Anda di halaman 1dari 3

REFLEKSI

1. ISU/ PERKARA DIFOKUS

Berdasarkan penghasilan projek inovasi Laman Web Bijak Sains yang telah saya jalankan.
Saya telah menumpukan keberhasilan produk tersebut kepada guru dan murid. Bagi murid,
laman web bijak sains yang saya hasilkan menekankan kepada kaedah pengajaran sains
secara “fun learning” iaitu melalui penggunaan permainan dan aktiviti-aktiviti yang menarik.

2. KELEBIHAN

Daripada penghasilan inovasi laman web bijak sains yang telah saya hasilkan, antara
kelebihan utama yang dapat diperhatikan adalah murid sangat seronok apabila mereka dapat
menggunakan laman web tersebut semasa proses pembelajaran. Hal ini terutamanya pada
bahagian aktiviti dan juga kuiz. Hal ini kerana, dalam bahagian aktiviti dan kuiz tersebut murid
boleh bermain permainan seperti teka silang kata dan menjawab kuiz interaktif yang
disediakan. Murid-murid berasa teruja apabila dapat bersaing dengan rakan-rakan mereka
untuk menjawab kuiz tersebut bagi mendapatkan markah yang paling tinggi. Hal ini secara
tidak langsung dapat meningkatkan minat murid untuk belajar dan menjawab kuiz dan secara
tidak langsung guru dapat menilai tahap kefahaman setiap murid mereka dengan lebih mudah.

Selain itu, antara kelebihan lain yang dapat saya lihat daripada penghasilan laman web
bijak sains ini adalah, murid dapat mengakses laman web tersebut dimana-mana sahaja
mereka berada seperti di rumah dan sebagainya. Hal ini kerana, laman web tersebut boleh
diakses dengan mudah hanya dengan memasukkan link URL ataupun mengimbas QR Code
di dalam pelayar yang terdapat di dalam telefon pintar, laptop ataupun komputer. Di dalam
ruangan aktiviti laman web tersebut, murid juga boleh melakukan pelbagai aktiviti-aktiviti
penyiasatan yang boleh dijalankan sendiri oleh mereka di rumah. Sebagai contohnya, mereka
boleh menghasilkan gunung berapi dan juga menghasilkan kereta belon. Hal ini bukan sahaja
dapat menggalakkan pembelajaran kendiri murid. Malah ianya juga sangat berkesan untuk
menggalakkan perkembangan kognitif murid dengan adanya aktiviti-aktiviti tersebut.

Akhir sekali, dari segi produk inovasi itu sendiri. Penghasilan laman web bijak sains ini
sangat praktikal kerana ianya tidak memerlukan apa-apa kos untuk menghasilkannya. Malah
bukan itu sahaja, laman web bijak sains ini juga sangat mudah dihasilkan dan hanya
memerlukan pencapaian internet sahaja. Proses pembinaan inovasi telah menggunakan tiga
perisian utama iaitu wix.com, quizziz dan juga crossword puzzle maker. Ketiga-tiga perisian
tersebut boleh diakses dengan sangat mudah dan juga percuma. Maka, guru tidak perlu untuk
menghabiskan wang yang banyak bagi menyediakan alat bantu mengajar (ABM) kepada
murid.

3. KELEMAHAN

Berdasarkan pemerhatian yang telah dilakukan di dapati terdapat beberapa kelemahan yang
telah dikenalpasti daripada penghasilan inovasi laman web bijak sains ini. Antara kelemahan
yang paling ketara adalah dari segi jaringan internet di sekolah. Hal ini kerana, untuk
mengakses laman web tersebut murid perlu menggunakan komputer yang terdapat di dalam
makmal komputer sekolah. Oleh kerana kedudukan sekolah yang telah saya jalankan
internship merupakan sekolah di kawasan pinggir bandar. Jaringan internet yang ada agak
tidak stabil dan kadang-kadang tidak dapat digunakan. Hal ini sedikit sebanyak akan
mengganggu guru untuk menggunakan laman web bijak sains ini di dalam kelas kerana
jaringan internet yang tidak stabil.

Selain itu, antara kelemahan lain yang dapat saya kesan melalui ujilari yang saya
jalankan kepada murid adalah, terdapat segelintir daripada murid yang kurang pengetahuan
dari segi penggunaan teknologi. Mereka memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan
diri dengan komputer seperti bagaimana untuk memasukkan link URL dan sebagainya. Hal ini
menyebabkan mereka sedikit ketinggalan daripada murid lain dan memerlukan lebih
bimbingan daripada saya. Hal ini didapati berpunca daripada latar belakang murid yang kurang
terdedah dengan teknologi dan kebanyakan mereka bukanlah daripada latar belakang
keluarga yang senang.

Akhir sekali, berdasarkan proses penghasilan inovasi laman web bijak sains tersebut
kelemahan lain yang telah saya kenalpasti adalah kekangan masa untuk menguji produk
inovasi tersebut. Hal ini kerana, setiap kali ingin menjalankan ujilari murid-murid perlu bergerak
ke makmal komputer. Terdapat segelintir daripada murid mengambil masa yang agak lama
untuk bergerak ke makmal. Hal ini telah menyebabkan masa yang diperuntukkan untuk
menguji produk telah terganggu. Hal ini sedikit sebanyak telah menyukarkan saya untuk
menjalanlan pengujian dengan lebih berkesan.

4. CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

Dari segi penambahbaikan, saya dapati terdapat beberapa aspek yang boleh dibaiki.
Antaranya dari segi keperluan jaringan internet untuk mengakses laman web bijak sains.
Penambahbaikan yang boleh saya lakukan adalah saya perlu menyediakan platform yang
baru supaya laman web tersebut dapat disimpan terus di dalam komputer pada masa akan
datang. Hal ini supaya murid atau guru tidak memerlukan jaringan internet untuk mengakses
laman web tersebut.

Selain itu, penambahbaikan lain yang boleh saya lakukan adalah saya perlu memberi
penerangan yang lebih kepada murid sebelum memulakan proses PdPc. Hal ini supaya ianya
dapat membantu murid yang kurang arif dengan ICT dan sekaligus dapat mengelakkan
daripada mereka tercicir daripada proses pembelajaran.

5. KESIMPULAN

Kesimpulannya, dalam penghasilan produk inovasi ini terdapat beberapa kelemahan dan
penambahbaikan yang boleh saya lakukan pada masa akan datang. Namun, saya berharap
agar setiap kekuatan yang ada pada penghasilan produk tersebut dapat dimanfaatkan
sepenuhnya oleh semua pihak. Hal ini kerana, produk tersebut sememangnya dapat
memberikan kesan yang positif kepada pembelajaran sains murid.

Anda mungkin juga menyukai