Anda di halaman 1dari 3

Mengapa bunuh diri?

Membunuh diri yang berlaku dalam masyarakat negara ini semakin berleluasa
pada masa kini. Ia seperti satu fenomena yang sudah biasa berlaku, sama seperti
kejadian bunuh diri yang berlaku di negara-negara maju seperti Jepun; masyarakatnya
sudah biasa. Masyarakat moden hari ini sudah lali atau masak dengan kejadian seperti
itu.

Umpamanya, di negara China yang merupakan sebuah negara di mana rakyatnya


paling ramai membunuh diri. Dianggarkan setiap tahun, lebih daripada 300,000
penduduk China membunuh diri, lebih 10 kali ganda dari jumlah bunuh diri tahunan di
Amerika Syarikat. Negara-negara lain yang mencatat kejadian bunuh diri yang tinggi
termasuklah Jepun dan Venezuela.

Tindakan membunuh diri turut menunjukkan trend yang mengejutkan di negara


kita. Data dari Pusat Daftar Bunuh Diri Kebangsaan (NSRM-National Suicide Registry
Malaysia) mendapati sekurang-kurangnya dua orang membunuh diri setiap hari dengan
kadar purata 60 orang dalam sebulan. Ia satu trend yang didapati menyamai trend
bunuh diri di negara Amerika. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati setiap
tahun, satu juta orang akan meninggal dunia kerana membunuh diri, dengan anggaran
purata sebanyak 3,000 kejadian setiap hari.

Peningkatan kes bunuh diri yang berlaku di negara ini menimbulkan banyak
persoalan yang memerlukan kajian mendalam dan agresif dilakukan, di samping
merangka pelan pencegahan dan pemulihan yang komprehensif. Berdasarkan trend
yang ada, ia seperti menggambarkan wujudnya satu penularan dalam kejadian seperti
ini. Tindakan membunuh diri yang berlaku di negara-negara luar didapati sudah
merebak dan menjangkiti pemikiran dan tingkahlaku rakyat negara ini untuk melakukan
perbuatan yang sama. Ini bukan sesuatu yang menghairankan. Memang gejala ini
berjangkit dalam masyarakat, tidak kira di mana mereka berada, terutamanya dari segi
kaedah dan cara bunuh diri itu dilakukan. Malah perlakuan bunuh diri lebih mudah
berjangkit atau berlaku di kalangan mereka yang tidak stabil tahap kesihatan
mentalnya, berbanding dengan individu yang sihat dan mempunyai tahap pemikiran
yang waras.

Apakah maksud membunuh diri? Secara umumnya, bunuh diri merupakan satu
perbuatan yang dilakukan oleh seseorang dengan sengaja dan secara sedar dengan
tujuan memusnahkan diri sendiri atau bagi mengakhiri kehidupan sendiri sehingga
menemui kematian. Dalam kebanyakan kes bunuh diri, ia berlaku akibat
ketidakmampuan seseorang individu itu menghadapi tekanan dalam kehidupan yang
dialami. Mereka berasa bahawa langkah untuk meneruskan kehidupan bukan satu idea
yang baik, sebaliknya lebih menambah kesengsaraan.

Terdapat juga mereka yang terlibat itu merasakan diri mereka disisihkan, berasa
sunyi dan tidak dipedulikan, serta berasa kecewa dan dihantui masalah kemurungan.
Gejala bunuh diri juga sering berlaku dalam kalangan pesakit mental kronik seperti
skizofrenia, kecelaruan personaliti, dan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan
dadah dan alkohol. Individu yang pernah mengalami trauma sebagai mangsa buli dan
keganasan juga didapati berisiko tinggi untuk membunuh diri akibat tidak mahu
berterusan dibuli atau dipermainkan serta dikasari.

Walaupun gejala bunuh diri sering dikaitkan dengan penyakit mental kronik
seperti kemurungan dan ketagihan dadah, namun trend seperti ini mula dipertikaikan.
Pendekatan teori psikiatri Barat mendapati kemurungan merupakan punca utama gejala
bunuh diri, walaupun ia juga boleh berlaku akibat daripada faktor ketagihan dadah dan
gangguan mental yang lain. Di Amerika, kadar bunuh diri yang tinggi berpunca daripada
kesan penyakit kemurungan dan ketagihan dadah serta alkohol yang sememangnya
tinggi. Namun dalam konteks negara China, perkara ini tidak sedemikian.

Fakta yang wujud apabila mengambil kira terhadap situasi yang berlaku di
negara China ialah apabila kajian mendapati peningkatan kes bunuh diri yang berlaku
secara luar biasa, menandingi kadar di negara Amerika khususnya, sedangkan kadar
penyakit kemurungan kronik dan ketagihan dadah adalah lebih rendah daripada kadar
yang berlaku di Amerika. Ini menunjukkan ada perkara atau faktor lain di sebalik
penyakit-penyakit mental tersebut yang dikatakan berperanan terhadap kejadian bunuh
diri yang tinggi di China. Ada kemungkinan ia terjadi akibat daripada kesan kadar
pengangguran yang tinggi, tahap sistem sokongan sosial dalam masyarakat yang
rendah dan bersikap individualistik, kurang kepintaran dalam menyelesaikan masalah
atau tekanan budaya dari luar. Pokoknya, ia tidak lari dari faktor sosio-psikologikal
dalam menyumbang kepada kes bunuh diri.

Berdasarkan penelitian terhadap fenomena ini, suatu perkara yang jelas ialah
kes bunuh diri sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada tekanan atau stres dan
juga kestabilan pemikiran individu dalam menjalani kehidupan yang banyak cabaran.
Dari segi fakta, tiada mana-mana individu yang sihat dan berasa seronok menjalani
kehidupan mereka sanggup membunuh diri sendiri, melainkan apabila keadaan menjadi
sebaliknya, atau sistem sokongan dalam masyarakat bagi mencegahnya tidak wujud
atau lemah fungsinya.

Namun apabila situasi menjadi lebih buruk, membunuh diri dilihat sebagai satu-
satunya cara yang ada bagi menyelamatkan keadaan, ia menggambarkan sesuatu
yang tidak kena pada diri individu terbabit, khususnya berkaitan dengan cara mereka
berfikir atau menyelesaikan masalah yang ada. Secara tidak langsung, ia berkaitan
dengan cara pemikiran mereka yang terjejas, mungkin akibat daripada sindrom
kegagalan fungsi otak psikogenik. Pemikiran yang terjejas pula merupakan ciri-ciri
kesihatan mental individu yang tidak stabil yang akhirnya membawa kepada pelbagai
tanda gangguan mental dan tingkahlaku, termasuklah bunuh diri.
Selain bunuh diri, terdapat satu lagi kategori yang berkaitan iaitu cubaan
membunuh diri. Cubaan bunuh diri difahami sebagai satu tindakan bagi membunuh diri,
atau cubaan untuk mendatangkan kematian bagi diri sendiri tetapi tidak semestinya
berjaya. Dalam peringkat ini, individu terbabit berkemungkinan akan terus berusaha
mencapai hasratnya sehinggalah kematian itu diperoleh, atau mereka akan berpatah
balik untuk menjalani kehidupan seterusnya secara normal. Bagi keadaan ini, rawatan
awal dan tindakan pencegahan mesti diberikan. Walau apapun keadaan dan alasan,
bunuh diri tetap satu perbuatan yang dilarang keras dalam Islam dan merupakan satu
dosa yang amat besar.

Anda mungkin juga menyukai