Anda di halaman 1dari 8

1.

0 Konsep Keluarga Sakinah

Setiap manusia di dunia ini mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia. Menurut
Mahmood Zuhdi (2008), keluarga bahagia ialah satu kelompok sosial yang terdiri daripada
suami isteri, ibu bapa, anak pinak, cucu-cicit dan sanak-saudara yang sama-sama dapat
merasakan senang terhadap satu sama lain dan terhadap hidup itu sendiri. Mereka boleh
hidup dengan gembira, mempunyai objektif hidup yang jelas untuk dicapai sama ada secara
individu atau bersama, optimistik dan mempunyai keyakinan terhadap satu sama lain,
berasa selesa dengan apa yang ada dan sebagainya. Kebahagiaan sesebuah keluarga itu
akan tercapai apabila semua anggotanya sama-sama berusaha untuk mewujudkan keluarga
sakinah.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, keluarga didefinisikan sebagai seisi rumah
tangga yang terdiri daripada suami dan isteri atau berserta anak-anak. Keluarga Islam boleh
ditakrifkan sebagai keluarga yang berkembang yang bukan sahaja merangkumi ibu bapa
dan anak-anak, tetapi datuk, nenek, cucu, cicit dan sebagainya. (Mahmood Zuhdi, 2008)
Sakinah pula merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud
tenang, aman, damai, harmoni dan penuh kasih sayang. Secara holistiknya, keluarga
sakinah bolehlah dikatakan sebagai keluarga yang mana semua anggota keluarganya
berasa aman, tenteram, tenang, bahagia dan mereka saling berkasih sayang semata-mata
kerana Allah SWT.

2.0 Asas Pembentukan Keluarga Sakinah

Hakikatnya, asas pembinaan keluarga mengikut syariat Islam adalah perkahwinan.


Setiap lelaki perlu memilih calon isterinya dengan menitikberatkan beberapa perkara
sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Dinikahi wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya
dan agamanya, maka nikahilah wanita yang beragama, nescaya kamu beruntung.”

(HR. Ahmad)

Hadis ini menerangkan bahawa seorang lelaki tidak akan rugi sekiranya memilih
wanita solehah sebagai pendamping hidupnya. Seorang wanita juga hendaklah memilih
lelaki yang baik agamanya untuk dijadikan suami. Hal ini kerana suami merupakan nakhoda
yang bertanggungjawab mengemudi bahtera rumah tangga sama ada selamat tiba ke
destinasi atau sebaliknya. Sesungguhnya, suami yang soleh dan isteri yang solehah
memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk keluarga sakinah.
3.0 Tanggungjawab Suami

Dalam membentuk keluarga sakinah, seorang suami hendaklah melaksanakan


kewajipannya dengan sebaik mungkin. Antara kewajipan suami ialah memperlakukan isteri
dengan baik. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Yang paling baik di antara kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah
orang yang paling baik terhadap isteri di antara kamu.”

(HR. At-Tirmizi)

Para suami mestilah meneladani Rasulullah SAW dalam bergaul dengan isteri
sesuai dengan fitrah wanita yang lebih lembut dan sensitif. Selain itu, seorang suami
bertanggungjawab memberi nafkah kepada isterinya. Allah SWT telah berfirman:

Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum perempuan, kerana Allah telah
melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan) dan kerana
mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian harta mereka.”

(Surah An-Nisa’: 34)

Kewajipan suami yang seterusnya ialah mengajarkan agama kepada isterinya. Oleh
sebab itu, seorang suami mestilah memperlengkapkan dirinya dengan ilmu agama yang
mantap bagi membimbing isterinya ke jalan yang diredhai Allah SWT serta memeliharanya
daripada api neraka seperti firman Allah SWT:

Maksudnya: Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.

(Surah At-Tahrim: 6)

Di samping itu, seorang suami wajib berlaku adil kepada isteri-isterinya sekiranya dia
berpoligami. Sikap adil itu perlu dalam hal pembahagian waktu bermalam, nafkah, pakaian
dan tempat tinggal para isteri.
Daripada Abu Hurairah RA diceritakan, Rasulullah SAW bersabda,

“Sesiapa memiliki dua orang isteri, namun tidak dapat berlaku adil antara mereka berdua,
maka dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan sebelah badannya senget.”

Setiap suami yang berpoligami mestilah mengambil iktibar daripada hadis ini.
Pelaksanaan tanggungjawab yang baik oleh seorang suami akan menjadi pemangkin
kepada pembentukan keluarga sakinah.

4.0 Tanggungjawab Isteri

Seorang isteri juga mempunyai peranannya yang tersendiri dalam membentuk


keluarga sakinah. Oleh sebab itu, isteri mestilah melaksanakan tanggungjawabnya kepada
suami. Antara tanggungjawab seorang isteri ialah mentaati suami kecuali apabila melibatkan
perkara-perkara maksiat. Hal ini bagi memuliakan suami sebagai ketua keluarga. Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud,

“Jika seorang wanita mengerjakan solat lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadhan,
memelihara kemaluannya dan mentaati suaminya, dia akan memasuki syurga Tuhannya.”

(HR. Ibnu Hibban)

Selain itu, isteri perlulah menjaga maruah suami. Sebagai analoginya, isteri tidak
boleh menceritakan keaiban dan keburukan suami kepada orang lain. Air muka suami
hendaklah dijaga oleh isteri memandangkan posisinya sebagai ketua sesebuah keluarga
akan menjadi perhatian masyarakat setempat.

Di samping itu, seorang isteri wajib meminta izin suaminya jika ingin keluar rumah.
Keluar rumah tanpa izin suami boleh menyebabkan seorang isteri dilabelkan sebagai isteri
derhaka. Isteri juga tidak boleh berpuasa sunat tanpa keizinan suaminya. Akhirnya, seorang
isteri wajib menjaga harta suami dan maruah dirinya. Harta suami hendaklah dijaga dengan
baik dan amanah oleh isteri. Isteri tidak boleh memberi harta suaminya kepada sesiapa pun
tanpa keizinan daripada suami. Sepanjang ketiadaan suami, seorang isteri juga wajib
memelihara kehormatan dirinya sebagaimana firman Allah SWT:

Maksudnya: Sebab itu, isteri solehah ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri
ketika suaminya tidak ada, kerana Allah telah memelihara (mereka).

(Surah An-Nisa: 34)


Memelihara diri yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah menutup aurat dengan
sempurna serta menjaga batas-batas pergaulan dengan lelaki lain sesuai dengan statusnya
sebagai seorang isteri. Sesungguhnya peranan seorang isteri amatlah signifikan dalam
pembentukan keluarga sakinah kerana isteri merupakan tulang belakang suami bertepatan
dengan kata-kata, di sebalik kejayaan seorang lelaki, adanya seorang wanita. Oleh hal yang
demikian, setiap isteri hendaklah menunaikan kewajipannya terhadap suami dengan penuh
rasa tanggungjawab.

5.0 Tanggungjawab Ibu Bapa

Pasangan suami isteri yang dikurniakan zuriat akan bergelar ibu dan bapa.
Tanggungjawab mereka akan menjadi lebih berat bertepatan dengan kata-kata, anak-anak
diibaratkan kain putih, ibu bapa lah insan yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya.
Dalam pembentukan keluarga sakinah, ibu bapa memainkan peranan yang paling utama.
Antara tanggungjawab ibu bapa ialah menyediakan keperluan-keperluan asas seperti
makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan yang diperlukan oleh anak. Mereka
juga perlu memastikan keperluan tersebut bersumberkan rezeki yang halal. Selain itu,
mereka hendaklah memberi kasih sayang dengan adil dan saksama kepada anak-anak.
Kebanyakan anak yang terlibat dalam masalah sosial adalah berpunca daripada tidak
mendapat kasih sayang yang sempurna.

Seterusnya, ibu bapa seharusnya memberikan didikan agama yang sempurna


kepada anak-anak semenjak mereka kecil lagi kerana melentur buluh biarlah daripada
rebungnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (Islam). Kedua-dua ibu bapanya yang
menentukan sama ada ingin menjadikannya sebagai Yahudi, Kristian atau Majusi.”

(HR. Bukhari dan Muslim)

Dari segi keagamaan, fitrah bererti Islam itu sendiri. Hal ini bermakna kanak-kanak
dilahirkan sebagai seorang Muslim. Kemudian, ibu bapa yang akan menentukan sama ada
anak itu akan terus menghayati nilai-nilai keagamaan semula jadi itu atau menyeleweng dan
mempraktikkan nilai-nilai lain. Oleh itu, ibu bapa patutlah mendidik anak dengan sebaik-
baiknya seperti akhlak yang mulia, fardhu ain, membaca Al-Quran dan lain-lain. Namun
begitu, ibu bapa haruslah menunjukkan contoh yang baik terlebih dahulu kepada anak-anak.
Hal ini kerana ibu bapa merupakan suri teladan dalam sesebuah keluarga. Misalnya,
seorang bapa hendaklah berinteraksi dengan sopan dengan isteri dan anak-anaknya.
Apabila anak-anak melihat situasi tersebut, mereka akan meneladani sikap bapa mereka
bertepatan dengan pepatah bapa borek anak rintik.
 Jika ditelusuri dari dimensi yang lain pula, ibu bapa harus memantau perilaku anak-
anak mereka dalam usaha mewujudkan keluarga sakinah. Ibu bapa harus melihat perilaku
anak-anak sama ada positif atau negatif. Anak-anak yang melakukan perilaku positif
haruslah diberi pujian, manakala anak-anak yang melakukan amalan negatif haruslah
dinasihati agar mereka tidak lagi mengulangi kesalahan yang sama. Anak-anak yang
berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak akan terjebak dalam kancah
kehinaan jika mendapat pemantauan yang rapi daripada ibu bapa mereka. Pada zaman
pascateknologi ini, tugas mendidik anak sangat mencabar. Sekiranya tersilap langkah, pasti
akan mengundang kemudaratan kepada sesebuah keluarga. Oleh hal yang demikian,
izharlah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting ke arah pembentukan
keluarga sakinah.

6.0 Tanggungjawab Anak

Seorang anak juga tidak kurang pentingnya dalam membentuk sesebuah keluarga
yang sakinah. Pertamanya, seorang anak mestilah mentaati kedua-dua ibu bapanya selagi
mana tidak bertentangan dengan syarak. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan
kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah
seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan
dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan
kasar) sekalipun perkataan “ah” dan janganlah engkau menengking menyergah mereka,
tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

(Surah Al-Israa: 23)

Di dalam ayat ini, Allah SWT melarang anak-anak bercakap kasar kepada ibu bapa
mereka, apatah lagi mengingkari perintah mereka. Apabila seorang anak itu patuh akan
arahan ibu bapanya, maka mereka sebagai orang tua akan berasa senang dengan anak
mereka. Di samping itu, anak juga berperanan membantu meringankan beban ibu dan bapa.
Contohnya, membantu ibu membuat kerja-kerja rumah dan membantu ayah membasuh
kereta. Perkara ini secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan kekeluargaan sekali
gus akan merealisasikan pembentukan keluarga sakinah.
Peranan anak yang seterusnya ialah bersyukur dengan apa yang ada. Sekiranya
kedua-dua orang tua tidak mampu untuk menyediakan keperluan anaknya, anaknya itu
mestilah bersikap redha dan menerima kekurangan mereka. Akhirnya, anak-anak wajib
mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka. Allah SWT telah berfirman:

Maksudnya: Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan
dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku!
Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih
sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.

(Al-Israa: 24)

Sesungguhnya pengorbanan dan jasa ibu bapa yang melahirkan serta membesarkan
kita dengan penuh kasih sayang tidak akan terbalas hatta dengan segunung emas
sekalipun. Maka, salah satu cara untuk menghargai jasa mereka adalah dengan sentiasa
mendoakan mereka.

7.0 Penutup

Konklusinya, pembentukan keluarga sakinah memerlukan peranan semua anggota


keluarga. Oleh hal yang demikian, semua anggota keluarga termasuklah suami, isteri, ibu
bapa serta anak-anak hendaklah melaksanakan kewajipan mereka sebagaimana yang
dituntut dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Keluarga sakinah tidak dapat direalisasikan andai
tidak mendapat kerjasama daripada anggota keluarga kerana kalau bertepuk sebelah
tangan, manakan berbunyi. Dalam negara Islam, pembentukan keluarga sakinah sangat
penting kerana keluarga sakinah akan menjadi asas pembentukan masyarakat yang
sejahtera dan penyayang.

Setiap keluarga seharusnya berusaha menjadi keluarga sakinah yakni keluarga yang
bahagia kerana terdapat seribu satu manfaat yang bakal menanti. Antaranya ialah wujudnya
kebahagiaan dalam kehidupan suami dan isteri. Di samping itu, institusi kekeluargaan yang
harmoni akan mengelakkan pelbagai salah laku, gejala sosial dan jenayah. Nilai
kebahagiaan bukan sekadar berteraskan harta dan kebendaan kerana ramai manusia
melakukan kerosakan dengan kekayaan yang dimiliki. Kekayaan boleh membawa
kebahagiaan sekiranya manusia bijak menggunakannya. Akhirnya, keluarga sakinah akan
meninggikan martabat sesebuah keluarga dan melahirkan masyarakat yang sejahtera serta
menjadi penyumbang ke arah mewujudkan negara maju, aman dan bahagia.
8.0 Rujukan

‘Adil Abdul Mun’im Abu Al-‘Abbas. (2011). Perkahwinan & rumah tangga: syurga yang
disegerakan. Kuala Lumpur: Inteam Publishing Sdn. Bhd.

Aimi Hamzah, Mohd Haidir Mohd Isa & Mohd Syah Ujang. (2003). Buku teks pendidikan
syariah islamiah tingkatan 5: feqah, tanggungjawab suami isteri. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa Dan Pustaka.
As-Syazuli. (15 Jun 2011). Adil ketika berpoligami. Dimuat turun pada 20 Februari 2016
daripada http://as-syazuli.blogspot.my/2011/06/adil-ketika-berpoligami.html
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: DBP.
Farah Ilyani. (28 Disember 2013). Peranan ibu bapa dalam membentuk keluarga bahagia.
Dimuat turun daripada http://farahilyani96.blogspot.my/2013/12/peranan-ibu-bapa-
dalam-membentuk.html

Juang Hingga Titisan. (23 Oktober 2012). Anugerah Ilahi-khutbah pertama. Dimuat turun
pada 20 Februari 2016 daripada
http://juanghinggatitisan.blogspot.my/2012/10/anugerah-ilahi-khutbah-pertama.html
Loveusomuch. (16 Februari 2010). Petua menjadi anak yang soleh dan solehah. Dimuat
turun pada 20 Februari 2016 daripada http://www.kampungfm.com/petua-menjadi-
anak-yg-soleh-dan-solehah-t2171.html
Mahmood Zuhdi. (2008). Famili harmoni: memupuk keluarga bahagia. Selangor: Karya
Bestari Sdn. Bhd.

Mohd. Jiffry Haji Al-Akram. (2005). Menjana keluarga bahagia. Johor: Darul Wasiat Sdn.
Bhd.

Mustafa al-Bugha & Muhyiddin Misto. (2010). Syarah Hadis 40 Imam Nawawi. Kuala
Lumpur: Pustaka Salam Sdn.Bhd.

Najmee Qamar. (7 Mac 2013). Doa-doa dari Al-Quran untuk ibu ayah. Dimuat turun
daripada http://najmeeqamar.blogspot.my/2013/03/doa-doa-dari-al-quran-untuk-ibu-
ayah.html

Peranan anak untuk membahagiakan keluarga. (20 November 2010). Dimuat turun pada 20
Februari 2016 daripada https://twoohiok.wordpress.com/2010/11/20/peranan-anak-
untuk-membahagiakan-keluarga/

Saat Sulaiman. (2013). Melakar syurgawi idaman: tip membina keluarga yang bahagia dan
cemerlang. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.
Shaikh Abdullah Hassan Mydin. Peranan, hak dan tanggungjawab dalam institusi keluarga.
Dimuat turun pada 20 Februari 2016 daripada
http://pengajianislam.pressbooks.com/chapter/ peranan-hak-dan-tanggungjawab-
dalam-institusi- keluarga/
Teks ayat Al-Quran. Dimuat turun pada 20 Februari 2016 daripada
http://www.everyayah.com/data/status.php

Tuminah Baharom. (5 November 2013). Peranan ibu bapa dalam pembentukan keluarga
bahagia. Dimuat turun daripada http://cikgutum.blogspot.my/2013/11/peranan-ibu-
bapa-dalam-pembentukan.html

Anda mungkin juga menyukai