Anda di halaman 1dari 16

TUGASAN 3

NILAI KESANTUNAN DALAM MASYARAKAT MALAYSIA

REMAJA DAN KESANTUNAN

Dewasa ini, laporan perilaku para remaja yang berada di luar batasan kesopanan serta
kesusilaan sangat membimbangkan. Dunia yang kian meluas tanpa sempadan sebenarnya
semakin menyempitkan kesantunan berbahasa dalam kalangan remaja. Remaja masa kini lebih
ghairah mendaulatkan teknologi sehingga mengabaikan kesantunan berbahasa dalam
komunikasi seharian. Berikut merupakan takrif bagi remaja dan kesantunan berbahasa.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) mentakrifkan remaja sebagai mulai dewasa, sudah
akil baligh dan sudah cukup umur untuk berkahwin. Menurut Azizi Haji Yahaya (2011), zaman
remaja dikatakan bermula dari akil baligh dan berakhir apabila memasuki alam dewasa. Ia
marupakan satu tempoh peralihan dalam pusingan hidup yang melibatkan banyak perubahan
yang berlaku, sama ada dari segi perkembangan fizikal, emosi dan kognitif di mana ia mula
minat hubungan dengan rakan sebaya dan mulai belajar peranan kerja, peranan dalam
keluarga dan sebagai warga masyarakat. Zaman remaja dikatakan satu proses untuk mencapai
atau memperolehi sikap dan kepercayaan bagi penglibatan yang berkesan dalam masyarakat.

Hafizah Salleh (2005) dalam bukunya memberi maksud kesantunan berbahasa sebagai
kehalusan bahasa yang digunakan untuk menunjukkan kesopanan seseorang apabila
berkomunikasi dengan orang lain, iaitu sama ada secara lisan ataupun dalam bentuk tulisan.
Hanya kosa kata yang halus dan sopan digunakan untuk menyampaikan sesuatu mesej yang
tertentu.

Menerusi buku Santun Berbahasa, Awang Sariyan (2007) menjelaskan bahasa


kesantunan ialah penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi
mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Siti Hajar
Abdul Aziz (2009) pula dalam bukunya menyatakan bahawa kesantunan bahasa ialah cara
penggunaan kata dan ujaran secara sopan dan beradab.
Kesimpulannya, kesantunan berbahasa adalah keadaan menggunakan bahasa yang
beradab tanpa mengguris perasaan orang lain. Sebagai remaja yang bakal memacu
kepimpinan negara, sewajarnya memahami konsep kesantunan berbahasa dan
mengamalkannya dalam aktiviti seharian.
FAKTOR-FAKTOR KELUNTURAN NILAI KESANTUNAN DALAM KALANGAN REMAJA

“Weii.. apalah korang ni.. Aku dah tunggu


korang lama ‘giler’..Nenek aku pun lagi laju
daripada korang lah. Ingat mak bapak korang
bayar aku untuk tunggu korang ke?”

Begitulah gaya bahasa yang sering digunakan oleh remaja kita pada hari ini. Bahasa
yang mereka gunakan begitu kasar dan tidak mencerminkan budaya orang Timur, apatah lagi
orang Islam.

Barangkali remaja sendiri kadangkala tidak meneliti bahasa yang mereka gunakan
dalam percakapan seharian. Barangkali remaja bertutur sedemikian rupa dengan sengaja bagi
menggambarkan identiti atau penampilan diri remaja. Namun remaja harus sedar bahawa
keperibadian diri mereka tergambar melalui cara bagaimana mereka berkomunikasi dengan
orang lain.

Remaja memainkan peranan yang penting dalam memacu negara pada masa akan
datang. Jika mahu melihat corak masa hadapan negara, lihatlah pilihan warna remaja pada
masa kini. Begitulah analogi yang menggambarkan jika remaja hari ini pincang, maka keadaan
negara pada masa akan datang masih belum terjamin, begitulah juga sebaliknya. Tidak
dinafikan, remaja semakin kurang santunnya dalam berbahasa, penggunaan kata-kata kesat
dalam perbualan seharian ibarat sesuatu yang biasa.

Yang Indah Itu Bahasa. Bersopan santun dalam berbicara di kalangan remaja
merupakan aspek yang menarik untuk dikaji dari pelbagai perspektif. Kesantunan bahasa ialah
tatacara atau peraturan yang wujud dalam berbahasa dan dapat dilihat dalam interaksi antara
dua atau lebih pihak yang berkomunikasi.

Bahasa bukan setakat alat untuk menyampaikan maklumat semata-mata, tetapi turut
berperanan dalam menyampaikan perasaan penuturnya. Melalui bahasa, kita dapat
menyembunyikan dan mengungkapkan pemikiran kita.
Dengan bahasa juga konflik boleh tercipta dan berakhir. Maka dengan bahasa yang kita
gunakan itu boleh menggambarkan keperibadian kita, siapa kita, asal usul kita, sosiobudaya
kita, pendidikan kita dan banyak hal yang berkaitan dengan kita, sama ada ia sesuatu yang baik
mahupun sebaliknya.

Islam sentiasa menganjurkan umatnya berlemah lembut dalam berbicara, baik dalam
tutur bahasa dan juga nada. Pertuturan yang baik adalah cerminan hati yang bersih, tulus dan
tenang. Pertuturan yang baik juga menggambarkan ketinggian akhlak yang dimiliki.

Pengisyaratan Allah di dalam surah Al-Hujurat ayat 11 supaya tidak memperolok-


olokkan orang atau kaum yang lain adalah tanda jelas bahawa Islam menganjurkan umatnya
supaya sentiasa berlemah lembut dan berhati-hati akan perasaan orang lain.

Mengapa berkasar bahasa?

DIDIKAN
EMOSI
KELUARGA

Faktor kelunturan
nilai kesantunan
dalam remaja

MEDIA RAKAN SEBAYA


&
PERSEKITARAN

Banyak faktor yang mempengaruhi remaja menggunakan bahasa yang kurang sopan
dalam pertuturan seharian. Faktor emosi serta cara didikan keluarga dan persekitaran boleh
menimbulkan permulaan kepada perlakuan ini. Seseorang yang sering melafazkan perkataan
yang tidak baik, kasar atau mencarut merupakan gambaran situasi jiwanya yang resah, kusut
dan memberontak.
Semasa pembesaran remaja, didikan keluarga yang tidak mementingkan penggunaan
bahasa yang baik boleh menyumbang kepada permasalahan ini. Ibu bapa yang tidak berlemah
lembut dan menggunakan perkataan yang tidak sesuai apabila bercakap dengan anak-anak
mereka boleh mendidik anak-anak mereka menjadi begitu.

Kadang kala ibu bapa yang bergaduh di hadapan anak-anak juga cenderung untuk
menggunakan bahasa dan nada yang kurang baik dan ini meninggalkan contoh yang tidak baik
kepada anak-anak. Hal ini boleh jadi disengajakan ketika menuturkan kata-kata demikian untuk
melepaskan perasaan marah atau kekusutan fikiran, dan besar kemungkinan juga tidak
disengajakan kerana sedang alpa atau lalai dibuai perasaan emosi tersebut. Secara tidak
langsung, penggunaan bahasa sebegitu hanya menaikkan ego mereka dan menunjukkan
percubaan untuk menguasai emosi orang yang dimarahi.

Selain itu, pengaruh rakan sebaya dan persekitaran juga menyumbang kepada
masalah ini. Sesetengah remaja cenderung menggunakan bahasa yang kesat dalam pergaulan
seharian. Hal ini amat jelas terutamanya apabila mereka bergaul dengan rakan-rakan sebaya.

Sememangnya pengaruh rakan sebaya serta persekitaran tidak boleh dinafikan.


Remaja mudah terpengaruh dengan rakan sebaya memandangkan takat usia yang sama serta
berkongsi minta yang sama. Selain itu, pada peringkat remaja, rata-rata tidak mahu hidup
dalam keadaan terkongkong dan mempunyai keinginan untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Oleh itu, ibu bapa haruslah memantau pergerakan anak mereka supaya kesantunan bahasa
dapat dikekalkan demi maruah keluarga serta bangsa.

Sebagai contoh, perkataan seperti “sial” sering diungkapkan oleh sesetengah remaja
kita bagi mengungkapkan rasa tidak puas hati atau memberi kritikan terhadap sesuatu. Namun
sebenarnya perkataan sedemikian dan banyak lagi perkataan lain yang berbaur kesat serta
mencarut adalah amat tidak manis didengar walaupun diungkapkan antara sesama rakan
sebaya.

Persoalannya adakah mereka mengerti akan maksud perkataan yang diungkapkan


serta kesannya terhadap perilaku diri dan sensitiviti orang lain? Sungguh pun pertuturan itu
hanya berlaku sesama mereka sendiri, adalah tidak mustahil untuk mereka menuturkannya
apabila berbicara dengan orang lain.
Penggunaan bahasa kasar di dalam SMS dan blog juga tidak terlepas daripada menjadi
punca kepada permasalahan ini. Kadang kala, akibat menjadi mengambil mudah akan hal ini,
sensitiviti orang lain tidak dijaga. Selain itu, media juga berperanan besar dalam hal ini.
Pengaruh media massa yang tidak mampu lagi dibendung secara tidak langsung
mempengaruhi minda remaja. Tayangan rancangan dari Barat umpamanya mampu memberi
kesan yang negatif kepada remaja masa kini memandangkan, cara hidup mereka yang berbeza
dengan ciri ketimuran dan adakalanya melanggar tatasusila. Budaya masyarakat Melayu
sememangnya begitu sinonim dengan kata panggilan bagi menunjukkan rasa hormat pada
seseorang, walau bagaimanapun ciri-ciri ini tiada dalam budaya Barat. Menurut Zuraidah
Sulaiman (2011), bangsa Melayu khususnya sedang berhadapan dengan satu fasa kebejatan
budi yang memperlihatkan betapa mudahnya keperibadian bangsa dipengaruhi oleh unsur-
unsur luar. Keadaan ini berlaku sealiran pula dengan berkembang dan memuncaknya nilai
pembangunan material, teknologi yang bercirikan budaya luar. Penggunaan perkataan yang
tidak sesuai yang ditonjolkan di dalam drama, filem dan juga lagu-lagu sedikit sebanyak
menjadi ikutan remaja masa kini. Akibatnya, remaja terbawa-bawa dalam kehidupan seharian.

Pertuturan seharian kita juga mampu mempengaruhi minda separa sedar kita
(subconscious mind) lalu mewujudkan tabiat berfikir yang boleh menjurus ke arah pemikiran
positif atau negatif. Hal ini selanjutnya mampu mencorakkan sikap dan emosi kita terhadap
perkara yang berlaku di sekeliling.

Maka apabila kita sentiasa bertutur dengan perkataan yang kasar atau negatif, kita
sebenarnya secara tidak langsung memprogramkan minda kita ke arah pemikiran negatif.
Kesannya, kita bakal membentuk tingkah laku dan emosi yang negatif pula.

Kesimpulannya, kesantunan berbahasa mampu membentuk peribadi remaja yang


unggul. Dalam menjayakan hasrat melahirkan modal insan yang gemilang, semua pihak
berperanan dalam membentuk remaja menjalani kehidupan yang beradab. Sekecil-kecil amal
perbuatan kita bakal dihisab di Padang Mahsyar kelak. Justeru kita seharusnya berhati-hati
terhadap apa jua yang kita tuturkan. Sebagai remaja Muslim, kita perlu sentiasa menjaga
percakapan kita agar tidak menyakiti perasaan orang lain dan menimbulkan ketegangan.
Lemah lembut dan bersopan dalam bertutur kata tidak akan merendahkan harga diri remaja,
sebaliknya menambahkan rasa hormat orang lain terhadap kita dan mengeratkan ukhuwah
antara sesama insan.

.
KEPENTINGAN AMALAN KESANTUNAN

Kesantunan merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang agar segala
tindakan mereka terpimpin dan tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki
dalam masyarakat. Sifat kesantunan ini penting untuk melahirkan insan yang mulia, unggul dan
utopia demi merealisikan misi nasional negara ke arah Wawasan 2020.

“Apabila kamu hendak mengenali wajah lihatlah pada cermin, tetapi apabila
kamu hendak mengenali diri lihatlah pada wajah”.

- Imam Al-Ghazali

Kata-kata tersebut mengambarkan betapa keperibadian dan akhlak mulia menjadi tali
pengukur kepada setiap individu. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut
budaya, peradaban dan agama kita. Namun begitu, dalam mengharungi era ledakan sains dan
teknologi, sifat kesantunan dalam kalangan masyarakat semakin lenyap dalam sanubari
golongan dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak liar di luar batas-batas
kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti gengsterisme, vandalisme dan
pornografi sering terpampang di dada akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas menunjukkan
betapa kroniknya masalah kelunturan amalan kesantunan dalam kalangan masyarakat.
Sebelum keadaan menjadi lebih parah, budaya kesantunan perlulah dijadikan sebagai amalan
dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu kemaslahatan boleh diperoleh.
PERPADUA
N

KEPENTINGAN

AMALAN KESANTUNAN

MASYAR
AKAT

Salah satu kepentingan amalan ini ialah amalan ini dapat mewujudkan perpaduan
antara masyarakat berbilang kaum di negara kita. Masyarakat yang bersopan santun akan
saling menghormati tidak kira apa-apa jua warna kulit ataupun status individu tersebut. Bukan
itu sahaja, amalan murni ini akan mendidik masyarakat yang berlainan bangsa dan agama
supaya sentiasa menjaga perasaan antara satu sama lain sama ada melalui tutur bicara atau
perlakuan. Kata orang, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku atau kata buruk padahnya”.
Cetusan gagasan Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun
Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang keenam merupakan langkah yang bertepatan
dengan suasana dan cita rasa rakyat yang semakin goyah akibat fahaman politik yang berbeza.
Konsep ini membawa aspirasi untuk membaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat
Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam
semangat perpaduan adalah perasaan hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling
mempercayai antara kaum. Apabila wujud sikap saling menghormati, masyarakat akan dapat
hidup dalam suasana yang harmoni dan gembira walaupun hidup dengan masyarakat yang
berbeza budaya, adat dan kepercayaan. Dalam pada itu, perselisihan faham antara kaum atau
rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Ulang tahun kemerdekaan yang
ke-51 iaitu pada tahun 2008 yang bertemakan ‘Perpaduan Teras Kejayaan’ jelas menunjukkan
pentingnya perpaduan kaum dalam negara kita yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Pepatah
ada menyatakan bahawa bersatu teguh bercerai roboh justeru apabila masyarakat bersatu,
negara dapat berkembang dengan maju dan anasir-anasir luar tidak dapat menggugat
kestabilan negara dengan mudah. Tegasnya, konsep perpaduan dapat dicapai dengan mudah
sekiranya amalan kesantunan dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita.

Meninjau dari skop yang lebih luas, amalan kesantunan dapat melahirkan masyarakat
yang lebih bertamadun. Menurut konteks sejarah, masyarakat yang bertamadun merupakan
masyarakat yang memiliki tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur selain
pencapaian lahiriah. Oleh itu, masyarakat pada masa tersebut dapat membina tamadun dan
empayar yang kuat dan hebat seperti tamadun Mesopotamia, tamadun Mesir, tamadun Hwang
Ho dan tamadun Indus walaupun pada masa itu teknologi masih belum berkembang dengan
sepenuhnya. Untuk membina tamadun yang unggul, kita tidak seharusnya bersikap biadap dan
kasar seperti mengeluarkan kata-kata yang kesat sehingga memilukan hati pihak lain bagai
ditusuk sembilu. Perlakuan seumpama ini menggambarkan masyarakat tersebut masih berada
dalam Zaman Jahiliah di mana akhlak dan nilai hidup masyarakat pada masa tersebut adalah
sangat rendah. Sekiranya masyarakat kita lebih bertamadun, sudah pasti kita dapat
mempertahankan kemerdekaan. Dalam konteks ini, negara amat memerlukan masyarakat yang
berfikiran matang dan bijak untuk mengelakkan penjajahan semula oleh kuasa-kuasa asing
seperti kuasa Barat. Secara tidak langsung, industri pelancongan juga turut meningkat. (P)
Secara ringkasnya, masyarakat yang bertamadun dapat dilahirkan melalui amalan-amalan
kesantunan.

Selain itu, masyarakat yang bersopan santun akan mempamerkan nilai-nilai yang
positif seperti memberikan layanan yang sopan dan bersikap lemah lembut terhadap
pelancong asing. Hal ini penting agar dapat meninggalkan imej yang positif tentang negara kita
dalam diri pelancong. Pelancong juga akan mempunyai percutian yang menyeronokkan kerana
beranggapan bahawa kedatangan mereka ke sini dialu-alukan dan dihargai oleh masyarakat
tempatan. Dalam pada itu, pekerja-pekerja dalam Jabatan Kastam dan Imigresen, pemandu
pelancong serta pemandu pengangkutan awam perlulah memainkan peranan yang lebih
penting dengan senantiasa melemparkan senyuman dan bertutur dengan nada yang lembut
ketika berurusan dengan pelancong asing. Negara Jepun sayugia dijadikan teladan kerana
masyarakatnya sememang kaya dengan budi bahasa. Contohnya, ucapan ‘irasshaimase’ yang
bermaksud selamat datang dalam bahasa Jepun pasti akan menusuk ke gegendang telinga
tidak kira apa-apa kedai yang dikunjungi. Amalan berterima kasih juga merupakan sesuatu
yang biasa dalam masyarakat Jepun. Sekiranya amalan ini diikuti, sudah pasti keramahan dan
kesantunan rakyat Malaysia akan sentiasa meniti dari bibir ke bibir para pelancong dan sentiasa
memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama mereka. Senario ini secara tidak
langsung akan menjana ekonomi negara melalui industri pelancongan negara yang kian
mendapat sambutan hangat. Jadi, budaya yang murni ini amat penting ketika berurusan dengan
pelancong asing agar mereka dapat menikmati percutian di negara kita.

Di samping itu, pemimpin yang berdedikasi juga dapat dizahirkan. Pemimpin yang
baik akan dapat mentadbir negara dengan lancar kerana mendapat sokongan yang padu
daripada rakyat. Pemimpin yang mengamalkan nilai kesantunan sentiasa menitikberatkan
kepentingan orang lain daripada kepentingan peribadi. Mereka akan bertindak dengan
bijaksana untuk menjaga perasaan pelbagai pihak ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut
tidak putus tepung tidak berselerak. Sehubungan dengan itu, golongan remaja merupakan aset
yang sangat bernilai kepada negara kerana mereka adalah generasi pelapis yang bakal
menerajui tampuk kepimpinan negara. Oleh itu, nilai kesantunan seperti menghormati orang
tua, bertutur dengan sopan, bertolak ansur dan amalan tolong-menolong perlulah dijadikan
panduan dalam kehidupan mereka supaya mereka dapat menjadi seorang pemimpin yang
berdedikasi dan berkarisma dapat dilahirkan. Pemimpin yang bersopan santun dapat
meningkatkan imej negara kerana pemimpin pemimpin dari negara lain akan kagum dan
menghormati negara kita. Ironinya, hubungan diplomatik bagi menjamin kemajuan dan
keselamatan negara dapat dijalinkan dengan mudah. Dengan itu, negara kita akan dapat duduk
sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara lain. Pendek kata, negara kita akan terkenal di
persada dunia kerana memiliki seorang pemimpin yang berwibawa melalui amalan kesantunan
yang dipamerkan.
LANGKAH-LANGKAH MEMUPUK NILAI KESANTUNAN

Menyedari akan pelbagai kemaslahatan di atas, kita haruslah mengambil langkah-


langkah yang pragmatik dan efektif untuk memastikan amalan ini dapat dipupuk dalam setiap
sanubari rakyat kita. Oleh itu,kita perlu bertindak mulai dari sekarang kerana perjalanan yang
beribu-ribu batu mestilah bermula dengan langkah yang pertama.

Salah satu langkah yang dominan adalah melalui rombakan sistem pendidikan.
Dalam hal ini, kita terpaksa meletakkan tanggungjawab penting ini kepada pihak pendidikan.
Pendidikan merupakan wahana yang berkesan untuk mentarbiah masyarakat. Melalui
pendidikan, kita diajar, dibimbing dan diasuh untuk menjadi insan yang kamil dan holistik sama
ada dari aspek jasmani, rohani dan intelek. Bukan itu sahaja, pendidikan juga mampu
melahirkan insan yang berhemah tinggi dan berbudi bahasa. (B) Hal ini juga turut disedari oleh
Menteri Pelajaran kita. Oleh sebab itu, beliau telah mengarahkan agar kurikulum semua mata
pelajaran yang sedia ada dirombak semula. Rombakan ini dapat dilihat melalui penerapan nilai-
nilai murni yang berkaitan dengan amalan kesantunan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu
iaitu melalui cerpen, novel, drama dan puisi yang diajarkan dari peringkat Tingkatan Satu
hingga Tingkatan Lima. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah
menyatakan bahawa kita perlu mencontohi sikap masyarakat Jepun. Walaupun negara mereka
semakin maju, namun, masyarakatnya masih mengekalkan nilai-nilai murni di samping
mengamalkan budaya dan adat resam bangsa mereka. Mereka percaya bahawa dengan
mengenali asal usul bangsa serta keindahan bahasa dan budaya mereka, mereka dapat
melahirkan rakyat yang tinggi semangat cinta akan negaranya. Semangat inilah yang
membawa negara mereka pada kemajuan kerana rakyatnya sanggup berkorban jiwa dan raga
demi negara yang tercinta. Jelaslah bahawa dalam usaha untuk memupuk amalan
kesantunan, maka tidak boleh tidak, perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilaksanakan.

Jika kita lihat dari sudut yang lain, pihak sekolah perlu juga melaksanakan aktiviti
kokurikulum dengan lebih giat dan berkesan. Kita perlu sedar bahawa aktiviti kokurikulum
merupakan wadah yang paling berkesan dalam membentuk amalan budi bahasa seperti
bertanggungjawab, bekerjasama dan hormat-menghormati dalam diri para pelajar. Para guru
pula dianggap sebagai arkitek pembangunan manusia diarahkan untuk mengadakan pelbagai
program bagi memupuk amalan kesantunan ini kerana pelajar ibarat pohon yang baru ditanam.
Lantaran itu, mereka perlu dibajai, diairi dan diberi cahaya matahari yang secukupnya. Sebagai
contoh, aktiviti perkhemahan yang dianjurkan oleh badan-badan beruniform seperti Pengakap
dan Kadet Remaja Sekolah akan membentuk semangat berpasukan yang tinggi dalam
kalangan ahlinya. Mereka akan bersama-sama mendirikan khemah, mematuhi giliran memasak
dan sebagainya, sepanjang perkhemahan diadakan. Selain itu, aktiviti bergotong-royong oleh
persatuan-persatuan dan kelab-kelab sama ada di sekolah, mahupun di kawasan sekitar
sekolah pula akan menanamkan perasaan bertanggungjawab para pelajar terhadap alam
sekitar serta sekolah mereka bak kata pepatah, ‘tak kenal , maka tak cinta.’ Justeru melalui
program-program yang dijalankan, para pelajar akan membentuk jati diri dan sikap positif dalam
diri mereka. Mereka akan lebih bersikap ‘membina’ daripada ’meruntuhkan’ atau
membinasakan sesuatu. Mereka juga akan lebih bertanggungjawab terhadap segala
kemudahan yang disediakan untuk kegunaan ramai. Oleh itu, melalui pelaksanaan aktiviti
kokurikulum yang lebih berkesan, kita berharap agar tidak ada lagi telefon awam yang
dirosakkan, atau tandas awam yang diconteng dengan kata-kata yang tidak menyenangkan
mata memandang. Sebaliknya, kita akan dapat menyaksikan masyarakat yang lebih bertolak-
ansur, umpamanya, mereka tidak berebut-rebut lagi ketika menaiki bas awam atau komuter.
Anak-anak muda kita juga akan lebih menghormati golongan yang tua kerana tahap
kesantunan dalam kalangan masyarakat telah meningkat. Pendek kata, amalan budi bahasa
sememangnya dapat dipupuk melalui aktiviti kokurikulum yang dijalankan oleh pihak sekolah.

Seperkara lagi, peranan ibu bapa juga amat penting dalam melahirkan insan kerdil
yang berbudi bahasa tinggi. (M) ‘Bagaimana acuan, begitulah kuihnya,’ begitulah peribahasa
yang membawa maksud bahawa peribadi serta perlakuan ibu bapa akan menjadi ikutan kepada
anak-anak mereka. Memang tidak dapat kita nafikan ibu bapa merupakan guru pertama dalam
kehidupan anak-anak sejak dalam rahim ibu lagi. Hal ini membuktikan bahawa ibu bapa
merupakan ejen pembentukan karakter anak-anak yang paling ampuh untuk melahirkan insan
yang kaya budi bahasa. (B) Oleh itu, sesuatu perkara itu perlu dipupuk dari kecil oleh ibu bapa
kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya agar apabila anak-anak memasuki alam
persekolahan, nilai-nilai asas yang positif seperti hormat-menghormati, beradab sopan dan
bertolak-ansur telah sedia wujud dalam diri anak-anak mereka. Sebagai contoh, anak-anak
yang lebih muda perlu menghormati kakak atau abang mereka yang lebih tua. Anak-anak juga
diajar agar menghormati harta benda milik adik-beradik mereka serta harta benda bersama.
Dalam hal ini, ibu bapa tidak boleh bersikap seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan
betul. Oleh itu, ibu dan bapa perlu sentiasa menunjukkan bahawa mereka juga saling
menghormati sesama mereka agar nilai positif ini diikuti oleh anak-anak. (K) Dengan ini,
hubungan kemesraan keluarga akan dapat ditingkatkan di samping dapat mewujudkan baiti
jannati. Malah yang lebih penting, anak-anak akan lebih beradab dan berbudi bahasa yang
akan mencerminkan maruah keluarga tersebut. Anak-anak seumpama ini tidak akan bersikap
biadab yang mampu menconteng arang ke muka keluarga sendiri. Sesungguhnya, peranan ibu
bapa yang mempamerkan contoh terbaik kepada anak-anak dapat memupuk amalan
kesantunan dalam diri anak-anak.

Pilihan kita yang terakhir untuk membentuk masyarakat yang bersopan santun adalah
melalui kempen yang berkesan. Hal ini dikatakan demikian kerana kempen-kempen yang
diadakan mampu menyedarkan masyarakat tentang kepentingan amalan ini dipraktikkan dalam
kehidupan seharian kita. Masyarakat pada hari hari lebih mudah dipengaruhi dan dikuasai
dengan kempen-kempen yang diadakan. Sembilan tahun lalu iaitu pada 11 Februari 2005
Kementerian Kebudayaan dan Warisan (KEKWA) melancarkan kempen Budi Bahasa dan Nilai
Murni. Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni sama sekali tidak diwujudkan kalau masyarakat
kita berbudi bahasa selayaknya. Kempen yang dicetuskan oleh Dr. Rais Yatim semasa
memimpin KEKWA ini mengejutkan kita yang terlena dalam mengejar fatamorgana hidup
sehingga sanggup merendahkan tahap kesantunan kita. Suatu ketika dahulu , majalah Readers
Digest telah menyiarkan hasil kajian kesantunan di 36 bandar raya di dunia. Hasilnya, Kuala
Lumpur menjadi bandar raya kedua paling biadab. Kajian ini amat membimbangkan dan
memalukan kita. Oleh itu, kempen seumpama ini haruslah diadakan secara berterusan serta
giat dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga. Dengan ini, diharapkan kempen yang
bersungguh-sungguh ini dapat menyemarakkan dan menyemai semula budi bahasa dan nilai-
nilai murni ke dalam jiwa setiap rakyat Malaysia serta meletakkan budi pekerti sebagai satu
asas dan tunjang dalam kehidupan kita. Secara implisitnya, negara akan menjadi agung jika
warganya terdiri dari insan-insan yang mengamalkan budaya murni. Tidak ada gunanya jika
masyarakat Malaysia kaya dari segi kebendaan tapi muflis dari segi keperibadian. Izharlah
bahawa peranan kempen juga penting untuk membudayakan amalan murni ini dalam
kehidupan seharian kita.

KESIMPULAN

Sudah terang lagi bersuluh bahawa dapat disimpulkan bahawa amalan kesantunan
amat mustahak untuk negara mencapai taraf negara maju yang disegani oleh negara-negara
gergasi yang lain di dunia. ‘Yang merah itu saga, yang kurik itu kendi, yang indah itu bahasa,
yang elok itu budi’, demikianlah ungkapan yang menggambarkan kepentingan berbudi bahasa
dalam kehidupan masyarakat kita. Ungkapan ini disusuli pula dengan bidalan yang mengatakan
bahawa budi bahasa tidak boleh dijual beli. Oleh itu, sifat sifat luhur dan amalan kesantunan
yang dahulunya menjadi kebanggan masyarakat timur tetapi kian terhakis ini wajarlah
dipulihkan dan dihidupkan semula. Lantaran itu, semua pihak wajarlah bersinergi bagai aur
dengan tebing dan mengelakkan sikap masing-masing perahu, masing-masing kayuh dalam
menanam amalan kesantunan dalam diri setiap individu. Kita tidak seharusnya mengharapkan
sebelah pihak sahaja untuk memupuk amalan murni ini dalam setiap jiwa rakyat Malaysia
kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni
perlulah diimplementasikan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran rakyat.
Profesor DiRaja, Ungku Aziz pernah berkata, “Malaysia yang aman dan damai akan lenyap
dalam sedikit masa jika rakyatnya tidak bermoral dan nilai budi bahasa yang kian terhakis dari
jiwa mereka”. Jadi, kita mengharapkan agar menjelang tahun 2020, tabiat buruk seperti
kegiatan gengsterisme dan bercakap kasar sudah lupus dari memori setiap rakyat Malaysia
supaya negara akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Biarlah pepohon terus
bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah negara Malaysia terus disegani kerana
ketinggian budi bahasa rakyatnya.
Rujukan

Awang Sariyan, (2007). Santun berbahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Azizi Haji Yahaya. (2011). Definisi remaja dan pembentukan konsep kendiri dan hubungannya
dengan keluarga. Diperoleh pada 1 November 2012, daripada
http://www.uprints.utm.my/PEMBENTUKAN_KONSEP_KENDIRI

Hafizah Salleh, (2005). Bahasa Melayu STPM Kertas 1 dan 2. Selangor: Penerbitan Pelangi
Sdn. Bhd.

Siti Hajar Abdul Aziz. (2009). Bahasa Melayu II. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Zuraidah Sulaiman. (7 Mei, 2011). Minda: Hilang budaya santun. Harian Metro.

Anda mungkin juga menyukai