Anda di halaman 1dari 12

FALSAFAH AL-KINDI

Oleh: Ridwan Arif, Ph.D

I Pendahuluan
Seorang Sarjana Barat H.A.R Gibb pernah berkata, “Islam is much more than a
system of theologi it’s a complete civilization”. Apa yang dikatakan Gibb diatas
bukan tidak beralasan. Sejarah telah membuktikan bahawa Islam pernah memiliki
tamadun yang gemilang, cemerlang dan terbilang. Islam pernah memiliki kejayaan
masa lalu.

Pada masa Barat masih tenggelam dalam tidur yang panjang yang dikenali
dengan the dark age (masa kegelapan) tamadun Islam sudah mencapai puncak
kejayaannya. Tamadun Islam pada masa itu adalah satu-satunya tamadun yang tak ada
tolok bandingannya di dunia. Masa keemasan tamadun Islam ini mencapai
kemuncaknya pada masa kekhalifahan daulah abbasiah yang berpusat di Baghdad.

Kecemerlangan yang dicapai oleh tamadun Islam adalah disebabkan oleh


kemajuan ilmu pengetahuan dalam Islam. Baghdad pada kurun kesembilan sehingga
kurun ketiga belas merupakan satu-satunya pusat ilmu pengetahuan di dunia.
Perkembangan ilmu pengetahuan dalam Islam bermula dari kegiatan penterjemahan
karya-karya Yunani ke dalam bahasa Arab. Dengan kegiatan penterjemahan ini umat
Islam boleh menguasai ilmu pengetahuan yang berasal dari tamadun bangsa lain yang
mendahuluinya tidak hanya falsafah dan ilmu-ilmu dari Greek tetapi juga yang
berasal dari India, Parsi.

Proses penguasaan ilmu asing dalam Islam berjalan dengan pantas. Hal ini
disebabkan oleh sokongan yang kuat daripada khalifah yang berkuasa untuk
memajukan ilmu pengetahuan dalam Islam. Sebagai bukti daripada sokongan kuat
kerajaan adalah didirikannya Bait al-Hikmah oleh khalifah al-Ma’mun dan khalifah
membayar para penterjemah dengan bayaran yang lumayan.

kegiatan penterjemahan ini tidak hanya dikerjakan oleh orang Islam tetapi
antaranya ada yang beragama Nasrani seperti Hunain ibn Ishaq. Antara penterjemah
awal dari kalangan muslim ialah Abu Ishaq ibn Ya’qub yang mashhur dikenal dengan
al-Kindi. Al-kindi tidak hanya terlibat dalam kegiatan penterjemahan bahkan ia juga
aktif membuat syarahan-syarahan terhadap karya-karya asing berkenaan agar mudah
difahami. Ia bukan hanya orang Islam pertama yang digelari failasuf, bahkan ia adalah
failasuf pertama dari kalangan bangsa Arab. Al-kindi telah berjasa besar dalam
membukakan pintu falsafah dan ilmu pengetahuan yang dimasuki oleh para failasuf
dan ilmuwan dari generasi sesudahnya.

Dalam tulisan seterusnya penulis akan membincangkan tentang al-Kindi


sebagai bapa falsafah dalam Islam baik riwayat kehidupan, karya-karya mahupun
falsafahnya. Hanya kepada Allah kita meminta pertolongan.

II Riwayat Hidup Al-Kindi

Nama penuhnya adalah Abu Yusuf Ya’qub ibn Ishaq ibn al-Sabah ibn ‘Imran ibn
Isma’il ibn Muhammad ibn al-As’ash ibn Qais al-Kindi. Ia lebih popular dengan
panggilan al-Kindi iaitu dinisbatkan kepada Kindah satu kabilah di Yaman. Ia
keturunan bangsawan Arab dan ayahnya adalah Gabenor Kufah pada masa
pemerintahan khalifah al-Mahdi (775-785m) dan Harun al-Rasyid (786-809m).
(Oemar Amin Hosein: 1959, 80) Datuknya al-As’ash ibn Qais adalah salah seorang
sahabat Rasulullah SAW yang pertama kali masuk Islam dari suku Kindah.

Meskipun al-Kindi berasal dari suku Kindah di Yaman, tetapi ia dilahirkan di


Kufah. Tidak ada kesepakatan tentang tahun kelahiran al-Kindi. Henri Corbin dan
Harun Nasution menyebut ia dilahirkan pada tahun 185H/ 796M.(Henri
Corbin:1983,235; Harun Nasution: 1978, 14) Hasyimsyah Nasution menulis ia
dilahirkan pada tahun 801 M.(Hasyimsyah Nasution: 2002, 15). Sementara itu George
N. Atiyeh mengatakan tarikh lahirnya yang tepat tidak diketahui, namun kita dapat
menduga bahawa ia dilahirkan sebelum kurun kelapan miladiah.( George N.
Atiyeh:1983, 5) meskipun ada perbezaan pendapat tentang tahun lahirnya,Namun
semua penulis sepakat bahawa al-Kindi hidup pada masa kekhalifahan Daulah
Abbasiah iaitu al-Amin (809-813M), al-Ma’mun (813-833M), al-Mu’tasim (833-842
M), al-Wathiq (842-847M) dan al-Mutawakkil (847-861M) satu masa kejayaan
dinasti ‘Abbasiah dan berkembangnya intelektual.
Pada masa awal pertumbuhannya al-Kindi pindah ke Basrah. Basrah pada
waktu itu adalah pusat ilmu pengetahuan yang besar. Kota ini merupakan tempat
persemaian gerakan-gerakan intelektual seperti Mu’tazilah dan al-Ash’ariah, dua
aliran terbesar teologi muslim. Inilah yang menyebabkan ia berhasrat pindah ke
Basrah untuk mencari pengetahuan yang lebih banyak.

Kemudian ia pindah ke Baghdad. Disini ia menyelesaikan pendidikannya dan


berjumpa dengan pelbagai cerdik pandai Suriah dan Parsi yang pada masa itu tulang
belakang ilmu pengetahuan baru di ibukota kekhalifahan Abbasiah. Disebabkan oleh
kemasyhurannya dalam menguasai pelbagai ilmu dan kecendrungannya kepada
Rasionaliti, maka al-Ma’mun (813-833M) mengajaknya bergabung dengan kalangan
cendikiawan yang sedang sibuk mengumpulkan karya-karya ilmiah dan falsafah
Yunani serta menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab.( George N. atiyeh:1983, 6)

Namun apabila al-Mutawakkil menjabat khalifah pada 874M, al-Kindi bernasib


buruk, seperti para failasuf dan teolog lainnya. Selama lima tahun melelui masa sukar
pada masa pemerintahan al-Mutawakkil, al-Kindi meninggal pada tahun 866M.
( Majid Fakhri: 2002, 25)

III Karya-Karya Al-Kindi

Al-kindi tidak hanya seorang tokoh falsafah tetapi ia menguasai seluruh jenis ilmu
yang hangat dibincangkan pada zamannya. Oleh itu sebahagian penulis menyebutnya
tokoh ilmuwan (sains). Dengan demikain al-kindi boleh dikatakan tokoh falsafah
sains pada masanya. Karya-karyanya membincangkan semua bidang ilmu. Menurut
ibn al-Nadim karya-karya al-kindi mencapai 240 tajuk dalam pelbagai bidang ilmu
pengetahuan. (Ibn al-Nadim: 1997, 315-321) Pustakawan terpercaya ini
mengklasifikasikan karya-karya al-Kindi kepada bidang-bidang seperti berikut:
1) Kitab-kitab tentang falsafah (al-falsafiyyat)
2) Kitab-kitab tentang logik (al-mantiqiyyat)
3) Kitab-kitab tentang ilmu hisab (al-hisabiyyat)
4) Kitab-kitab tentang cakrawala (sfera) (al-kurriyyat)
5) Kitab-kitab tentang muzik (al-musiqiyyat)
6) Kitab-kitab tentang ramalan (al-nujumiyyat)
7) Kitab-kitab tentang kejuruteraan (al-handasiyyat)
8) Kitab-kitab tentang astrologi (al-falakiyyat)
9) Kitab-kitab tentang perubatan (al-tabibat)
10) Kitab-kitab tentang hukum (al-ahkamiyyat)
11) Kitab-kitab tentang dialektika (al-jadaliyyat)
12) Kitab-kitab tentang psikologi (al-nufusiyyat)
13) Kitab-kitab tentang politik (al-siyasiyyat)
14) Kitab-kitab tentang meteorologi (al-ahdasiyyat)
15) Kitab-kitab tentang al-ab’adiyyat
16) Kitab-kitab tentang al-taqdimiyyat
17) Kitab tentang kepelbagaian (al-anwa’iyyat)

Kitab-kitab al-Kindi dalam bidang falsafah antaranya adalah:


1. Kitâb al-Kindi ilâ al-Mu’tasim Billâh fî al-Falsafat al-Ûla (tentang falsafah
pertama)
2. Kitâb al-Falsafah al-Dâkhilah wa al-Masâil al-Mantiqiyyah wa al-Mu’tasah
wa Ma Fauqa al-Tabi’iyyah (tentang falsafah yang diperkenalkan dan
masalah-masalah logik yang muskil, serta metafisika)
3. Kitâb fî Annahu La Tanalu al-Falsafat Illa bi ‘Ilm al-Riyadiyyat (tentang
falsafah tidak boleh dicapai kecuali dengan ilmu pengetahuan dan
matematika)
4. Kitâb al-Hath ‘ala Ta’allum al-Falsafat (tentang anjuran untuk mempelajari
falsafah)
5. Kitâb Risalatuhu Kubra fi Miqyasihi ‘Ilm (tulisannya yang lebih penting
tentang aturan ilmiah)
6. Kitâb fi Qasd Aristâtalîs fi al-Maqûlât Iyyaha Qasdâ al-Maudû’ah Laha
(tentang maksud-maksud Aristatalis dalam kategori-kategorinya)
7. Risalat fî Kamiyyat Kutub Aristû wa ma Yahtâju ilaihi fî Tahsil al-Falsafat
(tentang jumlah buku-buku Aristoteles dan apa yang diperlukan untuk
mempelajari falsafah)
8. Kitâb fî Ma’iyyat al-‘Ilmu wa Aqsamihi (tentang sifat ilmu pengetahuan dan
klasifikasinya)
9. Kitâb Aqsâm al-Ilm al-Insî (tentang klasifikasi ilmu-ilmu pengetahuan
manusia)
10. Kitâb fi Fa’ilah wa al-Munfa’ilah min al-Tab’iyyat al-Ûla (tentang perbuatan
dan nafsu dari buku yang pertama tentang fisik
11. dan lain-lain.

Falsafah Al-Kindi
a. Falsafah dan Agama

Dalam sejarah Islam, penulisan falsafah yang sistematis baru bermula pada
kurun kesembilan. Sebelum itu kegiatan falsafah hanya berupa penterjemahan
karya-karya falsafah Greek dan Suryani. Penulis yang pertama merayakan tradisi
penulisan falsafah adalah Al-Kindi. Dengan demikian al-Kindi dipanggil bapa
falsafah Islam dan failasuf pertama dari keturunan Arab.

Dalam karangannya tentang falsafah pertama, al-Kindi mengatakan, yang


paling luhur dan paling mulia diantara segala seni manusia adalah seni falsafah. Ia
mendefinisikan falsafah dengan “pengetahuan tentang segala perkara setakat
kemampuan pengetahuan manusia”. Tujuan failasuf dibidang pengetahuannya
adalah untuk sampai kepada kebenaran, sedangkan tujuannya di bidang
tindakannnya adalah untuk berkelakuan sesuai dengan kebenaran tersebut. (al-
Kindi’s Metaphisics: 1974, 55)

Falsafah dipandang sebagai ilmu yang mulia kerana ianya ilmu yang mengkaji
tentang sebab dan realiti pertama iaitu Tuhan yang merupakan sebab dari semua
realiti lainnya. Oleh itu falsafah diberi tempat pertama dalam urutan pengetahuan.
Sebagai failasuf muslim pertama al-Kindi amat berjasa dalam memperkenalkan
falsafah kepada masyarakat muslim. Umat Islam pada masa itu masih mencurigai
falsafah dan menganggap ianya bercanggah dengan agama.

Maka kerja al-kindi yang pertama adalah menjelaskan kepada umat Islam
tentang hubungan falsafah dan agama, dan mengajak mereka untuk mempelajari
falsafah. Dengan kata lain al-kindi berusaha untuk memadukan (talfiq) antara
agama dan falsafah.
Menurutnya, falsafah dan agama tidaklah bercanggah. Falsafah adalah
pengetahuan yang benar. Al-Qur’an yang membawa hujah-hujah yang benar tidak
mungkin bercanggah dengan kebenaran yang dihasilkan oleh falsafah. Kerana itu
mempelajari falsafah dan berfalsafah tidak dilarang bahan teologi merupakan
bagian dari falsafah, sedangkan umat Islam diwajibkan mempelajari teologi.

Bertemunya falsafah dan agama dalam kebenaran dan kebaikan sekali gus
menjadi tujuan dari keduanya. Disamping wahyu, agama juga menggunakan akal,
dan falsafah juga menggunakan akal. Yang benar pertama bagi al-Kindi ialah
Tuhan. Falsafah dengan demikian membahas soal Tuhan dan ini pulalah dasar
agama. (Harun Nasution: 1973, 15)

Al-kindi adalah orang pertama yang mengatakan bahawa falsafah memiliki


hubungan yang kuat dengan agama. Untuk memperkuat kenyataannnya ini al-
Kindi mengemukakan beberapa hujah. Pertama, agama merupakan bahagian
daripada falsafah sebab falsafah adalah pengetahuan tentang kebenaran yang
terkandung didalamnya kebenaran yang asas iaitu Keesaan Tuhan, dan moral.
Kedua, wahyu yang diturunkan kepada nabi dan kebenaran falsafah adalah selaras
tanpa ada percanggahan. Ketiga, usaha falsafah diatur oleh logika. Oleh itu
failasuf berkata, perlukah mempelajari falsafah? Jika dikatakan tidak perlu maka
mereka mesti mengemukakan hujah dan menunujukkan contoh. Memberikan
hujah dan menunjukkan contoh adalah bahagian daripada kegiatan falsafah. Oleh
itu tidah ada jalan lain kecuali bersikap netral kepadanya. (Oemar Amin Hoesin:
1959, 96-97; Abd Halim Mahmud: 1985, 310)

Orang yang menolak falsafah menurut al-Kindi bererti ia mengingkari


kebenaran dan kerana itu ia boleh di golongkan kepada kafir kerana orang
berkenaan telah jauh dari kebenaran, meskipun ia menganggap dirinya paling
benar. Al-Kindi mengajak umat Islam supaya mengambil kebenaran dari mana
pun datangnya, sebab tidak ada yang lebih berharga dari pencari kebenaran selain
kebenaran itu sendiri.

Disamping hujah rasional al-Kindi juga merujuk kepada ayat-ayat al-Qur’an


yang banyak menyuruh menyelidiki dan memperhatikan pelbagai fenomena di
alam. Misalnya surat al-Hasr ayat 2, al-Ghasiah ayat 17-20, al-A’raf ayat 85, dan
al-Baqarah ayat 164.

Pengingkaran terhadap hasil-hasil falsafah kerana adanya perkara-perkara


yang secara zahirnya bercanggah dengan apa yang telah digariskan al-Qur’an,
menurut al-Kindi perkara ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak falsafah,
kerana perkara ini dapat diselesaikan menerusi ta’wil. Usaha ini adalah sahih
kerana bahasa Arab memiliki dua makna iaitu makna hakiki dan makna majazi.

b. Metafisik

Menurut al-Kindi topik utama yang dikaji oleh metafisik adalah Tuhan. al-Kindi
menyebut metafisik dengan istilah falsafah pertama. mengikut al-Kindi Tuhan
prinsip pertama dari segala sesuatu yang bersifat Maha Esa. Esa ini tidak dapat
dibayangkan tidak adanya atau mempunyai sebuah sebab bagi wujudnya selain
dirinya sendiri.(Majid Fakhri: 1986, 119)

Ia adalah wujud yang sempurna dan tidak didahului oleh wujud lain. Wujud-
Nya tidak berakhir, sedangkan wujud lain disebabkan oleh wujud-Nya. Ia tidak
dapat dibagi-bagi, dan tidak ada zat lain yang menyamai-Nya dalam segala aspek.
Ia tidak melahirkan dan tidak pula dilahirkan.

Benda-benda di alam yang dapat ditangkap dengan deria lahir memiliki dua
hakikat iaitu hakikat sebagai juz’i yang disebut aniah dan hakikat sebagai kulli
yang disebut mahiah iaitu hakikat yang bersifat universal dalam bentuk genus dan
species.
Tuhan dalam falsafah al-Kindi tidak mempunyai hakikat dalam pengertian aniah
atau mahiah . Tidak aniah kerana Tuhan tidak termasuk dalam benda-benda yang
ada di alam, bahkan ia Pencipta alam. Ia tidak tersusun daripada materi dan
bentuk. Tuhan tidak mempunyai hakikat dalam bentuk mahiah kerana Tuhan tidak
merupakan genus ataupun species. Tuhan hanya satu, dan tidak ada yang
menyerupai-Nya. Ia adalah unik. Ia adalah al-Haqq al-Awwal, dan Al-Haqq Al-
Wahid. Ia semata-mata satu. Selain Tuhan mengandungi erti banyak. (Harun
Nasution: 1978, 12-13)
Selari dengan faham yang ada dalam Islam, tuhan menurut al-Kindi adalah
Pencipta dan bukan penggerak pertama sebagaimana pendapat aristoteles. Alam
menurut al-Kindi bukan kekal pada masa lalu (qadim), tetapi ianya mempunyai
permulaan. Pendapat al-Kindi ini menunjukkan adanya pengaruh yang kuat dari
ilmu kalam pada masa itu. Dari segi lain kita melihat tidak adanya pemutusan
langsung antara falsafah dan agama. Untuk membuktikan adanya Tuhan al-Kindi
mengemukakkan dalil-dalil empirik iaitu, dalil baharu alam, dalil kepelbagaian
dan kesatuan dan dalil pengendalian alam.

Berangkat dari pendapatnya tentang bermulanya alam, dalam bidang


kosmologi (penciptaan alam semesta) al-Kindi berpendapat bahawa alam ini
dijadikan Tuhan dari tiada (creation ex nihilio). Allah tidak hanya menciptakan
alam tetapi juga mengendalikan dan mengaturnya, serta menjadikan
sebahagiannya sebab bagi yang lain.

Pendapat al-Kindi tentang penciptaan alam dari ketiadaan, menunjukkan


sikapnya yang masih sukar melepaskan diri dari prinsip-prinsip teologis,
terutamanya Mu’tazilah. Disamping itu juga menunjukkan pembelaannya
terhadap kepercayaan Islam dalam menghadapi serangan-serangan yang
dilancarkan oleh kaum materialis dan manichaenais atau agnostik.

c. Falsafah Jiwa

Jiwa, menurut al-kindi tidak tersusun (simple, sederhana), mempunyai erti


penting, sempurna dan mulia. Substansi ruh berasal dari substansi Tuhan.
hubungan ruh dengan Tuhan sama dengan hubungan cahaya dengan matahari.
(Hasyimsyah Nasution: 2002, 22) selain itu jiwa bersifat spiritual, ilahiah,
terpisah dan berbeza dengan badan.

Argumen al-Kindi tentang berbezanya jiwa dengan badan diasaskan kepada


konsep phitagoreans-platonik tentang kesatuan yang aksidental dan temporer dari
jiwa dan badan. Jiwa adalah prinsip kehidupan yang mempengaruhi tubuh untuk
beberapa masa lamanya kemudian melepaskannya tanpa mempengaruhi
kejasmaniannya.(Majid Fakhri: 1986, 133-134)

Argumen lain yang dimajukan al-Kindi tentang berbezanya ruh dan tubuh
adalah keadaan badan mempunyai hawa nafsu dan sifat pemarah sedangkan ruh
menentang keinginan hawa nafsu dan emosi. Dengan demikian jelaslah yang
melarang tidak sama dengan yang melarang.

Al-Kindi membuat perbandingan tentang keadaan jiwa. Apabila kemuliaan


jiwa diingkari dan tertarik dengan kesenangan-kesenangan jasmani, al-Kindi
membandingkan mereka dengan babi, sebab kecekapan apetitif menguasai
mereka. Jika dorongan-dorongan nafsu birahi yang sangat dominan, di
bandingkan al-Kindi dengan anjing. Sedangkan bagi meraka yang menjadikan
akal sebagai tuannya dimisalkan al-Kindi dengan raja.

Meskipun berbeza, antara jiwa dan badan saling berhubungan dan saling
memberi bimbingan . Bimbingan ini diperlukan supaya hidup manusia menjadi
selaras dan seimbang. Ketidakseimbangan akan berlaku apabila salah satu
daripada unsur ini berkuasa. untuk mencapai keseimbangan manuasia
memerlukan tuntunan. Yang menuntun ialah iman dan wahyu.

Al-Kindi berpendapat bahawa jiwa mempunyai tiga daya iaitu daya berpikir,
daya marah dan daya bernafsu (sahwat). Daya berfikir ini diseburt akal.
Mengikutnya akal terbahagi kepada :
1. Akal yang bersifat potensial
2. Akal yang telah keluar dari sifat potensial menjadi aktual
3. Akal yang telah mencapai tingkat kedua dari aktualiti

Akal yang bersifat potensial tidak dapat keluar menjadi actual jika tidak ada
kekuatan yang menggerakknya dari luar. Kerana itu ada satu jenis akal yang
mempunyai wujud diluar ruh manusia iaitu akal yang selamanya berada dalam
aktualiti. (Harun Nasution: 1978, 19)

d. Etik
al-Kindi menulis beberapa defenisi falsafah, antaranya adalah :
- Berusaha mencontoh perbuatan Allah setakat kemampuan manusia
- Falsafah adalah amal kematian. Al-Kindi mensyarah maksud defenisi ini dengan
mematikan shahwat. kerana mematikan shahwat adalah jalan untuk mencapai
keutamaan. Hal itu kerana kelazatan membawa kepada keburukan, sebab apabila
seseorang sibuk dengan kelazatan panca indera maka ia akan meninggalkan
penggunaan akal.

Manusia boleh mencapai keutamaan yang sempurna apabila ia mengenal


keutamaaan dirinya dan konsisten dalam usaha mencapai keutamaan berkenaan.
Keutamaan manusia menurut pemikiran al-Kindi terletak pada akhlaknya yang
terpuji. (Abd Halim Mahmud: 1985, 319-321)

Keutamaan ini terbahagi pula kepada dua bahagian:


1. Bersifat asasi dan berada dalam diri manusia iaitu pengetahuan dan amal.
Ianya terbahagi pula kepada tiga bahagian,
a. Kebijaksanaan (hikmah) iaitu kesempurnnaan daya rasional atau daya berfikir
yang terbahagi kepada teoritis dan ‘amali,
b. Keberanian (najdah) iaitu kemuncak keutamaan daya emosi. Yang dimaksud
dengan al-najdah ialah ketetapan emosi.
c. Pengendalian diri (‘ifah) iaitu mengambil sesuatu yang mesti diambil kerana
diperlukan oleh badan dan menjaga kesihatannya dan menahan diri dari selain
demikian, yang merupakan kesempurnaan dari daya nafsu (emosi)

Doktrin tentang etik ini berasaskan kepada pemikiran al-kindi tentang jiwa yang
memiliki tiga daya iaitu daya berfikir (rasio), daya marah (emosi) dan daya nafsu
(sahwat).( Majid Fakhri:2002, 33) Keutamaan-keutamaan yang tiga diatas secara
umum merupakan had atau sempadan antara keutamaan dan kehinaan. Orang yang
ingin mendapat keutamaan maka ia hendaklah berdiri dipertengahan had berkenaan.
Kehinaan akan berlaku apabila seseorang bersikap amat kurang atau amat melampau
dari had tersebut.
Dari huraian diatas dapat disimpilkan bahawa keutamaan daya jiwa ini terletak
pada sikap i’tidal (sederhana).

2. Keutamaan yang tidak terdapat dalam jiwa manusia, tetapi ianya merupakan
hasil dari keutamaan yang tiga diatas apabila manusia bersikap i’tidal dalam
memakai sifat-sifat berkenaan.

Keutamaan manusia menurut al-Kindi terletak pada akhlak jiwanya dan hasil
daripada akhlak jiwa tersebut yang nampak secara lahiriah. Manusia yang melazimi
keutamaan maka ia akan menikmati hasilnya iaitu kehidupan yang bahagia.

V PENUTUP
Kesimpulan
Dari huraian sebelumnya dapat disimpulkan bahawa al-Kindi ialah bapa falsafah
Islam dan failasuf pertama dari kalangan bangsa Arab. Al-Kindi memiliki ilmu yang
luas bahkan ia menguasai dan menulis semua jenis ilmu yang hangat dibincangkan
pada masanya seperti matematika, astronomi, perubatan, logik, falsafah bahkan
sehingga kepada ilmu muzik.

Oleh itu al-Kindi merupakan seorang tokoh falsafah sains Islam yang amat
berjasa memperkenalkan dan membukakan pintu falsafah dan ilmu pengetahuan
kepada umat Islam untuk kemajuan Islam dan kaum muslimin. Al-Kindi juga seorang
tokoh falsafah sains yang sangat produktif. Menurut Ibn al-Nadim karyanya mencapai
240 tajuk dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Semangat dan hasrat al-Kindi yang besar terhadap falsafah dan ilmu
pengetahuan patut ditauladani oleh generasi hari ini supaya umat Islam dapat keluar
dari krisis yang berkepanjangan dan boleh mengejar kemajuan yang dicapai oleh
Dunia Barat. Wallahu a’lam
RUJUKAN

Al-Qur’an al-Karim

Atiyeh, George, N.: 1966, al-Kindi: The Philosopher of The Arab, terj. Kasidjo
Djoyosuwarno, Bandung: Penerbit Pustaka Perpustakaan Salman Institut Teknologi
Bandung

Corbin, Henri: 1983, Tarikh al-Falsafah al-Islamiyyah, Beirut-Paris: Editions Oueidat

Fakhri, Majid: 1986, History of Islamic Philosophi, terj. Mulyadi kartanegara, Jakarta:
Pustaka Jaya

------------: 2002, A Short Introduction to Islamic Philosophy Theology and


Mysticism, terj. Zaimul Am, Bandung: mizan

Hoesin, Oemar Amin: 1959, Filsafat Islam, Jakarta: Bulan Bintang

Ivry, Alfred l:1974, al-Kindi’s Metaphisics, Albany: State University of New York

Press

Mahmud, Abd Halim: al-Tafkir al-Falsafi fi al-Islam, Lubnan: Dar al-Kitab-Maktabat


al-Madrasat

Al-Nadim, Ibn: 1997, Al-Fihrist, Beirut Lubnan: Dar Al-Ma’arif

Nasution, Harun:1973, Falsafat Dan Mistisisme Dalam Islam, Jakarta: Bulan Bintang

Nasution, Hasyimsyah: 2002, Filsafat Islam, Jakarta: Gaya Media Pratama

Anda mungkin juga menyukai