Anda di halaman 1dari 3

MAHASISWA NADI PENGGERAK GAGASAN 1 MALAYSIA

“Kalau kita satukan kekuatan kita, satukan peranan dan hala tuju kita, maka ia akan menjadi satu
kekuatan dalam proses membina sebuah negara maju yang kita cintai.” Kata-kata yang amat
bermakna daripada pemimpin nombor satu negara, Dato’ Seri Mohammad Najib Tun Abdul Razak
yang merupakan nadi pembentuk slogan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Terima kasih peneraju agenda, kombinasi hakim yang arif lagi bijaksana, warga intelektual penerus
wawasan negara dan seterusnya sidang dewan sekalian. Assalamualamualaikum w.b.t, salam
sejahtera, salam sehati sejiwa, salam Mahasiswa Malaya.

Pada tanggal 3 April 2009, bermulalah detik pemerintahan Dato’ Seri Mohammad Najib Tun Abdul
Razak yang telah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan kepimpinan
Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dengan berbekalkan tujuan yang satu, beliau telah memperkenalkan
satu konsep gagasan yang baharu iaitu gagasan 1 Malaysia. Maka, timbulnya gabungan indah frasa-
frasa, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan yang menjadi wadah utama dalam memacu
pentadbiran negara dan perpaduan kaum di Malaysia. Oleh itu, terinspirasinya pidato ini iaitu
MAHASISWA NADI PENGGERAK GAGASAN 1 MALAYSIA.

Sidang saksi warga berintegriti,

Mahasiwa merupakan generasi yang akan menyambung tali kepimpinan negara pada masa akan
datang. Maka benarlah kata-kata Profesor Doktor Yusuf Al-Qaradawi, bahawasanya apabila kamu
mahu melihat wajah sebuah negara pada masa hadapan, maka lihatlah generasi muda hari ini.
Menurut perangkaan, 9.8 juta daripada 24 juta rakyat Malaysia berada dalam julat umur antara 15
hingga 40 tahun, dan 46 peratus daripadanya berada dalam lingkungan usia antara 15 hingga 24
tahun. Dalam sedar ataupun tidak, golongan mahasiswa kini merupakan kelompok terbesar dalam
populasi masyarakat di Malaysia. Ini merupakan sesuatu yang perlu dibanggakan masa kerana kita
mempunyai banyak tenaga, cetusan idea serta penggerak muda yang akan meneruskan agenda
pembangunan negara. Maka atas dasar ini, warga dewan sekalian, Mahasiswa Nadi Penggerak
Gagasan 1 Malaysia dibina atas tiga kebitaraan:

Yang pertama, MAHASISWA AGEN PERPADUAN

Kedua, MAHASISWA BERJATI DIRI UNGGUL

Ketiga, MAHASISWA BERINTELEKTUAL


Hadirin sekalian,

Asas pertama, MAHASISWA AGEN PERPADUAN.

Malaysia ialah sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai kaum termasuklah kaum Melayu, Cina, India
dan 27 lagi etnik di negeri Sabah serta Sarawak. Oleh sebab itu, rakyat Malaysia mempunyai
kepelbagaian budaya dan cara hidup yang berbeza. Menurut Abdul Aziz, kebudayaan adalah
himpunan kekayaaan jasmaniah dan kerohaniah yang dicipta oleh manusia sebagai cara hidup. Tidak
keterlaluan untuk saya katakan bahawa perkauman menjadi batas pemisah antara rakyat pelbagai
kaum. Ini terbukti dengan ketegangan dan konflik antara kaum pada 13 Mei 1969 yang diakhiri dengan
pertumpahan darah. Maka dari itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa faktor hubungan kaum yang
harmonis menjadi anak kunci bagi keseimbangan antara kekukuhan ekonomi dan kestabilan politik.
Maka, menjadi tanggungjawab bagi golongan mahasiswa untuk mengeratkan perpaduan kaum di
Malaysia. Perancangan aktiviti-aktiviti untuk penyertaan pelbagai kaum harus dipergiatkan demi
mewujudkan interaksi yang berkesan antara kaum. Maka, benarlah peribahasa Melayu, tak kenal maka
tak cinta. Dengan ini, semangat muhibbah dan perpaduan dapat disemai dan ini menepati slogan
“bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Hadirin sekalian,

Asas kedua, MAHASISWA BERJATI DIRI UNGGUL.

Apalah ertinya ilmu pengetahuan yang tinggi tanpa akhlak yang terpuji? Kerana akhlak mulia itu
sendiri merupakan pelengkap kepada diri mahasiswa kini. Bermula daripada sekecil-kecil menghargai
teguran yang diberi, sehinggalah perjuangan adat dan warisan menjadi petanda asas jati diri yang
mekar di dalam jiwa. Perlu diingat bait-bait indah yang menyatakan bahawa pemuda harapan bangsa,
pemudi tiang negara boleh dipatahkan begitu sahaja andai mahasiswa kini tidak diperkasa, kerana
penjajahan hari ini bukan lagi berbentuk pedang dan perang, namun ideologi songsang dan wang
ringgit yang dihidangkan mampu menggelapkan mata mahasiswa hari ini. Tidak dinafikan mahasiswa
hari ini tidak setanding para khalifah pada zaman Umar Al-Khattab, namun kita harus berbangga
kerana mahasiswa kita hari ini cuba berusaha memperhebat dan memperkasa diri untuk menjadi
sehebat dan setanding mereka. Justeru, pelbagai kejayaan dapat dilihat melalui peranan mahasiswa.
Selat Inggeris, Kutub Utara, Puncak Everest, Kembara Ke Tanah Suci merentas benua dan negara,
semuanya kita dapat lakukan dengan semangat perwira. Dalam aspek kejayaan dalam pendidikan
pula, kita mula ke hadapan. Saudara Muhammad Salman Samin dengan produk ciptaan terbaik di
peringkat antarabangsa. Saudari Hafizah Noor Isa gah dengan penemuan bukti teori Albert Einstein
berhubung gelombang graviti. Ini cukup untuk kita menghela nafas lega. Inilah mahasiswa kita yang
mampu menjadi penggerak gagasan 1 Malaysia.
Warga dewan sekalian,

Asas yang ketiga, MAHASISWA BERINTELEKTUAL

Tatkala Dato’ Sheikh Muszaphar Shukor menerjah angkasa raya selaku angkasawan pertama negara,
dunia mula sedar dan membuka mata akan kehebatan mahasiswa Malaysia yang bukan hanya
menanam angan-angan dan cita, namun semuanya kita jelmakan menjadi nyata. Kerajaan telah
mengambil langkah dengan meletakkan golongan mahasiswa sebagai golongan sasar utama dari
aspek pembangunan modal insan cukup membuktikan bahawa betapa tingginya kedudukan golongan
ini di mata pemimpin negara. Persoalannya, mampukah mahasiswa hari ini menggalas segala
tanggungjawab yang dititikberatkan? Bersediakah mahasiswa hari ini jika bekalan yang dibawa
hanyalah secebis angan-angan di minda? Dunia hari ini melihatkan persaingan minda, pertembungan
idea dan kejelmaan ilmu adalah bukti yang nyata untuk mencerminkan diri golongan mahasiswa.
Tanyalah satu dunia ini, siapa yang mampu menafikan keperluan ilmu bagi memacu impian negara
maju? Kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh, seorang pemuda yang mampu membuka sebuah kota
ilmu cukup membuktikan bahawa ketinggian ilmu di dada mampu menjulang ketamadunan
masyarakat. Jika mahasiswa hari ini mampu memperhebat dan memperkasa diri mereka, apa yang
kita impi pasti menjadi realiti.

Warga dewan sekalian,

Sebelum menongkah bicara, suka saya mengajak seisi dewan untuk sama-sama menabur bakti,
menghulurkan secebis kekuatan demi merealisasikan gagasan 1 Malaysia. Beringatlah, jangan kita
biarkan pisang berbuah dua kali kerana kita telah pernah diperbodohkan oleh penjajah yang datang
silih berganti. Tanamkan tekad di dalam hati, bulatkan azam penuh bermisi, jadikan Malaysia negara
tersohor di mata dunia.

Sekian dari saya, assalamualaikum w.b.t

Anda mungkin juga menyukai