Anda di halaman 1dari 3

TUGASAN 4: MENULIS REFLEKSI

4.1 Refleksi

MUHAMMAD ZULFADHLI BIN MOHAMMAD ZAIRI

950731085589

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat juga saya dan
rakan sekumpulan menyiapkan Kerja Kursus untuk Kursus Pengantar Bahasa Melayu
(BMZ1034) ini. Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Institut
Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu kerana telah memilih saya dan memberikan
peluang kepada saya untuk melanjutkan pengajian di institut ini. Seterusnya saya ingin
mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Encik Roslan Bin Abdul Wahid,
pensyarah untuk Kursus Pengantar Bahasa Melayu (BMZ1034) ini kerana telah memberikan
peluang kepada saya untuk melaksanakan Kerja Kursus yang amat berguna.

Pada tarikh 27 Julai 2014, guru-guru pelatih dari opsyen Pendidikan Khas Sekolah
Rendah (SK) Ambilan Jun 2014 telah mendapat Kerja Kursus bagi Kursus Pengantar
Bahasa Melayu (BMZ1034) yang telah diserahkan oleh pensyarah. Tugasan projek ini perlu
dijalankan secara individu dan berkumpulan dan merupakan satu proses pembelajaran yang
baik dalam mewujudkan nilai kerjasama sesama ahli kumpulan dan semestinya setiap ahli
akan memberikan komitmen yang tinggi bagi memastikan kerja yang dilakukan akan
mendapat hasil yang terbaik. Interaksi dan kerjasama amat penting dan perlu ada dalam diri
setiap insan bergelar guru kerana apabila bergelar sebagai seorang guru, kita adalah
sebagai satu pasukan dengan rakan-rakan guru yang lain dan interaksi boleh
menyelesaikan masalah yang timbul jika berlaku tidak persefahaman. Tugasan Kerja Kursus
ini bisa menyumbang kepada pembinaan insan guru yang cemerlang. Saya belajar untuk
berani dalam melontarkan idea, buah fikiran dan pendapat yang perlu disampaikan
menggunakan medium kata-kata yang berhemah dan menunjukkan ketinggian budi bahasa
bagi mewujudkan atmosfera perbincangan yang baik dan lancar ketika bersama-sama
menghasilkan Kerja Kursus ini. Perbincangan seperti ini mampu mewujudkan insan guru
yang cemerlang yang berani menyatakan kebenaran dan pendapat yang bernas.

“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, begitulah perasaan saya selepas
menerima kerja kursus ini. Pada permulaannya, saya merasakan tugasan ini adalah mudah,
tetapi setelah mengkaji dan mempelajarinya barulah saya mengetahui bahawa tugasan ini
adalah rumit. Hal ini adalah kerana, untuk mengkaji sesuatu perkara kita mestilah
memahami konsepnya terlebih dahulu. Sebagai contoh, dalam tugasan yang ketiga iaitu
analisis pola keselarasan vokal, kita mestilah terlebih dahulu memahami konsep
keselarasan vocal agar analisis dan kajian kita akan bertambah mudah dan tepat.

Dalam melaksanakan kerja kursus ini, saya telah mempelajari banyak pengalaman
dan pengajaran yang kerap kali berlaku kepada saya. Pepatah Melayu ada menyebut,
“hendak berenang carilah itik, hendak memanjat carilah tupai”. Hal ini kerana, pada
peringkat permulaan saya untuk mencari maklumat tentang setiap tugasan, saya tidak
merujuk kepada maklumat dan informasi yang betul. Namun, setelah lama mengkaji dan
menyelidik dengan bantuan pensyarah dan rakan-rakan, barulah saya mengetahui cara
yang betul untuk mendapatkan maklumat dan informasi yang tepat. Saya mula mencari
maklumat di pusat sumber, internet, buku dan sebagainya untuk mempelbagaikan lagi
maklumat.agar lebih menarik.

Semasa melaksanakan kerja kursus ini, saya telah memerhati dan memahami
bahawa tugasan ini juga dapat memberi kebaikan dan kepentingan kepada profesion
keguruan. Sifat-sifat positif seperti sabar dan teliti dalam menyiapkan tugasan ini telah
menunjukkan bahawa setiap guru hendaklah sabar dan teliti semasa melakukan pengajaran
dalam kelas atau luar kelas. Hal ini kerana, dengan mengamalkan sifat-sifat yang positif
murid-murid akan lebih mudah untuk memahami sesuatu yang hendak disampaikan dan
pembelajaran akan menjadi lebih teratur dan kemas.

Selain itu juga, kepentingan kepada profesion keguruan adalah dapat membantu
pelajar untuk belajar dengan mudah. Sebagai contoh dengan mengkaji pola keselarasan
vokal, guru akan dapat memahami dan menghuraikan dengan lebih jelas tentang pola
tersebut kepada pelajar dengan baik serta dapat menguasai kecekapan berbahasa dengan
betul. Oleh itu, ia dapat menggunakan bahasa yang betul, kemas, padat dan meyakinkan
secara lisan dan bertulis serta ia akan menyebabkan pembelajaran di dalam kelas menjadi
mudah.

Alhamdulillah, inilah hasil usaha khalifah kerdil ini bagi Kursus Pengantar Bahasa
Melayu (BMZ1034) ini. Setiap yang bermula, pasti ada pengakhirannya, begitulah juga
dengan penulisan refleksi ilmiah saya ini. Penulisan refleksi yang dihasilkan diharap
menepati kehendak pensyarah akademik dalam usaha memartabatkan pemahaman
menerusi tugasan Kerja Kursus yang dihasilkan ini.

Peribahasa Melayu ada mengatakan ‘Kalau tidak dipecahkan ruyong manakan dapat
sagunya’, begitu juga dengan kejayaan, tidak mungkin akan dapat diperolehi dan dikecapi
tanpa adanya usaha dan pengorbanan. Bak kata pepatah Arab ‘Mengharapkan kejayaan
tanpa adanya usaha ibarat mengharapkan kapal belayar di daratan’. Satu perkara yang
boleh dikatakan mustahil akan berlaku. Tatkala jari jemari menaip satu huruf demi satu
huruf, minda teringat akan kalam Allah S.W.T. melalui firman-Nya dalam Surah At-Taubah
ayat 105 yang bermaksud :

Dan katakanlah wahai Muhammad “Hendaklah kamu semua berusaha (beramal)


kerana Allah akan melihat dan menilai apa yang kamu usahakan.”

Anda mungkin juga menyukai