Anda di halaman 1dari 12

FALSAFAH AL-KINDI

Oleh: Ridwan Arif, Ph.D

IPendahuluan
Seorang Sarjana Barat H.A.R Gibb pernah berkata, “Islam is much more than a system of
theologi it’s a complete civilization”. Apa yang dikatakan Gibb diatas bukan tidak beralasan.
Sejarah telah membuktikan bahawa Islam pernah memiliki tamadun yang gemilang,
cemerlang dan terbilang. Islam pernah memiliki kejayaan masa lalu.

Pada masa Barat masih tenggelam dalam tidur yang panjang yang dikenali dengan
the dark age (masa kegelapan) tamadun Islam sudah mencapai puncak kejayaannya.
Tamadun Islam pada masa itu adalah satu-satunya tamadun yang tak ada tolok bandingannya
di dunia. Masa keemasan tamadun Islam ini mencapai kemuncaknya pada masa kekhalifahan
daulah abbasiah yang berpusat di Baghdad.

Kecemerlangan yang dicapai oleh tamadun Islam adalah disebabkan oleh kemajuan
ilmu pengetahuan dalam Islam. Baghdad pada kurun kesembilan sehingga kurun ketiga belas
merupakan satu-satunya pusat ilmu pengetahuan di dunia. Perkembangan ilmu pengetahuan
dalam Islam bermula dari kegiatan penterjemahan karya-karya Yunani ke dalam bahasa Arab.
Dengan kegiatan penterjemahan ini umat Islam boleh menguasai ilmu pengetahuan yang
berasal dari tamadun bangsa lain yang mendahuluinya tidak hanya falsafah dan ilmu-ilmu
dari Greek tetapi juga yang berasal dari India, Parsi.

Proses penguasaan ilmu asing dalam Islam berjalan dengan pantas. Hal ini disebabkan
oleh sokongan yang kuat daripada khalifah yang berkuasa untuk memajukan ilmu
pengetahuan dalam Islam. Sebagai bukti daripada sokongan kuat kerajaan adalah
didirikannya Bait al-Hikmah oleh khalifah al-Ma’mun dan khalifah membayar para
penterjemah dengan bayaran yang lumayan.

kegiatan penterjemahan ini tidak hanya dikerjakan oleh orang Islam tetapi antaranya
ada yang beragama Nasrani seperti Hunain ibn Ishaq. Antara penterjemah awal dari kalangan
muslim ialah Abu Ishaq ibn Ya’qub yang mashhur dikenal dengan al-Kindi. Al-kindi tidak
hanya terlibat dalam kegiatan penterjemahan bahkan ia juga aktif membuat syarahan-
syarahan terhadap karya-karya asing berkenaan agar mudah difahami. Ia bukan hanya orang
Islam pertama yang digelari failasuf, bahkan ia adalah failasuf pertama dari kalangan bangsa
Arab. Al-kindi telah berjasa besar dalam membukakan pintu falsafah dan ilmu pengetahuan
yang dimasuki oleh para failasuf dan ilmuwan dari generasi sesudahnya.

Dalam tulisan seterusnya penulis akan membincangkan tentang al-Kindi sebagai bapa
falsafah dalam Islam baik riwayat kehidupan, karya-karya mahupun falsafahnya. Hanya
kepada Allah kita meminta pertolongan.

II Riwayat Hidup Al-Kindi

Nama penuhnya adalah Abu Yusuf Ya’qub ibn Ishaq ibn al-Sabah ibn ‘Imran ibn Isma’il ibn
Muhammad ibn al-As’ash ibn Qais al-Kindi. Ia lebih popular dengan panggilan al-Kindi iaitu
dinisbatkan kepada Kindah satu kabilah di Yaman. Ia keturunan bangsawan Arab dan
ayahnya adalah Gabenor Kufah pada masa pemerintahan khalifah al-Mahdi (775-785m) dan
Harun al-Rasyid (786-809m). (Oemar Amin Hosein: 1959, 80) Datuknya al-As’ash ibn Qais
adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang pertama kali masuk Islam dari suku
Kindah.

Meskipun al-Kindi berasal dari suku Kindah di Yaman, tetapi ia dilahirkan di Kufah.
Tidak ada kesepakatan tentang tahun kelahiran al-Kindi. Henri Corbin dan Harun Nasution
menyebut ia dilahirkan pada tahun 185H/ 796M.(Henri Corbin:1983,235; Harun Nasution:
1978, 14) Hasyimsyah Nasution menulis ia dilahirkan pada tahun 801 M.(Hasyimsyah
Nasution: 2002, 15). Sementara itu George N. Atiyeh mengatakan tarikh lahirnya yang tepat
tidak diketahui, namun kita dapat menduga bahawa ia dilahirkan sebelum kurun kelapan
miladiah.( George N. Atiyeh:1983, 5) meskipun ada perbezaan pendapat tentang tahun
lahirnya,Namun semua penulis sepakat bahawa al-Kindi hidup pada masa kekhalifahan
Daulah Abbasiah iaitu al-Amin (809-813M), al-Ma’mun (813-833M), al-Mu’tasim (833-842
M), al-Wathiq (842-847M) dan al-Mutawakkil (847-861M) satu masa kejayaan dinasti
‘Abbasiah dan berkembangnya intelektual.

Pada masa awal pertumbuhannya al-Kindi pindah ke Basrah. Basrah pada waktu itu
adalah pusat ilmu pengetahuan yang besar. Kota ini merupakan tempat persemaian gerakan-
gerakan intelektual seperti Mu’tazilah dan al-Ash’ariah, dua aliran terbesar teologi muslim.
Inilah yang menyebabkan ia berhasrat pindah ke Basrah untuk mencari pengetahuan yang
lebih banyak.

Kemudian ia pindah ke Baghdad. Disini ia menyelesaikan pendidikannya dan


berjumpa dengan pelbagai cerdik pandai Suriah dan Parsi yang pada masa itu tulang belakang
ilmu pengetahuan baru di ibukota kekhalifahan Abbasiah. Disebabkan oleh kemasyhurannya
dalam menguasai pelbagai ilmu dan kecendrungannya kepada Rasionaliti, maka al-Ma’mun
(813-833M) mengajaknya bergabung dengan kalangan cendikiawan yang sedang sibuk
mengumpulkan karya-karya ilmiah dan falsafah Yunani serta menterjemahkannya ke dalam
bahasa Arab.( George N. atiyeh:1983, 6)

Namun apabila al-Mutawakkil menjabat khalifah pada 874M, al-Kindi bernasib buruk,
seperti para failasuf dan teolog lainnya. Selama lima tahun melelui masa sukar pada masa
pemerintahan al-Mutawakkil, al-Kindi meninggal pada tahun 866M.( Majid Fakhri: 2002, 25)

III Karya-Karya Al-Kindi

Al-kindi tidak hanya seorang tokoh falsafah tetapi ia menguasai seluruh jenis ilmu yang
hangat dibincangkan pada zamannya. Oleh itu sebahagian penulis menyebutnya tokoh
ilmuwan (sains). Dengan demikain al-kindi boleh dikatakan tokoh falsafah sains pada
masanya. Karya-karyanya membincangkan semua bidang ilmu. Menurut ibn al-Nadim
karya-karya al-kindi mencapai 240 tajuk dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan. (Ibn al-
Nadim: 1997, 315-321) Pustakawan terpercaya ini mengklasifikasikan karya-karya al-Kindi
kepada bidang-bidang seperti berikut:
1) Kitab-kitab tentang falsafah (al-falsafiyyat)
2) Kitab-kitab tentang logik (al-mantiqiyyat)
3) Kitab-kitab tentang ilmu hisab (al-hisabiyyat)
4) Kitab-kitab tentang cakrawala (sfera) (al-kurriyyat)
5) Kitab-kitab tentang muzik (al-musiqiyyat)
6) Kitab-kitab tentang ramalan (al-nujumiyyat)
7) Kitab-kitab tentang kejuruteraan (al-handasiyyat)
8) Kitab-kitab tentang astrologi (al-falakiyyat)
9) Kitab-kitab tentang perubatan (al-tabibat)
10) Kitab-kitab tentang hukum (al-ahkamiyyat)
11) Kitab-kitab tentang dialektika (al-jadaliyyat)
12) Kitab-kitab tentang psikologi (al-nufusiyyat)
13) Kitab-kitab tentang politik (al-siyasiyyat)
14) Kitab-kitab tentang meteorologi (al-ahdasiyyat)
15) Kitab-kitab tentang al-ab’adiyyat
16) Kitab-kitab tentang al-taqdimiyyat
17) Kitab tentang kepelbagaian (al-anwa’iyyat)

Kitab-kitab al-Kindi dalam bidang falsafah antaranya adalah:


1. Kitâb al-Kindi ilâ al-Mu’tasim Billâh fî al-Falsafat al-Ûla (tentang falsafah pertama)
2. Kitâb al-Falsafah al-Dâkhilah wa al-Masâil al-Mantiqiyyah wa al-Mu’tasah wa Ma
Fauqa al-Tabi’iyyah (tentang falsafah yang diperkenalkan dan masalah-masalah logik
yang muskil, serta metafisika)
3. Kitâb fî Annahu La Tanalu al-Falsafat Illa bi ‘Ilm al-Riyadiyyat (tentang falsafah
tidak boleh dicapai kecuali dengan ilmu pengetahuan dan matematika)
4. Kitâb al-Hath ‘ala Ta’allum al-Falsafat (tentang anjuran untuk mempelajari falsafah)
5. Kitâb Risalatuhu Kubra fi Miqyasihi ‘Ilm (tulisannya yang lebih penting tentang
aturan ilmiah)
6. Kitâb fi Qasd Aristâtalîs fi al-Maqûlât Iyyaha Qasdâ al-Maudû’ah Laha (tentang
maksud-maksud Aristatalis dalam kategori-kategorinya)
7. Risalat fî Kamiyyat Kutub Aristû wa ma Yahtâju ilaihi fî Tahsil al-Falsafat(tentang
jumlah buku-buku Aristoteles dan apa yang diperlukan untuk mempelajari falsafah)
8. Kitâb fî Ma’iyyat al-‘Ilmu wa Aqsamihi (tentang sifat ilmu pengetahuan dan
klasifikasinya)
9. Kitâb Aqsâm al-Ilm al-Insî (tentang klasifikasi ilmu-ilmu pengetahuan manusia)
10. Kitâb fi Fa’ilah wa al-Munfa’ilah min al-Tab’iyyat al-Ûla (tentang perbuatan dan
nafsu dari buku yang pertama tentang fisik
11. dan lain-lain.

Falsafah Al-Kindi
a. Falsafah dan Agama

Dalam sejarah Islam, penulisan falsafah yang sistematis baru bermula pada kurun
kesembilan. Sebelum itu kegiatan falsafah hanya berupa penterjemahan karya-karya
falsafah Greek dan Suryani. Penulis yang pertama merayakan tradisi penulisan falsafah
adalah Al-Kindi. Dengan demikian al-Kindi dipanggil bapa falsafah Islam dan failasuf
pertama dari keturunan Arab.

Dalam karangannya tentang falsafah pertama, al-Kindi mengatakan, yang paling luhur
dan paling mulia diantara segala seni manusia adalah seni falsafah. Ia mendefinisikan
falsafah dengan “pengetahuan tentang segala perkara setakat kemampuan pengetahuan
manusia”. Tujuan failasuf dibidang pengetahuannya adalah untuk sampai kepada
kebenaran, sedangkan tujuannya di bidang tindakannnya adalah untuk berkelakuan sesuai
dengan kebenaran tersebut. (al-Kindi’s Metaphisics: 1974, 55)

Falsafah dipandang sebagai ilmu yang mulia kerana ianya ilmu yang mengkaji
tentang sebab dan realiti pertama iaitu Tuhan yang merupakan sebab dari semua realiti
lainnya. Oleh itu falsafah diberi tempat pertama dalam urutan pengetahuan. Sebagai
failasuf muslim pertama al-Kindi amat berjasa dalam memperkenalkan falsafah kepada
masyarakat muslim. Umat Islam pada masa itu masih mencurigai falsafah dan
menganggap ianya bercanggah dengan agama.

Maka kerja al-kindi yang pertama adalah menjelaskan kepada umat Islam tentang
hubungan falsafah dan agama, dan mengajak mereka untuk mempelajari falsafah. Dengan
kata lain al-kindi berusaha untuk memadukan (talfiq) antara agama dan falsafah.

Menurutnya, falsafah dan agama tidaklah bercanggah. Falsafah adalah pengetahuan


yang benar. Al-Qur’an yang membawa hujah-hujah yang benar tidak mungkin
bercanggah dengan kebenaran yang dihasilkan oleh falsafah. Kerana itu mempelajari
falsafah dan berfalsafah tidak dilarang bahan teologi merupakan bagian dari falsafah,
sedangkan umat Islam diwajibkan mempelajari teologi.

Bertemunya falsafah dan agama dalam kebenaran dan kebaikan sekali gus menjadi
tujuan dari keduanya. Disamping wahyu, agama juga menggunakan akal, dan falsafah
juga menggunakan akal. Yang benar pertama bagi al-Kindi ialah Tuhan. Falsafah dengan
demikian membahas soal Tuhan dan ini pulalah dasar agama. (Harun Nasution: 1973, 15)
Al-kindi adalah orang pertama yang mengatakan bahawa falsafah memiliki hubungan
yang kuat dengan agama. Untuk memperkuat kenyataannnya ini al-Kindi mengemukakan
beberapa hujah. Pertama, agama merupakan bahagian daripada falsafah sebab falsafah
adalah pengetahuan tentang kebenaran yang terkandung didalamnya kebenaran yang asas
iaitu Keesaan Tuhan, dan moral. Kedua, wahyu yang diturunkan kepada nabi dan
kebenaran falsafah adalah selaras tanpa ada percanggahan. Ketiga, usaha falsafah diatur
oleh logika. Oleh itu failasuf berkata, perlukah mempelajari falsafah? Jika dikatakan
tidak perlu maka mereka mesti mengemukakan hujah dan menunujukkan contoh.
Memberikan hujah dan menunjukkan contoh adalah bahagian daripada kegiatan falsafah.
Oleh itu tidah ada jalan lain kecuali bersikap netral kepadanya. (Oemar Amin Hoesin:
1959, 96-97;Abd Halim Mahmud: 1985, 310)

Orang yang menolak falsafah menurut al-Kindi bererti ia mengingkari kebenaran dan
kerana itu ia boleh di golongkan kepada kafir kerana orang berkenaan telah jauh dari
kebenaran, meskipun ia menganggap dirinya paling benar. Al-Kindi mengajak umat Islam
supaya mengambil kebenaran dari mana pun datangnya, sebab tidak ada yang lebih
berharga dari pencari kebenaran selain kebenaran itu sendiri.

Disamping hujah rasional al-Kindi juga merujuk kepada ayat-ayat al-Qur’an yang
banyak menyuruh menyelidiki dan memperhatikan pelbagai fenomena di alam. Misalnya
surat al-Hasr ayat 2, al-Ghasiah ayat 17-20, al-A’raf ayat 85, dan al-Baqarah ayat 164.

Pengingkaran terhadap hasil-hasil falsafah kerana adanya perkara-perkara yang secara


zahirnya bercanggah dengan apa yang telah digariskan al-Qur’an, menurut al-Kindi
perkara ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak falsafah, kerana perkara ini dapat
diselesaikan menerusi ta’wil. Usaha ini adalah sahih kerana bahasa Arab memiliki dua
makna iaitu makna hakiki dan makna majazi.

b. Metafisik

Menurut al-Kindi topik utama yang dikaji oleh metafisik adalah Tuhan. al-Kindi
menyebut metafisik dengan istilah falsafah pertama. mengikut al-Kindi Tuhan prinsip
pertama dari segala sesuatu yang bersifat Maha Esa. Esa ini tidak dapat dibayangkan
tidak adanya atau mempunyai sebuah sebab bagi wujudnya selain dirinya sendiri.(Majid
Fakhri: 1986, 119)

Ia adalah wujud yang sempurna dan tidak didahului oleh wujud lain. Wujud-Nya
tidak berakhir, sedangkan wujud lain disebabkan oleh wujud-Nya. Ia tidak dapat dibagi-
bagi, dan tidak ada zat lain yang menyamai-Nya dalam segala aspek. Ia tidak melahirkan
dan tidak pula dilahirkan.

Benda-benda di alam yang dapat ditangkap dengan deria lahir memiliki dua hakikat
iaitu hakikat sebagai juz’i yang disebut aniah dan hakikat sebagai kulli yang disebut
mahiah iaitu hakikat yang bersifat universal dalam bentuk genus dan species.
Tuhan dalam falsafah al-Kindi tidak mempunyai hakikat dalam pengertian aniah atau
mahiah . Tidak aniah kerana Tuhan tidak termasuk dalam benda-benda yang ada di alam,
bahkan ia Pencipta alam. Ia tidak tersusun daripada materi dan bentuk. Tuhan tidak
mempunyai hakikat dalam bentuk mahiah kerana Tuhan tidak merupakan genus ataupun
species. Tuhan hanya satu, dan tidak ada yang menyerupai-Nya. Ia adalah unik. Ia adalah
al-Haqq al-Awwal, dan Al-Haqq Al-Wahid. Ia semata-mata satu. Selain Tuhan
mengandungi erti banyak. (Harun Nasution: 1978, 12-13)

Selari dengan faham yang ada dalam Islam, tuhan menurut al-Kindi adalah Pencipta
dan bukan penggerak pertama sebagaimana pendapat aristoteles. Alam menurut al-Kindi
bukan kekal pada masa lalu (qadim), tetapi ianya mempunyai permulaan. Pendapat al-
Kindi ini menunjukkan adanya pengaruh yang kuat dari ilmu kalam pada masa itu. Dari
segi lain kita melihat tidak adanya pemutusan langsung antara falsafah dan agama. Untuk
membuktikan adanya Tuhan al-Kindi mengemukakkan dalil-dalil empirik iaitu, dalil
baharu alam, dalil kepelbagaian dan kesatuan dan dalil pengendalian alam.

Berangkat dari pendapatnya tentang bermulanya alam, dalam bidang kosmologi


(penciptaan alam semesta) al-Kindi berpendapat bahawa alam ini dijadikan Tuhan dari
tiada (creation ex nihilio). Allah tidak hanya menciptakan alam tetapi juga
mengendalikan dan mengaturnya, serta menjadikan sebahagiannya sebab bagi yang lain.

Pendapat al-Kindi tentang penciptaan alam dari ketiadaan, menunjukkan sikapnya


yang masih sukar melepaskan diri dari prinsip-prinsip teologis, terutamanya Mu’tazilah.
Disamping itu juga menunjukkan pembelaannya terhadap kepercayaan Islam dalam
menghadapi serangan-serangan yang dilancarkan oleh kaum materialis dan manichaenais
atau agnostik.

c. Falsafah Jiwa

Jiwa, menurut al-kindi tidak tersusun (simple, sederhana), mempunyai erti penting,
sempurna dan mulia. Substansi ruh berasal dari substansi Tuhan. hubungan ruh dengan
Tuhan sama dengan hubungan cahaya dengan matahari.(Hasyimsyah Nasution: 2002, 22)
selain itu jiwa bersifat spiritual, ilahiah, terpisah dan berbeza dengan badan.

Argumen al-Kindi tentang berbezanya jiwa dengan badan diasaskan kepada konsep
phitagoreans-platonik tentang kesatuan yang aksidental dan temporer dari jiwa dan badan.
Jiwa adalah prinsip kehidupan yang mempengaruhi tubuh untuk beberapa masa lamanya
kemudian melepaskannya tanpa mempengaruhi kejasmaniannya.(Majid Fakhri: 1986,
133-134)

Argumen lain yang dimajukan al-Kindi tentang berbezanya ruh dan tubuh adalah
keadaan badan mempunyai hawa nafsu dan sifat pemarah sedangkan ruh menentang
keinginan hawa nafsu dan emosi. Dengan demikian jelaslah yang melarang tidak sama
dengan yang melarang.

Al-Kindi membuat perbandingan tentang keadaan jiwa. Apabila kemuliaan jiwa


diingkari dan tertarik dengan kesenangan-kesenangan jasmani, al-Kindi membandingkan
mereka dengan babi, sebab kecekapan apetitif menguasai mereka. Jika dorongan-
dorongan nafsu birahi yang sangat dominan, di bandingkan al-Kindi dengan anjing.
Sedangkan bagi meraka yang menjadikan akal sebagai tuannya dimisalkan al-Kindi
dengan raja.

Meskipun berbeza, antara jiwa dan badan saling berhubungan dan saling memberi
bimbingan . Bimbingan ini diperlukan supaya hidup manusia menjadi selaras dan
seimbang. Ketidakseimbangan akan berlaku apabila salah satu daripada unsur ini
berkuasa. untuk mencapai keseimbangan manuasia memerlukan tuntunan. Yang
menuntun ialah iman dan wahyu.
Al-Kindi berpendapat bahawa jiwa mempunyai tiga daya iaitu daya berpikir, daya
marah dan daya bernafsu (sahwat). Daya berfikir ini diseburt akal. Mengikutnya akal
terbahagi kepada :
1. Akal yang bersifat potensial
2. Akal yang telah keluar dari sifat potensial menjadi aktual
3. Akal yang telah mencapai tingkat kedua dari aktualiti

Akal yang bersifat potensial tidak dapat keluar menjadi actual jika tidak ada kekuatan
yang menggerakknya dari luar. Kerana itu ada satu jenis akal yang mempunyai wujud diluar
ruh manusia iaitu akal yang selamanya berada dalam aktualiti. (Harun Nasution: 1978, 19)

d. Etik

al-Kindi menulis beberapa defenisi falsafah, antaranya adalah :


- Berusaha mencontoh perbuatan Allah setakat kemampuan manusia
- Falsafah adalah amal kematian. Al-Kindi mensyarah maksud defenisi ini dengan mematikan
shahwat. kerana mematikan shahwat adalah jalan untuk mencapai keutamaan. Hal itu kerana
kelazatan membawa kepada keburukan, sebab apabila seseorang sibuk dengan kelazatan
panca indera maka ia akan meninggalkan penggunaan akal.

Manusia boleh mencapai keutamaan yang sempurna apabila ia mengenal keutamaaan


dirinya dan konsisten dalam usaha mencapai keutamaan berkenaan. Keutamaan manusia
menurut pemikiran al-Kindi terletak pada akhlaknya yang terpuji. (Abd Halim Mahmud:
1985, 319-321)

Keutamaan ini terbahagi pula kepada dua bahagian:


1. Bersifat asasi dan berada dalam diri manusia iaitu pengetahuan dan amal. Ianya
terbahagi pula kepada tiga bahagian,
a. Kebijaksanaan (hikmah) iaitu kesempurnnaan daya rasional atau daya berfikir yang
terbahagi kepada teoritis dan ‘amali,
b. Keberanian (najdah) iaitu kemuncak keutamaan daya emosi. Yang dimaksud dengan
al-najdah ialah ketetapan emosi.
c. Pengendalian diri (‘ifah) iaitu mengambil sesuatu yang mesti diambil kerana
diperlukan oleh badan dan menjaga kesihatannya dan menahan diri dari selain
demikian, yang merupakan kesempurnaan dari daya nafsu (emosi)

Doktrin tentang etik ini berasaskan kepada pemikiran al-kindi tentang jiwa yang memiliki
tiga daya iaitu daya berfikir (rasio), daya marah (emosi) dan daya nafsu (sahwat).( Majid
Fakhri:2002, 33) Keutamaan-keutamaan yang tiga diatas secara umum merupakan had atau
sempadan antara keutamaan dan kehinaan. Orang yang ingin mendapat keutamaan maka ia
hendaklah berdiri dipertengahan had berkenaan. Kehinaan akan berlaku apabila seseorang
bersikap amat kurang atau amat melampau dari had tersebut.

Dari huraian diatas dapat disimpilkan bahawa keutamaan daya jiwa ini terletak pada sikap
i’tidal (sederhana).

2. Keutamaan yang tidak terdapat dalam jiwa manusia, tetapi ianya merupakan hasil dari
keutamaan yang tiga diatas apabila manusia bersikap i’tidal dalam memakai sifat-sifat
berkenaan.

Keutamaan manusia menurut al-Kindi terletak pada akhlak jiwanya dan hasil daripada
akhlak jiwa tersebut yang nampak secara lahiriah. Manusia yang melazimi keutamaan maka
ia akan menikmati hasilnya iaitu kehidupan yang bahagia.

V PENUTUP
Kesimpulan
Dari huraian sebelumnya dapat disimpulkan bahawa al-Kindi ialah bapa falsafah Islam dan
failasuf pertama dari kalangan bangsa Arab. Al-Kindi memiliki ilmu yang luas bahkan ia
menguasai dan menulis semua jenis ilmu yang hangat dibincangkan pada masanya seperti
matematika, astronomi, perubatan, logik, falsafah bahkan sehingga kepada ilmu muzik.

Oleh itu al-Kindi merupakan seorang tokoh falsafah sains Islam yang amat berjasa
memperkenalkan dan membukakan pintu falsafah dan ilmu pengetahuan kepada umat Islam
untuk kemajuan Islam dan kaum muslimin. Al-Kindi juga seorang tokoh falsafah sains yang
sangat produktif. Menurut Ibn al-Nadim karyanya mencapai 240 tajuk dalam pelbagai bidang
ilmu pengetahuan.
Semangat dan hasrat al-Kindi yang besar terhadap falsafah dan ilmu pengetahuan
patut ditauladani oleh generasi hari ini supaya umat Islam dapat keluar dari krisis yang
berkepanjangan dan boleh mengejar kemajuan yang dicapai oleh Dunia Barat. Wallahu
a’lam

RUJUKAN

Al-Qur’an al-Karim

Atiyeh, George, N.: 1966, al-Kindi: The Philosopher of The Arab, terj. Kasidjo
Djoyosuwarno, Bandung: Penerbit Pustaka Perpustakaan Salman Institut Teknologi Bandung

Corbin, Henri: 1983, Tarikh al-Falsafah al-Islamiyyah, Beirut-Paris: Editions Oueidat

Fakhri, Majid: 1986, History of Islamic Philosophi, terj. Mulyadi kartanegara, Jakarta:
Pustaka Jaya

------------: 2002, A Short Introduction to Islamic Philosophy Theology and Mysticism, terj.
Zaimul Am, Bandung: mizan

Hoesin, Oemar Amin: 1959, Filsafat Islam, Jakarta: Bulan Bintang

Ivry, Alfred l:1974, al-Kindi’s Metaphisics, Albany: State University of New York Press

Mahmud, Abd Halim: al-Tafkir al-Falsafi fi al-Islam, Lubnan: Dar al-Kitab-Maktabat al-
Madrasat

Al-Nadim, Ibn: 1997, Al-Fihrist, Beirut Lubnan: Dar Al-Ma’arif

Nasution, Harun:1973, Falsafat Dan Mistisisme Dalam Islam,Jakarta: Bulan Bintang

Nasution, Hasyimsyah: 2002, Filsafat Islam,Jakarta: Gaya Media Pratama

Anda mungkin juga menyukai