Anda di halaman 1dari 10

1.

0 PENGENALAN

Menurut Charles (2002), guru yang dihormati dan mesra pelajar dapat bekerjasama dengan
murid-muridnya dalam menjayakan aktiviti di dalam bilik darjah. Hasilnya aktiviti tersebut akan
memberikan kesan yang positif ke atas pencapaian akademik murid dan konsep kendiri murid
dan guru.

Bagi menjalin dan membina sebuah hubungan yang harmonis dengan murid, guru
hendaklah berusaha dengan melalui beberapa proses sosial. Guru juga mestilah mengambil
pendekatan yang lebih membuatkan murid merasakan guru peduli dan mengambil berat terhadap
mereka, seterusnya mengelakkan mereka daripada menimbulkan masalah di dalam kelas.

Berdasarkan dari kajian dan pemerhatian oleh pakar psikologi, didapati tingkah laku
bermasalah ini timbul kerana kurangnya keupayaan individu dalam proses mengadaptasi atau
akomodasi apabila menghadapi perubahan situasi dalam alam persekitaran.

Menurut Mok Soon Sang (2011), tingkah laku bermasalah merupakan tingkah laku atau
perbuatan murid yang boleh mengganggu kelancaran dan keberkesanan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran, khususnya di dalam bilik darjah. Dalam erti kata lain, tingkah laku bermasalah
menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran tergendala atau gagal mencapai objektifnya.

Pengurusan disiplin bilik darjah yang berkesan memerlukan setiap guru memahami dan
menguasai model pengurusan disiplin bilik darjah dengan mantap. Pentingnya pengurusan
disiplin bilik darjah yang efektif supaya sesi pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih lancar,
suasana pembelajaran menjadi lebih kondusif dan aman. Suasana pengajaran dan pembelajaran
yang menyediakan keselesaan kepada semua individu akan menghasilkan satu komuniti
pembelajaran yang berkesan dan memberangsangkan.

Sehubungan itu, model-model pengurusan bilik darjah yang diperkenalkan oleh pakar-
pakar psikologi pendidikan harus diaplikasikan oleh guru-guru. Setiap model membincangkan
intervensi dan konsep yang berlainan bagi menangani setiap tingkah laku bermasalah.

1
2.0 PERANAN GURU DALAM MEMBINA HUBUNGAN YANG POSITIF DI DALAM BILIK
DARJAH

2.1 Ingat Nama Murid dan Panggil Murid dengan Nama Masing-masing

Sebagai seorang guru, kita perlulah berusaha untuk mengenali dan mengingati nama murid-
murid. Mereka akan berasa bangga apabila guru memanggil nama mereka dengan nama yang
penuh. Guru tidak digalakkan memanggil murid dengan kata ganti nama diri seperti awak, kamu
dan lain-lain atau berdasarkan posisi murid di dalam kelas. Selain itu, guru dilarang sama sekali
untuk memanggil murid berdasarkan sifat fizikalnya seperti si gemuk, si galah serta mencipta
nama panggilan lain untuk mereka. Apabila guru mengecilkan hati murid dengan panggilan nama
yang tidak sewajarnya, mereka akan mempamerkan tingkah laku bermasalah bagi menunjukkan
bahawa mereka sedang memberontak. Bagi guru yang berjaya mengingati nama anak muridnya,
jelaslah bahawa guru tersebut telah berjaya mewujudkan hubungan istimewa antara guru-murid.

2.2 Menyemai Semangat Cinta Terhadap Kelas/Bilik Darjah

Menanamkan semangat cintakan kelas dalam kalangan murid boleh membangkitkan motivasi
intrinsik kepada murid-murid untuk datang ke sekolah. Guru boleh menanamkan sifat kepunyaan
murid terhadap kelas melalui aktiviti-aktiviti yang dilakukan bersama, misalnya mengadakan
cogan kata yang melambangkan semangat ahli di dalam kelas. Melalui kewujudan suasana kelas
yang kondusif, murid lebih gembira dan seronok untuk masuk ke kelas. Sekali gus, perkara ini
akan mendorong mereka untuk lebih bersemangat datang ke sekolah setiap hari. Guru juga perlu
mempunyai inisiatif untuk membimbing murid, bukan hanya mengarah dan mengatur sahaja.
Mengadakan perbincangan dengan murid-murid sekelas adalah cara yang terbaik untuk menjaga
dan mengekalkan keharmonian kelas.

2.3 Agihkan Tanggungjawab Bersama

Guru perlulah sentiasa memberikan peluang kepada murid untuk memikul tanggungjawab bagi
menjaga kesejahteraan kelas dan menggalakkan murid untuk bekerjasama mematuhi peraturan
yang telah ditetapkan. Bukan itu sahaja, guru juga hendaklah sentiasa memastikan murid
melibatkan diri secara aktif dalam setiap aktiviti yang melibatkan kerjasama melalui penyusunan
dan perancangan peraturan di dalam kelas. Guru perlu merancang tindakan susulan sekiranya
murid tidak berjaya mematuhi peraturan tersebut. Agihan tanggungjawab serta keputusan yang
dicapai bersama beupaya untuk mewujudkan satu bentuk hubungan dan komunikasi dua hala
yang berkesan antara guru dengan murid.

2
2.4 Tetapkan Jangkaan yang Realistik

Guru cemerlang yang efektif seharusnya mengenal pasti kebolehan, bakat serta pencapaian
murid-muridnya. Melalui pengetahuan yang mendalam mengenai keperibadian dan sahsiah
murid, guru berupaya untuk merancang keperluan pembelajaran murid. Kepekaan guru terhadap
pengetahuan serta kemahiran sedia ada murid sangatlah penting untuk guru menetapkan hasil
pembelajaran yang tinggi terhadap kemahiran baharu yang hendak diajar. Pengetahuan
mengenai kebolehan murid juga dapat membantu guru memilih strategi-strategi serta bahan
bantu mengajar yang sesuai dengan tahap kebolehan murid.

2.5 Menunjukkan Keprihatinan

Murid sangat suka kepada guru yang sentiasa mengambil berat terhadap diri mereka sama ada
daripada aspek pencapaian, kesihatan, kemahiran dan sebagainya. Guru yang prihatin terhadap
keperluan murid akan dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan murid. Guru hendaklah
mempamerkan keikhlasan semasa menunjukkan keprihatinannya dan mengelakkan daripada
bersikap berat sebelah dengan hanya memberikan perhatian kepada murid yang memberi
kelebihan atau mendatangkan kebaikan kepada diri guru. Sebaliknya, guru perlu memberikan
perhatian yang sama rata kepada semua murid kerana mereka dapat mengetahui sama ada
seseorang guru itu ikhlas mengambil berat atau tidak. Melalui pengetahuan mengenai personaliti
dan latar belakang murid, guru lebih mudah untuk memahami tingkah laku mereka.

2.6 Memasukkan Unsur Kecindan dalam Komunikasi

Guru mestilah sentiasa menyelitkan unsur kecindan semasa menjalankan proses P&P supaya
dapat mengurangkan tekanan murid. Kebolehan murid untuk menerapkan unsur humor dalam
komunikasi boleh membentuk hubungan yang erat antara guru dengan murid.
Walaubagaimanapun, unsur-unsur ini yang digunakan mestilah sesuai dengan peringkat umur
murid dan tidak bertujuan untuk menghina atau mengejek mana-mana murid. Penggunaan unsur
kecindan di dalam bilik darjah melalui penggunaan karakter kartun, teka-teki dan bahan jenaka
dapat mengalihkan sebentar pandangan murid terhadap tekanan dalam pembelajaran. Guru juga
berpeluang untuk bermesra dengan murid-murid melalui suasana pembelajaran yang
menyeronokkan, ceria dan relaks.

3
3.0 ANALISIS DAN HURAIKAN ISU-ISU MASALAH TINGKAH LAKU BERDASARKAN
VIDEO “CLASS OF ROWDIES”

Abdullah Sani (2005) menyatakan bahawa di bawah konteks pendidikan, tingkah laku
bermasalah merujuk kepada sebarang tingkah laku murid yang boleh menjejaskan kelancaran
ataupun keberkesanan pengajaran dan pembelajaran terutamanya di dalam bilik darjah. Tingkah
laku bermasalah boleh diklasifikasikan kepada dua kategori utama iaitu tingkah laku bermasalah
negatif dan tingkah laku bermasalah positif. Tingkah laku bermasalah negatif merangkumi tingkah
laku yang menghalang (bergantung), tingkah laku yang mengganggu (disruptif), dan tingkah laku
antisosial (distruktif). Manakala tingkah laku positif merangkumi tingkah laku ingin tahu, cepat
belajar, pintar cerdas, dan proaktif (Mok Soon Sang, 2011). Tingkah laku bergantung merupakan
kelakuan yang membahayakan diri dan tidak mengganggu murid yang lain. Tambahan pula,
tingkah laku disruptif merupakan tindakan yang mengganggu, mengacau dan menjejaskan aktiviti
P&P, manakala tingkah laku distruktif merupakan tingkah laku yang boleh membahayakan atau
mencederakan dirinya dan orang lain. Berdasarkan pengamatan terhadap video “Class of
Rowdies”, terdapat beberapa masalah tingkah laku murid yang dapat dikesan telah berlaku di
dalam kelas tersebut.

Pada peringkat permulaan video ini, suasana kelas yang huru-hara dengan pelbagai
ragam murid telah mempamerkan beberapa masalah tingkah laku, antaranya ialah masalah buli.
Dasawarsa ini, gejala buli dalam kalangan murid dilihat semakin membarah sehingga melibatkan
kes bunuh diri akibat murid terlalu tertekan dengan perbuatan buli dan ugutan. Buli merupakan
satu tingkah laku negatif yang distruktif. Perbuatan membuli yang dikesan di dalam video adalah
sewaktu sekumpulan murid lelaki bertindak melambungkan rakan sekelasnya berkali-kali tanpa
henti. Perbuatan ini mampu mengundang bahaya kepada rakan yang dibuli kerana sekiranya
mana-mana rakan pembuli tersebut melepaskan murid tersebut, risiko hentakan yang kuat pada
tubuh badannya adalah sangat tinggi.

Gejala buli seterusnya yang dikesan pada permulaan tayangan video adalah semasa
seorang murid lelaki bernama Andy sedang membuli rakan sekelasnya dengan melakukan
keganasan terhadap murid tersebut. Perbuatan ini dikelaskan sebagai tingkah laku distruktif.
Tindakan yang dilakukan oleh Andy mampu mengundang risiko kecederaan tangan pada rakan
yang dibuli. Di samping itu, susulan video seterusnya juga mempamerkan sikap Andy yang
sangat suka membuli Aneesh, iaitu rakan yang duduk di hadapannya semasa di dalam bilik darjah
dengan meletakkan kakinya pada kerusi semasa Aneesh hendak duduk. Tingkah laku ini
kemungkinan wujud kerana murid berdepan dengan masalah emosi yang bersifat dalaman.

4
Murid yang menghadapi masalah emosi selalunya akan menjelmakan atau mengekspresikan
perasaan mereka melalui tingkah laku yang kurang sesuai.

Seterusnya, suasana kelas yang bising dan riuh dengan tingkah laku murid yang bermain
roket kertas, membaca majalah dan mewarnakan kuku telah menyebabkan mereka langsung
tidak sedar akan kehadiran Puan Shasi, sehinggakan beliau perlu meninggikan suara untuk
memastikan setiap murid di dalam kelas perasan akan kehadirannya. Tingkah laku tidak
menghormati guru dan kurang sopan yang dipamerkan oleh murid kelas tersebut telah
mengejutkan Puan Shasi yang tidak menjangka keadaan kelas tersebut telah berada di luar
kawalan. Tingkah laku disruptif yang dipamerkan oleh murid-murid ini berkemungkinan berpunca
daripada sikap warga sekolah yang tidak cakna akan peranan masing-masing untuk memberikan
teguran pada kelas yang membuat bising semasa ketiadaan guru dan mengamalkan sikap lepas
tangan terhadap kelas yang bermasalah dan sukar untuk dikawal.

Di samping itu, antara tingkah laku disruptif yang dilakukan di dalam video ini adalah
ketika Puan Shasi sedang memperkenalkan dirinya. Semasa beliau sedang bercakap, seorang
murid bertindak meniup wisel, yang mana perbuatan tersebut mengundang gelak tawa rakan
sekelasnya. Oleh kerana perbuatan murid tersebut, raut wajah Puan Shasi berubah menunjukkan
bahawasanya emosi beliau sedikit terganggu dan terkilan dengan tindakan murid yang seolah-
olah memperlekehkan perkara yang ingin disampaikannya. Tingkah laku negatif ini
berkemungkinan berpunca daripada sikap murid yang suka melakukan tingkah laku yang tidak
sepatutnya dengan tujuan untuk memastikan murid lain memberikan perhatian kepadanya atau
terhibur dengan lakuannya. Semasa sesi suai kenal antara murid sedang dijalankan pula,
terdapat segelintir pelajar yang bertindak bermain telefon, makan, membaca majalah dan menulis
surat atau nota kecil yang tidak penting. Tingkah laku disruptif ini berpunca daripada aktiviti guru
pada waktu itu yang menyebabkan murid berasa bosan dan mendorong mereka untuk melakukan
perkara yang lebih menyeronokkan.

Tambahan pula, Puan Shasi telah memanggil nama Zahra di hadapan kelas dan
mengarahkan dia untuk memperkenalkan dirinya. Namun begitu, sebaik sahaja nama Zahra
disebut, seluruh murid di dalam kelas tersebut mengejeknya dengan gelaran zombi. Suasana
bilik darjah pada ketika itu sangat huru-hara dan bising dengan suara murid-murid yang semakin
rancak mengejek Zahra sehingga ada yang mengetuk meja bagi menambahkan riuh di dalam
kelas. Tingkah laku distruktif ini jelas telah mengganggu emosi dan mental Zahra yang sering
diejek dengan panggilan yang merepek dan memalukan dirinya. Perbuatan mengejek ini akan
merendahkan lagi keyakinan diri Zahra untuk berdepan dengan rakan sekelasnya sendiri dan

5
sekali gus menyebabkan dia tertekan serta terpaksa menanggung masalah mental dan emosi
yang berbahaya. Murid seperti Zahra lebih suka dan selesa mengasingkan diri daripada rakan
sekelasnya, tidak mempunyai kawan, tidak cergas dan beliau merupakan seorang yang sangat
pemalu.

Tingkah laku distruktif yang seterusnya pula adalah semasa suasana kelas sedang riuh
dengan suara ejekan murid, seorang murid lelaki bertindak melulu dengan melastik seorang
murid perempuan secara sengaja. Setelah dilastik, murid perempuan tersebut bangun daripada
tempat duduknya dan mengejar murid lelaki tersebut. Akibat perbuatan kedua-dua murid ini,
suasana kelas bertambah kecoh dan menjadi tidak terkawal sehinggakan Puan Shasi terkejut
dan terkelu dengan perangai serta perlakuan muridnya. Tingkah laku negatif yang dipamerkan
oleh murid kelas tersebut telah memberi kesan pada emosi Puan Shasi sehinggakan beliau
menangis di rumahnya.

Bagi menangani isu masalah tingkah laku murid-murid tersebut, Cikgu Shasi telah memilih
satu model pengurusan disiplin yang sesuai untuk diaplikasikan di dalam bilik darjahnya iaitu
Model Pengurusan Disiplin Thomas Gordon.

4.0 MODEL PENGURUSAN DISIPLIN THOMAS GORDON

Pengurusan disiplin yang berkesan tidak boleh dicapai melalui paksaan, ganjaran dan hukuman.
Pengurusan disiplin yang berkesan berlaku melalui pembentukan kemampuan mengawal diri
sendiri yang berlaku secara intrinsik dan dalaman. Gordon percaya bahawa disiplin bilik darjah
dapat dicapai dengan membantu murid memperoleh kawalan dalaman atau kawalan kendiri.
Guru harus mengurangkan kawalan terhadap murid mereka. Menurut Gordon (1989), semakin
bertambah kuasa digunakan untuk mengawal orang lain, semakin kurang pengaruh kita terhadap
perlakuan orang tersebut. Sebaliknya, guru perlu menggantikan ganjaran dan hukuman dengan
teknik yang tidak mengawal murid secara luaran seperti menyediakan persekitaran pembelajaran
murid yang memberangsangkan, mengaplikasikan teknik menyelesaikan konflik, menghargai
persepsi dan pandangan murid, mendengar murid dengan aktif dan mengelak halangan
komunikasi guru dengan murid seperti mengarah, memberi amaran, membebel, mengkritik,
menyindir dan sebagainya.

6
4.1 Mempengaruhi Daripada Mengawal

Guru yang tidak dapat mengawal murid di dalam kelas perlu berusaha untuk mempengaruhi
murid bagi mewujudkan suasana pengajaran yang kondusif agar murid dapat dikawal apabila
guru telah berjaya mempengaruhi mereka. Guru tidak perlu menggunakan bahasa yang kasar
atau pendekatan melulu yang boleh menghalang berlakunya komunikasi positif antara guru dan
murid, malah guru sewajarnya menggunakan peneguhan yang membina jati diri dan semangat
murid. Berdasarkan video “Class of Rowdies”, Puan Shasi telah mengambil langkah yang bijak
apabila beliau berjaya mengawal anak muridnya daripada melakukan tingkah laku bermasalah
melalui perlaksanaan pembentangan mengenai perkara yang mereka mahir dan kuasai
sehinggakan berjaya mempengaruhi minda, sekali gus menarik minat mereka untuk turut serta
dalam aktiviti yang dilakukan. Apabila mereka fokus dengan tugasan yang diberikan, tingkah laku
negatif seperti membuli dan membuat bising di dalam kelas dapat dikurangkan. Semasa
muridnya berkelakuan kurang hormat di hadapannya, Puan Shasi tidak pernah menuturkan
bahasa-bahasa kesat atau menengking dan memarahi anak muridnya, sebaliknya beliau mencari
jalan penyelesaian untuk membina hubungan yang positif di antara guru dan murid.

4.2 Mencegah Masalah Sebelum Berlaku

Bagi mencegah daripada berlakunya masalah tingkah laku yang tidak berdisiplin seperti
mengejek rakan, makan dan bermain di dalam kelas, guru mestilah membentuk peraturan bilik
darjah secara kolaboratif bersama murid seperti guru dan murid berkolaborasi untuk berbincang
mengenai peranan setiap orang di dalam kelas serta menetapkan peraturan untuk tingkah laku
yang diterima di dalam bilik darjah. Melalui video tersebut, Puan Shasi telah berjaya mencapai
kerjasama bersama anak muridnya melalui persetujuan bersama untuk mereka membuat
pembentangan mengenai apa yang mereka mahir dan tahu, asalkan mereka menunjukkan rasa
hormat di antara satu sama lain dan menghargai hasil kerja rakan yang lain dengan tidak menilai
apa yang mereka bentang. Pendekatan pembelajaran yang dipilih oleh Puan Shasi untuk
mengelakkan anak muridnya terus dilabel sebagai murid yang bermasalah ini telah berjaya
kerana cara ini memotivasikan murid untuk mempunyai lebih keyakinan diri.

7
4.3 Masalah Siapa?

Gordon (1989) telah menerangkan bahawa salah laku merupakan tingkah laku yang
mendatangkan masalah kepada murid. Di dalam bilik darjah, kebiasaannya guru akan menerima
akibat dan kesan daripada salah laku yang dilakukan oleh murid. Oleh kerana kesannya selalu
diterima oleh guru, maka masalah tingkah laku tersebut akan dipikul oleh guru. Namun begitu,
ada juga masalah yang sememangnya merupakan masalah murid. Sebagai contoh, Zahra kurang
keyakinan diri akibat sering diejek oleh rakan sekelasnya yang menyebabkan dia sering
meminggirkan diri sendiri dan berasa sedih serta muram. Di dalam video tersebut, Puan Shasi
telah berjaya bersemuka dengan Zahra apabila beliau rela hati untuk duduk di sebelah Zahra
bagi menyaksikan pembentangan murid lain. Bukan itu sahaja. Puan Shasi juga telah berjaya
mengesan bakat terpendam yang dimilik oleh Zahra menerusi nukilannya di dalam sebuah nota
kecil yang dilipat. Beliau tidak membiarkan Zahra terus bersendirian di dalam kelas, sebaliknya
beliau menggalakkan lagi Zahra untuk terus menghasilkan penulisan yang indah. Pada bahagian
akhir video juga, apabila nama Zahra disebut, mereka tidak mengejeknya seperti biasa, tetapi
mereka memberikan semangat kepadanya dalam bentuk sorakan nama.

4.4 Berdepan Dengan Masalah Tingkah Laku

Guru perlu berdepan dengan masalah yang dihadapi dan perlu mencari cara untuk mengatasi
masalah tersebut. Sekiranya guru mengamalkan sikap acuh tak acuh dan lari daripada amanah
yang dipertanggungjawabkan, kreadibilitinya sebagai guru yang cemerlang akan hilang.
Berdasarkan pengamatan terhadap video “Class of Rowdies”, Puan Shasi merupakan seorang
guru yang tidak mengenal erti putus asa. Meskipun muridnya tidak mempamerkan sikap yang
positif, namun, beliau tetap percaya dan yakin bahawa dirinya berupaya untuk mengubah sahsiah
dan tingkah laku murid-murid kelas ini. Beliau juga tidak menjadikan sikap dan perangai murid
tersebut sebagai alasan untuk dia menukar kelas atau tidak mahu mengajar kelas tersebut. Guru
juga boleh mengubah suai persekitaran fizikal di dalam bilik darjah. Guru boleh menghapuskan
atau mengurangkan masalah tingkah laku dengan menjadikan persekitaran pembelajaran di
dalam bilik darjah sebagai tempat yang menyeronokkan untuk belajar. Contohnya, Puan Shasi
telah berjaya mewujudkan suasana pembelajaran yang berbeza bagi setiap murid menerusi
aktiviti yang telah dilaksanakan iaitu aktiviti pembentangan mengenai bakat, kebolehan dan
keupayaan masing-masing. Menerusi aktiviti ini, Puan Shasi telah berjaya berdepan dengan
masalah apabila beliau sendiri telah berjaya menemui jalan penyelesaian untuk menangani
masalah tingkah laku muridnya.

8
5.0 PENUTUP

Tingkah laku bermasalah tidak boleh memandang remeh. Hal ini kerana ia akan menjejaskan
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Setelah suatu tingkah laku bermasalah dikenal
pasti, guru seharusnya menggunakan teknik modifikasi tingkah laku yang sesuai untuk
menangani masalah tersebut. Pengajaran dan pembelajaran akan dijalankan dengan lancar
apabila tingkah laku bermasalah berjaya diselesaikan. Guru juga dikehendaki menunjukkan
amalan nilai-nilai murni atau teladan sebagai contoh kepada murid-murid. Pandangan dan kajian
daripada tokoh-tokoh juga boleh dijadikan sebagai panduan oleh pihak sekolah bagi merancang
strategi-strategi untuk meningkatkan keberkesanan mengatasi tingkah laku bermasalah di
kalangan murid-murid.

9
RUJUKAN

Abdullah Sani. (2005). Mengurus Sekolah. Pahang: PTS Profesional.


Alberto, P. A. Troutman, A.C. (2012). Applied Behaviour Analysis for Teachers. New Jersey:
Pearson Education.
Barnes, Rob. (2006). The Practical Guide to Primary Classroom Management. Amerika
Syarikat: Paul Chapman Publishing.
Charles, C. M. (2008). Building Classroom Discipline. Boston: Alyn & Bacon.
Gordon, T. (1989). Discipline That Works. New York: Random House.
Hamzah, H. & Samuel, J.N. (2014). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Shah Alam:
Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Lee Shok Mee. (1995). Aktiviti Kendiri Bersepadu. Petaling Jaya: Longman.
Mok Soon Sang. (2011). Pengurusan Bilik Darjah. Selangor: Penerbitan Multimedia.
Todd, Richard. (1998). Classroom Teaching Strategies. New Jersey: Prentice Hall.
https://www.scribd.com/document/356455348/Intervensi-Dalam-Menangani-Tingkah-Laku-
Bermasalah-Teknik-Modifikasi-Tingkah-Laku - diakses pada 31 Ogos 2018
https://www.scribd.com/presentation/55609391/tajuk-2-peranan-guru-dalam-pengurusan-bilik-
darjah - diakses pada 31 Ogos 2018
https://www.scribd.com/document/356834353/Konsep-pengurusan-bilik-darjah-dan-tingkah-
laku-yang-berkesan-pdf - diakses pada 31 Ogos 2018
https://www.researchgate.net/profile/Mohd_Yasin3/publication/311111403_Modifikasi_Masalah
_Tingkah_Laku_Menggangu_di_Dalam_Bilik_Darjah_Menggunakan_Intervensi_The_G
ood_Behavior_Game/links/583e8c0b08aeda696808fab3/Modifikasi-Masalah-Tingkah-
Laku-Menggangu-di-Dalam-Bilik-Darjah-Menggunakan-Intervensi-The-Good-Behavior-
Game.pdf - diakses pada 31 Ogos 2018
https://www.youtube.com/watch?v=vsApwK9khRo – diakses pada 31 Ogos 2018

10

Anda mungkin juga menyukai