Anda di halaman 1dari 3

NOVEL HUJAN PAGI

(Sasterawan Negara A Samad Said)

Hujan Pagi adalah novel antihero. Hujan Pagi boleh dikatakan sebagai 'novel of ideas'. Novel ini
mengesahkan liku-liku kehidupan golongan wartawan yang diketuai oleh Lokman. Mereka terpaksa
menghadapi berbagai halangan dan rintangan dalam menghadapi penjajah. Lokman bercita-cita
untuk memajukan masyarakat dengan menggunakan akhbar Hujan Pagi. Kemunculan Hujan Pagi
hanyalah halusinasi di bawah sedar Lokman. Lokman hidup dalam dua dunia yang kacau, iaitu dunia
nyata dan dunia 'imagistiac'. Lokman tidak dapat membezakan dua dunia yang dihadapinya. Dalam
dunia yang nyata, Lokman adalah seorang pengelola ruangan bacaan di akhbar Sinar Pagi. Akhbar
Sinar Pagi mewakali zaman kini. Fenomena ini dibicarakan oleh A. Samad Said sehingga
menampakkan unsur-unsur 'realisme magis'.

Hujan Pagi mengisahkan dunia kewartawanan. Dunia A.Samad Said sendiri. Dunia
kewartawanan yang diceritakan terbahagi kepada dua era, iaitu era 20-an hingga 30-an serta era 70-
an. Era 20-an hingga 30-an diterajui oleh oleh Lokman, Rahman, Basri, Musir Ali dan Mehmod Bey.
Mereka berjuang dalam zaman pemerintahan Jepun di Malaya. Lokman, Ruzsim, Rahman dan Basri
berganding bahu berjuang menentang pemerintahan Jepun di Malaya. Perjuangan mereka
menentang kolonis bertujuan memartabatkan semula maruah ketuanan Melayu.

Era 70-an diwakali oleh Ruseli, Narisah, Arfiah, Zuhri, dan Muayah. Mereka membawa
bentuk baru dalam dunia persuratkhabaran. Surat khabar yang diwakili mereka ialah Sinar pagi.
Bentuk baru Sinar Pagi menyebabkan Lokman tertekan dan terasa diketepikan. Lokman tidak dapat
menerima hakikat tersebut. Perubahan yang hendak dibawa menghancurkan cita-citanya untuk
membentuk bangsanya. Tekanan ini menyebabkan Lokman terlontar ke dalam halusinasi yang sukar
untuk dipulihkan.

Dalam dunia neologisme yang berpanjangan ini, Lokman digambarkan oleh Idrus
mempunyai kesadaran yang berjerebu atau konfubulasi. Sebentar sedar, sebentar tidak. Akhbar
Sinar Pagi menjadi akhbar Hujan Pagi dalam dunia halusinasi Lokman. Lokman merasakan
kehadirannya dalam akhbar Hujan Pagi lebih bermakna.

Keinginan Lokman untuk menjadi Ketua Pengarang dan disegani di alam realiti menjadikan
dirinya berubah keperibadian apabila perkara sebaliknya berlaku. Lokman tidak dilayan sewajarnya.
Kehadirannya diperlekehkan. Kegawatan ini menyebabkan Lokman terus berhalusinasi. Ditambah
pula dengan penekanan yang diberikan oleh pihak pemerintah ke atas akhbar Hujan Pagi.

Rencana yang ditulis oleh Lokman dan Rusli mencurigakan pihak pemerintah. Akhbar Hujan
Pagi ditahan dari diedarkan. Pengiriman Hujan Pagi melalui keretapi disekat. Dalam peristiwa lain
pula, kolonis telah menyoal siasat serta membuat tangkapan terhadap Ruseli, Gazis, Arfiah dan
Lokman sendiri. Kejadian ini menyebabkan Lokman kecewa, lalu membuat keputusan mengasingkan
diri di sebuah pulau misteri yang menyerupai seekor buaya besar atau ikan paus, juga disebut Pulau
Syahrun Nawi. Di pulau ini Lokman menemui Kitab Batin Melayu. Ribut halusinasinya bertiup
semakin kencang. Dia dihinggapi psikosis dan menjadi gila. Dr. Ahmad Dio, seorang pakar psikiatri
dipanggil untuk memulihkan penyakit Lokman.
Lajis adik Lokman, mengalami konflik jiwa akibat memikirkan keadaan abangnya. Dia merasa
bersalah kerana meninggalkan abangnya selama sepuluh tahun kerana berada di luar negara. Lajis
cuba mengesani dan mengubati penyakit Lokman. Lajis semakin tertekan apabila kematian
tunangnya, Asniah akibat kemalangan jalan raya.

Hujan pagi juga turut mengemukakan kisah hidup golongan wartawan. Antaranya ialah
Musir Ali yang mempunyai lapan orang anak, dan dia terpaksa tunduk pada keadaan. Dia rela dilabel
dengan pelbagai gelaran kerana sanggup menduakan perjuangan dunia akhbar. Dia
mempertahankan penderiannya demi melihat keluarganya tidak kelaparan.

Setiap bab dalam novel ini boleh berdiri dengan sendiri dan membicarakan persoalan yang
berbeza. Pembaca mesti bijak menjalinkan bab-bab yang dikemukakan dalam novel ini untuk
menjadi cerita itu berkaitan. A. Samad Said seolah-olah tidak mementingkan cerita dalam novel ini.
Cerita banyak ditumpukan melalui watak-watak Lokman, Lajis dan Norisah. Boleh dikatakan tiada
penyelesaian masalah dalam novel ini. Lokman gagal mengatasi masalahnya, Lajis masih buntu akan
hubungan dengan abangnya, sedangkan Norisah terus berkemelut dengan masalah cinta.

Membaca Hujan Pagi memerlukan banyak kesabaran dan daya tahan. Jika tidak, kita akan
terus berhenti, tanpa menghabiskan untuk menikmati novel ini. Urutan ceritanya lambat, melompat-
lompat dan tidak teratur. Hujan Pagi bukan sekadar untuk dibaca. Hujan Pagi mesti ditelaah dengan
teliti. Tanpa mentelaah, pembaca akan keliru di mana dia (pembaca) berada. Puluhan watak
dikemukakan dalam novel ini. Novel ini berkisar tentang alam nyata dan sekejap-sekejap pula
berpindah ke alam tidak nyata.

Hujan Pagi adalah novel intelektual, novel yang penuh dengan ilmu, saranan dan falsafah.
Unsur-unsur sejarah, politik, psikologi, legenda dan falsafah diperkatakan dengan meluas dalam
novel ini

PSS : Pernah seorang teman bertanya kepada saya, novel apakah yang paling saya lewat untuk saya
menghayatinya?... Nah! saya memang cepat membaca buku... malah novel 500 mukasurat novel,
kekadang saya boleh membacanya tak sampai dua hari. Begitu cepat membaca justeru menghayati
jalan ceritanya sekaligus. Namun saya kalah pada novel HUJAN PAGI ini. Wah! Karya ini benar-benar
mencabar daya intelektual diri... penyampaian plot sasteranya juga amat tinggi. Biarpun tak sampai
300 mukasurat sahaja, hampir sebulan baru saya dapat menghayatinya... dengan lelah... dan
kemudian baru tahu betapa HEBAT seni ceritanya... Ini adalah kerana, terpaksa mengulang beberapa
mukasuratnya untuk memahami plot... Pengalaman menghayatinya benar-benar membuak
pengalaman baru.. Saya tak pasti masih ada terdapat di pasaran buku terbitan 1995 ini (DBP)... tapi,
teman-teman wajib menghayatinya jika ingin mengenali sastera hebat melayu... Karya yang sangat
Ulung!

Anda mungkin juga menyukai