Anda di halaman 1dari 4

Aku Guru Pendidikan Khas

"Assalamualaikum cikgu!” ucap seisi kelas secara serentak kepada saya dan jurugambar, sejurus
tiba di bengkel batik pendidikan khas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9,
minggu lalu.

Mungkin beranggapan kami ini 'cikgu', maka salam sedemikian diucapkan pada kami berdua.

Usai beri salam, ada yang kelihatan malu-malu. Mungkin terkejut dengan kedatangan tetamu
yang tidak dikenali. Tidak kurang juga, ada yang termenung, berlari-lari, menyorok di belakang
almari dan ada yang menyambung kembali aktiviti masing-masing sementara menunggu loceng
terakhir persekolahan berbunyi.

Gelagat dan karenah anak-anak istimewa ini mencuit hati kami. Kelihatannya begitu seronok
dengan apa yang dilalui. Tanpa masalah, tanpa beban dan tanpa apa-apa perkara yang perlu
difikirkan.

Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas, Nooraini Ahmad, 43 berkata, beginilah situasi anak-
anak istimewa di sekolah itu. Mereka belajar, bermain bersama-sama dan bergembira tanpa
mengira waktu.

Namun, ada hari-hari tertentu mereka 'moody'. Jika guru lebihkan perhatian pada pelajar lain,
mulalah mereka merajuk, enggan bercakap dan tak nak belajar.

"Jenuh juga nak pujuk kalau tak kena cara. Boleh putus asa seorang guru itu jika tak tahan
dengan karenah pelajar pendidikan khas.

"Kerana itu, cikgu-cikgu pendidikan khas perlu miliki kesabaran, kegigihan dan kesungguhan.
Jika tidak, anda pastinya berasa tidak seronok mengajar mereka dan jika berpeluang, mahu
minta ditukarkan ke kelas aliran perdana," katanya sambil tersenyum.

Sudah 22 tahun Cikgu Nooraini jadi pendidik. Dalam tempoh itu, lapan tahun beliau mengajar
pendidikan khas sehinggalah dipilih memikul tanggungjawab sebagai Penolong Kanan
Pendidikan Khas.

Keseronokan dirasai hampir setiap hari tatkala mengajar pelajar istimewa.

"Masa ajar pelajar arus perdana, cabarannya tidaklah sebegini besar. Namun saya seronok
kerana kena dengan 'jiwa' saya," katanya.

Anak-anak pendidikan khas cukup berbeza dari segi tingkah laku dan sifat. Kadang-kadang
tindakan mereka tak boleh nak jangka dan guru perlu banyak sabar dan kuat semangat.

"Anak-anak normal senang diarah. Cepat faham apa yang kita cakap. Tapi anak-anak istimewa
ini, lain. Kita ajar huruf 'A' hari ini, esok dah tak ingat. Begitulah seterusnya. Kadang-kadang
ambil masa beberapa bulan untuk dia ingat semula. Tapi, bila dia dah pandai, satu kepuasan
buat pendidik," ujarnya.

Cerita beliau lagi, anak-anak istimewa ini cukup sensitif. Sebab itu, guru kena bijak kawal situasi.

"Contoh, jenis sindrom down. Hari ini dia baik dengan kita, esok dia tak baik dah dengan kita.
Jadinya, kita kena pandai tackle dia balik. Kalau tidak, satu hari dia tak nak bercakap dengan
cikgu.
"Ada juga anak-anak istimewa yang tak mandi bila datang ke sekolah. Ibu bapa pula tak ambil
peduli. Jadi, gurulah yang main peranan, nasihat mereka, cakap berulang kali dan macam-
macam cara lagi.

"Bukan mahu mendabik dada, tapi ada ibu bapa yang minta kami sentiasa bantu dan didik anak-
anak mereka ke arah yang lebih baik kerana kata mereka, percakapan cikgu, lebih didengar
anak-anak berbanding ibu bapa," katanya.

Cikgu Nooraini sempat berkongsi pengalaman yang paling diingati hingga kini.

"Ada anak murid saya, Nabil namanya. Sekarang masih belajar di sini. Dia selalu panggil saya
'darling', 'sayang' dan macam-macam lagi panggilan. Dia anggap saya seperti kekasih dia dan
saya 'melayan' kerana tahu, sifat anak-anak istimewa ini, suka disayangi, suka dipuji, suka
dibelai.

"Tiap kali masuk ke kelas, Nabil kelihatan 'malu' sedangkan saya 'biasa-biasa' saja. Tapi tak
mengapalah, semua anak-anak istimewa ini, ibarat macam anak.

"Doa saya untuk mereka agar boleh berdikari selepas habis sekolah dan pandai urus diri,"
ujarnya.

Seramai 92 pelajar berusia 13 hingga 19 tahun mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi
Bermasalah Pembelajaran, SMK Seksyen 9, Shah Alam.

Guru pendidikan khas terdiri daripada 16 orang termasuk Penolong Kanan Pendidikan Khas
manakala pembantu pengurusan murid seramai empat orang.

Sebanyak 11 kelas dibuka untuk anak-anak istimewa belajar dan 12 pelajar istimewa inklusif
penuh iaitu pelajar berada sepenuh masa di aliran perdana mengikuti semua kurikulum di sana.
Salah seorang guru pendidikan khas, Cikgu Nor Azlina Suntong, 41 menganggap, dia mengajar
anak-anak istimewa ini kerana ALLAH yang pilih.

"Saya bersyukur. Mungkin ada sebab mengapa ALLAH pilih saya," katanya.

Beliau berkata, 13 tahun berada dalam dunia ini, tak pernah berasa lelah atau penat. Semua
berjalan macam biasa dan memang seronok.

"Ada masalah atau tidak, tolong jangan bawa ke rumah. Ini boleh buatkan kita stres.

"Anak-anak ini memang banyak emosinya. Kadang-kadang merajuk dan kita kena pujuk. Kalau
menangis, menangis sama-sama. Kalau mereka berlari, saya pun berlari sama hinggakan
perangai saya pun sama macam mereka.

"Bila mereka telefon dan cakap 'rindu cikgu', saya layan. Kalau tak layan, besok mereka tak nak
cakap dengan kita. Seronok juga bila macam ni. Kadang-kadang kita rasa sangat dihargai," kata
Cikgu Nor Azlina yang tak akan beralih mengajar ke kelas arus perdana kerana 'jiwa'nya ada
pada pelajar pendidikan khas.

Bagi Cikgu Imrah Yusof, 39, yang mengajar subjek Bahasa Melayu, kali pertama ditempatkan di
sekolah pendidikan khas, beliau terkejut dan sukar terima.

"Masa tu tahun 2000. Pelajar 15 orang. Perangai memang teruk. Alamak, aku ajar budak apa ni?
Habislah. Mula-mula mengajar, mereka agak agresif, hiperaktif. Saya memang tak boleh terima.

"Sebulan juga saya ambil masa nak sesuaikan diri. Alhamdulillah, 17 tahun jadi guru pendidikan
khas, saya cukup gembira dan mereka bagaikan anak-anak saya," katanya tersenyum.

"Memang banyak cabaran mengajar pelajar istimewa. Apabila diajar, mereka lambat faham.
Apabila disuruh baca, mereka boleh baca tapi tak faham apa yang dibaca.

Kelas depan tiada masalah, cuma kelas belakang agak lemah. Kalau ajar abjad ABC, hari ini
ingat, esok dah tak ingat. Setahun juga ambil masa nak fahamkan mereka. Kalau tak sabar,
memang susahlah cikgu itu," katanya lagi.

Cikgu Imrah melahirkan rasa seronok bila lihat anak-anak istimewa ini berjaya dalam bidang
masing-masing.

"Ada yang dah buka restoran, bekerja di spa dan buat bisnes kecil-kecilan. Walau seorang dua
menunjukkan pencapaian, ini sudah cukup membanggakan kami," katanya yang mengharapkan
guru pendidikan khas agar mengajar anak-anak ini dengan ikhlas dan terima mereka seadanya.
Jika guru ikhlas, mereka akan mampu bertahan untuk jangka masa yang lama.
Jangan perlekeh mereka
"Boleh baca al-fatihah dengan baik pun, saya sudah bersyukur," ujar Ustazah Laily Mastura
Mustafa, 49. Mengajar Pendidikan Islam dan Kemahiran Asas Vokasional, beliau berkata, ada
seorang dua yang boleh membaca al-fatihah, namun sebutan mereka tidak berapa jelas dan
lancar.

"Mereka anak-anak istimewa dan kita faham kemampuan pelajar ini. Boleh baca pun kira dah
baik. Kita usaha bantu, insya-ALLAH, lama-kelamaan mereka dapat menguasai," katanya. Selain
al-fatihah, ada antara mereka boleh membaca tiga Qul.

Sembilan tahun bergelar pendidik, beliau telah lalui pelbagai pengalaman.

"Sebagai guru pendidikan khas yang perlu berdepan dengan pelbagai ragam, saya tetap sayang
mereka. Anak-anak ini cukup istimewa. Saya mohon, jangan perlekeh pelajar ini kerana mereka
ada kelebihan dan kemahiran. Saya akan bantu semampu dan sebaik mungkin," ujarnya.

Ini hanyalah sebahagian pengorbanan guru pendidikan khas dalam mencurah ilmu pada anak-
anak istimewa. Banyak lagi yang ingin dikongsi oleh guru-guru hebat ini dalam sisipan
GPSBestari.

Bersempena sambutan Hari Guru yang disambut hari ini, kami, warga GPSBestari mengucapkan
Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru seluruh dunia khususnya guru di Malaysia yang
tidak jemu mendidik dan mencurah ilmu, bakti dan keringat untuk melihat anak-anak didik
cemerlang dunia dan akhirat.

Moga diberikan kesihatan yang baik, kehidupan penuh keberkatan, dikurniakan sifat tabah dan
sabar yang menebal serta diberi kesempatan masa dan ruang untuk terus menyumbang bakti
mendidik anak-anak bangsa.

Anda mungkin juga menyukai