Anda di halaman 1dari 2

CONTOH KARANGAN -

Langkah-langkah bagi meningkatkan minat membaca dalam kalangan generasi muda :

Membaca adalah cara yang paling aula dan berkesan untuk meluaskan ilmu pengetahuan.
Tabiat membaca amat penting untuk melahirkan masyarakat yang berilmu. Hal ini demikian, melalui
bahan bacaan, khususnya buku, majalah dan akhbar terdapat pelbagai ilmu pengetahuan sama ada
yang berkaitan dengan sains, sejarah, bahasa dan isu semasa dapat diperolehi. Tabiat suka membaca
harus disemai dalam diri anak-anak sejak kecil lagi.

Bagi meningkatkan minat membaca dalam kalangan anak-anak, peranan ibu bapa merupakan
peranan yang penting. Hal ini demikian, ibu bapa mampu menerapkan tabiat suka membaca dalam
diri anak-anak. Ibu bapa hendaklah menyediakan bahan-bahan bacaan di rumah.Bahan bacaan
tersebut hendaklah sesuai dengan keupayaan dan minat anak-anak. Langkah ini penting kerana
anak-anak tidak perlu ke tempat yang lebih jauh untuk mendapatkan bahan bacaan. Situasi ini akan
merangsang mereka untuk membiasakan diri dengan buku.Bagi keluarga yang berada,ibu bapa harus
menyediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah. Hal ini memastikan bahan bacaan
dapat disusun di tempat yang dikhaskan untuk membina suasana persekitaran membaca yang lebih
menyeronokkan.

Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membawa anak-anak mereka ke pameran buku,kedai buku
atau perpustakaan. Memandangkan tempat-tempat sebegitu terdapat pelbagai jenis buku maka
anak-anak boleh memilih buku-buku yang diminatinya. Melalui tempat-tempat ini, mereka juga akan
didedahkan dengan melihat orang ramai, termasuk rakan sebaya mereka memilih buku. Situasi ini
dapat menimbulkan persaingan dalam diri anak-anak untuk turut serta memiliki buku. Sekiranya ibu
bapa kerap kali membawa anak-anak ke kedai buku dan perpustakaan, langkah ini akan dapat
menimbulkan kesedaran kepada anak-anak betapa pentingnya buku dalam kehidupan harian
mereka.

Sudah menjadi kelaziman bagi sesetengah pihak, terutamanya ibu bapa bahawa mereka akan
memberikan hadiah untuk meraikan kejayaan anak-anak. Sesetengahnya pula memberikan hadiah
sempena sambutan hari lahir anak-anak. Oleh itu,dalam usaha meningkatkan minat membaca dalam
kalangan generasi muda, lebih berfaedah sekiranya ibu bapa menjadikan buku sebagai hadiah untuk
anak-anak mereka. Perubahan seumpama ini perlu dilakukan untuk memperlihatkan kepentingan
buku kepada generasi muda. Apabila buku sudah tersedia di hadapan mata,ditambah pula dengan
dorongan ibu bapa, minat membaca dapat mudah diterapkan dalam diri anak-anak.
Bagi merealisasikan matlamat untuk meningkatkan minat membaca dalam kalangan generasi
muda, ibu bapa perlu menunjukkan tabiat membaca kepada anak-anak. Hal ini penting
memandangkan anak-anak akan mencontohi segala perlakuan ibu bapa mereka. Sebagai
contohnya,sekiranya anak-anak melihat ibu bapa atau ahli keluarganya yang lain rajin membaca,
sudah tentu keinginan untuk turut membaca akan timbul dengan sendirinya. Tegasnya, dalam usaha
untuk menanam tabiat membaca dalam diri anak-anak, ibu bapa tidak harus menjadi seperti ketam
yang mengajar anaknya berjalan dengan betul.

Selain ibu bapa, pihak sekolah juga hendaklah menjalankan usaha yang berkesan kerana
peranan pihak sekolah amat penting bagi meningkatkan minat membaca dalam kalangan generasi
muda. Salah satu langkah yang perlu dilakukan ialah melengkapkan perpustakaan sekolah dengan
pelbagai bahan bacaan yang bermutu dan terkini. Kemudahan asas di perpustakaan perlu
dilengkapkan, termasuklah penyediaan alat penghawa dingin. Buku dan bahan bacaan yang lain di
perpustakaan perlu di susun secara lebih teratur dan sistematik untuk memudahkan pelajar
mendapatkannya. Usaha sedemikian mampu menarik lebih ramai pelajar mengunjungi perpustakaan
bagi tujuan membaca.

Kesimpulannya, usaha untuk meningkatkan minat membaca dalam diri anak-anak bukanlah
perkara yang mudah. Walaupun ibu bapa dikatakan orang yang paling berpengaruh dalam
meningkatkan tabiat membaca dalam diri anak-anak, namun tanpa sokongan pihak lain, matlamat
ini sukar menjadi kenyataan. Oleh itu, semua pihak harus bekerjasama meningkatkan minat
membaca dalam kalangan generasi muda agar negara ini dapat menjadi sebuah negara maju suatu
hari nanti.

Anda mungkin juga menyukai