Anda di halaman 1dari 3

HANG TUAH

Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi

bijaksana dan para hadirin yang saya hormati sekalian. Saya, Ivana Vivi Elia dari

Sekolah Kebangsaan Bakerkong, Daro akan menyampaikan sebuah cerita rakyat yang

bertajuk “Hang Tuah”.

Hang Mahmud dan Dang Merdu tinggal di Kampung Sungai Duyung bersama

dengan anak mereka yang baru lahir. Pada suatu petang, Hang Mahmud tertidur di

hadapan rumahnya dan bermimpi.

Dalam mimpinya, bulan di langit turun perlahan-lahan dan menyinari kepala

anaknya. Wajah anaknya mula bercahaya. Hang Mahmud menceritakan mimpinya

kepada Dang Merdu.

Pada hari ketujuh kelahiran anak mereka, seorang pengemis datang ke rumah

mereka. Pengemis itu mengatakan bahawa anak mereka akan membawa tuah.

Selepas mendengar kata-kata pengemis itu, Hang Mahmud menamakan anaknya Hang

Tuah.

Pada suatu hari, Hang Mahmud memberitahu isterinya bahawa mereka

sekeluarga akan berpindah ke Bentan. Setibanya di Bentan, Hang Mahmud segera

membina tempat untuk mereka berteduh sementara waktu.

Keesokannya, Hang Mahmud mencari kawasan yang sesuai untuk membina

rumah. Akhirnya dia menjumpai kawasan yang berdekatan dengan Kampung

Bendahara Paduka Raja. Hang Mahmud terus membina pondok kecil untuk mereka

sekeluarga.

Di kampung itu, Hang Tuah berkawan dengan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang

Lekir dan Hang Lekiu. Mereka bersahabat baik dan bersama-sama meredah hutan
untuk mencari kayu api. Pada waktu malam, Hang Tuah dan sahabatnya belajar

mengaji al-Quran dengan seorang guru agama. Selepas itu, mereka mempelajari seni

mempertahankan diri, iaitu silat.

Pada suatu hari, Hang Tuah dan empat sahabatnya berdayung dari Bentan ke

Pulau Tinggi. Setibanya di Pulau Tinggi, mereka telah dikepung oleh 30 orang lanun.

Mereka mula menghunuskan keris. Hang Tuah mula membuka langkah. Seorang

ditikamnya di peha manakala seorang lagi ditendang jauh. Hang Jebat, Hang Kasturi,

Hang Lekir dan Hang Lekiu mara ke hadapan untuk membantu Hang Tuah.

Melihatkan kehebatan Hang Tuah dan sahabatnya, lanun yang tinggal lari

menyelamatkan diri. Hang Tuah dan sahabatnya membawa 10 orang lanun yang

tercedera menaiki perahu lading mereka menuju ke Singapura.

Di Singapura, Hang Tuah menemui Batin Singapura dan memperkenalkan

dirinya. Bantin Singapura menyerahkan lanun itu kepada Bendahara Paduka Raja di

Bentan. Bantin Singapura juga menceritakan keberanian Hang Tuah dan sahabatnya

menentang lanun tersebut.

Pada suatu hari, sedang Hang Tuah membelah kayu, kampungnya digemparkan

oleh orang mengamuk. Penduduk bertempiaran lari. Tiba-tiba, orang mengamuk itu

meluru ke arah Hang Tuah. Hang Tuah dengan beraninya melawan orang itu dan

berjaya menewaskannya.

Tidak lama kemudian, sekali lagi orang mengamuk yang hendak menyerang

Bendahara Paduka Raja. Hang Tuah dan sahabatnya terus ke tempat itu dan berjaya

menumpaskan orang yang mengamuk itu. Atas jasanya, Hang Tuah dan sahabatnya

telah dilantik sebagai biduanda Raja.


Pada suatu hari, Hang Tuah dan sahabatnya dihantar ke Majapahit untuk

mengiringi rombongan meminang anak Betara Majapahit, iaitu Raden Galuh Emas Ayu.

Rombongan itu diketuai Patih Kerma Wijaya.

Dalam perjalanan ke istana Bentara Majapahit, Hang Tuah dan rombongannya

diserang oleh 60 orang yang sedang mengamuk di pekan itu. Hang Tuah dan sahabat

dengan beraninya menentang mereka. Melihat jumlah pahlawan Melayu melebihi

jumlah mereka, pengacau Majapahit berundur dan membenarkan Hang Tuah

meneruskan perjalanan mereka.

Kehadiran Hang Tuah dan rombongan Patih Kerma Wijaya disambut Bentara

Majapahit dengan tangan terbuka. Seorang perajurit Majapahit, Taming Sari telah

mengamuk dan mengancam untuk membunuh Hang Tuah. Taming Sari terkenal

dengan kehebatan kerisnya. Dia tidak lut ditikam kecuali dengan kerisnya sendiri.

Hang Tuah menggunakan kepintarannya untuk mendapatkan keris tersebut.

Akhirnya, Taming Sari tewas dengan kerisnya sendiri. Hang Tuah mempersembahkan

keris itu kepada Betara Majapahit. Baginda pula mengurniakan keris yang dinamakan

keris Taming Sari itu kepada Hang Tuah.

Perkahwinan Raja Melaka dengan Raden Galuh Emas Ayu berlangsung dengan

penuh istiadat. Selesai adat istiadat perkahwinan itu, Hang Tuah memohon keizinan

raja untuk pulang ke kampungnya. Kepulangan Hang Tuah disambut oleh ibu bapanya

dengan gembira.

Pengajaran daripada cerita ini ialah kita seharusnya mencontohi keberanian dan

kegagahan Hang Tuah ketika menghadapi sebarang cabaran dan dugaan dalam

kehidupan seharian. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai