Anda di halaman 1dari 3

Krisis makanan global

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)

AWAL 2008 bermula dengan krisis makanan yang agak membimbangkan apabila
pengeluaran beberapa jenis tanaman kontan
seperti beras, gandum dan jagung susut mendadak di negara-negara pengeluar utama.
Bagai yang diramal oleh kebanyakan pemerhati di seluruh dunia, kegawatan krisis makanan
itu tidak menunggu masa yang lama untuk meledakkan kebimbangan global.
Kesannya semakin dirasakan kini apabila kebanyakan negara berdepan dengan krisis
kekurangan bekalan makanan utama yang serius dengan penyusutan yang disifatkan
terburuk sejak 1980.
Di Asia termasuk Malaysia, benua ini meskipun merupakan negara pengeluar beras
terbesar dunia, namun tidak dapat mengelak daripada kekurangan bekalan waima untuk
kegunaan domestik.
Indonesia pula, mula bergelut dengan kenaikan harga barang seperti gula, gandum dan
minyak masak sejak awal tahun ini lagi dan rakyatnya masih merasai tekanannya sehingga
ke hari ini.
Begitu juga dengan Filipina dan Thailand yang semakin kekurangan beras memaksa
kerajaan negara itu mengeluarkan stok simpanan beras negara untuk diagihkan kepada
penduduk.
Krisis makanan ruji yang semakin menyusut dan mahal terutamanya beras dan gandum ini
membimbangkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) mengenai kemungkinan akan
berlakunya lebih banyak rusuhan terutamanya di negara-negara miskin.
Ketika ini, bekalan makanan yang berkurangan menyebabkan rakyat di Haiti, Cameroon,
Mesir, Argentina dan Burkina Faso merusuh dan FAO meramalkan situasi sama bakal
menular di lebih banyak negara lain.
Ia berdasarkan laporan Bank Dunia yang meramalkan 33 buah negara bermula dari Mexico
sehinggalah ke Yemen turut mengalami tekanan daripada kenaikan berterusan harga
makanan dan minyak.
Negara-negara kaya di rantau Arab juga tidak terlepas daripada krisis kenaikan harga
barangan keperluan terutamanya harga gandum yang naik dua kali ganda sejak enam bulan
terakhir.
Di Yemen iaitu negara paling miskin di rantau itu, harga beras, minyak masak dan makanan
meningkat sehingga 20 peratus dalam dua bulan kebelakangan ini.
Namun apa yang paling membimbangkan Program Makanan Dunia (WFP) ialah kenaikan
harga barangan berterusan akan memberi kesan kepada kira-kira empat juta pelarian rakyat
Mesir, Iraq, Yemen dan Palestin yang dibantu oleh organisasi berkenaan.
Menghentikan
Mesir pula dalam reaksi kenaikan harga beras berterusan turut menghentikan eksport beras
mereka bermula awal bulan ini hingga Oktober depan bagi memastikan harga bekalan
makanan itu kekal murah di pasaran domestik.
Peningkatan harga barang ini seperti dipersetujui oleh kebanyakan masyarakat dunia adalah
kesan daripada lemahnya ekonomi dunia berikutan kenaikan berterusan harga minyak
mentah.
Ketika ini, minyak mentah mencecah AS$110.87 (RM349.24) setong dan dijangka bakal
mencecah harga tertinggi dalam sejarah iaitu sehingga AS$118 (RM371.7) setong sehingga
akhir bulan ini.
Kenaikan harga tepung yang disifatkan tertinggi dalam tempoh 26 tahun juga dikaitkan
dengan perubahan iklim kesan daripada pemanasan global yang mula dirasai sejak
beberapa tahun kebelakangan ini.
Beberapa wilayah tanaman gandum di Kanada dikatakan kering-kontang dan tidak lagi
sesuai untuk tanaman manakala ladang sedia ada pula musnah akibat kekeringan
melampau.
Cuaca yang tidak menentu juga memberi kesan kepada negara pengeluar tepung utama
lain termasuk Amerika Syarikat, negara-negara Eropah, India dan Australia.
Peningkatan mendadak harga gandum dan beras selain pengeluaran yang terhad turut
dikaitkan dengan permintaan yang sangat tinggi di China dan India, dua buah negara yang
ekonominya berkembang sangat pantas ketika ini.
Dengan kadar pertumbuhan dalam negara kasar (GDP) sekitar lapan hingga 10 peratus,
rakyat China dan India kini menjalani kehidupan yang mewah sekali gus meningkatkan
permintaan beras dan gandum untuk kegunaan domestik.
Krisis kekurangan bekalan makanan terutamanya bijirin seperti gandum, jagung dan soya
semakin menghimpit negara miskin apabila negara maju seperti Amerika Syarikat dan
Australia sanggup membeli dengan harga yang tinggi untuk tujuan penyelidikan biofuel bagi
menggantikan minyak mentah yang semakin mahal.
Jelaslah, kenaikan harga barangan kini sudah menjadi isu global dan Malaysia pastinya
tidak boleh mengelak daripada turut menerima kesan yang sama.
Sebagai pengguna dengan kuasa yang sangat terhad dalam mengawal dan menentukan
harga barangan keperluan di pasaran, harapan kini pastinya diletakkan sepenuhnya kepada
kerajaan untuk menyekat kenaikan harga secara berterusan dan melampau.
Selain faktor global, kenaikan harga barang diburukkan lagi dengan isu domestik
terutamanya yang dicetuskan oleh pembekal yang dengan sengaja mengambil kesempatan
menyorok barangan keperluan.
Keadaan ini menyebabkan barangan keperluan seperti gula dan beras berkurangan dan
mendapat permintaan yang sangat tinggi sekali gus memberi peluang kepada peniaga untuk
menaikkan harga sesuka hati.
Sebagai langkah penyelesaian segera, kerajaan boleh mendepani situasi itu dengan
mengimport barangan yang kononnya didakwa berkurangan oleh pembekal dalam kuantiti
yang lebih besar.
Namun, ia bukanlah penyelesaian jangka masa panjang kerana selain memberikan kuasa
kepada pembekal untuk menentukan harga barangan di pasaran, kerajaan juga
menanggung kerugian apabila terpaksa mengimport dalam kuantiti yang tinggi.
Malaysia barangkali boleh mengelak daripada ketidaktentuan harga beras dengan
meningkatkan produktiviti tanaman ini di negeri-negeri pengeluar utama seperti Kedah dan
Sarawak.
Krisis kekurangan tepung pula boleh diatasi dengan Malaysia membuka ladang tanaman
gandum sendiri di lokasi-lokasi yang dikenal pasti berpotensi dan sesuai dengan tanaman
tersebut.
Perkara itu bukanlah sesuatu yang mustahil melihat kepada percubaan Indonesia pada
2000 yang mengimport teknologi India untuk membangunkan sektor tanaman gandum di
negara berkenaan.
Hasilnya, Indonesia kini menyertai senarai negara pengimport gandum utama dunia selain
berjaya mengekang krisis kenaikan harga tepung yang sering berlaku sebelumnya.

Anda mungkin juga menyukai