Anda di halaman 1dari 5

STRATEGI BARAT UNTUK MEMBENDUNG ISLAM -BAHAGIAN 1

Ustaz Hazizi Abd Rahman

Markaz al-Arabi lil Dirasat al-Insaniah, sebuah pusat kajian yang berpengkalan di Kaherah, Mesir,
telah menerbitkan satu kajian yang dilakukan oleh Dr. Basim Khafaji ke atas Laporan Institut RAND
2007 yang bertajuk “Building Moderate Muslim Networks”. Kajian ini diberi tajuk “Strategi Barat
Untuk Membendung Islam”, diterbitkan pada tahun 2007.

Kajian yang ditulis dalam bahasa Arab ini, mengemukakan satu bacaan analisis terperinci terhadap
Laporan RAND tersebut. Bacaan terperinci itu memberikan tumpuan khas kepada idea-idea, yang
terdapat di dalam laporan tersebut, mengenai strategi Amerika bagi menangani Islam dan aliran-
aliran Islamis, melalui usaha membina kekuatan jaringan yang memusuhi Islam yang dinamakan
sebagai “Jaringan Muslim Moderat”. Idea-idea itu turut memberi fokus kepada usaha mewujudkan
definisi baru bagi perkataan moderat agar bersesuaian dengan kepentingan strategik Amerika.

Kajian ini mengandungi empat bahagian. Bahagian pertama ialah mukadimah, yang
memperkenalkan landasan pemikiran Institut RAND, laporan-laporan lalu yang dikeluarkannya
mengenai dunia Islam, nilai laporan-laporan itu dari sudut perhatian yang diberikan oleh pembuat
dasar (policy makers) Barat terhadap cadangan-cadangannya, serta perubahan beberapa cadangan
itu menjadi polisi amali. Selain itu, bahagian ini juga mengandungi pengenalan umum mengenai
laporan Institut RAND yang baru serta idea-idea penting yang terdapat di dalamnya.

Bahagian kedua kajian yang mengandungi 59 muka surat ini pula membentangkan bab-bab yang
terdapat dalam Laporan RAND, idea-idea yang terdapat dalam setiap bab, huraian bagi setiap bab
serta kaitannya dengan dunia Islam. Selain itu, bahagian ini turut mengemukakan beberapa petikan
daripada laporan tersebut, yang dikira boleh membantu pembaca dan pengkaji untuk mengenali
gaya bahasa yang digunakan oleh laporan itu serta idea-ideanya.

Bahagian yang ketiga pula mengandungi pemerhatian terhadap ciri-ciri utama strategi Amerika yang
dicadangkan oleh institut RAND untuk membendung Islam. Penulis berusaha sedaya upaya untuk
menggariskan ciri-ciri itu selengkap yang mungkin berdasarkan metode kajian ilmiah, sambil
berharap kajian ini akan menjadi pendorong kepada kajian selanjutnya dalam bidang ini, yang dapat
membantu memperbetulkan perspektif dan langkah-langkah amali yang akan diambil oleh para
pemikir, pengkaji dan pembuat dasar di dunia Arab dan Islam.

Bahagian keempat pula mengemukakan beberapa resolusi dan cadangan yang boleh menyumbang
ke arah merangka satu perancangan balas bagi agenda Islam, untuk meminimakan kesan-kesan
negatif yang mungkin timbul hasil dokongan kerajaan negara-negara Barat terhadap cadangan-
cadangan laporan RAND. Resolusi-resolusi kajian (Dr Basim) ini juga mengandungi beberapa
cadangan tindakan praktikal berkaitan beberapa mekanisme yang perlu diambil bagi menangani
laporan-laporan sebegini sebelum cadangan-cadangannya bertukar menjadi polisi Amerika untuk
membendung kebangkitan umat Islam.

STRATEGI BARAT UNTUK MEMBENDUNG ISLAM – BAHAGIAN 2

Dalam bahagian kedua rencana ini, saya akan membawakan pembaca ke bahagian ketiga buku
kajian tersebut. Dalam bahagian ketiga itu, Dr Basim Khafaji menulis tentang pemerhatian beliau
terhadap ciri-ciri utama strategi Amerika yang dicadangkan oleh institut RAND untuk membendung
Islam. Saya bawakan pemerhatian Dr Basim itu dalam bentuk terjemahan bebas, yang tidak terikat
dengan pendekatan terjemahan perkataan demi perkataan yang selalunya menyukarkan fokus pada
isi sebenar. Selain itu saya turut menambah dengan beberapa ulasan lanjut yang saya lihat perlu
untuk memperkukuhkan noktah yang dibawa oleh beliau, terutamanya yang berkaitan dengan realiti
di Malaysia.

Bahagian kedua daripada kandungan buku itu saya akan bawakan di lain kesempatan, insyaAllah.

Berdasarkan bacaan ke atas laporan yang bertajuk “Building Moderate Muslim Networks” itu,
strategi Barat untuk menguasai dunia Islam dapat diringkaskan dalam beberapa noktah berikut:

1. Pertembungan sebenar antara Barat dan Islam ialah pertembungan pemikiran atau ideologi.
Sesuatu konflik antarabangsa itu mungkin bermula dalam bentuk pertembungan ketenteraan atau
kerana faktor-faktor ekonomi dan kepentingan lain, tetapi sejarah membuktikan bahawa konflik
sebenar ialah pertembungan pemikiran mengenai kaedah terbaik mentadbir dunia di masa hadapan,
seperti yang pernah berlaku dalam Perang Dingin dan juga dalam sejarah pertembungan manusia di
atas muka bumi ini.

2. Pertembungan tidak akan selesai jika hanya sekadar memerangi keganasan. Laporan itu
menyebut beberapa kali bahawa teroris bukanlah masalah sebenar yang dihadapi oleh Barat dari
dunia Islam. Masalah sebenar terletak pada dua perkara; Islam itu sendiri dan kumpulan Islamis
secara keseluruhannya yang membawa aspirasi Islam. Kedua-duanya merupakan musuh sebenar,
yang perlu dikalahkan dari sudut pemikiran terlebih dahulu, sebelum sudut keselamatan dan
ketenteraan.

3. Amerika perlu mengetuai serangan pemikiran ini. Walaupun Amerika sudah mempelopori
serangan ketenteraan ke atas kumpulan Islamis bersenjata, laporan itu menggesa agar Amerika turut
mengetuai serangan pemikiran ke atas dunia Islam seperti yang berlaku ketika Perang Dingin.

4. Pertembungan sebenar bukan dengan aliran bersenjata atau ekstrim, sebaliknya dengan
kumpulan Islamis. Maksudnya ialah pertembungan akan datang bukan lagi antara dua kutub
ekstrimis, istilah yang sering diungkapkan oleh kalangan pemerhati Barat dan Timur, sebaliknya ia
akan menjadi pertembungan antara dua golongan pertengahan daripada kedua-dua kutub.
Golongan pertengahan daripada kutub sekular dapat diamati pada kumpulan moderate
muslimmenurut kriteria Amerika yang mensejajarkan Islam dengan Deklarasi Hak-hak Asasi Manusia
Sejagat 1948, manakala golongan pertengahan kutub Islamis ialah kumpulan yang mendokong
fahaman Islam tulen berasaskan metode ilmiah Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam bab akidah,
pemikiran, penafsiran al-Quran, kedudukan Sunnah, istinbathukum fekah dan sebagainya. Keadaan
berterusan sehingga beralih secara beransur-ansur, atas faktor media sebagai pemain peranan
utama, menjadi konflik menyeluruh antara kem Barat dan kem Islam.

5. Medan pertembungan adalah di dalam negara-negara Islam sendiri. Walaupun pertembungan


sebenar ialah antara Barat dan Islam, laporan itu menyarankan agar medan pertempuran hendaklah
diadakan di dalam negara Islam sendiri, berlaku antara sesama orang Islam.

6. Selepas peristiwa 11 September, kecenderungan yang ada ialah untuk merubah orang-orang
Islam. Bagaimanapun kecenderungan ini berubah kepada kecenderungan untuk merubah Islam itu
sendiri, memandangkan Islam adalah agama yang mengandungi prinsip-prinsip pemikiran dan
akidah yang menggerakkan penentangan terhadap hegemoni Barat, tidak kira apa jua bentuk
penentangan tersebut. Bukan itu sahaja, bahkan jika Islam itu sukar untuk diubah, maka laporan
kajian ini turut mencadangkan agar Islam perlu dibendung dan dikembalikan ke masjid, serta mesti
dihalang daripada mempengaruhi individu kecuali dalam bab ibadah yang bersifat peribadi semata-
mata. Cadangan ini turut disokong oleh beberapa laporan kajian lain. Kempen ke arah perubahan
sebegini kelihatan semakin lantang sejak akhir-akhir ini.

7. Memilih istilah moderate sebagai senjata dalam pertembungan ini. Istilah moderate menurut
kriteria Barat ini digunakan secara strategik untuk merubah Islam dan muslimin sekaligus.
Maksudnya ialah apa-apa sahaja penentangan terhadap moderate (menurut istilah Amerika ini) akan
dianggap sebagai ekstrim dan melampau, yang mesti dihukum menurut undang-undang
antarabangsa. Istilah yang asalnya bagus ini dirampas dan dijadikan senjata yang dihunuskan di
depan Islam dan muslimin, serta mereka yang tidak memusuhi Islam. Mereka akan dipaksa memilih
sama ada bersama moderate muslim (menurut istilah Amerika) atau bersama pelampau dan
ekstrimis iaitu kumpulan Islamis yang mempertahankan ketulenan Islam yang telah digambarkan
oleh media sebagai pelampau dan ekstrimis.

8. Menafsirkan semula Islam agar selari dengan kepentingan Barat. Laporan itu mencadangkan
secara tidak langsung agar Islam ditafsirkan semula agar selari dengan perubahan dunia seperti yang
berlaku pada agama Kristian dan Yahudi.

9. Menggunakan Islam untuk berdepan dengan Islamis. Laporan itu turut mencadangkan agar nas-
nas syarak digunakan untuk berdepan dengan golongan Islamis melalui usaha berterusan menggali
daripada tulisan-tulisan warisan Islam yang boleh digunakan untuk memberi justifikasi kepada
perubahan pendirian Islam yang didambakan atas nama tajdid atau reformasi agama. Amerika dan
sekutunya akan membantu menyebarkan maklumat dan idea itu supaya pegangan muslimin
terhadap prinsip-prinsip agama mereka dapat digoyahkan. Untuk tujuan itu, laporan itu juga
mencadangkan agar usaha tersebut dijalankan melalui kumpulan-kumpulan Islam itu sendiri. Secara
khusus laporan itu mencadangkan agar diadakan kerjasama dengan beberapa aliran Sufi sesat yang
menyalahi ajaran Ahlu Sunnah wal Jamaah untuk memerangi aliran Islamis yang lain terutamanya
aliran Salafi yang digelarkan sebagai Wahhabi dan ekstrimis. Di Malaysia, selain aliran Syiah, perkara
ini boleh kita amati pada organisasi bukan kerajaan yang menggelarkan diri mereka sebagai reformis
agama dan giat mencanangkan nama-nama tokoh seperti Muhammad Asad, Muhammad Abduh,
Rashid Redha, Syed Qutb dan lain-lain untuk menjustifikasikan reformasi agama ala Islam Liberal
mereka secara tidak amanah.

10. Menghidupkan dan memperkuatkan kelompok sekular untuk berdepan dengan Islamis. Laporan
ini mempertegaskan kepentingan dan keperluan untuk memperkuatkan aliran sekuar bebas untuk
berdepan dengan Islamis. Fokus mereka ialah golongan sekular bebas sahaja, dalam erti kata lain
mengetepikan penguasa sistem sekular yang tidak memusuhi Islam secara terus terang, yang lebih
cenderung kepada gaya autokratik. Ini kerana pada pandangan Barat, penguasa-penguasa negara
yang berasaskan sistem sekular ini berkemungkinan besar pada suatu hari nanti akan
mempertahankan Islam secara jelas ketika berdepan dengan serangan Barat dan puak sekular bebas,
dan kemungkinan pada ketika itu mereka akan bekerjasama dengan aliran Islamis untuk berdepan
dengan kerjasama Barat dan aliran sekular bebas.

11. Mengurangkan upaya negara untuk menghalang agenda Amerika. Laporan itu mengesyorkan
agar dilakukan pelbagai langkah untuk mengurangkan penguasaan negara-negara Islam terbabit
terhadap situasi dalaman negara, agar memudahkan pergerakan dan kemasukan agensi-agensi
Amerika ke dalam masyarakat Islam. Laporan itu turut memuji langkah-langkah kerajaan Amerika
sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam menggubal beberapa akta yang merestui penglibatan
langsung agensi Amerika dalam negara Islam untuk membantu gerakan masyarakat madani (Civil
Society Organisation) yang berkiblatkan Barat.

12. Menuduh semua musuh Barat sebagai Salafi, Wahhabi dan ekstrimis. Semua orang yang
menentang agenda penjajahan pemikiran Amerika akan dilabel sebagai Salafi, Wahhabi dan
ekstrimis, memandangkan istilah-istilah itu kurang dikenali oleh kebanyakan orang, bahkan ada yang
dibenci oleh sebahagian orang Islam, manakala perkataan ekstrimis lebih memudahkan proses
peminggiran. Pada masa akan datang, Amerika mungkin akan menggunakan sejarah perselisihan
antara Salafi dan Sufi, untuk melancarkan serangan ke atas Salafi melalui Sufi yang menyebelahi
Barat. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi sendiri telah dilabelkan sebagai Salafi Ekstrimis. Laporan ini
menyifatkan Salafi sebagai aliran ekstrimis dan keras, yang perlu ditentang secara terbuka dan
menarik perhatian ramai. Strategi ini selari dengan pendekatan untuk menonjolkan
golongan moderate muslim (menurut kriteria Amerika) sebagai golongan yang paling diterima ramai.
ISMA telah dilabel sebagai ekstrimis oleh salah seorang audien dalam Wacana Islamic State, Which
Version, Whose Responsibility yang dianjurkan dengan kerjasama moderate muslim (menurut
kriteria Amerika). Ini membayangkan pelan strategik ini sedang berlangsung dengan penuh sengaja
dan sedar, untuk meminggirkan jamaah yang mempertahankan ketulenan Islam dengan label yang
menakutkan orang ramai.
13. Merungkai ikatan hubungan negara-negara Islam dengan pusat pengaruh Islam iaitu dunia Arab.
Laporan itu menekankan peri penting untuk mendekati negara-negara Islam di luar rantau Arab
serta menyekat pengaruh Islamis dalam negara tersebut yang jika dibiarkan akan semakin maju
menuju ke pusat pengaruh Islam iaitu dunia Arab. Antara pengaruh yang dimaksudkan ialah pelajar-
pelajar Universiti al-Azhar yang membawa balik ke negara asal mereka pemikiran Islamis
fundamentalis. Usaha ini merupakan langkah strategik untuk memecahkan entiti dunia Islam melalui
proses menyuburkan permusuhan antara negara Islam dan negara Arab.

14. Menukar haluan arus penyebaran pemikiran. Haluan penyebaran pemikiran Islam sebelum ini
ialah dari negara-negara timur tengah ke negara-negara Islam di rantau Asia dan Afrika. Usaha akan
datang ialah membantu dan memperkukuhkan institusi pemikiran Islam liberal di negara-negara
Islam, diterjemahkan tulisan dan pemikiran tersebut untuk disebarkan ke negara-negara timur
tengah. Strategi ini serba sedikit menunjukkan kelemahan para pengkaji dalam memahami
kedudukan bangsa Arab dan bahasa Arab dalam penyebaran pemikiran Islam sejak berkurun yang
lampau.

15. Membantutkan kebangkitan beberapa aliran Islamis melalui dialog. Laporan itu mencadangkan
agar digunakan dialog sebagai wasilah untuk merubah pendirian beberapa aliran Islamis, memaksa
mereka untuk membincangkan perkara-perkara yang selama ini tidak boleh dibincangkan dan
diperselisihkan dalam Islam, seperti kebebasan untuk memilih agama di kalangan orang Islam,
sehingga mereka buntu dalam mencari jawapan kepada permasalahan pensejajaran antara Islam
dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang akhirnya membawa kepada sikap mengalah.

Cadangan-cadangan strategi di atas jelas membawa bahaya yang nyata, bukan sahaja ke atas
gerakan Islam, bahkan mengancam kesatuan umat dan negara, selain menggugat kestabilan dan
kuasa kerajaan negara-negara terbabit dalam mengawal situasi dalaman negara masing-masing.

Oleh itu, umat Islam di negara ini khususnya perlu mempunyai pandangan yang menyeluruh
terhadap isu-isu yang berlaku dalam negara kita sejak kebelakangan ini. Bagi golongan Islamis,
berdegil untuk kekal bertekak dan bertumbuk dalam kotak sempit kuasa politik negara sambil
membiarkan arus perubahan dijuarai golongan moderate liberal muslim dengan bantuan terang-
terangan mencurah-curah daripada agensi Amerika adalah sikap ultra benak yang bukan setakat
merugikan penyokong, bahkan Islam dan umatnya di Tanah Melayu tercinta ini.

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman

Anda mungkin juga menyukai