusia bekerja
dengan produktif serta melibatkan diri secara aktif dalam kehidupan sosial dan ekonomi masyarakat.
Konsep kesihatan telah dibincangkan daripada pelbagai perspektif. Terdapat perbezaan yang signifikan
daripada segi definisi kesihatan berdasarkan kepada konteks sosial dan politik. Definisi yang terbaik ialah
yang dikeluarkan oleh WHO iaitu “keadaan yang melibatkan kesempurnaan fizikal, mental dan sosial
serta tidak mempunyai penyakit”.

Komponen pendidikan telah menyumbang dengan ketara kepada kemajuan kualiti hidup di mana
indeksnya telah meningkat sebanyak 18.4 mata di antara tahun 1990 dan tahun 2000. Kadar celik huruf,
kadar penyertaan peringkat sekolah menengah, kadar penyertaan universiti, nisbah guru dan pelajar di
sekolah rendah dan menengah telah digunakan dalam pengiraan indeks ini. Lebih banyak institusi
pengajian tinggi telah ditawarkan berikutan tertubuhnya universiti-universiti swasta dengan terlaksananya
Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, 1996.
Komponen alam sekitar mempunyai kesan langsung ke atas kesejahteraan penduduk. Pencemaran
udara dan air serta kawasan hutan adalah antara petunjuk kualiti alam sekitar. Dalam tempoh 1990
hingga 2000 kualiti alam sekitar yang diukur melalui indeks kualiti udara, kualiti air dan kawasan berhutan
hampir tidak berubah pada 100.2 mata. Tahap kualiti udara adalah sederhana dan baik. Penggunaan
teknologi lebih bersih daripada kilang serta penguatkuasaan undang-undang dan peraturan alam sekitar
yang berkesan telah menyumbang ke arah kualiti udara yang lebih bersih.

Komponen kehidupan berkeluarga iaitu unit keluarga mewakili institusi utama dalam struktur sosial dan
berfungsi memenuhi keperluan sosial, ekonomi dan psikologi individu dan sebagainya. Kualiti kehidupan
keluarga adalah diukur dari segi kadar penceraian, kadar jenayah juvana, kadar kelahiran kasar dan saiz
purata isi rumah. Indeks kehidupan keluarga telah meningkat sebanyak 3.6 mata di antara tahun 1990
dan tahun 2000 memberi gambaran positif terhadap institusi yang menyediakan keselamatan ekonomi,
sosial dan fizikal. Kehidupan berkualiti juga dinilai berdasarkan kepada bilangan penceraian setiap seribu
penduduk dan saiz isi rumah, telah bertambah dengan baik.

Pengamalan budaya dianggap sebagai tingkah laku yang baik untuk memastikan manusia berada pada
kedudukan baik dalam jaringan sosial, melengkapi masyarakat dengan tujuan dalam kehidupan dan
mempromosikan kesejahteraan mereka. Budaya penting untuk menentukan kualiti hidup semasa ia
mendefinisikan tujuan dan preskripsi untuk hidup agar lebih bermakna sama ada sakit atau sihat. Budaya
adalah pokok utama dalam kehidupan manusia, ia menyediakan dua fungsi iaitu

1) menentukan cara hidup kepada sekumpulan manusia untuk memastikan perjalanan hidup mereka
sejahtera
2) Budaya berfungsi menyediakan kepercayaan dan nilai-nilai serta memberi makna dan tujuan
kehidupan. Tiap budaya dibentuk untuk memenuhi tiga keperluan universal :
a. keselamatan,
b. kesedaran integriti dan makna atau tujuan dalam kehidupan, dan
c. kesedaran untuk dipunyai sebagai ahli integriti dalam salah satu jalinan sosial.

Setiap budaya mempunyai set kepercayaan nilai-nilai dan praktis yang unik terhadap setiap identiti
kumpulan dan biasanya tidak “isomophic” dengan kumpulan budaya yang lain. Komponen lain yang
penting ialah perumahan. Rumah merupakan keperluan asas sosial untuk kehidupan yang sempurna,
memberi keselamatan dan perlindungan kepada keluarga. Terdapat elemen asas yang menentukan
tahap kualiti dalam kehidupan. Hal ini memberi pengaruh yang sangat besar terhadap pemikiran dan cara
untuk meningkatkan kualiti dalam hidup. Elemen yang pertama ialah memberi keselesaan dan bukannya
memberi rawatan. Kebanyakan individu tidak menyedari kemampuan untuk memperoleh tahap
kesempurnaan. Oleh itu individu- individu seperti ini mestilah disedarkan dan diberikan kaedah-kaedah
yang sesuai untuk mencapai tahap kesempurnaan dalam kehidupan yang lebih berkualiti. Elemen yang
kedua ialah sesuatu perancangan yang rumit memerlukan kaedah atau pengukuran yang rumit juga.
Contohnya, seseorang pesakit yang didiagnosis sebagai pesakit psikiatri dan mempunyai keadaan atau
personaliti yang rumit maka cara rawatan yang paling diperlukan untuk memberi kualiti hidup yang lebih
baik adalah bersifat rumit juga.

Konsep kualiti hidup juga melibatkan perubahan dalam masyarakat dan sistem sosial daripada keadaan
yang dianggap tidak memuaskan kepada keadaan yang lebih baik. Dengan demikian, komponen kualiti
hidup merangkumi bukan sahaja pembangunan ekonomi tetapi meliputi juga aspek lain seperti sosial,
psikologi, kebudayaan, politik dan alam sekitar.

Kualiti hidup meliputi segala keperluan hidup manusia dalam aspek kepuasan terhadap kebendaan,
kesihatan, pendidikan, keselamatan, kepuasan keselesaan tempat tinggal dalam persekitaran yang
bersih dan masyarakat yang bebas dari permasalahan, dan juga keseronokan kenikmatan dari segi
estetika dan kerohanian. Kebanyakan pengkaji menghuraikan jaminan dalam kualiti hidup sepatutnya
memfokuskan kepada tiga faktor iaitu keinginan individu, struktur program dan perkembangan program.
Ringkasnya, kualiti hidup berkait dengan kesejahteraan am penduduk. Bagi kerajaan termasuk kerajaan
tempatan tanggungjawab meningkatkan kualiti hidup yang lebih baik dengan memastikan keperluan
infrastruktur utiliti dan kemudahan masyarakat, institusi untuk pertubuhan sosial dan urus tadbir yang
membenarkan hak individu untuk bersuara dan membuat pilihan pada tahap yang sesuai diwujudkan
secukupnya.

Anda mungkin juga menyukai