Anda di halaman 1dari 19

Pengenalan

Bab 1
PENGENALAN

HASIL PEMBELAJARAN
a. Memahami tentang konsep membaca.

b. Memahami tentang kepentingan konsep bacaan kepada guru.

c. Mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi kebolehan membaca seseorang murid.

1.1. Konsep Membaca

1.2. Kepentingan Kefahaman Konsep Bacaan Kepada Guru.

1.3. Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Kebolehan Membaca

Dalam bab ini, pelajar akan diperkenalkan kepada konsep membaca sebelum mereka mempelajari
dengan lebih mendalam lagi tentang kemahiran membaca bahasa Melayu sekolah rendah. Pelajar
juga akan didedahkan dengan kepentingan memahami konsep bacaan kepada guru. Pelajar juga
akan mempelajari faktor-faktor yang mempengaruhi kebolehan membaca seseorang murid itu.

1
Pengenalan

1.1 Konsep Membaca

SETAKAT ini tidak ada satu pun pengertian yang tepat bagi
menerangkan konsep bacaan. Kebanyakan pengertian yang telah
diberi adalah berbentuk separa yang menekankan aspek-aspek yang
khusus (kognitif atau pengamatan), peringkat-peringkat (peringkat
awal bacaan atau bacaan berkemahiran) atau mod (bacaan secara
nyaring atau secara senyap). Daripada kebanyakan pengertian yang
diberi, didapati tidak ada cubaan untuk menghuraikan kesemua
fasa-fasa yang terlibat dalam sesuatu proses membaca (Harris dan
Sipay, 1980) Dengan itu, ia gagal untuk memberi satu gambaran
yang jelas dan menyeluruh tentang apa yang terjadi apabila seseorang itu membaca. Di sini
akan dijelaskan beberapa pengertian yang telah diberikan oleh para penyelidik dan pakar-
pakar dalam bidang bacaan untuk diperbincangkan.

Harris dan Sipay, (1980) menyifatkan proses membaca sebagai satu proses mendapat
interpretasi yang bermakna tentang lambang-lambang bercetak atau bertulis. Selanjutnya
dikatakan bahawa seseorang itu akan dapat memahami apa yang dibacanya apabila berlaku
interaksi di antara pengamatannya tentang lambang-lambang yang dibaca, kebolehan
berbahasa dan pengetahuannya tentang alam sekeliling. Kenedy(1981) mentafsirkan proses
membaca sebagai satu keupayaan seseorang untuk mengecam bentuk visual (lambang-
lambang grafik yang mewakili bahasa atau perkataan), menghubungkan bentuk itu dengan
bunyi atau makna yang telah diketahui dan seterusnya, berasaskan pengalaman lalu,
memahami dan menginterpretasikan maksudnya.

Sementara Smith dan Johnson, (1980), menambah satu lagi aspek dalam cubaan mereka
mendefinisikan proses membaca. Mereka menegaskan bahawa inti utama bagi sesebuah
proses membaca ialah wujudnya komunikasi. Proses membaca dianggap sebagai satu proses
komunikasi kerana dalam sesebuah perlakuan membaca, berlaku pertukaran idea-idea di
antara penulis dan pembaca. Kata mereka lagi, seseorang itu tidak dikatakan membaca
sekiranya dia tidak berjaya mendapatkan mesej atau apa yang hendak disampaikan oleh
penulis di dalam penulisannya Daripada pengertian-pengertian dan huraian tersebut, proses
membaca dapat dirumuskan seperti yang berikut:

1. Perlakuan membaca ternyata sebuah perlakuan yang kompleks. Proses perlakuannya


tidak dapat diperhatikan. Oleh itu, menimbulkan berbagai-bagai teori tentang apa yang
berlaku dalam proses membaca. Namun, berdasarkan pengertian yang pelbagai itu, terdapat
dua komponen kemahiran utama yang dipersetujui wujud dalam sesebuah perlakuan
membaca. Dua komponen tersebut adalah kemahiran mengenal atau mengecam perkataan-
perkataan dan kemahiran memahami apa yang dibaca.

2
Pengenalan

2. Sesuatu perlakuan membaca mesti dapat menghasilkan kefahaman di pihak pembaca


dan tidak memadai setakat dapat mengecam dan menyebut perkataan-perkataan. Rumusan ini
bertepatan sekali dengan pendapat Durkin, (1980) yang berpendapat bahawa tanpa
memahami apa yang dibaca, seseorang itu tidak dapat dianggap melakukan proses membaca
tetapi menyebut perkataan-perkataan sahaja. Mengikut Durkin lagi, untuk menjadi seorang
pembaca yang efektif, seseorang itu tidak perlu dapat menyebut perkataan-perkataan dengan
betul dan lancar asalkan dia tahu makna perkataan-perkataan yang dibaca. Dengan itu,
dapatlah dikatakan, dalam proses membaca, aspek penyebutan kurang dipentingkan. Apa
yang sangat ditekankan dalam proses membaca ialah seseorang pembaca itu perlu dapat
berfikir, merasai dan membayangkan serta memahami apa yang dibaca.

3. Dalam satu-satu proses membaca, seseorang itu perlu berfikir, merasai dan
membayangkan apa yang dibaca. Proses tersebut adalah untuk memahami isi, maklumat,
penerangan atau mesej yang hendak disampaikan oleh penulis. Justeru itu, dapatlah
disimpulkan bahawa tujuan asas satu-satu pembacaan adalah untuk berinteraksi dengan apa
yang dibaca. Tujuannya ialah bagi mewujudkan perhubungan dengan penulis. Jadi, perlakuan
membaca tidak berlaku dalam ruang yang kosong. Sebaliknya, perlakuan membaca itu
berlaku dalam sebuah ruang untuk mewujud kan interaksi di antara pembaca dengan penulis
serta tujuan tertentu yang hendak ditonjolkan.

4. Pembacaan yang dilakukan oleh seseorang murid, tidak berlaku dengan pemikiran yang
kosong tanpa tujuan, jangkaan dan pengetahuan serta pengalaman lalu tentang apa yang
hendak dibaca. Lazimnya, seseorang murid itu akan membawa tujuan, jangkaan dan
pengetahuan serta pengalaman1alu kepada apa yang akan dibacanya. Justeru itu, dalam
perlakuan membaca, kebolehan untuk mengaitkan dan mengintegrasikan segala aspek
tersebut adalah penting bagi menghasilkan sebuah pembacaan dengan kefahaman.

5. Dalam sebuah proses membaca, terdapat beberapa susun tugas yang perlu dilakukan
oleh pembaca. Susun tugas yang dimaksudkan adalah seperti yang berikut:

a. Mengecam atau mengenal lambang-lambang atau perkataan-


perkataan yang dilihat.
b. Mengaitkan lambang-lambang atau perkataan-perkataan itu
dengan bunyi atau makna.
c. Menterjemahkan makna perkataan-perkataan itu dengan
mengaitkannya kepada apa yang telah sedia ada di dalam kepala.
d. Mengumpul dan mencantumkan idea-idea, perkataan dan ayat-
ayat sehingga menjadi sebuah idea yang lengkap.
e. Cuba menghuraikan atau menjelaskan idea-idea yang didapati
kepada diri sendiri, kawan-kawan, guru atau ibu bapa.

3
Pengenalan

1. Apakah susun tugas yang perlu dilakukan oleh pembaca dalam sebuah proses
membaca?

2. Terangkan tentang konsep membaca yang difahami oleh anda.

3. Nyatakan konsep membaca yang dinyatakan oleh tokoh tokoh berikut:


a. Harris dan Sipay, 1980
b. Smith dan Johnson, 1980
c. Durkin 1980
d. Kenedy, 1981

Kepentingan kefahaman konsep bacaan


1.2 kepada guru

guru
Biar apa pun teori atau definisi yang diberikan bagi konsep bacaan, faktor terpenting yang
menentukan berjaya atau gagalnya proses tersebut, terletak di atas bahu seseorang guru yang
mengajar. Perbezaan di kalangan guru-guru adalah faktor yang penting bagi menentukan
pencapaian murid dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bacaan. Hal ini disebabkan
setiap orang guru mempunyai pegangan dan kepercayaan yang berbeza-beza (berdasarkan
kefahaman masing-masing tentang konsep bacaan) tentang bagaimana satu-satu pengajaran
dan pembelajaran bacaan harus dijalankan.

Pegangan dan kepercayaan guru itu, seterusnya akan mempengaruhi pemilihan kaedah-
kaedah mengajar, bahan-bahan dan alatan yang digunakan. Umpamanya, jika seseorang guru
itu memikirkan bacaan sebagai tugas pandangan utamanya, beliau akan memberikan lebih
perhatian kepada kerja-kerja pembetulan kecacatan penglihatan atau pandangan dan
persediaan bahan-bahan yang mudah dibaca. Jika pengecaman perkataan dianggap
pembacaan, beliau akan memberi latih tubi kepada perbendaharaan kata pandang dan
kemahiran mengecam perkataan. Jika beliau memikirkan pembacaan semata-mata untuk
menghasilkan semula persoalan pengarang, beliau akan mengarahkan perhatian murid-
muridnya kepada pemahaman maksud nyata.

Beliau juga akan menyemak pemahaman murid tentangnya. Jika beliau berpendapat bahawa
pembacaan adalah satu proses berfikir, beliau lebih mengambil berat tentang kemahiran

4
Pengenalan

pembaca untuk membuat interpretasi-interpretasi dan generalisasi-generalisasi. Tujuannya


ialah untuk membentuk inferen-inferen dan kesimpulan-kesirnpulan. Jika pembacaan
difikirkan dapat memberi sumbangan kepada perkembangan peribadi dan kebajikan sosial,
beliau akan menyediakan bahan-bahan bacaan yang dapat membantu mereka membina nilai-
nilai yang balk. Nilai-nilai itu mempunyai hubungan dengan kehidupan mereka dan juga
dengan dunia moden.

Oleh itu, sangat mustahak bagi seseorang guru untuk mendapat satu kefahaman yang jelas
tentang konsep bacaan. Seterusnya beliau perlu membentuk dan mempunyai satu fahaman
yang tersendiri, disenangi, sesuai dan boleh dijalankan di dalam kelas. Guru-guru juga harus
memegang konsep atau matlamat akhir sesebuah pengajaran bacaan. Sebaliknya, jika
seseorang guru itu tidak memahami proses yang terlibat di dalam perlakuan membaca,
kemungkinan besar corak pengajarannya akan menjadi berpecah-pecah dan tidak memadai
untuk memenuhi atau mencapai matlamat yang diperlukan. Guru menjadi suatu sumber
rujukan yang utamaa kepada murid. Seseorang guru perlu dapat menunjukkan model-model
perlakuan bacaan yang baik dan betul. Guru juga perlu berupaya memberi tunjuk ajar dan
menjelaskan kekeliruan yang mungkin timbul di kalangan murid. Hal ini akan dapat
membantu murid memahami proses membaca.

Secara ringkasnya, dapat disimpulkan bahawa corak pembelajaran bacaan dan kefahaman,
tujuan dan proses membaca murid adalah bergantung kepada kefahaman dan pegangan guru
tentang konsep bacaan. Justeru itu, para guru wajib menyedari betapa pentingnya kefahaman
konsep itu bagi keseluruhan program pengajaran dan pembelajaran bacaan di sekolah.

1. Apakah kepentingan konsep bacaan kepada guru?

2. Bagaimanakah pegangan dan kepercayaan guru itu akan mempengaruhi pemilihan


kaedah-kaedah mengajar, bahan-bahan dan alatan yang digunakan olehnya?

3. Nyatakan sebab perbezaan di kalangan guru-guru adalah faktor yang penting bagi
menentukan pencapaian murid dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran
bacaan.

5
Pengenalan

Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi


1.3 Kebolehan Membaca
guru
PERLAKUAN membaca sememangnya satu proses kognitif yang kompleks. Kebanyakan
penyelidik berpendapat bahawa jika kita dapat memahami proses yang dilalui semasa
membaca, kita akan dapat naemahami misteri-misteri tentang pemikiran manusia. Sealiran
dengan itu, faktor-faktor yang mempengaruhi kebolehan membaca juga adalah kompleks.

Pada amnya tidak ada satu faktor pun (secara sendirian) dapat dikatakan sebagai faktor atau
sebab seseorang itu boleh membaca atau tidak. Faktor-faktor yang mempengaruhi kebolehan
seseorang membaca adalah berbagai-bagai dan sating kait-mengait di antara satu sama lain.
Oleh yang demikian, adalah mustahak bagi para guru mengetahui dan menyedari tentang
faktor-faktor yang mempengaruhi kebolehan seseorang murid untuk membaca. Pengetahuan
dan kesedaran tentangnya adalah sangat berguna untuk guru-guru membuat keputusan dalam
pemilihan kaedah-kaedah, teknik-teknik, bahan-bahan dan alatan sebagai panduan untuk
kerja-kerja pengajaran, diagnostik dan pemulihan pembacaan.

Faktor-faktor yang mempengaruhi kebolehan membaca dapat dibahagikan kepada beberapa


kategori. Tiap-tiap kategori akan diperbincangkan selepas ini. Kategori-kategori tersebut
adalah seperti yang berikut (lihat rajah 1.1 di sebelah).

Dua kategori besar yang mempengaruhi kebolehan membaca seseorang murid adalah:

a. Faktor-faktor yang ada pada diri murid (pembaca)

b. Faktor-faktor yang ada pada bahan bacaan

6
Pengenalan

Faktor-faktor

DIRI MURID

Intelek Fizikal

Kecerdasan Pengetahuan dan Daya penglihatan daya pendengaran


pengalaman sedia ada

Kebolehan bahasa
Persekitaran

Psikologi
Di rumah Di sekolah

Minat Motivasi Konsep Diri

BAHAN BACAAN

Perbendaharaan Panjang Isi Struktur cerita Penggunaan dan


kata pendek ayat organisasi bahan-
bahan grafik

Rajah 1.1. Faktor-faktor yang mempengaruhi kebolehan membaca

A. Faktor-faktor yang ada pada diri murid (pembaca)

Faktor-faktor yang tergolong di bawah kategori ini dapat dibahagikan kepada beberapa
bahagian seperti yang berikut:

1. Faktor-faktor intelektual

Faktor-faktor yang tergolong di bawah bahagian ini ialah faktor-faktor seperti kecerdasan,
kebolehan bahasa, pengetahuan dan pengalaman sedia ada.

7
Pengenalan

(i) Kecerdasan murid

Kecerdasan dan kebolehan membaca saling berkaitan. Pada umumnya murid yang
mempunyai kecerdasan yang tinggi akan lebih berupaya untuk membaca dengan berkesan di-
bandingkan dengan murid-murid yang kecerdasannya rendah. Kecerdasan memberi kesan
kepada kebolehan seseorang untuk memberi perhatian pada pembacaannya, mengingat,
mengekalkan apa-apa yang dibaca dan menggunakan pemikiran yang tinggi dalam
pembacaannya. Oleh itu, kecerdasan merupakan faktor penting bagi pengembangan dan
penguasaan kebolehan membaca.

Pertalian yang rapat di antara kecerdasan dan kebolehan membaca ini lebih ketara di
kalangan murid di peringkat menengah daripada murid-murid di peringkat rendah (Roe,
Stoodt dan Burns, 1978: hal. 28). Keadaan ini wujud kerana di peringkat menengah, murid
memerlukan kemahiran-kemahiran yang lebih tinggi untuk membaca bahan-bahan yang lebih
kompleks dan sofistikated. Sungguhpun begitu, guru-guru tidak boleh mengambil kira
kecerdasan sebagai indeks kebolehan membaca seseorang murid secara tepat. Hal ini
disebabkan ujian kecerdasan yang digunakan itu adalah diragui. Biasanya, ujian kecerdasan
banyak menggunakan bahasa dan mengukur kebolehan perbendaharaan kata dalam usaha
untuk mengukur tahap kecerdasan seseorang murid. Oleh itu, seseorang murid yang kurang
penguasaan bahasa dan perbendaharaan kata, tentu tidak dapat menjawab soalan-soalan ujian
kecerdasan dan sebaliknya.

(ii) Pengetahuan dan pengalaman sedia ada

Pengetahuan dan pengalaman sedia ada merupakan faktor penting yang membantu
pertumbuhan dan penguasaan kebolehan murid untuk membaca. Pengetahuan dan
pengalaman yang dimaksudkan ialah kesemua pengetahuan dan pengalaman yang didapati
dan dialami dalam hidup seseorang Minat dan motivasi memainkan peranan yang besar
bagi baik di rumah, sekolah atau di luar alam sekolah dan rumah. Pengetahuan dan
pengalaman ini didapati secara langsung atau secara tidak langsung.

Murid-murid yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang terbatas akan menghadapi
masalah dalam pembelajaran bacaan mereka. Keadaan ini disebabkan kefahaman pembacaan
seseorang murid, bergantung kepada pelbagai faktor. Pengetahuan dan pengalaman yang luas
dan berbagai-bagai tentang alam sekelilingnya amat penting. Pengetahuan dan pengalaman
yang sedia ada akan menjadi asas kepada pembelajaran kemahiran-kemahiran membaca
seperti memberikan makna konsep-konsep bagi memperluaskan saiz perbendaharaan kata.
Oleh itu, sangatlah mustahak bagi ibu bapa dan guru-guru menyediakan dan memberikan
seberapa banyak pengetahuan dan pengalaman kepada anak-anak. Pengetahuan dan
pengalaman murid dapat dipupuk secara langsung seperti membuat lawatan dan perjalanan
yang merangsangkan pembinaan perbendaharaan kata. Di samping itu murid juga boleh
diberi pengetahuan dan pengalaman secara tidak langsung yang boleh didapati daripada
televisyen, radio, wayang gambar, majalah, novel dan suratkhabar.

8
Pengenalan

(iii) Kebolehan bahasa

Perhubungan di antara perkembanganbahasa dan kejayaan dalam bacaan adalah ketara sekali.
Murid yang kurang penguasaan perbendaharaan kata dan lemah tatabahasa, lazim-nya
menghadapi masalah untuk membaca. Begitu juga murid-murid yang lemah dalam
kernahiran mendengar dan bertutur majalah, suratkhabar dan bahan-bahan bacaan lain di
dalam bahasa baku akan menghadapi masalah dalam pembelajaran bacaan. Hal ini berkaitan
dengan kemahiran bertutur dan mendengar. la menyediakan asas yang kukuh bagi murid dan
membolehkan mereka berkomunikasi secara lisan atau tulisan dan seterusnya membaca.

Memendangkan kepentingan kebolehan berbahasa bagi pembelajaran bacaan, adalah sangat


perlu bagi para guru menggalakkan penggunaan bahasa yang maksimum di kalangan murid
di dalam kelas.

2. Faktor-faktor psikologi

Faktor-faktor yang terlibat dalam bahagian ini ialah minat dan motivasi serta konsep diri.

(i) Minat dan motivasi


Minat dan motivasi memainkan peranan yang besar bagi memupuk kebolehan membaca di
kalangan murid. Oleh kerana kemahiran membaca perlu dipelajari secara berterusan dan
perolehannya bergantung pada daya usaha sendiri, maka faktor minat dan motivasi ini sangat
penting untuk menentukan pencapaian murid dalam pembacaan.

Pada kebiasaannya, seseorang murid itu akan dapat memberi gerak balas yang lebih spontan
dan bermakna jika bahan yang dibacanya itu menarik minatnya. Malahan, seringkali didapati
bahan-bahan yang dianggap susah bagi peringkat kebolehan membaca murid, dapat
dibacanya dengan baik. Hal ini berdasarkan keinginan dan minat pelajar untuk membaca.

Begitu juga murid yang mempunyai motivasi yang tinggi untuk membaca akan dapat
memberi gerak balas yang positif terhadap bahan-bahan bacaan dan kegiatan membaca.
Lantaran itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dan guru-guru untuk sentiasa memberi
dorongan, menyemai dan memupuk minat membaca ke dalam diri kanak-kanak sejak awal-
awal lagi supaya tabiat suka membaca menjadi sebati dengan jiwa mereka.

Untuk memberi dorongan dan memupuk minat serta kebiasaan membaca di kalangan murid-
murid, guru perlu menyediakan iklim pembelajaran yang baik seperti yang berikut:

a. Menunjukkan kepentingan membaca dengan menjadikan pembacaan sebagai kegiatan


harian
b. Mengadakan dan menyediakan seberapa banyak buku, majalah, suratkhabar dan bahan-
bahan bacaan lain di dalam kelas.
c. Menggalakkan murid bercetita dan berkongsi pengalaman yang didapati daripada
pembacaan individu (seperti pembacaan novel, majalah atau berita).

9
Pengenalan

d. Menentukan pemilihan bahan-bahan, alatan, kaedah-kaedah dan teknik-teknik pengajaran


dan pembelajaran sesuai dengan perkembangan diri dan kebolehan murid. Hal ini bertujuan
menjadikan pembelajaran bacaan agak berkesan dan bermakna kepada mereka.
e. Memberi ganjaran sama ada dalam bentuk bahasa seperti pujian atau perlakuan. Contohnya
anggukan dan senyuman bagi menunjukkan persetujuan atau penghargaan guru. Ganjaran
juga boleh berupa hadiah seperti buku teks, buku cerita atau majalah.

(ii) Konsep diri


Keadaan perasaan murid tentang did mereka juga mempengaruhi pencapaian kebolehan
membaca. Konsep diri, sebagaimana yang diertikan oleh Roe, Stoodt dan Burns, (1978)
adalah satu set kepercayaan dan sikap seseorang individu dipercayai ada pada dirinya. Murid-
murid yang mempunyai konsep din yang negatif, biasanya mempunyai kurang keyakinan
tentang kebolehan diri dan berperasaan rendah diri. Perasaan kurang yakin dan rendah diri ini
memberi kesan yang mendalam terhadap keupayaan membaca. Murid yang berperasaan
demikian lazimnya merasai mereka tidak dapat membaca.

3. Faktor-faktor fizikal

Kebolehan murid untuk mendengar dan melihat dengan baik merupakan dua faktor fizikal
utama yang mempengaruhi kebolehan membaca:

(i) Daya pendengaran

Pendengaran mempengaruhi pencapaian bacaan kerana adanya pertalian yang rapat di antara
bacaan secara lisan dan tulisan. Pembaca mengaitkan cara perkataan disebut secara lisan
dengan perkataan yang ditulis atau dicetak apabila ingin menubuhkan makna perkataan.
Ketidakupayaan seseorang murid untuk mendengar dengan baik dan jelas, akan
menggagalkannya membuat diskriminasi bunyi kata. Seterusnya kemahiran-kemahiran
bacaan yang lain. Mengikut Roe, Stoodt dan Burns (1978) guru
boleh membuat saringan ketajaman pendengaran murid dengan
memerhatikan tanda-tanda yang berikut:

a. Permintaan yang kerap supaya sesuatu penerangan diulang


b. Pengucapan atau penyebutan yang tidak jelas
c. Membukakan mulut apabila mendengar
d. Menyengetkan kepala apabila mendengar
e. Kebolehan untuk mengeja adalah lemah
f. Tidak dapat memberi perhatian penuh
g. Terdapat nanah atau air keluar dari telinga
h. Selalu demam
i. Meninggikan suara apabila membaca

10
Pengenalan

(ii) Daya penglihatan

Penglihatan adalah satu faktor yang sangat diperlukan dalam pembacaan. Proses membaca
bermula dengan melihat dan mengecam perkataan atau lambang-lambang bahasa yang
hendak dibaca. Pembaca yang lemah sering menghadapi beberapa masalah pada penglihatan
mereka untuk membuat diskriminasi huruf-huruf dan perkataan-perkataan.

4. Faktor-faktor persekitaran

Faktor persekitaran ini dapat dibahagikan kepada dua aspek iaitu:

(i) Persekitaran di rumah

Perkaitan di antara keadaan persekitaran di rumah dengan ketidakupayaan murid membaca,


agak sukar ditentukan. Banyak kajian memperlihatkan betapa pentingnya persekitaran di
rumah (peranan ibu bapa) bagi mengembangkan kemahiran-kemahiran membaca. Peringkat
pendidikan ibu bapa, minat ibu bapa dalam kegiatan sosiobudaya, pendapatan, kestabilan
sosial dan emosi dalam keluarga, corak interaksi (pergaulan) dan komunikasi serta sikap
terhadap pembelajaran menjadi faktor penting terhadap proses pembelajaran dan
perkembangan kemahiran pembacaan kanak-kanak atau murid. Sebuah keluarga yang
dipenuhi dengan kasih sayang dan persefahaman adalah menggalakkan faktor pembelajaran
bacaan murid. Perasaan selarnat dan terjamin bagi pelajar menjadi latar yang sihat dan
menggalakkan ke arah tujuan tersebut.

Faktor sosioekonomi keluarga juga turut mempengaruhi pencapaian muriddalam proses


pembacaan. Murid daripada latar belakang sosioekonomi yang rendah mempunyai jumlah
perbendaraan kata yang terbatas berbanding dengan murid yang mempunyai kedudukan
sosioekonomi tinggi. Dalam penggunaan bahasa pertuturan, mereka tidak menggunakan
bahasa baku. Murid-murid ini juga didapati mempunyai keadaan sosioemosi yang tidak
stabil. Keadaan seurnparna ini menyekat proses untuk memusatkan perhatian dan juga
melernahkan daya ingatan. Mereka juga mempunyai konsep diri yang rendab, kurang
menghargai din dan tidak mempunyai minat serta motivasi terhadap pernbelajarannya.

(ii) Persekitaran di sekolah

Pearson dan Johnson, 1978: hal. 19 mengatakan guru-guru, rakan sebaya dan ekologi
sesebuah bilik darjah mempengaruhi bacaan dan kefahaman murid. Kegiatan-kegiatan atau
perlakuan guru dan sikapnya akan mempengaruhi tahap pencapaian membaca murid-murid.
Kegiatan-kegiatan guru (Pearson dan Johnson, 1978) yang berikut dapat mempengaruhi
kefahaman bacaan murid:

a. Cara-cara guru menyediakan murid untuk pembelajaran bacaan.


b. Pemilihan bahan-bahan dan alatan yang digunakan untuk mengajar bacaan
c. Jenis-jenis soalan yang disoal

11
Pengenalan

d. Contoh model daripada segi perlakuan dalam kelas

e. Jenis-jenis maklum balas yang diberikan


f. Suasana pengajaran-pembelajaran yang diwujudkan
g- Jenis-jenis dorongan dan pengukuhan yang digunakan

Rakan sebaya mempengaruhi pencapaian murid untuk membaca. Pengaruh itu terdapat dalam
dua bentuk iaitu positif dan negatif. Rakan-rakan yang ramah, bekerjasama dan
berkemampuan untuk melahirkan suasana dan semangat persaingan dapat memberi
perangsang kepada murid untuk belajar dengan lebih giat lagi dan sebaliknya. Di samping
faktor guru dan rakan sebaya, ekologi sesebuah bilik darjah juga dapat memberi kesan
terhadap pencapaian murid untuk memahami apa yang dibaca. Keadaan fizikal sesebuah bilik
darjah, sedikit sebanyaknya mempengaruhi pembelajaran murid. Umpamanya, bilik yang
kotor, panas, sesak, gelap dan bising akan mengganggu ketenteraman seseorang untuk
berfikir dengan balk. Sebaliknya, bilik darjah yang bersih dan selesa tempat duduknya akan
dapat mewujudkan suasana pengajaran-pembelajaran yang berkesan.

B. Faktor-faktor yang ada pada bahan bacaan

Keupayaan murid untuk memahami sesuatu bahan bacaan atau teks yang dibaca juga
dipengaruhi oleh keadaan sesuatu teks itu. Susah senangnya sesuatu teks itu menentukan
tahap-tahap kefahaman murid. Secara ringkas, dapat dikatakan bahawa faktor kebolehbacaan
merupakan faktor utama yang ada pada bahan bacaan. Faktor-faktor yang menentukan
kebolehbacaan sesuatu bahan adalah bergantung kepada banyak faktor. Di antaranya adalah
seperti yang berikut:

1. Perbendaharaan kata
Makna perkataan atau semantik merupakan satu faktor yang perlu dipertimbangkan untuk
menentukan susah senangnya teks yang dibaca. Susah senangnya perkataan-perkataan di
dalam teks, secara bebas mempengaruhi kefahaman pembacaan. Di antara pembaca yang
baik dan lemah terdapat perbezaan yang luas daripada segi kebolehan perbendaharaan kata.
Perkataan memberi masalah kefahaman yang berbeza-beza. Hal ini adalah kerana ada
perkataan-perkataan yang senang difahami maknanya dan yang sukar untuk difahami.
Dengan itu, bagaimanakah dapat ditentukan susah senangnya sesuatu perkataan yang didapati
dalam teks?

Terdapat beberapa kriteria yang dapat menunjukkan susah senangnya sesuatu perkataan
untuk difahami:

a. Kebiasaan pembaca dengan perkataan-perkataan yang ditemui

Perkataan-perkataan yang selalu digunakan dan kerapkali ditemui dalam pembacaan adalah
lebih senang difahami. Oleh itu, sesuatu teks yang mengandungi banyak perkataan yang biasa
ditemui atau diketahui, memudahkan murid memahami teks itu. Sebaliknya, jika teks yang

12
Pengenalan

dibaca itu mengandungi banyak perkataan asing, kefahaman pembacaannya akan terjejas.
Masa pembacaan murid, banyak ditumpukan untuk mengecam perkataan-perkataan asing dan
tidak kepada menubuhkan maksud perkataan.

b. Keabstrakan perkataan

Perkataan-perkataan yang maknanya mempunyai rujukan konkrit adalah lebih senang


difahami berbandingkan dengan perkataan-perkataan yang maknanya mempunyai rujukan
yang abstrak. Contohnya, seseorang murid akan mendapati lebih senang memahami
perkataan-perkataan seperti bunga, bola, pensel, buku dan roti daripada perkataan-perkataan
seperti cinta, kasih, sayang, simpati dan kemerdekaan. Perkataan bola atau bunga lebih
mudah difahami kerana ia dapat digambarkan dan dilihat. Manakala, perkataan kasih atau
sayang, tidak dapat digambarkan dan dilihat Dengan itu, jika banyak perkataan abstrak
ditemui di dalam teks, kemungkinan besar teks tersebut akan memberi masalah bagi murid-
murid memahaminya.

c. Panjang pendek perkataan

Susah senang sesuatu perkataan juga ditentukan oleh saiz atau ukuran panjang pendeknya.
Perkataan-perkataan yang pendek, dikatakan lebih senang untuk diberikan maknanya
daripada perkataan-perkataan yang panjang. Dalam perkataan yang lain, pemberian makna
bagi kata dasar adalah lebih senang daripada memberikan makna bagi kata terbitan.
Contohnya, murid akan mendapati lebih senang mengecam makna perkataan 'satu' daripada
perkataan kesatuan'. Oleh itu, semakin banyak perkataan yang panjang, semakin susah
sesuatu teks itu untuk dibaca.

d. Jenis perkataan

Perkataan-perkataan konotatif (conotative) adalah lebih susah untuk diberikan makna. Murid
akan menghadapi masalah untuk memilih makna yang betul. Hal ini disebabkan perkataan
konotatif mempunyai banyak makna bergantung kepada konteks penggunaannya dalam ayat.
Berbeza dengan perkataan konotatif, perkataan denotatif (denotative) adalah Iebih senang
ditubuhkan makna baginya.Bagi pemberian makna kepada perkataan denotatif, murid tidak
dibebankan dengan tugas untuk membuat banyak tafsiran. Dengan itu, murid akan mendapati
lebih senang memahami teks yang mengandungi banyak perkataan denotatif dan sebaliknya.

2. Panjang pendek ayat

Teks-teks yang mengandungi ayat yang panjang adalah lebih sukar difahami. Ayat panjang
biasanya adalah ayat kompleks. Dengan itu semakin panjang sesuatu ayat, semakin kompleks
ayat itu. Ini mewujudkan kesukaran bagi diri murid untuk mendapatkan idea atau isi yang
dinyatakan di dalam ayat itu. Sebaliknya, ayat-ayat yang pendek dan mudah adalah lebih
senang ditanggapi idea yang hendak dinyatakan.

13
Pengenalan

3. Isi kandungan bahan

Satu aspek yang mempengaruhi murid mengingati tentang pa yang dibaca di dalam teks ialah
isi kandungan teks itu. Murid yang gagal untuk menghubungi isi yang hendak disampaikan
mungkin akan menghadapi banyak masalah di dalam pembacaannya. Aspek-aspek yang
berkaitan dengan faktor isi kandungan ini ialah kuantiti maklumat yang dimuatkan (dapat
diukur dengan melihat pada panjang-pendek teks). Selain daripada itu, kepadatan maklumat-
maklumat baru, kepadatan perdebatan dan juga bagaimana maklumat-maklumat
dipersembahkan secara implisit atau eksplisit juga berkaitan. Teks yang padat dengan
maklumat-maklumat baru akan mewujudkan kesukaran bagi murid memahaminya. Bagi
memahami maklumat baru, murid perlu dapat mengaitkannya dengan pengetahuan dan
pengalaman yang sedia ada. Sekiranya, terdapat terlalu banyak maklumat baru, keupayaan
murid untuk membuat perkaitan tersebut akan menjadi kurang berkesan.

Kepadatan perdebatan juga, dikatakan mengurangkan keupayaan murid mengingati apa yang
dibaca. Penemuan murid dengan perdebatan-perdebatan yang dimuatkan akan
mengakibatkannya melambatkan kadar kecepatan pembacaan. Lantaran itu akan
mengurangkan daya ingatan tentang apa yang dibacanya. Di samping kepadatan maklumat-
maklumat barn dan perdebatan, aspek cara maklumat-maklumat dipersembahkan juga
mempengaruhi keupayaan murid membaca. Sekiranya banyak maklumat yang dimuatkan,
disampaikan secara implisit (tersirat), sudah tentu murid perlu membuat inferen-inferen dan
kesimpulan-kesimpulan. Teks yang mengandungi banyak pernyataan maklumat secara
implisit lebih sukar untuk difahami. Keadaan ini berbeza dengan teks yang mengandungi
banyak pemyataan maklumat-maklumat secara eksplisit.

4. Struktur cerita

Penulisan sesuatu bahan bacaan boleh didapati dalam pelbagai struktur. Setengah-setengah
struktur cerita menimbulkan lebih banyak masalah kepada pembaca daripada yang lain.
Umpamanya, struktur cerita yang didapati dalam cerita-cerita penglipur lara adalah senang
difahami jalan ceritanya. Strukturnya selalunya dapat dijangkakan dengan mudah. Hal ini
disebabkan sesuatu tajuk atau isi ditulis dalam bentuk sebab dan akibat serta pembahagiannya
pula adalah sangat jelas. Bentuk struktur cerita yang sedemikian selalunya didapati dalam
bentuk penulisan naratif. Dengan itu, didapati pembacaan ke atas teks naratif adalah lebih
senang diingati dan difahami.

Keadaan ini adalah berbeza dengan teks yang menceritakan tajuk atau isi dalam bentuk
perincian- fakta demi fakta seperti yang didapati dalam bentuk penulisan ekspositori.
Pembacaan ke atas teks ekspositori adalah sukar difahami kerana struktur cerita bagi bentuk
penulisan ekspositori adalah sukar untuk dihuraikan atau dikesan. Ini adalah kerana, dalam
teks ekspositori perkaitan di antarabahagian-bahagian adalah lebih beragam daripada yang
didapati dalam teks naratif.

14
Pengenalan

Berdasarkan huraian tadi, dapat disimpulkan bahawa variasi daripada segi struktur cerita
mempunyai kesan yang jelas ke atas pembaca (murid). Kegagalan pembaca untuk mema-
hami struktur cerita sesuatu bahan yang dibaca akan menjejaskan kefahaman pembacaan.

5. Penggunaan dan organisasi bahan-bahan grafik

Penggunaan bahan-bahan grafik seperti carta, gambar, graf, jadual dan gambarajah dapat
membantu kefahaman pembacaan. Adakah penggunaan bahan-bahan tersebut dapat
menjelaskan maksud yang dibaca dengan lebih baik? Adakah bahan yang digunakan
menepati apa yang dibincangkan? Sekiranya tujuan penggunaan rajah atau jadual untuk
memperlihatkan perkaitan, adakah ia menunjukkan perkaitan tersebut?

Perkara kedua yang perlu dipertimbangkan ialah cara penulis menyusun dan mengatur bahan-
bahan tersebut di dalam teksnya. Umpamanya, untuk menghuraikan bentuk fizikal seekor
harimau, penulis menggunakan gambar seekor harimau. Penggunaan gambar tersebut adalah
sesuai, tetapi penempatan gambar itu adalah penting. Misalnya, untuk keberkesanan
penggunaan, gambar tersebut perlulah ditempatkan di halaman yang terdapat huraian tentang
harimau itu. Dengan cara begitu, murid akan dapat membuat rujukan secara terus kepada
gambar dalam cubaannya memahami huraian itu. Jika gambar tersebut ditempatkan di
beberapa muka surat sebelum atau selepas huraian, penggunaannya tidak berkesan.

1. Apakah faktor-faktor yang ada pada diri murid yang boleh mempengaruhi kebolehan
membacanya?

2. . Apakah faktor-faktor yang ada pada bahan bacaan yang boleh mempengaruhi
kebolehan membaca seorang murid?

3. Bagaimanakah faktor persekitaran boleh mempengaruhi kebolehan membaca


seseorang murid?

15
Pengenalan

RUMUSAN BAB

Konsep Membaca Harris dan Sipay, (1980) menyifatkan proses membaca sebagai satu proses
mendapat interpretasi yang bermakna tentang lambang-lambang bercetak atau
bertulis. Selanjutnya dikatakan bahawa seseorang itu akan dapat memahami apa
yang dibacanya apabila berlaku interaksi di antara pengamatannya tentang lambang-
lambang yang dibaca, kebolehan berbahasa dan pengetahuannya tentang alam
sekeliling.

Kenedy(1981) mentafsirkan proses membaca sebagai satu keupayaan seseorang


untuk mengecam bentuk visual (lambang-lambang grafik yang mewakili bahasa
atau perkataan), menghubungkan bentuk itu dengan bunyi atau makna yang telah
diketahui dan seterusnya, berasaskan pengalaman lalu, memahami dan
menginterpretasikan maksudnya.

Smith dan Johnson, (1980) menegaskan bahawa inti utama bagi sesebuah proses
membaca ialah wujudnya komunikasi. Proses membaca dianggap sebagai satu
proses komunikasi kerana dalam sesebuah perlakuan membaca, berlaku pertukaran
idea-idea di antara penulis dan pembaca. Kata mereka lagi, seseorang itu tidak
dikatakan membaca sekiranya dia tidak berjaya mendapatkan mesej atau apa yang
hendak disampaikan oleh penulis di dalam penulisannya

Durkin, (1980) berpendapat bahawa tanpa memahami apa yang dibaca, seseorang
itu tidak dapat dianggap melakukan proses membaca tetapi menyebut perkataan-
perkataan sahaja. Mengikut Durkin lagi, untuk menjadi seorang pembaca yang
efektif, seseorang itu tidak perlu dapat menyebut perkataan-perkataan dengan betul
dan lancar asalkan dia tahu makna perkataan-perkataan yang dibaca. Dengan itu,
dapatlah dikatakan, dalam proses membaca, aspek penyebutan kurang dipentingkan.
Apa yang sangat ditekankan dalam proses membaca ialah seseorang pembaca itu
perlu dapat berfikir, merasai dan membayangkan serta memahami apa yang dibaca.

Kepentingan
Kefahaman Konsep Pegangan dan kepercayaan guru itu, seterusnya akan mempengaruhi pemilihan
Bacaan Kepada Guru. kaedah-kaedah mengajar, bahan-bahan dan alatan yang digunakan. Adalah sangat
mustahak bagi seseorang guru untuk mendapat satu kefahaman yang jelas tentang
konsep bacaan. Seterusnya beliau perlu membentuk dan mempunyai satu fahaman
yang tersendiri, disenangi, sesuai dan boleh dijalankan di dalam kelas.

Guru-guru juga harus memegang konsep atau matlamat akhir sesebuah pengajaran
bacaan. Sebaliknya, jika seseorang guru itu tidak memahami proses yang terlibat di
dalam perlakuan membaca, kemungkinan besar corak pengajarannya akan menjadi
berpecah-pecah dan tidak memadai untuk memenuhi atau mencapai matlamat yang
diperlukan.

Guru menjadi suatu sumber rujukan yang utamaa kepada murid. Seseorang guru
perlu dapat menunjukkan model-model perlakuan bacaan yang baik dan betul. Guru
juga perlu berupaya memberi tunjuk ajar dan menjelaskan kekeliruan yang mungkin
timbul di kalangan murid. Hal ini akan dapat membantu murid memahami proses
membaca.

16
Pengenalan

Secara ringkasnya, dapat disimpulkan bahawa corak pembelajaran bacaan dan


kefahaman, tujuan dan proses membaca murid adalah bergantung kepada kefahaman
dan pegangan guru tentang konsep bacaan. Justeru itu, para guru wajib menyedari
betapa pentingnya kefahaman konsep itu bagi keseluruhan program pengajaran dan
pembelajaran bacaan di sekolah

Faktor-faktor Yang Dua kategori besar yang mempengaruhi kebolehan membaca seseorang murid
Mempengaruhi adalah:
Kebolehan Membaca
A. Faktor-faktor yang ada pada diri murid (pembaca)

1. Faktor-faktor intelektual

Faktor-faktor yang tergolong di bawah bahagian ini ialah faktor-faktor seperti


kecerdasan, kebolehan bahasa, pengetahuan dan pengalaman sedia ada.

2. Faktor-faktor psikologi

Faktor-faktor yang terlibat dalam bahagian ini ialah minat dan motivasi serta konsep
diri.

3. Faktor-faktor fizikal

Kebolehan murid untuk mendengar dan melihat dengan baik merupakan dua faktor
fizikal utama yang mempengaruhi kebolehan membaca:

(i) Daya pendengaran


(ii) Daya penglihatan

4. Faktor-faktor persekitaran

Faktor persekitaran ini dapat dibahagikan kepada dua aspek iaitu:

(i) Persekitaran di rumah


(ii) Persekitaran di sekolah

B. Faktor-faktor yang ada pada bahan bacaan

Keupayaan murid untuk memahami sesuatu bahan bacaan atau teks yang dibaca
juga dipengaruhi oleh keadaan sesuatu teks itu. Kebolehbacaan merupakan faktor
utama yang ada pada bahan bacaan. Faktor-faktor yang menentukan kebolehbacaan
sesuatu bahan adalah bergantung kepada banyak faktor. Di antaranya adalah seperti
yang berikut:

1. Perbendaharaan kata
Makna perkataan atau semantik merupakan satu faktor yang perlu dipertimbangkan
untuk menentukan susah senangnya teks yang dibaca. Susah senangnya perkataan-
perkataan di dalam teks, secara bebas mempengaruhi kefahaman pembacaan.

Terdapat beberapa kriteria yang dapat menunjukkan susah senangnya sesuatu


perkataan untuk difahami:

a. Kebiasaan pembaca dengan perkataan-perkataan yang ditemui


b. Keabstrakan perkataan
c. Panjang pendek perkataan
d. Jenis perkataan

2. Panjang pendek ayat

17
Pengenalan

Teks-teks yang mengandungi ayat yang panjang adalah lebih sukar difahami. Ayat
panjang biasanya adalah ayat kompleks. Dengan itu semakin panjang sesuatu ayat,
semakin kompleks ayat itu. Ini mewujudkan kesukaran bagi diri murid untuk
mendapatkan idea atau isi yang dinyatakan di dalam ayat itu. Sebaliknya, ayat-ayat
yang pendek dan mudah adalah lebih senang ditanggapi idea yang hendak
dinyatakan.

3. Isi kandungan bahan

Satu aspek yang mempengaruhi murid mengingati tentang pa yang dibaca di dalam
teks ialah isi kandungan teks itu. Murid yang gagal untuk menghubungi isi yang
hendak disampaikan mungkin akan menghadapi banyak masalah di dalam
pembacaannya. Aspek-aspek yang berkaitan dengan faktor isi kandungan ini ialah
kuantiti maklumat yang dimuatkan (dapat diukur dengan melihat pada panjang-
pendek teks). Selain daripada itu, kepadatan maklumat-maklumat baru, kepadatan
perdebatan dan juga bagaimana maklumat-maklumat dipersembahkan secara
implisit atau eksplisit juga berkaitan. Teks yang padat dengan maklumat-maklumat
baru akan mewujudkan kesukaran bagi murid memahaminya. Bagi memahami
maklumat baru, murid perlu dapat mengaitkannya dengan pengetahuan dan
pengalaman yang sedia ada. Sekiranya, terdapat terlalu banyak maklumat baru,
keupayaan murid untuk membuat perkaitan tersebut akan menjadi kurang berkesan.

4. Struktur cerita

Penulisan sesuatu bahan bacaan boleh didapati dalam pelbagai struktur. Setengah-
setengah struktur cerita menimbulkan lebih banyak masalah kepada pembaca
daripada yang lain.

5. Penggunaan dan organisasi bahan-bahan grafik

Penggunaan bahan-bahan grafik seperti carta, gambar, graf, jadual dan gambarajah
dapat membantu kefahaman pembacaan. Adakah penggunaan bahan-bahan tersebut
dapat menjelaskan maksud yang dibaca dengan lebih baik? Adakah bahan yang
digunakan menepati apa yang dibincangkan? Sekiranya tujuan penggunaan rajah
atau jadual untuk memperlihatkan perkaitan, adakah ia menunjukkan perkaitan
tersebut?

Perkara kedua yang perlu dipertimbangkan ialah cara penulis menyusun dan
mengatur bahan-bahan tersebut di dalam teksnya. Umpamanya, untuk menghuraikan
bentuk fizikal seekor harimau, penulis menggunakan gambar seekor harimau.
Penggunaan gambar tersebut adalah sesuai, tetapi penempatan gambar itu adalah
penting. Misalnya, untuk keberkesanan penggunaan, gambar tersebut perlulah
ditempatkan di halaman yang terdapat huraian tentang harimau itu. Dengan cara
begitu, murid akan dapat membuat rujukan secara terus kepada gambar dalam
cubaannya memahami huraian itu. Jika gambar tersebut ditempatkan di beberapa
muka surat sebelum atau selepas huraian, penggunaannya tidak berkesan.

18
Pengenalan

RUJUKAN

1. Marohaini Yusoff. 1989. Strategi Pengajaran Bacaan Dan Kefahaman. Karya Bistari
Sdn Bhd. Petaling Jaya.

2. Naimah Yusoff et al. 2011. Kemahiran Bacaan Awal Bahasa Melayu Prasekolah.
Universiti Sains Malaysia. Pulau Pinang.

3. Yahya Othman. 2004. Mengajar Membaca. PTS Publications. Kuala Lumpur.

4. Mahzan Arsad. 2008. Pendidikan literasi bahasa Melayu. Utusan Publications &
Distributors Sdn Bhd. Kuala Lumpur.

19

Anda mungkin juga menyukai