Anda di halaman 1dari 13

PROSA MELAYU TRADISIONAL

TAJUK TUGASAN

ULASAN CERITA RAKYAT HIKAYAT PELANDUK JENAKA

NAMA PELAJAR

ALANIS BINTI WILLIE

D20171077570

PROGRAM

IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN KESUSASTERAAN MELAYU


SEMESTER 1

PENSYARAH

PROF. MADYA DR. NORAZIMAH BT ZAKARIA

TARIKH SERAHAN

24 NOVEMBER 2017
PENGENALAN

Cerita rakyat dapat diertikan sebagai ekspresi budaya suatu masyarakat melalui bahasa
pertuturan yang berhubung secara langsung dengan berbagai aspek budaya dan susunan nilai
sosial masyarakat tersebut. Dahulu, cerita rakyat diwariskan secara turun-menurun dari satu
generasi ke generasi berikutnya secara lisan (Suripan Sadi Hutomo, 1991: 4). Dalam
masyarakat Melayu, terdapat pelbagi jenis cerita rakyat seperti cerita binatang, cerita jenaka,
cerita penglipur lara dan cerita pengalaman. Cerita binatang biasanya menceritakan sebuah
masyarakat binatang yang tinggal di dalam hutan. Golongan binatang ini boleh bertutur seperti
watak manusia. Terdapat watak binatang yang unggul dan menjadi hero di kalangan mereka
sementara binatang yang lain adalah watak kecil yang sentiasa mengharapkan bantuan. Pada
masa yang sama, terdapat pula ancaman daripada golongan yang dianggap sangat kuat dan
berkuasa. Golongan yang dianggap kuat dan mengancam keselamatan ini akan ditewaskan oleh
binatang kecil yang lebih cerdik akalnya.

Hikayat Pelanduk Jenaka (Syeikh Alam Berlawan dengan Raksasa) merupakan antara
cerita binatang yang termuat karya Permata Sastera Melayu pada tahun. Dalam cerita tersebut,
uan Syeikh Alam di Rimba telah bertitah bahawa ada suatu bahaya akan menimpa masyarakat
binatang yang tinggal di hutan. Kemudian msayarakat binatang berkenaan telah pergi ke sungai
Tinam untuk menangkap ikan yang banyak di sana. Namun di sungai berkenaan terdapat
seorang raksasa yang menjadi penunggu tempat itu. Sang Beruang, Sang Seladang, Sang
Harimau dan Sang Badak tidak berjaya menjaga ikan hasil tangkapan mereka lantaran ancaman
raksasa tersebut. Malah Badak yang sudah tewas itu menipu rakan-rakannya dengan
mengatakan dirinya cedera kerana berlawan dengan raksasa. Sebenarnya luka di badan Badak
itu kerana tercangkuk onak dan duri ketika berlari menyelamatkan diri daripada Raksasa.

Kemudian masyarakat binatang pun meminta pertolongan daripada Pelanduk Jenaka


(Syeikh Alam di Rimba). Pelanduk Jenaka meminta tempoh tujuh hari baru beliau hendak
berangkat untuk melawan Raksasa. Setelah genap tujuh hari Pelanduk Jenaka pun pergi ke
tampat Raksasa. Pelanduk Jenaka mengajak masyarakat binatang menangkap ikan sebanyak
yang boleh. Pelanduk jenaka pula membuat simpai yang diperbuat daripada rotan. Pelanduk
telah mengarahkan rakan binatang yang lain menyembunyikan diri sementara Pelanduk pula
menunggu ikan yang sedang dimasak. Apabila Raksasa datang, Pelanduk pun berbuat helah
dan menipu Raksasa menggunakan simpai yang kononnya boleh mengubat masalah sakit-sakit
di badan. Akhirnya Raksasa terperangkap dengan simpai (diperbuat daripada rotan) yang
dipasang dibadannya. Badan Raksasa terguling ke tanah. Pelanduk pun mengambil kesempatan
mencakar mata Raksasa tersebut sehingga buta. Raksasa telah menjerit kesakitan dan jeritan
berkenaan telah menyebabkan seluruh masyarakat rimba terkejut. Setelah Raksasa dapat
dikalahkan, maka amanlah seluruh penduduk rimba dan dapat bermain-main di sungai Tinam.

ULASAN

1) TEMA

Seperti yang dijelaskan sebentar tadi, cerita rakyat dapat diertikan sebagai ekspresi
budaya suatu masyarakat. Ekspresi ini mungkin tentang kecintaan, kasih sayang, peperangan,
kebijaksaan, ataupun pengorbanan. Sesebuah cerita rakyat yang baik tidak hanya setakat
memaparkan ekspresi tersebut begitu sahaja, tetapi memberi tafsiran atau pandangan yang
lebih jauh. Hasil daripada tafsiran dan pandangan itulah yang sesuai disebutkan sebagai tema.
Dalam Hikayat Pelanduk Jenaka, perkara yang menjadi bahan cerita ialah kebijaksanaan, iaitu
kebijaksanaan Sang Pelanduk menyelesaikan masalah penduduk rimba. Namun begitu, bahan
ini dilihat oleh pengarang dari satu pandangan dan tafsiran tertentu untuk dijadikan tema cerita
tersebut. Tema yang terungkap hasil daripada pandangan dan tafsirannya ialah kebijaksanaan
Sang Pelanduk menyelesaikan masalah penduduk di rimba yang hilang sumber makanan
kerana dimakan oleh raksasa yang tamak dengan menghapuskan raksasa itu. Justeru, tema ini
tidak dinyatakan secara langsung oleh pengarang, tetapi diperoleh setelah kita meneliti dengan
baik perkara-perkara yang ditimbulkan dalam cerita ini seperti tindakan dan sifat watak,
peristiwa-peristiwa yang dilaluinya, dan keadaan latar atau persekitaran yang melingkungi
hidup watak. Jadi, pengarang di sini membiarkan ceritanya itu mendedahkan tema, bukan
dirinya sendiri. Tanda isyarat yang boleh memandu ke arah mempercepatkan pemahaman tema
tersebut ialah melalui aksi atau tindak-tanduk watak dalam cerita tersebut. Perkara ini dapat
dilihat dalam petikan di bawah.

Tuan Syeikh Alam di-Rimba merenung muka raksasa itu, kemudian dicakarnya mata
raksasa itu dengan taringnya hingga pecahlah mata itu. (hlm 86)

2) PLOT

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, penghasilan tema tidak berlaku secara
bersendirian, tetapi memerlukan unsur-unsur lain sebagai alat penggarapannya. Unsur-unsur
lain ini terdiri daripada plot, watak, latar, dan gaya bahasa. Plot ialah susunan atau rentetan
peristiwa dalam cerita. Peristiwa-peristiwa tertentu membangunkan cerita disusun untuk
bergerak dan berkembang melalui urutan masa. Peristiwa-peristiwa itu bergerak dari suatu
masa ke suatu masa yang lain. Daripada pengertian kita dapat lihat bahawa plot memerlukan
peristiwa. Peristiwa-peristiwa yang diperlukan untuk membina plot adalah peristiwa-peristiwa
pilihan. Peristiwa-peristiwa yang terpilih itu terdiri daripada peristiwa penting yang dapat
membangunkan tema yang dikehendaki oleh pengarang. Dalam sesebuah cerita rakyat,
terdapat tiga tahap perkembangan dalam struktur plotnya. Tahap-tahap ini dikenali sebagai
permulaan, pertengahan, dan pengakhiran.

i) Permulaan

Bahagian permulaan ini dikenali sebagai bahagian ‘pendedahan’ atau ‘eksposisi’.


Dalam bahagian ini kita diperkenalkan dahulu oleh pengarang kepada beberapa perkara. Pada
awal ceritanya, kita diperkenalkan dengan keadaan dan suasana di rimba yang didiami oleh
pelbagai jenis binatang seperti badak, kerbau, kijang, beruang, harimau, dan pelanduk. Di sini
kita didedahkan juga dengan kewujudan Sungai Tinam sebagai tempat pencarian sumber
makanan segala isi rimba tersebut. Kita turut diperkenalkan dengan watak Tuan Syeikh Alam
di-Rimba iaitu pelanduk yan menjadi ketua di dalam rimba itu. Pelanduk tersebut digambarkan
sebagai ketua yang bertanggungjawab, saling menasihati, dan dihormati oleh isi rimba.

ii) Pertengahan

Bermula di tahap pertengahan, kita berhadapan dengan pelbagai masalah hidup yang
dihadapi oleh watak-watak dalam cerita rakyat ini. Permasalahan -permasalahan yang dihadapi
oleh Sang Badak, Sang Beruang, Sang Harimau, dan Sang Kijang mencetuskan konflik dalam
diri watak sama ada secara fizikal, kekuatan tenaga, dan pelbagai muslihat. Konflik atau
pertentangan yang mellingkari hidup itu sering mendorong watak-watak untuk bertindak.
Konflik yang dialami oleh watak-watak ini tercetus apabila munculkan kehadiran raksasa
tamak di Sungai Tinam yang sering makan ikan-ikan mereka tanpa meninggalkan seekor pun.
Konfik yang berlegar ini menimbulkan banyak masalah dan mencetuskan pelbagai kesan dan
akibat pada warak. Kehadiran raksasa menyebabkan isi rimba saling bercakap besar dengan
mengatakan bahawa masing-masing dapat mengalahkan raksasa tersebut. Sebagai contoh,
Sang Badak bercakap besar dengan mengatakan bahawa badannya luka akibat bertarung
dengan raksasa sedangkan badannya luka kerana terkait onak dan duri ketika melarikan
daripada raksasa tersebut. Peristiwa ini dapat dilihat dalam petikan di bawah.
Apatah lagi Sang Badak pun terkejutlah juga. Sangkanya raksasa itu hendak mengusir
dia. Ia pun lari pula tiada berketahuan hingga banyaklah pokok-pokok kayu yang tumbang
ditempuhnya, dan luka-luka mukanya serta rabit-rabit telinganya oleh onak. (hlm 79)

“Hai saudaraku, mengapa bdan tuan hamba ini luka-luka hamba lihat?”……“Apabila
raksasa itu datang ia berseru katanya, ‘Hai Sang Badak, berilah aku ikanmu itu!’ Kata hamba,
‘Aku tiada ikan yang hendak aku berikan kepada kamu.’ Mendengar demikian ia pun
menerkam hamba dan hamba pun lawanlah dia. Dicakar-dicakarnya hamba dengan kukunya
itu. (hlm 82)

Di sinilah konflik itu menimbulkan banyak kerumitan. Lazimnya konflik dan kerumitan
akan terus menemukan satu titik yang dikenali sebagai puncak atau klimaks. Puncak dalam
cerita Hikayat Pelanduk Jenaka ini dapat kita lihat ketika isi rimba mengadukan masalah
mengenai raksasa tersebut kepada Sang Pelanduk, Tuan Syeikh Alam di-rimba. Sang Pelanduk
yang mendengar aduan ini telah berikhtiar untuk menghapuskan raksasa tersebut. Dengan
menggunakan kebijaksanaannya, ia telah membahagikan tugas kepada semua isi rimba
sebelum melaksanakan misnya untuk menghapuskan raksasa itu. Peristiwa ini dapat dilihat
dalam petikan di bawah.

Tuan Syeikh Alam di-Rimba pun bertitah katanya, “Hai tuan-tuan sekalian, ambilkan
aku rotan hendakku perbuat simpai.”….“Hai saudaraku sekalian, marilah kita pergi
mengambil ikan di Sungai Tinam itu.” Maka segala isi rimba pun pergilah mengambil ikan.
(hlm 85)

iii) Pengakhiran

Dari tahap tersebut, plot Hikayat Pelanduk Jenaka bergerak menuju ke pengakhiran
atau penyelesaian cerita. Dalam bahagian ini semua konflik dan masalah berakhir. Tuan Syeikh
Alam di-rimba Berjaya menghapuskan raksasa yang tamak dengan menggunakan helahnya. Ia
telah menipu raksasa dengan mengatakan bahawa simpai yang dibawanya itu mampu
mengubati tubuh raksasa yang sakit. Namun begitu, setelah raksasa memasukkan siku dan
kutut ke dalam simpai, raksasa tidak dapat bergerak. Kemudian, ia mencakar muka raksasa
sehingga pecah. Ia turut memanggil isi rimba dan menyeksa raksasa beramai-ramai sehingga
mati. Peristiwa ini dapat dilihat dalam petikan di bawah.

Tuan Syeikh Alam di-Rimba merenung muka raksasa itu, kemudian dicakarnya mata
raksasa itu dengan taringnya hingga pecahlah mata itu. (hlm 86)
Tahanlah olehmu, hai raksasa haram zadah. Kemudian ditendang dan diteerajangnya
akan raksasa itu bersama-sama dengan binatang-binatang lain. (hlm 87)

3) WATAK

Peristiwa-peristiwa yang membentuk plot sesebuah cerita rakyat adalah diwujudkan


oleh pelaku-pelaku cerita yang dikenali sebaga watak. Kita boleh mengenali watak melalui
nama, sifat dan budi pekertinya, hubungannya dengan orang lain, kepercayaan, fikiran, dan
sikapnya. Pemahaman tentang peranan watak dapat membantu kita mengenali sifat-sifatnya
yang tertentu dan setrusnya melihat dengan jelas tindakan-tindakan yang diambilnya dalam
penceritaan sesebuah cerita rakyat. Dalam Hikayat Pelanduk Jenaka, terdapat beberapa watak
utama yang memainkan peranan bagi mengerakkan cerita. Contohnya, Tuan Syeikh Alam di-
Rimba, dan raksasa. Sang Badak, Sang Beruang, Sang Kijang, dan Sang Harimau pula
merupakan watak tambahan dalam cerita tersebut.

i) Tuan Syeikh Alam di-Rimba

Watak utama iaitu watak Tuan Syeikh Alam di-Rimba merupakan pelanduk yang
menjadi ketua kepada segala isi rimba. Tuan Syeikh Alam di-Rimba terkenal dengan
kebijaksanaannya dalam menyelesaikan pelbagai masalah. Sekiranya berlaku masalah yang
tidak mampu diselesaikan, penduduk rimba akan merujuk masalah tersebut kepada Tuan
Syeikh Alam di-Rimba. Tuan Syeikh akan memikirkan idea yang bernas bagi menyelesaikan
masalah tersebut dengan jayanya. Kebijaksanaanya dapat dibuktikan apabila ia berjaya
menghapuskan raksasa yang tamak dengan menipu raksasa tersebut bahawa simpainya dapat
mengubati badan raksasa yang sakit. Setelah raksasa menggunakan simpai tersebut ia segara
mencakar mata raksasa dan akhirnya raksasa itu terbunuh. Kebijaksanaan dan keprihatinannya
kepada isi rimba menyebabkan ia sentiasa dihormati dan disenangi oleh mereka.

ii) Raksasa

Watak raksasa pula disifatkan sebagai seorang yang tamak. Buktinya, raksasa
mengambil ikan-ikan isi rimba tanpa meningglkan seekor pun untuk mereka. Raksasa juga
seorang yang mudah ditipu. Dia terperangkap dengan helah Sang Pelanduk sehingga akhirnya
terbunuh.
iii) Sang Badak

Bagi watak tambahan pula ialah Sang Badak. Sang Badak merupakan seekor badak
yang suka memandang rendah terhadap orang lain dan bercakap besar. Sifatnya ini dapat
dibuktikan apabila ia memandang rendah binatang-binatang lain yang gagal menjaga ikan
daripada dimakan oleh raksasa. Ia juga bercakap besar dengan mengatakan bahawa badannya
luka kerana berlawan dengan raksasa sedangkan badannya terkait onak dan duri ketika
melarikan diri daripada raksasa.

4) GAYA BAHASA

Untuk menceritakan sesuatu peristiwa dan gambaran tentang watak dan perwatakan,
pengarang mmenggunakan bahasa sebagai alat perantaraan. Melalui bahasa segala-galanya
dapat diceritakan oleh pengarang. Dalam penggunaan bahasa itu, pengarang mestilah memilih
gaya bahasa yang tertentu supaya cerita yang hendak disampaikan itu mudah diikuti dan
menarik perhatian pembaca. Begitu juga dengan cerita rakyat Hikayat Pelanduk Jenaka yang
menggunakan gaya bahasa tertentu dalam menceritakan ceritanya. Gaya bahasa perceritaan itu
dapat dilihat dalam aspek di bawah.

i) Pemilihan kata atau diksi

Pemilihan kata-kata dalam cerita Hikayat Pelanduk Jenaka amat sesuai dengan temanya.
Seperti yang kita sedia maklum, cerita rakyat ini menekankan tema kebijaksanaan Sang
Pelanduk menyelesaikan masalah penduduk di rimba. Oleh itu, pengarang memilih kata-kata
yang ada hubungannya dengan kebijaksanaan bagi menunjukkan sifat tersebut. Petikan di
bawah jelas memberikan gambaran tersebut.

“Aku ada mendengar khabar kononnya ada seekor pelanduk jenaka yang terlalu cerdik
dan kuat. Ia beroleh kekuatan itu daripada baginda Ali.” (hlm 82)

Setelah didengar oleh tuan Syeikh Alam di-Rimba akan perkataan badak itu maka
baginda pun tersenyum seraya katanya, “Hai tuan-tuan sekalian, janganlah berbantah-bantah
sama sendiri akan hal raksasa itu: atas hambalah menangkap dia.” (hlm 84)

Perkataan-perkataan seperti ‘cerdik’ dan ‘menangkap’ menunjukkan bahawa Tuan Syeikh


Alam di-Rimba seorang yang bijak dalam menyelesaikan masalah penduduk kampung kerana
perkataan itu menunjukkan bahawa ia mempunyai kemampuan untuk menangkap raksasa yang
jahat dan tamak itu walaupun orang lain tidak mampu melakukannya.
ii) Penyusunan ayat

Kata-kata yang dipilih itu disusun pula dalam dalam satu bentuk ayat yang tertentu.
Dalam cerita rakyat Hikayat Pelanduk Jenaka ini, terdapat dua jenis susunan ayat yang kerap
digunakan oleh pengarang. Pertama, susunan ayat yang pendek. Kedua, susunan ayat yang
panjang. Kedua-dua susunan ayat itu tidaklah terlalu kompleks kerana ayat dalam cerita rakyat
ini dapat diikuti serta difahami oleh pembaca dengan mudah.

Ayat-ayat pendek itu tidaklah digunakan pada semua tempat dan keadaan, Ayat tersebut
digunakan pada tempat dan keadaan tertentu sahaja. Lazimnya, ayat-ayat pendek dalam cerita
rakyat ini digunakan dalam dialog watak-watak. Tambahn pula, ayat-ayat ini tidak
menggambarkan pemikiran yang mendalam. Sebaliknya, ia hanya sekadar pertuturan biasa
dalam kalangan isi rimba. Berikut merupakan contoh ayat pendek yang digunakan dalam dialog
cerita ini.

‘Hai Sang Badak, berilah aku ikanmu itu!’

‘Aku tiada ikan yang hendak kuberikan kepada kamu.’ (hlm 82)

Dalam dialog di atas terdapat juga penggunaan kata-kata singkat atau ringkas seperti
‘mu’ dan ‘ku’. Penggunaan ini sesuai dan sering digunakan dalam perbualan seharian. Ayat
pendek juga banyak digunakan dalam melukiskan gerak laku watak. Susunan ayat-ayat yang
pendek dan ringkas itu menjadikan tempo dalam cerita cepat dan bertenaga. Susunan ini dapat
dilihat dalam petikan di bawah.

Maka raksasa itu pun diamlah. Tuan Syeikh Alam di-rimba merenung muka raksasa
itu. Kemudian mencakar hingga pecahlah mata itu. Kemudian ia bertempiklah. Maka sekalian
datanglah berkejar-kejar. (hlm 86)

Ayat-ayat yang panjang pula berfungsi untuk menjelaskan sesuatu gambaran, terutama
tentang latar alam, keadaan watak dan peristiwa. Ayat ini dapat dilihat dalam petikan di bawah.

Kemudian Sang Beruang pun larilah melompat lintang pukang dan kepalanya
terhantar ke kiri dan ke kanan dan telinganya rabit-rabit, tidak terasa olehnya, kerana pada
sangkaannya ia telah diterkam oleh raksasa itu. Sambil berlari itu ia pun menoleh ke belakang
dilihatnya tidaklah ia diusir lagi oleh raksasa itu. (hlm 75)

Dengan menggunakan ayat-ayat panjang bagi membuat gambaran yang sedemikian ianya
dapat memberikan peluang dan dan kesempatan kepada pembaca untuk membangunkan daya
imaginasi mereka tentang sesuatu yang digambarkan itu. Pengulangan perkataan ‘dan’
memberikan penegasan terhadap sesuatu yang ingin dibicarakan dengan tegas kerana ia
merupakan perkara atau peristiwa yang penting.

iii) Perbandingan

Dalam cerita rakyat Hikayat Pelanduk Jenaka terdapat banyak perbandingan bagi
menjelaskan suasana, tempat, sikap, perasaan, dan tanggapan watak terhadap sesuatu. Terdapat
pelbagai jenis perbandingan yang telah digunakan dalam cerita rakyat tersebut.

Antara perbandingan yang digunakan ialah personifikasi. Personifikasi mengambarkan


sesuatu benda dengan memberikannya sifat manusia. Oleh itu, benda-benda yang tidak hidup
yang diberikan sifat tersebut akan kelihatan bergerak ataupun berkelakuan seperti manusia.
Hasilnya, gmabaran tersebut menjadi hidup. Berikut merupakan contoh personifikasi dalam
cerita Hikayat Pelanduk Jenaka.

…ia berteriak-teriak sperti halilintar membelah bumi bunyinya. (hlm 86)

Pengunaan perkataan ‘membelah’ yang merupakan perbuatan manusia dan diletakkan kepada
benda yang bukan hidup iaitu ‘halilintar’ menunjukkan penggunaan personifikasi bagi
menimbulkan kesan dan menghidupkan suasana.

Selain itu, perbandingan yang digunakan dalam cerita Hikayat Pelanduk Jenaka ialah
simile. Simile ialah perbandingan betul yang menggunakan kata ‘seperti’, ‘umpama’ ‘bagai’.
‘macam’ ataupun ‘laksana’. Dalam cerita hikayat ini pengarang menggunakan simile dengan
cermat dan tepat. Berikut merupakan contoh penggunaan simile dalam cerita rakyat.

…baik dan pulih semula tubuh tuan hamba seperti dahulu… (hlm 86)

…berteriak-teriak seperti halilintar membelah bumi bunyinya. (hlm 86)

Di samping itu, antaa perbandingan yang digunakan ialah hiperbola. Hiperbola ialah
pengunaan ayat atau perkataan yang ditekankan secara berlebih-lebihan. Hiperbola berfungsi
untuk menekankan sesuatu pandangan, idea atau peristiwa untuk memukau pembaca. Berikut
merupakan contoh penggunaan hiperbola dalam petikan.

Serta sampai dilihat mereka raksasa itu sedang terkangkang, matanya pecah sambil ia
berteriak-teriak seperti halilintar membelah bumi bunyinya. (hlm 86)
Penggunaan ayat ‘halintar membelah bumi bunyinya’ menujukkan penekanan yang dibut
secara berlebih-lebihan untuk menghidupkan suasana dalam cerita rakyat tersebut.

5) PENGAJARAN

Melalui peristiwa-peristiwa yang terdapat dalam cerita rakyat ini terdapat pelbagai
penngajaran yang pembaca boleh jadikan sebagai panduan dan teladan dalam kehidupan
mereka. Terdapat pelbagai pengajaran sama ada dalam aspek negatif dan postif yang terdapat
dalam cerita Hikayat Pelanduk Jenaka.

Antara pengajaran yang diketengahkan ialah kita janganlah bercakap besar. Sebagai contoh
Sang Badak bercakap besar dengan mengatakan bahawa badannya luka kerana berlawan
dengan raksasa sedangkan luka tersebut adalah akibat terkait onak dan duri ketika ia melarikan
diri daripada raksasa. Perisriwa ini dapat dilihat dalam petikan di bawah.

…tadi aku berlawan dengan raksasa dengan raksasa yang terlalu sangat besar dan
panjang orangnya. Kemudian datang pula kawannya menolong akan dia. Oleh sebab hamba
sangat gagah dan perkasa serta berani, dua orang itu hamba hempaskan ke kanan dan ke kiri
rebah terpelanting. (hlm 80)

Sepatutnya, Sang Badak tidak boelh bercakap besar kerana akhirnya ia sendiri yang malu
apabila penipuannya diketahui oleh isi rimba kerana mereka ternampak pokok-pokok yang
tumbang akibat dilanggarnya ketika cuba melarikan diri daripada raksasa.

Selain itu, pengajaran yang ditonjolkan dalam cerita rakyat ini ialah bekerjasama dalam
menyelesaikan sesuatu tugasan Semua isi rimba bekerjasama menangkap ikan dan mencari
rotan seperti yang diarahkan oleh Tuan Syeikh Alam di-Rimba. Berikut merupakan peristiwa
tersebut.

“Hai tuan-tuan sekalian, ambilkan aku rotan hendakku perbuat simpai.” Maka segala
isi rimba pun pergilah mencari rotan… “Hai saudaraku sekalian marilah kita pergi
mengambil ikan di Sungai Tinam itu” Maka segala isi rimba pun pergilah mengambil ikan.
(hlm 85)

Kerjasama antara semua isi rimba itu justeru menyelamatkan mereka daripada terus diganggu
oleh raksasa tamak yang sering mengambil ikan-ikan mereka di Sungai Tinam tanpa
meninggalkan seekor pun kepada mereka.
Di samping itu, pengajaran yang terdapat dalam cerita rakyat ini ialah kita haruslah
bijak dalam menyelesaikan masalah. Tuan Syeikh Alam di-Rimba mengatakan simpainya
tersebut boleh mengubati tubuh raksasa yang sakit. Setelah raksasa memasukan siku dan
lututnya ke dalam simpai, raksasa tidak dapat bergerak. Kemudian, ia mencakar muka dan
raksasa sehingga pecah. Kemudian, raksasa diseksa oleh isi rimba sehingga mati. Berikut
merupakan petikan bagi peristiwa tersebut.

Setelah sudah, diamasukkan sekali lagi segala simpai itu, sehingga tiadalah dapat
raksasa itu bergerak…. kemudian dicakarnya mata raksasa itu dengan taringnya hingga
pecahlah mata itu. (hlm 86)

Kebijaksanan Tuan Syeikh Alam di-Rimba menyebabkan masalah isi rimba yang diganngu
oleh raksasa yang merampas sumber makanan mereka mampu diselesaikan dengan jayanya.
KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, cerita rakyat Hikayat Pelanduk Jenaka ini sangat menarik,
bermanfaat dan menyentuh hati semua golongan dewasa tidak kira golongan muda mahupun
tua. Tambahan pula, cerita ini juga mengandungi pelbagai unsur yang menarik sama ada dalam
aspek tema, plot, watak, gaya bahasa, dan pengajarannya.

Dalam aspek tema iaitu kebijaksaan dalam menyelesaikan masalah dapat dilihat dengan
jelas melalui peristiwa-peristiwa yang diketengahkan dalam cerita tersebut. Plotnya juga
disusun dengan baik daripada permulaan, petengahan sehinggalah pengakhiran. Susunan ini
memudahkan kefahaman dalam diri pembaca unutk memahami jalan cerita yang dihasilkan.
Tambahn pula, watak ditonjolkan dengan jelas berdasarkan sikap dan tindak-tanduk mereka
dalam setiap peristiwa yang terdapat dalam cerita tersebut. Penggunaan gaya bahasa yang
pelbagai turut memantapkan lagi jalan cerita kerana iannya menimbulkan kesan sekaligus
menghidupkan susasana ceirta rakyat tersebut. Pengajaran turut ditonjolkan dengan baik
melalui babak-babak yang diceritakan sama ada babak yang negatif mahupun positif.

Itulah antara unsur-unsur penting yang patut diberikan perhatian sewaktu menghayati
dan mengkaji cerita rakyat Hikayat Pelanduk Jenaka. Justeru, unsur-unsur tersebut dapat
menambahkan pengetahuan, pengalaman serta mempertajamkan permerhatian para pembaca.
Melalui pemerhatian ini pembaca boleh mengambilnya sebagai iktibar atau panduan dalam
menjalani kehidupan yang lebih baik.
RUJUKAN

1) Holger Warnk. (2012). Kisah Dongeng dan Cerita Rakyat Malaysia dan Jerman.

ITBM : Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

2) Permata Sastera Melayu. (2012). Hikayat Pelanduk Jenaka (Syeikh Alam Berlawan

dengan Raksasa). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

3) Siti Zaleha M.Hashim. (2013). Mengenali Cerita Rakyat. ITBM : Institut Terjemahan

Dan Buku Malaysia.

Anda mungkin juga menyukai