Anda di halaman 1dari 8

Peranan Penerapan Elemen Kewarganegaraan dan Nilai Sivik Melalui Mata Pelajaran Sejarah

1.0 PENGENALAN

Secara individu, kami dikehendaki menghasilkan satu tugasan projek untuk kursus SJH3103
Kurikulum Sejarah Sekolah Rendah. Penghasilan tugasan ini adalah melalui bacaan tambahan
pelbagai bahan sumber mengenai peranan penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik
melalui mata pelajaran Sejarah dalam melahirkan warganegara Malaysia yang bersatu padu
dan bersemangat patriotik.

Kurikulum Standard Sejarah Sekolah Rendah membolehkan murid memahami tingkah laku
manusia, sebab dan akibat, keunikan sejarah tanah air dan kegemilangan negara bagi
melahirkan warganegara yang patriotik dan menjunjung amalan demokrasi di Malaysia.
Kandungan kurikulum menggunakan pendekatan kronologi. Persembahan kandungannya pula
adalah berfokuskan tentang sejarah negara yang disepadukan dengan elemen
kewarganegaraan dan nilai sivik.

Dalam tugasan ini, fokus dan kandungan kurikulum sejarah akan dijelaskan dengan lebih
lanjut. Begitu juga, tugasan ini memberi tumpuan mengenai sejauhmanakah penerapan elemen
kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata pelajaran Sejarah dapat memainkan peranan
dalam melahirkan Malaysia yang bersatu padu dan bersemangat patriotik.

2.0 KURIKULUM SEJARAH SEKOLAH RENDAH

Berdasarkan Dokumen Standard, KSSR, Sejarah Tahun 4, KPM (2013), Kurikulum Standard
Sejarah Sekolah Rendah bermatlamat untuk membolehkan murid memahami tingkah laku
manusia, sebab dan akibat, keunikan sejarah tanah air dan kegemilangan negara bagi
melahirkan warganegara yang patriotik dan menjunjung amalan demokrasi di Malaysia.

Begitu juga, fokus utama Kurikulum Sejarah Sekolah Rendah adalah untuk menyemai ilmu
pengetahuan dan asas kemahiran pemikiran Sejarah di samping menerapkan semangat
patriotisme melalui pengetahuan tentang masa lalu yang mempengaruhi masa kini. Melalui
pembelajaran ini, murid mampu membina kerangka kronologi tentang sesuatu peristiwa
penting dan tokoh yang terlibat. Begitu juga, murid dapat membuat perbandingan tentang
pengalaman manusia dan seterusnya berupaya memahami diri mereka secara individu dan
sebagai ahli dalam masyarakat.

Seperti yang telah digariskan dalam Dokumen Standard, KSSR, Sejarah Tahun 4, KPM (2013),
organisasi Kurikulum Sejarah Sekolah Rendah merupakan kesepaduan tiga elemen utama iaitu
mencakupi ilmu pengetahuan (kandungan), asas Kemahiran Pemikiran Sejarah (kemahiran),
penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik bagi memupuk minat murid terhadap
Sejarah. Kandungan kurikulum Sejarah sekolah rendah menggunakan pendekatan kronologi, di
mana ia mencakupi beberapa tema seperti; Sejarah Awal Negara (Tahun 4), Kedaulatan
Negara (Tahun 5) dan Kemakmuran Negara Kita (Tahun 6).

Begitu juga, elemen kewarganegaraan dan nilai sivik turut diserapkan melalui mata pelajaran
Sejarah di sekolah rendah. Penerapan elemen ini menggunakan Dimensi Kewarganegaraan.
Antara dimensi kewarganegaraan yang diketengahkan ialah perkongsian sejarah, perkongsian
nilai, perasaan kekitaan, perkongsian masa depan, kesetiaan, tanggungjawab warganegara dan
keterikatan emosi kepada negara. Setiap dimensi kewarganegaraan ini bertujuan untuk
membentuk warganegara yang berketrampilan dan bermaklumat.

Kesimpulannya, mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah rendah merupakan satu


kesinambungan ke peringkat sekolah menengah sebagai suatu disiplin ilmu yang dinamik.
Kurikulum ini merupakan satu usaha untuk melengkapkan murid dengan perkembangan ilmu
pengetahuan, kemahiran dan pengamalan nilai murni serta penerapan semangat jati diri
sebagai warganegara Malaysia.
3.0 PERANAN ELEMEN KEWARGANEGARAAN DAN NILAI SIVIK DALAM
MELAHIRKAN WARGANEGARA MALAYSIA YANG BERSATU PADU DAN BERSEMANGAT
PATRIOTIK

Dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah, elemen kewarganegaraan dan nilai sivik yang
diajar melalui mata pelajaran Sejarah adalah sebagai asas dalam melahirkan warganegara
yang mempunyai identiti kebangsaan. Elemen tersebut diharapkan agar dapat membentuk
rakyat Malaysia yang mempunyai kesepaduan sosial dan intergrasi nasional. Walau
bagaimanapun, sejauh manakah penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik melalui
mata pelajaran Sejarah ini dapat memainkan peranan dalam melahirkan Malaysia yang bersatu
padu dan bersemangat patriotik.

Terdapat tujuh dimensi kewarganegaraan yang diketengahkan sebagai penanda aras untuk
menerapkan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik dalam mata pelajaran Sejarah. Dimensi
kewarganegaraan yang pertama ialah melalui perkongsian sejarah. Melalui perkongsian
sejarah, terdapat beberapa elemen yang diterapkan seperti berbangga dengan sejarah dan asal
usul negara, menghargai kewujudan dan kegemilangan kerajaan Melayu tradisional, mengambil
iktibar kesan penjajahan kuasa luar ke atas negara, menghayati peristiwa kemerdekaan negara
dan memelihara warisan negara. Elemen-elemen ini amat penting khasnya dalam mengambil
iktibar peristiwa yang telah berlaku. Abd. Rahman Abd. Rashid (1999), mempelajari sejarah
bukan semata-mata untuk pengetahuan, tetapi juga menjadi pedoman dan memberi iktibar
kepada sesuatu bangsa tentang apa yang telah berlaku. Melalui penerapan elemen-elemen ini,
mata pelajaran Sejarah akan melahirkan warganegara yang mengetahui dan memahami
sejarah pembentukan negara.

Seterusnya, dimensi kewarganegaraan yang diketengahkan ialah perkongsian nilai. Dalam


dimensi ini, tiga elemen kewarganegaraan dan nilai sivik yang akan diterapkan dalam mata
pelajaran Sejarah. Antaranya ialah menyanjungi prinsip Rukun Negara, menghormati
kepelbagaian agama dan budaya serta berbangga dengan lambang dan simbol negara.
Menurut Nazaruddin (2000), Rukun Negara adalah satu susunan cara (prinsip) hidup
bermasyarakat yang mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi
semua aspek kehidupan bernegara. Dengan penerapan elemen dan nilai sivik melalui mata
pelajaran Sejarah, ia dapat melahirkan warganegara yang mengamalkan sikap dan perlakuan
yang berhemah. Ciri-ciri warganegara seperti ini amat penting di mana Malaysia merupakan
sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Selain itu, dimensi kewarganegaraan yang digunakan ialah perasaan kekitaan. Dalam dimensi
ini, elemen kewarganegaraan dan nilai sivik yang diterapkan ialah menghormati amalan
kepelbagaian kaum, budaya dan agama, berbangga dengan hari kemerdekaan, memartabatkan
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan berbangga dengan pencapaian negara.
Menurut Ismail Said (2010), mata pelajaran Sejarah membentangkan pelbagai peristiwa dan
fakta berkenaan permuafakatan pelbagai kaum pada waktu sebelum, semasa dan selepas
merdeka boleh membangkitkan semangat kebersamaan dalam kalangan setiap warganegara.
Sesungguhnya, melalui penerapan elemen dan nilai sivik seperti ini, mata pelajaran Sejarah
mampu membentuk warganegara yang bersatu padu dan bersemangat patriotik.

Begitu juga, melalui dimensi kewarganegaraan seterusnya, iaitu perkongsian masa depan,
elemen kewarganegaraan dan nilai sivik seperti menghornati masyarakat pelbagai kaum,
memakmurkan ekonomi negara dan mengekalkan warisan negara dapat diterapkan. Menurut
Mohd Sohaimi Esa et al. (2011), negara kita tidak dapat lari daripada menghadapi pelbagai
cabaran hubungan etnik seperti kepentingan etnik dari aspek sosial yang meliputi aspek
pemisahan fizikal, pengasingan pendidikan, popurisasi kaum dan kontrak sosial. Oleh yang
demikian, penerapan elemen dan nilai sivik khasnya melalui mata pelajarah Sejarah,
masyarakat di negara ini mampu untuk bertolak ansur dan saling bekerjasama dalam
melonjakkan ekonomi negara. Begitu juga, kita mampu membina keyakinan dan tanggungjawab
warganegara Malaysia untuk mencorakkan masa depan negara pada masa depan.

Di samping itu, melalui dimensi kewarganegaraan yang seterusnya iaitu kesetiaan, elemen
kewarganegaraan dan nilai sivik seperti mematuhi perintah Tuhan, mentaati Raja dan Negara,
menghormati pemimpin negara serta mematuhi undang-undang dan peraturan negara dapat
diterapkan melalui mata pelajaran Sejarah. Negara Malaysia merupakan sebuah negara yang
mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Menurut Nadzan Haron dan Rozeman Abu
Hassan (2010), perlembagaan bertindak sebagai garis panduan kepada pembentukan undang-
undang sama ada di pihak pemerintah atau rakyat. Oleh yang demikian, dengan penerapan
elemen kewarganegaraan dan nilai sivik dalam mata pelajaran Sejarah, ia dapat memupuk
warganegara yang mempunyai kepercayaan kepada Tuhan dan mempunyai perasaan taat dan
setia kepada negara.

Seterusnya, elemen kewarganegaraan dan nilai sivik dalam mata pelajaran Sejarah diterapkan
melalui dimensi kewarganegaraan, iaitu tanggungjawab warganegara. Dalam dimensi ini,
antara elemen dan nilai sivik yang akan diterapkan ialah mempertahankan identiti negara,
mempertahankan warisan negara serta menerima perbezaan kaum, budaya dan agama. Hal ini
turut dinyatakan oleh Omardin Haji Ashaari dan Yunus Muhamad (2002), sejarah dapat
membantu mengembang dan membangkitkan kesedaran terhadap tugas dan tanggungjawab
warganegara itu kepada negaranya dan mampu menanam rasa bangga menjadi warganegara.
Ini sekaligus membuktikan penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik dalam mata
pelajaran Sejarah mampu melahirkan warganegara yang mengetahui dan memahami
tanggungjawab sebagai warganegara dengan sepenuh hati.

Dimensi kewarganegaraan yang terakhir seperti yang digariskan dalam Dokumen KSSR,
Sejarah ialah keterikatan emosi kepada negara. Dalam dimensi kewarganegaraan ini, antara
elemen kewarganegaraan dan nilai sivik yang akan diterapkan melalui mata pelajaran Sejarah
ialah menghargai sejarah asal usul negara, menghargai warisan negara dan identiti negara,
menghayati prinsip Rukun Negara, bersyukur dengan keharmonian dan kemajuan ekonomi
serta berbangga dengan pencapaian negara. Dengan penerapan elemen dan nilai sivik ini,
mata pelajaran Sejarah mampu melahirkan warganegara Malaysia yang bersatu padu dan
bersemangat patriotik. Hal ini turut disokong oleh Sheela Abraham (1994), di mana beliau
mengatakan bahawa sudah menjadi satu tradisi bahawa sejarah diberi tanggungjawab untuk
menanam nilai-nilai seperti moral, budaya dan patriotik dalam kalangan generasi muda.

Jelas sekali bahawa penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik ini dilaksanakan
secara sistematik melalui tujuh dimensi kewarganegaraan yang telah digariskan dalam
Dokumen KSSR, Sejarah. Sesungguhnya, penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik
melalui mata pelajaran Sejarah dapat memainkan peranan dalam melahirkan warganegara
Malaysia yang bersatu padu dan bersemangat patriotik.

4.0 PENUTUP

Secara keseluruhannya, tugasan ini telah membincangkan mengenai sejauh manakah


penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik melalui mata pelajaran Sejarah dapat
memainkan peranan dalam melahirkan warganegara Malaysia yang bersatu padu dan
bersemangat patriotik.

Seperti yang kita sedia maklum, mata pelajaran Sejarah akan diperkenalkan dan diajar di
peringkat sekolah rendah (Tahap 2). Fokus utama Kurikulum Sejarah Sekolah Rendah adalah
untuk menyemai ilmu pengetahuan dan asas kemahiran pemikiran Sejarah di samping
menerapkan semangat patriotisme melalui pengetahuan tentang masa lalu yang mempengaruhi
masa kini. Manakala, organisasi Kurikulum Sejarah Sekolah Rendah merupakan kesepaduan
tiga elemen utama iaitu mencakupi ilmu pengetahuan (kandungan), asas Kemahiran Pemikiran
Sejarah (kemahiran), penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik bagi memupuk minat
murid terhadap Sejarah.

Dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah, elemen kewarganegaraan dan nilai sivik akan
diterapkan melalui mata pelajaran Sejarah. Elemen dan nilai sivik tersebut diharapkan agar
dapat melahirkan Malaysia yang bersatu padu dan bersemangat patriotik. Elemen
kewarganegaraan dan nilai sivik diterapkan secara sistematik melalui dimensi
kewarganegaraan yang telah digariskan. Antara dimensi kewarganegaraan yang diketengahkan
ialah perkongsian sejarah, perkongsian nilai, perasaan kekitaan, perkongsian masa depan,
kesetiaan, kewarganegaraan serta keterikatan emosi kepada negara.

Sesungguhnya, melalui penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik dalam mata
pelajaran Sejarah, kita mampu melahirkan warganegara yang bersatu padu dan bersemangat
patriotik. Hal ini amat penting untuk diterapkan dari peringkat awal lagi, khususnya di sekolah
rendah bagi mengukuhkan lagi nilai yang ada dalam diri seorang warganegara. Bak kata
pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Anda mungkin juga menyukai